Khamis, 30 Disember 2010

Agak terkilan sebenarnya....

Dek Facebook, saya jadi terkilan sedikit. Sebuah status yang saya tulis hanya sekadar tulisan 'ringan-ringan' dan tidak menganggap terlalu serius. Main-main sahaja, maka itulah yang terlintas masa tulis status tersebut.

Saya hanya ambil petikan kata-kata sahabat lama, Ahmad Islam. Saya nyatakan pula apa yang bermain di fikiran pada waktu dia berkata begitu, maka saya terbitkan status di Facebook tersebut. Perbualan di Taman Rekreasi Gunung Lang hanya sekadar kata-kata yang dinyatakan tanpa sebuah penilaian yang mendalam untuk menghasilkan sebuah keputusan. Maka kata-kata yang tak begitu serius itu saya jadikan status di Facebook.

Dengan sekadar pernyataan main-main dan tidak terlintas dalam nada yang serius apatah lagi dengan makna penuh mendalam, saya tak sangka diberi komen yang agak mengguris hati saya. Beberapa komen diberikan, dan saya akui mereka mengambil status saya itu sebagai serius.

Barulah saya sedar, mungkin saya tersilap. Facebook memang merbahaya. Namun saya tahu, dari situlah saya tahu perkara yang tersembunyi sesetengah mereka.

Saya tak tujukan kepada mana-mana rakan rapat saya. Mereka semua adalah terbaik buat saya. Pernyataan saya itu adalah bersifat umum, namun ada beberapa yang terasa dan akhirnya terus memberikan komen yang buatkan saya terasa. Hakikatnya, saya junjung mereka setinggi-tinggi sebagai sahabat dan rakan yang sangat-sangat saya hormati. Namun, bila muncul komen-komen begitu, harus diakui, saya seperti sedih.

Saya perihalkan status itu dalam nada tersirat. Jika diselami betul-betul, maka barulah maksud sebenar terkeluar.

Kata ayah: "Penulis memang gemar untuk nyatakan kata-kata yang ada tersiratnya. Jika diselami, barulah maksud itu difahami. Ayah pun macam tu, suka nyatakan yang tersirat dari yang tersurat. Seorang penulis gemarkannya, kerana dengan cara itu dia lebih puas. Namun kamu kena sedar, di Facebook, tak semua merupakan penulis. Apa yang mereka lihat, maka itulah mereka tafsirkan. Tidak melihat dari sudut yang tersirat. Kerana itu, disebabkan mereka melihat yang tersurat, maka status yang kamu buat itu mereka salah tafsirkan"

Saya akui, bila ayah lihat sahaja status saya itu, dia terus tersenyum. Dia faham akan maksud tersiratnya. Tafsiran cukup cekap, sehingga sekali baca, ayah dah faham maksudnya. Begitu juga mak, tersenyum bila baca maksud tersirat status itu. Mereka tak marah atau kritik status ini katakan bahawa saya harus berhati-hati dengan setiap perkataan, tetapi sebaliknya mereka menyatakan betapa saya bijak susun setiap perkataan sehingga maksud itu dapat disembunyikan.

Salah tafsir, itu puncanya. Mereka kritik saya dan mencemuh saya. Terus terang saya cakap, tak pernah terlintas di fikiran saya untuk menerima kritikan yang mengguris dari mereka yang tak pernah sama sekali ingin saya kutuk atau perlecehkan. Mereka saya sanjung tinggi, bagaiman pula saya nak kutuk mereka?.

"Tak apalah. Kamu dah 5 tahun tanggung derita sakit yang tak tergambar oleh sesiapa. Mak dan ayah tahu, dan kerana itu, mak nak Yazid maafkan sahaja mereka yang tak mengerti maksud sebenar status tersebut," kata mak malam tadi.

Saya turut beri komen dalam status itu. Namun ingin saya nyatakan, saya sebenarnya ikut 'arus' yang sama seperti mereka. Saya mengikut sahaja tafsiran mereka mengenai status itu. Andaian yang dibuat, saya terima sahaja. Saya nyatakan sedikit komen beri 'hint' bahawa status itu ada maksud tersiratnya. Namun semua membedal saya, menanda like pada komen-komen yang diposkan, yang saya agak terkilan, maka itu saya agak sedih. Saya terima sahaja, dan saya tak mahu memberikan komen balas terangkan maksud sebenar status yang saya poskan itu. Kata ayah, kadang-kadang bila diamkan diri, maka kekuatan menghadapi setiap kritikan dan cemuham akan bertambah. Itu menguatkan lagi diri untuk terus menjadi penulis. Sebab itu saya membisu tanpa ternagkan maksud tersirat status tersebut.

Apakah status Facebook itu? Saya lampirkan:

" Ahmad Islam Nor Asri kata pada saya: "Nampaknya ko kena bercampur dengan budak-budaklah di UPSI. Sabar je la..."

Ya, benar tu. Saya terpaksa melayan budak-budak yang lebih muda dari saya sebagai rakan-rakan saya. Maka terpaksalah menjadikan diri macam budak-budak juga. Terpaksalah.
Kalau tak sakit, mesti lain ceritanya.

Kan bagus kalau saya belajar sama tempat dgn sahabat saya Islam ni...hmmmm.
Baru x rasa macam budak2...
"


Soal perkataan "budak-budak" itu telah mendatangkan amarah dan rasa kurang senang beberapa kenalan. Maka menerusi blog ini, saya huraikan maksud sebenar status ini.

Pernyataan Islam mengenai saya kena bergaul dengan budak-budak adalah satu kenyataan gurauan dari sahabat saya itu. Saya tak ambil serius kerana saya tak fikir ada kebenaran kata-kata itu.

"Ya, benar": Itu kata-kata akuan saya dalam nada yang tersirat. Maksud tersirat itu ialah, saya bergaul dengan rakan-rakan yang semuanya ceria-ceria belaka.

"Saya terpaksa melayan budak-budak yang lebih muda dari saya sebagai rakan-rakan saya": Maksud ayat ini menerangkan bahawa saya dipaksakan diri bergaul dengan rakan-rakan yang ceria dan semuanya muda-muda belaka. Hakikatnya, saya agak pendiam, dan bila bercampur dengan rakan-rakan yang sempoi dan ceria saya agak kekok. Namun saya paksakan diri kerana mungkin saya dapat ceriakan hati.

"Maka terpaksalah menjadikan diri macam budak-budak juga. Terpaksalah. Kalau tak sakit, mesti lain ceritanya." : Ayat ini bermaksud, saya mencuba diri saya menjadi ceria, seprti mana keceriaan mereka. Saya memaksa diri kerana saya mahu keceriaan itu dapat saya rasai. Jika saya tak sakit, mungkin lain ceritanya, kerana mungkin saya tak perlu lagi menceriakan diri kerana keceriaan itu mungkin dah wujud dalam diri saya. Kerana mahu jadi ceria, saya paksa diri sebab saya tak seceria sebelum ini kerana terlalu banyak tertekan dek sakit berpanjangan. (kisah asma dan depression)

"Kan bagus kalau saya belajar sama tempat dgn sahabat saya Islam ni...hmmmm. Baru x rasa macam budak2..." : Ayat ini bermaksud, saya sebenarnya teringin untuk belajar satu tempat dengan Islam kerana dia menjadi sahabat rapat saya di MRSM Taiping dulu. Namun, dek kesihatan yang tak begitu baik, saya tertinggal jauh dan akhirnya sudah pasti tak dapat belajar setempat dengannya. Ayat akhir itu, saya bermaksud bahawa jika saya dapat belajar sekali dengan Islam, pasti saya tak berada dalam situasi untuk berusaha menceriakan diri. Mengapa? Harus diakui, Islam seorang yang sangat ceria. Jika belajar bersama dia, pasti saya juga akan ceria, dan itu tak memerlukan lagi buat saya berusaha untuk menceriakan diri. Seperkara lagi, "Budak-budak" dalam ayat akhir ini bermaksud bahawa saya 'baru' untuk belajar menceriakan diri.

Kesimpulannya, "Budak-budak" dalam status saya itu bermaksud "Ceria". Maka bila saya berkata "budak-budak" dalam status itu, saya maksudkan rakan-rakan yang ceria. Ya, harus diakui saya punyai ramai rakan yang sangat ceria.

Perlu dinafikan, tafsiran kalian yang menyatakan budak-budak itu sebenarnya bermaksud tak matang. saya tak sebut satu perkataan tak matang pun dalam status tersebut. Dalam komen-komen saya pun saya tak sebut.

Harap kalian mengerti... :(

Wallahualam.

*""Budak-budak" maksudnya ceria kan?" soal ayah sebaik membaca status Facebook saya itu. Ayah memang cepat memahami maksud tersirat status itu.

p/s: tak mahu tagkan atau sharekan bicara ini di Facebook. Biarlah hanya di blogger sahaja bicara ini. Saya tak nak lagi terima komen yang mengguris hati saya.

Rabu, 29 Disember 2010

“Adina (Bicara Empat)”


Maruah seorang wanita terletak pada kekuatan dirinya menghadapi dugaan yang mengancam kesucian dirinya. Kemampuan menghalang dari ancaman jahat, maka maruah itu akan semakin tinggi dijulang. Nafsu-nafsu yang bermaharajarela di sekelilingnya kadang-kala boleh mengundang bahaya. Sejauh mana kekuatan dirinya menghadapi nafsu itu, jika kuat maka selamatlah maruah dirinya. Hakikatnya, maruah seorang wanita terletak pada sejauh mana dia berusaha untuk menjaga dirinya dan bukannya apa yang masih dimiliki oleh dirinya. Kadang-kala kehilangan pada dirinya itu bukan datang atas kerelaannya. Hanya Allah sahaja yang tahu keperitan menghadapi saat itu.

“Aku muncul ni pun jarang-jarang. Jadi tak hairanlah kalau mu nak terkejut dan hairan”

“Aku tak terkejut. Kalau mu nak datang, bila-bila masa datang saja rumah aku ni. Bukan mu tak biasa,” balas ibu Abyatina.

“Alah, bukan mu tak tau, aku ni sibuk kat kedai tu”

Mak Cik Jah berkunjung ke rumah Abyatina. Tak diduga oleh ibunya kemunc ulan sahabat baiknya itu. Menetap di kampung itu setelah mengikut suami yang merupakan orang asal kampung tersebut, makanya MakCik Jah telah menjadi penduduk tetap di kampung itu. Seorang yang rajin berniaga, maka tak hairanlah jika kebanyakan penduduk kampung mengenalinya.

“Aku tau, ramai yang dah mencuba. Tapi nampaknya semua tak berjaya juga”

“Yela, aku pun kadang-kadang risau, keras kepala juga Abyatina tu. Entah, dah naik pening kepala fikirkan pasal dia ni,” keluh ibu Abyatina.

“Mu kena ingat, umurnya makin meningkat”

“Tapi, baginya, umurnya masih terlalu muda. Katanya, mahu cita-cita tercapai dulu...” luah ibu Abyatina.

“Mungkin masih belum bertemu jodoh yang terbaik kot...”

Abyatina hanya berkurung di bilik. Jarang dia kini keluar dari rumah. Tidak kerap lagi wajahnya muncul di kampung. Malah, ketiadaannya di khalayak ramai menimbulkan pelbagai persoalan. Pelbagai versi cerita timbul walaupun hakikatnya tiada siapa yang tahu kisah yang sebenar. Dia kini banyak berkurung dalam bilik menghabiskan masa menulis setiap hari.

“Aku ke sini pun berat juga nak bagitau. Entahlah, tapi mau tak mau, aku kena juga bagaitau mu,” terang Mak Cik Jah. “Hajat orang”

“Ada orang nak meminang Abyatina lagi ke?” soalan itu terus muncul dari mulut ibu Abyatina. Dia seolah-olah telah mampu menduga kemunculan Mak Cik Jah itu.

“Kamu macam dah faham saja aku ni...”

“Bukan dah faham. Tapi dah terbiasa. Bayangkan dah sembilan pinangan buat Abyatina aku terima”

“Bunyi mu ni macam dah jemu”

“Bukan dah jemu. Tapi dah tak larat lagi nak mengadap semua ni,” balas ibu Abyatina.

“Maknanya mudah sajalah kerja aku ni. Tak payah nak berjela-jela berbunga-bunga nak mulakan hajat yang nak disampaikan aku ni”

Abyatina tidak menyedari kemunculan Mak Cik Jah di rumahnya. Dia terlalu fokus menulis. Buku tebalnya menjadi tempat segala luahannya. Telah banyak ditulisnya. Melepaskan rasa hati menerusi penulisan, itulah cara terbaik Abyatina menenangkan diri.

“Siapa orangnya dan dari mana?” soal ibu Abyatina.

“Aku nak cakap pun, mu tak kenal. Memang orang kampung tak kenal dia ni”

“Orang luar?”

“Datangnya dari Manjung sana tu. Anak sedara aku”

Ayah Abyatina muncul di halaman rumah. Baru pulang dari masjid, dan kini dia melihat kelibat Mak Cik Jah berbual dia bawah rumah bersama isterinya. Agak jarang kemunculan sahabat baik isterinya itu, dan perkara tersebut menimbulkan tanda tanya Ustaz Man.

“Assalamualaikum”

“Waalaikumussalam Ustaz Man. Baru balik dari masjid ke?” soal Mak Cik Jah.

“Iyalah Jah. Dari mana lagi aku ni kalau tak dari sana”

Abyatina menjenguk ke jendela. Suara ayahnya kedengaran. Dia tersenyum. Rumah tersebut sedikit riuh. Barulah dia tahu, rumahnya dikunjungi tetamu. Namun dia membiarkan sahaja tetamu itu.

“Menyelusuri kenangan dulu dibawa bersama keazaman yang jitu. Jika pengalaman membetulkan diri, maka berserah pada Allah jika itu ketentuannya,” bisik Abyatina.

Bersendirian mencari rentaknya sendiri. Abyatina nyata berbeza kini. Tidak lagi mahu keluar, hanya sekadar berkurung tanpa berani menjejakkan kaki ke tanah luar. Kesan kisah sebulan yang lalu.

“Rizqullah”

Bicara kemudian membisu bila Mak Cik Jah menyebut nama itu. Itulah nama sebutan buat seorang lagi calon yang meminang Abyatina. Seorang guru yang kini bekerja di Sabah, berusia dalam lingkungan 30-an, maka itulah yang diceritakan Mak Cik Jah kepada ibu dan ayah Abyatina.

“Kamu mahu pinangan ini?” soal ayahnya malam itu. Abyatina membisu seribu bahasa.

“Pinangan ke sepuluh muncul, dan kali ini memang jauh datangnya. Seorang guru, dan kamu punyai masa depan yang cerah,” terang ibunya pula.

Terbisu dan terus membisu. Terkelu dan terus mengelamun. Jawapan dibisukan tidak diberikan. Tertanya-tanya apakah jawapan dari Abyatina. Namun harapan mahu dapatkan jawapan akhirnya terkubur sahaja. Abyatina masuk ke biliknya.

Teringat kembali kisahnya, sebuah kisah air mata yang pasti membuatkan Abyatina menjadi sebak. Kejutan diberikan secara berganda. Abyatina dikejutkan, begitu juga ayah dan ibunya. Kejutan peristiwa yang menimpa Abyatina akhirnya menenggelamkan kejutan yang ingin disampaikan ayahnya. Kisah yang berlaku menyebabkan pinangan Yaqzan tergantung tanpa sebarang jawapan. Abyatina tidak menolak, dan pada masa yang sama dia tidak pula menerima. Tujuh lelaki mengepung seorang wanita di ladang getah, itulah punca jawapan masih tergantung tak dijawab.

“Mujur Pak Longmu muncul tanpa diduga, dan libasan parang itu akhirnya mengejutkan si tujuh jahanam itu. Lintang pukang meninggalkanmu. Selamat sebuah kisah yang memberi pengajaran buatmu,” bicara ayahnya sebaik dikhabarkan peristiwa di ladang getah itu oleh Pak Long.

“Mujur kelaparan nafsu yang membuak dalam si tujuh jahanam itu belum sempat untuk menjamah kamu. Jika kamu ketika itu dan Pak Longmu tak muncul, maka segala nilai berharga bagimu akan hilang. Kesucian kamu akan direntap. Kecantikan kamu sehebat mana pun, tidak siapa yang sudi lagi. Kamu bakal menjadi permata, yang retak di dalamnya,” kata ibunya pula.

Kisah Abyatina diserang tujuh lelaki di ladang getah itu disorokkan. Hanya dalam keluarga Abyatina sahaja yang mengetahuinya. Maruah harus dijaga, fitnah harus dielakkan. Maka, kisah dibisukan jika ada yang cuba mahu mengorek rahsia. Sukar bila sebuah kerahsiaan ingin dikekalkan.

Maka kerana itu, kelembutan dan toleransi ayahnya mulai terpadam. Jika dulu dia berlembut dalam soal jodoh, kini Ustaz Man dilihat terlalu berharap moga anaknya itu akan menemui jodohnya dalam masa secepat yang mungkin. Perlindungan diperlukan buat si Abyatina. Maka jodohnya harus muncul dengan segera.

“Kamu harus pilih di antara dua. Kerana jika kamu tidak mahu memilih, biar abah sahaja yang tentukan buat dirimu,” terang ayahnya.

Kebisuan melanda. Persimpangan telah tiba. Peristiwa lalu membuka jendela fikirannya. Dia lebih lembut hatinya. Pilihan diberikan. Keputusan harus diakhirkan. Perjalanan hidup baru bermula. Dia mungkin ketemu jodohnya.

“Antara Rizqullah dan Yaqzan, yang mana pilihan aku?” monolog si Abyatina.

Kemunculan kakaknya, Raiqah dari Pulau Pinang menceriakan sedikit Abyatina. Kemunculan bersama suaminya turut disertai anak-anak mereka, meriuhkan rumah. Kebisuan Abyatina akhirnya dipecahkan dengan gelak ketawa dirinya. Kemunculan kakaknya itu merubah sedikit kesuraman yang dirasai Abyatina.

“Kamu diberi pilihan, maka buatlah keputusan,” bicara kakaknya bila soalan diajukan Abyatina akan dilema yang dihadapinya.

“Mungkinkah boleh Ina buat keputusan?” soalnya.

“Ina dan akak, jauh bezanya. Situasi Ina tak sama dengan kisah kakak”

Kisah kakaknya muncul. Harus diakui, memang jauh berbeza kisahnya. Jejaka yang muncul datang dari kampung yang sama. Anak pemilik kedai runcit yang terletak tidak jauh dari rumah. Setiap hari berehat di bawah rumah, akhirnya setiap kali itu juga jejaka itu melihat kelibat kakaknya, hati dah terpaut dan penyudahnya dipinang Raiqah kakaknya itu. Pinangan terus diterima.

“Satu rahsia yang tak pernah akak bagitau. Kamu tau, dulu akak memang tak suka suami akak,” bicara Raiqah.

“Hah?”

“Sebab suami akak tu hitam sangat. Memang tak suka. Akak macam terpaksa saja kahwin”

Abyatina terlopong mulutnya terkejut. Kehitaman kulit membuatkan kakaknya itu memaksa diri sahaja menerima pinangan itu. Kisah yang tak pernah didedahkan, dan kini telah diketahui Abyatina.

“Takut akak, masa hari pertama dia tidur sebelah akak. Mana tau, kot-kot tersalah sangka yang abang Bazli kamu tu orang minyak pula. Tak pasal-pasal makan penyapu pula mukanya tu...” kata Raiqah berseloroh.

Kelucuan muncul dalam hati Abyatina. Tersenyum sahaja dirinya.

“Hakikatnya, cinta menenggelamkan semua. Bila hati itu diikat, dan bila bertaut itu wujud, maka kamu akan rasai satu nikmat tak tergambar. Di situlah akan hilang ukuran paras rupa kerana hati yang menjadi keutamaan pula”

Kata-kata kakaknya disambut dengan kebisuan.

“Pilihan ditanganmu. Seorang ustaz, dan seorang lagi cikgu Geografi. Mana satu pilihan kamu, maka kamu tentukan. Sesungguhnya kami bukan seorang pemaksa buat kamu”

Kata-kata ayahnya tiba-tiba terngiang-ngiang di telinganya. Sesungguhnya, pilihan di tangannya. Dia bakal tentukan siapa pilihannya. Itu peluang yang diberikan.

“Masalah utama buat Ina, kenapa harus kedua-duanya perlu bermisai?” soal Abyatina pada kakaknya. “Sorang misai kontot dah macam Charlie Chaplin, sorang lagi halus, ada gaya macam hero filem Hindustan”

Hakikat, Abyatina tidak sukakan lelaki yang bermisai. Namun, kini pilihan diberi dengan ciri yang tak diimpikannya. Tiada pilihan melainkan menerimanya. Dua jejaka bermisai, dan Abyatina kebuntuan memilih.

“Pilihlah yang tak tebal misainya...” seloroh kakaknya. “Atau mungkin hantaran kamu nanti kirimkan padanya pisau beserta buih pencukur. Tersirat yang memberi makna buat bakal suami kamu...”

Kisah misai berterusan. Gelak ketawa kedengaran. Kelucuan dirasai. Kisah kehitaman dan kemudian misai. Bicara wanita mengenai lelaki, hanya mereka sahaja yang mengerti.

Akhir kisah, istiqarah bermula. Dua lelaki di dua persimpangan, mohon petunjuk moga diberi pilihan setepatnya. Masa depannya bergantung pada keputusannya. Tanggungjawab berat bagi menjawab persoalan. Berserah pada Allah maka itu keputusannya.

“Kenapakah si alien dari planet Zaragoza mahu meminang aku? Apakah UFO telah tersedia untuk berlepas kembali ke planetnya?” usikan Zabarjad masih segar di ingatan Abyatina malam itu. Gara-gara kisah jeritan ‘alien’, kini Zabarjad punyai modal untuk mengusik kakaknya.

“Kini muncul Jeneral Mak Jah memohon untuk mendarat di planet bumi. Alien dari planet Zaragoza menerima saingan. Jeneral berkata, seorang anak buahnya mahu menakluki ‘bumi’ ”

Usikan Rafiqin menjelma pula. Seringkali usikan itu bermain di fikiran Abyatina.

“Kenapalah dua nama yang pelik muncul dalam hidup aku?” soalnya dalam hati.

Pagi esoknya, surat muncul tanpa diduga. Dua pucuk surat. Dibuka sepucuk surat dahulu dan pada masa yang sama tetamu tak diduga muncul pula.

“Rizqullah?”

Yaqzan muncul di halaman rumah. Tersenyum sahaja bila melihat Abyatina berada di bawah rumah. Surat masih dipegang Abyatina. Sepucuk telah dibuka dan itu mengejutkan Abyatina. Rizqullah menghantar surat padanya.

Situasi tambah kelam kabut. Mak Cik Jah juga muncul pada masa yang sama. Individu yang bertanggungjawab meminang Abyatina bagi pihak Rizqullah muncul bersama-sama seorang lagi calon yang meminang Abyatina.

“Surat?.... Yaqzan?.... Mak Cik Jah?... Ya, Allah, kenapa serentak semuanya?”

Maka alien planet Zaragoza muncul ke bumi. Persaingan berlaku bila Jeneral Mak Jah turut muncul mendarat di bumi. Mesej rahsia dihantar menerusi roket kecil dari anak buah Jeneral Mak Jah diterima Abyatina. Kekeliruan dirinya. Tergamam seketika.

“Yang mana dulu, yang mana kemudian? Suratkah? Yaqzankah? Atau Mak Cik Jahkah?...”

Persoalan berterusan....



*Tamat sudah Bicara Empat*

Bicara berterusan untuk sambungan seterusnya....

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.

Selasa, 28 Disember 2010

“Adina (Bicara Tiga)”


Kembalikan kekuatan seorang wanita setiap kali berbicara. Luahkan segalanya supaya mereka jelas dengan fikiranmu. Tegaskan hatimu moga tiada siapa yang mampu menindasmu. Kekuatan wanita terletak pada keutuhan dalam mempertahankan sebuah prinsip. Keuunggulan sebuah wanita adalah datang dari hati yang cekal mempertahankan impiannya. Wanita itu mampu menggoncangkan dunia.

“Tanganmu adalah penentu masa depanmu...”

Bicara ayahnya terngiang-ngiang di telinganya. Entah kali berapa, pernyataan ayat yang sama itu muncul. Terkesan dengan kata-kata itu, malam itu Abyatina sukar untuk tidur. Mungkin kesan kopi yang diminumnya atau mungkin juga dek terlalu banyak perkara yang difikirkannya. Kedinginan malam langsung tak membantu buat Abyatina untuk mudah terlena.

“Pagi tadi sarapan dengan alien, lepas tu si alien tu jumpa dengan abah, dan petang tu si alien tu datang lagi jumpa mak. Malam pula, abanh dan mak cakap lagi pasal alien tu... Hmmm, tak de ke dalam seharian ni yang tak ada kaitan langsung dengan kisah si alien yang datang dari planet mana tu? Ini dah diibaratkan penjajahan alien di rumah aku ni....” monolog Abyatina.

Yaqzan kelihatan semakin rajin berkunjung ke rumah Abyatina. Namun, Abyatina sememangnya kurang senang dengan kemunculan jejaka itu. Hakikatnya dia langsung tidak tahu bahawa Yaqzan itu merupakan anak rakan baik ayahnya sehinggalah diberitahu oleh ibunya.

“Kemunculan si alien yang sedang cuba melakukan penjajahan terancang mungkin...” monolog Abyatina.

Meletakkan sebuah harapan atas sebuah kejayaan. Abyatina semakin tersenyum bila kenangkan segala kemungkinan yang akan berlaku untuk beberapa bulan akan datang. Bila keputusan cemerlang diterima, pelbagai bayangan muncul di fikirannya.

“Tahniah buatmu jika itu kepuasan hasil titik peluhmu”

Bicara Yaqzan muncul pula di fikirannya. Tiba-tiba kata-kata pagi tadi terngiang-ngiang pula di fikirannya.

“Alien!!!!!” jerit Abyatina tiba-tiba.

Pagi itu sewaktu sarapan, ayah dan ibunya memandang Abyatina dengan wajah yang kehairanan. Zabarjad, adik lelaki Abyatina juga memandang semacam Abyatina. Beberapa ketika kemudian, adik bongsu Abyatina, Rafiqin muncul di dapur juga dengan pandangan semacam pada kakaknya itu.

“Kenapa semua ni? Akak cantik sangat ke hari ni?” soal Abyatina.

“Tak, kami semua nak perhati alien yang menjerit alien malam semalam...” balas Zabarjad.

Abyatina hanya tersengih. Mukanya kemerah-merahan menahan malu. Tidak disangka, jeritannya malam semalam didengari satu famili.

“Siapa si aa lion tu?” soal ayahnya.

“Hah, aa lion?” soal Abyatina kehairanan.

“Bah, bukan aa lion. Tapi alien...” sampuk Zabarjad tersenyum.

“Apa menatang tu?” soal ibunya pula.

“Alien tu, makhluk asing..” balas Zabarjad.

“Oh, macam jin tu?” soal ayahnya.

Abyatina tersenyum sekali lagi. Perbualan pagi menceriakan permulaan harinya.

Menceriakan harinya, Yaqzan hari ini tidak muncul di rumahnya. Kelegaan buat dirinya kerana dia memang kurang selesa dengan kemunculan jejaka itu. Tambah merimaskan bila ayah dan ibunya sangat-sangat ramah melayan si Yaqzan itu.

“Menyelusuri hari-hari dengan penuh ketenangan sambil menghirup udara segar tanpa kemunculan alien dari planet Zaragoza.... Amannya....” monolog Abyatina sambil menghirup teh panas buatan ibunya.

“Apa ke jadah pulak akak ni cakap abang Yaqzan tu alien dari planet Zaragoza pulak?” soal Zabarjad tiba-tiba. Terkejut si Abyatina dengan pertanyaan itu. Dia hairan, bagaiamana pula adiknya itu boleh mendengar monolognya.

“Apakah aku bersuara tanpa sedar?”

Mungkin dek terlalu banyak membaca buku novel sains fiksyen, pengaruh itu akhirnya menguasai fikiran Abyatina. Segala macam gelaran pelik senantiasa muncul di fikirannya, dan memang terbukti apabila Abyatina menggelarkan Yaqzan sebagai alien dari planet Zaragoza.

“Kamu diam sudah...” balas Abyatina.

Petang itu Abyatina pergi ke rumah kawannya. Khabarnya dia ke sana untuk belajar menjahit. Kelapangan yang ada digunakan sebaik mungkin. Abyatina bukan gadis yang tahu berdiam diri. Mungkin sifat itu datang dari ibunya. Aset terpenting seorang wanita ialah memasak dan menjahit, pesanan seringkali diulang ibunya, maka Abyatina sebolehnya mahu mencekapkan diri dengan ilmu menjahit.

Soal memasak memang tak dinafikan. Tinggi kemahiran memasak itu, maka itulah yang dimiliki Abyatina. Sebabnya? Semuanya atas didikan ibunya, ditambah pula dengan kursus Ekonomi Rumah Tangga yang diambil Abyatina di sekolah dahulu, maka Abyatina memang cukup cekap ketika di dapur.

Kepulangannya ke rumah dinantikan oleh ayah dan ibunya. Masing-masing menunggu Abyatina. Wajah penuh harapan ditunjukkan mereka berdua. Mereka membisu sehinggalah Abyatina muncul di ruang tamu.

“Kamu dah boleh buka kedai jahit tak?” soal ayahnya.

“Hah?” Kehairanan Abyatina. Kata-kata perlian dari seorang ayah yang masih belum difahami Abyatina akan perlian itu.

Permulaan dengan sebuah perlian menghasilkan sebuah kebisuan. Akhirnya bersuaralah si ibu tamatkan diam yang terhasil.

“Hah, tadi ada orang datang...”

“Ya. Biasalah kalau orang datang...” balas Abyatina. “Jangan alien tu sudah...” bisik Abyatina dalam hatinya.

“Mereka nak pinang kamu...”

“Hah? Pinang?” Abyatina terkejut. Cerita tergantung. Abyatina terkaku.

Keesoakannya, bicara pagi tidak kedengaran. Membisu sahaja si Abyatina. Sarapan disediakan seperti tidak kelihatan di matanya. Jamah sedikit dan kemudian ditinggalkan. Terkenang kembali kata-katanya petang semalam. Mungkin serba salah, atau mungkin juga berpuas hati. Seperti berlaku kurang ajar saja.

“Tak pe la mak. Ina ni dengan hati yang terbuka....”

Kata-kata itu memang cukup berani. Abyatina tak menjangka, dia telah meluahkan kata-kata itu. Tanpa berfikir panjang, terus dia bersuara.

“Dengan hati terbuka, saya dengan terbuka menolak hamba Allah yang dengan niat yang murni nak pinang saya. Saya tak semudah itu nak terima sesiapa”

Pinangan kelapan ditolak Abyatina. Kurang bernasib baik buat si lelaki yang mencuba nasib itu. Hablan, kerani pejabat yang mencuba nasib belum mampu menambat si Abyatina.

“Jangan sampai kamu tak dipinang sesiapa lagi lepas ni. Baru masa tu kamu nak menyesal,” luah ayahnya petang semalam. Agak kecewa nadanya.

Abyatina hanya membisu. Dia tahu, ayahnya kecewa.

“Biarlah jika itu keputusanmu. Mak tak kisah, kerana kamu yang akan berkahwin juga. Kamu berhak tentukan masa depanmu kerana kamu yang akan menanggung keputusan itu,” bicara mak diluahkan kepada Abyatina.

Sarapan ditinggalkan. Keluar rumah dirinya kemudian. Hakikatnya, ibu dan ayahnya telah sedia maklum, Abyatina akan ke dewan serbaguna di kampungnya untuk kelas menaip. Dilepaskan dsengan mudah tanpa syak wasangka dari ibu dan ayahnya. Kebiasaan yang tidak mengundang sebarang kerisauan.

Perjalanan menuju ke dewan tidaklah begitu jauh. Namun, dia perlu melalui kawasan sawah sebelum merentasi sedikit kawasan ladang getah. Barulah dia akan tiba ke dewan itu. Tak jauh, namun merentasi dua kawasan yang berbeza.

“Assalamualaikum”

Salam diberi di pintu hadapan rumah. Kemunculan Ustaz Khumaini menghairankan Ustaz Man. Sahabat rapatnya ini tiba-tiba muncul di rumah Abyatina. Isteri Ustaz Khumaini turut muncul bersama.

“Waalaikumussalam,” jawab ayah Abyatina.

Sementara itu Abyatina sedang melalui kawasan sawah. Beberapa lelaki menegurnya. Anak-anak muda yang sanggup turun awal ke sawah tidak melepaskan peluang untuk menegur Abyatina. Popularitinya di kampung menyebabkan sesiapa sahaja yang bersua dengannya pasti akan menegurnya.

Pada masa yang sama, di rumah, kemunculan tetamu tak diduga disambut dengan baik.

“Masuklah. Dah lama sahabat aku ni tak masuk,” pelawa ayah Abyatina.

Ustaz Khumaini tersenyum naik ke rumah bersama isterinya. Ibu Abyatina menyambut salam yang dihulurkan isteri Ustaz Khumaini. Semua kemudian berkumpul di ruang tamu. Abyatina tiada di rumah dan itu tidak disedari oleh tetamu yang datang ini.

Abyatina pula sementara itu baru sahaja melepasi kawasan sawah. Kini memasuki pula kawasan ladang getah. Agak gelap dan sedikit sunyi. Namun, kebiasaan buat dirinya, maka kerisauan dan ketakutan langsung tidak muncul di fikirannya.

“Aku sebenarnya agak berat nak nyatakan tujuan aku datang pagi-pagi ni. Tapi, demi menyempurnakan hajat orang, maka aku datang juga,” kata Ustaz Khumaini memulakan bicaranya.

“Mu ni nampak berat nak bagitau aku. Apa sebenarnya? Cuba nyatakan pada aku ni...” balas ayah Abyatina.

“Agak berat Ustaz Man,” kata pula isteri Ustaz Khumaini.

“Tak pe lah, kita ni ada adab dan adatnya, maka aku ikut adab dan adat tu...” terang Ustaz Khumaini.

Mencari sinar matahari di bawah rimbunan pohon-pohon getah sememangnya agak sukar. Rimbunan yang agak tebal membataskan cahaya matahari sampai ke bumi di ladang getah itu. Langkah Abyatina masih tenang. Ketenangan itu menangkap mata beberapa orang. Tidak kelihatan sesiapa menoreh getah hari ini. Makanya, agak sunyi jalan itu.

“Semua ini adalah datang dengan hajat yang diluahkan Yaqzan,” terang Ustaz Khumaini.

“Hajat?” soal ayah Abyatina tanda tak faham.

Langkah Abyatina semakin laju tiba-tiba. Dirinya merasakan sesuatu tidak kena dengan kesunyian di jalan itu. Langkah itu semakin laju, dan tanpa diduga, seorang pemuda muncul di hadapanya. Langkahnya terhenti. Beberapa pemuda lagi muncul secara tiba-tiba kemudian, muncul dari semak berhampiran. Tujuh lelaki menahan seorang wanita. Abyatina ketakutan.

“Jika hajat yang baik, maka sampaikan sahaja pada aku. Jika hajat yang tak baik, maka simpankan sahaja buat dirimu. Tapi, adakah hajat yang tak baik, maka mu akan muncul di rumah aku?” bicara ayah Abyatina.

“Memang murni hajat di hati Yaqzan ni. Maka itu yang akan aku sampaikan,” balas Ustaz Khumaini.

Abyatina terkepung. Tujuh lelaki muncul tiba-tiba di lorong itu. Semuanya semakin menghampiri Abyatina. Ketakutan dirasai di tahap kemuncak. Dia buntu dan hilang akal. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Tangannya tiba-tiba dicapai oleh seorang lelaki. Ditarik tangannya kemudian lalu cuba dicium lelaki itu. Abyatina menepis. Namun, terkaman dari lelaki pula muncul. Seorang demi seorang cuba menyentuh Abyatina. Dirinya semakin tak termampu menepis cubaan tujuh lelaki itu. Pipinya cuba disentuh.

“Yaqzan telah ceritakan pada aku. Memang tak sangka, tapi sebagai orang yang dah berkemampuan, mungkin itu serunya yang telah memanggilnya,” bicara Ustaz Khumaini.

“Aku faham. Tak salah jika kamu mahu nyatakan apa hajatnya itu. Moga hajat itu adalah lahir dari hati yang ikhlas. Tapi apakah hajatnya?” soal ayah Abyatina.

Kepungan itu tak terdaya dilawan Abyatina. Dengan pantas dia ditarik masuk ke dalam ladang getah. Kesemua lelaki itu bertindak pantas sehingga Abyatina tidak dapat lakukan apa-apa. Tudung kepalanya direntap dengan pantas. Rambut terdedah secara paksa, dan aurat tanpa niat telah ditunjukkan pada tujuh lelaki itu. Nafsu menguasai diri. Abyatina menjerit sekuat hati.

“Aku serba salah nak cakap. Aku takut, jika hajat ini ditepis seperti sebelum-sebelum ni, apakah aku denganmu akan masih bersahabat?” soal Ustaz Khumaini.

“Kamu sahabat aku dunia dan akhirat. Jangan kerana hajat anakmu, kita hilang persaudaraan itu,” balas ayah Abyatina.

“Nyatakan apa hajat itu,” ibu Abyatina bersuara.

“Yalah. Aku nyatakan juga. Moga kamu dengar, dan moga kamu putuskan sebaiknya,” kata Ustaz Khumaini.

Raungan Abyatina semakin kuat. Tujuh lelaki ketawa besar. Tubuh Abyatina tidak dapat bergerak. Dipegang rapi, dan dikawal dengan utuh oleh tujuh lelaki itu. Kawasan semak di ladang getah itu menjadi tempat kejahatan menguasai tujuh lelaki itu. Tidak tergambar perasaan Abytina ketika ini. Tak terdaya lagi untuk melawan. Hanya jeritan mampu diusahakannya. Moga ada yang terdengar.

“Aku nak sampaikan hajat dari anakku Yaqzan. Moga disampaikan dengan penuh beradab, maka aku nyatakan padamu, kemunculan aku di rumahmu ini, adalah menyampaikan hajatnya untuk menjadikan anakmu Abyatina sebagai isterinya yang sah,” terang Ustaz Khumaini dengan tenang.

“Muncul kami untuk meminang anakmu Abyatina,” sambung isteri Ustaz Khumaini.

Suasana rumah menjadi sunyi.

“Hoi, apa yang kamu semua buat ni!!!!” sergahan seorang lelaki tiba-tiba kedengaran di ladang getah itu. Jeritan Abyatina didengari. Lelaki separuh abad itu memegang sebilah parang. Mungkin baru sahaja mahu menuju ke kebun.

“Pak Long tolong Ina....” pinta Abyatina dengan sayu.

Suasana di rumah pula menjadi sunyi sahaja. Masing-masing hanya membisu. Hajat telah disampaikan, dan kini hanya keputusan yang dinanti untuk didengar. Ustaz Man hanya terus membisu.


*Tamat sudah Bicara Tiga*

Menyambung kisah di lain bicara...

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.


***Mohon maaf buat Ayong dan Adina sebab lambat poskan kisah sambungan. Agak sibuk sedikit sejak kebelakangan ini. Saya tahu, kamu tak sabar sehinggakan berulang kali tanya bilakah kemunculan baru di blog saya.

Khamis, 23 Disember 2010

Adakah saya seorang penulis yang punyai pembaca?

Pelbagai kisah berlalu dan diharungi. Namun bicara yang kedengaran kadang-kadang seolah-olah berada dalam kepalsuan dek terlalu banyak huaraian yang mencetuskan nilai tidak percaya oleh para pembaca. Saya harus akui, siapalah saya untuk memaksa mereka mempercayai setiap bicara saya.

Digambarkan sebagai penulis yang mampu pergi jauh, itulah yang diperkatakan kepada saya. Namun saya tertanya-tanya benarkah kata-kata mereka? Atau satu pujian kosong nak sedapkan hati sahabatnya? Saya tak tahu jawapannya. Persoalan yang senantiasa bermain di fikiran saya.

Saya juga terfikir, sejauh manakah pembaca yang membaca setiap bicara baru saya? Sejauh manakah pembaca setia yang mengikuti tulisan saya? Apakah saya punyai pembaca? Menarikkah tulisan buat sesiapa membaca setiap bicara saya? Tertanya-tanya saya juga.

Saya harus akui, ramai yang mengkritik tulisan saya. Ada yang berkata saya menulis tanpa memikirkan sensitiviti orang lain. Ada juga yang menyatakan tulisan saya sebagai peraih simpati orang. Ada juga yang menyatakan saya terlalu terbuka kepada orang hingga saya mendedahkan kelemahan saya pada orang lain.

Kebencian dihamburkan kepada saya. Penulis yang senantiasa dihamburkan dengan kata-kata penghinaan, itulah diri saya.

Semua itu kadang-kadang telah melemahkan saya. Saya terfikir, benarkah saya adalah seorang yang tak berhati perut, seringkali wujudkan rasa di hati terkilan dalam kalangan kenalan saya? Sebab bila fikirkan kembali, saya terdetik di hati, ada harusnya saya untuk meletakkan pena dan menghentikan bicara, dan akhirnya bersara meninggalkan penulisan.

Mengapa saya menulis?

Jawapan yang sama pasti saya keluarkan. Semuanya kerana minat yang wujud, maka saya menjadi penulis. Harus diakui, pasti membosankan bila bicara dengan saya, bila berkawan dengan saya. Membosankan bila bersosial dengan penulis, kerana penulis hidup dalam dunianya sendiri, yang tak ramai mampu fahaminya. Saya tahu, saya lemah dari segi hubungan sosial dengan orang ramai, namun harus saya akui, saya kini sedang memperbaiki kemahiran sosial saya ini.

Apakah yang saya tulis?

Saya menulis mengenai pelbagai perkara. Tidak pernah saya fokuskan terhadap sesuatu perkara sahaja. Semua yang terlintas di fikiran saya, maka itu yang akan saya jelmakan. Semua perkara saya sentuh kecuali politik sahaja. Mengapa tidak politik? Bagi saya, bila bicara politik, maka saya hanya mengundang perpecahan dalam kalangan pembaca. Kerana politik, sesebuah masyarakat boleh terpecah dua. Alasan itu, maka saya tak mahu bicara politik.

Saya lebih banyak menulis mengenai diri saya. Harus diakui, setiap yang datang dari sudut hati sendiri adalah lebih mudah untuk dibicarakan berbanding dengan perkara yang berasakan fakta dan huraian yang panjang. Makanya, setiap kali saya merasakan sesuatu terdetik di hati saya, dan saya memerlukan satu bentuk luahan, makanya saya pilih penulisan sebagai medium untuk saya nyatakan sesuatu. Bila bicara itu dikongsikan kepada rakan-rakan, betapa lega di hati yang saya rasa.

Saya juga turut berkongsi kisah yang pernah saya alami. Setiap kisah itu akan saya kongsikan jika saya dapat merasakan ada sesuatu pengajaran yang boleh saya sampaikan buat rakan-rakan. Saya harus akui, pelbagai kisah yang saya lalui bila setiap kali berkunjung ke sesuatu tempat. Dek saya yang suka berkunjung dan berjalan ke serata tempat, maka banyak pengalaman yang saya kutip. Harus diakui, kadang kala kisah yang dilalui adalah di luar jangkaan dan saya sendiri tidak sangka terdapat segelintir manusia yang menghadapi situasi begitu.

Namun, saya tidaklah menulis tentang semua mengenai diri saya. Terdapat ketikanya saya berkongsi bicara dalam nada yang berbeza. Saya juga kadang kala menulis untuk menyedarkan rakan-rakan dengan menggunakan fakta dan huraian yang tepat. Bicara ini amat sukar, kerana saya perlukan sebuah ketelitian dan kajian yang tepat, kerana selepas itu barulah akan saya tuliskan sebuah bicara. Harus diakui, saya jarang menulis bicara berdasarkan sebuah fakta dan huraian yang mendalam.

Kepada siapa saya tujukan tulisan dan bicara saya ini?

Ramai. Itu jawapan saya. Tulisan saya bersifat umum. Makanya saya jarang untuk tulis bicara saya dan kemudian dispesifikkan ditujukan kepada seseorang. Saya jarang menulis hanya untuk satu dua pihak sahaja. Saya suka menulis untuk semua. Namun, harus saya akui, kadang kala terdapat juga bicara yang saya tulis ditujukan kepada seseorang. Terdapat satu dua bicara memang saya tujukan pada seseorang. Kebanyakan bicara itu saya tuju bila saya meluahkan isi hati.

Ayong, Adina, Ain, Zaki, Maghfur, Izzat, Musleeha, Farhani, dan beberapa rakan lain, mungkin merekalah yang seringkali terbayang di fikiran saya setiap kali menulis bicara. Ya, mungkin merekalah yang seringkali saya tujukan bicara saya. Mengapa? Kerana saya harus akui, mereka membaca bicara-bicara saya (walaupun harus saya akui, tak semua bicara saya mereka baca)

Apakah harapan saya selepas menulis?

Cuma satu sahaja yang saya harapkan. Moga mendapat pengajaran dan sebuah pengalaman baru bila membaca bicara saya. Saya mengharapkan, saya dapat menyebarkan sedikit kesedaran di sebalik setiap kisah yang saya kongsikan. Saya berharap moga mereka terhibur dan menikmati pembacaan tersebut. Saya juga harapkan, moga apa yang disampaikan tidak menjadi sebuah bicara kosong, kerana apa yang saya harapkan, semua bicara itu punyai sedikit pengisian.

Apakah pesanan saya buat kalian?

Saya mengharapkan moga kalian dapat membaca bicara saya. Saya tidak memaksa, sekadar menyeru supaya dapat hendaknya mengambil sedikit masa kalian untuk membaca bicara saya. Harus diakui, saya ternyata pasti gembira dan senang, jika bicara itu dibaca dan di akhirnya itu memberi kesan yang positif buat diri kalian. Harapan saya, jika ada kekurangan dan kesilapan yang saya lakukan, saya berharap moga kalian dapat menegur dan menyatakan kesilapan saya itu.

Adakah terdapat pertanyaan yang bermain di fikiran?

Harus diakui, terdapat beberapa persoalan bermain di fikiran saya. Ingin juga diajukan buat rakan-rakan, namun saya tak tahu jika ada yang membaca bicara yang membosankan ini. Memang banyak persoalan yang wujud dan ingin benar diketahui jawapannya.

1. Adakah terdapat pembaca yang membaca setiap bicara saya ini?
2. Adakah tulisan saya menarik?
3. Apakah saya mampu pergi jauh dalam bidang penulisan?
4. Adakah saya mempunyai pengikut setia bagi setiap tulisan saya?
5. Adakah tulisan saya menjengkelkan?
6. Adakah saya banyak mengguris hati dan perasaan orang menerusi tulisan saya?
7. Perlukan saya ubah gaya penulisan saya?
8. Adakah tulisan saya bersifat stereotaip?
9. Perlukah saya cuba berjinak-jinak menulis perkara berkaitan politik?
10. Adakah saya perlu bersara dari bidang penulisan?

Sepuluh persoalan yang bermain di fikiran. Ingin benar soalan itu dijawab oleh rakan-rakan. Tapi saya tak tahu, jika ada yang membaca bicara ini. Harus saya sedar, saya penulis yang terlalu kerdil. Cetek pengalaman dan banyak kelemahannya. Banyak yang saya harus belajar sebelum mampu menjadi penulis yang benar-benar berkaliber dan mempunyai identiti yang utuh.

Wallahualam.

p/s: saya memang suka membaca tulisan Datuk Johan Jaafar yang seringkali memerihalkan fakta-fakta yang bernas. Suka juga membaca tulisan Datuk A. Kadir Jasin, bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times yang seringkali muncul dengan tulisan yang cukup menarik. Begitu juga tulisan Zainul Arifin yang seringkali tajam memberikan hujah dalam akhbar New Sunday Times. Saya juga turut tertarik dengan bicara Datuk Seri Hadi Awang, dalam halaman Harakah, atau mungkin juga tulisan Datuk Seri Anwar dalam blognya. Saya juga sukakan tulisan Datuk Chandra Muzzafar yang kadang kala muncul dalam halaman New Straits Times. Harus diakui juga saya turut menjadi pengikut setia blog Tun Dr. Mahathir Mohamad. Hakikatnya, saya bukan membaca tulisan berasaskan latar belakang politik tokoh tersebut, tetapi saya membaca berdasarkan sejauh mana menariknya pandangan yang diberikan tokoh itu. Penulisan membutakan mata saya terhadap pandangan politik mereka.

23 Disember 2010, 1.00 am, Taping.


Selasa, 21 Disember 2010

“Adina (Bicara Dua)”



Kucupan mesra ibarat satu impian. Bila bahagia meresapi seluruh tubuh, maka tak tergambar bila dibelai dan dimanjakan oleh dirinya. Seorang ibu mampu melahirkan bahagia yang tak terduga buat seorang anaknya. Kamu terindah buatku...

Abyatina berjalan dengan penuh ketenangan. Tanpa sebarang keresahan. Baru sahaja turun dari bas, dan dia baru sahaja pulang dari pekan. Berseorangan, dan itu adalah sesuatu yang jarang buatnya. Jika diketahui ayahnya, pasti dimarahi si Abyatina itu. Risiko sengaja diambil. Semuanya gara-gara kegilaannya mencari novel terbaru di pasaran. Hasilnya dia membawa pulang beberapa naskah novel baru pulang ke rumah.

Kelegaan muncul. Ayahnya berada di masjid. Mesyuarat AJK masjid khabarnya. Ibunya pula kelihatan tidur di depan televisyen. Kain baju kelihatan tersusun rapi dilipat. Kelihatan mungkin ibunya terlena keletihan selepas selesai melipat pakaian. Abyatina tersenyum.

“Ke mana dan dari mana mu ni?”

Suara ibunya tiba-tiba kedengaran. Tidurnya hanya dibuat pura-pura. Abyatina terperangkap. Kelegaan bertukar keresahan. Bijak ibunya. Sengaja buat-buat tidur untuk menduga anaknya itu. Abyatina tergamam.

“Lah, mana senyumanmu?...” perli si ibu. “Tadi bukan main mu senyum bila nampak mak tidur...”

Senyuman bak kerang busuk dilemparkan Abyatina. Dia hanya mampu tersenyum saja. Tangannya kemudian mengeluarkan tiga buah novel dari beg plastik yang dipegangnya.

“Ini...”

Ibunya faham. Dia tersenyum. Harus diakui, minat membaca si Abyatina memang telah ditanam oleh ayahnya. Maka tak hairan, jika ketagihan membaca Abyatina tak dapat dibendung. Bila dilihat naskah-naskah novel ditunjukkan Abyatina, ibunya terus tak bersuara.

“Tapi tak bermaksud abah kamu tak akan tahu...” senyum ibunya.

Bunyi enjin motosikal kedengaran. Abyatina terus meluru ke tingkap. Pada fikirannya, pasti ayahnya telah pulang. Kegentaran dirasainya. Kerisauan dihadapinya. Namun kelegaan muncul bila motosikal yang melalui kawasan halaman rumah itu dipandu oleh seorang posmen.

Sepucuk surat diambil. Dibukakan sampul surat tersebut. Ibunya datang menghampiri ingin tahu surat yang diterima Abyatina itu.

“Urusan Seri Paduka Baginda mak...” bicara Abyatina.

Isi kandungan dibaca. Mata yangmembaca akhirnya menguntumkan senyuman. Wajahnya berubah menjadi mod gembira. Ibunya hairan. Terus diambil surat tersebut dari tangan anaknya.

“Alhamdulillah...”

Ayahnya pulang tak lama kemudian. Kisah keluar sendirian si Abyatina telah hilang begitu sahaja. Surat itu pula jadi tajuk utama. Senyuman turut dikuntumkan si ayahnya. Tiga individu tersenyum lebar. Kesyukuran dilafazkan mereka.

“Alhamdulillah, usahamu dibalas jua...” kata ayahnya.

Surat pernyataan sebuah kegembiraan. Keputusan SPM Abyatina diterima hari ini. Keputusan cemerlang dikurniakan kepadanya. Maka tidak hairan nilai kesyukuran dan nilai kegembiraan tergambar di wajah tiga beranak itu. Abyatina berjaya. Usaha kerasanya terbalas.

Kisah menguntumkan senyuman itu berpanjangan sehingga ke pagi esoknya. Kisah gembira itu begitu pantas tersebar. Setiap mereka yang berjumpa ayahnya di masjid, warung hatta di kebun sekalipun, ucapan tahniah tak putus-putus diberikan. Kejayaan Abyatina membahagiakan si ayahnya.

“Kamu manusia tabah dan tabah itu berbalas dengan sebuah kesenangan hatimu kini,” bisik ayahnya ke telinga Abyatina malam semalam.

Abyatina semalaman tidak dapat tidur. Fikirannya melayang memikirkan segala yang mungkin pada masa akan datang. Dia membayangkan dirinya setelah kejayaan yang dimilikinya kini. Segala impian sedia direalisasikan. Itulah fikirannya malam semalam.

Sarapan pagi agak luar biasa. Ibunya sanggup bersusah payah menguli tepung malam semalam. Pagi itu hidangan roti canai disediakan ibunya. Berselara Abyatina kerana jarang dia merasai roti canai buatan ibunya itu.

“Assalamualaikum...”

Kemunculan seorang lelaki di muka pintu menghentikan nikmat sarapan Abyatina. Terkedu seketika dirinya. Wajah sama yang muncul beberapa hari yang lalu pasti tidak dilupakan Abyatina.

“Oh, Yaqzan....” ibunya berkata. “Masuklah. Mai sarapan sekali ni. Roti canai mak cik buat hari ini”

Yaqzan masuk. Abyatina menjadi segan. Yaqzan duduk di hadapan Abyatina. Selera Abyatina terus terhenti. Pandangan dilemparkan Yaqzan. Wajah Abyatina menjadi tatapan si lelaki ini. Tertunduk malu Abyatina. Yaqzan tersenyum. Abyatina membalas dengan separuh ikhlas senyuman itu. Abyatina terus bangun. Sinki dituju, pinggan dibasuh.

“Mu tak kenal ke dia tu?” soal ibunya.

“Hah, siapa? Dia?” soal Abyatina tanda tak faham. “Siapa dia?”

“Yaqzan...”

“Yaqzan?”

“Haish, mu tak kenal?” soal ibunya. “Yaqzan, anak ustaz Khumaini tu...”

“Hah, ada ke ustaz Khumaini kat kampung ni?”

Abyatina naik ke atas rumah. Ibunya sedikit tergamam. Jawapan anaknya menghairankannya.

“Uztaz Khumaini kawan rapat abahnya tu dia tak kenal? Pelik.... Dia ni memang tak kenal ke, atau buat-buat tak kenal?” soal ibunya.

Yaqzan terus menikmati hidangan sarapan. Dia sekadar tersenyum sahaja. Perbualan Abyatina itu tidak dipedulikan.

“Makanlah Yaqzan. Ada banyak lagi tu...” pelawa ibu Abyatina.

Kisah keayuan Abyatina menyebarkan satu berita keindahan seorang wanita yang masih lagi tak berpunya. Ramai yang hairan, wajah yang dapat menangkap hati ramai lelaki itu sehingga kini masih lagi bergelar seorang yang tak berpunya. Ironi, tapi itulah hakikatnya. Ramai juga yang bertanya sebab Abyatina masih kekal dengan status solo, walaupun harus diakui memang ramai yang cuba menawan hatinya.

“Saya tak semurah yang orang sangka...”

Balas Abyatina setiap kali soalan yang sama dilemparkan. Dirinya tak semudah disangka bila bicara soal hati. Prinsip utuh mengejar cita-cita, makanya hatinya menjadi keras untuk menerima hati yang lain.

“Anak-anak keluarga Ustaz ros merah memang susah nak diduga”

Kata-kata yang pernah diluahkan seorang rakan ibunya. Abyatina dipersoalkan lagi betapa dirinya itu tidak mudah didekati oleh mana-mana lelaki.

“Yalah, tengok sajalah “mak rosnya”. Hatinya pun macam tu jugak dulunya...” balas ibunya berseloroh.

Ayah Abyatina baru pulang dari masjid. Dia tersangkut agak lama di sana. Mungkin leka berbual dengan jemaah yang lain selepas selesai kuliah subuh yang disampaikannya tadi. Kemunculan di dapur dengan kehadiran Yaqzan menguntumkan senyumannya.

“Wah, mu pun tergoda dengan roti canai mak cik Ros kamu?”

“Rezeki jangan ditolak..” balas Yaqzan.

Petang itu ustaz Man memanggil Abyatina. Sebuah perbincangan dimulakan. Ibu Abyatina tiada. Pergi ke masjid untuk kelas pengajian. Abyatina agak berdebar. Dia dapat menghidu tajuk yang bakal dikeluarkan ayahnya itu. Dia tahu.

“Jodohmu...” monolog si Abyatina.

Nama Yaqzan muncul di bibir ayahnya. Terkejut Abyatina dibuatnya. Sekali lagi nama pelik itu muncul lagi. Entah kali ke berapa, nama itu didengarnya lagi. Kehairanan sekali lagi Abyatina.

“Apa yang menarik sangat dengan mamat nama pelik ni? Mamat ni tiba-tiba muncul, dan sekarang dah macam mengawal minda mak dan abah. Alien dari planet mana dia ni? Dengan mudah dah berjaya tawan hati mak dan abah?” monolog Abyatina.

“Orangnya baik sangat. Abah kenal sangat si Yaqzan ni. Anak kawan baik abah, Ustaz Khumaini,” terang ayahnya.

Konklusi perbincangan itu, sebuah seruan diminta buat si Abyatina. Ayahnya mahu Abyatina cuba mengenali Yaqzan. Permintaan itu agak berat buat dirinya, namun sebagai menghormati ayahnya selaku walinya itu, maka dia patuh. Abyatina bersetuju untuk cuba mengenali Yaqzan.

“Oh, tidak. Si alien dengan nama pelik ni aku kena kenal? Keterpaksaan yang diharuskan atas nilai hormat terhadap abah... Pilihan apakah yang aku ada lagi?” monolog Abyatina sambil meneruskan penulisannya. Bicara dengan ayahnya masih terngiang-ngiang di telinganya. Seperti biasa, tulisan menjadi luahan terbaik buatnya.

Keesokannya, Yaqzan muncul lagi. Kali ini membawa buah tangan. Kuih seri muka dibawanya. Ibu Yaqzan yang membuatnya. Abyatina di dapur. Dia menyambut buah tangan pemberian Yaqzan. Senyuman dijelmakan sedikit. Semuanya gara-gara permintaan ayahnya. Ibu Abyatina kemudian terus mempelawa Yaqzan masuk menjamu sarapan lagi.

“Assalamualaikum Abyatina...” salam Yaqzan dinyatakan buat Abyatina.

“Waalaikumussalam...” jawab Abyatina lembut. “Waalaikumusslam alien...” monolog Abyatina kemudian sambil menguntumkan senyuman.

“Jom sarapan sekali dengan saya,” pelawa Yaqzan.

Abyatina terkaku seketika. Pelawaan dari Yaqzan hakikatnya tidak menarik perhatiannya. Semahunya, dia ingin terus naik ke atas rumah. Itu yang bermain di fikirannya.

“Lah, Yaqzan dah ajak, makan sekali saja la. Mee tu panas lagi. Sedap kalau makan panas-panas,” kata ibunya.

Dilema muncul. Abyatina harus memilih. Apakah dia perlu duduk dan makan bersama Yaqzan atau mahu meninggalkan dapur dan terus naik ke atas. Serba salah dibuatnya.

“Apa nak buat ni?....hmmmm” monolognya.


*Tamat sudah Bicara Dua*

Dah penat menulis. Makanya sambung pula di lain masa....

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.

Sabtu, 18 Disember 2010

“Adina (Bicara Satu)”




Semanis mulut berbicara, menunggu sebuah kata-kata yang entah bila akan munculnya. Aduhai, kenapalah sukar benar untuk dia nyatakan dengan sekali lafaz saja?

“Zaman sekolahmu dah lama berlalu. Takkan nak dikenangkan lagi?”

“Tapi zaman tu lah yang paling manis....”

“Kamu dah nak masuk angka ke dua puluh... Bukan lagi seorang kanak-kanak”

Menjadi sebuah cerita, bila seorang wanita memasuki usia angka dua puluh, makanya jadi resah pula si ibu dan bapa. Si wanita pula punyai banyak perancangan masa depan, diatur dan disusun moga tercapai. Tertanya-tanya juga dalam dirinya, tercapaikah cita-cita tu?

“Kalau mak dan abah dan banyak suaranya, boleh lagi ke aku nak kejar cita-cita? Janggal sangatkah wanita jadi status isteri di usia yang lambat sedikit?” soalnya dalam hati.

Siti Abyatina nama diberi, makanya itulah sebuah permulaan kisah. Menyelusuri perjalanan sebuah kisah seorang wanita sehingga tercipta sebuah perjalanan masa depan yang indah. Tabah, gigih, makanya mungkin juga berani. Setiap fikirannya itu adalah sebuah ilham mencari cita-cita.

“Mu harus terima jika itu jodohnya...”

Kata-kata ibunya kedengaran di gegendang telinganya. Ah, seringkali bicara itu bermain di fikirannya. Tekanan makin diberikan minta si Abyatina lekas-lekas berpunya. Abyatina pula masih lagi mengeraskan hati, mahu prinsip nak kejar cita-cita tak diusik apatah lagi diganggu sesiapa pun.

“Abyatina memang si keras kepala. Ikut siapa tu ya?” kata-kata perlian ditujukan ayahnya buat si ibunya.

Ya, siapa tak ingat kisah keras kepala si ibunya yang dulu tak mahu ditunangkan dengan ayahnya. Akhirnya satu tindakan berani ayahnya, panggil setiap anak-anak kecil berhimpun di hadapan rumah. Setiap anak-anak kecil itu diberikan sekuntum bunga ros merah. Kemudian bergemalah suara kanak-kanak di hadapan rumah ibunya dengan lafaz yang sama.

“Rosmah, sudilah terima saya!!!”

Jadi buah mulut orang kampung sehingga kini. Kerja gila ayahnya itu telah bukakan pintu hati ibunya. Maka sampai sekarang nama ros merah melekat bagi keluarganya. Itulah asal usul bagaimana gelaran “Keluarga Ros Merah” diberikan orang kampung.

Sebab apa ros merah juga yang dipilih si ayahnya untuk dipegang oleh setiap kanak-kanak kecil sewaktu usaha menagih cinta dari si ibunya itu?

“Sebab nama mak kamu kan Rosmah....”

Jawapan ringkas diberikan oleh ayahnya sewaktu ditanya Abyatina semasa kecil-kecil dulu. Kreatif juga si ayah, boleh carikan perlambangan untuk ditujukan buat si ibunya.

Abyatina ke meja tulisnya. Kelas menaip yang dianjurkan JKK kampung baru saja dihadirinya. Mengisi masa yang terluang setelah selesai menghadapi peperikasaan SPM buat kali kedua. Memang telah menjadi kebiasaan di kampung itu, jika keputusan SPM dirasakan tidak begitu memuaskan, maka keinginan untuk mengulang semula memang tinggi. Zaman 80-an memang berbeza budayanya.

Buku tebal seperti diari itu dibuka. Pena biru dikeluarkan dari bekas pensilnya. Sudah tiba masanya dia kembali melepaskan rindu menulisnya. Itulah rutin wajib setiap harinya. Jika mereka yang lain habiskan masa menonton televisyen atau mendengar radio, Abyatina lebih cenderung dengan menulis. Bakat menulis yang tak diketahui ramai, malah ibu dan ayahnya juga tidak sedar.

Kenapalah keterpaksaan perlu direlakan? Mengapakah bila makin kuat berazam, maka semakin banyak rintangan. Semuanya seolah-olah macam jadi si cemburu buat dirinya. Itulah monolog si Abyatina diluahkan ke dalam tulisan. Kerancakan menulis adalah sebuah luahan rasa melepaskan rasa hati.

Terlintas di fikirannya, jika dikorbankan segala-galanya demi kepatuhan seorang anak buat si ibu dan bapa, akan menjelmakah bahagia itu nanti? Atau mungkinkah perjudian yang dibuat akhirnya menghasilkan satu kebinasaan buat dirinya pada masa depan? Semua bermain di fikiran tanda dia masih tertanya-tanya dan tak keruan.

Merimaskan buat dirinya, bila setiap kali ketemu ahli keluarga, tajuk bicara semuanya berkata jodoh buatnya. Mahu sahaja dielakkan tajuk itu, namun bila cuba dialihkan, makin banyak pula bicara dan makin rancak nasihat si ahli keluarga buat dirinya.

“Ah, bencinya bila usia makin bertambah...” Luahan hati Abyatina gambarkan betapa rimas dirinya bila usia yang meningkat dihimpit dengan gesaan membina sebuah percintaan sah menerusi perkahwinan.

Pernah terjadi pertengkaran antara dia dan ayahnya. Semuanya gara-gara ketegasan ayahnya yang meminta Abyatina berkahwin dalam masa terdekat. Ketegasan itu disambut dengan kedegilannya yang tak mahu menurut permintaan ayahnya. Ibunya pula dengan setia menjadi penyokong kuat buat ayahnya, turut sama mengharap agar anak perempuan bongsunya itu berkeluarga sendiri dalam masa terdekat.

Semua itu memberi tekanan buat dirinya.

Harus diakui, bukan tidak ada mereka yang mencuba nasib mencuri hati si Abyatina. Namun semua yang mencuba akhirnya kehampaan bila usaha menemui sebuah kegagalan. Wajah nan ayu, diibaratkan bidadari di kampung itu, setiap mata yang memandang dirinya pasti akan terpesona. Keindahan yang dikurniakan kepadanya buatkan dirinya senantiasa menjadi sasaran kecemburuan dalam kalangan wanita di kampungnya.

Disebabkan itu ayah dan ibunya terlalu risau. Cemburu keayuan wajahnya, mungkin akan menyebabkan fitnah menimpa dirinya. Takut dia menjadi mangsa yang tak terjangka di masa akan datang, itulah sebab ramai yang memintanya berpunya secepat yang mungkin. Sukar juga, bila kecantikan mengambil tempat, semuanya jadi seperti dalam ketakutan.

“Kamu miliki wajah terindah yang tak pernah disaksikan dalam keluarga ini. Maka kerana cantik wajah itu, seharusnya kamu menjaga diri kamu. Fitnah itu lebih mudah terjadi dengan kecantikan itu,” nasihat ayahnya suatu masa dulu.

Itulah yang menyebabkan kadang kala Abyatina semacam menyalahkan dirinya bila dikatakan memiliki wajah yang menarik lagi cantik. Baginya cantik dan ayu itu tiada maknanya, jika semuanya hanya membantu dan menarik dirinya dalam situasi dan keadaan yang merimaskan.

Siapa yang tidak kenal nama Siti Abyatina anak perempuan bongsu ustaz Man, tokoh agama yang dihormati di kampung itu. Semuanya seringkali memperkatakan wajah nan ayu anak ustaz tersebut. Ibarat seperti selebriti di kampung sendiri, ke mana sahaja Abyatina pergi, pasti akan mendapat perhatian. Maka, amat sukarlah Abyatina untuk mencari privasi diri, dan disebabkan itu dirinya lebih selesa terperap di rumah.

Masih ingat lagi sewaktu di zaman sekolah, setiap kali turun dari bas melalui warung di tepi jalan, tidak sah jika tidak ada anak-anak muda berkumpul di warung. Semuanya akan berkumpul setiap hari hanya untuk melepak di warung itu. Tujuannya hanya satu, mahu melihat kepulangan gadis termanis di kampung itu pulang dari sekolah. Kadang kala, jika ada yang berani, diusiknya Abyatina sewaktu melalui kawasan warung itu. Pak Mad dah naik jemu memarahi anak-anak muda yang berkumpul di warungnya bila mereka mengusik Abyatina setiap kali pulang dari sekolah.

Pernah terjadi satu peristiwa, seorang pemuda menghadiahkan sekuntum bunga ros kepadanya. Ada juga yang memberikan sebungkus nasi lemak padanya, tidak kurang juga memeberikan sebungkus air sirap bandung kepadanya. Semua melayannya ibarat puteri. Ada sahaja yang dibawa pulang ke rumah setiap kali pulang dari sekolah. Pelbagai pemberian diberikan kepadanya dan itu buatkan kadang kala ayahnya memarahinya.

“Ish, mu ni jangan mudah sangat terima apa yang orang bagi...”

“Alah, biarlah. Sementara bunga masih mekar, layan sajalah kerenah anak-anak muda tu,” kata maknya pula. “Bukan senang orang perempuan nak dihargai macam tu...”

“Ish, merepek pula kamu ni...” balas si ayah.

Peminatnya ramai. Selalu saja jadi buah mulut orang. Maka tidak hairanlah jika ayahnya takut benar dengan peminat-peminat itu. Manalah tau, jika da yang nafsunya mengatasi iman, merbahaya buat Abyatina jika berjalan berseorangan. Maka tidak hairan, jarang benar Abyatina keluar hatta untuk menyidai kain di ampaian pun. Semuanya banyak dilakukan oleh ibunya, dan kerja rumah yang dilakukannya kebanyakannya dilakukan di dalam rumah.

Memasak, itulah kegemaran Abyatina.

“Assalamualaikum, siapa di dalam, ada orang kat luar ni....”

Terkejut dibuatnya. Abyatina terhenti penulisannya. Terus diletakkan pen. Terus ditutupkan bukunya. Puisi luahan hati terhenti begitu sahaja. Suara lelaki mana pula yang menyentak kedamaiannya di rumah.

“Waalaikumussalam,” jawab Abyatina. Kelihatan seorang lelaki berdiri di luar. Perlahan-lahan Abyatina menuruni anak tangga.

“Mak cik Ros ada tak?”

“Err, ada...” balas Abyatina. “Kejap ya. Ina panggil mak...”

Ibunya muncul tak lama kemudian. Tersenyum di wajahnya bila melihat wajah pemuda itu sebaik muncul di pintu. Jelingan diberikan kepada Abyatina. Kehairanan dirinya kerana dia tak mengerti akan jelingan itu.

“Aik, calon suami datang ni takkan tak gembira?” soal ibunya.

“Hah, calon suami? Sejak bila pula mamat ni calon aku? Kebingungan juga dibuatnya ni. Jangan dibicara lagi tentang soal jodoh mak. Batu yang keras ni susah nak dilembutkan lagi....” monolog Abyatina dalam hati. Dia kemudian meninggalkan ibunya yang berdiri di muka pintu. “Lantaklah. Mamat entah dari mana dibilangnya calon suami aku?.... Oh, jangan sama sekali...”

Penulisan disambung kembali dan pada masa yang sama, ibunya kedengaran rancak berbual dengan pemuda itu.

“Kamu buat terkejut mak cik saja datang mengejut ni. Yaqzan kalau nak datang, bagilah bau-bau dulu. Janganlah beri kejutan,” luah maknya.

“Yaqzan? Huh, peliknya nama mamat tu....” luah Abyatina sendirian.



*Tamat sudah Bicara Satu*

Akan bersambung? Eh mestilah ada....

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.

Jumaat, 17 Disember 2010

Bicara buat Si Di-a 2, kamu mempesonakan


Kenapalah kamu tak nyatakan dari dulu...
Senang jalan cerita jika dulu lagi kamu terbuka
Tak kusut fikiran kerana kamulah orangnya
Tak payah cari merata-rata
Orang lama sahabat lama
Itulah kamu yang kumaksudkan.

Dulu zaman sekolah jeling-jeling, pandang-pandang,
Ah, mau tak aku terketar, tapi malu nak nyatakan.
Layakkah aku nak dibandingkan kamu ibarat pertama bernilai.
Tapi rupanya kamu dalam senyap kumpul hati, kamu pendam...

Lah, kecilnya dunia...
Pusing serata tempat dan akhirnya kamu rupanya...
Lah, penat saja rasanya....
Sampai susahkan mak mencari, akhirnya kamu barulah berbicara...

Saya tunggu kamu sejak dulu
Tapi saya tak tahu kamu juga tunggu sesuainya waktu....
Kenapalah kamu berat mulut?
Kalau diringankan, dah lama kisah berjalan.

Jom kita couple?
Dah gila nak couple?...
Hormat habis sebab masing-masing prinsip sama
10 sebab tak nak bercinta, kamu pun ada nyatakan...
Tak naklah couple macam yang lain
Berkawan kan lebih manis,
Tak ada percintaan, tapi persahabatan jalinan pengikat hati..
Hah, itu kata sedapkan bicara dari aku.

Kamu jodohnya?
Dah fikir habis nak bagi jawapan?
Biarlah soalan tak berjawab
Sebab kalau nak berjodoh, tanggungjawab kena bersedia
Manalah saya bersedia semasa ini...

Jadi kamu soal bagaimana dengan cerita Si Di-a?
Hah, kenapa kamu bertanya?
Sebab kamulah Si Di-a itu...
Kamu terkedu?
Yalah, tak percaya lagi kamu Si Di-a?

Bukankah senang kalau dari awal bermula
Tak perlu kusutkan kepala cari sesiapa
Tapi betul juga, takdir dah ditentukan
Semuanya dah dilewatkan
Tapi penyudahnya, kamu yang mulakan

Pakej dah lengkap
Sudahlah, tak payah cari yang lain
Kamu dari dulu cukup sempurna
Apa perlu saya risaukan lagi
Pesona itu ada di wajah kamu,
Manis ada di seluruh senyum itu
Permata ciptaan Ilahi terbaik dihadiahkan buat kamu
Permata itu datang, dan aku terima sepenuh hati.

Kalaulah ku tahu kau dari dulu pendamkan diri,
Huh, dah lama bahagia dirasai.

Kita sahabat dan kita kini....
Hmmm, tetap sahabat.

Ada jodoh dengan kamu, Alhamdulillah.
Moga kalau itu ditetapkan-Nya, kita bersama juga.

Ini bicara gembira kerana sebuah pernyataan dari kamu.
Ibarat mee segera, terus ditulis bila jujur itu telah dinyatakan.
Tapi manis madunya tak akan hilang,
Kerana baru ku tahu, kau ikhlas buat selamanya...

Si Di-a, kamu memang terbaik untukku...

p/s: Senyum manis tak terucap lagi, persembahan buatmu...Ketemu di perjalanan panjang bersama-sama esok. Mak dan ayah pasti terkejut. Kamu dah isi ruang parkir yang dah dikosongkan baru-baru ini.... :) :’) :-) ^-^....

Selasa, 14 Disember 2010

Dari kerana nama Thahirah, bicara kotak hati , menerawang jauh menyelusuri diri...


Seringkali bila merenung melihat langit membiru di waktu pagi di bumi Taiping, sambil menikmati hembusan kedinginan yang menyegarkan, kadang kala fikiran melayang merasai apa yang dialami oleh kotak hati yang seringkali tanpa sedar, tidak diselami dengan lebih mendalam. Ya, kadang kala, saya sedikit beremosional.

Terkenang kembali saat saya menghasilkan naskah Cinta Thahirah, kisah perjalanan mencari cinta buat Si Khadijah at-Thaharah, membalikkan rasa betapa indahnya rasa cinta itu jika saya sendiri yang mengalaminya seperti watak Zahid dalam novel itu. Kisah bagaimana indahnya cinta itu bila agama menjadi landasan keutamaan dalam menyelusuri kehidupan masa depan. Kisah sebuah penyerahan diri kepada Allah, menceritakan kebahagiaan bila Allah itu menjadi keutamaan dalam hidup.

Ya, itu sebuah kisah ilham dari seorang wanita yang saya kenali. Kisah benar yang saya olah moga dapat dikongsikan dengan mereka yang lain. Cinta Thahirah, sebuah pengkisahan yang sebenarnya sangat saya impikan, moga saya juga merasai seperti mana yang dirasai oleh Zahid dan Khadijah.

Ah, tinggi benar cita-cita sedangkan hakikatnya belum tentu dapat saya capai. Hakikatnya, di dunia yang saya lalui kini, saya tertanya-tanya, adakah saya mampu menngecapi impian yang direncanakan dalam Cinta Thahirah itu. Saya bukan insan sehebat Zahid, punyai kekuatan hati yang sangat tinggi, menyerahkan diri sepenuhnya terhadap Allah, dan semestinya saya juga tidak pula menjumpai mana-mana wanita seteguh Khadijah, yang mampu membuat keputusan berdasarkan kata hati petunjuk Allah. Harus diakui, mungkin impian saya sangat tinggi hingga tidak mampu dicapai saya.

Dalam dunia yang dicengkam oleh rasa ingin bersama dan berpasangan, harus saya akui, itu adalah fitrah kejadian bagi setiap manusia. Ingin disayangi, dan pastinya ingin menyayangi seseorang. Itulah yang sedang saya lalui kini, dan himpitan itu kadang kala menyebabkan “Bicara Sepuluh Sebab Yazid Rosly Tak Akan Bercinta Sekarang” kelihatan seperti tak relevan dan mungkin akan dikorbankan.

Ah, tidak. Saya masih kekal dengan prinsip itu. Cuma mungkin implementasinya saja yang harus diubah moga saya tak tertekan dengan keadaan sekitarnya.

Dulu pernah saya bicarakan bahawa saya mungkin telah jatuh cinta pada seseorang di UPSI. Namun, sejauh manakah kebenaran itu? Hakikatnya, cinta yang saya katakan itu akhirnya disedari saya hanyalah satu bentuk KEPALSUAN semata-mata.

Saya tolak jauh-jauh rasa itu dan akhirnya saya berjaya menyedari bahawa itu adalah sebuah bicara nafsu dan bukannya bicara cinta. Makanya, saya bersyukur, kerana prinsip tidak mahu bercinta itu masih dapat saya pertahankan lagi.

Itu bicara beberapa bulan yang lalu. Apakah bicara terkini?

Kisah sahabat karib yang saya kenal sejak di awal semester satu kini mula bermain di kotak fikiran saya. Mengetuk pula kotak hati saya, akhirnya saya tergerak untuk menyatakan sebuah perluahan dalam bicara ini. Mengenali sahabat ini, saya harus akui, dia merupakan kenalan yang boleh saya nyatakan mampu bersama walau susah dan senang.

Inilah hamba Allah yang saya nyatakan dalam beberapa bicara yang pernah saya hasilkan sebelum ini. Namanya haruslah dirahsiakan kerana jika dinyatakan secara terang-terangan maka, pasti saya sengaja mahu mengundang masalah. Maka akhirnya, kecohlah keadaan bila semua tahu cerita sebenar, hamba Allah yang saya nyatakan itu. Ah, semua itu masih lagi dalam sebuah kerahsiaan.

Saya harus akui, sedikit demi sedikit, persahabatan itu mula terjalin, saya tak nafikan sedikit demi sedikit juga saya mengenali dengan lebih dekat personalitinya. Nilai hormat tinggi yang ditunjukkan hamba Allah ini buatkan saya menghormatinya. Harus saya akui, saya ikhlas bersahabat dengannya. Ya, kerana itu, permulaan persahabatan, perasaan ‘semacam’ itu tak pernah wujud dalam diri saya.

Mengenali di awal perjalanan kisah, saya ternyata tidak benar mengenali dia. Saya akui, saya juga bersikap acuh tak acuh pada hamba Allah ni pada permulaan. Setelah dalam tempoh yang lama, barulah saya menyedari saya sebenarnya telah menemui seorang sahabat . Makanya, sebagai menghargai kemunculan sahabat baru ini, saya mula mengenali sahabat ini dengan lebih dekat.

Ya, ibarat kata mak suatu masa dulu, mana mungkin seorang lelaki dapat bersahabat dengan seorang wanita. Kerana masinnya mulut mak itu, akhirnya saya terperangkap dengan sebuah kisah yang saya tak jangka. Bila persahabatan mula terjalin, dan hubungan itu mula akrab, tanpa saya sedar, saya dikunjungi oleh sebuah perasaan.

Benarlah, bicara mak sangat masin dan tepat. Kenyataan mak nyatakan, mungkin saya telah terpaut pada seseorang harus tidak saya perlu nafikan. Disebabkan kisah bicara mak itu, keadaan mula berubah. Namun, disebabkan saya lebih sayangkan sebuah persahabatan itu, maka saya telah putuskan biarlah saya menyimpan kerahsiaan perasaan itu.

Saya sedar, dia mungkin menyukai seseorang yang lain. Disebabkan itu, saya tak mampu untuk berbicara nyatakan padanya apa yang saya rasa. Siapalah saya jika dibandingkan dengan yang lain. Hanya seorang penulis dengan kemahiran sosial yang agak lemah. Makanya saya putuskan, senyapkan diri dan bisukan saja.

Namun, fikiran itu berubah bila saya fikirkan soal kejujuran dalam persahabatan. Akhirnya, saya putuskan, biarlah saya nyatakan kejujuran itu. Mungkin saya merisikokan persahabatan yang terjalin, namun fikiran saya ketika itu, adalah lebih baik jujur dari memendam dalam hati. Kerana itu kisah menjadi semakin bercelaru.

Saya harus berterima kasih kerana persahabatan itu masih terus terjalin. Nilai hormatnya yang tinggi terhadap persahabatan, menyebabkan dia masih terus kekal menjadi sahabat saya, walaupun pada fikiran saya, mungkin situasi akan berubah. Disebabkan itu, saya nyatakan, dia memang sangat matang dalam menilai dan berfikir tentang sesuatu perkara.

Memang saya akui, saya sendiri tak faham bagaimana semua itu boleh berlaku. Saya sendiri pun tak dapat nak nyatakan bagaimana kronologi kisah permulaan terhadap apa yang terjadi. Semuanya datang dengan izin Allah, maka saya terima dengan hati yang redha. Saya akui, kadang kala saya terfikir, apakah saya telah lakukan tindakan yang betul. Namun saya juga akui, tindakan-tindakan saya sebelum ini, adalah berpandukan petunjuk dan doa terhadap-Nya.

Meluahkan sesuatu yang begitu berat kadang kala pasti merisikokan diri terhadap sesuatu yang mampu memberi kesan kejutan terhadap diri pada masa akan datang. Itu yang saya risaukan sejak terfikir untuk mengatur tindakan. Namun persoalan terjawab tidak lama kemudian bila kejujuran dinyatakan. Keadaan dilihat masih kekal sama walaupun hati kecil saya nyatakan: “Ah, mungkin luaran sahaja yang sama, hakikatnya mungkin keadaan telah berubah bila jujur itu dinyatakan”

Kenapa dia menjadi pilihan saya? Kenapa dia jadi orang yang menarik perhatian saya? Persoalan itu satu kesamaran untuk saya jawab. Permulaan bila rasa itu muncul, saya nyatakan penafian dalam hati saya, bahawa saya harus ketepikan rasa yang berputik itu, kerana saya harus kekalkan dia dengan taraf sebagai seorang sahabat. Penafian itu harus datang dengan sebuah ketegasan, namun muncul satu persoalan, sejauh mana ketegasan itu?

Dalam saya bermain dengan segala persoalan, muncul pula kembali dalam kotak fikiran wajah comel si Thahirah, sahabat lama saya dulu-dulu. Dengan wajah persis Cik Ainin, sahabat saya kini, Thahirah mengingatkan saya akan kenangan zaman awal remaja di sekolah dulu. Tak ramai yang tahu, saya sangat menghargai kemunculan Thahirah pada waktu itu, dikatakan penyeri hidup saya ketika itu. Dia adalah sahabat saya yang bila datang kemunculannya, terukir senyuman saya kemudiannya dengan gelagat cerianya. Ya, saya akui, Thahirah seorang yang sangat ceria di zaman awal remajanya.

Kenapa saya bicarakan Thahirah? Kerana sepanjang perkenalan saya dengannya, saya sangat menghormatinya. Ya, saya akui, bapanya orang yang cukup dikenali di parlimen Bukit Gantang ini, namun nilai hormat yang muncul itu adalah datang dari peribadi Thahirah itu sendiri. Nilai hormat yang muncul itulah boleh saya samakan dengan nilai hormat terhadap seorang sahabat saya kini.

Saya ikhlas bila nyatakan sebuah kejujuran. Saya tak pernah hanya sekadar bermain dengan kata-kata. Saya tak pernah cuba nyatakan dengan hanya separuh keyakinan. Segala apa yang dinyatakan adalah dengan sepenuh hati saya. Tak pernah terlintas di fikiran saya untuk mempermainkan seseorang. Dia harus tahu, saya benar-benar ikhlas.

Pernah saya terfikir, apakah signifikan nyatakan perkara itu padanya? Adakah saya mahu sesuatu darinya? Adakah saya mengharapkan sesuatu dari si sahabat ini?

“Entahlah...” itu jawapan saya.

Mungkin saya mengharapkan balasan darinya. Mungkin saya mahu nyatakan, bolehkah kita merevolusikan sebuah perhubungan? Saya punyai sebuah perasaan, dan mungkin saya mahu rasa itu juga dibalas. Memang bahagia dan indah, jika perasaan itu dibalas juga dengan rasa yang sama. Memang sangat-sangat bersyukur jika itu yang berlaku. Memang saya harapkan, namun saya harus sedar hakikat dan hukum serta peraturan perhubungan di antara manusia.

NILAI HORMAT...

Kerana saya hormatkan dia, maka saya harus tidak sama sekali mengharapkan sebarang balasan darinya.

Pengalaman mengajar saya agar jangan meletakkan sebarang harapan bila wujud rasa sesuatu pada seseorang. Jangan lahirkan harapan yang sangat besar, supaya hendaknya dia menerima dan membalas harapan kita itu. Ya, benar, jika harapan itu menjadi kenyataan, memang cukup indah dirasakan. Namun, saya harus sedar, bagaimana pula jika harapan itu akhirnya tak kesampaian? Pastinya kecewa di hati dapat dirasai. Saya pernah mengalami rasa itu, dan disebabkan pengalaman tersebut saya cukup berhati-hati dalam meletakkan sebarang harapan. Saya harus teliti dalam meletakkan sebarang harapan.

Disebabkan itu saya tak pernah letakkan sebarang balasan dan harapan bila saya luahkan kejujuran padanya. Bagi saya, cukuplah sekadar dia tahu kejujuran itu dan selebihnya, saya tak harapkan apa-apa. Itulah yang saya cuba tegaskan dan ulang kali saya nyatakan. Saya harus perkukuhkan di dalam fikiran bahawa tugas saya hanyalah perlu nyatakan kejujuran itu. Meletakkan harapan agar terdapat sebuah balasan selepas itu, saya harus ketepikan dari fikiran saya. Pengalaman mengajar saya untuk berbuat demikian.

Namun, jauh di sudut hati saya, harus diakui, memang saya mahu dia membalas rasa itu. Ah, mana mungkin seorang manusia seperti saya dapat mengelakkan dari merasai rasa itu. Mengharapkan balasan adalah sesuatu yang cukup berbahaya, kerana mampu menghasilkan sama ada madu atau mungkin bisa. Jika madu, maka bahagia. Jika bisa, makanya kecewa. Rasionalnya, manusia memang mengharapkan balasan namun hakikatnya, tak semua balasan itu akan dapat diterima.

Menyedari hakikat itu, saya luahkan jujur itu padanya. Selepas dinyatakan jujur itu, saya tidak mengharapkan apa-apa darinya. Bagi saya, cukuplah sekadar dia tahu apa yang saya rasa, dan saya harap dengan kejujuran itu, saya tak lagi terperangkap dengan rasa yang mungkin akan terpenjara jika dipendam terlalu lama. Takut nanti saya hidup dengan mencipta sebuah harapan yang di luar batas fikiran.

Jika benar saya mahukan sebuah sambungan kisah dari kejujuran yang telah saya nyatakan, saya harus akui saya tak boleh memaksa sahabat saya ini. Dia punyai hak untuk menentu segala perjalanan hidupnya. Dia punyai hak untuk memilih apa yang diingininya. Dia ada hak untuk menerima atau menolak. Dia juga punyai hak untuk membisu atau pun bersuara. Makanya, saya harus hormati hak-hak yang dia ada. Saya tak boleh mencabuli haknya. Apa yang boleh saya lakukan hanyalah dengan menyuarkan suara saya, iaitu hak yang saya ada sahaja. Di luar hak saya, itu adalah bidang kuasa sahabat saya ini.

Di akhir cerita itu, saya putuskan, jika saya benar ikhlas dengan kejujuran itu terhadapnya, tidak salah untuk saya punyai perasaan itu. Islam tak larang untuk punyai rasa itu. Itu fitrah kejadian manusia. Jika rasa itu muncul dari hati, maka teruskanlah rasa itu, moga mungkin dapat mengejar bahagia hidup. Namun apa yang penting, pastikan rasa itu dipandu oleh Islam selaku agama yang saya pegang dan percayai. Saya harus ikuti prinsip Islam dalam sebuah perhubungan jika mahu merasai rasa itu dengan cara yang sepatutnya.

Saya telah konklusikan, andai benar saya ikhlas mempunyai rasa itu terhadapnya, saya bermohon moga Allah berikan petunjuk moga rasa itu berpandukan Islam. Jika dia mampu bahagiakan saya, saya bermohon moga saya dapat mengecapi bahagia itu. Saya berharap, moga apa yang saya rasa kini adalah datang dari hati yang ikhlas, dan bukannya oleh rasa nafsu yang menggila. Ikhlas hati adalah harapan saya, kerana kaikhlasan itulah yang cukup digeruni oleh syaitan si penghasut yang mampu menggoncangkan iman menerusi rasa nafsu yang tak sudah. Iman harus mengawal nafsu, bukannya nafsu mengawal iman.

Saya baru sahaja melalui satu fasa kekecewaan yang terbesar pernah saya hadapi. Harapan yang diletakkan akhirnya berkecai dan berkubur begitu sahaja. Kekecewaan yang menebal akhirnya mencetuskan rasa paling sedih pernah rasai. Saya sedar, saya tak punyai apa-apa. Benar, saya banyak kali gagal menghadapi sebuah perhubungan. Kini, ketika melalui satu lagi kepahitan dan telah saya harungi dan lepasinya, saya akui, telah wujud satu rasa pengharapan terhadap sahabat ini moga dia mampu menjadi ‘penawar’ pengganti kedukaan itu. Saya mengharapkan agar dia dapat mengisi ruang yang dihancurkan sebelum ini. Namun, saya harus sedar, bukan hak saya untuk memasukkannya ke dalam ruang kosong yang ditinggalkan itu. Itu semua kehendak dan ketentuan Allah, dan semestinya hanya yang memegang hak itu ialah dirinya sendiri yakni sahabat saya itu.

Moga satu hari nanti kebahagiaan menjemput saya, tidak kira siapakah orangnya itu. Hanya satu sahaja harapan saya, biarlah kebahagiaan itu adalah datang dengan keredhaan dan keberkatan dari-Nya. Saya hamba Allah juga punyai hati untuk dikongsi dengan seseorang. Namun biarlah hati yang dikongsi itu mengikut jalan yang halal lagi berkat.


“Fitrah Tuhan yang telah diciptakan manusia ke atasnya, tiada pertukaran lagi bagi ciptaan tuhan itu. Itulah agama yang lurus, akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui."
(surah Ar-Rum:30)

Bicara ini sebuah perluahan terhadap seseorang. Saya tahu dia akan membaca bicara ini dan dia sedar bicara ini untuknya. Ingin dinyatakan, saya tak pernah harapkan apa-apa. Namun, saya tak nafikan, mungkin jauh di sudut hati saya, harapan itu tetap ada. Namun, seperti yang dinyatakan, itu adalah haknya untuk tentukan apa yang diingininya.

“Terima kasih. Saya hargai keterbukaan kamu dengan kejujuran yang saya nyatakan itu”

Wallahualam.

14 November 2010, 6.30am, Taiping.

p/s: apakah ini kronologi tentang bicara-bicara sebelum ini? Apakah ini sebuah lagi Pesanan Si Batu Ferengghi, atau mungkin bicara kedua buat si di a? Ah, saya mahu membisu. Terpulang buat si pembaca buat tafsiran tersendiri.

Sabtu, 11 Disember 2010

T.H.A.H.I.R.A.H


Terunggul seorang wanita
Tercipta hanya untuk pesona
Terindah dari pencipta
Terlahir dari kata-kata dan bicara....
Itu kamu...

Harga kamu tercipta setinggi-tingginya
Haruman dari peribadi unggulmu
Hati wujud berteman ikhlas
Hanya kamu bicara itu...
Itu kamu...

Alunan merdu, sopan katamu
Asyikan wajahmu, selembut baldu
Anugerah luhur budimu, terkesima kata-kataku
Aruan bicara seikhlas hati
Itu kamu...

Hemat aturan perjalanan hidupmu
Hijab kamu cerminan hatimu
Himpunan kesopanmu, pencetus rasa hormat
Hikayat bicara ikhlas hati...
Itu kamu

Inayah Ilahi, kamu setabah hatimu
Impian itu cita-cita kecilmu bicara dulu-dulu
Indah pandanganmu bila kamu nyatakan, itu yang kamu mahu
Inspirasi dari kamu wujud bicara...
Itu kamu...

Rembulan itu ibarat keindahan kamu
Rahmat nikmat kamu rasai, bahagia
Ratna ibarat terjelma dari dirimu
Rezeki kurniaan kepadamu, maka itu bicara...
Itu kamu...

Arjuna pasti mencari kamu
Adiratna pasti ketemu terbaik ciptaan Ilahi
Atma semurni kamu hasil acuan ibumu
Atas indah itu, mula bicara...
Itu kamu...

Halus suaramu tutur dipandukan agama
Hasanah sebuah hakikat dari matamu
Hakiki dari dirimu, aku terkesima
Hanya kamu berbeza yang terbaik pandanganku

Huraian sebuah bicara dari hatiku...
Kerana itu kenyataan, itu adalah kamu...

28 Ogos 2008, 11am, Bukit Larut, Taiping

p/s: puisi ini saya tulis sewaktu menghasilkan novel Cinta Thahirah. Asalnya, puisi ini akan dimasukkan ke dalam novel Cinta Thahirah, namun saya simpankan puisi ini dari dimasukkan ke dalam novel kerana bagi saya, biarlah saya sahaja yang menyimpan puisi ini. Namun sudah sampai rasa hati, saya bersedia kongsikan puisi Cinta Thahirah yang tak pernah saya kongsikan dengan sesiapa.

Bicara buat Si Di-a...


Bila renung,
Maka bila tenung,
Cerita bertukar cerita.
Sahabat itu, kamu.
Sahabat kamu, aku.

Bicara hati membisikkan sesuatu
Mencari kisah mula persahabatan
Keikhlasan sebuah penghargaan
Bicara hati katakan sesuatu

Mungkin jika kejujuran itu dipendam
Masa dan kesempatan mencemburui
Hilang luah rasa, tak ditunaikan.
Kerana kamu, aku nyatakan.

Entah bagaimana caranya
Sekelip mata di hati
Kamu orangnya
Tanpa duga, terwujud kisah tak terjangka
Bukan sebuah permainan
Bukan sebuah sandiwara
Ikhlas itu, aku nyatakan

Bukan kerana helah cinta
Maka aku nyatakan
Bukan kerana manis wajahnya
Maka aku luahkan
Bukan kerana bicara sesiapa
Maka aku jujurkan kata

Kamu bukan sesiapa
Kamu sahabat setia
Hargai kamu, menjunjung kejujuran
Aku tak selindung sebalik penipuan

Kerana aku telah luahkan
Kagum muncul di hati
Kamu ibarat teguh, tanpa ubah pendirian
Persahabatan itu dijunjung, tanda matang diri kamu

Aku tak meminta
Menagih rasa juga tak terjangkau
Hanya sekadar luahkan kejujuran
Kamu orangnya...

Jika tanya itu satu soalan
Apatah jadi akan dirinya
Bila jujur diluahkan padamu
Kata hati, mana mungkin mudah dinafikan.

Bukan harapkan balasan,
Bukan citakan sebuah permulaan
Puas hati, kamu tahu rasa aku
Biarkan semua berlalu
Satu kupinta, kekallah wahai sahabatku...

Kerana kamu terpenting buatku...
Ikhlas dari sahabatmu...
Kerana kamu pasti tahu, bicara ini khas buatmu...

Si Di-a

10 Disember 2010, Jumaat, 8.30am, Taman Tasik Taiping

Khamis, 9 Disember 2010

Dina, saya dah kotakan janji...











Perjalanan kembali menuju ke Taiping mengingatkan saya terhadap janji yang saya nyatakan sewaktu cuti study baru-baru ini. Makanya, disebabkan janji telah dinyatakan, saya harus kotakan perjanjian itu. Merealisasikan kenyataan janji yang dikeluarkan kadang kala bila leka mengambil tempat, janji yang berlaku hanya tinggal sebuah janji.

Namun, kali ini janji itu berjaya direalisasikan. Impian bersamanya dan semua yang lain akhirnya terlaksana pagi tadi. Alhamdulillah, sayalah orang paling bahagia melihat senyumannya dengan penuh kegirangan. Janji saya pada Dina telah saya tunaikan. Saya tahu dia ternyata gembira. Dan saya harus akui, saya sangat senang bila itu yang berlaku. Senyuman Dina melunturkan segala kekusutan dalam fikiran saya.

Saya akui, dia cukup manja dan selalu saja penuh dengan kerenahnya. Kadang kala, melihat gelagatnya, saya terasa sedikit terhibur. Maka selalu saya terbayangkan wajah si Dina yang mampu menghilangkan segala kedukaan saya. Dina ternyata sangat istimewa buat saya kerana dialah antara individu yang selalu menyebabkan saya menguntumkan senyuman setiap kali melihat wajahnya.

Pagi tadi, saya bangun awal. Ya, seperti kebiasaan, namun pagi ini sedikit terasa perbezaan. Pagi ini, mak sedang sibuk menggoreng karipap yang telah disediakan malam semalam. Hasilnya, pagi ini satu famili bakal merasai sekali lagi karipap buatan mak yang tiada tandingannya. Pada waktu inilah, saya terus terlintas dengan janji saya pada Dina. Akan saya kotakan janji saya hari ini.

Makanya, pukul 8 pagi saya menghidupkan enjin. Saya akan mengotakan janji. Tak lama kemudian Dina keluar. Semua yang lain turut ikut sama. Mak, Izwan, Ikhmal, Aisyah, dan semestinya Dina turut serta. Ke mana akan saya tuju?

Ya, Taman Tasik Taiping seperti yang telah saya janjikan kepada Dina sewaktu cuti study dulu. Kini saya bawanya ke sana. Saya tahu, bukan main terujanya dirinya bila saya cakap pagi ini saya akan bawanya ke sana. Ya, janji bila ditunaikan, nikmatnya tak terucap dengan kata-kata.

Dina saya bawa ke taman tasik. Dia tersenyum saja sepanjang perjalanan 20 minit itu. Pagi itu cuaca cukup baik. Langit begitu cerah menampakkan keseluruhan Bukit Larut yang selalunya menyembunyikan diri di sebalik awan. Jika mahu mengetahui sejauh mana baiknya cuaca di Taiping, makanya lihatlah sejauh mana jelasnya Bukit Larut kelihatan.

Hampir satu jam semua adik saya bermain di taman permainan. Momen yang dah lama tak saya rasai setelah kembali menjadi mahasiswa. Makanya saya nikmati sepuasnya saat itu memerhatikan adik-adik saya bermain-main dengan penuh kegirangan. Senyuman setiap dari mereka menyejukkan hati saya.

Ah, saya tersenyum lebar melihat kegembiraan mereka. Ya, saya juga dah lama tak rasai angin Taman Tasik Taiping. Kerinduan kini terubat. Banyak momen terindah saya di sini. Pelbagai kisah tercipta di sini. Ya, saya akui juga, Taman Tasik Taipinglah yang menjadi ilham untuk saya menghasilkan novel Cinta Thahirah.

Saya pejamkan mata. Nikmati bunyi burung-burung bersiulan. Sekali sekala dapat saya rasai angin pagi yang menyegarkan meniup ke wajah saya. Ah, rindu benar dengan semua yang saya rasai ini. Taman tasik dan saya telah menjadi sahabat setia sejak dulu lagi. Kini kerinduan saya terubat, dan hati saya begitu senang dan lapang.

Kepulangan pukul 10 disambut dengan ketawa riang adik-adik saya. Masing-masing puas bermain pagi ini. Izwan pula dari tadi sibuk menjadi jurukamera merakamkan aksi-aksi lincah adik-adik saya bermain di taman permainan. Masa yang sangat berharga yang saya impikan sejak sibuk dengan peperiksaan di UPSI akhirnya dapat direalisasikan.

Saya berjalan pulang menuju ke kereta sambil berpegangan tangan dengan Dina. Dina sepanjang masa tersenyum saja. Ya, pasti hatinya sangat gembira kini. Saya tahu itu yang dirasainya. Saya pun turut merasa lapang di dada dengan senyuman yang diukir Dina. Istimewanya Dina, segala keresahan hati saya mampu dihilangkannya dengan hanya senyuman manisnya sahaja.

Saya memandu menuju ke MRSM Taiping (tak jauh pun dari Taman Tasik Taiping), melihat kembali tempat lama saya menuntut ilmu. Segala kenangan manis muncul kembali saat saya melewati kawasan MRSM Taiping. Hiba rasanya, bila 4 tahun telah meninggalkan tempat itu. Terbayang wajah Islam dan Mashafiz, ataupun mungkin juga Hanif dan Ridzuan yang kini semuanya telah berada di merata tempat menyambung pengajian masing-masing.

Ya, Dina mendengar dengan penuh minat bila saya bicarakan kisah saya di MRSM Taiping dulu. Dia nyata menumpukan perhatian. Saya terharu dengan tumpuan yang diberikan Dina itu.

Saya juga melewati kembali melihat SMK Dr. Burhanuddin, tempat saya sewaktu di tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Inilah kenangan terindah zaman awal remaja saya. Berkenalan dengan individu seperti Razif dan Firdaus, tidak lupa juga Zaki, Faizal, Taufiq, Sollehuddin dan ramai lagi. Ya, mana mungkin saya boleh lupakan wajah ayu Thahirah mahupun suara lemah lembut Adilah atau mungkin juga celoteh panjang tanpa henti si Firdaus Farhani. Inilah tempat saya menjadi seorang remaja.

Setibanya di rumah, sebaik keluar dari kereta, Dina terus menarik tangan saya. Dia kemudian mencium tangan saya. Saya tersenyum saja. Saya tahu, Dina sangat gembira hari ini.

Saya berpuas hati hari ini. Janji saya pada Dina berjaya ditunaikan. Itulah nikmat tak terhingga saya yang tak dapat saya gambarkan dengan kata-kata.

Sesungguhnya seumur hidup saya, akan saya pastikan Dina bahagia sentiasa. Sesungguhnya, saya sangat sayangkannya dan seumur hidup saya sayang saya itu tak akan hilang. Dina, ingatlah janji ini....

Oh ya, lupa pula saya nyatakan. Siapakah Dina yang saya maksudkan ini? Jangan salah sangka dan buat andaian bukan-bukan ya. Dina ialah Nur Adrina Najihah Rosly, adik bongsu saya yang paling manja dengan saya. Jangan kalian fikirkan Dina yang lain pula ya....

Wallahualam.

8 Disember 2010, 10.00pm, Taiping.