"Adina (Bicara Dua Puluh Lapan)"






“Aku terima nikahnya, Tasha binti Razali dengan maskawinnya RM80 tunai...”

“Semestinya sah!” kata Ustaz Man barangkali berseloroh seketika.

“Sah!” bicara pula Cikgu Razali, ayah Tasha.

“Err, sah akad nikah tu macam mana?” soal Zabarjad mencelah tiba-tiba.

Maka, seisi hadirin ketawa tatkala mendengar pertanyaan yang diajukan Zabarjad itu. Serentak dengan itu juga, kadi pun berbicara.

“Alhamdulillah. Tahniah buatmu”

Sekali lagi hadirin memberi suara. Tepukan diberikan tanda kelegaan. Maka dengan sekali lafaz sahaja, Absyar sah bergelar suami buat Tasha Razali. Setelah pelbagai dugaan dihadapi, akhirnya mereka disatukan.

“Di mana Abyatina dan suaminya?” soal Cikgu Razali kepada Ustaz Man sebaik selesai majlis akad nikah.

Ustaz Man hanya mampu membisu, tiada bicara. Hakikatnya, Abyatina dan Rizqullah tidak muncul pada majlis perkahwinan Absyar dan Tasha. Ketiadaan mereka ternyata menimbulkan pelbagai persoalan buat Ustaz Man seisi keluarga.

“Mungkin lewat sikit sampainya...” bicara Zabarjad, adik Abyatina cuba menjawab pertanyaan Cikgu Razali itu.

Hakikatnya, tiada siapa yang tahu sebab Abyatina dan Rizqullah yang masih tidak muncul lagi dalam majlis itu. Ustaz Man terus membisu di saat keriuhan tercipta di ruang tamu rumah Cikgu Razali itu. Majlis akad nikah berlangsung dengan lancar di rumah besan baru Ustaz Man itu.

Majlis menyarung cincin diteruskan tak lama kemudian. Namun kekecohan tercetus tatkala kotak cincin yang dibuka Absyar didapati kosong. Cincin yang ingin disarungkan didapati hilang.

“Ke mana pula cincinnya?” soal Cikgu Rohani, ibu Tasha.

Namun Absyar sekadar menguntumkan senyuman. Tangannya kemudian menyentuh jari jemari Tasha. Perlahan-lahan kemudian tangannya itu menggenggam tangan Tasha. Agak lama juga genggaman tangan itu sebelum Absyar melepaskannya. Serentak dengan itu juga, cincin yang dikatakan hilang itu telah berada di atas tapak tangan Tasha. Maka, Tasha terkejut, begitu juga hadirin yang ada.

“Bagaimana boleh?....” soal Tasha hairan.

“Cinta perlukan kejutan. Tiap-tiap kejutan adalah kebahagiaan...” bicara Absyar.

Sekali lagi hadirin bertepuk tangan. Barangkali tak menduga tindakan Absyar itu. Maka, tak lama kemudian Absyar menyarungkan cincin itu ke jari Tasha. Lengkaplah sudah fasa perjalanan majlis perkahwinan itu.

“Cinta itu ada magisnya...” bicara Tasha membalas tutur kata Absyar tadi.

Ternyata majlis perkahwinan Absyar dan Tasha satu kelainan berbanding kebiasaan. Hadirin yang datang bukan sekadar penduduk kampung, malah rakan-rakan Tasha yang turut memeriahkan suasana. Rata-rata penduduk kampung mengakui majlis perkahwinan yang berlangsung itu paling meriah yang pernah disaksikan di kampung itu.

“Kalau sampai sepuluh khemahnya, bukan calang-calang kenduri nampaknya,” bicara seorang penduduk kampung.

“Macam membazir pula nampaknya...” luah pula penduduk kampung yang lain tatkala mereka sedang menjamu selera di majlis perkahwinan Absyar dan Tasha itu.

“Kalau dah mampu, apa salahnya...” celah Pak Din, pemilik kedai runcit di kampung itu. Pak Din turut hadir pada majlis itu.

“Tapi, kenapa sampai besar-besaran majlisnya?”

“Biarlah. Tiap-tiap orang ada kemampuannya. Kita tak tahu. Rezeki ni kadang-kadang macam banda ghaib. Tiba-tiba muncul tanpa diduga,” balas Pak Din.

Perihal majlis perkahwinan Absyar dan Tasha ternyata menjadi bual bicara penduduk kampung. Belum pernah disaksikan majlis sebesar itu, dan semuanya menimbulkan persoalan. Namun, hakikatnya Tasha dan Absyar memang merancang majlis sebesar itu.

“Nak penuhi jemputan semua, mungkin majlisnya kena besar juga,” bicara Absyar sewaktu dalam majlis tatkala beberapa penduduk kampung bertanya perihal majlisnya itu.

“Asalkan dalam kemampuan, asalkan semua gembira, itu dah cukup buat kami,” tambah Tasha pula.

Sementara itu, Ustaz Man kelihatan banyak berdiam diri sewaktu majlis berlangsung. Begitu juga Mak Cik Ros, banyak membisu dan kadangkala mengelamun panjang. Hakikatnya, di saat kegembiraan baru sahaja dikecapi Absyar dan Tasha, Ustaz Man dan Mak Cik Ros dilanda persoalan dalam kerisauan.

“Berceraikah Abyatina dan Rizqullah?”

Persoalan itu muncul beberapa minggu sebelumnya, diluahkan Mak Cik Ros kepada Ustaz Man. Persoalan itu seringkali timbul selepas peristiwa petang yang berlaku beberapa hari sebelumnya. Kisah amarah Zaafarani, dan kejutan yang diberikan Rizqullah.

“Lafaznya itu bukan pemutus penceraian. Semuanya kalau... dan bicara Rizqullah berlandaskan kalau...” terang Ustaz Man. “Kalau, membawa maksud, sekiranya... dan bila sekiranya, maksudnya belum lagi jadi. Maksudnya juga, lafaz cerai itu hanya menjadi sah kalau tiap-tiap kalau itu telah terjadi”

“Tapi walaupun kalau, pandangannya tetap jadi serong,” balas Mak Cik Ros.

“Permainan dalam kata-kata, kadang-kadang tak ubah macam politik,” kata Ustaz Man.

“Politik Rizqullah, semua orang jadi pening kepala...”

Namun persoalan mengenai Rizqullah itu disambut pula dengan kehilangan secara tiba-tiba Abyatina pada petang yang sama. Kekalutan melanda dan semua ahli keluarga Ustaz Man cuba mencari kelibat Abyatina dan anak kecilnya Yaqzan. Namun, tiada siapa yang tahu arah tuju Abyatina selepas kehilangannya.

Beberapa hari kemudian, panggilan telefon kedengaran. Abyatina menelefon ibunya. Maka disampaikan khabar berita nyatakan bahawa dirinya kini telah selamat pulang, berada di rumah bersama suaminya Rizqullah. Selepas itu, kisah pencarian terhenti. Kelegaan melanda, dirasakan buat Ustaz Man. Ibu Abyatina melahirkan rasa syukur.

Barangkali, kata-kata mengguris hati dinyatakan Zaafarani sedikit sebanyak mencetuskan pergolakan baru itu. Tindakan Rizqullah keluarkan kenyataan tentang persoalan penceraian adalah sesuatu di luar dugaan. Mungkin juga Abyatina terkejut, maka dilarikan diri secara tiba-tiba dari keramaian keluarga di ruang tamu itu.

“Mungkin Abyatina juga terguris di hati...” bisik Mak Cik Ros tatkala keramaian di majlis perkahwinan Absyar dan Tasha semakin meriah.

Zaafarani, abang Rizqullah ternyata dilanda kejutan pada petang itu. Tidak diduga, pendaman rasa hati Rizqullah terhambur secara tiba-tiba. Namun bicara tentang penceraian itu menunjukkan betapa Rizqullah benar-benar kecewa dengan situasi yang sedang melanda, terutama tentang soal hubungan Rizqullah dan Zaafarani yang masih terus dingin bertahun lamanya.

“Apa masalahmu? Apa yang mu bencikan sangat pada Rizqullah?” soal Mak Cik Ros pada Zaafarani selepas situasi kelam kabut itu terjadi.

“Jangan disebabkan hatimu dipenuhi kebencian, maka mereka yang patut bahagia perlu rasa derita. Itu kejam namanya,” bicara pula Ustaz Man.

“Bukan Rizqullah dah deritakan Abyatina. Tapi mu yang hancurkan Abyatina. Mu juga yang rosakkan bahagia Rizqullah...” kata Mak Cik Ros.

Zaafarani hanya tunduk. Tak lama kemudian dia berlalu pergi, menghidupkan enjin kereta, menuju ke destinasi yang tak diketahui. Anak dan isterinya ditinggalkan sementara di rumah Ustaz Man. Barangkali Zaafarani mahu mencari ketenangan. Sejak itu juga, Zaafarani lebih banyak berdiam diri. Kedinginan melanda hatinya. Tiada lagi bicara keceriaan dijelmakannya.

Dalam lamunan panjang itu, Mak Cik Ros terkejut tatkala dirinya disapa oleh seseorang. Kejutan dirasakan sedikit apabila Mak Jah duduk di sebelahnya. Sahabat baiknya muncul, walaupun lewat namun masih tetap hadir di majlis itu.

“Dugaan Abyatina lagi?” soal Mak Jah sebaik duduk di sebelah Mak Cik Ros.

“Banyak dugaannya. Datang dan pergi. Berterusan, sampai sekarang. Apa dosa si Abyatina? Susah sangatkah nak rasa bahagia?” luah Mak Cik Ros.

“Kita manusia tak akan mengerti maksud sebenar bahagia. Kadang-kadang, dugaan itulah bahagia. Tiap-tiap dugaan adalah satu cara menguji kekuatan hati, kuatkan lagi rasa sayang, dan dari itulah bahagia tercipta. Tak ada perkahwinan yang tak dilanda ujian. Semua akan lalui juga”

Ibu Abyatina itu hanya tersenyum dengan kata-kata yang dinyatakan Mak Jah itu. Dalam kemeriahan majlis, dua sahabat ini hanya duduk di kerusi di bawah pohon rendang. Mereka hanya memerhati setiap kemeriahan yang sedang tercipta di majlis itu.

“Assalamualaikum mak”

Salam diberikan mengejutkan sekali lagi Mak Cik Ros. Tanpa diduga, Rizqullah menantunya muncul secara tiba-tiba. Ketidakhadiran Rizqullah dalam majlis itu ternyata memberi rasa suram buat Mak Cik Ros. Namun kemunculan Rizqullah juga memberi satu kejutan walaupun hatinya melonjak gembira.

“Waalaikumussalam,” balas ibu Abyatina sambil tangannya menyambut salam yang dihulurkan Rizqullah.

“Di mana Abyatina?” soal Rizqullah kemudian.

“Abyatina?” soal Mak Cik Ros dalam kehairanan.

Kisahnya barangkali mencetuskan kekeliruan sekali lagi. Kehadiran Rizqullah dengan persoalan mencari kelibat Abyatina itu ternyata sesuatu yang ganjil. Dalam pengetahuan ibu Abyatina, kisahnya seharusnya mencipta satu ketenangan dan kelegaan hati. Sepatutnya saat itu Abyatina memang berada di sisi Rizqullah. Seharusnya Rizqullah tidak lagi mencari-cari Abyatina.

“Apa yang terjadi?” bisik ibu Abyatina.

Maka, imbasan fikiran menerjah kembali terhadap peristiwa beberapa minggu sebelumnya. Tiga hari selepas kekecohan dia menerima panggilan dari Abyatina. Kata Abyatina, dirinya telah kembali pulang ke rumah suaminya. Maka mengenangkan panggilan yang pernah dibuat Abyatina itu, maka Mak Cik Ros terus mengajukan pertanyaan kepada Rizqullah.

“Bukan Abyatina ada denganmu Rizqullah?”

“Dengan saya?”

“Itulah kata Abyatina,” terang ibu Abyatina.

“Tapi bukan itu yang dikatakan Abyatina pada saya,” kata Rizqullah.

“Jadi, di mana Abyatina?” celah Mak Jah tiba-tiba.

Rizqullah dan Mak Cik Ros berpandangan antara satu sama lain. Ternyata masing-masing berada dalam kehairanan. Barangkali tertanya-tanya mengenai kelibat Abyatina yang dicari. Lantas Mak Cik Ros mendapatkan Ustaz Man. Perlahan-lahan berjalan dan bertongkat, maka Mak Cik Ros membawa Ustaz Man duduk di bawah teduhan pohon rendang itu, bertemu Rizqullah yang masih menanti.

“Di mana Abyatina?” soal Ustaz Man sebaik menyambut salam yang dihulur Rizqullah.

“Saya pun nak tanya soalan yang sama. Di mana Abyatina?” soal Rizqullah pula.

Maka, kisah beberapa minggu sebelum itu muncul kembali dalam fikiran Rizqullah. Selepas mengambil keputusan mengejut untuk pulang secara tiba-tiba pada kekalutan petang itu, Rizqullah ternyata tidak langsung berjumpa dengan Abyatina dan anak mereka Yaqzan. Rizqullah pulang bersendirian ke rumah. Selepas itu, Rizqullah memang tidak melihat langsung kelibat Abyatina.

“Mu langsung tak cari Abyatina?” soal Ustaz Man.

“Bukan tak mencari. Pada fikiran saya, Abyatina memang ada di rumah ayah dan mak. Tak terfikir pula Abyatina akan menghilang,” balas Rizqullah.

“Tapi, bukan itu yang terjadi. Bila mu pergi, Abyatina pun pergi. Abyatina pun hilang dengan anakmu,” terang Ustaz Man.

“Jadi, mu langsung tak mencari?” soal pula Mak Cik Ros, ibu mertuanya.

Kisahnya, pada malam selepas kejadian petang itu, satu panggilan telefon diterima Rizqullah. Abyatina menghubunginya, dan menerusi perbualan telefon itulah, Abyatina menyatakan bahawa dirinya selamat berada bersama-sama Yaqzan di kampung. Maka, pada malam itu juga Rizqullah tidak lagi memikirkan soal pencarian Abyatina.

“Tapi, bukan itu yang terjadi. Abyatina tak ada bersama kami,” bicara Ustaz Man.

“Abyatina pun ada telefon. Tapi katanya, dia ada denganmu di rumah,” kata Mak Cik Ros.

Rizqullah terdiam seketika. Mungkin menjadi keliru dengan persoalan mengenai Abyatina.

“Jadi, kalau Abyatina tak ada di sini, dan Abyatina juga tak ada dengan saya.... di mana Abyatina sebenarnya?” soal Rizqullah yang ternyata dalam kehairanan.

Ustaz Man dan Mak Cik Ros pula dilanda kebisuan.

“Apa lagi, kita gegarkan kenduri ni!”

Secara tiba-tiba satu suara kedengaran di keramaian majlis itu. Rafiqin, anak bongsu Ustaz Man muncul secara tiba-tiba berdiri di tengah keramaian yang sedang menikmati hidangan. Sambil tangan memegang kompang, lantas beberapa rakan-rakannya yang lain juga mula berkumpul di tempat yang sama.

“Kita pukul!” jerit Rafiqin.

Maka serentak itu jugalah, suasana bertukar kemeriahannya. Paluan kompang mengejutkan hadirin yang ada. Tidak siapa yang menduga akan ada majlis paluan kompang di saat itu. Namun, hiburan yang tercipta itu mencetuskan suasana yang lebih meriah bagi majlis itu.

“Apa pula dengan si Rafiq ni?” Mak Cik Ros seakan mengeluh. “Ada-ada saja yang dibuatnya...”

“Biarkan. Mungkin ketagih nak berkompang. Tapi, ini baru kena caranya...” kata Ustaz Man tersenyum.

Cikgu Razali, tuan rumah majlis perkahwinan itu ternyata terkejut. Pukulan kompang yang kedengaran dirasakan satu kejanggalan. Hakikatnya, tiada perancangan acara kompang itu diatur sebaik majlis makan bermula. Pukulan kompang sepatutnya bermula tatkala pasangan pengantin berjalan menuju ke meja santapan. Saat berarak itulah, barulah pukulan kompang akan kedengaran.

“Salah jamkah?” bisk hati kecil Cikgu Razali yang kehairanan.

Namun, Cikgu Razali hanya membiarkan saja pukulan kompang itu. Hanya mengukir senyuman sambil menggelengkan kepala. Barangkali tersenyum tatkala melihat gelagat Rafiqin berkompang bersama rakan-rakannya.

Harus diakui, jika dibandingkan dengan majlis perkahwinan Abyatina dan Rizqullah beberapa tahun yang lalu, majlis ini ternyata jauh lebih besar dan meriah. Persiapan yang dibuat juga jauh lebih lama, memerlukan empat bulan persiapan. Semuanya atas permintaan Tasha yang ternyata begitu teliti dalam melakukan persiapan. Absyar hanya menurut sahaja kehendak Tasha itu. Baginya, asalkan persiapan itu dalam kemampuannya, maka soal lain tidak menjadi masalah.

Maka, disebabkan itu jugalah, beberapa siri perjumpaan diatur oleh Ustaz Man sekeluarga. Perbincangan mengenai persiapan majlis perkahwinan Absyar dilihat lebih rumit berbanding majlis perkahwinan Abyatina beberapa tahun sebelumnya.

“Majlis terbesar tahun ni. Mau tak meriah...” bicara Pak Din yang berbual dengan Zabarjad. Kelihatan Pak Din berselera menikmati hidangan yang disediakan dalam majlis itu.

“Besarnya, maknanya banyak juga ribu-ribu duitnya...” balas Zabarjad.

Menjelang tengah hari, maka acara berarak pengantin bermula. Di perkarangan masjid, maka Absyar dan rombongan lelaki sedang menanti. Mereka akan bergerak menuju ke rumah Cikgu Razali yang terletak tidak jauh dari tempat mereka berada. Mengikut perancangan, rombongan lelaki diketuai Zaafarani akan berjalan sehingga tiba di pintu masuk rumah Cikgu Razali.

Ustaz Man dan Mak Cik Ros tidak turut serta dalam rombongan perarakan itu. Mereka masih terus berehat di bawah rimbunan pokok, menjadi pemerhati dari jauh sahaja majlis yang sedang berlangsung itu. Sejak pagi lagi, Ustaz Man tidak punyai daya yang banyak. Keletihan dirasakannya. Maka, Mak Cik Ros menemaninya.

Apabila semua telah bersedia, maka Rafiqin muncul bersama rakan-rakan kompangnya. Saat itu, bergemalah sekali lagi paluan kompang di perkarangan masjid. Dalam rombongan itu, ada yang memegang bunga manggar, ada juga membawa jambangan bunga. Tidak dilupakan juga, barang hantaran juga dibawa menuju ke rumah pengantin perempuan.

“Kenapa hantaran tak dibawa sekali sewaktu majlis akad nikah tadi?” soal Pak Din kepada Zabarjad yang masih enak menjamu selera.

“Syariat kita dahulukan. Hantaran itu adat saja,” balas Zabarjad ringkas.

Perarakan pengantin lelaki itu ternyata menarik perhatian penduduk kampung. Belum pernah seumpamanya berlaku perarakan sebegitu. Barangkali perkahwinan Absyar mencipta sejarahnya, maka mungkin disebabkan itu jugalah terdapat beberapa penduduk kampung turut serta dalam perjalanan perarakan itu menuju ke rumah pengantin perempuan.

Sebaik tiba di perkarangan rumah, persembahan silat dipertontonkan kepada hadirin. Tak lama kemudian, acara berbalas pantun mengambil tempat. Zaafarani menjadi wakil bagi pihak lelaki dan Cikgu Razali, bapa pengantin perempuan menjadi wakil pihak perempuan.

“Naik motokar habis bateri,
Turun kereta, berlari-lari,
Amboi, ramainya comel berseri-seri
Hajatnya apa datang ke mari?”

Ungkapan pantun spontan dimulakan dahulu Cikgu Razali. Hadirin ketawa sebaik mendengar pantun tersebut. Barangkali gaya spontan yang ditunjukkan Cikgu Razali mencuit hadirin.

“Saya balas!” kata Zaafarani penuh semangat.

Maka hadirin memberi tumpuan.

“Berlari-lari terjumpa biri-biri,
Punyalah laju terlanggar Pak Leman,
Hajatnya besar kami ke mari,
Nak memetik bunga-bunga di taman”

Pantun dibalas Zaafarani.

“Hah, bunga-bunga di taman? Berapa banyak bunga tu?” soal Cikgu Razali ketawa kecil.

“Eh, silap. Sekuntum saja...” balas Zaafarani mengakui kesilapannya. Hadirin ketawa.

Cikgu Razali kemudian bersiap sedia untuk membalas pantun. Beberapa ketika masa diambilnya, mungkin memikirkan rangkap pantun yang akan dibalasnya.

“Bawa kereta laju membelok,
Biawak di jalan hampir nak gilis,
Kalau begitu hajatnya dah elok,
Dipersilakan masuk ke dalam majlis”

“Dari tadi pasal kereta saja ya cikgu..” usik Zaafarani. Saat itu juga Zaafarani pula mencari buah fikiran . Pantun akan dibalas.

“Elak biawak tergilis siput,
Termimpi-mimpi sampai ke pagi,
Cepatnya kami dijemput,
Tak nak jual pantun lagi?”

Hadirin ketawa. Maka, sesi berbalas pantun diteruskan lagi untuk beberapa rangkap. Persembahan di antara Cikgu Razali dan Zaafarani ternyata menghiburkan hadirin yang ada. Masing-masing tidak mengalah.

Sebaik tamat sesi berbalas pantun, maka rombongan pengantin lelaki dibenarkan masuk ke halaman rumah pengantin perempuan. Lantas si pengantin lelaki dipertemukan dengan pengantin perempuan yang sedia menanti di atas tangga. Si pengantin lelaki menghulurkan tangannya. Si pengantin perempuan menyambutnya. Mereka berpegangan tangan. Maka, selepas itu pengantin lelaki membawa pengantin perempuan menuju ke meja santapan. Hadirin yang melihat bertepuk tangan. Saat bahagia Absyar dan Tasha telah tercipta. Senyuman wujud buat mereka berdua.

Namun di saat hadirin bergembira, Ustaz Man dan Mak Cik Ros hanya duduk di bawah rimbunan pohon. Rizqullah turut berada bersama mereka. Persoalan mengenai Abyatina lebih menguasai mereka. Abyatina tidak diketahui keberadaannya. Rizqullah mula dilanda kerisauan. Ustaz Man dan Mak Cik Ros dilanda kegelisahan.

“Ya Allah, di mana isteriku?” bisik hati kecil Rizqullah.

“Di mana kita nak mencarinya?” luah Ustaz Man dalam kerisauan.

Ustaz Man kelihatan sedikit pucat saat itu. Mak Cik Ros menyedari keadaannya. Maka tanpa disoal, Mak Cik Ros terus memimpin Ustaz Man berjalan masuk ke dalam rumah Cikgu Razali. Bilik tetamu rumah itu menjadi tempat berehat Ustaz Man seketika. Memang disediakan khas buat Ustaz Man.

“Kenapa dengan ayah?” soal Rizqullah yang hairan sebaik ibu mertuanya itu keluar dari bilik tempat berehat Ustaz Man.

“Entahlah. Sejak semalam tak berapa sihat. Katanya sakit kepala. Itu yang banyak berehat hari ni,” balas Mak Cik Ros.

“Satu demi satu kusutnya...” keluh Rizqullah.

“Jangan dikeluhkan. Ada hikmahnya. Tiap-tiap kejadian ada tersiratnya...” kata Mak Cik Ros.

“Tapi, di mana perlu dimulakan? Kita tak tahu Abyatina di mana...”

Belum sempat perbincangan diteruskan, Raiqah kakak ipar Rizqullah muncul di tengah bicara. Membawa berita untuk disampaikan kepada Rizqullah.

“Kakakmu Marwa datang. Adikmu Mawadah pun ada juga,” kata Raiqah. Kehadiran Marwa bersama keluarganya mengukir sedikit senyuman buat Rizqullah. Mawadah bersama suaminya juga baru saja tiba di majlis itu.

Lantas Rizqullah bergegas menyambut mereka. Walaupun dilanda kekusutan, Rizqullah masih tersenyum saat menyambut mereka. Namun, kerahsiaan masih dijaga. Kisah kehilangan Abyatina tidak disampaikan kepada mereka.

“Jemputlah makan. Hidangan semuanya tersedia di atas meja,” pelawa Rizqullah.

“Tapi... sebelum tu...” Marwa, kakak Rizqullah tiba-tiba bersuara. “Ada perkara yang kak nak habaq kat hang...”

“Pasal apa?”

Belum sempat Marwa berbicara, kekecohan tercetus dari rumah Cikgu Razali. Kedengaran Mak Cik Ros, ibu mertua Rizqullah dilanda kepanikan. Mak Cik Ros bagai dilanda satu musibah besar. Jeritannya kedengaran mengejutkan hadirin yang ada dalam majlis.

“Apa yang terjadi?” soal Rizqullah spontan.

Lantas Rizqullah bergegas menuju kembali ke rumah Cikgu Razali. Bilik tempat rehat Ustaz Man terus dituju Rizqullah. Sebaik masuk ke dalam, Rizqullah dilanda kejutan. Ternyata kepanikan Mak Cik Ros bukan suatu kebiasaan.

“Ya, Allah! Apa dah jadi dengan ayah?” soal Rizqullah.

Ustaz Man terlantar di atas lantai. Mak Cik Ros cuba mengangkat suaminya itu, namun tidak berjaya. Ustaz Man tidak sedarkan diri. Tubuhnya seakan telah lumpuh. Lantas, saat itu juga hadirin mula berkumpul di pintu bilik tersebut, ingin mengetahui situasi yang terjadi.

“Bagaimana terjadi?” soal Cikgu Razali yang bergegas masuk ke dalam bilik. Lantas, bantuan dihulurkan buat Rizqullah untuk mengangkat Ustaz Man sebelum diletakkan di atas katil.

Cikgu Razali melakukan pemeriksaan ringkas ke atas Ustaz Man yang tidak sedarkan diri. Lantas kesimpulan awal dibuatnya.

“Mungkin ustaz terkena angin ahmar...” terang Cikgu Razali secara ringkas.

Maka dengan pantas, Ustaz Man dibawa menuju ke kereta Cikgu Razali. Hospital Taiping menjadi destinasinya. Ustaz Man memerlukan rawatan secepat yang mungkin. Mak Cik Ros menemani suaminya itu.

Situasi yang terjadi itu berlaku dengan pantas sekali. Majlis yang sedang berlangsung terhenti seketika. Pasangan pengantin Absyar dan Tasha dilanda kejutan. Saat menikmati hidangan pengantin, kekalutan itu terjadi.

“Ustaz Man ayahmu pengsan, Absyar”

Ustaz Khumaini sahabat baik Ustaz Man memberi khabar berita kepada Absyar. Dalam kejutan, Absyar terus berlari menghampiri kereta Cikgu Razali. Namun, saat menghampiri, kereta tersebut telah meninggalkan halaman rumah tersebut.

“Abyatina perlu tahu apa yang jadi hari ini. Kita kena cari Abyatina,” bicara Rizqullah sebaik kereta yang dipandu Cikgu Razali meninggalkan halaman rumah.

Maka, Marwa berdiri di sebelah Rizqullah. Tangannya memegang bahu adiknya itu.

“Ada perkara akak nak cakap. Memang penting untuk hang,” bicara Marwa.

“Apa perkaranya?” soal Rizqullah.

“Semuanya mengenai Abyatina....”

“Maksudnya?”

“Abyatina tak hilang mana-mana...”

“Jadi...Di mana Abyatina?”

“Abyatina ada dengan kak sebenarnya. Dia tinggal dengan kak dalam tempoh sebulan ni,” terang Marwa dengan berhati-hati.

“Allahuakbar!”

Rizqullah terkejut mendengar khabar berita itu. Hanya ungkapan itu sahaja yang terluah di bibirnya.

“Kak terpaksa rahsiakan semuanya...”

“Tapi.... tapi, kenapa?” soal Rizqullah.

“Semuanya atas permintaan Abyatina...”

“Tapi kenapa Abyatina?”

Marwa berlalu pergi. Rizqullah berdiri di tempat yang sama dalam kekeliruan. Di saat majlis kembali berlangsung seperti biasa, satu lagi persoalan muncul di fikirannya. Persoalan mengenai Abyatina telah terjawab. Namun persoalan baru timbul.

“Kenapa Abyatina perlu menyorok dari suaminya sendiri, dari mak dan ayahnya?” soal Rizqullah dalam hatinya.

Namun Rizqullah tahu, walau apa pun persoalannya, perkhabaran mengenai keadaan Ustaz Man harus disampaikan kepada Abyatina. Lantas Rizqullah berlari mendapatkan Marwa yang kelihatan seperti mahu meninggalkan majlis.

“Kak Wa, tolong Riz sekarang juga,” kata Rizqullah kepada Marwa.

Kisahnya berterusan lagi di saat kegembiraan baru sahaja dinikmati Absyar dan Tasha.

“Kerahsiaan Abyatina, jangan simpankan lagi,” kata Rizqullah lagi.

Marwa hanya membisu. Tiada jawapan diberikan saat itu.




*Tamat sudah Bicara Dua Puluh Lapan*

Apakah sebab Abyatina berahsia? Adakah terguris di hatinya?

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 







*Terima kasih kepada saudari Noor Zawana Ain binti Wahab atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.

Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina

Ulasan

Unknown berkata…
Sama-sama saudara. Goodluck

Catatan Popular