Ahad, 29 Mei 2011

Dari kaca mata: Golongan profesional vs golongan bawahan

Muhammad Yazid Rosly (yazidrosly_my@yahoo.com)






Tanpa kita sedar, Malaysia kini semakin menghampiri status negara maju yang dijangka dicapai menjelang tahun 2020. Sasaran yang dibuat mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ini, kini hanya tinggal sembilan tahun dari sekarang. Bagi mencapai taraf ini, maka modal insan yakni tenaga kerja yang mencukupi sangat-sangat diperlukan.

Saya sekadar menyelusuri kisah hari ini dengan perubahan demi perubahan telah berlaku. Jika dulu, taraf rakyat sekadar ala-ala kadar. Kini, semuanya berubah. Kemewahan menguliti sesetengah rakyat yang beruntung namun pada masa yang sama, masih terdapat juga mereka yang terus merasai kesusahan.

Budaya kini telah berubah. Jika dulu, pekerjaan guru dipandang tinggi. Guru ibarat hero penyelamat masyarakat. Setiap masalah dirujuk kepada guru. Segala perkara yang berlaku, diminta nasihat dari guru. Guru dianggap sebagai penyelesai masalah satu masa dahulu. Malah, jika wanita hendak bersalin pun, dirujuk juga pada guru. Nilai hormat terhadap guru sangat tinggi pada waktu dulu.

Kini, situasi berubah. Apabila pendidikan semakin tinggi dalam kalangan masyarakat hari ini, taring keegoan mula tercipta. Guru dihina, dicerca malah diperlekehkan. Guru juga dipandang sebelah mata dan dianggap sebagai pekerjaan kelas kedua. Ada yang disepak terajang oleh pelajar sendiri, dan tak kurang juga sehingga disaman oleh ibu bapa.

Mengapa situasi tidak hormat ini terjadi?

Harus diakui, pertambahan golongan profesional semakin meningkat. Bilangan doktor, jurutera, peguam telah menunjukkan pertambahan tahun demi tahun. Pada tahun 1980, bilangan doktor di Malaysia hanya berjumlah 3 858 orang. Namun angka ini meningkat pada tahun 2008 dengan angka 20 280 orang. Peningkatan hampir tujuh kali ganda dalam tempoh hanya dalam 18 tahun ini menunjukkan taraf pendidikan rakyat semakin tinggi seterusnya menunjukkan taraf kehidupan rakyat semakin baik.



"......kerjaya sebagai doktor memberikan sumbangan besar kepada masyarakat. Seorang doktor mungkin mampu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan."



Harus diakui juga, kebanyakan ibu bapa hari ini memandang tinggi kerjaya bertaraf profesional. Bila ditanya pekerjaan yang ingin anak mereka capai, maka semuanya akan mensasarkan doktor, peguam, jurutera atau setidak-tidaknya menjadi pensyarah. Kerjaya sebegini dipandang mulia dan dikatakan memberi kebanggaan buat mereka.

Soalnya kini, apakah hanya kerjaya profesional sahaja yang dianggap mulia? Apakah kerjaya profesional ini sahaja yang boleh menjadi kebanggaan? Bagaimana dengan kerjaya bawahan yang banyak dipikul majoriti rakyat ini? Apakah mereka tidak pernah dihargai?

Seringkali golongan bawahan ini dihina dan dicerca. Dianggap contoh tidak baik dan dikatakan tak sepatutnya diikuti. Maka atas didikan ibu bapa inilah seringkali pekerjaan seperti posmen, tukang sapu sampah, tukang kebun, buruh kasar binaan, budak pejabat, pemandu teksi, pemandu lori, dan pelbagai lagi kerja peringkat bawahan dianggap sebagai sesuatu yang memalukan keluarga.

Jangan pandang hina pada mereka dek alasan gaji mereka yang kecil tak menjaminkan masa depan yang cerah. Ramai yang menganggap kerjaya bawahan ini ibarat neraka yang memberikan kesengsaraan hidup pada sesiapa yang ingin hidup berkeluarga. Pandangan sinis yang senantiasa diberikan, nyatakan bahawa tiada wang ,tiada senang, maka tiada bahagia.

Apakah wang jaminan bahagia hidup?

Benar, kerjaya sebagai doktor memberikan sumbangan besar kepada masyarakat. Seorang doktor mungkin mampu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan. Seorang peguam mampu membela mereka yang tidak bersalah dari dihukum. Seorang jurutera mampu merealisasikan sebuah pembinaan jambatan bagi menghubungkan satu kampung dengan kampung yang lain. Sumbangan mereka ternyata memberi manfaat kepada masyarakat. Namun soalnya, adakah perkerja bukan profesional tidak memberikan sumbangan?

Tanpa posmen, urusan surat-menyurat akan tergendala



Kita perlu sedar, tanpa tukang sapu sampah yang bekerja di bandar-bandar, maka huru-haralah kawasan kediaman dan bandar kita. Bayangkan jika setiap sampah yang dilempar oleh masyarakat yang ‘bertamadun’ ini terbiar dan tiada yang mengutipnya. Hari demi hari sampah bertaburan, dan akhirnya terkumpul mengotorkan bandar yang kita diami. Bukankah penting tukang sapu sampah ini? Tanpa mereka, kotorlah
negara ini.

Begitu juga dengan kerjaya posmen. Tanpa posmen, bolehkah surat-surat penting dari kerajaan mahupun syarikat-syarikat besar dapat sampai kepada penerimanya? Perlu diingat, surat adalah medium terpenting dalam menyampaikan serta menyerahkan dokumen-dokumen penting buat golongan pekerja profesional. Peguam, doktor, arkitek, jurutera, semuanya menggunakan khidmat surat-menyurat dalam urusan rasmi mereka. Siapa yang menghantar kesemua surat-surat ini jika bukan pekerja yang bernama En. Posmen ini?

Buruh kasar binaan jika ditiadakan pekerjaan ini, bolehkah menara segah KLCC atau Menara Kuala Lumpur berdiri gah di Kuala Lumpur? Benar, pelan dan struktur bangunan ini dihasilkan arkitek dan jurutera, namun yang membinanya adalah golongan buruh kasar ini. Tanpa tenaga dan keringat golongan ini, mimpi sahajalah untuk kita melihat mercu tanda kebanggaan negara tersebut.

Pemandu teksi, tanpa keringat mereka memandu ke sana dan ke sini, bolehkah kita bergerak ke destinasi yang kita ingini? Kadang-kadang bersusah payah turuti setiap permintaan penumpang, namun dibalas herdikan kembali. Begitu juga pemandu bas, kadang-kala dibalas dengan cacian dek kelewatan yang tidak mengikut jadual perjalanan.

Barang-barang keperluan harian seperti beras, minyak, gula, tepung, sehinggalah kepada barang-barang mewah, jika bukan kerana pemandu lori yang membawa barang tersebut dari kilang, maka akan kosonglah pasaraya dan gedung-gedung beli belah tanpa barang-barang jualan. Malah, kereta-kereta mewah yang dipakai golongan profesional juga dibawa dengan lori sebelum dihantar ke kedai ataupun pelabuhan.

Keindahan taman-taman rekreasi tempat masyarakat menghilangkan tekanan, menghirup udara segar, menghabiskan masa bersama-sama keluarga semuanya dapat dinikmati hasil daripada kesabaran tukang kebun. Tanpa ketekunan mereka menjaga pepohon dan pokok-pokok bunga yang ditanam, mungkin taman yang menjadi tempat rehat buat golongan profesional ini tidak punyai sebarang keindahan. Mungkin suram tanpa warna-warni tumbuhan.

Pengawal keselamatan yang seringkali dipandang sebagai pekerjaan kelas bawahan, dipandang rendah, tanpa sedar memberi sumbangan besar kepada masyarakat. Keringat merekalah membolehkan masyarakat tidur nyenyak dengan keselamatan yang terjamin. Mereka inilah yang sentiasa setia di pintu-pintu pagar kondominium atau banglo-banglo mewah, mengawal kemasukan orang luar, dan memastikan tiada orang yang mencurigai mengganggu keselamatan penduduk. Mereka inilah yang membolehkan golongan profesional senantiasa selesa mendiami kediaman masing-masing tanpa sebarang ketakutan.



"Gaji yang diberikan kepada buruh kasar di New York sebagai contoh lebih tinggi dari gaji pegawai-pegawai kerajaan di Amerika."





Operator pengeluaran kilang, membanting tulang empat kerat membantu pengeluaran produk-produk untuk kegunaan masyarakat. Merekalah yang membolehkan bekalan makanan, barangan elektrik, dan perkara lain terus berada dalam pasaran. Ketiadaan pekerja kilang akan menyebabkan akan berlaku keputusan barang-barang tersebut.

Sebahagian contoh yang diberikan ini sekadar untuk direnungkan bersama-sama. Dalam pembangunan mengejar kemajuan, kita harus sedar peranan penting bukan sahaja terletak di tangan pekerja bertaraf profesional. Golongan pekerja kelas atasan ini memang memberikan sumbangan besar kepada masyarakat, namun pada masa yang sama, golongan bawahan juga mempunyai siginifikan dalam proses menterjemahkan aspirasi pimpinan negara. Perlu diingat, tanpa golongan kelas kecil ini, maka setiap agenda yang direncanakan oleh golongan profesional tidak mampu direalisasikan.

Di Amerika, buruh kasar dihargai oleh kontraktor-kontraktor di sana. Gaji yang diberikan kepada buruh kasar di New York sebagai contoh lebih tinggi dari gaji pegawai-pegawai kerajaan di Amerika. Nilai pendapatan yang lumayan ini membuktikan golongan pekerja yang dipandang rendah di Malaysia ini dapat hidup mewah di Amerika.

Hakikatnya masyarakat perlu sedar setiap jenis pekerjaan itu punyai signifikan dalam pembangunan. Sekecil-kecil tukang sampah, sehingga sebesar-besar ahli ekonomi, semua profesion pekerjaan saling melengkapi. Doktor perlukan jururawat, jurutera perlukan buruh kasar, pengurus kilang perlukan operator pengeluaran, dan begitu juga pekerjaan-pekerjaan lain. Sifat saling melengkapi ini, bolehlah diibaratkan seperti rantaian makanan dalam ekosistem di bumi ini. Jika terganggu salah satu dalam rantaian ini, maka akan terjejaslah ekosistem secara keseluruhan. Maka jika terjejas mana-mana bidang pekerjaan di negara ini, maka terencatlah proses pembangunan negara.

Mungkin ramai yang memperlekehkan golongan kelas bawahan ini dengan menyatakan bahawa gaji mereka terlalu sedikit dan pasti kos sara hidup tidak mencukupi. Namun cuba hayati ayat 3 surah al-Thalaq:

Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya)
(al-Thalaq, 3)

Sesungguhnya bukan jumlah gaji itu yang boleh menentukan kesenangan hidup. Hakikatnya, nilai tawakal kepada Allah itulah yang akan membolehkan kebahagian hidup tercapai. Allah pasti akan mengurniakan pintu-pintu rezeki tanpa disangka-sangka buat mereka yang bertawakal kepada-Nya.

Menyentuh kembali kepada soal profesion perguruan yang semakin hari semakin suram nilai hormat masyarakat, sehingga ada yang hanya memandang sebelah mata sahaja pekerjaan guru ini, ingatlah, tugas sebagai guru bukanlah tugas yang begitu mudah. Mendidik perlukan kesabaran, disulami dengan kreativiti serta pengawalan emosi yang tinggi. Dengan sifat inilah, guru akan membentuk pelajar yang akan menjadi golongan profesional pada masa depan. Ingat, gurulah yang melahirkan seorang doktor, seorang peguam, hatta seorang Raja. Setiap umat manusia hari ini terbentuk hasil daripada didikan guru.

Berbalik kepada isu pekerja bawahan pula, seharusnya masyarakat tidak memandang rendah dan hina pada golongan-golongan pekerja bawahan ini. Mereka harus sedar, komponen dari pekerja-pekerja ini juga amat penting memberi sumbangan kepada masyarakat. Maka mentaliti harus diubah, jangan jadikan golongan pekerja bawahan ini sebagai contoh buruk sebaliknya tanamkan pada anak-anak supaya belajar untuk menghormati mereka seadanya dengan sumbangan yang diberikan dan pada masa yang sama menggalakkan anak-anak mereka itu mengejar cita-cita bergelar pekerja kelas profesional. Jika masyarakat ini wujud, maka mentaliti kelas pertama untuk menjadi sebuah negara yang maju juga akan dapat direalisasikan.


*Penulis merupakan pelajar jurusan TESL di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan aktif dalam bidang penulisan. Kebanyakan hasil tulisannya dipaparkan menerusi blognya:
www.yazidrosly-mydablog.blogspot.com

Isnin, 23 Mei 2011

"Adina (Bicara Lapan)"





“Kalau benar setiap bicara, mengapa aku jadi sasarannya?”

Meletakkan satu persoalan dek kebuntuan dalam kehairanan. Tertanya-tanya dalam misteri tanpa suara. Mencari jawapan, soalan pula yang dikembalikan.

“Bukan mudah bila jadi Abyatina....”

Tersenyum lebar pula ibunya. Kata-kata dilemparkan sambil senyuman diukir. Hari demi hari, pelbagai masalah muncul. Dugaan demi dugaan menghampiri seolah-olah situasi tak mengizinkan atas keputusan yang telah dibuat.

“Apa benar keputusan aku ini betul?” bisik Abyatina.

Semakin meningkat usia pertunangan Abyatina, maka semakin bertambah tekanan dalam dirinya. Persekitaran menjadi pembangkang buatnya, dan sehingga kini dia hairan lantas tercetusnya kegusaran dalam hatinya. Rizqullah difikirkan satu pilihan yang mungkin salah. Kecelaruan menjelma.

Berpijak di bumi Tanjung Malim buat kali ketiga, mengunjungi abang yang menjadi penuntut IPSI, maka Absyar dicium tangannya oleh Abyatina. Mak Cik membawa Abyatina berjumpa Absyar, dan kunjungan itu adalah satu jemputan pulang ke kampung selepas selesai semester yang dihadapi. Seorang pelajar Matematik, maka Absyar menjadi inspirasi dan contoh buat Abyatina mencapai pula cita-citanya.

“Maaf sebab tak dapat lihat Ina disarungkan cincin menjadi tunang orang,” bicara Absyar.

Senyuman diberikan tanda gembira buat si Abyatina. Perjalanan pulang berkereta dari Tanjung Malim ke kampung ternyata sebuah kisah yang panjang dengan masa hampir empat jam ditempuhi.

“Akan Ina juga berada di sini tak lama lagi satu hari nanti. Akan Ina ikut jejak abang di sini”

Bicara Abyatina kepada Absyar meberikan janji menyatakan harapan untuk mencapai impian. Hasrat untuk berada di IPSI menjadi orang kedua dalam keluarga sebagai seorang guru ditanamkan Abyatina. Keyakinan diberikan Absyar, namun kisah masa depan Abyatina dilihat kabur dek status yang dipegangnya kini.

“Orang yang dah berkahwin pun masih boleh belajar, Ina”

Tersenyum Absyar beri semangat buat adiknya. Perjalanan terus dengan kebisuan. Abyatina hanyut dengan termenung, Absyar lena dengan keletihan. Pak Cik masih segar dan Mak Cik tanpa henti berterusan bercakap bercerita pelbagai kisah.

Masih segar di ingatannya, abangnya itu seorang yang petah bicara. Setiap kata diluahkan berikan makna. Setiap nasihat yang dicurahkan berikan semangat buat dirinya. Absyar dilihat harapan buat keluarga dan sering disebut sebagai kebanggaan buat Ustaz Man. Benar, hanya Absyar sahaja yang berjaya menempatkan diri di maktab perguruan.

“Kamu bangga dengan abangmu. Maka banggakan juga dirimu dengan kejayaanmu mengulangi kisah abangmu,” bicara tersenyum diluahkan Ustaz Man buat Abyatina. Pesanan lalu muncul dalam ingatan.

Abyatina meletakkan harapan lagi. Mahu berjaya namun tersangkut dalam tekanan persekitaran. Hatinya mahu terus belajar, sekitarnya pula mahu terus menghimpit dan menyusahkannya sahaja. Fitnah ditabur, dan bagi menghilangkan semua bicara palsu, maka pertunangan dipersetujuinya.

“Apakah kamu benar-benar ikhlas?”

Raiqah menyoal pada malam pengumuman Rizqullah sebagai calon pilihannya. Keikhlasan dipersoalkan dek keazaman yang disuarakan Abyatina untuk mengejar cita-cita.

“Sebuah pertunangan dan perkahwinan tak memutuskan perjalanan mengejar cita-cita”

Jawapan dibalas dengan yakin, mengharapkan moga apa yang dinyatakan menjadi kenyataan. Abyatina sekadar berserah pada keadaan atas risiko sebuah keputusan. Tidak tahu mampu dan tidak tahu akan menemui kegagalan.

Kisah seterusnya, kisah semakin padat dengan kesibukan Abyatina berulang alik dari rumah ke bandar. Mencari itu dan ini bersama kakaknya Raiqah dan kadangkala turut ditemani Absyar. Persiapan mula diatur bila masa semakin menghampiri. Pening mungkin dirasainya, namun itulah adat bila kesempurnaan cuba dicari.

“Buatlah sekadar yang kita mampu. Sekadar mampu beri makna, tapi tak pula datangkan bazirnya. Berjimat, namun berikan kesempurnaan”

Ustaz Man berpesan penuh makna. Kehidupan bersederhana buatkan pesanan itu mudah difahami Abyatina. Hakikatnya, persiapan yang diatur itu diberikan kebebasan buat Abyatina untuk mengatur langkah. Kelemahannya, Abyatina tak tahu untuk menyusun perjalanan perancangan. Maka banyaklah dirujuk pada orang lain.

“Mengapa orang lain diaturkan sahaja buatnya, dan hanya sekadar cuci kaki dan ikut sahaja perancangan yang dibuat untuknya, tapi Ina dibiarkan sahaja terkontang-kanting tak tahu arah tuju merancangan perancangan majlis?”

Soalan itu terpacul meluahkan keluhan. Absyar menjadi tempat bicara Abyatina. Benar, si abang menjadi tempat manja si adik. Abyatina sangat rapat dengan Absyar, maka luahan itu dibicarakan. Umurnya yang tidak jauh bezanya, maka Absyar dan Abyatina berkongsi banyak rahsia yang kadangkala jarang dikongsikan dengan yang lain.

“Ayah dan tak larat lagi. Mak pula kadang-kadang banyak berehat dari kerja. Tapi kena ingat, Ina ada ramai adik-beradik yang ringan tulang menolong lancarkan majlis nanti,” bicara Absyar.

Bagi Abyatina, sikap lepas tangan ibunya dan Ustaz Man seolah-olah satu penyampaian tersirat nyatakan mungkin perkahwinan Abyatina satu perkara di luar kepentingan.

“Jangan risau. Kami semua kan ada,” tersenyum Raiqah menenangkan kerisauan Abyatina.

Hentian pertama, tiga beradik terhenti di kedai bunga. Bukan bunga hidup yang dicari, namun set bunga buatan dipilih bagi memenuhi keperluan majlis. Abyatina rambang mata, Raiqah jadi penasihat, dan si Absyar jadi pemerhati sekadar menunggu untuk menghulurkan wang.

“Tema apa yang dipilih, warna apa yang dicari?” soal Raiqah.

“Bunga matahari tu sesuai jadi penghias bunga telur nanti,” seloroh Absyar bersahaja.

“Mu ni. Tak pernah dibuat orang bunga telur guna bunga matahari. Dah macam tadika kanak-kanak riang nanti kenduri tu,” Raiqah membalas.

“Hah, eloklah tu. Jadi tema kenduri nanti,” tersenyum membalas Absyar.

Terkenal dalam keluarga, Absyar seorang yang suka mengusik. Senantiasa buatkan keluarga ketawa. Tak banyak bercakap, namun suka mengusik terutama Abyatina. Maka bila pulang sahaja si Absyar, maka tak gering gusi si Abyatina.

“Dari mana nak cari baju sepasang? Nak beli ke? Ada duit ke?”

Bisik Abyatina malam itu. Fikiran melayang mencari solusi bagi persiapan majlis nanti. Baju masih lagi belum tersedia. Difikir dan cuba mencari pertimbangan. Tidak mahu bazirkan wang, namun baju yang dicari masih belum ketemu. Persalinan harus disediakan.

“Kenapa tak ditanya pada Mak Cik?”

Soalan diajukan ibunya pagi esoknya. Sekali ibunya berbicara sahaja, Abyatina temui penyudah masalahnya. Mungkin mengetahui masalahnya, maka sekadar diperhatikan dahulu sebelum diberikan penyelesaian buat si Abyatina. Baju persalinan bagi sebuah perkahwinan, maka Abaytina kini tersenyum.

“Selesai”

Kisah seterusnya Abyatina menelefon Mak Cik. Permohonan peminjaman disuarakan. Penjimatan diharapkan dengan sebuah peminjaman persalinan.

“Bila perkahwinan itu makin dekat, maka celaru pun makin menghampiri. Kalau salah pertimbangan, senantiasa sahaja naik angin”

Bisikan Ustaz Man muncul semula. Pesanan dibuat saat kesibukan mula melanda. Saat sibuk itu, pesanan diberikan tanda peringatan. Berdikari diajarkan buat Abyatina, namun panduan dihulurkan tanda tidak tersesat di pertengahan kesibukan. Abyatina mengerti.

“Baik. Memang Mak Cik nak bagi pinjam kat Ina. Dari terperap saja dalam almari tu, baik Ina gunakan,” Mak Cik membalas dan ganggang diletakkan kemudian. Senyuman sekali lagi si Abyatina.

Kepenatan ditambah dengan kesibukan, maka majlis yang diatur semakin tepat mengikut yang dirancang. Kesemua ahli keluarga, jauh bersama dekat menghulurkan tenaga, membantu menjayakan kenangan terindah yang bakal tercipta buat si Abyatina.

Khemah kanopi telah dipasang. Meja telah disusun. Kerusi telah diatur. Kawah telah tersedia. Kayu api telah tersusun menanti dibakar, pinggan mangkuk, cawan dan gelas, ditambah pula dengan piring-piring kecil, semuanya telah bersedia menanti untuk digunakan.

Orang semakin ramai. Kejiranan kelihatan kemeriahannya. Gotong-royong mula dijalankan. Si lelaki di luar sibuk dengan persiapan dapur memasak, dan si wanita sibuk di dalam menyediakan bahan mentah untuk dimasak. Saat kesibukan itu, debaran semakin kuat dirasai. Si Abyatina sekadar berkurung di bilik sambil tangan dan jari jemarinya sibuk melakukan persiapan terakhir.

“Kepakaran gubahan bungamu sangat mengkagumkan,” bicara Raiqah muncul di bilik adiknya.

Bunga telur ciptaan hasil tangan Abyatina sendiri. Gubahan menarik hasil kreativiti Abyatina, maka akan digunakan untuk majlis perkahwinannya sendiri. Saat itu penanya berehat seketika. Tiada luahan, pendaman yang dirasai. Debaran menenggelamkan kenormalan. Hampir kebanyakan persiapan awal dilakukannya sendiri, dan untuk persiapan terakhir, orang kampung menghulurkan tenaga pula.

“Kamu punyai nilai berdikari yang tinggi,” pujian diberikan Absyar tiba-tiba muncul sebaik Raiqah masuk ke bilik Abyatina.

“Dan bila pula cadar katil itu nak digantikan dengan kesesuaian majlis kahwin?” soal Raiqah.

Senyuman diberikan tanda tak terduga. Mungkin lupa, atau mungkin kesuntukan masa. Akhirnya Absyar dan Raiqah membantu si Abyatina, menolong mana yang mampu, mana yang patut. Sambil tangan ligat bekerja mungubah bunga untuk persembahan hari perkahwinan, ketukan pintu mengejutkan semua.

“Mawaddah datang, ada di bawah,” kejutan dari ibu mereka nyatakan kemunculan seorang wanita.

Kehairanan, namun tanpa berbicara, Abyatina bingkas bangun. Pertemuan bersama Mawaddah satu kunjungan tanpa dijangka. Kedatangan bersama suaminya, maka bakal adik ipar Abyatina ini muncul membawa khabar dan bertanya khabar.

“Khabar dari abang Rizqullah dan bertanya khabar buat kak Ina”

Mawaddah tak banyak berbicara, namun cuba memesrakan diri. Adik manja si Rizqullah baru sahaja berstatus seorang isteri, dan kini bakal menyambut kakak ipar yang baru.

“Dari abang Rizqullah buat kak Ina,” bicara Mawaddah dan tangan menghulurkan sepucuk surat kecil berwarna putih.

“Insyaallah, terima kasih. Kunjungan Mawaddah akak hargai”

Persiapan berterusan dengan kemunculan Mawaddah. Suaminya pulang namun Mawaddah ditinggalkan. Mawaddah bermalam bersama Abyatina sambil redakan keresahan bakal isteri abangnya.

“Moga Allah berkati kamu, dan moga Allah kurniakan bahagia dalam hati kamu. Moga selamat perjalanan kamu untuk masa depan, moga kamu tabah mengharungi kesusahan”

Kertas putih dari sampul berwarna putih. Tinta hitam dengan baris ayat teringkas. Sebuah pesanan disampaikan kepada Abyatina.

“Terima kasih Rizqullah. Insyaallah,” bisik Abyatina melelapkan mata. Mawaddah lena tidur di sebelahnya.

Debaran menanti esok bermula dengan pelbagai persoalan dan ketidakpastian. Lelap mata tak dirasai, letih kerja bagai tiada. Maka, bicara terbesar bakal tercatat. Sebuah kisah masa depan Abyatina.


*Tamat sudah Bicara Lapan*

Menyambung kisah di lain bicara...

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.

Jumaat, 20 Mei 2011

Nur Kasih The Movie- Menyelusuri sebuah kisah panjang Nur, Adam, dan Aidil



"Mak tak nak anak-anak mak hidup tanpa keberkatan. Mak nak anak-anak bahagia sampai akhirat. Itu tugas mak"

Bait kata diungkapkan ibu Adam diluahkan kepada Adam. Kekuatan ibunya, sanggup pastikan sepanjang masa anak-anaknya bahagia sampai ke akhirat. Kasih ibu, menyinari kasih anak-anaknya.

Mungkin bait itu yang paling saya ingati setelah menonton filem Nur Kasih The Movie. Ungkapan diluahkan ibu Adam lakonan Liza Othman sangat berkesan. Dalam nada agak sebak, cuba menenangkan Adam yang ditimpa dugaan, ketabahan berhadapan dengan pelbagai dugaan ditonjolkan ibunya.

Permulaan cerita ditampilkan dengan sebuah persoalan yang buatkan semua tertanya-tanya:
"Apa yang terjadi dengan letupan itu?"

Kisah kemudian dimulakan dengan perjalanan Nur dan Adam setelah enam tahun berlalu selepas episod akhir drama Nur Kasih dulu. Satu demi satu kisah lama dirungkaikan. Kenangan ayah Adam, kenangan zaman muda Adam, kisah kesepian ibu Adam tanpa suami di sisi, dan diikuti konflik dalaman yang dilalui Aidil.

Kehilangan Aliya, isteri Aidil beri keserabutan dalam jiwa Aidil. Diibaratkan layang-layang keputusan tali (kebetulan punca kematian Aliya disebabkan dilanggar kereta sewaktu mengambil layang-layang anaknya), Aidil seperti jadi separuh gila yakni senantiasa bermurung dan bersedih. Babak Aidil membaca Yaasin di masjid dalam keadaan tersangkut-sangkut dan kemudian Adam muncul membantu Aidil membaca dengan tenang punyai siginifikannya. Jika dulu dalam drama Nur Kasih, Aidil membantu Adam membaca Yaasin untuk ayah mereka di kubur, kini kontras berlaku apabila Adam pula yang membantu Aidil membaca Yaasin. Mesejnya, dalam keluarga, abang dan adik pasti akan saling bantu membantu bagi menghadapi kesusahan.

Plot seterusnya difokuskan pada sebuah pusat pemulihan remaja yang disertai Nur dan Adam. Di situ, Adam dilihat mengajar anak-anak remaja yang ingin mencari jalan yang sebenar mengenal Islam yang sebenar. Persoalan mengorbankan benda yang disayangi untuk mendapat keredhaan Allah dibangkitkan. Seorang remaja lelaki dalam kumpulan perbincangan tersebut mempersoalkan kewajarannya:

"Bro, kalau aku bagi benda yang sayang sikit je macam mana?"

Adam membalas tersenyum:  "Balasan yang akan dapat juga akan setimpal dengan apa yang kita bagi"

Kesedihan Aidil sedikit terubat apabila berita gembira dikhabarkan kepadanya. Adik iparnya, Nur Amina disahkan mengandung, dan berita itulah telah mengukir senyuman Aidil. Kegembiraan dirasai namun dirasakan hanya sebentar. Nur keguguran tidak lama kemudian. Kesedihan dirasai Adam dan Nur. Aidil memainkan peranan pula untuk memulihkan semangat Adam yang kelihatan seperti tidak redha dengan takdir yang dilalui. Pesan Aidil buat Adam:

"Kenapa bila kita ditimpa kesusahan, kita nak jauhkan diri dari Allah?"

Maka kisah seterusnya menyaksikan Adam dan Nur menunaikan umrah. Selesai urusan ibadah itu, mereka berkunjung ke bumi Jordan melawat tempat-tempat bersejarah Islam. Maka persoalan letupan pada awal penceritaan filem ini terjawab. Nur dan Adam terlibat dalam kemalangan kereta api di sana. Saat itu Adam menjumpai Nur terbujur kaku di padang pasir. Sangkaan Adam, mungkin Nur mati. Dia kemudian berdoa dengan lafaz:

"Kau ambillah apa sahaja, tapi jangan Nur" (ni ayat yang power juga)

Kembali di hotel setelah mengalami kemalangan, Adam menyedari cincin kahwin Nur telah hilang. Pencarian cincin Nur dilakukan Adam dan tanpa sedar sewaktu pencarian, Adam diserang sakit jantung dan kemalangan. Pencarian Nur terhadap Adam bermula pula dengan dibantu Aidil yang tiba-tiba muncul di Jordan. Saat pencarian itu juga, seorang wanita Arab Badwi memberitahu Aidil bahawa Nur telah mengandung. Akhirnya Adam dijumpai bersama keluarga Arab dan dalam keadaan sangat parah.

Di Kuala Lumpur, Adam disahkan mempunyai masalah jantung kesan letupan yang berlaku di Mumbai tujuh tahun lalu (tengok drama Nur Kasih baru boleh faham). Akibatnya, Adam punyai harapan tipis untuk hidup. Nur berhempas pulas mendapatkan rawatan buat Adam. Belanja tinggi perubatan buatkan Nur sedikit tertekan mencari sumber kewangan. Namun, sesukar mana pun hidup, Nur masih berpegang pada kekuatan agama. Maka dengan berani dia menolak projek membina kelab malam yang ditawarkan firma arkitek diketuai oleh seorang lelaki koporat lakonan Jehan Miskin.

Nur dan Adam pulang ke kampung dan menetap di sana. Adam telah bersedia untuk menemui ketentuan menghadapi kematian. Dia ingin menghabiskan kesempatan yang ada sebaik mungkin. Saat inilah kita dapat melihat emosi yang cukup kuat. Babak Adam dan ibunya berbual di ruang tamu sangat merentap emosi. Terlalu menyentuh perasaan ditambah pula dengan latar muzik yang tepat, maka tergambarlah betapa tingginya kasih ibu buat anaknya.

Adam dan Nur berbual di atas katil sambil Adam menulis nota pada buku kecil. Saat itulah dada Adam tiba-tiba terlalu sakit dan menyebabkan Nur menjadi panik dan dia juga pada masa yang sama telah sarat mengandung.

Di suatu tempat di dalam terowong pejalan kaki, Aidil dibelasah seorang remaja lelaki yang berdendam dengannya  dek dikatakan mengganggu teman wanitanya (remaja perempuan ini selalu menghadiri kelas agama yang dikendalikan Aidil di pusat pemulihan remaja). Itulah babak "Mukhsin" menyebut 'anjing' kepada Aidil dan kemudian membelasahnya.

Adam dibawa ke hospital. Aidil dibelasah dengan teruk. Nur pula sarat mengandung. Apakah penyudahnya? Siapakah yang meninggal? Siapa yang didoakan di kubur itu? Persoalan saya tinggalkan untuk kalian menonton sendiri di pawagam. Yang pasti penyudahnya sangat memuaskan hati semua.

Secara keseluruhannya selepas menonton filem ini, saya simpulkan memang berbaloi untuk ditonton. Mainan emosi yang cukup baik dihasilkan Kabir Bhatia. Kepuasan memang dapat saya rasai.

Seperti yang pernah saya nyatakan dalam bicara sebelum ini, Kabir gemar bermain dengan warna dalam sinematografinya. Ya, untuk filem Nur Kasih The Movie, sekali lagi warna menjadi permainan utama dalam menampilkan dan menonjolkan lagi emosi pelakonnya.

Warna tudung Nur menjadi perhatian saya. Bagi saya, kepelbagaian warna tudung yang dipakai Nur sepanjang perjalanan cerita ini menunjukkan kepelbagaian emosi Nur. Sewaktu bersama Adam melukis di tali air, Nur bertudung ungu, menunjukkan emosi yang bahagia dan tenang. Situasi ini berbeza sewaktu Nur menemani Adam yang telah sakit melukis di belakang rumah di kampung. Tudung biru dengan awning hitam melambangkan kebahagiaan yang bercampur dengan perasaan duka. Tudung yang dipakai Nur sewaktu melancong bersama Adam di Jordan pula ditampilkan putih, melambangkan hati yang sebelum ini celaru telah disucikan selepas mengerjakan umrah. Begitu juga sewaktu Nur bersama polis mencari Adam di Jordan. Tudung dipakainya berwarna hitam, melambangkan kecelaruan dan kesedihan yang dihadapinya.

Saya juga tertarik dengan warna baju yang ditampilkan dalam filem ini. Babak ibu Adam terkenang kembali arwah suaminya sambil melihat album gambar, baju yang dipakainya berwarna hitam melambangkan kesunyian dan kesedihan. Begitu juga baju Nur yang berwarna hitam sewaktu meluahkan rasa rindunya pada Aliya, melambangkan juga keperitan hati merindui orang yang tiada.

Sinemetografi filem ini juga bijak memilih ton warna bagi menambahkan lagi emosi. Jika dilihat dengan teliti sewaktu Nur dan Adam gembira dengan berita kedatangan orang baru, babak gembira ini dipaparkan di rumah mereka. Latar dinding berwarna putih menguasi babak tersebut menyebabkan babak tersebut secara tak langsung nampak cerah. Maka di sinilah secara simbolnya kecerahan itu bermaksud kegembiraan.

Cuba lihat pula sewaktu Nur keguguran dan kemudian pulang ke kampung. Dinding rumah kampung yang gelap menyebabkan babak perbualan Aidil dan Adam tersebut kelihatan malap. Malap yang dipaparkan ini melambangkan kesuraman. Begitu juga dengan babak Aidil menangis berseorangan dibilik mengenangkan Aliya. Warna gelap menguasai babak itu seterusnya menampilan kesdihan yang ingin ditampilkan.

Filem ini juga menampilkan kesatuan alam dan manusia dalam membentuk sebuah emosi. Alam sekeliling juga digunakan sepenuhnya oleh Kabir Bhatia untuk menambahkan lagi emosi dalam setiap babak. Cuba lihat babak Nur berkata pada Aidil meluahkan rasa rindu pada Aliya, perhatikan latar belakang babak tersebut. Sawah padi yang baru dituai dan kini kosong dengan hanya kelihatan tanah yang tandus. Latar belakang ini tanpa sedar selari dengan emosi yang dirasai Nur dan Aidil yang merindui dalam kesedihan. Tandus seolah-olah kehilangan sesuatu yang sebati dengan mereka. Itulah juga rindu tanah akan padi yang sebati dengannya.

Lihat juga babak sewaktu Nur keguguran. Babak Nur di hospital menampilkan hujan sebagai latar alamnya. Hujan ini melambangkan kesedihan dan kesugulan. Itulan emosi yang dirasai Nur dan Adam ketika itu. Begitu juga titisan air hujan yang menitis akibat atap yang bocor, dan menitis ke dalam mangkuk sewaktu berada di kampung, melambangkan titisan air mata yang dirasai Nur ketika itu. Bunyi titisan air itu saja cukup untuk melambangkan kesugulan yang dihadapi.

Lihat pula babak Nur sewaktu berada di balkoni hotel di Jordan. Latar alamnya menunjukkan ribut pasir sedang membadai kawasan padang pasir. Dengan latar belakang awan hitam, situasi alam ini melambangkan gelora kerisauan Nur memikirkan Adam yang telah hilang.

Perhatikan pula babak Nur dan Adam melukis lukisan di tali air. Sawah padi yang menguning ditambah pula dengan awan yang membiru, menunjukkan keceriaan dan kegembiraan yang sedang dilalui Nur dan Adam.

Babak Nur dan Adam di Jordan menyaksikan keindahan bentangan padang pasir melambangkan emosi kekaguman dan kekerdilan manusia terhadap ciptaan Ilahi. Padang pasir yang luas menjadi latar utama dalam babak ini, melambangkan kebesaran Allah dan kekerdilan manusia.

Perhatikan pula babak Nur memberitahu dirinya mengandung kepada Adam yang sedang memandu. Lihat latar belakangnya menggunakan sawah padi. Mengapa bukan kawasan lain? Sawah padi itu lambang ketenangan dan kegembiraan. Maka tepat benarlah pemilihan latar alam ini selari dengan berita gembira yang ingin disampaikan Nur.

Filem ini juga banyak memaparkan babak jendela dalam kebanyakan babak-babak yang dipaparkan. Menerusi babak jendela itu, kita dapat menyelusuri perasaan watak Nur, Adam, dan Aidil. Saat gembira Adam mengetahui isterinya mengandung dipaparkan menerusi jendela rumah, apabila dilihat Aidil memeluk Adam sambil mengucapkan tahniah. Begitu juga babak sedih Nur di kampung sebaik keguguran, juga dipaparkan menerusi jendela. Babak Adam dan Nur di rumahnya bahagia menanti kelahiran anaknya, juga dipaparkan menerusi jendela. Tak lupa juga, babak menyentuh hati perbualan antara Adam dan ibunya di ruang tamu, juga dipaparkan melalui jendela rumah.

Mengapa terlalu banyak babak sebegitu? Mengapa jendela? Apakah maksud tersirat dengan penggunaan jendela itu? Pada saya, jendela itu diibaratkan sebagai sebuah paparan perasaan yang tersembunyi yang dipendam bagi semua watak. Mereka gembira, tapi gembira itu masih terpendam. Perasaan gembira mereka hanya dapat dilihat di sebalik jendela, dan itu menunjukkan perasaan yang terpendam. Jendela itu seolah-olah mengepung setiap perasaan watak, baik gembira atau sedih. Kabir Bhatia cuba menyatakan bahawa perasaan yang dialami watak-watak tak diketahui oleh orang di luar sana. Dan sebagai penonton (orang luar), kita diberi peluang untuk mendalami perasaan mereka apabila jendela itu dibuka. Selaman perasaan terpendam pada watak inilah yang buatkan kita lebih tersentuh dengan emosi.

Perwatakan bagi setiap watak dalam Nur kasih The Movie ternyata menunjukkan perubahan. Setelah enam tahu berlalu, watak Nur dilihat lebih matang. Jika sebelum ini Nur mudah untuk menangis, mudah untuk mengadu sesuatu, malah mudah juga untuk melenting, ditambah pula dengan sifat keanak-anakannya, bagi watak dalam filem ini, semua perwatakan tersebut telah dikurangkan atau telah hilang. Nur dilihat sangat matang, tenang dan bijak menghadapi situasi. Lihat saja sewaktu babak Nur di sawah bendang bermain-main dengan anak-anak Aidil. Perwatakan seorang ibu dapat dilihat dengan jelas. Namun, sifat kedegilan itu masih ada, dan ini dapat dilihat sewaktu Nur mencari Adam di Jordan. Nur tetap berkeras mencari Adam walaupun Aidil menasihatinya agar Nur tidak mengikutnya mencari Adam.

Watak Adam juga dilihat sangat berbeza dan sangat matang. Adam dilihat lebih kukuh fahaman agamanya sehingga dia boleh pula untuk membimbing remaja yang hanyut. Adam juga dilihat tidak lagi panas baran, malah tidak ada satu babak pun yang memaparkan Adam sebagai seorang yang panas baran. Adam juga dilihat sebagai seorang yang sangat bertanggungjawab dan ini dibuktikan menerusi babak Adam mencari cincin Nur di Jordan. Kesungguhannya mencari cincin yang sangat mustahil untuk dicari itu membuktikan Adam sangat menyayangi Nur. Namun saya paling tertarik adalah sewaktu babak Adam sakit. Saya dapat melihat dengan jelas watak ini menyamai watak ustaz Hassan yang sakit dahulu. Nada suara Adam yang sakit hampir sama dengan nada suara ustaz Hassan sewaktu sakit. (kalau tengok drama Nur Kasih baru boleh faham)

Tiz Zaqyah telah berjaya membawa wataknya dengan baik. Rasa sedih yang ditonjolkannya dalam filem ini sangat berkesan. Nampak real, dan tak dibuat-buat. Begitu juga Fizz Fairuz, kagum juga saya apabila berjaya membawa watak sedih seorang suami yang merindui isterinya. Lihat perbezaan wajahnya sewaktu menyimpan pakaian ke dalam almari. Apabila imbas kembali terhadap arwah isterinya terjadi, kita dibawa kepada suasana isteri Aidil yang bermain-main dengan anak-anaknya. Wajah Aidil ternyata sangat berbeza. Wajah gembiranya kelihatan bercahaya. Apabila dia tersedar kembali dari imbas kembali itu, kita kembali melihat wajah sedihnya. Kesugulan dan dipenuhi dengan malap kesedihan. Ternyata Fizz berjaya membawa wataknya apabila berjaya membezakan wajah mukanya yang sedih dan gembira.

Saya juga kagum dengan watak kanak-kanak bernama Ilyias, anak kepada Aidil. Ternyata kanak-kanak ini berjaya menunjukkan kesepian dan kesunyian dirasainya terhadap umminya. Walaupun sikit babaknya, ekspresi muka Ilyias sangat berkesan dan membuatkan penonton tersentuh. Babak paling tersentuh sewaktu Ilyias bertanya pada Aidil mengenai nak tidur dengan siapa, ternyata menyentuh hati saya. Saya dapat rasakan seorang anak kecil yang sedih cuba bermanja dengan ayahnya yang turut sedih.

Watak Mariam lakonan pelakon cilik Mia Sara pasti menarik perhatian. Keletahnya buatkan semua terhibur dan tersenyum. Mariam tidak memahami akan kehilangan umminya. Maka tak hairanlah apabila perbualan antara Adam dan Mariam ini terjadi:

"Pak Su sakit sikit ke sakit banyak?" soal Mariam.

"Sakit sikit" balas Adam.

"Owh. Kalau sakit banyak, nanti boleh meninggal macam ummi"

Tergelak dibuatnya dengan dialog tersebut. Namun cukup bermakna menunjukkan anak kecil yang tak memahami sebuah kehilangan  dalam hidupnya.

Jangan lupa juga watak ibu Adam lakonan Liza Othman. Wataknya cukup berjaya dibawa terutama babak perbualan Adam dan dirinya di ruang tamu itu. Sangat menyentuh hati saya dengan rasa hiba dan terharu. Liza Othman berjaya menyentap emosi dengan kata-kata paling bermakna yang telah saya nyatakan di permulaan tulisan ini.

Ketelitian terhadap perincian dalam filem ini sangat mengkagumkan saya. Setiap babak punya signifikan tersendiri. Jika dilihat dari trailer yang dipaparkan, sebenarnya kesemua babak itu adalah point atau titik bagi perjalanan cerita itu yang bila disambung setiap titik itu, barulah kita akan faham jalan ceritanya. Babak letupan besar, babak Nur memberitahu Adam bahawa dirinya hamil, babak kanak-kanak Arab bermain bola sepak di padang pasir, babak Aidil dibelasah samseng, babak di kubur, semuanya penting dalam perjalanan cerita ini.

Filem ini membawa tema kekuasaan Allah mengatasi segalanya. Jika menerusi drama dulu, temanya mengenai pengorbanan cinta sesama manusia, kini tema filemnya skopnya jauh lebih luas. Pengorbanan cinta seorang manusia terhadap Allah, maka itulah tema yang diangkat. Pengorbanan yang dibuat akan berikan satu pulangan yang dikurniakan Allah. Sejauh mana kita mencintai seseorang, Allah jualah punyai hak untuk menarik kembali.

Babak yang paling terkesan buat saya terdapat dua babak. Satu pastinya babak Adam yang sakit berbual dengan ibunya di ruang tamu, dan satu lagi babak Adam menyerahkan kembali cincin kepada Nur di Jordan. Sangat menyentuh hati. Tahniah buat pengarah muzik filem ini iaitu Hafiz Hamidun yang berjaya meletakkan muzik latar kena pada waktunya. Banyangkan, setiap kali terdengarnya muzik latar seperti lagu Nur Kasih, lagu Bertemu Cinta, dapat dirasakan satu lonjakan emosi dalam diri saya. Muzik yang dimainkan berjaya menyentap emosi penonton.

Pesanan saya buat yang ingin menonton, sila ambil perhatian pada beberapa perkara dalam filem ini. Pertama suara latar yang mengikuti cerita itu yang dialunkan oleh Datuk Rahim Razali dengan permulaan bicaranya berbunyi:

"Masa semakin singkat. Masih banyak yang belum diceritakan"

Kedua, lihat pada babak tangan seorang wanita yang menyentuh padi yang menguning. Ketiga perhatikan buku nota yang dapat dilihat di permulaan filem ini. Keempat, perhatikan juga bola yang dipaparkan sewaktu babak di Jordan. Kelima lihat pula mangkuk yang berisi air dengan titisan air hujan yang berterusan mengisi mangkuk tersebut di rumah ibu Adam. Keenam, perhatikan pula babak seorang remaja lelaki yang menyoal satu soalan berkaitan dengan korbankan benda yang sayang untuk Allah sewaktu sesi perbincangan dengan Adam. Ketujuh perhatikan pula tiga lukisan yang dilukis oleh Adam. Kelapan, perhatikan pula layang-layang yang dilihat Aidil dan Ilyias di halaman rumahnya. Kesembilan, lihat pula pada jam yang dipakai Adam. Kesepuluh, lihat pada permulaan cerita yang menunjukkan gerhana matahari seterusnya membentuk tajuk "Nur Kasih" itu.

Sepuluh perkara saya mahu kalian yang tak menonton lagi untuk melihatnya. Setiap perkara itu adalah simbol bagi suatu perkara yang penting dalam cerita ini. Carilah maksud disebalik perkara yang saya nyatakan itu.

Namun, tiga perkara yang awal iaitu naratif Datuk Rahim Razali, buku nota kecil, dan sentuhan tangan wanita pada padi yang menguning adalah pokok kepada perjalanan cerita ini. Kalau tak percaya tontonlah sendiri.

Di akhir filem ini barulah saya faham maksud Nur Kasih itu. Saya dapat melihat kasih sayang mereka senantiasa dipenuhi dengan dugaan, dan dugaan itulah yang melayakkan mereka menerima nur atau cahaya dalam kasih sayang mereka. Nur itulah yang mengikat cinta dan sayang mereka itu. Apa yang pasti, penyudah filem ini mengejutkan semua dan tak disangka-sangka namun akan memuaskan semua penonton. Percayalah cakap saya ni...

Filem ini sesuai dijadikan bahan kajian kerana mempunyai banyak perkara yang punyai maksud tersirat. Pengarah filem lain sepatutnya mencontohi Kabir Bhatia dalam penghasilan filem ini. Barulah filem Melayu punyai tarikan yang kuat untuk penonton datang ke pawagam.

Ya, filem ini berbaloi untuk ditonton dan sangat memuaskan hati. Ya, saya yakin, kutipan filem ini juga pasti agak tinggi. Maka, buat mereka yang tak tonton lagi, saksikanlah di pawagam berhampiran. Kalian pasti berpuas hati. Insyaallah, saya jamin.

Lima bintang saya berikan buat filem Nur Kasih The Movie disebabkan nilai tersirat yang cukup banyak dalam filem ini.


p/s: Babak di kubur itu paling suspen. Siapa yang mati? Itu yang akan muncul di fikiran...

* maaf sebab panjang review filem Nur Kasih The Movie ni....
** ada yang kata movie ni 'kurang' sikit dari dramanya. Tu pendapat dioranglah. Maybe tak tonton betul-betul movie ni atau tak pernah ikut 100% drama bersiri dulu. Bagi saya, movie ni ok dan menarik.























Khamis, 19 Mei 2011

Nur Kasih The Movie- Fenomena bakal tercetus




Terus terang saya nyatakan, saya adalah peminat tegar drama bersiri Nur Kasih. Tak pernah tertinggal hatta satu episod pun di televisyen drama Nur Kasih ini. Masih lagi segar di ingatan, fenomena demam Nur Kasih berlaku pada waktu itu. Walau di mana saja berada, baik dalam majlis kenduri sampailah di masjid, semua memperkatakan dan bicarakan drama ini. Ustaz-ustaz pun cuba ambil contoh drama ini sebagai satu contoh drama yang membina masyarakat.

Masih ingat di ingatan, mak sampai menitis air mata tonton episod akhir drama ini. Memang diakui, sangat menyentuh jiwa. Muzik latar, ditambah pula dengan sinematografi yang sangat mengkagumkan, maka saya simpulkan drama Nur Kasih adalah drama yang paling mantap pernah dihasilkan di Malaysia. Inilah satu-satunya drama yang punyai dialog yang ringkas tapi bermakna. Tak banyak berkata-kata, tapi kita senang dan selesa mengikuti jalan cerita.

Pulang sahaja di kampung, masing-masing sembang mengenai Nur Kasih. Bersemangat bercerita terutama semua mak saudara saya. Tak pernah saya lalui situasi yang menyaksikan sebuah drama menjadi tajuk perbualan utama sehingga dibicarakan dengan serius.

Penutup drama tersebut, gembira diperoleh. Saya puas menonton, dan penyudah drama tersebut sangat menyenangkan. Tahap kepuasan menonton sangat tinggi, dan saya rasakan tak sia-sia menjadi penonton setia sepanjang 26 episod. (Sesetengah drama bersiri, endingnya buat kita rasa macam sia-sia saja tonton episod-episod sebelum ini).

Itu kisah dua tahun yang lalu. Fenomena Nur Kasih telah berlalu, namun masih terus diperkatakan hingga kini. Ya, dek gilakan Nur Kasih, saya sanggup habiskan wang beli DVD lengkap Nur Kasih.

Nur Kasih kini muncul semula mengubati rindu dua tahun berpisah. Kini muncul dengan versi filem dengan judul Nur Kasih The Movie. Ramai yang memperkatakan filem ini bakal mencetuskan fenomena yang sama seperti dramanya. Ya, harus diakui itu bakal berlaku.

Tayangan video klip lagu tema Nur Kasih nyanyian Yassin dan Tizz Zakiah sekitar pertengahan Februari di YouTube ternyata telah mencetuskan gelombang permulaan keterujaan penonton. Begitu juga dengan trailer Nur Kasih The Movie yang turut dipaparkan di YouTube, telah membuatkan ramai tertanya-tanya dan tak sabar untuk mengikuti jalan cerita filem ini.

"Apakah yang berlaku? Siapa yang mati? Siapa yang kemalangan? Siapa yang hilang? Apa yang meletup? Apa yang sedih?"

Itu persoalan yang muncul sebaik melihat trailer Nur Kasih The Movie.

Belum lagi dilihat dari sudut sinematografinya yang sangat mengkagumkan. Buatkan saya teringat kembali keindahan menonton filem Ayat-ayat Cinta (satu-satunya filem Indonesia yang pernah saya tonton) suatu masa dahulu. Khabir Bhatia ternyata mampu menarik penonton untuk ke pawagam dengan persembahan filem yang sangat mengasyikkan.

Berdasarkan pengalaman saya menonton filem-filem arahan Khabir Bhatia, pengarah ini gemar bermain dengan warna dalam setiap scene yang dipaparkan. Setiap warna dalam babak yang ditayangkan punyai maksud tersendiri yang mewakili emosi dan perasaan dalam cerita itu. Benar, jika kita bijak bermain dengan warna, kita tanpa sedar boleh bermain dengan emosi.

Lihat sahaja klip video Nur Kasih The Movie. Simple dengan hanya baju berwarna putih berlatar belakangkan sawah padi, menunjukkan betapa kita ini kerdil dan lemah di sisi Allah yang menciptakan alam ini. Putih itu menunjukkan kesucian, dan warna hijau itu adalah alam. Lihat betul-betul, bila Tizz Zakiah berdiri di tengah-tengah sawah berbaju putih, kita boleh nampak betapa kecilnya manusia dalam alam ini. Mengapa boleh kita nampak? Putih itu berkontra dengan hijau. (Cuba Tizz pakai baju biru atau warna-warna lain, masih nampak samakah kekerdilan manusia berbanding alam? Mungkin tenggelam dengan kehijauan alam)

Jika dilihat dalam drama Nur Kasih, Nur Amina lakonan Tizz Zakiah memakai tudung hitam sewaktu di Madinah. Mengapa hitam dipilih? Kerana warna itu melambangkan kesedihan dan kecelaruan yang dialami Nur Amina pada waktu itu. Berada di bumi asing dan keluarganya tidak tahu, dan pada masa yang sama meninggalkan suaminya, Adam. Maka kecelaruan pasti dirasai walaupun berada di bumi anbia.

Itu belum masuk dengan lagu latar yang mengikuti perjalanan cerita. Ketelitian dalam meletakkan lagu latar sangat mengkagumkan saya. Lihat sahaja filem Cinta dan filem Sepi. Dek lagulah, emosi berjaya direntap ketika menonton filem Khabir Bhatia. Meremang bulu roma bila mendengar lagu latar. Elemen lagu, sinematografi diikuti dengan lakonan mantap pelakon-pelakonnya,dengan jalan cerita yang berbeza (mampu buatkan penonton tak dapat nak agak perjalanan cerita) maka itulah ramuan Khabir Bhatia dalam setiap filemnya.

Saya yakin, judul Nur Kasih yang dipilih juga pasti punyai maksud tersirat. Khabarnya dalam filem Nur Kasih The Movie ini, penonton akan faham apa itu erti sebenar 'Nur Kasih'.

Khabarnya, skrip bagi filem ini hasil nukilan Mira Mustaffa (isteri Khabir Bhatia), individu yang sama menulis skrip drama bersiri Nur Kasih, dihasilkan dalam tempoh enam bulan. Pasti ketelitian diberikan penekanan dalam pembinaan cerita.

Saya difahamkan Nur Kasih The Movie memang berbaloi untuk ditonton berdasarkan komen-komen yang diberikan beberapa wartawan yang menonton tayangan pra-tonton Nur Kasih The Movie baru-baru ini. Seorang rakan saya yang bertuah dapat menyaksikan tayangan tersebut berpesan kepada saya:

"Sediakan tisu sebelum menonton. Mainan emosi yang cukup mantap ketika menonton Nur Kasih The Movie"

Insyaallah, saya diberi kesempatan untuk menonton hari ini. Insyaallah, khabarnya satu famili saya akan berkunjung ke pawagam hari ini (tak pernah berlaku sebelum ini). Insyaallah, saya yakin pasti kepuasan akan dapat dirasai nanti. Apa yang pasti, Nur Kasih The Movie dinanti ramai orang. Apa yang pasti, Nur Kasih mampu mendapat kutipan mengatasi kos pembikinannya yang berjumlah RM2.8 juta (termasuk kos promosi). Inilah karya yang mampu diangkat sebagai kebanggaan rakyat Malaysia.

Apakah yang akan berlaku pada cinta Adam, Aidil, dan Nur Amina setelah enam tahun berlalu?

Sama-samalah menyelusuri sambungan kisah dalam Nur Kasih The Movie bermula 19 Mei ini di 70 pawagam di seluruh Malaysia.

*Insyaallah, bicara akan diberikan dalam blog ini sebaik sahaja saya menonton filem Nur Kasih The Movie


p/s: tak begitu minat dengan drama dan filem Melayu. tapi untuk Nur Kasih kali ini, terpaksa dikecualikan...













Sabtu, 14 Mei 2011

"Adina (Bicara Tujuh)"



“Pilihan kadang-kadang mengelirukan dalam situasi yang menjemput sebuah kepantasan. Hidup dengan cabaran disulami dengan kesabaran, maka keputusan perlu berpijak pada kematangan dalam kewarasan. Pengorbanan bila tercipta, maka manisnya akan dinikmati selamanya. Penghargaan bagi sebuah pengorbanan, maka bahagia diberikan”

Helaian demi helaian semakin pantas pena menjadi medan luahan Abyatina. Kertas ibarat sahabat menjadi teman si Abyatina. Seolah-olah mendengar bicaranya, maka setiap masa dihabiskan ruang waktu untuk bicara tulisan.

Mengenangkan kisah perjalanan seterusnya, kesamaran mula dirasai Abyatina. Cita-cita yang menjadi impian, kini masih diidamkan, namun dirasakan mula menjauhi. Teragak-agak dengan apa yang ingin dipilih pada permulaan, dan kini pilihan telah dibuat.

“Mengapa kamu bertunang jika cita-cita kamu nak gapai?”

Bicara soalan kakaknya, Raiqah menjelma pada malam pengumuman Abyatina tentang pilihannya. Rizqullah yang disebut memang mengejutkan semua, namun pilihan untuk bertunang itu lebih mengejutkan Raiqah.

“Jika diberi pilihan antara cita-cita dan hati seorang ibu dan ayah, maka pilihan kedua itu yang akan Ina pilih”

“Kerana kamu sempurna didikan, pilihan kamu moga diberkati,” bicara Raiqah.

Status dimiliki Abyatina, menjadi tunang buat si jejaka jauh berada di Sabah, maka kisahnya berlaku pendedahan rahsia demi rahsia. Kisah yang selama ini tak didengar, mula dibuka satu demi satu. Gadis ayu Ustaz Man yang memang selama ini menjadi perhatian penduduk kampung kini sekali lagi menangkap perhatian semua. Kisah bila bergelar tunang, kadangkala memeningkan Abyatina.

“Benarkah Abyatina bertunang dengan orang luar?”

“Apa betul Abyatina bergaduh dengan Yaqzan?”

“Ustaz Khumaini dan Ustaz Man sahabat yang menjadi seteru?”

“Aku kecewa, sebab dah lama aku simpan hati aku kat dia. Memang dari dulu aku minat kat dia...”

“Menyesalnya aku. Kalaulah aku cepat meminang, mungkin aku yang jadi tunangnya”

“Mak Cik Jah khabarnya dapat saham untung sebab berjaya satukan Abyatina dengan tunangnya. Khabarnya ayah si bakal tunang Abyatina tu dah hadiahkan sebidang tanah di sana”

“Dengarnya Yaqzan nak pindah dari kampung ni. Khabarnya nak bertukar tempat mengajar”

“Apa yang terselindung sebenarnya? Kenapa Abyatina tak memilih Yaqzan? Kenapa lelaki luar yang dipilihnya? Banyak benda yang orang kampung ni tak faham”

“Kalau cantik, tapi hati orang dipermainkan macam alat mainan, bila dah puas main terus saja campak, apa elok lagikah cantiknya tu? Kesian si Yaqzan tu”

“Khabarnya Abyatina mengandung. Sebab tu Ustaz Man kelam kabut minta Abyatina berkahwin....”

“Mungkin mereka semua berpakat nak tutup kisah sebenar...”

Mulut orang , dari satu kisah ke kisah yang lain. Kisah yang asal akhirnya dicantikkan dengan penambahan dan kesudahannya membentuk kisah fitnah. Abyatina menjadi sasaran cemuhan penduduk kampung. Tidak tahu di mana salahnya, setiap yang diputuskannya langsung tidak diberi sokongan. Harga yang perlu dibayar, tebalkan muka pekakkan telinga sambil tekadkan hati dengan pilihan yang telah dibuat.

“Kamu semua tak tahu kisah mengapa dan kenapa pilihan ini yang aku buat. Jangan tentukan hidup aku dengan menyatakan Yaqzan adalah untuk aku, kerana adalah hak aku untuk tentukan siapa yang aku inginkan. Maka Rizqullah, itu noktah dan tiada perubahan,” bicara Abyatina yang diluahkan di atas sekeping kertas.

Saat bergelar tunangan orang, maka beberapa luahan bicara dari beberapa lelaki di kampung didengari keluarga Abyatina. Ibunya, maka di situlah pelbagai luahan diceritakan. Barulah Abyatina sedar, rupa-rupanya selama ini terlalu ramai yang menyimpan perasaan terhadapnya. Tidak menduga dan tidak menjangka, selama ini Abyatina merasakan tiada siapa yang sudi menyukainya.

“Mustahil jika tak ada orang yang minat dia, Mak Cik Ros,” bicara Malik penjual ikan yang menjadi pembekal setia ikan buat keluarga Ustaz Man.

“Kerana kecantikan kadang kala menyembunyikan sebuah perasaan. Ditenggelamkan keberanian sehingga terlalu malu untuk diluahkan,” bicara Ustaz Man bila Mak Cik Ros pulang ke rumah.

Kisah simpan perasaan jejaka-jejaka kampung terhadap Abyatina dari hari ke hari semakin banyak kedengaran. Penyesalan mereka banyak diluahkan, dan Abyatina seringkali menjadi tajuk perbualan.

“Terlalu ramai yang menyukai kamu, dan bila pertunangan itu berlaku, maka semuanya merasa kepedihan atas nama kecewa,” Raiqah bersuara sambil Abyatina bekerja di dapur. Ibunya berehat di anjung sambil berbual dengan Ustaz Man. Tugas di dapur kini di tangan dua beradik.

Dalam kedinginan malam sambil mata terus mengadap helaian demi helaian, kisah kekecohan hari demi hari yang berlaku itu pastinya bermula sejak majlis pertunangannya lagi. Mengenangkan kisah yang berlaku, maka kerisauan muncul di wajah Abyatina.

“Kamu dah buat kerja gila!”

Pekikan seorang ayah menempelak Abyatina segar di ingatan. Satu tamparan hinggap di pipi Abyatina tanpa diduga. Ibunya hampir pengsan, si Zabarjad adiknya pula cuba menenangkan ayahnya. Yaqzan dilepaskan Abyatina, maka tamatlah pelukannya.

“Itulah petanda pertunangan Abyatina sesuatu yang tak kena,” bicara orang kampung.

“Lain yang ditunangkan, lain pula yang dipeluknya,” bicara seorang lagi orang kampung.

Yaqzan mencipta sebuah fitnah baru. Buah mulut kampung tanpa henti terus membicarakan peristiwa itu. Kisah buruk mula diperkatakan dan Abyatina berterusan menjadi cemuhan.

“Macam mana boleh dipeluk si Yaqzan tu? Ditolak dalam pemilihan tapi masih sayangkannya?” soal Raiqah pada malam tersebut.

“Tindakan separa sedar akibat kejutan tak disangka mendengar suara ayah yang tak pernah sekuat itu”

“Tapi mukadimahnya dimulakan dengan jabat tangan. Maka salahnya bukan dari ayah...” balas Raiqah.

“Entahlah. Tak tau sebab macam mana boleh tergerak jabat tangan dengannya. Semuanya berlaku dengan pantas”

Memang Abyatina kehairanan. Keliru dibuatnya saat mengenang kembali sebab dia boleh berjabat tangan dengan Yaqzan.

“Bila dia berbisik, maka hati itu tanpa sedar akan menurut. Itulah namanya ada yang kedua, maka pasti yang ketiga akan muncul....” bicara Ustaz Man.

Penyudah kisah masih belum ditemui. Yaqzan masih menghantuinya. Walaupun kemenangan telah diberikan pada Rizqullah, hantu si Yaqzan masih menganggu fikirannya.

“Apa ke jadah si alien ni nak lagi? Balik sajalah ke planet Zaragoza kamu tu. Tak reti bahasa ke?” Zabarjad bersahaja meluahkan kemarahan kepada Yaqzan sewaktu makan tengah hari.

“A lion tu jin baik ke jin jahat?” soal Ustaz Man tiba-tiba.

Zabarjad dan Abyatina tersenyum menahan geli di hati. Ustaz Man masih belum mengerti.

“Kalau benar semua yang dikatakan itu, maka saya tak kisah walau apa pun orang nak tuduh. Soalnya, jodohnya dengan saya bukan terletak di tangan saya, tapi semuanya ketentuan Allah”

Bicara Yaqzan di warung selepas tak tahan mendengar cerita berterusan mengenai dia dan Abyatina. Nampak tenang di wajah dalam situasi yang bertambah panas.

Petang yang menjelma, kisah fasa baru bermula lagi. Sedang Abyatina pulang dari masjid mengikuti kelas agama, sebuah teksi telah berada di hadapan rumah. Kehairanan bercampur pelbagai persoalan.

“Alien manakah lagi yang muncul?”

Rizqullah muncul tanpa diduga. Datang bersendirian. Baru pulang dari melawat kawannya di Pulau Pinang, dan kini singgah sebentar berkunjung bakal keluarga mertuanya. Gugup jantung dirasai, Abyatina menyembunyikan diri.

“Apakah benar kisah yang saya dengar ni?” soal Rizqullah.

“Banyak kisah yang akan kamu dengar bila Abyatina yang kamu sebutkan di kampung ni,” Ustaz Man tersenyum.

“Kisahnya ada menyebut, tak berapa lama dulu, Abyatina terkepung di ladang getah. Dan dikatakan Abyatina melalui satu kisah hitam hari itu”

“Dari mana kisah tu kamu dengar?”

Abyatina terkenang kembali saat hitam melalui situasi yang tak dapat dilupakan. Kisah terperangkap dan terkepung di ladang getah, kemudian sasaran lelaki-lelaki bernafsu muncul, dan akhirnya diikuti jeritan suaranya, maka hatinya menjadi gentar kembali. Ketakutan kembali dirasainya. Perbualan Rizqullah dan ayahnya di ruang tamu dapat didengar dengan jelas.

“Sekadar bertanya untuk kepastian. Sebab khabar itu telah meresahkan saya sejak awal perjalanan saya dari Sabah ke Pulau Pinang dan dari Pulau Pinang ke kampung ni,” tenang Rizqullah menyusun kata.

“Seorang penjual tak akan menghadiahkan kepada pelanggan setianya akan buah yang telah rosak, Rizqullah” tersenyum Ustaz Man.

Tersenyum sahaja Abyatina di sebalik pintu dengan jawapan itu. Membisu pula si Rizqullah.

“Dari mana perkhabaran itu kamu terima? Kisah yang kamu ceritakan ini hanya beberapa kenalan sahaja yang tahu,” soalan diajukan.

“Beberapa hari sebelum ke Pulau Pinang, seorang lelaki katanya rakan baik Abyatina berjumpa saya. Katanya, fikir dulu sebelum menerima Abyatina sebagai teman seumur hidup kerana ada kisah yang cuba disorok”

Kecelaruan meresahkan Rizqullah menjadikan segala yang diatur bagai hilang temponya. Sebuah kisah dari seorang yang baru dikenalinya, dan kini sedikit kegusaran muncul. Kepastian diambil, maka dijumpanya terus Ustaz Man.

“Maka, siapa kenalan itu?” soalan diajukan lagi.

“Katanya, namanya Yaqzan, sahabat baik Abyatina....”

“Yaqzan?” terkejut mengambil tempat. Ustaz Man terkedu.

Mencari ruang ketenangan, maka Ustaz Man berdiri menghampiri tingkap menyedut udara segar luar.

“Kamu memang gila wahai si alien planet Zaragoza. Cuba jadi parasit senyap pemusnah hidup. Tak faham lagikah? Atau kamu alien dengan penuh kebangangan tak reti bahasa? Sedarlah buat kamu, kalah itu teman kamu!”

Bisikan bercampur geram Abyatina diluahkan.

“Kamu jangan tabur fitnah sang durjana!”

Ruang tamu tiba-tiba gamat. Ustaz Khumaini muncul tanpa diduga. Kepanasan tercipta. Perseteruan berterusan.

“Subhanallah.....” ibu Abyatina meluahkan kerisauan.

Ustaz Man dan Ustaz Khumaini, dan di antara kepanasan itu, Rizqullah berada di tengah. Kisah berterusan tanpa kesudahan.



*Tamat sudah Bicara Tujuh*

Menyambung kisah di lain bicara...

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.

Khamis, 12 Mei 2011

Kembali lagi, tapi masih lemah

Alhamdulillah.

Hampir dua hari dalam keadaan lemah. Khabar nyatakan kesihatan saya yang tak begitu baik disebarkan akak Siti Khadijah. Sebenarnya kalau boleh tak mahu siapa pun tahu, tapi berita dah disebarkan di facebook.

Saya perlu rehat panjang. Bagi jantung pulih kembali. Mujur cuti semester panjang.
Sekadar berkongsi sahaja.

Setakat ni saja bicara. Tak larat nak tulis panjang-panjang.

Wallahualam.

p/s: masih di hospital dan thanx buat mak yang bawa netbook saya ke sini.

Sabtu, 7 Mei 2011

“Aisyah (Nota Dua)”




“Salam perkenalan dengan sepatah bicara. Kekeluan menjadikan kebisuan. Bukan sebuah kebodohan tapi sebuah penahanan berlandaskan peradaban. Kesopanan dijunjung mendukung nama dan tatacara. Siapa tak terkedu dalam dada berdegup kencang. Wajah nan ayu ditatap bertentang mata. Maka kata bicara, selamat dan senantiasa terbaik dari mak kepada dia, dan dicipta sejarah, hati cuba disatukan. Dia terbaik dalam sebuah penghadiahan. Ketenangan direntap memberikan kesejukan hatinya”

Menyaksikan sebuah kekalutan disudahi dengan sebuah ketenangan. Maka semuanya berdiam sambil menikmati pagi yang indah. Kunjungan sebuah keluarga disambut dengan penuh ketertiban sambil disambut dengan penuh senyuman. Kunjungan sebuah perkenalan akhirnya menjelmakan kemesraan.

“Kenapa sunyi sepi saja ni?” soal Ustaz Man.

“Mungkin malaikat lalu kot,” Cikgu Hamdawi berseloroh.

“Malaikat rahmat kot,” ibu Rizqullah dan ibu Abyatina berseloroh pula.

Kekok di permulaan, diikuti dengan keselambaan. Lama-kelamaan, keriuhan mula tercipta. Rizqullah tak banyak bicara namun banyak menjawab setiap persoalan diajukan. Tenang campur berdebar, hati dah tak dapat dikawal dengan teruja untuk berjumpa Abyatina.

“Umurnya 19 tahun, dan dia dah bersedia untuk diambil hatinya? Apakah dia mampu?” soal Rizqullah pada abangnya dalam perjalanan menuju ke rumah Abyatina.

“Umur dan pengalaman, dua perkara nampak sama, tapi bezanya memang ada. Umur mungkin muda, tapi pengalamannya banyak, maka tak mustahil dia berani ambil keputusan untuk bersedia,” balas Marzuq.

“Jika terlalu muda dalam membuat keputusan, bimbinglah, jika dia jodoh hang,” bicara ibu Rizqullah.

“Menetapkan sebuah keputusan oleh seorang wanita bagi menerima seorang jejaka, maka bila berani telah menjelma, itulah sebuah kematangan,” bicara Marzuq.

“Ni apa ni dok bermadah pujangga dengan ayat berbunga-bunga?” soal ayah Rizqullah tiba-tiba menghilangkan kebisuannya. Keriuhan tercipta di dalam kereta.

Kisah perjalanan menemui kesesatan, mujurlah terjumpa Zabarjad si adik Abyatina. Ditunjuknya jalan sampai ke rumah. Maka selamatlah sampai dari kelewatan.

“Datang ke sini sekadar nak berkenalan. Bukan lagi proses meminang,” bicara Cikgu Hamdawi.

“Peminangan tak berlaku tanpa perkenalan. Perkenalan tak terjadi kalau tak ada pertemuan,” balas Ustaz Man.

Maka kemunculan Abyatina menghentikan perbualan. Kisah seterusnya, mata terpaku pada si anak gadis Ustaz Man. Degupan jantung Rizqullah paling kuat berdegup. Terpesona seketika dalam kekaguman.

“Cantiknya.... Manisnya.... Ayunya.....” bisikan hati Rizqullah berbicara.

Wajah putih melepak dengan pipi kemerah-merahan, ditambah pula dengan mata sepet bak pelakon Jepun, maka si Abyatina telah menangkap mata Rizqullah. Tidak disangka, wajah cantik yang dicanangkan ibunya rupa-rupanya lebih cantik dari apa yang dibayangkan.

“Lebih cantik dari gambar diberikan pada aku”

Menyelusuri kembali saat pelanggaran kereta ya ng dipandu Marzuq, dilihatnya kemudian di hadapan kereta, disedari sekadar guni baja yang mungkin tercicir di tengah jalan. Pelanggaran guni baja akhirnya mencetuskan gelabah Rizqullah. Fikirkan petanda buruk nyatakan bahawa mungkin si Abyatina bukan gadis yang sesuai.

“Segala keburukan yang disangka berubah menjadi kenikmatan....” bisiknya.

Keasyikan melihat wajah ayu yang malu muncul di ruang tamu, akhirnya menundukkan pula mata si Rizqullah. Kagum tapi pada masa yang sama masih mengawal hatinya. Mungkin saat itu mahu diterkam sahaja si Abyatina, namun iman mengikat perilaku membawa kesopanan.

“Perkenalkan dirimu kepada Abyatina, Rizqullah,” pinta Ustaz Man buat si Rizqullah.

Lidah dalam kelu, ditambah pula rasa malu. Saat itu tiada langsung skrip bicara yang ingin disusun mahu menyapa si Abyatina. Akhirnya bicara ringkas berdasarkan yang patut, maka diajukan soalan dua patah kata.

“Kamu sihat?”

Senyuman manis dilemparkan Abyatina sambil membalas.

“Alhamdulillah”

Kemanisan yang mendebarkan jiwa Rizqullah dirasai lagi. Senyuman si gadis ayu mungkin akan buatkannya terkenang bila pulang ke Sabah nanti.

“Jika dia jodoh hang, maka alhamdulillah hati hang,” bicara Marzuq.

“Jika dia jodoh hang, maka cantiklah keturunan kita,” bicara Cikgu Hamdawi seloroh lagi.

Perjalanan pulang ke Sabah membawa kesegaran memori kisah pertemuan Rizqullah dan Abyatina. Hakikatnya, tiada sebarang perjanjian dan ikatan yang dibuat, tetapi hatinya mula bicara untuk pastikan Abyatina teman hidupnya.

“Kamu datang dengan tujuan yang baik, maka kami sambut dengan cara yang baik. Jika perkenalan ini bermula dengan baik, maka jika rezeki datang pada kamu, Abyatina jadi temanmu”

Bisikan perlahan Ustaz Man menerjah ke fikirannya. Rizqullah masih tersenyum saat dia berada dalam kapal terbang. Jaminan seolah-olah menyatakan bahawa Abyatina pasti menjadi miliknya. Senyuman dibawa sepanjang perjalanan pulang. Gambar dikepilkan kembali dalam buku notanya. Hadiah dari Abyatina, sekeping gambar diberikan kepada Rizqullah. Hadiah dari Rizqullah, sehelai nota diberikan pada Abyatina.

“Bila sayang aku kepada kamu?
Bila orang tuaku bicara tentang kamu,
Kata kamu terbaik buatku,
Maka dari aku sayang itu kamu terima”

“Insyaallah dari aku buat kamu....” bisik Rizqullah.

Malam itu, bila kepenatan menjemput, Rizqullah memulakan bicara di atas kertas. Pena menari sambil mengikut alunan rasa luahan si Rizqullah. Dingin malam sambil memikirkan apa yang dilalui sepanjang bercuti dua minggu. Esoknya kembali ke sekolah, dan kini fikiran masih padat mengenangkan pengalaman baru.

“Siapa Yaqzan?”

Persoalan muncul penuh kehairanan. Kekecohan berlaku sewaktu kunjungan melihat Abyatina masih menghairankannya. Amukan Ustaz Khumaini, pertikaman lidah Ustaz Man, dan keresahan wajah si Abyatina.

“Apa yang berlaku sebenarnya? Apa sebabnya?”

Resah itu turut dialami ibu Rizqullah dan kesemua rombongan yang hadir. Tak memahami, namun cuba untuk mendalami kisah yang berlaku.

“Anggap kita ni macam tunggul batu. Hang diam, mak hang diam, abang hang pun diam,” bisik ayah Rizqullah.

Rizqullah meneruskan tarian penanya.

“Merentasi masa dengan sebuah pengalaman, cabaran diharungi dengan penuh persoalan, kini datang menanti sebuah jawapan. Jawapan tak diberi, soalan tak dikemukakan. Kerana itu baru dinamakan jodoh buat aku atau pun dia”

Mata pena dihentikan saat pintu rumah diketuk. Salam tak kedengaran, namun di tengah malam kedinginan, maka dengan mudah dia dapat meneka sahabatnya baru pulang. Buku nota ditutup, bicara direhatkan, dan kini dia berjalan menyambut sahabatnya.

“Ani?”

Soalan terkeluar dari mulutnya. Sahabat itu benar, namun bukan sahabat serumahnya. Jiran merangkap rakan sekerjanya. Cikgu Ani teman rapat Rizqullah berdiri di muka pintu.

“Boleh Ani masuk kejap?”

“Err...”

Kebisuan Rizqullah disusuli dengan tindakan berani si gadis Ani. Masuk ke rumah tanpa dijemput. Terus menuju ke dapur, sambil tangan membawa mangkuk tingkat. Rizqullah tergamam membiarkan si gadis masuk ke rumahnya. Lelaki dan seorang wanita, maka ketiganya ialah syaitan. Lutut Rizqullah terketar. Tidak menghalang dan tidak pula menyuruh Ani masuk ke rumahnya.

“Ani bawa lauk”

Bicara Ani sambil berjalan ke dapur. Serentak itu Ustaz Hamzah pula muncul di muka pintu. Kasut tumit tinggi di muka pintu, dan Rizqullah kerisauan. Ustaz Hamzah menghidu sesuatu tak kena pada Rizqullah.

“Apakah dosa yang aku hidu di rumah ni? Benarkah kamu bersama si kedua dan syaitan itu menjadi yang ketiga?”

Rizqullah terkaku dalam kerisauan. Wajah pucat disertai peluh yang tak terkawal. Wajah Abyatina tiba-tiba muncul di fikirannya.

“Bukan salah abang jika ini satu dosa.....”



*ditamatkan dahulu Nota Dua*

Perjalanan sebuah cabaran diteruskan di lain bicara

**Aisyah ialah “Aku Insan Seperti Yang Abyatina Harapkan”

p/s: ‘ Aisyah’ adalah sebuah rentetan bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup ayah saya, Rosly bin Hanipah. Kisah kekuatan dan kecekalan seorang ayah dan bapa kepada enam orang anak ini pencetus kisah kepada rantaian bicara saya.

‘Aisyah’ adalah bicara cerminan dari sudut Rizqullah yang menjadi pelengkap kisah ‘Adina’ yang merupakan cerminan dari sudut Abyatina.

Rabu, 4 Mei 2011

“Aisyah (Nota Satu)”




“Dalam nada selamba, dia berkata dengan penuh santai. Katanya mahu teruskan satu lagi kisah dengan sebuah pembaharuan. Mahu keseorangan digantikan dengan penemanan. Lanjutkan kisah dengan penyataan, katakan carilah walau siapa yang dinyatakan. Ah, payahnya lelaki, ada yang berkenan, tapi buat selamba tak tahu sambil pejamkan mata. Saya suka kamu, tapi tak sampai terfikir nak peluk kamu jadi teman saya. Kawan tetap kawan”

Menjadi sebuah kegembiraan bila kaki jejak bumi bernama Subang, hanya dikenali dengan sebuah Lapangan Terbang. Menanti penuh senyuman, maka muncullah si abang sambil tangan melambai-lambai cuba pastikan si adik dapat melihatnya. Beg roda ditarik, dan si adik terus menghampiri si abang.

“Assalamualaikum,” si abang menghulurkan tangan.

Perjalanan pulang ke kampung halaman adalah satu detik yang indah. Mengenangkan kisah manis saat meninggalkan rumah menuju ke Sabah, maka detik kepulangan semula adalah sesuatu yang dinantikan seisi keluarga. Perjalanan dari seorang bakal pelajar Maktab Perguruan Gaya, dan kini pulang semula sebagai seorang guru, maka pengalaman yang dikutip pasti banyak yang ingin dikongsinya.

“Banyak yang perlu hang kongsikan dengan kami semua,” bicara si abang, Marzuq.

Permulaan bicara, si adik agak terkedu mengenangkan kisah yang sedang diatur keluarganya. Umur yang dah memasuki angka tiga puluh, maka kerisauan mula menjelma. Ibunya mula risau dek lambatnya kemunculan suri di hatinya. Maka diputuskan satu kisah, dicarikan suri khas buat si adik ini.

“Nama saya Rizqullah. Ibnu Hamdawi anak lelaki bongsu Hamdawi”

Diperkenalkan diri si adik ini kepada tetamu yang hadir sebaik dirinya tiba di rumah. Ternyata, ramai yang menanti kepulangannya. Rizqullah nama diberi diperkenalkan dalam sebuah majlis menyambut separuh rasmi. Kenduri kesyukuran diadakan, dan si adik kecil ini disambut dengan penuh kebanggaan.

“Mak tau hang mungkin tahu tujuan hang ke sini. Walaupun sekejap, mak nak hang muncul ke sini supaya hati puas dengan pilihan yang telah diputuskan. Terpulang buat hang putuskan, setuju atau lepaskan...”

Bicara ibunya bercampur kegembiraan. Semua tahu, tujuan kepulangan Rizqullah berdasarkan satu sebab. Jarak yang jauh dari Sabah ke Perak, maka kepenatan muncul di wajah Rizqullah. Kisahnya di kampung halaman hanya sebentar. Dua minggu selepas ini, dia akan kembali ke Sabah.

“Berehatlah dulu. Moga perjalanan kamu berjumpa dengannya akan menceriakan kamu esok...” bicara ibu Rizqullah.

“Apakah dia terbaik buat Riz?” soal Rizqullah.

Hanya senyuman dibalas sambil bahu ditepuk. Kepenatan yang dirasai buatkan Rizqullah mengerti kebisuan ibunya. Rehatlah secukupnya, maka bicara bersambung keesokannya.

Mengenangkan kisah permulaan di bumi Sabah. Pada usia 18 tahun, terus berjauhan dari keluarga. Bukan mudah kerana kemanjaan masih lagi menyelimutinya. Hakikatnya, selaku anak lelaki bongsu dalam keluarga, maka Rizqullah sangat dijaga dengan penuh ketelitian. Pemergiannya ke Sabah sesuatu yang sangat berat untuk dihadapi ibunya.

“Berbakti kepada masyarakat perlukan pengorbanan pada permulaannya, di pertengahan perlukan kekuatan dan kesabaran, dan di akhirnya perlukan kemaafan. Bila berbakti pada masyarakat, maka seumur hidup kita akan hadapi juga penentangan”

Bicara ayah Rizqullah termuncul semula sambil kepalanya mula direhatkan di atas bantal yang empuk. Fikiran menerawang sambil membuat andaian, kisah yang bakal dilalui keesokan nanti.

“Pastikan bapak bangga dengan hang. Jadikan bapak sumber inspirasi hang. Sambungkan perjuangan dan warisan bapak. Tekadkan keazaman lonjakkan nama Hamdawi”

Kata-kata dilemparkan saat Rizqullah melangkah kaki meninggalkan rumah menuju ke Sabah. Itulah bicara abangnya Marzuq, abang yang paling rapat dengannya. Kebanggaan seluruh keluarga, Marzuq menjadi contoh buat adik-adik yang lain, moga akan lahir lagi seorang pendidik dalam kalangan keluarga Hamdawi. Realiti tercipta, kerana kini Rizqullah menjadi penyambung kedua keturunan pendidik dalam keluarga.

Kemunculan di bumi asing sesuatu yang berat dan perit. Kerinduan pada keluarga ditambah pula dengan hijaunya pengalaman, maka di permulaan perjalanan Rizqullah, semuanya bagai terhalang. Mengasimilasikan diri, meresapkan jiwa ke dalam budaya dan adat tempatan, maka kesudahannya dia temui sebuah kesenangan. Lapan tahun di bumi asing, bermula sebagai pelajar hingga menjadi guru, kematangan ternyata muncul di wajah anak muda ini.

“Kamu memang menarik perhatianku sehingga buatkan aku jatuh hati padamu”

Bisikan manja berbau menggoda dilafazkan ke telinga Rizqullah. Masih diingatinya sewaktu menjadi pelajar tahun kedua Maktab Perguruan Gaya, seorang wanita meluahkan rasa hati. Peribadi pemikat hati, dan kerana itu ramai yang tertarik pada Rizqullah.

Perjalanan seterusnya, Rizqullah berkawan baik dengan wanita ini. Rapat dan akrab, namun tidak pula diisyhtiharkan sebagai teman istimewa buatnya. Rasa hati Rizqullah ketika itu, bercinta langsung tidak berada dalam perancangan hidupnya ketika itu.

Wajah yang menarik perhatian, dengan hidup mancung berkulit cerah, perwatakan yang menarik dengan senantiasa tersenyum, maka Rizqullah diangkat menjadi jejaka idaman di maktabnya. Malah gelaran itu terus dibawa sehingga dirinya menjadi guru.

“Cikgu, ni ada surat dari kawan saya...”

Tersenyum Rizqullah. Bicara surat dari anak muridnya sendiri mengejutkannya. Pelajar tingkatan lima kelas Geografi mengirimkan bicara cinta buatnya. Seorang anak didik terpikat dengannya. Kisah di awal menjadi guru, dan itu agak memeningkannya di awal kisah.

“Itulah harga bagi seorang rupawan ditambah pula dengan umur yang terlalu muda, dan kemudian ditakdirkan mengajar pelajar yang usianya hanya perbezaan 3 ke 4 tahun. Maka terimalah ‘hadiah’ yang tak disangka-sangka”

Bicara pengetua tersenyum sebaik Rizqullah berjumpa dengannya nyatakan masalah jatuh hati pelajarnya itu. Akhirnya, nasihat guru-guru lama, Rizqullah tak endahkan bicara hati pelajar itu. Bicara hati tersangkut, dan pelajar itu mengerti dengan hakikat, lelaki yang disukai itu tarafnya adalah sebagai seorang guru.

“Rizqullah lapang petang ni? Kalau boleh jemputlah ke rumah. Ani ada masak special sikit. Kalau sudi, datanglah ya”

Manis mulut bicara seorang gadis yang setempat kerja dengannya. Bezanya, Cik Ani tersebut datang dari maktab yang berbeza. Persamaannya, Cik Ani mengajar subjek yang sama, dan kebetulan pula meja gurunya sebelah dengan meja Rizqullah.

“Insyaallah, jika ada kesempatan.”

Penyudahnya, Rizqullah tidak muncul di rumah Ani. Sengaja tidak mahu muncul takut mengundang padah. Manalah tahu, tanpa diduga terpaksa berkawin petang itu dek tertangkap basah. Maka petang itu Rizqullah habiskan masa dengan menulis sahaja. Selamatkan diri dengan menghilangkan diri.

“Jika hang benar-benar menyukai seorang wanita, maka hampirinya dengan cara yang baik,” pesanan si ayah terlintas di fikiran Rizqullah.

“Ya, kerana itu Riz memilih pilihan mak dan bapak. Kerana di situlah cara terbaik mendekati seorang wanita,” bisik Rizqullah. Matanya terlelap tanpa sedar, dan keletihan perjalanan jauh di siang hari memberikan tidur yang sangat nyenyak.

Suasana pagi dimulakan dengan kebisingan ibu Rizqullah yang kelam kabut meminta semua ahli keluarga bersiap. Semuanya bermula dengan kesempurnaan yang ingin ditonjolkan oleh ibunya. Maka inilah saat penting yang bakal dilalui Rizqullah.

“Abyatina bakal bertemu Rizqullah,” bisik Marzuq kepada isterinya ketika bersarapan.

Kisah seterusnya, perjalanan dimulakan seawal tujuh setengah pagi. Tiga buah kereta mengikuti perjalanan perkenalan itu. Debaran terasa dan pelbagai tekaan terlintas di fikiran.

“Apakah betul perjalanan aku ini?” bisik Rizqullah.

Satu jam berlalu dan dalam kesenyapan itu, Marzuq tiba-tiba bersuara dalam nada selamba disulami sedikit gementar. Terketar suaranya.

“Sampainya sudah, tapi jalannya macam salah...”

Perjanjian untuk sampai tepat pada masa menuju kegagalan. Ibu Rizqullah mula mengeluarkan bicara tak henti-henti sambil terus melepaskan bebelan yang hanya buatkan si Rizqullah tersenyum keseorangan. Ayahnya pula hanya membisu sambil cuba melihat segenap penjuru jalan.

“Tak ke mana mak. Jika malam pun baru kita sampai, maka sampai malamlah kita ke sana,” bicara seloroh Rizqullah.

“Hang ni nak kahwin ke tak ni? Boleh buat muka sekupang pulak sekarang ni. Apa ingat kahwin ni macam main pondok-pondok ke?” balas ibunya.

“Alahai mak hang ni. Kita baru nak jumpa kenal-kenal si Abyatina tu. Yang mak hang dok gubra pasai pa?”

Si ayah yang membisu bersuara tiba-tiba.

“Allahuakbar!!!”

Jeritan takbir tiba-tiba dijelmakan Marzuq. Kesemua terkejut.

“Apa yang hang langgar?” soal ibunya.

Perjalanan terhenti. Dua buah kereta kehairanan menunggu di belakang. Sebuah pelanggaran yang membawa penghentian. Keresahan timbul di wajah Rizqullah.

“Apakah sempat Abyatina kulihat? Apakah ini satu petanda?”

Kekalutan berterusan dalam kepanikan sebuah pelanggaran di sebuah perkampungan.


*ditamatkan dahulu Nota Satu*

Perjalanan sebuah cabaran diteruskan di lain bicara

**Aisyah ialah “Aku Insan Seperti Yang Abyatina Harapkan”

p/s: ‘ Aisyah’ adalah sebuah rentetan bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup ayah saya, Rosly bin Hanipah. Kisah kekuatan dan kecekalan seorang ayah dan bapa kepada enam orang anak ini pencetus kisah kepada rantaian bicara saya.

‘Aisyah’ adalah bicara cerminan dari sudut Rizqullah yang menjadi pelengkap kisah ‘Adina’ yang merupakan cerminan dari sudut Abyatina.