Selasa, 17 Jun 2008

Alahai rakyat Malaysia. Apabila berkaitan duit, semua laju.

Itulah hakikat yang berlaku baru-baru ini apabila pemberian rebat kenderaan mula diberi minggu lepas. Sesak dengan kebanyakan pejabat pos di seluruh Malaysia pada hari pertama pemberian rebat bermula. Malah ibarat pesta keadaannya di pejabat-pejabat pos dengan pelbagai gelagat orang ramai. Semuanya hanya kerana ingin mendapatkan pemberian rebat yang diberi kerajaan menggantikan pemberian subsidi minyak.

Ironinya, keadaan sebaliknya berlaku di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) beberapa tahun lalu. Pada masa itu, kerajaan telah memutuskan bahawa tarikh akhir untuk penukaran kad pengenalan adalah pada 31 Disember 2006. Kerajaan telah memaklumkan begitu awal mengenai hal demikian. Namun keesokannya, selepas kerajaan membuat pengumuman tersebut, pejabat JPN masih lengang dan berjalan seperti biasa. Namun apabila tiba tarikh 31 Disember 2006, tarikh akhir pembahuruan kad pengenalan, barulah pejabat JPN menghadapi kesesakan orang ramai yang ingin menukar kad pengenalan di saat-saat akhir. Kenapa hal ini berlaku?

Seperti yang diperkatakan tadi, semuanya hanya kerana duit. Pemberian rebat, orang ramai mendapat duit. Penukaran kad pengenalan pula orang ramai perlu mengeluarkan duit. Apabila ini terjadi, tidak mustahillah pada hari pertama pemberian rebat, orang ramai telah mula bersesak-sesak di pejabat pos. Namun bagi penukaran kad pengenalan pula, orang ramai sanggup bersesak-sesak pada hari terakhir yang diberi kerajaan.

Mungkin bagi penukaran kad pengenalan pada waktu itu, kerajaan perlu memberi ganjaran kepada mereka yang menukar awal kad pengenalan dengan pemberian wang berjumlah ratusan ringgit. Mungkin barulah pejabat JPN penuh pada hari pertama selepas kerajaan membuat pengumuman penukaran kad pengenalan itu. Itulah realiti sikap rakyat Malaysia…

Tiada ulasan :