Selasa, 17 Jun 2008

Alahai rakyat Malaysia. Apabila berkaitan duit, semua laju.

Itulah hakikat yang berlaku baru-baru ini apabila pemberian rebat kenderaan mula diberi minggu lepas. Sesak dengan kebanyakan pejabat pos di seluruh Malaysia pada hari pertama pemberian rebat bermula. Malah ibarat pesta keadaannya di pejabat-pejabat pos dengan pelbagai gelagat orang ramai. Semuanya hanya kerana ingin mendapatkan pemberian rebat yang diberi kerajaan menggantikan pemberian subsidi minyak.

Ironinya, keadaan sebaliknya berlaku di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) beberapa tahun lalu. Pada masa itu, kerajaan telah memutuskan bahawa tarikh akhir untuk penukaran kad pengenalan adalah pada 31 Disember 2006. Kerajaan telah memaklumkan begitu awal mengenai hal demikian. Namun keesokannya, selepas kerajaan membuat pengumuman tersebut, pejabat JPN masih lengang dan berjalan seperti biasa. Namun apabila tiba tarikh 31 Disember 2006, tarikh akhir pembahuruan kad pengenalan, barulah pejabat JPN menghadapi kesesakan orang ramai yang ingin menukar kad pengenalan di saat-saat akhir. Kenapa hal ini berlaku?

Seperti yang diperkatakan tadi, semuanya hanya kerana duit. Pemberian rebat, orang ramai mendapat duit. Penukaran kad pengenalan pula orang ramai perlu mengeluarkan duit. Apabila ini terjadi, tidak mustahillah pada hari pertama pemberian rebat, orang ramai telah mula bersesak-sesak di pejabat pos. Namun bagi penukaran kad pengenalan pula, orang ramai sanggup bersesak-sesak pada hari terakhir yang diberi kerajaan.

Mungkin bagi penukaran kad pengenalan pada waktu itu, kerajaan perlu memberi ganjaran kepada mereka yang menukar awal kad pengenalan dengan pemberian wang berjumlah ratusan ringgit. Mungkin barulah pejabat JPN penuh pada hari pertama selepas kerajaan membuat pengumuman penukaran kad pengenalan itu. Itulah realiti sikap rakyat Malaysia…

Isnin, 16 Jun 2008

3 Faktor Perosak Manusia

Semua orang gemar kepada perkara yang baik dan melakukan kebaikan kerana ia membawa kebahagiaan, kesejahteraan, dan keharmonian. Golongan seperti perompak atau penyamun juga tidak suka harta bendanya dicuri dan diganggu, walaupun mereka menggannggu dan menceroboh kehidupan orang lain.

Keburukan berlaku dalam masyarakat disebabkan beberapa faktor seperti tidak menghiraukan larangan Allah. Begitu juga keharmonian boleh digapai apabila kita menuruti petunjuk Allah yang Maha Kuasa. Menghindari lebih baik daripada mencegah. Muhasabahlah kita agar dapat menghindari daripada faktor perosak manusia.

Saidina Umar berkata, “Sekiranya kamu ingin menghindari keburukan, kamu mesti mengetahui kejahatan itu supaya senang kamu menghindarinya.”

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Ada tiga perkara merosakkan, hawa nafsu yang dituruti, kedekut yang ditaati, dan kekaguman pada diri sendiri.”

Pertama, hawa nafsu bukan dibunuh tetapi dididik. Ini kerana nafsu dunia menjadi indah, sebab itu dunia dibangunkan rasa cinta kepada harta, tahta, dan wanita mengindahkan kehidupan selama mana dalam batas yang dibenarkan. Ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Remaja yang tenggelam dalam hawa nafsunya lemas dalam lilitannya. Cinta tanpa batasan, pergaulan bebas, mahu senang tanpa usaha, berhibur tanpa batasan, dan akhirnya nafsu menjadi Tuhan, berkiblatkan perasaan serta tiada lagi batasan. Pada masa itu, pekak telinganya, buta matanya, dan akhir sekali terkunci hatinya. Allah sudah mengingatkan umatnya dalam firman-Nya yang bermaksud: “Pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan? Allah membiarkan mereka sesat dalam keadaan berilmu lalu Allah mengunci mati pendengaran dan hatinya.”

Subjek pembelajaran sepatutnya ditekankan untuk mengendalikan hawa nafsu. Remaja sepatutnya bukan hanya memburu kecerdikan tetapi kebaikan.

Kedua, sifat yang merosak ialah kedekut. Terlalu cintakan harta hingga tidak mengeluarkan zakat. Tidak terpanggil membantu sesama Muslim dalam bidang ekonomi juga dipanggil kedekut. Sama ada menyokong mereka dengan membeli produk atau dengan tidak menjatuhkannya. Keekut bukan terbatas kepada wang sahaja tetapi merangkumi kedekut idea, pemdapat, kedekut nota kuliah, resipi, dan tenaga.

Program kebaikan dan bermanfaat di kampus dan surau serta masjid kadang-kadang tidak mandapat sokongan memberangsangkan dalam kalangan remaja. Tetapi jika konsert dan hiburan, tanpa dijemput sanggup melakukan apa sahaja untuk menikamatinya. Pemuda yang mewarisi negara perlu belajar menjadi pemurah, suka membantu, ringan tangan, dan penyokong setia kebaikan.

Ketiga, sifat membanggakan diri. Ia merosakkan diri, keluarga, dan masyarakat. Orang yang bangga diri biasanya berasa ada kelebihan luar biasa pada dirinya yang tidak mampu ditandingi orang lain. Mereka yang terkena penyakit begini biasanya mudah memperkecilkan orang lain Apabila melakukan kesalahan sukar untuk diri mengakuinya, jarinya mudah menuduh dan menuding orang lain. Fitnah terkutuk sanggup dilakukan demi untuk menjaga nama baik dirinya yang sebenarnya memang jelak.

Sama-samalah kita bermuhasabah diri…..

Isnin, 9 Jun 2008

Sinopsis Cinta Thahirah

Novel ini mengisahkan mengenai Zahid yang merupakan seorang akauntan sebuah bank yang berusia dalam lingkungan 20-an. Dia tinggal berseorangan di sebuah rumah banglo di Kampung Jambu, kawasan kediaman yang terletak di pusat bandar Taiping. Keluarganya sebelum ini menetap di Taiping tetapi kini berada di Butterworth mengikut ayahnya yang menjadi pengetua di sebuah sekolah di sana. Zahid mempunyai seorang adik perempuan yang bernama Sheera. Sheera merupakan pelajar di Universiti Sains Malaysia dalam bidang pendidikan. Dia merupakan seorang yang sangat manja dengan abangnya. Setiap kali mempunyai cuti, dia akan pulang ke Taiping untuk berjumpa abangnya.

Zahid mempunyai seorang rakan karib yang sangat rapat dengannya. Orang itu ialah Izham, yang telah menjadi rakan kepada Zahid sejak di sekolah menengah lagi. Izham telah pun berkahwin. Nama isterinya ialah Erma, yang juga merupakan rakan kepada Zahid. Izham merupakan rakannya sama ada ketika dia dalam kesusahan atau ketika senang.

Secara ringkasnya, Cinta Thahirah berkisarkan kisah mengenai pencarian cinta Zahid dalam mencari cinta yang benar-benar suci (Thahirah). Pelbagai kisah berlaku semasa pencarian itu yang akhirnya membawa kepada penyimpulan bahawa cinta suci itu hanya akan wujud jika seseorang itu merasa cinta kepada Allah dan rasulNya. Apabila dua cinta ini wujud dalam diri seseorang, maka cinta yang akan lahir dalam dirinya itu terhadap manusia yang lain akan menjadi suci. Cinta yang wujud itu bukanlah kerana faktor kecantikan, kekayaan, atau kekuasaan tetapi sebaliknya datang dari hati yang benar-benar suci.

Dalam Cinta Thahirah ini, Zahid sebenarnya mempunyai hubungan dengan seorang wanita yang bernama Khadijah. Khadijah bukanlah kekasih Zahid, tetapi hubungan yang terjalin antara mereka tidak dapat ditafsirkan dengan jelas. Mereka seolah-olah seperti adik-beradik dalam perhubungan itu. Zahid menganggap Khadijah sebagai adiknya, dan begitu juga Khadijah yang menganggap Zahid sebagai abangnya. Perhubungan unik ini menyebabkan mereka tidak pernah sama sekali untuk jatuh cinta antara satu sama lain. Namun perhubungan mereka itu dibataskan dengan hukum syarak.

Segala-galanya berubah apabila satu hari Zahid terdetik di dalam hatinya untuk memperisterikan Khadijah. Ironinya, dia mempunyai niat itu tanpa disertakan dengan perasaan cinta terhadap Khadijah, suatu yang menentang dengan kebiasaan orang lain yang ingin berkahwin, iaitu ‘bercinta dahulu sebelum berkahwin’. Hal ini diberitahu kepada Izham, rakan baiknya. Izham yang mempunayi banyak pengalaman, dengan rela hati membantu rakannya itu untuk mencapai hajatnya. Pelbagai usaha dilakukannya untuk merapatkan lagi hubungan Khadijah dan Zahid.

Di pihak Khadijah pula, Murni rakan kepada Khadijah memainkan peranan pula. Dia juga turut membantu Izham bagi mengeratkan lagi perhubungan antara Zahid dan Khadijah. Banyak sebenarnya usaha yang dilakukan sehingga akhirnya Zahid dan Khadijah berkahwin. Namun, disebalik semua itu, terdapat satu perkara yang tidak diketahui oleh orang lain mengenai Zahid. Hal tersebutlah menyebabkan Zahid begitu bersungguh untuk mencari jawapan kepada cinta sucinya itu. Apakah perkara tersebut? Ikuti kisah selanjutnya di dalam novel Cinta Thahirah.

p/s: novel ini baru 15% dalam pembikinan. Insyaallah, awal tahun 2009 novel ini akan siap sepenuhnya.


Ahad, 8 Jun 2008

Tahniah kepada pengundi BN yang telah memberikan mandat kepada Pak Lah untuk menaikkan harga minyak!

Apa lagi yang boleh diperkatakan terhadap tindakan kepimpinan Pak Lah yang melaksanakan satu tindakan membunuh dirinya apabila beliau menaikkan harga minyak baru-baru ini. Walaupun subsidi ditarik balik, Pak Lah menyatakan bahawa subsidi minyak tersebut sebenarnya disalurkan kepada bentuk lain seperti bayaran rebat kepada pemilik kenderaan yang terpilih. Bunyinya seperti baik kerana seolah-olah membantu rakyat. Namun sebenarnya tindakan itu tidak lebih hanyalah untuk mengaburi mata rakyat. Sebenarnya jumlah wang yang diberikan kepada pemilik kenderaan tidaklah begitu banyak untuk menampung kembali kos petrol yang terpaksa ditanggung ekoran kenaikan harga minyak. Ibaratnya seperti memotong perbelanjaan anak dari RM2 kepada RM1 tetapi akan digantikan dengan bayaran upah 50 sen jika anak itu membantu kerja-kerja rumah. Bunyinya seperti bagus, tetapi apabila dijumlahkan keseluruhan wang yang anak itu dapat hanyalah RM1.50, kurang 50 sen daripada jumlah wang belanja asal. Begitulah yang sedang dihadapi rakyat Malaysia hari ini.

Mungkin perkara ini hanya akan berubah jika kerajaan persekutuan BN tumbang dan kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat terbentuk, mungkin dalam masa beberapa bulan dari sekarang...