Khamis, 2 Disember 2010

Percubaan mengarut, akhirnya kamu yang memperbodohkan dirimu...




Lintasan fikiran yang terakhir, akhirnya membawa satu kisah pengakhiran sebuah cerita. Bila perbezaan kematangan dan kebudak-budakan, maka apa lagi yang harus dipersoalkan. Kononnya matang, tapi nilai hormat tak pernah ditonjolkan pada orang yang lebih tua... Bagus sangat ke?

Nilai hormat adalah harga diri yang paling tinggi dalam sebuah perhubungan. Mengapa saya bicara nilai hormat? Kerana bukan semua punyai nilai hormat yang tinggi dalam kehidupan. Fikirkan diri yang betul walhal tak tahu diri sendiri pun tak tersusun. Kononnya matang, tapi tak sedar perangai tak ubah macam budak-budak. Namun sejauh mana nilai hormat itu akan wujud dalam diri seorang yang perangainya tak ubah macam kanak-kanak riang itu?

Fikirkanlah....

Teguran dibuat penuh sindiran. Kata dah dibicarakan, tapi cara masih tetap sama. Tak tahu mana yang patut mana yang tidak. Kata mereka, tak ada siapa yang perhatikan mereka lagi. Ikut suka merekalah. Itu katanya.

Konon sembang mengadu katanya budak-budak lebih muda dari mereka langsung tak matang. Buat lawak kononnya tak lawak dan tak masuk akal langsung. Padahal diri tak sedar, kalian juga begitu, langsung tak matang walaupun usia dah masuk angka 20. Ludah ke langit jatuh pada muka sendiri, ibarat ketam mangajar berjalan, sampai lupa nak cermin diri sendiri.

Kononnya matang....

Jangan fikir saya ini tunggul kayu. Sekali meletup baru tahu. Saya pendamkan saja, kumpulkan dulu nilai terkilan itu dalam hati. Jangan fikir nak ambil mudah, kononnya saya tak kisah. Ingat, perilaku menjengkelkan kalian saya pendam bukan maksud saya maafkan. Jengkel itu saya kumpul untuk saya letupkan satu hari nanti.

Jangan fikir, kalian membisu tak layan saya, itu akan menghentam dan meguris rasa hati saya. Saya tak ambil peduli kerana lebih perit dari itu pernah saya rasa. Perjalanan lima tahun sejak di MRSM Taiping semuanya bersendirian saja, jadi tak ada masalah kalau kalian nak bisukan diri. Saya bukan jenis cepat terasa, malah saya anggap itu perangai budak-budak tak cukup umur yang tak sedar diri bahawa dia dah masuk alam kedewasaan.

Kononnya begurau, dan memang kadang-kadang saya sangat terasa. Ah, ada kalian tanya saya terasa atau tidak? Semua cakap main ikut sedap mulut. Mana letaknya taraf saya sebagai orang yang lebih tua dari kalian? Kalian memperbudakkan saya. Saya pula terpaksa jadikan diri saya macam budak-budak hanya disebabkan nak hormati kalian semua. Kalian, pernah cuba nak hormati saya?...

Kononnya hormat...

Kenapa bila bicara soal matang, semuanya dengan bangga nyatakan kami dah matang? Pembohongan dan nilai hipokrit yang sangat tinggi....

Matanglah kononnya, sampai urusan diri pun tak teratur. Duit bersepah dihabiskan dengan benda-benda maha mengarut. Sakan berjalan ke sana sini, walhal tak sedar tanggungjawab yang lebih utama. Fikiran semua kiblat pada nak seronok, “having fun” kononnya, nak “relax dan enjoy” gelak ketawa tapi akhirnya garu kepala kata “tension” kononnya terlalu banyak “study”. Memang sakit kepala, kalau “study” tu di saat-saat akhir. Tersenyum sinis saya, apalah mengertinya mereka tentang ‘tekanan’ itu? Seorang pelajar mengalami tekanan belajar yang amat sangat sampai perlu lepaskan tekanan dengan ‘having fun and enjoy’? Tertekan sangatkah mereka? Mengertikah mereka apa maksud tekanan yang sebenar? Pengalaman mengajar maksud yang sebenar...

Maha mengarut sangat-sangat...

Mereka fikir mereka bagus segala hal. Kononnya mampu nak pimpin orang bawa ke jalan yang jauh ke hadapan. Tapi pandangan jumud masih lagi melekat, bila segala perangai kebudak-budakan melekat di kepala. Terlompat-lompat macam kanak-kanak riang, lepas itu ada hati nak jadi pemimpin? Pemimpin apa itu? Boleh memimpin ke atau harus dia dipimpin? Jangan mimpi kalau kalian macam kanak-kanak yang baru belajar naik basikal...

Demi minat yang mendalam, kononnya, masa habis tak kisah. Sanggup merugikan waktu malamnya sampai melewati siangnya, habiskan masa kononnya bukan selalu. Malam berjaga, hah, eloklah, pagi tu semua terbongkang tidur dengan mulut ternganga. Sekali malaikat maut nak cabut nyawa, tak sempat nak cakap apa-apa. Apa nak jawab depan Allah bila solat Subuh dan empat waktu yang lain dengan senang-senang saja ditinggalkan. Jawabnya, mereka dah tempat tiket ke neraka. Hah, bola sepak boleh bawa syurga ke?

Sinis saya tersenyum. Ajak ke surau, seribu, mungkin juga sejuta alasan diberi. Tapi, bila nak berseronok, pergi ke sana dan ke sini, saya bukan main lagi dipaksa-paksa untuk ikut sekali. Saya mudah je, kalau kamu ikut saya, saya pun ringan hati ikut kalian. Dah tu, masih lagi ada hati nak cakap kalian semua matang?

Jangan fikir saya tak nampak semua tu. Jangan dengan berani nak cakap diri tu dah matang. Jangan berani nak rendahkan orang lain bahawa mereka tak matang. Kamu sebenarnya sama saja. Saya selalu melihat, saya pendam saja. Kalau satu hari nanti kamu perbudakkan saya lagi, masa tu baru saya bicarakan segala yang saya nampak dan dipendamkan itu.

Jangan fikir saya ni lembut hati. Tak ramai yang tahu, saya pernah meletup. Tanyalah siapa yang pernah ada pengalaman dengan saya. Tanya mereka apa yang berlaku pada saya waktu itu. Saya memang banyak bersabar, tapi perlu ingat, sabar itu ada batasnya. Lebih dari hadnya, kamu jangan mimpi “Mr Nice Man” lagi dari saya.

Betul, saya tak banyak mulut. Banyak saja senyap tak berbicara. Tapi jangan ingat senyap itu maknanya saya tak apa-apa. Akan tiba nanti, kalian akan tahu sejauh mana kesenyapan itu akan hilang begitu sahaja. Jangan dicabar lagi, kerana cabaran itu nanti akan memecahkan penjara yang memerangkap segala kisah terkilan yang saya pendam itu. Masanya tak lama, dan kalian masih lagi bertalu-talu buat saya terkilan.

Ada saya kisah dengan perangai kalian semua?

Kalau tak dapat mencari realiti sebenar dalam sebuah kehidupan, jangan berlagakkan diri kononnya dah tahu segalanya. Kalau setakat pengalaman cetek, kononnya itulah yang menyebabkan dah matang, makanya kalian jauh tersasar dengan pandangan jumud itu. Hadapi liku-liku dulu yang sangat perit, baru tahu matang atau tidak diri kalian itu. Liku-liku yang perit kadang-kadang beri kejutan, moga perubahan itu bakal terlaksana.

Kisah-kisah lama, rakan-rakan bicara tentang kehidupan, apakah benar liku-liku itu satu kemestian? Kebenaran tidak dinafikan kerana setiap orang punyai cerita tersendiri. Nilai hormat dan tidak mempersendakan kisah itu, menghormati prinsip dan minat orang itu ditambah pula dengan tidak memperkecilkan sesuatu bicara, makanya itu yang harus ada. Bicara kadang-kadang diselang-seli dengan kata-kata gurauan namun semuanya sedar, itulah kesimpulannya. Kisah bicara di Pizza Hut Taiping, segar di ingatan dengan penuh senyuman.

Kata-kata pesanan dari ayah, panjang tempohnya dengan pesanan penuh berhikmah. Jangan jadi pejuang yang mudah mengalah, maka kekalkan kekentalan hati moga prinsip dan identiti itu dapat dikekalkan. Mengenangkan kekentalan hati Soekarno, berjuang sehingga wujudnya Indonesia yang merdeka, mengenangkan kelicikan Mahatma Ghandhi dalam mempermainkan British sebelum wujudnya India yang merdeka, mengenangkan juga Ho Chi Minh memimpin gerakan kemerdekaan Viet Minh pada tahun 1941, saya akui kenapa tidak contohi juga pemimpin-pemimpin ini. Itulah bicara seorang guru sejarah kepada saya.

Keturunan itu memang banyak datangnya dari seorang penulis. Ibumu, ayahmu, malah datukmu, bukan seorang yang mampu diamkan diri bila pena dan kertas ada di hadapan. Mana mungkin seorang yang punyai latar sejarah sebagai penulis dapat menidakkan minat dan kehendak untuk meneruskan warisan itu. Diajar dari kecil, dibesarkan dengan ratusan bentuk tulisan, puluhan naskah-naskah bertaraf agung, puluhan tulisan-tulisan penulis tersohor, dan mungkin ribuan artikel-artikel ilmiah disumbatkan dalam kepala setiap anak-anak Rosly dan Azmah, mana mungkin jiwa untuk tidak menulis tidak wujud dalam diri setiap anak-anaknya. Minat itu muncul bukan dengan tiba-tiba.

Saat mereka menyatakan hentikan bicara dan suaramu, kerana kadang-kadang mata pena itu terlalu tajam dan mampu melunturkan kisah-kisah manis, makanya prinsip itu pula yang akan dilihat. Bukan mudah untuk korbankan prinsip demi kesenangan hati orang lain. Kerana biacara mak yang selalu diingati, jika kamu mahu menjaga hati orang lain, maka kamu harus utamakan hatimu dulu.

Kisah dan bicara dalam naskah-naskah terakhir di Facebook, sebagai tanda untuk berpindah ke tempat yang baru, kadang kala agak nostalgik bila kenangkan kisah dulu-dulu bila mula-mula berjinak-jinak meletakkan bicara di dalam Facebook. Perlu diingat kembali, bicara tidaklah bermula di Facebook. Blogger itu lebih tua usia tulisannya dari tulisan di Facebook. Kata-kata semangat di awal bicara-bicara itu diberikan oleh rakan-rakan awal dalam Facebook. Sokongan-sokongan padu, dengan komen-komen pemberi semangat masih lagi dapat diingati. Seorang penulis bukan mudah untuk mengeluarkan bicaranya namun, bila diluahkan bicara, maka banyak yang dihuraikannya.

Tulisan bukan sesuatu yang mudah. Jika ada yang menyatakan, ada apa dengan tulisan itu, semua mampu berbicara dengan pena. Benarkah? Memandang mudah itu memang mudah, namun menyelami keadaan sebenar itu memang sukar. Harus diakui, penulis itu tidak ramai temannya. Ya, kerana penulis itu kadang kala tidak mampu menyertai mereka yang lain. Lemah seorang penulis, tak dapat untuk berjumpa sahabat penulis yang lain, kerana terlalu sikit angka sahabat yang juga bertaraf seorang penulis.

Hentaman-hentaman awal sekadar mungkin ekspresi diri bahawa kadang-kadang kita tersepit di celah konfrantasi yang menjengkelkan. Nilai kebudak-budakan kadang kala bila menguasai diri, mampu menyebabkan segala tindak-tanduk boleh terlari dari kematangan sebenar. Saya tidak bicarakan pada mana-mana pihak, namun bicara ini lebih sekadar kata-kata buat ingatan diri saya sendiri. Pesanan dari hati kembali ke hati, moga jalan yang dilalui masih lagi di jalan yang sama, dan moga kekuatan prinsip dalam perjalanan itu masih dapat bertahan. Kisah bicara yang lebih menjurus muhasabah diri.

“Kekuatan tulisanmu itu terletak pada hatimu. Jika ikhlas hatimu, maka ikhlas juga tulisanmu. Jika buruk hatimu, maka buruk jugalah tulisanmu”
(Azmah Yunus a.k.a mak saya, 2009, Taiping)

“Prinsip itu ibarat harga diri buatmu. Jangan korbankan harga diri semata-mata mahu korbankan prinsipmu. Keutuhan prinsipmu lambang kekuatan hatimu”
(Rosly Hanipah a.k.a ayah saya, 2010, USM Pulau Pinang)

“Keturunan kamu adalah keunikan kamu. Jangan hilangkan keunikan itu kerana darah yang mengalir mengajar kamu untuk terus mengekalkan keunikan itu. Tabahkan hati, kerana ketabahan itu adalah pengubat terbaik demi kelangsungan kamu sebagai seorang penulis”
(Arwah Khadijah, 2009, Batu Ferenghi, Pulau Pinang)

Tiga bicara nasihat masih tersemat dalam fikiran. Itulah yang akan mengekalkan prinsip saya. Insyaallah , moga niat dan hati itu datangnya kerana Allah jua, dan wujud kerana kerendahan diri terhadap kebesaran-Nya.

Mohon permisi di bicara-bicara akhir ini. Ketemu mungkin di tempat baru. Moga perpisahan di tempat ini bakal merubah sesuatu yang baru di tempat lain. Lembaran dibuka, wujudkan cerita, kekalkan bicara, senyapkan suara, mantapkan fikiran, moga reformasi yang dirancangkan dapat berterusan beri perubahan terbesar di masa akan datang.

Wallahualam, moga bicara berterusan di waktu-waktu mendatang.

1.00am, Khamis, 2 Disember 2010, Kolej Za’ba.

Tiada ulasan :