Catatan di SMK Dr Burhanuddin (Siri 1)





Barangkali ibarat sireh yang pulang ke gagangnya, maka tatkala permohonan untuk berpraktikum di SMK Dr Burhanuddin telah diluluskan oleh pihak PULAMI UPSI dan pihak sekolah, maka keterujaan mula melanda. Bersama sahabat rapat Shahril Saibon, maka kami berdua bakal menjalani latihan mengajar di SMK Dr Burhanuddin sebagai guru Bahasa Inggeris selama empat bulan. Satu persoalan yang timbul, “Apakah SMDB masih kekal sama seperti dulu, 9 tahun yang dulu?”

Tahun 2004 merupakan tahun terakhir saya di SMDB. Mula menjadi pelajar SMDB pada tahun 2002, dan pada tahun 2005, saya berpindah ke MRSM Taiping. Walaupun tempohnya sekadar 3 tahun di sekolah itu, pengalaman dan memori yang dikutip di SMDB ternyata adalah sesuatu yang cukup sukar untuk dipadam dari ingatan.

Tarikh Julai 2013, maka sekali lagi catatan baru dinukilkan. Sekali lagi saya kembali semula ke SMDB, namun kali ini langkah yang diatur bukan lagi memegang gelaran sebagai pelajar, tetapi datang kali ini adalah sebagai seorang guru.

Permulaan perjalanan

Di awalnya, SMDB bukanlah pilihan utama bagi penempatan praktikum. Mengikut senarai yang diedarkan oleh penyelaras praktikum bagi kursus TESL, En. Sidek Ariffin, bagi kawasan Taiping, SMDB tidak disenaraikan sebagai sekolah yang boleh dijalankan praktikum untuk pelajar TESL. Ya, hakikatnya SMDB tidak pernah menerima guru praktikal TESL sebelum ini.

Namun dengan beraninya, saya memutuskan bersama-sama sahabat karib Shahril Saibon untuk memilih sekolah lama saya ini sebagai sekolah untuk berpraktikum. Menurut Mr Sidek, tidak ada masalah untuk memilih mana-mana sekolah, asalkan sekolah itu meluluskan permohanan praktikum, maka para pelajar boleh berpraktikum di sekolah tersebut.

Untuk rekod, kawasan bagi praktikum TESL adalah merangkumi kawasan Perak, beberapa kawasan di Pahang, dan Selangor.

Permohonan sekolah itu akan dihantar ke Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PULAMI), dan pihak PULAMI kemudian akan menghantar permohonan ke sekolah yang dipohon itu. Pihak sekolah dikehendaki memberi respon, sama ada menerima atau menolak permohonan tersebut. Sekiranya ditolak, pelajar dikehendaki untuk memilih sekolah lain dan proses yang sama akan dilakukan lagi.

Pada pertengahan bulan Mei, permohonan saya di SMDB bersama Shahril telah diluluskan pihak sekolah, dan secara rasminya kami akan menjadi guru praktikal di SMDB bermula bulan Julai 2013.

Persiapan

Tidak banyak persiapan dilakukan sebelum saya memulakan praktikum di SMDB kerana saya berpraktikum di Taiping, tempat tinggal saya dan keluarga. Namun bagi pelajar lain, mereka perlu memastikan supaya tempat tinggal terjamin, dan untuk itu mereka perlu mencari rumah sewa selewat-lewatnya dua minggu sebelum praktikum bermula.

Bagi persiapan untuk mengajar, saya banyak melakukan pembacaan mengenai spesifikasi kurikulum yang terkini, dan pada masa sama cuba memahami Penilaian Berasaskan Sekolah PBS yang telah dilaksanakan bermula tahun 2012.

Serperkara lagi, saya juga mencari pelbagai bahan bantu mengajar sepanjang sebulan bercuti. (Kami dapat bercuti selama sebulan sebelum bermulanya praktikum). Perkara ini penting kerana berdasarkan pengalaman sewaktu praktikum, saya tidak punyai masa yang banyak untuk melakukan persiapan ‘teaching aids’ bagi setiap sesi kelas.

Kata orang, persiapan yang awal akan memudahkan kerja di masa akan datang.

Ini adalah kisah pengalaman praktikum di SMK Dr Burhanuddin. Sebuah perkongsian catatan perjalanan. Mungkin penuh dugaan namun ada manisnya. Beberapa siri akan dikongsikan. Sepanjang siri ini, saya akan membawa kalian menyelusuri pengalaman saya sebagai guru selama 4 bulan di SMK Dr. Burhanuddin.

Kisah permulaan sebagai guru, perkenalan dengan sahabat baru seperti Firdaus Ahmad, Hasliza, Farah, Ila, Shahril serta kerenah kenakalan kelas 207 dan 106 akan dikongsikan. Nama-nama pelajar seperti Hanis, Nisha, Hamizah, Inani, Hafiz, Farezman, Ain Syafinaz dan ramai lagi akan disebut. Kisah bertemu kembali guru-guru lama seperti Cikgu Azly, Ustaz Razak, Cikgu Rahim, Pn Chew, Cikgu Noran, Pn Baishah, dan ramai lagi akan diceritakan. Kisah bertemu sahabat lama SMDB, Khairul Hafizin dan Danial Muhaimin melengkapkan cerita. Pengalaman sebagai guru mengendalikan beberapa acara sekolah seperti Kejohanan Merentas Desa, Hari Anugerah Kokurikulum, Jamuan Akhir Tahun Kelab Guru akan dikongsikan juga. Inilah kisah catatan sebagai guru di SMK Dr Burhanuddin.

 Ikuti pengalaman ini dalam siri-siri berikutnya. Insya-Allah.


(BERSAMBUNG)



















Ulasan

Catatan Popular