Khamis, 22 September 2011

Pagi Khamis: Dia tersengih kerana ada orang cemburu padanya?






Hikayat bermula bila seorang sahabat tersengih tak ubah macam kerang busuk. Mencari satu jawapan, maka diajukan soalan.

"Apa kena dengan kamu? Dah masuk air dalam kepala ke? Tak bersebab, tapi tersengih sorang-sorang"

Cerita bermula apabila satu pernyataan dalam laman MukaBuku, sekadar keluarkan satu baris ayat menyatakan bahawa sahabat bernama Labu ini seperti terlihat seorang sahabat yang lain. Si Labu terlihat si Cendana, di Pusat Kebahasaan, dan si Labu hanya mengenali si Cendana menerusi lama MukaBuku. Maka, bila dilihat dengan mata kasar si Labu, dia tak pasti apakah benar itu Cendana atau mungkin itu orang lain. Si Labu sekadar diam tanpa senyuman.

Seperti kebiasaan yang dibuat si Labu, acap kali dia terlihat sahabat-sahabat yang hanya dikenali menerusi MukaBuku di tempat saat dirinya berada ketika itu, maka akan dikeluarkan baris ayat di MukaBuka bertanya kembali pada sahabat itu, "Apakah benar kamu orangnya yang saya lihat sebentar tadi? Atau mungkin individu wajahnya sama tapi orangnya berbeza?"

Si Labu memang begitu. Sekadar mahukan kepastian. Tak berani menegur pada saat dia melihat sahabat itu di hadapannya, takut tersalah orang, maka sekadar bertanya menerusi laman MukaBuku. Itulah soalan yang sama diajukan pada si Melur, dan juga pada si Kenanga. Tidak dilupakan juga soalan itu turut ditanya pada si Cempaka.

Tak lama selepas bicara itu tersiar di MukaBuku, maka ada hamba Allah bernama Jumbo mengirim sepucuk pesanan menerusi kotak surat.

"Jangan diganggu si Cendana. Moga difahami dalam mengerti..."

Maka, dari situlah ketawa berdekah-dekah terkeluar dari mulut si Labu. Dikatakan agak melucukan kerana telah menggeletek seluruh tubuhnya.

"Ada yang cemburu bila terkeluar bicara berkaitan Cendana di laman MukaBuku. Sekadar nak cari kepastian saja, bukannya nak mengorat" kata si Labu

Kata si Labu, kegelian dek kelucuan. Tak terlintas di fikiran bahawa dia mengganggu si Cendana. Jumpa pun tak pernah, kenal pun hanya di laman MukaBuku, adakah boleh menjadi ancaman buat si Jumbo?

Kata si Labu, si Jumbo terlebih takut. Seolah beri amaran, walhal si Labu bukan menjadi ancaman buat si Jumbo. Hanya dengan satu baris ayat ditulis si Labu di laman MukaBuku berkaitan dengan Cendana, dan si Jumbo dah beri amaran?

"Maha mengarut dan tak masuk dek akal," kata si Labu kepada saya.

Benar. Memang mengarut. Inilah mungkin cemburu buta, sehingga habis dibelasah semua walaupun orang itu tak bersalah.

Bagi saya, si Labu bukan ancaman buat si Jumbo. Malah memang tidak akan berlaku sama sekali bagi si Labu untuk mengganggu si Cendana. Sangat mustahil untuk berlaku kerana hati si Labu telah diikat utuh dengan gadis pilihannya.

Apa lagi yang perlu dirisaukan. Si Labu telah bertunang dengan si Mawar. Tak ada masa buat si Labu nak mengganggu si Cendana pula.  Sebab itu saya berani beri jaminan, "Labu bukan ancaman si Jumbo"

Kata Labu, kisah tersebut memang lucu. Boleh pula ada yang berfikiran sebegitu. Dia ketawa bukan kerana apa, semuanya disebabkan statusnya yang menjadi tunang kepada si Mawar tidak diketahui oleh si Jumbo dan si Jumbo pula kerisauan takut si Labu mengganggu si Cendana.

"Jumbo, Jumbo.... Jangan cepat menggelabah ya...." bisik saya memberi respon pada cerita yang dinukilkan oleh si Labu sahabat baik saya.

Gara-gara laman MukaBuku, cemburu pun boleh ada.....


* "Pagi Khamis" adalah ruangan luahan pendek yang akan dipaparkan setiap pagi Khamis.