"Adina (Bicara Dua Puluh Sembilan)"
“Tiap-tiap dugaan adalah satu bentuk kesabaran. Bukan
mudah mencari sabar, kerana tiap-tiap sabar itu perlukan kekuatan hati. Andai
hati itu kuat, maka mudahlah dugaan itu pergi. Andai hati itu longlai, maka
hanyutlah membawa diri. Mungkin itu sebaiknya”
Abyatina menutup buku nota kecilnya. Pena diletakkan.
Nafas diambil. Mata dipejam seketika. Ketenangan cuba dirasakan. Kekusutan
barangkali menguasai fikiran. Satu persatu yang menimpa, Abyatina berusaha
menenangkan diri.
“Kadang-kadang, bila kita kusut, mungkin ada masanya kita
perlu tenangkan diri dengan mencari tempat yang baru. Dari situ, baru kita
dapat lupakan seketika setiap dugaan yang melanda”
Bicara Ustaz Man, ayahnya muncul kembali di fikiran
Abyatina. Kata-kata nasihat diberikan Ustaz Man kepada anaknya, beberapa hari
sebelum majlis perkahwinan Abyatina dan Rizqullah. Kisah beberapa tahun yang
lalu kembali segar di ingatan.
“Tiap-tiap perkahwinan, pasti ada kesusahan,” bicara pula
ibunya.
Abyatina ternyata lebih tenang. Tindakan yang dilakukan
mungkin sesuatu yang mengejutkan. Namun keputusan yang dibuat perlukan
keberanian. Dalam kekalutan, Abyatina bertindak di luar jangkaan.
“Pergi Ina untuk tenangkan diri,” bisik Abyatina.
Maka, Abyatina menghilangkan diri. Tiada siapa yang tahu
kelibat Abyatina.
“Bukan Ina nak lari dari masalah. Tapi mungkin ini masa
sesuai untuk rehatkan fikiran dari kekusutan,” bisik Abyatina.
Wajah anak kecilnya dilihat. Yaqzan tidur nyenyak tidak
banyak meragam. Dugaan yang melanda pasti tidak difahami Yaqzan. Hanya tangisan
tatkala lapar, rengetan andai keselesaan tidak dirasakan. Namun, bayi kecil
Yaqzan itulah pengubat duka, pengukir keceriaan buat Abyatina. Menemani
Abyatina di saat kecelaruan.
Hakikatnya, Rizqullah tidak tahu keberadaan Abyatina.
Tiada siapa yang tahu di mana Abyatina. Peristiwa yang terjadi di petang hari,
saat sesisi keluarga Ustaz Man mengadakan perbincangan untuk majlis perkahwinan
Absyar, maka perseteruan terjadi lagi di antara Rizqullah dan Zaafarani. Kehangatan
tercipta menjejaskan keharmonian sekeluarga. Rizqullah meluahkan segala isi
hatinya petang itu. Rasa kurang senang terhadap layanan sesetengah keluarga
terhadapnya menjadi isi bicara. Lantas, Rizqullah berlalu pergi meninggalkan
Abyatina di kampung. Serentak dengan itu juga Abyatina membawa diri. Hilang
tanpa diketahui.
“Ke mana Abyatina?” soal ibunya mencari-cari anaknya.
Persoalan bermain tatkala Abyatina menghilangkan diri.
Seisi keluarga mencari-cari. Namun tiada siapa yang menyedari Abyatina mungkin
terguris di hati.
“Pergi Ina memulihkan hati,” bisik hati kecil Abyatina.
Pada petang kejadian itu, sebaik Rizqullah pergi
meninggalkannya di kampung, Abyatina bergegas keluar dari rumah. Bersama-sama
anak kecilnya Yaqzan, maka Abyatina berjalan menuju ke jalan besar. Menunggu
beberapa ketika, maka Abyatina menaiki bas menuju ke bandar Taiping. Sebaik
tiba, maka Abyatina mengatur langkah menuju pula ke satu destinasi.
“Kenapa rumah kak yang jadi pilihan Ina?”
Soalan pertama diajukan Marwa, kakak ipar Abyatina sebaik
Abyatina tiba di rumahnya. Destinasi Abyatina berakhir di rumah Marwa. Kehadiran
Abyatina tidak dijangka Marwa.
“Ina datang nak betulkan keadaan. Luruskan mana yang
kusut. Mungkin bila fikiran tenang, baru semuanya akan kembali macam dulu,”
balas Abyatina. “Harap dapat menumpang di sini seketika”
Maka, bermula petang itu, Abyatina menyembunyikan diri di
rumah kakak Rizqullah itu. Tiada siapa yang tahu, sebuah perjanjian dibuat di
antara Marwa dan Abyatina. Kerahsiaan harus dikekalkan.
“Tapi, apa puncanya?” soal Marwa pada malam itu.
“Susah nak diterang. Tapi, kalau hati terasa pedihnya,
mungkin seelok-eloknya Ina kena hilangkan diri,” bicara Abyatina.
“Ina bergaduh dengan Rizqullah?” soal Marwa.
Abyatina hanya tersenyum. Tiada jawapan diberi. Marwa
kurang mengerti. Abyatina masih lagi dalam kerahsiaan. Namun perlahan-lahan
Abyatina kelihatan bersedia meluahkan sesuatu.
“Bukan Rizqullah penyebabnya. Tapi, keluarga Ina
sendiri...”
“Kenapa pula?”
“Kenapa pula?”
“Memang dari dulu, macam-macam dugaan. Tapi, mungkin
sekarang dugaannya dah sampai ke tahap batasnya,” bicara Abyatina.
“Siapa puncanya?”
Maka, malam itu satu persatu dinukilkan Abyatina kepada
Marwa. Itulah kali pertama Abyatina meluahkan rasa yang terpendam di hatinya.
Mungkin telah tiba masanya, seseorang perlu mendengar isi hati sebenarnya.
“Ina bahagia dengan Rizqullah. Tak pernah sekali pun Ina
rasa terseksa. Tapi, semua anggap Rizqullah punca kerosakan bahagia Ina. Tak
mungkin... tak mungkin sama sekali,” luah Abyatina.
“Kadang-kadang kalau kita simpan semua dalam hati, orang
tak faham kita. Bila diam, dikatakan kita lemah. Bila berbicara, dikatakan
banyak kerenah. Dunia tak akan adil sampai bila-bila. Kitalah yang kena
sesuaikan diri, biasakan dengan keadaan,” kata Marwa.
“Tapi sampai bila kita kena berkorban? Lama-lama bahagia
yang ada pun boleh hilang,” keluh Abyatina.
“Sabar itu ada nikmatnya. Jangan putus harap,” bicara
Marwa memberi semangat.
Abyatina hakikatnya masih berahsia. Kisah kebencian
abangnya Zaafarani terhadap Rizqullah langsung tidak diceritakan. Bagi
Abyatina, tidak perlu diburukkan mana-mana nama, cukup sekadar luahan rasa
hatinya sahaja.
Marwa faham dengan kehadiran Abyatina di rumahnya itu.
Abyatina mahu sembunyikan diri. Walaupun kurang mengerti punca permasalahan
yang melanda, Marwa mengizinkan sahaja kehadiran Abyatina. Suaminya bersetuju
namun bersyarat.
“Sampaikan khabar pada suami Ina. Jangan sampai dia
tercari-cari tanpa arah,” kata Marwa menyampaikan syarat yang diberikan
suaminya itu.
Maka, di lewat malamnya, Abyatina mengatur rentak.
Panggilan telefon dibuatnya. Khabar berita akan disampaikan. Rizqullah menerima
khabar. Abyatina menyampaikan bicara buat suaminya. Kisah keberadaan dirinya
dinyatakan.
“Ina selamat di kampung dengan mak. Tak perlu risau.
Semuanya sihat sahaja. Yaqzan pun selesa, tak banyak meragam. Kalau abang
perlukan masa, izinkan Ina tinggal di kampung,” bicara Abyatina menerusi
perbualan telefon. Bicara pembohongan disampaikan.
“Maafkan abang kalau Ina terguris di hati...” kata
Rizqullah.
“Bukan abang puncanya,” balas Abyatina ringkas.
“Abang tak bermaksud begitu...” bicara Rizqullah
mengimbas kembali lafaz yang dituturkannya mengenai perihal kemungkinan
penceraiannya dengan Abyatina. “Abang... abang.... abang sayang Ina...”
“Ina tahu... Ina faham...” balas Abyatina kelihatan
sedikit sebak. “Mungkin banyak dugaannya...”
“Tenangkan fikiran. Abang izinkan. Ambillah masa,” kata
Rizqullah.
Panggilan telefon terhenti setakat itu saja. Saat itu
Rizqullah dilanda kelegaan, dan Abyatina dibuai rasa ketenangan. Hakikatnya,
tiada sebarang perseteruan berlaku di antara mereka. Hanya situasi dan keadaan
sahaja yang menghalang mereka menikmati aman dalam bahagia.
Maka, bermula saat itu jugalah, Abyatina memulakan
hari-harinya dengan tinggal di rumah kakak iparnya, Marwa. Bersama anak
kecilnya Yaqzan, maka hari-hari berikutnya ditempuhi dengan penuh kerahsiaan.
Atas permintaan Abyatina, maka kehadiran Abyatina di rumah Marwa dirahsiakan.
Marwa akur, dan menyimpan rahsia yang diminta itu. Hakikatnya, Rizqullah tidak
tahu keberadaan Abyatina yang sebenar. Bukan di kampung, tapi di rumah Marwa.
Percaturan Abyatina tidak terhenti setakat itu saja.
Aturan lain disusunnya.
“Jangan risaukan Ina. Semuanya selamat kambali”
Bicara Abyatina dinyatakan dalam satu panggilan telefon.
Ibunya dihubungi, dan persoalan cuba diselesaikan Abyatina buat ibunya itu.
Namun tempohnya agak lama. Setelah tiga hari kehilangan Abyatina selepas
kejadian petang itu, baru Abyatina menyampaikan keberadaannya.
“Ina di mana?” soal Mak Cik Ros menerusi perbualan
telefon itu.
“Ina sihat di sini, ada di rumah,” balas Abyatina.
“Dengan suamimu?”
“Ke mana lagi patutnya Ina pergi? Sebaik-baik isteri
semestinya perlu ada di sisi suami. Itu pesan mak...” balas Abyatina.
“Alhamdulillah kalau begitu kisahnya,” bicara Mak Cik
Ros.
Tiada siapa yang faham tujuan Abyatina bertindak
sedemikian. Di satu pihak Abyatina menyatakan dirinya selamat bersama keluarga
di kampung. Di pihak yang lain pula, Abyatina membicarakan dirinya telah pulang
bersama suaminya. Namun di saat itu, hakikatnya Abyatina berada di rumah kakak
iparnya.
Beberapa minggu telah berlalu dan khabar berita sebenar
Abyatina tidak diketahui sesiapa.
“Politik apa pula yang dimainkan Abyatina ni?” soal
Rizqullah. Perjalanan dari majlis perkahwinan Absyar dan Tasha menuju ke rumah
kakaknya ternyata menimbulkan pelbagai persoalan.
Kekalutan dan kejutan yang terjadi dalam majlis
perkahwinan itu ternyata meresahkan hati Rizqullah. Saat bapa mertuanya
dihantar ke hospital, satu kejutan diterimanya lagi. Keberadaan Abyatina
akhirnya terjawab. Abyatina menyembunyikan diri di rumah Marwa.
“Kita kena sampaikan berita pasal Ustaz Man. Abyatina
kena tahu,” bicara Rizqullah kepada Marwa. “Itu yang lebih utama...”
Lantas Marwa membawa Rizqullah pulang ke rumahnya. Majlis
ditinggalkan. Perjalanan tercipta. Sepanjang perjalanan itu, tiada perbualan
berlaku. Marwa dan Rizqullah hanya membisu. Mungkin keresahan dalam kekalutan
menyebabkan tiada bicara terjadi.
“Di mana Abang Din?” soal Rizqullah tiba-tiba.
“Hah, Abang Din?” Marwa ternyata terkejut. “Ya Allah,
lupa pula suami aku ni!”
Maka, perjalanan berpatah balik. Suami Marwa baru
disedari dtinggalkan mereka. Barangkali Sudin, abang ipar Rizqullah itu masih
tidak sedar bahawa isterinya Marwa telah meninggalkannya di majlis itu.
“Macam mana boleh lupa? Bukan tadi pergi sekali?” soal
Rizqullah.
“Dok kalut sangat, kak pun dah lupa,” balas Marwa
tersengih sedikit. Masing-masing ketawa kecil.
Marwa hadir ke majlis perkahwinan Absyar bersama-sama
suami dan anak-anaknya. Namun, tatkala dilanda kekalutan apabila Ustaz Man
tiba-tiba jatuh sakit, maka Marwa seakan terlupa akan kelibat suami dan
anak-anaknya itu.
“Itulah kak hang. Tak pernah berubah dengan kalutnya....”
bicara Sudin, suami Marwa tatkala Rizqullah tiba kembali di majlis perkahwinan
itu.
Kisah berikutnya, Marwa pulang bersama suaminya, dan
Rizqullah mengikut kereta yang dipandu Sudin itu sehingga menuju ke destinasi.
Hari itu, Abyatina hanya berehat di bilik. Ditemani bayi
kecilnya Yaqzan, kelihatan Abyatina lebih tenang berbanding hari-hari
sebelumnya. Namun, di saat itu juga Abyatina merasakan satu degupan yang sangat
berbeza. Debaran terasa, namun tidak tahu puncanya.
“Mungkinkah ini satu cetusan hati untuk langkah
seterusnya?” bisik hati kecil Abyatina.
Hakikatnya, Abyatina memang punyai perancangan untuk
pulang semula bertemu suaminya Rizqullah. Saat dirasakan telah bersedia, maka
pasti kepulangan itu akan berlaku.
“Apakah ini harinya?” soal Abyatina dalam hatinya.
Tiada siapa yang tahu saat Abyatina benar-benat bersedia.
Namun persoalan berlegar juga dalam fikirannya. Abyatina
tertanya-tanya reaksi yang bakal diluahkan Rizqullah apabila mendapat tahu akan
kebenaran yang disembunyikan. Persoalan juga timbul, saat rahsia terbuka,
mungkin kejutan yang akan diketahui bakal memberikan reaksi yang berbeza pula
buat Ustaz Man dan Mak Cik Ros.
Kisah sifat dingin Zaafarani juga bermain dalam fikiran
Abyatina. Kehairanan timbul kerana sehingga di saat itu Abyatina tidak tahu
punca Zaafarani tidak begitu menyukai suaminya Rizqullah. Walaupun telah hampir
tiga tahun perkahwinannya, abangnya itu ternyata seperti tidak dapat menerima
hakikat.
“Salahkah suamiku? Atau salahkah abangku?” bisik
Abyatina. “Siapa yang benar?”
Dalam lamunan itu, pintu rumah diketuk. Abyatina terkejut,
menyarungkan tudungnya lantas terus meluru ke ruang tamu. Pintu dibuka. Kejutan
diterima.
“Abang?”
Rizqullah muncul di muka pintu. Belum sempat bicara
bersambung, Rizqullah terus menarik tangan Abyatina.
“Kak, tolong ambil Yaqzan di dalam,” pinta Rizqullah.
Marwa terus masuk dalam kebisuan. Sebaik Yaqzan diambil
Marwa, Rizqullah terus menarik Abyatina
masuk ke dalam kereta. Kelihatan agak kasar tindakan Rizqullah itu,
namun Abyatina hanya menurut sahaja tanpa bicara. Barangkali dilanda kejutan
dan ketakutan. Benar, Rizqullah kelihatan seperti menahan amarah. Tiada siapa
yang tahu.
Kereta yang dipandu Rizqullah terus memecut. Marwa yang
membawa Yaqzan pula menaiki kereta suaminya, mengikut Rizqullah dari belakang.
Destinasi tidak diketahui Abyatina. Saat itu, Abyatina seolah-olah tidak
mengenali lagi suaminya. Sifatnya ternyata cukup berbeza.
“Maafkan Ina...” bisik hati kecil Abyatina.
Rizqullah terus berdiam diri. Perjalanan dalam kebisuan
dan Abyatina berada dalam persoalan.
“Rizqullah marah kat isterinya ke?” soal Marwa kepada
suaminya.
“Kita tak tau apa yang bermain dalam fikirannya. Tunggu
dan lihat saja apa yang akan berlaku,” balas Sudin.
“Tapi memang salah Ina pun. Menyorok dari suami
sendiri...”
“Kita tak boleh buat apa-apa kesimpulan. Hanya mereka
saja yang tahu masalah sebenar”
Dalam fikiran Marwa dan suaminya, Rizqullah pasti akan
membawa Abyatina menuju ke hospital untuk melihat keadaan Ustaz Man di sana.
Namun, sangkaan meleset. Rizqullah menuju ke destinasi yang lain.
“Taman tasik?” Marwa menyoal kehairanan.
Taman Tasik Taiping menjadi destinasi persinggahan
Rizqullah. Sebaik tiba, Rizqullah menarik tangan Abyatina keluar dari kereta.
Lantas mereka berdua berjalan menuju ke tasik. Marwa dan suaminya hanya melihat
sahaja arah perjalanan Abyatina dan Rizqullah itu. Mereka hanya menjadi
pemerhati, terus berada di dalam kereta. Si kecil Yaqzan pula terus berada di pangkuan Marwa saat itu.
“Kenapa Rizqullah bawa ke sini?” soal Marwa lagi.
“Kita lihat sajalah...” balas Sudin yang lebih banyak
membisu.
Rizqullah membawa Abyatina berjalan di tepi tasik. Jika
sebelum ini tangan Abyatina ditarik dengan kasar, namun sebaik tiba di kawasan
tasik, Rizqullah menjadi berbeza. Tangan yang dipegang tiba-tiba diusap lembut
Rizqullah. Abyatina kehairanan.
“Banyak dugaan yang dah datang...” bicara Rizqullah
memulakan kata. “Mungkin tiba masanya kita kena berubah ke dunia baru...”
Abyatina masih hairan, kurang mengerti bicara yang dituturkan
suaminya itu.
“Abang minta maaf kalau ada silapnya...” kata Rizqullah.
Abyatina tertunduk. Barangkali sebak muncul dalam
dirinya.
“Maaf abang tak sebesar Ina. Dosa Ina pada abang jauh
lebih banyak,” tutur Abyatina sedikit sebak.
Langit mendung saat itu. Kadangkala dirasakan angin
menghembus seketika. Namun semua itu bagai tidak dirasai Abyatina dan
Rizqullah. Saat itu, masing-masing berbicara meluahkan segala yang mungkin
terpendam.
“Abang faham. Semua yang Ina buat pasti ada sebabnya.
Bukan salah Ina, tapi orang di sekeliling kita yang jadi dugaannya...” bicara
Rizqullah.
“Kita tak boleh nak lari...” kata Abyatina.
“Tak, kita boleh lari dari semua tu. Kita boleh lari
sejauh yang kita nak...”
“Tak mungkin...”
“Percaya pada abang. Selepas ni, semua akan berubah.
Semua takkan sama lagi. Semua yang mengganggu kita akan hilang nanti,” kata
Rizqullah.
Abyatina tersenyum. Mungkin hatinya terubat tatkala
harapan diberikan Rizqullah. Pernyataan yang mungkin akan mengubah hidupnya
untuk tahun-tahun berikutnya.
“Tapi, ada seperkara lagi”
“Perkara apa?” soal Abyatina.
“Ayah..”
“Kenapa?”
“Tenangkan diri Abyatina. Jangan kusutkan fikiran.
Mungkin ini juga dugaan,” bicara Rizqullah dengan tenang.
“Apa yang terjadi?”
“Ayah diserang angin ahmar. Sekarang ada di hospital,”
terang Rizqullah dengan ringkas.
Abyatina terus terduduk. Berita yang dikhabarkan memang
satu kejutan. Dugaan baru menimpa lagi. Lantas sepantas itu juga mereka menuju
ke hospital. Sesalan dirasakan Abyatina. Mungkin menyembunyikan diri yang
dilakukannya itu satu kesilapan.
“Bukan masanya untuk sesalan..” bicara Rizqullah.
“Tiap-tiap yang berlaku pasti ada hikmah”
Kesemua ahli keluarga Ustaz Man telah berada di hospital.
Si pengantin baru Absyar dan isterinya Tasha turut berada bersama.
Masing-masing hanya menanti. Harapan diletakkan. Ustaz Man masih lagi dalam
rawatan.
“Di mana ayah?” soal Abyatina sebaik tiba.
Semua yang ada terkejut. Kemunculan Abyatina ternyata
sesuatu yang tidak dijangka. Setelah hampir sebulan, maka Abyatina memunculkan
diri semula. Di sisinya, Rizqullah menemani Abyatina dalam situasi penantian
yang masih tak terjawab.
“Di manamu selama ni?” soal Zaafarani. Kelihatan sedikit
marah barangkali.
Ustaz Man kini dirawat di unit rawatan rapi. Keadaannya
dilihat agak kritikal. Di saat hari bahagia bagi Absyar dan Tasha, kesedihan
dengan pantas melanda.
“Di mana mak?” soal Abyatina.
“Di surau. Solat katanya,” balas Raiqah yang duduk di
satu penjuru.
“Ina ke mana selama ni?” soal Absyar.
“Ina ada dengan saya,” balas Rizqullah.
Lantas Zaafarani tiba-tiba mencelah.
“Mu jangan bohong!” herdik Zaafarani tiba-tiba. Orang
ramai yang berada di hospital terkejut dan terdiam seketika.
“Dia isteri saya. Tahulah saya menjaga,” balas Rizqullah
dengan tenang.
“Berapa banya lagi pembohongan yang mu nak buat?” soal
Zaafarani marah. “Abyatina bukan ada denganmu... Dia tak pernah ada denganmu
selepas kejadian petang tu”
“Saya datang ke sini bukan nak bergaduh,” balas
Rizqullah.
Lantas, Raiqah bangun dan kemudian berdiri di antara
Rizqullah dan Zaafarani. Raiqah cuba mententeramkan situasi.
“Cukuplah! Kita ke sini susah hati sebab ayah. Jangan
ditambah lagi masalah yang ada!” kata Raiqah.
“Sebab itu saya cakap, datang saya ke sini bukan untuk
bersengketa...” balas Rizqullah sebelum berjalan menuju ke satu penjuru lain.
“Jadi salah aku?” soal Zaafarani masih lagi dengan
amarahnya.
Rizqullah hanya membisu. Berdiri di satu penjuru
berhampiran jendela. Pandangannya dilontarkan menerusi jendela itu, membiarkan
sahaja amarah Zaafarani itu. Namun kebisuan Rizqullah hanya seketika. Beberapa
ketika kemudian, sebaris ayat dituturkannya.
“Malanglah Abyatina kerana punyai abang si penjajah
hidup...”
Kata-kata itu ibarat bisa menusuk kalbu. Belum pernah
selama ini Rizqullah berbicara sepedih itu. Lantas ibarat percikan api, maka
amarah Zaafarani berada di kemuncaknya.
“Memang lancang mulutmu!”
Zaafarani terus menerpa Rizqullah. Dalam kepantasan itu,
maka satu tumbukan dilepaskan ke wajah Rizqullah. Sepantas itu jugalah,
Rizqullah terjatuh. Tumbukan yang dirasai itu ternyata cukup kuat. Zaafarani
dilanda amukan.
Maka Absyar dengan pantas meluru ke arah Zaafarani.
Rafiqin dan Zabarjad juga turut segera menghampiri abang mereka itu. Situasi
cuba ditenangkan. Dengan pantas, Absyar memegang kuat Zaafarani, menghalang
abangnya itu mencetuskan kekecohan yang lebih besar di hospital itu.
Hadirin yang ada di hospital mula tertumpu pada Zaafarani
dan Rizqullah. Pada waktu itu, Marwa baru saja muncul membawa bersama Yaqzan
anak kecil Rizqullah dan Abyatina. Di sisi Marwa, Sudin menemaninya dengan
setia. Situasi panas yang terjadi menyebabkan Marwa terus menghampiri Abyatina.
“Perang apa yang terjadi?” soal Marwa ingin tahu.
“Perang tegakkan kebenaran,” balas Abyatina ringkas yang terus
memerhati situasi yang terjadi di penjuru hospital itu. Abyatina menyambut
Yaqzan yang kelihatan masih nyenyak tidur di pangkuan Marwa.
Rizqullah bangun semula tak lama kemudian. Tumbukan yang
dirasakan ternyata cukup pedih. Tepat mengenai pipi kanannya, maka bekasnya
masih kelihatan. Namun pedih yang dirasakan itu hanya menghasilkan kuntuman
senyuman di wajah Rizqullah.
“Kebenaran tak semestinya tertegak dengan kekerasan....”
bicara Rizqullah.
Abyatina bangun dan menghampiri Rizqullah. Tanpa sebarang
bicara, mereka berlalu pergi meninggalkan tempat tersebut. Marwa yang baru
sampai kehairanan. Di saat itu juga ibu Abyatina baru saja muncul setelah
selesai bersolat di surau. Situasi yang baru saja terjadi tidak diketahui Mak
Cik Ros.
Serentak itu jugalah perkhabaran mengenai Ustaz Man
disampaikan. Seorang jururawat muncul. Keadaan Ustaz Man dinyatakannya. Hanya
gelengan kepala dapat dinyatakan. Ternyata situasi duka akan tercetus. Saat itu
jugalah Mak Cik Ros mula menitiskan air mata. Raiqah cuba menenangkan ibunya
itu.
Marwa mula bergegas keluar. Kelibat Rizqullah dan
Abyatina cuba dicari. Perkhabaran mengenai Ustaz Man harus disampaikan dengan
segera. Namun pencarian itu menemui kebuntuan. Rizqullah dan Abyatina hilang
dari pandangan.
“Kita lari jauh dari semuanya...” bicara Rizqullah
terhadap Abyatina.
Bersama anak kecil mereka, satu destinasi ditetapkan.
Kisah baru bakal dicipta mereka. Dunia baru akan diteroka. Abyatina dan
Rizqullah menghilang tanpa perkhabaran.
“Apakah sempat Abyatina tahu? Apakah Ustaz Man punyai
masa lagi?” soal Marwa dalam hatinya.
Keadaan Ustaz Man menimbulkan keresahan. Namun, di waktu
itulah juga, Abyatina dan Rizqullah berlalu pergi. Pada waktu itu jugalah
perseteruan di antara Rizqullah dan Zaafarani tercetus lagi. Satu demi satu
kekusutan melanda. Dugaan yang muncul menguji kekuatan sabar tiap-tiap yang
ada.
Titisan air mata Mak Cik Ros berterusan. Menanti satu
harapan untuk memberikan kelegaan. Penantian yang penuh ketabahan.
*Tamat sudah Bicara Dua Puluh Sembilan*
Ke manakah destinasi Rizqullah dan Abyatina? Apakah
keadaan yang terjadi pada Ustaz Man?
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan
inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan
kekuatannya, beri kekaguman buat saya.
*Terima kasih kepada sahabat sepraktikum dari UUM, saudari Farah Afiqah binti Borhanuddin atas
memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan