Isnin, 30 Disember 2013

"Adina (Bicara Dua Puluh Sembilan)"





“Tiap-tiap dugaan adalah satu bentuk kesabaran. Bukan mudah mencari sabar, kerana tiap-tiap sabar itu perlukan kekuatan hati. Andai hati itu kuat, maka mudahlah dugaan itu pergi. Andai hati itu longlai, maka hanyutlah membawa diri. Mungkin itu sebaiknya”

Abyatina menutup buku nota kecilnya. Pena diletakkan. Nafas diambil. Mata dipejam seketika. Ketenangan cuba dirasakan. Kekusutan barangkali menguasai fikiran. Satu persatu yang menimpa, Abyatina berusaha menenangkan diri.

“Kadang-kadang, bila kita kusut, mungkin ada masanya kita perlu tenangkan diri dengan mencari tempat yang baru. Dari situ, baru kita dapat lupakan seketika setiap dugaan yang melanda”

Bicara Ustaz Man, ayahnya muncul kembali di fikiran Abyatina. Kata-kata nasihat diberikan Ustaz Man kepada anaknya, beberapa hari sebelum majlis perkahwinan Abyatina dan Rizqullah. Kisah beberapa tahun yang lalu kembali segar di ingatan.

“Tiap-tiap perkahwinan, pasti ada kesusahan,” bicara pula ibunya.

Abyatina ternyata lebih tenang. Tindakan yang dilakukan mungkin sesuatu yang mengejutkan. Namun keputusan yang dibuat perlukan keberanian. Dalam kekalutan, Abyatina bertindak di luar jangkaan.

“Pergi Ina untuk tenangkan diri,” bisik Abyatina.

Maka, Abyatina menghilangkan diri. Tiada siapa yang tahu kelibat Abyatina.

“Bukan Ina nak lari dari masalah. Tapi mungkin ini masa sesuai untuk rehatkan fikiran dari kekusutan,” bisik Abyatina.

Wajah anak kecilnya dilihat. Yaqzan tidur nyenyak tidak banyak meragam. Dugaan yang melanda pasti tidak difahami Yaqzan. Hanya tangisan tatkala lapar, rengetan andai keselesaan tidak dirasakan. Namun, bayi kecil Yaqzan itulah pengubat duka, pengukir keceriaan buat Abyatina. Menemani Abyatina di saat kecelaruan.

Hakikatnya, Rizqullah tidak tahu keberadaan Abyatina. Tiada siapa yang tahu di mana Abyatina. Peristiwa yang terjadi di petang hari, saat sesisi keluarga Ustaz Man mengadakan perbincangan untuk majlis perkahwinan Absyar, maka perseteruan terjadi lagi di antara Rizqullah dan Zaafarani. Kehangatan tercipta menjejaskan keharmonian sekeluarga. Rizqullah meluahkan segala isi hatinya petang itu. Rasa kurang senang terhadap layanan sesetengah keluarga terhadapnya menjadi isi bicara. Lantas, Rizqullah berlalu pergi meninggalkan Abyatina di kampung. Serentak dengan itu juga Abyatina membawa diri. Hilang tanpa diketahui.

“Ke mana Abyatina?” soal ibunya mencari-cari anaknya.

Persoalan bermain tatkala Abyatina menghilangkan diri. Seisi keluarga mencari-cari. Namun tiada siapa yang menyedari Abyatina mungkin terguris di hati.

“Pergi Ina memulihkan hati,” bisik hati kecil Abyatina.

Pada petang kejadian itu, sebaik Rizqullah pergi meninggalkannya di kampung, Abyatina bergegas keluar dari rumah. Bersama-sama anak kecilnya Yaqzan, maka Abyatina berjalan menuju ke jalan besar. Menunggu beberapa ketika, maka Abyatina menaiki bas menuju ke bandar Taiping. Sebaik tiba, maka Abyatina mengatur langkah menuju pula ke satu destinasi.

“Kenapa rumah kak yang jadi pilihan Ina?”

Soalan pertama diajukan Marwa, kakak ipar Abyatina sebaik Abyatina tiba di rumahnya. Destinasi Abyatina berakhir di rumah Marwa. Kehadiran Abyatina tidak dijangka Marwa.

“Ina datang nak betulkan keadaan. Luruskan mana yang kusut. Mungkin bila fikiran tenang, baru semuanya akan kembali macam dulu,” balas Abyatina. “Harap dapat menumpang di sini seketika”

Maka, bermula petang itu, Abyatina menyembunyikan diri di rumah kakak Rizqullah itu. Tiada siapa yang tahu, sebuah perjanjian dibuat di antara Marwa dan Abyatina. Kerahsiaan harus dikekalkan.

“Tapi, apa puncanya?” soal Marwa pada malam itu.

“Susah nak diterang. Tapi, kalau hati terasa pedihnya, mungkin seelok-eloknya Ina kena hilangkan diri,” bicara Abyatina.

“Ina bergaduh dengan Rizqullah?” soal Marwa.

Abyatina hanya tersenyum. Tiada jawapan diberi. Marwa kurang mengerti. Abyatina masih lagi dalam kerahsiaan. Namun perlahan-lahan Abyatina kelihatan bersedia meluahkan sesuatu.

“Bukan Rizqullah penyebabnya. Tapi, keluarga Ina sendiri...”

“Kenapa pula?”

“Memang dari dulu, macam-macam dugaan. Tapi, mungkin sekarang dugaannya dah sampai ke tahap batasnya,” bicara Abyatina.

“Siapa puncanya?”

Maka, malam itu satu persatu dinukilkan Abyatina kepada Marwa. Itulah kali pertama Abyatina meluahkan rasa yang terpendam di hatinya. Mungkin telah tiba masanya, seseorang perlu mendengar isi hati sebenarnya.

“Ina bahagia dengan Rizqullah. Tak pernah sekali pun Ina rasa terseksa. Tapi, semua anggap Rizqullah punca kerosakan bahagia Ina. Tak mungkin... tak mungkin sama sekali,” luah Abyatina.

“Kadang-kadang kalau kita simpan semua dalam hati, orang tak faham kita. Bila diam, dikatakan kita lemah. Bila berbicara, dikatakan banyak kerenah. Dunia tak akan adil sampai bila-bila. Kitalah yang kena sesuaikan diri, biasakan dengan keadaan,” kata Marwa.

“Tapi sampai bila kita kena berkorban? Lama-lama bahagia yang ada pun boleh hilang,” keluh Abyatina.

“Sabar itu ada nikmatnya. Jangan putus harap,” bicara Marwa memberi semangat.

Abyatina hakikatnya masih berahsia. Kisah kebencian abangnya Zaafarani terhadap Rizqullah langsung tidak diceritakan. Bagi Abyatina, tidak perlu diburukkan mana-mana nama, cukup sekadar luahan rasa hatinya sahaja.

Marwa faham dengan kehadiran Abyatina di rumahnya itu. Abyatina mahu sembunyikan diri. Walaupun kurang mengerti punca permasalahan yang melanda, Marwa mengizinkan sahaja kehadiran Abyatina. Suaminya bersetuju namun bersyarat.

“Sampaikan khabar pada suami Ina. Jangan sampai dia tercari-cari tanpa arah,” kata Marwa menyampaikan syarat yang diberikan suaminya itu.

Maka, di lewat malamnya, Abyatina mengatur rentak. Panggilan telefon dibuatnya. Khabar berita akan disampaikan. Rizqullah menerima khabar. Abyatina menyampaikan bicara buat suaminya. Kisah keberadaan dirinya dinyatakan.

“Ina selamat di kampung dengan mak. Tak perlu risau. Semuanya sihat sahaja. Yaqzan pun selesa, tak banyak meragam. Kalau abang perlukan masa, izinkan Ina tinggal di kampung,” bicara Abyatina menerusi perbualan telefon. Bicara pembohongan disampaikan.

“Maafkan abang kalau Ina terguris di hati...” kata Rizqullah.

“Bukan abang puncanya,” balas Abyatina ringkas.

“Abang tak bermaksud begitu...” bicara Rizqullah mengimbas kembali lafaz yang dituturkannya mengenai perihal kemungkinan penceraiannya dengan Abyatina. “Abang... abang.... abang sayang Ina...”

“Ina tahu... Ina faham...” balas Abyatina kelihatan sedikit sebak. “Mungkin banyak dugaannya...”

“Tenangkan fikiran. Abang izinkan. Ambillah masa,” kata Rizqullah.

Panggilan telefon terhenti setakat itu saja. Saat itu Rizqullah dilanda kelegaan, dan Abyatina dibuai rasa ketenangan. Hakikatnya, tiada sebarang perseteruan berlaku di antara mereka. Hanya situasi dan keadaan sahaja yang menghalang mereka menikmati aman dalam bahagia.

Maka, bermula saat itu jugalah, Abyatina memulakan hari-harinya dengan tinggal di rumah kakak iparnya, Marwa. Bersama anak kecilnya Yaqzan, maka hari-hari berikutnya ditempuhi dengan penuh kerahsiaan. Atas permintaan Abyatina, maka kehadiran Abyatina di rumah Marwa dirahsiakan. Marwa akur, dan menyimpan rahsia yang diminta itu. Hakikatnya, Rizqullah tidak tahu keberadaan Abyatina yang sebenar. Bukan di kampung, tapi di rumah Marwa.

Percaturan Abyatina tidak terhenti setakat itu saja. Aturan lain disusunnya.

“Jangan risaukan Ina. Semuanya selamat kambali”

Bicara Abyatina dinyatakan dalam satu panggilan telefon. Ibunya dihubungi, dan persoalan cuba diselesaikan Abyatina buat ibunya itu. Namun tempohnya agak lama. Setelah tiga hari kehilangan Abyatina selepas kejadian petang itu, baru Abyatina menyampaikan keberadaannya.

“Ina di mana?” soal Mak Cik Ros menerusi perbualan telefon itu.

“Ina sihat di sini, ada di rumah,” balas Abyatina.

“Dengan suamimu?”

“Ke mana lagi patutnya Ina pergi? Sebaik-baik isteri semestinya perlu ada di sisi suami. Itu pesan mak...” balas Abyatina.

“Alhamdulillah kalau begitu kisahnya,” bicara Mak Cik Ros.

Tiada siapa yang faham tujuan Abyatina bertindak sedemikian. Di satu pihak Abyatina menyatakan dirinya selamat bersama keluarga di kampung. Di pihak yang lain pula, Abyatina membicarakan dirinya telah pulang bersama suaminya. Namun di saat itu, hakikatnya Abyatina berada di rumah kakak iparnya.

Beberapa minggu telah berlalu dan khabar berita sebenar Abyatina tidak diketahui sesiapa.

“Politik apa pula yang dimainkan Abyatina ni?” soal Rizqullah. Perjalanan dari majlis perkahwinan Absyar dan Tasha menuju ke rumah kakaknya ternyata menimbulkan pelbagai persoalan.

Kekalutan dan kejutan yang terjadi dalam majlis perkahwinan itu ternyata meresahkan hati Rizqullah. Saat bapa mertuanya dihantar ke hospital, satu kejutan diterimanya lagi. Keberadaan Abyatina akhirnya terjawab. Abyatina menyembunyikan diri di rumah Marwa.

“Kita kena sampaikan berita pasal Ustaz Man. Abyatina kena tahu,” bicara Rizqullah kepada Marwa. “Itu yang lebih utama...”

Lantas Marwa membawa Rizqullah pulang ke rumahnya. Majlis ditinggalkan. Perjalanan tercipta. Sepanjang perjalanan itu, tiada perbualan berlaku. Marwa dan Rizqullah hanya membisu. Mungkin keresahan dalam kekalutan menyebabkan tiada bicara terjadi.

“Di mana Abang Din?” soal Rizqullah tiba-tiba.

“Hah, Abang Din?” Marwa ternyata terkejut. “Ya Allah, lupa pula suami aku ni!”

Maka, perjalanan berpatah balik. Suami Marwa baru disedari dtinggalkan mereka. Barangkali Sudin, abang ipar Rizqullah itu masih tidak sedar bahawa isterinya Marwa telah meninggalkannya di majlis itu.

“Macam mana boleh lupa? Bukan tadi pergi sekali?” soal Rizqullah.

“Dok kalut sangat, kak pun dah lupa,” balas Marwa tersengih sedikit. Masing-masing ketawa kecil.

Marwa hadir ke majlis perkahwinan Absyar bersama-sama suami dan anak-anaknya. Namun, tatkala dilanda kekalutan apabila Ustaz Man tiba-tiba jatuh sakit, maka Marwa seakan terlupa akan kelibat suami dan anak-anaknya itu.

“Itulah kak hang. Tak pernah berubah dengan kalutnya....” bicara Sudin, suami Marwa tatkala Rizqullah tiba kembali di majlis perkahwinan itu.

Kisah berikutnya, Marwa pulang bersama suaminya, dan Rizqullah mengikut kereta yang dipandu Sudin itu sehingga menuju ke destinasi.

Hari itu, Abyatina hanya berehat di bilik. Ditemani bayi kecilnya Yaqzan, kelihatan Abyatina lebih tenang berbanding hari-hari sebelumnya. Namun, di saat itu juga Abyatina merasakan satu degupan yang sangat berbeza. Debaran terasa, namun tidak tahu puncanya.

“Mungkinkah ini satu cetusan hati untuk langkah seterusnya?” bisik hati kecil Abyatina.

Hakikatnya, Abyatina memang punyai perancangan untuk pulang semula bertemu suaminya Rizqullah. Saat dirasakan telah bersedia, maka pasti kepulangan itu akan berlaku.

“Apakah ini harinya?” soal Abyatina dalam hatinya.

Tiada siapa yang tahu saat Abyatina benar-benat bersedia.

Namun persoalan berlegar juga dalam fikirannya. Abyatina tertanya-tanya reaksi yang bakal diluahkan Rizqullah apabila mendapat tahu akan kebenaran yang disembunyikan. Persoalan juga timbul, saat rahsia terbuka, mungkin kejutan yang akan diketahui bakal memberikan reaksi yang berbeza pula buat Ustaz Man dan Mak Cik Ros.

Kisah sifat dingin Zaafarani juga bermain dalam fikiran Abyatina. Kehairanan timbul kerana sehingga di saat itu Abyatina tidak tahu punca Zaafarani tidak begitu menyukai suaminya Rizqullah. Walaupun telah hampir tiga tahun perkahwinannya, abangnya itu ternyata seperti tidak dapat menerima hakikat.

“Salahkah suamiku? Atau salahkah abangku?” bisik Abyatina. “Siapa yang benar?”

Dalam lamunan itu, pintu rumah diketuk. Abyatina terkejut, menyarungkan tudungnya lantas terus meluru ke ruang tamu. Pintu dibuka. Kejutan diterima.

“Abang?”

Rizqullah muncul di muka pintu. Belum sempat bicara bersambung, Rizqullah terus menarik tangan Abyatina.

“Kak, tolong ambil Yaqzan di dalam,” pinta Rizqullah.

Marwa terus masuk dalam kebisuan. Sebaik Yaqzan diambil Marwa, Rizqullah terus menarik Abyatina  masuk ke dalam kereta. Kelihatan agak kasar tindakan Rizqullah itu, namun Abyatina hanya menurut sahaja tanpa bicara. Barangkali dilanda kejutan dan ketakutan. Benar, Rizqullah kelihatan seperti menahan amarah. Tiada siapa yang tahu.

Kereta yang dipandu Rizqullah terus memecut. Marwa yang membawa Yaqzan pula menaiki kereta suaminya, mengikut Rizqullah dari belakang. Destinasi tidak diketahui Abyatina. Saat itu, Abyatina seolah-olah tidak mengenali lagi suaminya. Sifatnya ternyata cukup berbeza.

“Maafkan Ina...” bisik hati kecil Abyatina.

Rizqullah terus berdiam diri. Perjalanan dalam kebisuan dan Abyatina berada dalam persoalan.

“Rizqullah marah kat isterinya ke?” soal Marwa kepada suaminya.

“Kita tak tau apa yang bermain dalam fikirannya. Tunggu dan lihat saja apa yang akan berlaku,” balas Sudin.

“Tapi memang salah Ina pun. Menyorok dari suami sendiri...”

“Kita tak boleh buat apa-apa kesimpulan. Hanya mereka saja yang tahu masalah sebenar”

Dalam fikiran Marwa dan suaminya, Rizqullah pasti akan membawa Abyatina menuju ke hospital untuk melihat keadaan Ustaz Man di sana. Namun, sangkaan meleset. Rizqullah menuju ke destinasi yang lain.

“Taman tasik?” Marwa menyoal kehairanan.

Taman Tasik Taiping menjadi destinasi persinggahan Rizqullah. Sebaik tiba, Rizqullah menarik tangan Abyatina keluar dari kereta. Lantas mereka berdua berjalan menuju ke tasik. Marwa dan suaminya hanya melihat sahaja arah perjalanan Abyatina dan Rizqullah itu. Mereka hanya menjadi pemerhati, terus berada di dalam kereta. Si kecil Yaqzan pula terus  berada di pangkuan Marwa saat itu.

“Kenapa Rizqullah bawa ke sini?” soal Marwa lagi.

“Kita lihat sajalah...” balas Sudin yang lebih banyak membisu.

Rizqullah membawa Abyatina berjalan di tepi tasik. Jika sebelum ini tangan Abyatina ditarik dengan kasar, namun sebaik tiba di kawasan tasik, Rizqullah menjadi berbeza. Tangan yang dipegang tiba-tiba diusap lembut Rizqullah. Abyatina kehairanan.

“Banyak dugaan yang dah datang...” bicara Rizqullah memulakan kata. “Mungkin tiba masanya kita kena berubah ke dunia baru...”

Abyatina masih hairan, kurang mengerti bicara yang dituturkan suaminya itu.

“Abang minta maaf kalau ada silapnya...” kata Rizqullah.

Abyatina tertunduk. Barangkali sebak muncul dalam dirinya.

“Maaf abang tak sebesar Ina. Dosa Ina pada abang jauh lebih banyak,” tutur Abyatina sedikit sebak.

Langit mendung saat itu. Kadangkala dirasakan angin menghembus seketika. Namun semua itu bagai tidak dirasai Abyatina dan Rizqullah. Saat itu, masing-masing berbicara meluahkan segala yang mungkin terpendam.

“Abang faham. Semua yang Ina buat pasti ada sebabnya. Bukan salah Ina, tapi orang di sekeliling kita yang jadi dugaannya...” bicara Rizqullah.

“Kita tak boleh nak lari...” kata Abyatina.

“Tak, kita boleh lari dari semua tu. Kita boleh lari sejauh yang kita nak...”

“Tak mungkin...”

“Percaya pada abang. Selepas ni, semua akan berubah. Semua takkan sama lagi. Semua yang mengganggu kita akan hilang nanti,” kata Rizqullah.

Abyatina tersenyum. Mungkin hatinya terubat tatkala harapan diberikan Rizqullah. Pernyataan yang mungkin akan mengubah hidupnya untuk tahun-tahun berikutnya.

“Tapi, ada seperkara lagi”

“Perkara apa?” soal Abyatina.

“Ayah..”

“Kenapa?”

“Tenangkan diri Abyatina. Jangan kusutkan fikiran. Mungkin ini juga dugaan,” bicara Rizqullah dengan tenang.

“Apa yang terjadi?”

“Ayah diserang angin ahmar. Sekarang ada di hospital,” terang Rizqullah dengan ringkas.

Abyatina terus terduduk. Berita yang dikhabarkan memang satu kejutan. Dugaan baru menimpa lagi. Lantas sepantas itu juga mereka menuju ke hospital. Sesalan dirasakan Abyatina. Mungkin menyembunyikan diri yang dilakukannya itu satu kesilapan.

“Bukan masanya untuk sesalan..” bicara Rizqullah. “Tiap-tiap yang berlaku pasti ada hikmah”

Kesemua ahli keluarga Ustaz Man telah berada di hospital. Si pengantin baru Absyar dan isterinya Tasha turut berada bersama. Masing-masing hanya menanti. Harapan diletakkan. Ustaz Man masih lagi dalam rawatan.

“Di mana ayah?” soal Abyatina sebaik tiba.

Semua yang ada terkejut. Kemunculan Abyatina ternyata sesuatu yang tidak dijangka. Setelah hampir sebulan, maka Abyatina memunculkan diri semula. Di sisinya, Rizqullah menemani Abyatina dalam situasi penantian yang masih tak terjawab.

“Di manamu selama ni?” soal Zaafarani. Kelihatan sedikit marah barangkali.

Ustaz Man kini dirawat di unit rawatan rapi. Keadaannya dilihat agak kritikal. Di saat hari bahagia bagi Absyar dan Tasha, kesedihan dengan pantas melanda.

“Di mana mak?” soal Abyatina.

“Di surau. Solat katanya,” balas Raiqah yang duduk di satu penjuru.

“Ina ke mana selama ni?” soal Absyar.

“Ina ada dengan saya,” balas Rizqullah.

Lantas Zaafarani tiba-tiba mencelah.

“Mu jangan bohong!” herdik Zaafarani tiba-tiba. Orang ramai yang berada di hospital terkejut dan terdiam seketika.

“Dia isteri saya. Tahulah saya menjaga,” balas Rizqullah dengan tenang.

“Berapa banya lagi pembohongan yang mu nak buat?” soal Zaafarani marah. “Abyatina bukan ada denganmu... Dia tak pernah ada denganmu selepas kejadian petang tu”

“Saya datang ke sini bukan nak bergaduh,” balas Rizqullah.

Lantas, Raiqah bangun dan kemudian berdiri di antara Rizqullah dan Zaafarani. Raiqah cuba mententeramkan situasi.

“Cukuplah! Kita ke sini susah hati sebab ayah. Jangan ditambah lagi masalah yang ada!” kata Raiqah.

“Sebab itu saya cakap, datang saya ke sini bukan untuk bersengketa...” balas Rizqullah sebelum berjalan menuju ke satu penjuru lain.

“Jadi salah aku?” soal Zaafarani masih lagi dengan amarahnya.

Rizqullah hanya membisu. Berdiri di satu penjuru berhampiran jendela. Pandangannya dilontarkan menerusi jendela itu, membiarkan sahaja amarah Zaafarani itu. Namun kebisuan Rizqullah hanya seketika. Beberapa ketika kemudian, sebaris ayat dituturkannya.

“Malanglah Abyatina kerana punyai abang si penjajah hidup...”

Kata-kata itu ibarat bisa menusuk kalbu. Belum pernah selama ini Rizqullah berbicara sepedih itu. Lantas ibarat percikan api, maka amarah Zaafarani berada di kemuncaknya.

“Memang lancang mulutmu!”

Zaafarani terus menerpa Rizqullah. Dalam kepantasan itu, maka satu tumbukan dilepaskan ke wajah Rizqullah. Sepantas itu jugalah, Rizqullah terjatuh. Tumbukan yang dirasai itu ternyata cukup kuat. Zaafarani dilanda amukan.

Maka Absyar dengan pantas meluru ke arah Zaafarani. Rafiqin dan Zabarjad juga turut segera menghampiri abang mereka itu. Situasi cuba ditenangkan. Dengan pantas, Absyar memegang kuat Zaafarani, menghalang abangnya itu mencetuskan kekecohan yang lebih besar di hospital itu.

Hadirin yang ada di hospital mula tertumpu pada Zaafarani dan Rizqullah. Pada waktu itu, Marwa baru saja muncul membawa bersama Yaqzan anak kecil Rizqullah dan Abyatina. Di sisi Marwa, Sudin menemaninya dengan setia. Situasi panas yang terjadi menyebabkan Marwa terus menghampiri Abyatina.

“Perang apa yang terjadi?” soal Marwa ingin tahu.

“Perang tegakkan kebenaran,” balas Abyatina ringkas yang terus memerhati situasi yang terjadi di penjuru hospital itu. Abyatina menyambut Yaqzan yang kelihatan masih nyenyak tidur di pangkuan Marwa.

Rizqullah bangun semula tak lama kemudian. Tumbukan yang dirasakan ternyata cukup pedih. Tepat mengenai pipi kanannya, maka bekasnya masih kelihatan. Namun pedih yang dirasakan itu hanya menghasilkan kuntuman senyuman di wajah Rizqullah.

“Kebenaran tak semestinya tertegak dengan kekerasan....” bicara Rizqullah.

Abyatina bangun dan menghampiri Rizqullah. Tanpa sebarang bicara, mereka berlalu pergi meninggalkan tempat tersebut. Marwa yang baru sampai kehairanan. Di saat itu juga ibu Abyatina baru saja muncul setelah selesai bersolat di surau. Situasi yang baru saja terjadi tidak diketahui Mak Cik Ros.

Serentak itu jugalah perkhabaran mengenai Ustaz Man disampaikan. Seorang jururawat muncul. Keadaan Ustaz Man dinyatakannya. Hanya gelengan kepala dapat dinyatakan. Ternyata situasi duka akan tercetus. Saat itu jugalah Mak Cik Ros mula menitiskan air mata. Raiqah cuba menenangkan ibunya itu.

Marwa mula bergegas keluar. Kelibat Rizqullah dan Abyatina cuba dicari. Perkhabaran mengenai Ustaz Man harus disampaikan dengan segera. Namun pencarian itu menemui kebuntuan. Rizqullah dan Abyatina hilang dari pandangan.

“Kita lari jauh dari semuanya...” bicara Rizqullah terhadap Abyatina.

Bersama anak kecil mereka, satu destinasi ditetapkan. Kisah baru bakal dicipta mereka. Dunia baru akan diteroka. Abyatina dan Rizqullah menghilang tanpa perkhabaran.

“Apakah sempat Abyatina tahu? Apakah Ustaz Man punyai masa lagi?” soal Marwa dalam hatinya.

Keadaan Ustaz Man menimbulkan keresahan. Namun, di waktu itulah juga, Abyatina dan Rizqullah berlalu pergi. Pada waktu itu jugalah perseteruan di antara Rizqullah dan Zaafarani tercetus lagi. Satu demi satu kekusutan melanda. Dugaan yang muncul menguji kekuatan sabar tiap-tiap yang ada.

Titisan air mata Mak Cik Ros berterusan. Menanti satu harapan untuk memberikan kelegaan. Penantian yang penuh ketabahan.




*Tamat sudah Bicara Dua Puluh Sembilan*

Ke manakah destinasi Rizqullah dan Abyatina? Apakah keadaan yang terjadi pada Ustaz Man?

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.





*Terima kasih kepada sahabat sepraktikum dari UUM, saudari Farah Afiqah binti Borhanuddin atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.

Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina









Khamis, 26 Disember 2013

Catatan di SMK Dr Burhanuddin (Siri 2)





Hari pertama di SMDB

Pada 15 Julai 2013, maka bermulalah tugas sebagai guru praktikum. Pada hari pertama ini, saya tiba di sekolah seawal 6.50 pagi. Pada waktu ini, ketibaan saya serentak dengan ketibaan dua orang guru perempuan yang menaiki skuter. Mengikut pengamatan mata, barangkali mereka berdua merupakan guru praktikum dari UUM setelah melihat pelekat UUM pada motosikal tersebut. (Mereka ialah Farah dan Kak Yat). Namun saya tak berani untuk menegur mereka.

Suasana di sekitar SMDB masih tetap sama seperti dulu, namun ketiadaan kolam yang kini telah menjadi kawasan letak kereta sedikit sebanyak telah mengubah lanskap SMDB yang saya kenali.

SMDB di awal pagi


Perkara pertama yang dilakukan adalah menunggu sahabat karib Shahril. Pada masa yang sama juga, kami juga akan berjumpa dengan rakan-rakan praktikum yang lain. Jumlah semua guru praktikum dari UPSI di SMDB adalah seramai 6 orang (2 TESL, 2 Seni, 1 Sains, 1 Fizik). Sebelum perhimpunan bermula, kami berkumpul dahulu di hadapan pejabat untuk memudahkan urusan lapor diri nanti.

Isnin di waktu pagi, maka perhimpunan sekolah akan diadakan. Untuk itu, kami berenam tidak dapat melapor diri lagi, dan diakhirnya kami terus menuju ke astaka sekolah untuk menghadiri perhimpunan sekolah pagi itu.

Tatkala duduk sebaris dengan para guru, satu perasaan yang sangat janggal dirasakan. Perasaan seolah-olah tidak percaya menyelubungi diri. Ya, tak sangka pula dapat duduk sebaris dengan para guru. Kalau dulu sewaktu bergelar pelajar, hanya berdiri di tapak perhimpunan.

Tak lama kemudian, Pengetua, Pn Latifah Hanam memberi ucapan. Kemudian, kami diperkenalkan beliau kepada kesemua pelajar yang ada. Satu persatu kami diperkenalkan, bermula dengan nama masing-masing diikuti dengan bidang pengajian kami. Ternyata para pelajar kelihatan teruja, dan apabila nama saya diumumkan Puan Pengetua tepukan gemuruh diberikan. Mungkin teruja tatkala melihat guru praktikal lelaki, sesuatu yang jarang di SMDB.

Astaka sekolah (Balai Seni)


Apabila tamat perhimpunan, maka barulah kami ke pejabat untuk urusan lapor diri. Disebabkan pengetua agak sibuk pada hari tersebut, maka kami bertemu Penolong Kanan 1, Pn Mariam.  Dalam pertemuan itu, sesi perkenalan berlangsung dan masing-masing memperkenalkan diri. Selepas sedikit taklimat ringkas mengenai sekolah, maka kami dibawa Pn. Mariam untuk melawat kawasan sekolah, bermula dari kawasan pejabat, Pusat Sumber Suri, bilik guru hinggalah ke kawasan makmal komputer. Keadaan tidak banyak bezanya seperti 9 tahun yang lalu. Namun, SMDB kini memiliki dewan sekolah yang baru dan kolam yang menghiasi landskap SMDB satu masa dahulu kini telah tiada, dijadikan tapak parkir sekolah.

Dewan SMK Dr Burhanuddin


Sewaktu kunjungan terdapat beberapa guru yang masih mengecam saya. En Chai masih lagi mengenali saya dan katanya, “Siapa tak ingat top student sekolah ni dulu”

Saya hanya membalas, “Itu kisah lama saja...”

Pn. Mariam merupakan guru baru di SMDB (saya rasalah), kerana sewaktu saya belajar di SMDB dahulu, beliau bukan merupakan guru di sekolah tersebut.

Selepas sesi lawatan, maka kami ditentukan sesi sekolah. Shahril sahabat saya mendapat sesi pagi dan saya akan mengajar sesi petang. Harus diakui, saya memang lebih suka untuk mengajar sesi petang kerana banyak melakukan persiapan bagi pelajar tingkatan satu dan dua sewaktu cuti semester yang lalu. Pn Nurul (guru Fizik saya dahulu) selaku guru penyelaras jadual telah menetapkan jadual bagi sesi pagi. Untuk jadual sesi petang, Ustaz Amin akan menyelaraskannya.

Shahril, Ila, Sharifah, dan Hafiza telah ditetapkan untuk sesi pagi. Hasliza dari Pendidikan Seni pula telah ditetapkan untuk sesi petang. Selepas penetapan sesi itu, kami bergerak pula menuju ke bilik Penolong Kanan Koko, En Alias. Ya, siapa tak kenal Cikgu Alias di SMDB. Guru Bahasa Melayu yang cukup bersahaja ketika mengajar, dan seringkali membuatkan pelajarnya bergelak ketawa dengan gurauannya. Walaupun Cikgu Alias tak pernah mengajar saya, saya cukup kenal beliau. Kini, beliau telah menjadi pihak pentadbir sekolah (ketika entri ini ditulis, Cikgu Alias telah berpindah ke SMK Taman Panglima menjadi Guru Penolong Kanan 1 di sana).

Seperti biasa, sesi pertemuan kami ternyata cukup ceria tatkala Cikgu Alias memberi taklimat mengenai perjalanan Koko di sekolah, beliau seringkali bergurau dengan pelbagai gurauan yang mencuit hati. Ternyata, walaupun beliau telah berada di peringkat atasan sekolah, sifat ramah yang lucu beliau masih tetap sama.

Selepas bertemu Cikgu Alias, kami bertemu pula Penolong Kanan HEM, Pn Ros. Dalam pertemuan ini, kami lebih banyak menerima tips dan nasihat yang berguna untuk menjadi guru yang berkesan kepada para pelajar. Menurutnya, pada minggu pertama dan kedua kelas, guru seharusnya tegas supaya para pelajar menghormati guru. Apabila nilai hormat itu telah dibina, barulah guru boleh mnggunakan pendekatan mengikut keselesaan masing-masing.

Bagi saya dan Hasliza, kami juga melakukan sesi pertemuan dengan PK Petang, En. Makri. Pertemuan ringkas selama 15 minit hanyalah sesi berkenalan dan perbincangan mengenai bidang pengajian masing-masing. Di akhirnya, En Makri memutuskan saya untuk mengajar Bahasa Inggeris sepenuhnya di SMDB tanpa tambahan mana-mana subjek yang lain. Hasliza juga begitu, akan mengajar Pendidikan Seni sahaja. Ya, kelegaan dirasakan. Ternyata pihak sekolah cukup mesra dengan guru baru seperti kami.

Pukul 2 petang, saya dibenarkan pulang oleh Cikgu Makri. Jadual kelas hanya akan diperoleh pada keesokannya. Maka, tamatlah hari pertama di SMK Dr Burhanuddin.



(BERSAMBUNG)

Untuk siri akan datang, saya akan berkongsi pengalaman bertemu semula guru-guru lama yang pernah mengajar saya sewaktu di tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Insya-Allah.


Untuk siri sebelumnya, klik di sini:  [Siri 1]





Khamis, 19 Disember 2013

Catatan di SMK Dr Burhanuddin (Siri 1)





Barangkali ibarat sireh yang pulang ke gagangnya, maka tatkala permohonan untuk berpraktikum di SMK Dr Burhanuddin telah diluluskan oleh pihak PULAMI UPSI dan pihak sekolah, maka keterujaan mula melanda. Bersama sahabat rapat Shahril Saibon, maka kami berdua bakal menjalani latihan mengajar di SMK Dr Burhanuddin sebagai guru Bahasa Inggeris selama empat bulan. Satu persoalan yang timbul, “Apakah SMDB masih kekal sama seperti dulu, 9 tahun yang dulu?”

Tahun 2004 merupakan tahun terakhir saya di SMDB. Mula menjadi pelajar SMDB pada tahun 2002, dan pada tahun 2005, saya berpindah ke MRSM Taiping. Walaupun tempohnya sekadar 3 tahun di sekolah itu, pengalaman dan memori yang dikutip di SMDB ternyata adalah sesuatu yang cukup sukar untuk dipadam dari ingatan.

Tarikh Julai 2013, maka sekali lagi catatan baru dinukilkan. Sekali lagi saya kembali semula ke SMDB, namun kali ini langkah yang diatur bukan lagi memegang gelaran sebagai pelajar, tetapi datang kali ini adalah sebagai seorang guru.

Permulaan perjalanan

Di awalnya, SMDB bukanlah pilihan utama bagi penempatan praktikum. Mengikut senarai yang diedarkan oleh penyelaras praktikum bagi kursus TESL, En. Sidek Ariffin, bagi kawasan Taiping, SMDB tidak disenaraikan sebagai sekolah yang boleh dijalankan praktikum untuk pelajar TESL. Ya, hakikatnya SMDB tidak pernah menerima guru praktikal TESL sebelum ini.

Namun dengan beraninya, saya memutuskan bersama-sama sahabat karib Shahril Saibon untuk memilih sekolah lama saya ini sebagai sekolah untuk berpraktikum. Menurut Mr Sidek, tidak ada masalah untuk memilih mana-mana sekolah, asalkan sekolah itu meluluskan permohanan praktikum, maka para pelajar boleh berpraktikum di sekolah tersebut.

Untuk rekod, kawasan bagi praktikum TESL adalah merangkumi kawasan Perak, beberapa kawasan di Pahang, dan Selangor.

Permohonan sekolah itu akan dihantar ke Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PULAMI), dan pihak PULAMI kemudian akan menghantar permohonan ke sekolah yang dipohon itu. Pihak sekolah dikehendaki memberi respon, sama ada menerima atau menolak permohonan tersebut. Sekiranya ditolak, pelajar dikehendaki untuk memilih sekolah lain dan proses yang sama akan dilakukan lagi.

Pada pertengahan bulan Mei, permohonan saya di SMDB bersama Shahril telah diluluskan pihak sekolah, dan secara rasminya kami akan menjadi guru praktikal di SMDB bermula bulan Julai 2013.

Persiapan

Tidak banyak persiapan dilakukan sebelum saya memulakan praktikum di SMDB kerana saya berpraktikum di Taiping, tempat tinggal saya dan keluarga. Namun bagi pelajar lain, mereka perlu memastikan supaya tempat tinggal terjamin, dan untuk itu mereka perlu mencari rumah sewa selewat-lewatnya dua minggu sebelum praktikum bermula.

Bagi persiapan untuk mengajar, saya banyak melakukan pembacaan mengenai spesifikasi kurikulum yang terkini, dan pada masa sama cuba memahami Penilaian Berasaskan Sekolah PBS yang telah dilaksanakan bermula tahun 2012.

Serperkara lagi, saya juga mencari pelbagai bahan bantu mengajar sepanjang sebulan bercuti. (Kami dapat bercuti selama sebulan sebelum bermulanya praktikum). Perkara ini penting kerana berdasarkan pengalaman sewaktu praktikum, saya tidak punyai masa yang banyak untuk melakukan persiapan ‘teaching aids’ bagi setiap sesi kelas.

Kata orang, persiapan yang awal akan memudahkan kerja di masa akan datang.

Ini adalah kisah pengalaman praktikum di SMK Dr Burhanuddin. Sebuah perkongsian catatan perjalanan. Mungkin penuh dugaan namun ada manisnya. Beberapa siri akan dikongsikan. Sepanjang siri ini, saya akan membawa kalian menyelusuri pengalaman saya sebagai guru selama 4 bulan di SMK Dr. Burhanuddin.

Kisah permulaan sebagai guru, perkenalan dengan sahabat baru seperti Firdaus Ahmad, Hasliza, Farah, Ila, Shahril serta kerenah kenakalan kelas 207 dan 106 akan dikongsikan. Nama-nama pelajar seperti Hanis, Nisha, Hamizah, Inani, Hafiz, Farezman, Ain Syafinaz dan ramai lagi akan disebut. Kisah bertemu kembali guru-guru lama seperti Cikgu Azly, Ustaz Razak, Cikgu Rahim, Pn Chew, Cikgu Noran, Pn Baishah, dan ramai lagi akan diceritakan. Kisah bertemu sahabat lama SMDB, Khairul Hafizin dan Danial Muhaimin melengkapkan cerita. Pengalaman sebagai guru mengendalikan beberapa acara sekolah seperti Kejohanan Merentas Desa, Hari Anugerah Kokurikulum, Jamuan Akhir Tahun Kelab Guru akan dikongsikan juga. Inilah kisah catatan sebagai guru di SMK Dr Burhanuddin.

 Ikuti pengalaman ini dalam siri-siri berikutnya. Insya-Allah.


(BERSAMBUNG)