Sabtu, 1 September 2012

Perkongsian mengenai UPSI buat bakal mahasiswa UPSI

(Entri ini ditulis pada 9 Januari 2012, dan telah dikemaskini pada 14 Julai 2013)



Tak lama lagi, mahasiswa baru akan mendaftar. Maka, tahun demi tahun, barulah dirasakan bahawa penulis semakin lama semakin menghampiri di penghujung pengajian. Menjelang Julai ini, penulis akan memasuki semester 7, yakni semester praktikum dengan jurusan TESL di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Selain daripada kontroversi yang pernah berlaku, yang tercetus oleh senior TESL bernama Adam Adli, hakikatnya UPSI telah lama bertapak dan dikenali sebagai asas kepada lahirnya tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan.  Gerakan nasionalisme negara tercipta dan bermula di UPSI. Sejarah itu tak boleh dipadam.

Banyak juga perkara yang mungkin agak sinonim bila menjadi pelajar UPSI. Perkara yang selalu dibicarakan pastilah mengenai bas di UPSI. Rata-rata berpendapat, servis bas di UPSI ‘sangat’lah ‘memuaskan’. Kadangkala berjam menunggu, sampai di akhirnya terpaksa menumpang orang lain dek lambat sampai. Isu ini masih belum selesai, sejak penulis menjadi pelajar UPSI pada tahun 2010.

Namun pada awal Mac 2013 yang lalu, isu bas dilihat hampir selesai apabila tender baru dibuka, dan pengurusan bas Kiffah mengambil alih pengurusan bas sebelumnya. Sejak itu, masalah bas tidak terlalu ketara berlaku. Oleh itu, para mahasiswa UPSI tidak lagi berhadapan dengan masalah yang melanda sebelum ini.

Perihal bas juga menyaksikan sesi ‘adab’ yang sememangnya berkiblatkan ‘mentaliti dunia ketiga’. Jangan difikir soal beratur, kerana istilah tersebut dibuang begitu sahaja andai mahu menaiki bas UPSI. Andai kalian pelajar lelaki, maka azabnya bertambah. Harus difahami, bas UPSI didominasi oleh pelajar perempuan. Maka, mungkin ada waktunya, anda menjadi satu-satunya pelajar lelaki yang menaiki bas yang dipenuhi penumpang wanita.

Mungkin disebabkan faktor dominasi inilah, maka ramai pelajar lelaki memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri. Lagipun, orang lelaki tahap sabarnya kurang berbanding perempuan. Tunggu bas beberapa minit pun dilihat menyusahkan. Mungkin itu sebab penulis kini menggunakan kenderaan sendiri untuk bergerak.

Formulanya mudah andai mahu senang untuk menaiki bas. Tunggu awal untuk menaiki bas, sekurang-kurangnya satu jam sebelum kelas bermula. Kerana satu jam itulah yang diperlukan (dari menunggu bas sehinggalah berjalan menuju ke kelas) untuk pelajar bergerak ke kampus (kampus lama) sekiranya anda tinggal di Kolej Za’ba, dan Kolej Aminuddin Baki. Tidak dilupakan juga buat penghuni kolej baru Kolej Ungku Omar, dan Kolej Harun Aminurrashid yang sememangnya agak jauh kedudukannya dari kampus lama. Namun, untuk ke kampus baru, jaraknya sangatlah dekat kerana kedudukannya hanya di sebelah.

Jika semester lepas, kuliah di bangunan Proton City telah tiada, kini bagi semester depan menyaksikan kelas di Taman Bernam juga telah tiada. Maka, azab menaiki bas untuk ke sana tiada lagi. Harus diakui, sangat sukar untuk mendapatkan bas ke Taman Bernam dari Pintu Timur  kampus lama. Dengan ketiadaan kelas di sana, maka mungkin beban ini akan berkurangan.

Kampus baru pastinya akan berfungsi dengan lebih banyak lagi selepas ini. Penulis merupakan pelajar TESL di bawah Fakulti Bahasa dan Komunikasi. Malangnya, semua pelajar FBK akan berkuliah hanya di kampus lama.

Kata orang, makanan di Tanjung Malim agak mahal. Tak dapat dipastikan, namun jika dibandingkan dengan harga di tempat lain, Tanjung Malim masih lagi berpatutan.

Seperkara lagi, UPSI senantiasa dilanda hujan disebabkan faktor geografinya. Maka, seeloknya senantiasalah membawa payung terutama buat mereka yang menaiki bas. Tak kira lelaki ataupun perempuan, payung perlulah senantiasa ada.

Bagi yang ditempatkan di Kolej Za’ba dan Kolej Aminuddin Baki, maka selamat datang diucapkan. Kolej kediaman di kawasan bukit ini senantiasa menyajikan panorama dan atmosfera yang cukup indah buat penghuninya. Andai dingin melanda di malam hari, mungkin di paginya anda akan dapat menyaksikan kabus yang menyelimuti kawasan kolej. Semestinya jarang sekali suasana panas dirasai di malam hari, kerana angin dingin di kawasan bukit ternyata beri keselesaan.

Banyak kemudahan disediakan di KZ. Mesin basuh dan pengering, water cooler, mesin air dan semestinya kafe serta koperasi. Kediaman juga agak selesa dengan tiga bilik, berkonsepkan kediaman apartment. Pendek kata, kolej kediaman di UPSI sangat selesa jika dibandingkan dengan kolej kediaman di universiti yang lain.

Kalian mungkin agak beruntung kerana dapat menikmati kampus baru yang telah dibuka pada awal tahun 2012. Di kampus ini, segalanya cukup hebat dan kemudahan yang disediakan agak memuaskan. Apa yang penting, dengan pembukaan kampus baru, maka UPSI juga kini memiliki masjidnya sendiri.

Penyediaan Wifi di UPSI juga agak memuaskan terutamanya di kolej kediaman. Masalah Wifi kini berjaya dikurangkan, dan lebih mudah menggunakannya berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ada yang berkata UPSI itu maksudnya Universiti Pertemuan Suami Isteri. Mungkin juga, kerana ramai bertemu jodohnya di sini. Namun, soal akademik perlu diutamakan. Istilah itu sekadar dipopularkan untuk menambahkan seri di UPSI sahaja.

Kampus baru UPSI terletak di Proton City. Kawasan Proton City agak besar, dan di situlah terdapat Taman Tasik PC. Itulah satu-satunya taman rekreasi yang terdapat di Tanjung Malim. Setiap petang, ramai yang berkunjung ke sana untuk beriadah. Namun pastikan bukan’ riadah’ lain yang dibuat.

Pada hari Sabtu, rajin-rajinlah ke pekan kerana terdapat pasar malam di sana. Agak besar juga pasar malam ini.

Bagi rangkaian makanan segera, di Tanjung Malim hanya terdapat KFC, Secret Recipe, dan Pizza Hut sahaja. Tuutti Frutti baru sahaja dibuka awal tahun 2013. Namun itu sudah mencukupi walaupun mengharap akan muncul McDonald’s di Tanjung Malim satu hari nanti.

Stesen KTM terletak tidak jauh dari kampus lama, dan ini memudahkan untuk kalian bergerak ke Kuala Lumpur menggunakan tren. Perkhidmatan komuter disediakan di sini.

Penulis kini berada di tahun keempat, di semester tujuh. Setelah hampir tiga tahun di UPSI, inilah sedikit ulasan yang dapat dikongsikan buat bakal mahasiswa UPSI. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Disebabkan itu, penulis memberi jaminan pengalaman kalian di UPSI adalah sesuatu yang cukup indah untuk dilalui.

Nasihat penulis buat mahasiswa baru, nikmati pengalaman sewaktu minggu orientasi nanti kerana pengalaman tersebut adalah sekali sahaja sewaktu berada di UPSI. Pada waktu itu sajalah seluruh pelajar baru akan dikumpulkan. Selepas itu, masing-masing akan sibuk membawa diri masing-masing.

Moga ketemu kalian nanti. Mungkin boleh bersahabat dengan kalian semua.

Selamat datang, dan salam maju jaya dari penulis.

Wassalam.


(Muhammad Yazid Rosly, Kolej Za’ba, Semester 5, TESL) [2012]
(Muhammad Yazid Rosly, SMK Dr. Burhanuddin, Semester 7, TESL) [2013]




Kampus Sultan Abdul Jalil (Kampus Lama UPSI)


Bangunan Suluh Budiman, mercu tanda buat UPSI


Bangunan Canselori UPSI

Bangunan E-Learning

Perpustakaan Bainun dan Auditorium

Bangunan Malim Sarjana

Suluh Budiman dari bangunan E-Learning

Bilik kuliah di E-Learning
Aras satu di E-Learning

Pintu Selatan Kampus Sultan Abdul Jalil



Kampus Sultan Azlan Shah (Kampus Baru UPSI)

Masjid UPSI



Salah satu bangunan fakulti di kampus baru

Bangunan blok 3

Dewan Besar UPSI


Dataran Kawad UPSI

Pemandangan dari bawah





Pintu masuk utama Kampus Sultan Azlan Shah



Kolej Kediaman Za'ba









Kolej Ungku Omar (KUO) dan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR)



Pemandangan dari tingkat 5 KHAR


Kolej Ungku Omar menjelang senja

 
Masjid UPSI di sebalik Dewan KUO


KHAR menjelang malam

KUO diselebungi kabus pagi

 
Kunci rumah KUO









Langit jingga di kala senja





Dewan Ungku Omar