Sabtu, 24 Disember 2011

"Adina (Bicara Dua Belas)"







Melabuhkan fikiran dalam jiwa yang tenang, sehingga segala kecelaruan yang ditemani masalah akan dapat dilunturkan. Hakikatnya, manusia itu perlu meluaskan pemandangan, kerana saat itu jugalah kekaguman terhadap keindahan ciptaan Ilahi akan mengurangkan kekusutan yang melanda. Bukan mudah bila wanita ditimpa musibah.

“Ina tak pernah naik kereta api,” bicara Abyatina saat menjejakkan kaki di stesen kereta api.

“Jadi, kita mulakan dengan kali pertama,” balas Rizqullah tersenyum.

Kisah perjalanan menuju ke stesen kereta api adalah satu pengalaman baru buat si Abyatina. Seumur hidup, ini adalah kisah pertamanya menuju ke destinasi dengan pengangkutan seperti itu.

“Mengapa?” soalan terpacul di mulut Raiqah saat Abyatina memberitahu kakaknya itu akan hasrat untuk menaiki kereta api bersama Rizqullah.

“Ada pilihan lagikah?” balas Abyatina.

Hakikatnya, perjalanan menuju ke Pulau Pinang tidak punyai pilihan yang banyak. Perancangan asal dengan berkereta tergendala dek  masalah enjin, dan akhirnya kereta Rizqullah itu tersadai di bengkel. Jika mahu menumpang kereta ahli keluarga yang lain, hakikatnya tidak ada lagi ruang yang boleh diisi untuk Abyatina dan Rizqullah.

“Maka, penyudahnya kereta api jadi pilihan,” bicara Abyatina kepada kakaknya.

“Pelawaan Yaqzan, bagaimana pula?” soal Raiqah.

“Suami Ina ialah Rizqullah. Kenapa pula harus terima pelawaan Yaqzan?” balas Abyatina.

Tawaran Yaqzan yang mahu menumpangkan Rizqullah dan Abyatina dikemukakan sehari sebelumnya. Pada awalnya, Rizqullah bersetuju berkereta bersama Yaqzan, namun Abyatina yang berat hati akhirnya menolak pelawaan Yaqzan itu.

“Kerana aku tak mahu sang alien merajai penakluk jiwa hatiku Rizqullah,” bisik Abyatina saat duduk di kerusi menanti ketibaan kereta api menuju ke Butterworth.

Saat jiwa teruja merasai pengalaman baru, hati Abyatina berada dalam keresahan. Memikirkan segala macam persoalan dan masalah, maka sesungguhnya ketabahan hati adalah kunci ketenangan jiwanya. Banyak perkara bermain di fikiran Abyatina hingga kadangkala dia tenggelam dalam lamunan yang berpanjangan.

“Ayahmu kena pindah ke Hospital Pulau Pinang,” terang ibu Abyatina beberapa hari sebelumnya.

Kisah kemalangan mengejut selepas Isyak ternyata masih segar di ingatan. Saat Ustaz Man ditimpa musibah, seluruh tubuh Abyatina menjadi sangat lemah. Malam itu, Abyatina tidak dapat melelapkan mata. Hatinya terlalu resah dalam kesedihan. Tambah meresahkan apabila Rizqullah tidak berada di sisinya.

Malam itu, Ustaz Man dibawa ke Hospital Taiping. Kemalangan mengejut yang menimpa memberikan satu kesuraman buat Abyatina sekeluarga. Kisah Ustaz Man dilanggar treler menjadi bualan utama di seluruh kampung. Bicara demi bicara bergerak dengan pantas sehingga pada pagi keesokannya, ramai penduduk kampung berhimpun di perkarangan rumah Ustaz Man bagi mengetahui perkembangan terkini keadaan suami Mak Cik Ros itu.

“Tenangkan hatimu Abyatina,” bicara Rizqullah menghentikan lamunan isterinya.

“Moga ayah selamat,” balas Abyatina.

“Insyaallah”

Wisel kedengaran tanda ketibaan gerabak kereta api. Saat itu hati Abyatina terdetik merasai ketenangan bercampur kegembiraan. Pengalaman pertama, dan di sisinya ialah Rizqullah. Dalam kemanisan keindahan, hatinya juga terdetik terkenangkan ayahnya yang ditempatkan di Hospital Pulau Pinang.

“Mulakan hatimu dengan niat untuk menziarahi ayahmu,” bisik Rizqullah ke telinga Abyatina saat mereka menaiki gerabak.

Abyatina dan Rizqullah memulakan perjalanan. Ziarah Ustaz Man, maka itulah tujuan utama. Ustaz Man dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan lanjut. Maka seluruh keluarga kini masing-masing menuju ke destinasi yang sama. Mungkin cara menuju ke destinasi itu sahaja yang berbeza.

“Ustaz Man mungkin lumpuh”

Kata-kata itu dinyatakan oleh doktor yang merawat Ustaz Man. Bicara pada malam kejadian itu masih berterusan segar di ingatannya. Berita kurang enak ditelan dalam situasi yang kelam kabut.

“Sabarkan jiwa. Tabahkan hati,” Rizqullah bersuara saat melihat Abyatina yang duduk di tepi tingkap kereta api berada dalam keadaan resah dan suram. Kelihatan dengan jelas Abyatina menahan titisan air matanya.

“Ina tak tau nak hadapi semua ni....”

Rizqullah terus merangkul bahu Abyatina. Ditenangkan isterinya sambil tangannya menggenggam erat tangan Abyatina. Diusapnya pipi Abyatina menghilangkan air mata yang menitis. Abyatina hilang keceriaan. Kesuraman melanda, dan hanya pada Rizqullah sahaja tempatnya meluahkan rasa sedih itu.

Rizqullah terus memeluk Abyatina menenangkan isterinya itu. Perjalanan panjang penuh cabaran. Soal hati dan jiwa bermain di fikiran. Akhirnya Abyatina terlelap, menghilangkan seketika duka yang melanda.

Kecelaruan kini sedang melanda. Pelbagai dugaan muncul satu demi satu. Saat Abyatina baru mengenal kemanisan berkeluarga, maka saat itu juga pelbagai dugaan mula muncul. Hakikat itu difahami Rizqullah, dan disebabkan itu, dia sedaya upaya untuk mententeramkan jiwa Abyatina.

“Disebabkan itu saya pilih kereta api. Moga Abyatina tenang saat melihat pemandangan yang akan dilihatnya sepanjang perjalanan panjang itu nanti,” terang Rizqullah kepada kakak iparnya Raiqah sehari sebelum perjalanan bermula.

“Benar, kamu memang dijodohkan untuk memahami Abyatina,” balas Raiqah.

Perjalanan panjang akhirnya bertemu kisah penyudahnya. Bila kaki melangkah keluar, maka sampailah Abyatina dan Rizqullah di Butterworth. Tanpa membiarkan masa dicuri, maka perjalanan seterusnya adalah menuju ke jeti feri untuk menuju ke Georgetown yang terletak di bahagian pulau. Kenangan terindah, maka Abyatina melangkah ke dunia pengalaman baru. Feri satu kisah baru buatnya.

“Jangan menitis air mata saat Ina berjumpa ayah,” bisik Rizqullah.

Kunjungan penuh debaran melangkah masuk ke kawasan hospital, satu pengalaman baru penuh kesuraman. Pelbagai fikiran muncul tatkala mencari-cari tempat yang dituju. Wad yang menempatkan Ustaz Man masih lagi dalam pencarian buat Abyatina dan Rizqullah.

Namun segalanya bertukar kelegaan apabila senyuman menguntum diberikan Raiqah saat kaki Abyatina dan Rizqullah memasuki bilik yang menempatkan Ustaz Man. Kuntuman senyuman itu akhirnya menjelmakan keceriaan di wajah Abyatina. Seluruh isi keluarga Ustaz Man berada di bilik itu.

“Jangan sedihkan dirimu Abyatina”

Bicara Ustaz Man kedengaran saat Abyatina memasuki bilik itu. Walaupun lemah terlantar di katil, ayah Abyatina itu masih mampu bersuara walaupun terketar namun masih gagah dengan senyuman.

“Ayah dah sihat?” soal Abyatina.

Merentasi perjalanan sebuah pertemuan, akhirnya diakhiri dengan sebuah kelegaan.  Saat memahami perihal sebenar, barulah diketahui Ustaz Man tiada harapan untuk kembali berdiri. Lumpuh di kaki, walaupun mungkin ada sedikit harapan untuk pulih kembali, namun peluang yang mungkin dimiliki agak tipis.

Saat itu, Abyatina terkedu. Sebak dirasai, tanpa diduga, maka titisan mata mengiringi. Sayu dirasakan, kerana senyuman yang tergambar di wajah ayahnya hanyalah sekadar penutup derita yang sedang dialaminya. Ustaz Man cekal, Abyatina kesedihan.

“Jika kamu kuatkan hati, maka kita kuatkan semangat ayah, moga kembali melihatnya untuk berjalan,” bicara Rizqullah menenangkan Abyatina.

“Kerana itu kita semua kena sama-sama tolong ayah, ikhtiarkan apa yang patut, sesukar mana pun, kita akan lakukan buat ayah,” bicara Raiqah.

Kata-kaat semangat penyedap hati diluahkan oleh setiap isi tetamu yang berada di bilik itu. Masing-masing cuba memberikan harapan, walaupun mungkin impian itu sekadar angan-angan tak kesampaian.

“Jangan berkunjung lagi di sini. Lapangkan dadamu.  Pergilah tenangkan hatimu. Pulau Pinang penuh dengan tempat menarik”

Sebaris ayat susunan Ustaz Man, maknanya mendalam punyai tujuan. Dia tahu, Abyatina kesuraman, dan dia tahu, perjalanan di bumi Pulau Pinang merupakan satu kunjungan yang mampu menghilangkan duka itu. Maka Ustaz Man pemberi cadangan, dan Rizqullah memberi persetujuan. Maka kisah seterusnya, Abyatina meninggalkan hospital dan memulakan kembara di Pulau Mutiara bersama Rizqullah.

“Mulakan harimu di sini dengan sebuah pengalaman baru,” bicara Ustaz Man buat Abyatina.

Destinasi pertama terus dituju. Maka Bukit Bendera menjadi tempat pilihan. Walaupun ramai di hujung minggu, namun Abyatina mengharunginya dengan mudah. Ibarat fikiran telah melayang seketika, itulah yang dirasai Abyatina, saat tangannya dipimpin Rizqullah, berjalan-jalan di kemuncak Bukit Bendera. Setiap detik, degupan jantung dirasai dalam nada yang aneh. Itulah degupan merasai nikmat melalui fasa-fasa kenikmatan cinta bersama Rizqullah. Genggaman tangan Abyatina dan Rizqullah berterusan, seolah-olah tiada penyudahnya.

Hari-hari dilalui di Pulau Pinang merupakan detik terindah buat Abyatina. Tanpa disusun sebarang perancangan, itulah detik-detik yang sangat manis buatnya. Dari sebuah kesuraman, kini bertukar menjadi sebuah kebahagiaan.  Tanpa disedari, itulah hari-hari Abyatina melalui bulan madunya bersama Rizqullah.

Dari satu tempat ke tempat yang lain. Dari Bukit Bendera ke Batu Ferengghi. Dari Taman Rama-rama ke Taman Botanikal. Dari Komtar ke Rumah P. Ramlee. Maka satu demi satu diselusuri Abyatina dan Rizqullah.  Saat manis dan ikatan semakin utuh. Kemesraan semakin terpancar, dan mereka semakin serasi.  Abyatina seakan lupa sebentar akan kisah ayahnya yang ditimpa dugaan. Dia tenggelam dalam kegembiraan. Segala kesuraman berjaya dileraikan.

“Tahniah buatmu kerana kamu berjaya menghilangkan duka Abyatina,” bicara ibu Abyatina kepada Rizqullah menerusi perbualan telefon.

Kisahnya berakhir dengan kunjungan ke rumah saudara mara Rizqullah di Pulau Pinang. Diperkenalkan satu demi satu ahli keluarga ibu saudaranya.  Sesi perkenalan ringkas, tidaklah lama. Abyatina dan Rizqullah kemudian pulang selepas tiga jam pertemuan dengan mereka. Ringkas, namun bermakna.

Setibanya di rumah setelah mengharungi perjalanan panjang, penat menaiki bas, kesabaran  menaiki feri, dan kepenatan di dalam kereta api, maka wajah Abyatina ternyata sangat keletihan. Rizqullah mengerti, lalu terus memimpin tangan Abyatina berehat di bilik. Terus terlelap Abyatina, dan Rizqullah tersenyum. Diusap pipi Abayatina tanda Rizqullah mengerti isterinya itu mengharungi pengalaman baru yang cukup panjang dan sangat meletihkan.

“Berehatlah. Moga segala dugaan yang penuh suram akan dapat kamu lupakan,” bisik Rizqullah.

Malam itu Abyatina merasai nyenyak tidur yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Keletihan memberi nikmat tidur tak terkata. Maka kesegaran ternyata dirasai Abyatina di pagi keesokannya.

“Ina sihat pagi ini?”

Soalan diajukan Rizqullah saat melihat Abyatina di dapur. Pucat wajah si Abyatina, dan masih terus duduk di kerusi saat mahu menikmati sarapan. Belum sempat meluahkan bicara, tiba-tiba Abyatina bangun mengejut, berlari terus menuju ke bilik air. Batuk yang kuat kemudian kedengaran.  Berterusan dan agak menakutkan buat Rizqullah yang mendengarnya.

“Ya Allah!”

Kejutan dilihat Rizqullah. Bibir Abyatina dipenuhi darah. Batuk tanpa henti masih berterusan, dan pada masa yang sama juga, darah terus keluar dari mulutnya. Lantai bilik air mula dipenuhi darah Abyatina. Suasana cemas mula tercetus. Rizqullah mula keresahan. Tangan si Abyatina terus menekan dadanya tanda kesakitan yang kuat dirasainya.

“Abang…”

Abyatina tiba-tiba rebah dan terus pengsan. Pagi itu mencipta kejutan. Sebuah persoalan telah tercipta.

“Ina…..”




*Tamat sudah Bicara Dua Belas*

 Menyambung kisah di lain bicara...

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 





 *Terima kasih kepada sahabat lama, saudari Thahirah Kamarulail atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.

 Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina

Jumaat, 9 Disember 2011

"Hablur Oniks"



                
Dari saat kaki melangkah meredah kesibukan hiruk pikuk manusia mundar mandir ke sana dan ke sini, dua sahabat dengan tenang menyusun perjalanan menuju ke medan ilmu. Jiwa muda dahagakan pengetahuan, di sebalik hasrat menyambung cita-cita, maka itulah sebab mereka kini tercampak di sebuah menara gading. Kelas ilmu dalam bidang sastera, satu cabang ilmu diminati dua sahabat.

Mata-matanya kelihatan seringkali melihat ke sana dan ke sini. Hiruk pikuk di sebuah universiti mungkin satu fenomena biasa dalam kesibukan mengejar masa dan tempat.  Kuliah itu dan kuliah ini, mungkin kadang kala menimbulkan pening dek banyaknya tugasan yang diberi. Lantas fikiran itulah yang melahirkan gerak geri anak mata, memerhati dan meninjau setiap pergerakan yang melintasi di hadapannya, saat dua sahabat duduk di kerusi menanti waktu sebelum kuliah bermula.

Pelbagai ragam dan kerenah dilihat saat pelbagai jenis manusia melintasi di hadapan tempat mereka duduk. Dua sahabat kadang kala berbual dan berbicara memerihalkan setiap gerak geri manusia yang melintasi mereka. Tafsiran dan andaian dibuat, membaca setiap bahasa badan yang melintasi di hadapan mereka.

“Mungkin dia punyai masalah sosial, berjalan menunduk dan berseorangan”

“Mungkin dia  mulutnya manis, sepanjang berjalan mulut tak pernah lekang berbicara”

“Mungkin dia baru bergaduh dengan seseorang, kerana wajahnya itu masam mencuka”

Satu demi satu ditafsirkan kemungkinan bahasa badan yang dilihat mereka. Gurauan demi gurauan menghilangkan seketika kehanyutan tekanan menyiapkan tugasan yang acap kali mewujudkan kegelisahan. Mata yang memerhati seringkali tertarik pada individu-individu yang melintasi di hadapan. Tambah menyegarkan tarikan, apabila sang wanita demi sang wanita hadir dan melangkah melalui kawasan berhampiran mereka duduk. Benar, wanita itu tarikan dunia. Disebabkan itu, ada ketikanya, saat mata memerhati kaum hawa ini, maka tarikan magnet itu bagai dirasai.

Meneliti  setiap pergerakan saat menanti masa bermulanya kuliah, bicara demi bicara kedengaran dalam kalangan kumpulan-kumpulan kaum hawa yang melintasi mereka. Ada yang berbual kosong dan ada juga yang tanpa segan silu dengan bangga berkongsi cerita akan kisah hebat, bertemu janji dengan si teman lelaki pada hari sebelumnya. Bagi yang membisu pula, mereka hanya berjalan di dalam kumpulan tersebut sambil mendengar sahaja rakan-rakan lain membebel dan mengomel.

Kumpulan-kumpulan itu itu dapat dilihat pula perbezaan budaya dan gaya penampilannya. Terdapat satu kumpulan, bergerak berkumpulan dengan memperagakan pelbagai jenis pakaian yang dikatakan mereka gaya fesyen terkini. Dengan berjalan berkasut tumit tinggi diikuti dengan alunan hentakan kasut, berlenggang lenggok sambil menjinjing beg tangan Prada atau mungkin Gucci, dan tudung mereka pula berkilauan dengan segala hiasan labuci dan sulaman dengan fesyen bonggol unta meninggi di belakang, ternyata menarik perhatian buat sesiapa sahaja yang melihat mereka. Saat kumpulan ‘bonggol unta’ ini melintasi dua sahabat, maka haruman wangi-wangian menusuk ke dalam deria bau mereka. Wangian pencetus rasa sensual, tanpa disedari buat mereka yang terhidu wangi-wangian tersebut.


Tak lama kemudian, muncul satu kumpulan kaum hawa yang lain. Jalan menunduk sambil suara berbicara penuh halus dan kadang kala tidak kedengaran. Langkah berjalan pula penuh sopan sehingga dilihat tak ubah seperti sang puteri mengatur langkah menuju ke singgahsana sewaktu majlis pertabalan raja. Baju mereka sekadar jubah dan berbaju kurung, labuh dan longgar sambil beg kain biasa dijinjing kembung, mungkin diisi dengan kain telekung untuk bersolat. Tudungnya labuh, kosong tanpa sebarang hiasan, dan jika ada pun, mungkin tona warna tudung yang menjadi corak hiasan di tudung mereka itu. Kasutnya biasa, dan tiada langsung kedengaran bunyi-bunyi hentakan berjalan. Saat melintasi dua sahabat ini, tiada bau-bauan dihidu, namun bau kekaguman dinikmati dua sahabat ini. Kagum, kerana kumpulan ini tak ubah seperti sekumpulan muslimah yang semakin mengecil jumlahnya di zaman ini.

“Masih ada lagi kumpulan manusia ini di zaman penuh kecelaruan,” bicara sahabat itu.

Dalam keadaan mundar mandir dipenuhi kumpulan-kumpulan tersebut, kelihatan juga puak-puak yang tersengih bagai kerang busuk, menjadi si monyet yang baru belajar untuk mendapat bunga. Itulah pasangan-pasangan yang baru belajar untuk berjinak dengan dunia hati dan perasaan. Terikat atas nama cinta, maka berkepitlah ke hulu ke hilir. Kemesraan diperlihatkan, menampakkan saat-saat bahagia yang mungkin sedang dikecapi. Berjalan berdua tanda sehati sejiwa. Ke kelas bersama, ke kuliah bersama, hingga kadang kala kelihatan tidak ubah seperti pasangan merpati dua sejoli. Berjalan sangat perlahan, mungkin mahu memanjangkan lagi tempoh masa berjalan berdua-duaan itu. Cerita cinta kampus, maka budaya menjadi kebiasaan.

Dua sahabat masih terus memerhati. Melihat dan terus mengamati. Tiap-tiap yang melintasi, ibarat hiburan dalam menanti bermulanya kuliah mereka. Gelagat demi gelagat yang dilihat mencetuskan pelbagai reaksi. Negatif bercampur kelucuan. Positif bercampur kesedihan. Manusia bila diperhati, maka akan tergambarlah pelbagai versi pengkisahan.

Alunan angin tiba-tiba bertiup. Di kedinginan pagi, hembusan angin yang tiba-tiba datang ibarat satu tambahan nikmat buat dua sahabat yang sedang duduk menanti di luar. Saat itu, kelihatan ruang jalan di hadapan dua sahabat ini tiba-tiba kelihatan kosong. Suasana yang riuh sejak tadi tiba-tiba bertukar sepi. Hanya desiran angin bercampur kicauan burung yang dapat didengari. Kehidupan ibarat terhenti seketika.

Tanpa diduga, muncul seorang wanita. Berjalan tanpa disedari mereka. Seorang wanita yang sopan langkahnya. Tanpa sebarang bunyi, perlahan-lahan melintasi di hadapan mereka. Berseorangan tanpa berteman. Dengan beg biru yang disandang dan fail dipeluknya. Perlahan-lahan berjalan, sambil pandangannya tunduk. Tidak menoleh ke kanan mahupun ke kiri. Memandang ke hadapan tanpa mempedulikan sekitarnya. Saat itu, degupan jantung berdegup. Remi terpesona. Terkesima dalam pandangan. Wanita melintasinya, satu keluarbiasaan.

“Apakah bidadari jatuh ke bumi dari kayangan?” bicara tercipta di bibir Remi.

Jari jemari halus mempesonakan matanya. Cincin yang tersarung menambahkan seri keindahan jarinya itu. Tapak tangannya ibarat diukir dengan penuh halus, hingga urat-urat halus berwarna merah dapat dilihat. Setiap gerak jari si gadis itu, memaparkan kesempurnaan keindahan tapak tangannya. Halus jarinya, hingga mata Remi tidak berkelip saat melihatnya.

Kulitnya ibarat lilin yang diukir penuh halus. Dibaluti dengan warna selembut-lembutnya dan penuh tarikan dalam pancaran yang mengasyikkan. Putihnya kulit tidak tergambar. Hingga saat melihat kulitnya itu, maka keindahan di sekitarnya ibarat hilang tanpa disedari. Warna kulit si gadis itu ibarat satu magnet memerangkap fikiran Remi hingga menenggelamkan segala keindahan dunia. Putihnya bukan calang-calang. Putihnya persis mutiara termahal.

Sayangnya, wajah si gadis tidak sempat diperhatikan. Hanya sedikit sisi kanan wajah gadis itu diperhatikannya. Putihnya pipi itu sehingga kelihatan sedikit warna-warna kemerahan mungkin menahan sejuk di kedinginan pagi. Putihnya itu cukup menggambarkan betapa hebatnya keindahan si gadis yang sedang berjalan. Bertudung biru lembut dan berbaju kurung. Ringkas gayanya, namun tetap mempesonakan.  Itulah saat paling perlahan yang pernah dialami oleh Remi. Setiap langkah si gadis itu yang semakin jauh dari pandangan terus menjadi saat bermakna buat Remi.

Gadis itu memasuki ke sebuah bangunan. Dalam redup di dalam bangunan, dilindungi dari cahaya mentari, kulit si gadis itu terus memancarkan tarikan. Putihnya kulit ibarat tiada tandingan. Terus bersinar walaupun di bawah teduhan. Remi dalam kekesimaan. Walaupun hanya pergelangan tangan dan sisi kanan wajah si gadis itu sempat menjadi tatapan Remi, itu telah cukup buatnya bagi menyatakan kekaguman akan keindahan si gadis itu.

“Baru ku tahu, apa itu erti kecantikan seorang perempuan,” bicara Remi pada sahabatnya.
  
Hati Remi terus terdetik. Andai gadis si putih mulus itu menjadi teman seumur hidupnya, hanya dipejamkan mata, dibisukan suara. Dia akan terkesima, kerana tidak tahu bagaimana untuk meluahkan rasa kesyukuran. Andai gadis itu menjadi temannya, akan dirasakan bahawa seluruh hayat kehidupannya telah menjadi sempurna. Benar, Remi mendambakan seseorang seperti gadis bertudung biru itu sebagai teman hidupnya. Jika diikutkan hati, mahu saja untuknya terus menegur dan berbicara dengan gadis itu.

“Sudikah kamu menemani seluruh hidupku?” Itulah yang ingin diluahkan andai dia mampu berbuat demikian.

Bukan mudah melihat seorang gadis seperti itu. Berseorangan tanda berdikari. Berjalan penuh sopan, tanda dirinya masih lagi menjunjung adab dan kesopanan. Menundukkan pandangan, tanda dirinya menjaga hati agar tidak dicemari dengan bisikan-bisikan kemaksiatan. Bersederhana dalam berpakaian, tanda sifatnya yang penuh rendah diri. Tudung biru lembut yang dipakai si gadis itu tanda jiwa dan hati dalam ketenangan. Memaparkan keremajaan di sebalik kematangan. Biru itu satu perlambangan, gadis itu punyai kepercayaan yang sangat tinggi pada diri sendiri.

Remi memejamkan matanya cuba melelapkan diri. Malam itu, fikirannya menerawang terus dihantui dengan kisah keindahan si gadis tudung biru. Walaupun wajah gadis itu tidak terbayang, namun putih mulus warna kulit si gadis itu terus menjadi satu ingatan yang cukup mendalam kesannya. Dia ibarat telah jatuh cinta pada si gadis itu. Wajahnya tidak pernah dilihat, namun kehalusan jari jemari si gadis itu akan terus tersimpan dalam ingatan Remi.

Hari itu adalah hari terakhir Remi dan sahabatnya menuju ke kuliah. Kisah keesokannya, masing-masing pulang ke kampung menikmati seketika ruang waktu berehat sebelum mengharungi perjalanan peperiksaan. Sepanjang perjalanan pulang itu, Remi terus terbayangkan apa yang dialaminya pada hari sebelumnya. Impak yang dirasai cukup mendalam. Bayangan itu ternyata tidak dapat dipadamkan. Gadis itu laksana peluru yang ditembak menusuk ke hati Remi.  Pedihnya itu bukan satu kesakitan.  Pedihnya itu satu kenikmatan dalam rasa kerinduan.  Remi merindui si gadis tudung biru yang tidak diketahui paras wajahnya.

Saat sampai di kampung halaman, kelihatan rumahnya dikunjungi tetamu. Kepulangan secara mengejut, memberi nikmat yang berlainan. Si ibu menyambut anaknya dalam keterujaan walaupun kadangkala seolah-olah tidak percaya bahawa anaknya itu telah pulang ke kampung. Remi terus masuk ke dalam bertegur sapa dengan tetamu yang hadir di rumah. Agak ramai tetamu yang muncul, dan tidak dikenali kesemuanya.

“Kalau kamu tak tau sapa yang datang ni, inilah dia keluarga yang mak cerita dulu tu,” bicara ibu Remi.

Maka terus terlintas di fikirannya mengenai soal yang pernah dibincangkan ibunya. Soal perkahwinan yang diaturkan ibunya segar diingatan. Tiada perbincangan yang mendalam, sekadar memberi persetujuan menurut sahaja kemahuan ibunya. Maka, itulah sebab munculnya tetamu-tetamu yang tidak dikenali Remi itu. Itulah keluarga yang mungkin bakal menjadi keluarga mertuanya.

“Dan siapakah gadis pilihan ibu itu?” soal Remi tertanya-tanya.

 Remi berdebar bercampur kerisauan. Tertanya-tanya kisah kesudahan. Takut dirasai andai pilihan yang diputuskan ibunya itu satu kesilapan. Apa yang diharap mungkin tidak kesampaian. Maka keresahan semakin bertambah. Namun keterujaan turut dirasakan.

Saat ini, dirasakan Remi alangkah baiknya jika hari semalamnya dia terus melamar si gadis tudung biru saat gadis itu melintasi di hadapannya. Alangkah lega hatinya, jika gadis itu menjadi temannya. Fikiran bagai tiada kewarasan, mahu melamar si gadis di tepi jalan. Itulah yang berlaku bila debaran semakin menunjukkan kesan. Satu demi satu fikiran bermain. Ada kalanya, mahu sahaja ditolak pilihan ibunya itu, lantas mahu sahaja diceritakan akan gadis si tudung biru itu. Namun muncul pula satu persoalan. Siapakah gadis itu, kerana dirinya sendiri tak pernah melihat wajahnya apatah lagi mengetahui nama gadis itu.

“Assalamualaikum”

Mata Remi tertumpu di muka pintu. Saat itu matanya melihat jari jemari halus menyentuh tombol pintu. Remi terkejut. Sekali lagi terkesima dalam kejutan. Ibarat sebuah pengulangan hari semalam, mata Remi sekali lagi merasai satu tarikan. Perlahan-lahan jari itu semakin jelas kelihatan saat pintu semakin luas dibuka. Putih mulus bak mutiara, maka itulah yang dilihat pada tapak tangannya. Urat-urat halus turut kelihatan.  Cincin di jarinya pula menambahkan lagi seri kecantikan jari jemarinya.

Si gadis muncul di muka pintu. Dia menunduk, melindungi sebahagian wajahnya. Remi semakin berdegup kencang. Dia sekali lagi merasai pengulangan. Wajah putih halus dilihat sekali lagi. Pipi gadis itu dengan jelas kemerah-merahan mungkin menahan malu. Putihnya tidak tergambar. Maka, itulah sebab Remi terkesima.

Perlahan-lahan gadis itu mengangkat wajahnya. Sedikit demi sedikit semakin jelas kelihatan. Maka akhirnya, terserlah kesemua wajahnya. Kecantikan bukan kepalang. Cantik si gadis itu laksana cahaya bula purnama menyinari malam yang gelap. Si gadis itu melemparkan senyuman. Menghulurkan salam buat hadirin.

Remi terduduk. Hatinya terkejut. Tidak tahu cara untuk meluahkan rasa hatinya. Tidak tahu sama ada dirinya gembira ataupun kecewa. Dia seperti bermimpi, ibarat mimpi di alam khayalan. Indah berseri, dalam senyuman. Namun takut akan segala ancaman. Takut terjaga dari lena yang indah. Remi terkelu tanpa suara. Hasratnya ibarat termakbul sudah.

“Apakah aku bermimpikan tentang keindahan dunia, atau dunia yang indah ini bermimpikan tentang aku?” bisik Remi dalam kekejutan.

Si gadis itu adalah pilihan ibunya. Si gadis itu adalah calon isterinya. Diperkenalkan ibunya gadis itu kepada dirinya. Maka tiada apa yang dapat diungkapkan melainkan ungkapan kesyukuran. Impian yang dikatakan mengarut akhirnya bertukar menjadi kenyataan.

“Apakah kamu si gadis tudung biru yang melintasi di hadapanku pagi semalam?” soal Remi kepada si gadis itu.

“Namaku Thahirah, tanda perkenalan,” balas si gadis itu dalam senyuman.









* Nota: ‘Oniks ‘itu membawa maksud sejenis batu permata yang mempunyai lapisan-lapisan yang beraneka warna.

(Sebuah cerpen hasil nukilan: Muhammad Yazid Rosly )


*Terima kasih kepada saudari Qis Kusulaiman atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam cerpen ini.

Jumaat, 2 Disember 2011

Muhasabah Jumaat: Saat maut menanti, apakah yang akan difikirkan?




"Jika masa dapat diundurkan, apakah yang akan aku lakukan?"

Persoalan demi persoalan akan pasti menjengah, meneroka setiap inci fikiran, mengenangkan betapa ruginya masa itu dibazirkan. Ungkapan yang dibicarakan itu mungkin satu bentuk keluhan dalam nada sesalan, masih tertanya-tanya seribu satu persoalan.

Bayangkan, andai secara tiba-tiba, saat maut itu menghampiri, apakah yang akan muncul di fikiran? Apakah perkara terakhir yang akan dibayangkan? Berbaloikan apa yang difikirkan itu? Atau apa yang difikirkan itu hanya perkara yang sia-sia?

Bayangkan jika apa yang terlintas saat nyawa hanya tinggal di kepala, dan tubuh yang lain telahpun kaku; dan fikiran itu hanya memikirkan Allah.

Maka beruntunglah buat dirinya jika Allah itu adalah fikirannya yang terakhir.

Bayangkan pula jika saat nyawa tinggal di hujung, dan fikiran itu mengenangkan sesalan yang besar dek alpanya melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah. Maka, alangkah malangnya orang itu. Sesungguhnya dia tidak berpeluang untuk kembali memperbetulkan keadaan.

Sesungguhnya, saat mati itu adalah satu keperitan yang terbesar, dan pedih itu akan dirasai bagi setiap yang bernyawa. Bezanya, bagaimana seseorang itu mengakhiri fikirannya. Apakah memberikan satu ketenangan, atau mungkin mendatangkan kekesalan.

Saat nyawa di hujung tubuh, apakah yang akan disebut buat kali terakhir di bibir? Apakah kalimah Allah sebagai penutup bicara di dunia, atau kata-kata raungan melahirkan kekesalan? Apakah ketenangan lahir di jiwa, atau keserabutan menjadi perkara yang mengakhiri dalam hati?

Memang benar, kematian itu adalah sesuatu yang tak terduga. Mati itu adalah dalam pengetahun Allah. Manusia itu tiada upaya merancang pemergiannya. Hakikatnya, keindahan dunia mampu direntap sekelip mata, sehingga tanpa sedar, banyak masa telah disia-siakan.

Maka, seharusnya tiap-tiap manusia itu merebut kesempatan selagi tubuh itu merasai nyawa. Beramallah kamu sebanyak yang mungkin, moga bekalan yang dikumpul akan menyenangkan perjalanan di hari muka. Patuhlah kepada setiap suruhan-Nya, moga sesalan tidak menjengah saat mati itu menghampiri kita. Sesungguhnya, hanya amal sahaja yang akan menyelamatkan tiap-tiap manusia itu mengahrungi saat yang menggerunkan dengan cara yang mungkin dipermudahkan.

Muhasabahlah diri. Apakah benar solat yang wajib itu telah dilaksanakan dengan sempurna? Jika sempurna pula, apakah solat itu benar-benar solat yang diterima-Nya? Apakah aurat itu telah sepenuhnya ditutup? Jika ditutup, apakah sempurna aurat itu dilindungi? Apakah mulut berbicara itu senantiasa mengungkapkan keindahan? Atau dipenuhi dengan sumpahan yang hanya menghancurkan ukhwah?

Bagaimana pula dengan pandangan kita? Apakah benar mata itu melihat yang halal sahaja? Apakah haram itu langsung tidak menjadi tatapan mata?

Bagaimana pula dengan tangan? Apakah tangan itu tidak melakukan sebarang kemungkaran? Apakah tangan itu adalah tangan yang menghulurkan bantuan, atau mungkin tangan yang mendatangkan kehancuran?

Sama-samalah kita mengubah diri. Jadikan segala dosa lalu sebagai satu kesilapan yang tidak akan diulang. Jadikan segala amal yang dulu sebagai pemangkin untuk meningkatkan lagi ibadah sekarang. Rebutlah peluang selagi mempunyai kesempatan.

Jangan biarkan sesalan itu muncul di fikiran, saat nyawa itu sedang tertanggal dari tubuh. Maka itulah manusia yang paling rugi di dunia dan di akhirat. Ingatlah, hidup ini akan senantiasa dihantui dengan kematian kerana mati itu adalah satu kejutan yang hanya dimiliki haknya oleh Allah yang Maha Esa.

Sekadar berfikir di hari Jumaat, bermuhasabah seketika mengenangkan segala yang telah diharungi. Moga Allah bersama kita supaya terus berada di bawah rahmat-Nya sehingga di hujung nyawa.

Insyaallah.







*’Muhasabah Jumaat’ merupakan ruangan yang akan dipaparkan setiap Jumaat menerusi blog ini. Ruangan ini akan membicarakan pelbagai isu yang dibincangkan dalam pelbagai sudut.


Sabtu, 5 November 2011

Muhasabah Jumaat berdasarkan wuduk






Bila mula berwuduk, maka di situ muhasabah boleh terjelma. Maka, bertanyalah pada diri sendiri, apa dan mengapa. Adakah dan benarkah?

Kerana wuduk itu jika dilihat dari perlambangannya, maka tergambarlah akan peribadi seorang Muslim yang sebenar.

Mulut yang dikumur
Ertinya, gunakanlah mulut yang ada dengan senantiasa memeperkatakan perkara-perkara baik, dan menjauhi segala fitnah dan umpatan. Gunakan mulut dengan memakan benda-benda halal dan menghindarkan segala macam makanan yang haram.

Muka yang disapu
Ertinya, gunakan wajah yang diberi untuk tujuan kebaikan, bukan dijadikan modal melakukan maksiat. Jangan jadikan wajah sebagai aset menggoda sang lelaki atau si wanita untuk memulakan mukadimah-mukadimah maksiat. Gunakan wajah sebagai tarikan bagi menunjukkan Islam itu indah.

Di wajah itu terdapat beberapa anggota deria:
  • Mata: Maka gunakan mata untuk melihat perkara-perkara yang halal. Tidak membiarkan mata itu memerhati sesuatu yang haram. Kerana mata itu, adalah pencetus utama permulaan maksiat.
  • Hidung: Maka gunakan hidung itu untuk mencium keindahan ciptaan Ilahi, moga nilai kesyukuran terhadap kebesaran-Nya akan semakin bertambah. Jangan menghidu bau-bauan yang mencetuskan maksiat, hingga hati tergoda mencetuskan penzinaan.
Anggota tangan yang disapu
Ertinya, jadikan tangan itu sebagai sumber mencari rezeki yang halal. Jadikan tangan itu menuju ke jalan keredhaan. Menggunakan tangan itu untuk membantu yang lain dan bukannya untuk menindas dan menganiaya yang lain. Menjadikan tangan itu sebagai penunjuk memberi hidayah buat mereka yang mungkin tersesat. Jangan jadikan tangan itu sebagai medium melakukan segala macam perbuatan maksiat kerana dari tangan itulah, wujud pelbagai cabang perkerjaan yang boleh dilakukan baik yang halal mahupun haram.

Kepala yang disapu
Ertinya, menggunakan fikiran ke jalan yang dapat membangunkan ummah. Tidak menggunakan fikiran untuk menindas dan menghancurkan negara. Menggunakan fikiran untuk menarik mereka yang tersesat kembali ke pangkal jalan. Bukan menjadikan fikiran bagi mencari jalan atas dasar kreativiti bagi mewujudkan segala macam perbuatan maksiat. Jangan jadikan fikiran sia-sia dengan hanya digunakan untuk kepentingan sendiri.

Telinga yang disapu
Ertinya, menjadikan telinga itu mendengar perkara-perkara yang mendekatkan diri dengan Allah. Memastikan telinga itu sebagai sumber mendapatkan ilmu. Membiasakan telinga itu mendengar dakwah-dakwah yang disampaikan, moga hati terus mengingati-Nya. Jangan jadikan telinga  itu sebagai sumber mendengar fitnah dan umpatan. Jangan menjadikan telinga itu terbiasa dengan segala macam bisikan-bisikan godaan mennghampiri kemaksiatan.

Kaki yang diratakan air
Ertinya, menggunakan kaki itu untuk melangkah kepada majlis-majlis ilmu. Menjadikan kaki itu sebagai medium menghampiri perkara-perkara yang mendatangkan faedah. Tidak menggunakan kaki itu melangkah ke tempat-tempat maksiat, dan tidak juga menjadikan kaki itu untuk mengancurkan orang lain. Kaki itu digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan dan bukan digunakan untuk memberikan penderitaan kepada mereka yang ditindas. Jadikan kaki itu melangkah sebagai ibadah, dan bukannya melangkah sebagai dosa.



Bila direnungkan kembali, saat mengambil wuduk itu, setiap insan mampu bermuhasabah diri. Apakah mereka menggunakan segala nikmat yang dikurniakan itu dengan betul?

Marilah sama-sama bermuhasabah diri. Moga menghampiri jalan yang diredhai-Nya.


Wallahualam.

'The ablution' atau wuduk



*’Muhasabah Jumaat’ merupakan ruangan yang akan dipaparkan setiap Jumaat menerusi blog ini. Ruangan ini akan membicarakan pelbagai isu yang dibincangkan dalam pelbagai sudut.
 

Khamis, 3 November 2011

Pagi Khamis dan macam-macam cerita







Gaddafi dan tafsiran rakyat Malaysia

Berita kematian Gaddafi memberi kejutan kepada dunia. Pelbagai tafsiran dihuraikan, menjustifikasikan berita pembunuhan pemimpin Libya itu. Ada yang menyatakan satu berita gembira tanda bermulanya era baru demokrasi Libya, dan ada pula yang menyatakan bahawa ini merupakan era kejatuhan Libya di tangan  kuasa-kuasa barat. Namun, semua mengakui bahawa pembunuhan Gaddafi adalahs esuatu yang tidak wajar dan kejam.

Faktanya, Gaddafi bertahan lebih 40 tahun mengekalkan kuasa, dan dalam tempoh itulah juga, pelbagai siri kediktatorannya dilakukan. Justifikasi tindakannya hakikatnya banyak diperolah dari pelbagai jurnal dan catatan perjalanan pengembara dan pelancong yang berkunjung ke Libya. Malah, banyak juga kajian dilakukan oleh badan-badan bebas serata dunia.  Tidak dilupakan juga, pelbagai buku yang diterbitkan menceritakan keadaan sebenar di Libya.

Agak melucukan apabila melihat segelintir pihak menggunakan hujah nyatakan bahawa Gaddafi seorang pemimpin yang harus disanjung dan menjadi contoh pemimpin Islam walhal majoriti rakyat Libya sendiri mahu pemimpin ini turun dari kuasanya. Bersumberkan hanya menerusi artikel di internet yang entah betul ataupun tidak, dan langsung tidak dinyatakan sebarang rujukan dan sumber maklumat yang diambil itu, maka itulah justifikasi mereka, nyatakan bahawa Gaddafi itu pemimpin yang baik.

Benar, ada sumbangan beliau yang harus dikenang, terutamanya ketegasannya menentang barat dan Yahudi, namun harus diingat, banyak juga tindakan yang tidak wajar dilakukannya. Tidak hairanlah jika Dr.Yusuf al-Qaradawi sendiri telah menyatakan bahawa Gaddafi adalah kafir dan harus ditentang.

Situasi ini terjadi apabila individu-individu ini malas untuk membaca, dan mengambil jalan mudah mendapatkan maklumat,  dengan hanya melihat menerusi internet, dan maklumat diperoleh itu diterima bulat-bulat tanpa dikaji terlebih dahulu.

Bukan mahu berat pada mana-mana pihak, namun penilaian dari kedua-dua pihak harus dilakukan sebelum mempunyai konklusi.


Muhyiddin dan labu-labunya, sama-sama terjun

Isu panas timbul di UPSI apabila Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat kenyataan bahawa 7000 kekosongan penempatan guru akan diberikan kepada Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).  Bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP), hanya tajaan KPM sahaja yang akan diberikan penempatan, manakala selebihnya harus mencari alternatif sendiri.

Hakikatnya, ketidakadilan jelas wujud. Mengapa graduan yang lebih layak dan diberikan latihan yang lebih baik dipinggirkan, manakala GSTT yang ternyata terlalu cetek ilmu mengenai dunia pendidikan diberikan keutamaan? Jika dinilai mengikut hieraki, seharusnya GSTT merupakan pilihan paling bawah.

Jika dulu, KPLI menjadi ‘pengacau’ kepada ISMP, kini GSTT menjadi ancaman baru. Hakikatnya, situasi ini akan melahirkan tenaga pengajar yang tidak cekap, dan ini kemudiannya akan memberikan kesan kepada pelajar. Bayangkan, pelajar-pelajar menjadi bosan dan tidak bermotivasi untuk belajar dek guru yang langsung tidak mempunyai asas mengenai psikologi pelajar dan pembelajaran. Maka guru-guru inilah yang digelarkan sebagai robot tanpa perasaan.

Matlamat pendidikan di Malaysia dilihat sangat bercita-cita tinggi, melahirkan pelajar yang bermotivasi dan berinovasi. Namun, dasarnya pula kelihatan berlawanan dengan matlamat yang ingin dicapai.

Soalnya, apakah Muhyiddin mempunyai kecelaruan dalam penafsiran dan tindak tanduk selaku Menteri Pelajaran? Apakah agenda sebenar beliau menerusi kenyataannya itu?

Maka, tidak hairan jika hampir lima ribu mahasiswa UPSI berhimpun nyatakan bantahan terhadap kenyataan Muhyiddin.

Ironinya, masih ada mahasiswa yang takut-takut walaupun mungkin agak marah dengan kenyataan Muhyiddin dek terfikirkan AUKU.


Perihal TESLian dan perangai-perangainya

Kelihatan pelajar TESL di UPSI seperti alien di bumi sendiri. Tidak pasti apakah memang mereka dialienatedkan, atau mungkin mereka sendiri yang mengalienkan diri. Hakikatnya, pelajar TESL kelihatan seperti terasing berbanding pelajar-pelajar jurusan lain.  Kebanyakan mereka berada dalam dunianya sendiri, dunia yang berbeza dengan dunia pelajar-pelajar jurusan lain.

Kelihatan juga pelajar TESL terpecah kepada tiga puakl dalam jumlah keseluruhan pelajarnya berjumlah hampir 150 orang. Puak ini terbahagi kepada puak Matrikulasi, puak STPM, dan puak berkecuali. Dua puak, iaitu puak Matrikulasi, puak STPM dilihat tidak banyak berhubungan antara satu sama lain, namun bagi puak berkecuali, mereka dilihat boleh bergaul dengan mana-mana puak.

Dari tiga puak ini, terpecah pula puak-puak kecil yang boleh dilihat berdasarkan kumpulan-kumpulan kelas kuliah yang dipilih. Ada sesetengah puak kecil ini tidak akan bertembung dengan puak kecil yang lain dalam kumpulan kelas kuliah yang sama.

Situasi ini bukanlah sesuatu yang negatif, kerana adalah sesuatu yang normal disebabkan angka pelajar TESL yang begitu ramai. Tidak hairan akan wujud tiga puak ini disebabkan masing-masing pasti akan mencari keserasian dalam jumlah pelajar yang ramai itu. Uniknya, tiga puak ini mempunyai personaliti dan cara bersosial yang berbeza. Namun, walaupun terdapat puak dalam TESL, hakikatnya tiada sebarang persengketaan dalam kalangan mereka.


Bak kata moto TESL UPSI, “Grow as one”. Maka TESL masih tetap bersatu walaupun terdapat puak masing-masing.


Pagi Khamis dengan soalan mengapa saya tak guna ‘saya’ dalam tulisan?

Ramai yang menyatakan kepada penulis bahawa tulisan-tulisan terkini dilihat tidak banyak menggunakan kata ganti diri ‘saya’ dalam setiap tulisan. Ada bertanya mengapa?

Hakikatnya penggunaan ‘saya’ kadangkala memberikan tafsiran negatif dalam kalangan pembaca. Jika ‘saya’  kerap digunakan, maka si penulis dilihat seperti sombong dan takbur. ‘Saya’ juga kadangkala boleh memberikan justifikasi bahawa si penulis merasakan hanya dirinya sahaja yang betul, manakala pendapat pihak lain harus diketepikan.

Semua ini adalah berdasarkan psikologi pembaca dan hakikatnya perkara ini harus diteliti supaya pembaca itu tidak merasa jengkel apabila membaca tulisan yang diterbitkan.

Maka, bagi mengelakkan daripada situasi kurang selesa itu, penulis merasakan adalah lebih baik mengurangkan penggunaan ‘saya’ dalam tulisan atau jika boleh tidak langsung menggunakannya.

Hati dan perasaan pembaca juga amat penting dalam penulisan seorang penulis.


Menilai betapa “majunya” pengangkutan di Malaysia

Bercakap mengenai sistem pengangkutan di Malaysia, ‘kebanggaan’ mungkin tercetus dalam kalangan rakyatnya. Benar, dengan kedaifan dan tidak sistematiknya sistem pengangkutan di negara ini, maka tidak menghairankan rakyat Malaysia sangat ‘berbangga’ dengan ‘majunya ‘ pengangkutan di Malaysia.

Adalah menjadi suatu kebiasaan yang mungkin tidak lagi menghairankan, jika kelewatan itu menjadi salah satu ciri utama sistem pengangkutan di Malaysia. Malah, rakyat Malaysia ternyata sudah berjaya ‘membiasakan diri’ dengan situasi ini. Maka tak hairanlah budaya lewat ini menjadi amalan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tren komuter yang menjadi ‘trauma’ penduduk Kuala Lumpur hakikatnya merupakan tren yang sama seperti yang digunakan di Jepun sekitar tahun 80-an. Begitu juga tren ETS, merupakan tren dari Korea tahun 2004. Tren Intercity pula merupakan tren tahun 70-an yang digunakan di Eropah.

Maka tidak hairanlah, sehingga kini sistem pengangkutan di Malaysia masih lagi bermasalah. Di saat negara lain berlumba-lumba mewujudkan sistem pengangkutan tren peluru (bullet train), Malaysia masih lagi terkapai-kapai membina landasan berkembar yang masih belum siap sepenuhnya.

Negara lain sepuluh tapak ke depan, negara kita masih terpinga-pinga mencari setapak ke hadapan.

Itulah ‘kemajuan’ yang ‘dibanggakan rakyat Malaysia.


Memahami ‘Janji Melayu’

Tidak dapat dipastikan sama ada secara kebetulan atau tidak, budaya rakyat Malaysia memang gemarkan kelewatan. Lihat saja dalam mana-mana majlis rasmi atau apa-apa sahaja temujanji, amat jarang untuk mendengar ketepatan masa itu. Jika ada pun mungkin jumlahnya terlalu kecil berbanding jumlah yang senantiasa lewat.

Maka tidak hairanlah jika setiap majlis atau temujanji yang ingin dibuat, peringatan diberikan kepada setiap hadirin yang dijemput supaya datang tiga puluh minit lebih awal. Malah terdapat juga sesetengah penganjur majlis sengaja meletakkan waktu mula majlis lebih awal dari waktu sebenar yang dirancang dalam tentatif. Mereka faham, hadirin pasti akan datang lewat walaupun diberi peringatan sekerap mana pun supaya hadir lebih awal.

Budaya ‘unik’ ini memang menjadi identiti Malaysia sejak dulu lagi baik golongan bawahan ataupun golongan atasan.

Ironinya, ucapan permohonan maaf atas kelewatan seringkali diucapkan, dan ternyata itu membuktikan rakyat Malaysia seorang yang berbudi bahasa.

Kata orang, itulah ‘Janji Melayu’. Janji itu, begini jadinya. Janji ini, begitu jadinya. Keunikan yang sukar dicari ganti.

(langsung dari KTM Ekspress Sinaran Utara)


* "Pagi Khamis" adalah ruangan bicara yang akan dipaparkan setiap pagi Khamis.




Macam-macam cerita bila bercerita





Khamis, 27 Oktober 2011

Pagi Khamis: Surat lamaran buat dia... (Kisah dari seorang sahabat)








Seringkali sahabat berjumpa dan bertemu luahkan perasaan. Pelbagai kisah dinyatakan sebagai satu bentuk perkongsian ringankan bebanan yang ditanggung mereka. Sebagai sahabat, semua itu tidak menjadi masalah kerana itulah tugas seorang sahabat kepada sahabatnya. Kali ini, Pagi Khamis berkongsi satu kisah berdasarkan sepucuk surat yang dikirimkan oleh seorang sahabat saya. Surat ini pada mulanya sangat peribadi, namun sahabat saya ini bersetuju untuk dikongsikan dalam blog ini dengan syarat segala isi kandungan surat itu diubahsuai agar identiti sahabat ini tidak didedahkan.



Bismillahirrahmanirrahim...

Hyep, assalamualaikum.


Sori mngganggu. Mssage ni skdr utk abg bgthu satu perkara kat Kenanga mybe agk berat jgk. Terpulang nak baca atau tak.


Mula2 sekali abang nak mtk maaf kalau2 apa yang abang nak nyatakan ni melampaui dari batas sepatutnya. Tapi yang penting, apa yang abang nyatakan ni adalah berdasarkan naluri abang n semuanya yg dibuat ni berlandaskan kepada niat kerana allah.


Perkara ni dah abg cakap dulu. Dulu rasanya Kenanga ada dpt surat yang diposkan tu. Tak pelah cos tu cerita masa abg umur 19 tahun. Sekarang ni perkara yang sama abg nak cakap n semua krna allah.


Mula2 memang abang takut nak bagitau perkara ni kat Kenanga. Tapi abang dah pernah bagitau dulu. Jadi sebenarnya perkara ni bukanlah baru. Tapi sebelum abang nak nyatakan sekali lagi, abang mtk maaf byk2 dgn surat dulu tu kalau dah byk susahkan Kenanga.


Abang sekarang dah masuk 24 tahun. Perkara ni muncul balik sejak kebelakangan ni. Bukan abang suka2 atau paksa fikir pasal perkara ni, tapi perkara ni wujud dengan sendiri. Semua ni wujud atas izin allah sendiri. Kalau allah tak izinkan, maka semua ni tak akan muncul. Kdg2 abang pun heran, kenapa abang boleh sampai terfikir pasal perkara ni. Memang abang pelik cos perkara ni muncul perlahan2. Tapi abg tau, abang tak boleh nafikan perkara ni cos itu yang dah wujud dalam diri abang sekarang ni. Jadi apa yang abang nak nyatakan ni suatu yang cukup berat tapi abang rasa abang perlu bagitau. Apa yang abang nak bagitau Kenanga ni sebenarnya dah abang bagitau dulu masa abang umur 19 tahun. Mybe Kenanga dh thu. Tapi sekarang ni abang nak nyatakan sekali lagi kat Kenanga.


Dgn nama Allah, Abang nak bgthu yg abang berniat nak jadikan Kenanga jd isteri abang. Abang bagitau dengan jujur n ikhlas. Umur abang dah meningkat n pada usia 20-an ni, memang tak salah ada niat tu. Abang cuma bgthu jer. Abang tak tau betul atau tak tindakan abang bagitau perkara ni sekali lagi, tapi abang cuma nak nyatakan saja. Memang panjang masanya abang fikir perkara ni sekali lagi, dan kali ni abang dah ada kata putus. Memang betul n ikhlas krna allah niat abang ni.


Semua yang abang buat ni datang kerana allah. Apa saja tindakan yang abang buat ni dilakukan atas petunjuk dari allah. Abang manusia biasa n banyak kelemahan. Niat abang ni datang bukan kerana nafsu atau sebab lain tapi semua tu datang kerana allah. Atas keimanan pada allah, maka abang bagitau kat Kenanga. Itu yang abang buat.


Abang tau mungkin masanya belum sesuai. Tapi abang cuma nak bagitau Kenanga saja niat abang n tak lebih dari tu. Masa sekarang yang paling penting sebenarnya belajar. Tapi abang tau yang masa belajar pun dah tak lama. Beberapa tahun lagi masa untuk bekerja pulak.


Abang fikir dengan mendalam pasal niat abang tu. Betul ke atau cuma sekadar mainan perasaan syaitan je. Abang mohon pada allah mintak diberi petunjuk. Itu yang mampu abang buat. Dan sekarang ni memang abang nampak jelas n rasa yakin dengan niat abang tu. Abang memang ikhlas dengan niat abang kat Kenanga tu. Niat abang bukan sesuatu yang ditegah dalam Islam. Islam menggalakkan. Yang penting jgak niat abang ni bukan menyebabkan abang lakukan perkara maksiat n syaitan memang tak suka dengan niat sebegitu.


Abang tau memang Kenanga akan terkejut dengan apa yang dah abang bagitau. Tak heran pun kalau nak terkejut cos siapa2 pun akan jadi macam tu jugak. Abang tak harapkan apa2 dari Kenanga cos ini soal masa depan. Hak msg2 nk tentukan masa dpn sndiri. Abang memang betul2 sekadar nak bagitau niat abang kat Kenanga je. Soal jadi atau tak, soal boleh atau tak, semua tu hak allah. Abang tak ada kemampuan untuk lakukan semua perkara cos ada sesetengah perkara di luar kemampuan abang. Apa yang abang boleh buat cuma berdoa n minta pertolongan dari allah n lakukan usaha dalam kemampuan abang je. Itu je.


Mula2 mmg abg tak berani nak ckp skali lg perkara ni. Tp brdsrkan byk bacaan yg abg dh baca, kesimpulannya, abg kena berani bagitau kat Kenanga perkara ni. Terpulanglah kat Kenanga bagaimana tafsiran Kenanga sndiri. Hak Kenanga utk dgr atau tak apa yg abg bagitau ni.


“Sesungguhnya pengetahuan tentang saat itu adalah di sisi Allah; dan Dialah yang menurunkan hujan, mengetahui apa di dalam rahim (kandungan perempuan). Dan seorang pun tiada mengetahui apa yang akan diusahakannya esok dan tiada seorang pun yang akan mengetahui negeri mana dia akan meninggal dunia; sesungguhnya Allah itu cukup mengetahui dan cukup mengerti”

(Surah Lukman, ayat 34)

Abang manusia lemah. Semua yg berlaku atas izin allah. Semua yg akan berlaku adalah dengan kekuasaan allah. Jadi mcm soal ni jgk, semuanya atas ketentuan allah. Bukan abang yang mtk tp allah yang beri izin. Abang tahu soal mcm ni bkn satu perkara yg mudah. Abang tak boleh paksa orang lain cos tu di luar kemampuan abang. Abang cuma lakukan dalam kemampuan abang maksudnya apa yang abang tahu je. Abang tak tahu apa yang orang lain fikir cos tu hak allah, tapi abang tahu apa yang abang fikir. Jadi apa yang ada dalam fikiran tulah yang abang cuba sampaikan.


Ingat, abang hanya menyampaikan niat abang saja n tak lebih dari tu. Bukan nak memaksa Kenanga untuk terima apa yang abang cakap cuma sekadar menyampaikan apa yang abang rasa perlu sampaikan. Mungkin juga masa ni masih tak sesuai cakap pasal perkara ni. Tapi abang cuma nak bagitau saja kat Kenanga.


Memang tak ada niat lain cuma nak bagitau perkara tu je. Soal tu memang cukup berat tapi abang tau apa yang abang buat ni adalah atas petunjuk dari allah. Jadi walau apa yang berlaku lepas ni, abang redha cos tu juga ketentuan allah. Abang tau, bila abang cakap prkara ni, mungkin perkara ni agak melampaui dari keadaan. Tapi abang pegang pada satu prinsip, ‘kepercayaan pada allah’ cos apa yang abang buat ni memang atas petunjuk dari allah.


Memang betul ni kali kedua abang cakap perkara ni. Memang abang serius cakap perkara ni. Tapi Kenanga tak perlu rasa lain mcm lepas kali kedua abg cakap perkara ni cos mcm yg abg nyatakan td, abg skdr nak bagitau je.


Apa yang abang buat ni adalah berdasrkan petunjuk dari allah. Semua tindakan yang abang buat ni bukan berdasrkan tindakan sendiri tapi mengikut petunjuk dari allah. Semua yang abang buat kerana allah.


Sori kalau surat ni buat Kenanga jd tak slesa. Masa jd stdent ni, hrp2 apa yang abang bagitau ni tak mengganggu studi Kenanga. Yg penting blajar sebaik mngkin cos mcm yg pernah abang ckp dulu, tak ramai yg ada peluang utk belajar. Surat ni cuma sampaikan niat abang je berkenaan soal tu. Selebihnya abang tak mtk apa2.


Apa yang abg bgthu ni x akan ubah apa2. Hope keadaan mcm dulu jgk. Hope Kenanga x rasa lain mcm plk lpas ni.


Abang minta maaf byk2 kalau ada slh or silap dulu. Sekali lagi abang cakap niat abang ni ikhlas n kerana allah. Abang cuma nak bagitau je niat abang ni. Selebihnya tu adalah hak Kenanga sendiri...


Walau apa pun yg akan berlaku, abang redha dgn takdir allah cos allah maha berkuasa.


K, tu jer..


Wallahhu’alam.


Wassalam...



Apabila membaca surat ini, perasaan terharu dirasai. Bagi saya, memang sahabat ini ikhlas meluahkan rasa hatinya. Seorang sahabat lain (wanita) menyatakan bahawa kandungan surat ini sangat menyentuh perasaan dan sangat romantis baginya. Wallahualam mungkin ada kebenarannya. Bagi saya, sahabat ini telah menggunakan medium tulisan sebagai satu cara meluahkan lamarannya. Itu adalah gaya dan caranya.

Persoalan yang timbul, adakah Kenanga menerima lamaran sahabat saya ini?

Insyaallah, akan dikongsikan dalam siri bicara akan datang.


 * struktur ayat ini memang banyak menggunakan singkatan kerana itulah bentuk tulisan yang ditulis oleh sahabat ini menerusi suratnya kepada Kenanga.




* "Pagi Khamis" adalah ruangan bicara yang akan dipaparkan setiap pagi Khamis.




Jumaat, 21 Oktober 2011

Muhasabah Jumaat: Jodoh 2.0








Sejauh manakah soal jodoh itu menjadi satu keutamaan di saat umur semakin meningkat?

Itulah persoalan yang mula akan timbul bila fitrah itu semakin menghampiri. Soal berpasangan adalah sesuatu yang indah bila diperkatakan. Malah, ada yang menganggap bila hati telah diikat, maka itulah syurga dunia yang sebenar. Keindahan dan kesenangan hati, ditambah pula dengan keserian insan-insan baru ke dunia tika jiwa bersatu membentuk talian darah yang baru.

Jarang diperkatakan soal sejauh mana akan tiba saat jodoh itu semakin menghampiri seseorang. Hakikatnya, manusia itu punyai kisah berbeda, dari satu pihak ke pihak yang lain, maka akan muncullah pelbagai versi ayat-ayat cinta yang menggambarkan kisah pertemuan jodoh masing-masing.

Saat perjalanan panjang di atas tren menuju ke Taiping, terlintas di fikiran, apakah akan bertemu sesuatu yang indah seperti yang diimpikan? Apakah hasrat bertemu seseorang yang cukup sempurna akan terlaksana? Wujudkan sang Thahirah yang digambarkan dalam kisah-kisah fanatik tentang hati sebelum ini? Benarkah apa yang di hati, akan datang ke hati?

Ada pula bicara huraikan satu hujah. Kadangkala apa yang diimpikan tidak akan tercapai sama sekali, kerana tak semua hasrat dan hajat itu akan termakbul secara tunai seperti yang dipohonkan dalam doa setiap kali solat lima waktu. Kata mereka, kadang kala, akan muncul satu kisah lain yang menggantikan impian itu. Kisah yang muncul itulah mendatangkan kebahagiaan hati seseorang.

Memikirkan pengalaman dan liku-liku mencari soal ketenangan hati, adalah satu fitrah untuk merasai perkongsian hati dengan seorang wanita mahupun seorang lelaki. Sang wanita akan melabuhkan hatinya pada si lelaki, dan sang arjuna menyelitkan jiwanya pada si gadis pilihannya. Perkongsian ini cukup indah sehingga ada yang membicarakan bahawa indah itu tak terucap.

Soalnya, bagaimana kita mencari si hati yang ingin dikongsi itu? Selarikah dengan prinsip kehalalan, atau jodoh itu muncul tika dosa itu menyelimuti sang pasangan dilamun cinta. Harus diakui, jika mulanya haram, maka penyudah kepada kisah alam rumah tangga juga pasti hilang berkatnya. Ada yang berkata, bila banyak yang haram dibuat saat hangat bercinta, maka seri berumah tangga seolah-olah telah direntap. Itulah yang mewujudkan kebosanan sehingga si suami melepak di warung mamak sehingga ke jam tiga pagi, dan si isteri pulang lewat petang dek asyiknya mengadakan forum tak bertauliah, dengan isinya betemakan umpatan si polan dan si polan.

Kata orang, cari jodoh adalah lebih rumit, sehingga ada yang tak mahu memeningkan kepala dengan terus mengekalkan taraf diri sebagai seorang yang solo.  Hati tak terisi, dan akhirnya mengalami krisis diri sehingga ada yang melakukan perkara di luar jangkaan. Maka, itulah yang terjadi saat kesunyian terasa, dan penyudah diambil dengan memuaskan hati dengan gelumang dosa.

Benar, jodoh pendinding kemaksiatan. Namun, jodoh tak menjamin bahawa maksiat akan ditinggalkan.

Maka, apa kesudahannya?

Akan tiba masanya hati akan bahagia. Akan tiba saatnya, kebahagian menghiasi kehidupan. Akan muncul detiknya, dia akan senantiasa tersenyum, gambarkan betapa gembiranya jiwanya. Soal perasaan adalah sesuatu yang sulit jika mahu dirungkaikan. Dia akan ketemu, dan pasti dia akan tenang saat jodohnya telah ketemu.

Bagaimana kisah sang Thahirah yang didambakan, hingga wujud naskah-naskah cinta, selitkan mesej nyatakan bahawa dia mengangkat si Suci ke tahap tertinggi?

Hakikatnya sang Suci itu hanyalah satu khayalan saat mata dan hatinya terperangkap dengans seribu persoalan dalam kekusutan masalah. Masalah yang menyelimutinya itulah yang mengganggu jiwanya hingga dia tersalah tafsiran menjadikan si Suci sebagai jodohnya pada masa akan datang.

Benar, proses mencari jodoh itu masih berterusan, dan akan terus berlaku sehingga munculnya bidadari di matanya. Dia tahu, memang sukar mencari hati sang wanita yang banyaknya telah diikat oleh si jejaka yang lain, namun dia sedar jodohnya akan ketemu juga satu hari nanti. Dia memang belum ketemu pasangan hatinya, dan kesabaran itu adalah kunci kepada ketenangan jiawa di masa akan datang.

“Setiap yang sabar, akan lahirnya satu kenikmatan”

Gadis di sebelah terus tersenyum saat melihat tarian pena di atas kekunci-kekeunci netbook ini berlangsung. Gadis manis menuju ke utara, dan saya dengan sabar menunggu perjalanan yang tinggal satu jam lagi. Percayalah sang gadis di sebelah itu, andai kamu masih belum dimiliki, tak mustahil mungkin kamu menjadi jodohku.

Ah, semua boleh terjadi kerana hanya Dia yang Maha Berkuasa merencanakan perjalanan hamba-Nya ini.

Ditutupnya bicara dengan satu permulaan bicara dari sang gadis itu.

“Dari mana nak ke mana?”

“Dari hati dan menuju ke jiwa”

Itu jawapan monolog diberi sambil senyuman dikuntumkan. Sang gadis, kamu sekadar inspirasi mencetuskan bicara jodoh ini.

KTM- Ekspress Sinaran Utara


Who is she? My old bestfriend perhaps.






*’Muhasabah Jumaat’ merupakan ruangan yang akan dipaparkan setiap Jumaat menerusi blog ini. Ruangan ini akan membicarakan pelbagai isu yang dibincangkan dalam pelbagai sudut.

Khamis, 20 Oktober 2011

Tudung dan artis: Memahami erti sebenar menutup aurat







Kini,  seringkali kedengaran perubahan demi perubahan yang ditonjolkan oleh golongan artis. Banyak dari kalangan artis wanita kini telah mempunyai kesedaran akan tanggungjawab untuk memenuhi tuntutan agama. Maka, pemakaian tudung dalam kalangan artis telah kelihatan seperti menjadi satu trend sehingga kejanggalan dalam pemakaian tudung oleh kaum wanita seolah-olah telah hilang pada hari ini. Namun, hakikatnya walaupun perkembangan ini menandakan bahawa nilai Islam itu semakin berjaya diserap dalam golongan artis, masih terdapat kepincangan yang harus diteliti. Soal tatacara dalam pemakaian tudung kelihatan masih banyak yang perlu diperbaiki kerana hakikatnya, tudung yang dipakai oleh kebanyakan mereka masih belum memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki syarak.

Menutup aurat harus difahami dengan sepenuhnya. Mengikut syarak, menutup aurat dalam kalangan wanita bermaksud menutupi keseluruhan tubuh dan bentuk tubuh kecuali tapak tangan dan muka dari pandangan lelaki mahram.  Jika dilihat pada pengertian ini, maka amat jelaslah bahawa menutup aurat itu bukan sekadar hanya dengan menutupi rambut menggunakan tudung kepala, namun bahagian anggota tubuh yang lain juga perlu ditutup. Maka, jika dilihat kepada trend pemakaian tudung dalam kalangan artis wanita di negara ini, amat jelaslah bahawa kebanyakan dari mereka masih belum sempurna dalam memenuhi tuntutan menutup aurat yang diwajibkan dalam Islam.

            Banyak dalam kalangan artis wanita yang bertudung masih lagi mendedahkan bahagian tubuh yang sepatutnya ditutup dari pandangan umum. Bahagian seperti lengan dan tengkuk seringkali didedahkan atas nama untuk berfesyen. Hakikatnya bahagian tersebut wajib ditutup, dan jika didedahkan, maka aurat mereka masih belum sempurna ditutup. Sesetengah dari mereka juga masih lagi mengenakan pakaian yang ketat sehingga menampakkan susuk tubuh mereka. Malah, trend pemakaian baju yang jarang terutama bagi pakaian tradisional dalam kalangan artis yang bertudung ternyata memberi pengaruh yang negatif kepada masyarakat. Alasan yang diberikan mudah, iaitu mahu mempelbagaikan variasi fesyen bagi wanita yang bertudung. Namun, walaupun wujud variasi fesyen tersebut, hakikatnya variasi itu hanya merosakkan tujuan menutup aurat itu sendiri.

            Masalah yang timbul ini berpunca daripada pemahaman yang cetek tentang ilmu agama dalam kalangan artis itu sendiri. Kebanyakan artis ternyata mempunyai niat yang murni untuk berubah, namun niat itu tidak diikuti dengan usaha untuk memantapkan ilmu di dada. Maka akan wujudlah kekeliruan dan salah tanggapan tentang konsep menutup aurat yang sebenar. Hal ini jugalah yang mewujudkan percampuran fesyen barat yang diserapkan ke dalam fesyen muslimah yang pada hakikatnya tidak semua fesyen barat yang diserap itu memenuhi syarak. Masalah ini wujud juga disebabkan oleh kreativiti pereka fesyen itu tidak diselusuri dengan penguasaan ilmu agama yang mantap terutama dalam soal tatacara menutup aurat mengikut  hukum syarak yang sebenar. Maka inilah yang mewujudkan fesyen muslimah berlandaskan buah fikiran sendiri tanpa dipandukan dengan panduan agama yang jelas. Kesannya, fesyen muslimah itu ternyata menyimpang jauh dari tujuan asal iaitu menutup aurat dengan sempurna.

            Masyarakat hakikatnya seringkali menjadikan golongan artis sebagai idola mereka. Maka, seharusnya golongan artis wajar memberikan contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat. Setiap fesyen dan gaya pakaian yang ditonjolkan mereka pasti akan menarik perhatian ramai. Oleh itu, golongan artis wajar berhati-hati untuk berfesyen turutamanya artis wanita, supaya fesyen yang dipopularkan oleh mereka tidak bertentangan dengan tatacara menutup aurat yang sebenar. Selain itu, pereka fesyen juga  perlu memahami sepenuhnya terhadap tatacara menutup aurat mengikut syarak yang sebenar. Pemahaman ini amat penting supaya segala bentuk fesyen baru yang diperkenalkan itu tidak lari dari konsep menutup aurat yang sebenar.

            Perkembangan pemakaian tudung dalam kalangan artis wanita pada masa ini seharusnya menunjukkan bahawa kesedaran dalam memenuhi tuntutan agama itu semakin meningkat. Hal ini juga membuktikan bahawa elemen dan gaya hidup Islam semakin mudah diterima masyarakat. Oleh itu, seharusnya golongan artis wanita wajar memberikan tauladan yang baik kepada masyarakat dengan memberikan imej yang sempurna selaku muslimah yang menutup aurat. Tidak salah untuk berfesyen, namun fesyen itu haruslah bertepatan dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak. Hakikatnya, menutup aurat itu mudah, namun ketelitian dalam menutupnya dengan sempurna haruslah diambil perhatian. 


* "Pagi Khamis" adalah ruangan bicara yang akan dipaparkan setiap pagi Khamis.