Ahad, 28 Disember 2014

"Adina (Bicara Tiga Puluh Lima)"





Kadang-kadang, dalam bahagia itu ada derita dan bila derita itu ada bahagia. Kadang-kadang, dalam bahagia itu ada bahagia dan bila derita ada lagi derita. Kadang-kadang, yang bahagia itu derita dan yang derita itu bahagia. Walau apa pun maksud derita dan bahagia, semuanya bergantung kepada kekuatan hati masing-masing. Sejauh mana  kekuatan diri menerimanya, maka itulah maksud derita dan bahagia.

“Dengan nama Allah, maka permudahkan urusanku...” bisik hati kecil Abyatina.

Maka serentak dengan itu, nama Abyatina diumumkan.

“Siti Abyatina binti Yusman”

Senyuman dikuntumkan selebar-lebarnya. Wajahnya ternyata penuh berseri. Hatinya tidak dapat dibendung merasai kegirangan tak terkata. Saat itu jantungnya berdegup kencang tanda keterujaan tatkala berjalan menaiki pentas. Itulah saat Abyatina yang sukar untuk dilupakannya. Detik menerima segulung ijazah itu merupakan satu penciptaan kenangan yang paling indah. Tiada kata yang mampu mengungkapkannya, hanya senyuman yang terus ditunjukkan di wajahnya.

“Alhamdulillah.Tahniah buatmu...” ucap Raiqah yang melihat dari jauh saat Abyatina menerima ijazahnya. Masing-masing terpaku seketika melihat Abyatina di atas pentas.

Tidak lama selepas itu, nama Rizqullah pula disebut. Maka suami Abyatina itu pula mula menaiki pentas. Berbeza dengan Abyatina yang sangat ceria saat menaiki pentas, wajah Rizqullah tampak tenang dan bersahaja. Sedikit senyuman terukir namun tidaklah seperti senyuman Abyatina yang benar-benar nampak kegembiraannya. Barangkali Rizqullah tidak seperti Abyatina. Walaupun di hari gembira, keceriaan yang dirasakan Rizqullah tidak benar-benar ditonjolkan hari itu.

“Kenapa Abang Riz nampak macam tak seronok saja? Ada yang tak kena ke?” soal Zabarjad sebaik melihat reaksi wajah Riqullah sewaktu menerima ijazah di atas pentas.

“Mungkin itu sifatnya. Banyak menyembunyikan apa yang dirasakannya...” balas Raiqah.

Hakikatnya, Raiqah tahu akan perihal Rizqullah adik iparnya itu. Di sebalik wajah Rizqullah itu, tersembunyi pelbagai rahsia yang mungkin banyak dipendamnya. Itulah yang difahami Raiqah sewaktu pertemuan di sebuah restoran di Pulau Pinang satu masa dahulu. Di pertemuan itulah, Rizqullah berkongsi kisah silam perkahwinan pertamanya kepada Raiqah. Hakikatnya, kisah itu menjadi rahsia yang disimpan Rizqullah untuk sekian lamanya. Dari saat itu jugalah, fahamlah Raiqah akan perihal personaliti yang dimiliki Rizqullah itu.

“Tapi Jad rasa macam ada yang tak kena dengan Abang Riz. Macam sedang fikirkan sesuatu...” bicara Zabarjad.

“Kenapa Jad cakap macam tu?”

“Entahlah... sejak dari rumah Abang Zaf lagi, Jad nampak Abang Riz banyak berdiam saja. Tak banyak bicara. Banyak mengelamun,” terang Zabarjad.

Perihal yang dinyatakan Zabarjad itu ternyata tidak disedari Raiqah sebelumnya. Pada pandangannya, Rizqullah dilihat seperti kebiasaannya. Barangkali telahan matanya itu silap. Mungkin ada benarnya bahawa Rizqullah sedang memikirkan sesuatu. Mungkin juga sedang melalui detik kerisauan.

Namun, kesemua itu masih kekal tak terjawab kerana istiadat konvokesyen USM sesi petang itu masih lagi diteruskan. Hakikatnya, petang itu sahaja, seramai hampir lima ratus graduan menerima ijazahnya. Tempoh panjang penerimaan ijazah itu menyebabkan ada sesetengah hadirin mula dilanda kebosanan dan keletihan. Maka kedengaran juga saat itu sesetengah tetamu berbual-bual.

“Mana abangmu Absyar?” soal Raiqah tiba-tiba. Baru saat itu Raiqah menyedari akan ketidakhadiran adiknya itu di dewan tersebut. “Mana pula si Tasha?”

“Mungkin Abang Syar dengan Kak Tasha ada di bahagian lain...” balas Rafiqin.

Hakikatnya, di waktu itu Absyar berada dalam kekalutan. Situasi tak terduga terjadi menyebabkan Tasha dibawa dengan ambulans menuju ke hospital. Secara tiba-tiba isteri Absyar rebah tatkala baru sahaja tiba di pintu masuk dewan. Tidak tahu puncanya, maka sepanjang perjalanan di dalam ambulans itu, fikiran Absyar benar-benar dalam persoalan.

“Apa sakitmu? Apa sebabnya? Kenapa jadi macam ni?”

Persoalan demi persoalan muncul.

Kekecohan memang berlaku di luar pintu dewan tersebut. Namun, dengan tindakan pantas paramedik yang bertugas, segalanya kembali seperti biasa. Mungkin disebabkan itu jugalah maka ahli keluarga Abyatina yang berada di luar dewan tidak mengetahui akan perkara yang menimpa Tasha itu. Arfan, suami Raiqah bersama anak-anaknya masih terus asyik melayani ekspo konvo yang diadakan berhampiran. Begitu juga Zaafarani, masih terus sibuk melayani anak-anak  bersama isterinya di luar dewan. Hakikatnya, mereka sendiri tidak tahu akan kekecohan yang terjadi di waktu itu.

Bukan sesuatu yang selalu berlaku buat keluarga Arfan dan keluarga Zaafarani menghabiskan masa sebegitu. Apatah lagi untuk berada dalam kampus USM, maka peluang yang ada itu dilihat bukan selalu dirasai. Mungkin disebabkan itu jugalah, maka baik Zaafarani mahupun Arfan, mereka menjarah ke serata tempat di sekitar kampus, meninjau-ninjau dan melihat-lihat suasana di persekitaran kampus. Namun, di akhirnya kepenatan dirasai, ditambah pula dengan kerenah anak-anak masing-masing, lantas mereka berehat sahaja di masjid USM. Di situlah, mereka merehatkan diri sementara menanti majlis konvokesyen Abyatina dan Rizqullah berakhir.

Menjelang petang, setengah jam selepas masuknya waktu Asar, maka tamatlah istiadat konvokesyen pada petang itu. Tamatnya sesi tersebut menandakan juga bahawa Abyatina dan Rizqullah secara rasmi menjadi alumni bagi USM. Di saat itu juga, mereka kini bergelar graduan berijazah. Namun di saat itu jugalah, Abyatina dan Rizqullah bergegas-gegas keluar dari dewan.

“Jom kita solat dulu..” bicara Rizqullah kepada Abyatina.

Mereka terus menuju ke masjid dengan hanya berjalan kaki. Dengan masih berjubah konvo, maka mereka dilihat melawan arus. Tatkala para graduan lain mulai sibuk berdiri di luar dewan untuk bergambar dengan ahli keluarga yang lain, situasi itu berbeza buat Abyatina dan Rizqullah. Bagi mereka, keutamaan solat menjadi tujuan utama ketika itu.

“Mananya Abyatina? Mananya Rizqullah?” soal Raiqah terpinga-pinga mencari Abyatina dan Rizqullah sebaik dirinya keluar dari dewan.

Kisah seterusnya masing-masing berkumpul di masjid. Setelah semua selesai bersolat Asar, maka barulah sesi bergambar berlangsung. Zabarjad menjadi jurugambarnya. Memang itulah kepakaran yang ada pada adik Abyatina itu. Walaupun tidak pernah mempelajari bidang fotografi secara formal, namun disebabkan pengalaman dan minat yang ada, maka Zabarjad dilihat telah cukup mahir untuk mengambil gambar.

“Jad orangnya pandai dalam fotografi. Tapi sayang... kalaulah dia habis sekolah dulu...” luah Raiqah saat sesi bergambar itu baru sahaja berlangsung. Secara tiba-tiba Raiqah menyatakan perihal kisah lama Zabarjad adiknya itu.

“Bukan dia tak pandai... Cuma, mungkin takdirnya macam tu,”balas Abyatina saat mendengar luahan kakaknya itu. “Kita cuba merancang... tapi sebaik-baik perancangan datangnya dari Allah”

Ada betulnya bicara Abyatina itu. Hakikatnya kisah silam Zabarajad mencipta satu sisi kekecewaan dalam keluarga Ustaz Man. Sebolehnya perihal kisah lama itu tidak akan lagi dinyatakan untuk masa akan datang. Namun, secara spontan kisah itu tercetus kembali di bibir Raiqah. Barangkali rasa kasihan muncul di fikiran Raiqah saat itu.

“Zabarjad orangnya pandai. Waktu sekolah dulu bukannya sebarang pelajar. Jadi harapan sekolah... contoh pelajar lain...” kata Raiqah.  “Tak sepatutnya Jad akhirnya jadi begini...”

“Semua takdir... semuanya ketentuan...” bicara Abyatina. Saat itu, Zabarajad memanggilnya untuk diambil gambar bersama Rizqullah. Abyatina dan Rizqullah telah bersedia untuk bergambar, lengkap dengan pakaian konvo berjubahnya.

Wajah Abyatina saat itu cukup ceria. Senantiasa tersenyum dan kadangkala ketawa. Bagi Rizqullah wajahnya sedikit serius walaupun masih ternampak ceria di wajah. Rizqullah dilihat cuba mengawal reaksi wajahnya. Barangkali rasa segan wujud untuk menonjolkan kegembiraan yang dirasainya ketika itu.

Namun, berbeza pula Raiqah. Masih lagi sedikit sugul terutama selepas terkenang kembali kisah silam Zabarjad. Entah kenapa, saat itu Raiqah tiba-tiba menjadi sedikit emosional.

“Apa kisah silam Zabarjad tu?” soal Rizqullah selepas Abyatina menceritakan sebab sebenar Raiqah tiba-tiba menjadi muram sewaktu mereka sedang bergambar. Rizqullah dapat melihat ketidakceriaan kakak iparnya itu.

“Kisahnya waktu zaman persekolahan Zabarajad... satu masa dulu...” balas Abyatina.

“Kenapa?” soal Rizqullah.

Zabarjad mencipta satu kisah yang tak pernah dialami oleh Ustaz Man dan Mak Cik Ros. Di saat dilahirkan sewaktu kecil, Zabarjad mengalami demam panas yang melampau sehingga di satu tahap mengancam nyawanya. Di waktu itu, bantuan dan kemudahan perubatan tidaklah begitu banyak dan mudah untuk didapati. Namun mujurlah, berkat bantuan orang-orang kampung yang lain, Zabarjad dapat juga diberi rawatan di hospital. Selama hampir setengah bulan, maka bayi kecil Ustaz Man itu menerima rawatan intensif.

Disebabkan demam panas yang melampau itu, maka proses tumbesaran Zabarajad dilihat agak lambat berbanding bayi yang lain. Sewaktu usianya menjengah ke angka satu tahun setengah, Zabarjad masih belum dapat bertutur. Tatkala bayi yang lain telah mula belajar untuk berjalan, Zabarjad masih lagi belum mampu untuk melakukan perkara yang sama. Setiap detik, Mak Cik Ros dilanda kerisauan, takut jika anaknya itu tidak membesar seperti yang lain.

“Mak mana yang tak risau kalau anak kecilnya masih lagi terkapai-kapai dalam proses tumbesaran. Sebab itu jarak umur Zabarjad dengan Rafiqin agak jauh usianya. Sebab waktu tu, mak nak bagi tumpuan sepenuhnya jaga Zabarjad..” terang Abyatina.

“Kenapa Jad boleh kena demam panas?” soal Rizqullah.

“Ikut ceritanya, Zabarjad tak kuat daya tahan badan. Suhu badan tak dapat bertahan, mudah saja terganggu bila cuaca berubah. Mungkin sebab tu Jad kena demam panas...” terang Abyatina.

Sewaktu menerima rawatan di hospital, ramai yang menyatakan bahawa kemungkinan untuk Zabarjad sembuh amat tipis. Malah para doktor sendiri tidak dapat memberi jaminan akan proses pemulihan Zabarjad. Namun, dari ketidakyakinan itu, Ustaz Man masih tidak berputus asa. Setiap hari, Ustaz Man akan berkunjung melihat anak kecilnya itu, akan menyapu ke wajah Zabarjad dengan air Yassin yang dibacanya setiap malam. Hari demi hari, itulah yang dilakukannya. Tatkala itu juga, setiap kali berkunjung ke wad, Ustaz Man akan membaca ayat-ayat suci al-Quran tanpa henti, hanya berehat tatkala mahu makan atau solat.

“Ayahmu orangnya kuat. Walaupun dilihat tak ada harapan, tapi dia tetap percaya kepada keajaiban”

Bicara Mak Cik Ros masih segar di ingatan Abyatina. Kata-kata itu pernah dinyatakan ibu Abyatina di suatu masa dahulu, saat Yaqzan anak kecilnya itu dimasukkan ke hospital akibat demam panas. Situasi yang dihadapi Abyatina di saat itu, hampir sama seperti yang pernah diharungi Mak Cik Ros sewaktu menjaga Zabarjad yang dimasukkan ke hospital sewaktu kecil dahulu. Maka pada waktu itu, Mak Cik Ros senantiasa berada di sisi Abyatina untuk memberi sokongan kepada anaknya itu.

“Jadi, macam mana Jad boleh sembuh?” soal Rizqullah tatkala berehat seketika selepas beberapa keping gambar diambil. Mereka berehat seketika di atas bangku kecil di tepi tasik yang terletak tidak jauh dari masjid USM.

“Semuanya atas berkat sabar ayah...” balas Abyatina ringkas.

Mungkin itulah jawapan terbaik dapat diberikan Abyatina. Tatkala masing-masing tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk Zabarajd pulih dari demam panasnya itu, maka di suatu hari keadaan berubah sebaliknya. Di awal Subuh, Zabarjad yang selalu ini hanya merengek dan tidak banyak suaranya disebabkan suhu badan yang panas tiba-tiba ketawa kecil. Ketawa itu berterusan seolah-olah Zabarjad telah pulih sepenuhnya.

“Bila doktor periksa keadaa Jad, semua terkejut. Suhu badannya terus kembali ke tahap biasa,” cerita Abyatina. “Seolah-lah Zabarjad tak pernah kena demam panas...”

Berkat doa dan kekuatan hati Ustaz Man, barangkali itulah yang mencipta keajaiban. Sesunguhnya kuasa Allah itu mengatasi segalanya. Tiap-tiap yang mustahil hakikatnya amat mudah di sisi-Nya. Di kala semua berputus harap, andai masih ada yang yakin akan kekuasaan-Nya, maka pasti akan dikurniakan nikmat tak disangka. Dari nikmat yang dikurniakan itulah, nilai kesyukuran akan diucapkan. Mungkin itulah yang dirasai Ustaz Man apabila mendapat tahu bahawa Zabarjad pulih dari demam panas yang panjang.

“Tapi hari ni... ayah pula yang terlantar di hospital...” luah Abyatina.

“Sabarkan hati. Tiap-tiap ujian ada hikmahnya,” pujuk Rizqullah.

Abyatina tersenyum sahaja.

Hakikatnya, kisah Zabarajad bukan sahaja tercipta ketika dirinya masih kecil sahaja. Mungkin disebabkan demam panas yang pernah dihidapinya itu, maka perjalanan Zabarjad sebagai kanak-kanak dilihat sedikit berbeza. Sewaktu di usia kanak-kanak, kebanyakan yang lain pasti lebih banyak menghabiskan masa bermain bersama, situasi itu tidak pula sama buat Zabarjad. Sewaktu kecil ketika usia menjengah empat tahun, Zabarjad dilihat lebih banyak menyendiri dan menghabiskan masa berseorangan.

“Seingat akak, Jad memang tak banyak kerenah sangat. Nak kata nakal, semuanya baik-baik saja. Tak banyak merengek, tapi lebih banyak berdiam sahaja...” terang Raiqah di suatu masa kepada Abyatina. Saat itu mereka berbual-bual mengenai perihal adik mereka itu.

“Mungkin sebab itu dia lain dari yang lain. Berbeza dan ada keunikan sendiri,” kata Abyatina.

“Mungkin berbeza.. tapi itulah yang merisaukan kita semua...”

Zabarjad memang lambat dalam proses pembelajarannya di sekolah. Tatkala melangkah ke darjah satu di sekolah, Zabarajad agak lambat untuk membaca dan mengira. Perkara asas itu dilihat agak sukar buat Zabrajad. Namun berkat usaha para guru  di sekolah, sedikit demi sedikit Zabrajad mulai mahir. Apabila telah berjaya menguasainya, maka Zabrajad menjadi lebih pantas dalam memahami sesuatu pembelajaran di kelas.

“Mula-mula memang dia lambat nak faham. Tapi bila dah faham, sepantas kilat dia atasi kawan-kawan kelasnya yang lain...” kata Raiqah.

“Memang agak pelik. Tapi itulah Zabarjad...”

Setiap tahun, keputusan peperiksaan Zabarjad dilihat sangat memuaskan. Seringkali menjadi pelajar terbaik di kelas, maka kebanyakan guru merasakan bahawa Zabarjad merupakan pelajar harapan sekolah. Situasi itu ternyata cukup membanggakan buat Ustaz Man dan Mak Cik Ros.

“Tapi, sekelip mata semuanya berubah...” luah Raiqah.

Apabila Zabarjad menyambung pengajiannya di peringkat menengah, maka dugaan baru muncul semula. Di hari pertama persekohannya di tingkatan satu, Zabarjad dilanda demam panas sekali lagi. Demamnya agak panjang, sehingga berhari-hari tempohnya. Sedikit sebanyak, perjalanan persekolahan Zabarajad mulai terganggu. Namun, walaupun dalam kesukaran disebabkan masalah kesihatan, Zabarjad tetap menggagahkan dirinya.

Selama setahun di tingakatan satu, maka hari-hari persekolahan Zabarjad tidaklah seperti kebiasaan mereka yang lain. Dalam tempoh sebulan, pasti akan ada hari-hari yang tidak dapat dihadiri Zabarjad. Situasi ini ternyata menggusarkan Ustaz Man, merisaukan hati Mak Cik Ros hari demi hari. Disebabkan kerap tidak hadir ke sekolah, maka hari demi hari juga Zabarjad semakin ketinggalan dalam pelajarannya. Mungkin itu jugalah yang menambahkan tekanan buat Zabarjad untuk hadir ke sekolah.

“Bila semua yang lain dah jauh ke depan, hati mana yang tak tertekan? Makin banyak tak datang sekolah, makin terkejar-kejar dengan pelajaran di sekolah,” kata Mak Cik Ros suatu masa dahulu kepada Abyatina. “Bila semakin ketinggalan, semakin berserabut fikirannya...”

Situasi yang sama masih berlaku tatkala Zabarajad di tingkatan dua. Malah, kesihatan Zabarjad hari demi hari semakin merosot. Bilangan kehadiran ke sekolah juga semakin berkurangan. Banyak tidak hadir berbanding yang hadir, maka situasi yang terjadi ini mengundang perhatian para guru di sekolah. Hakikatnya, walaupun Zabarajad hadir ke sekolah, namun hadirnya itu juga tidak memberi makna yang terkesan bagi dirinya. Zabarjad dilihat sukar untuk memberi tumpuan di dalam kelas. Disebabkan itu, di suatu hari Cikgu Azizi, guru kelas Zabarjad berkunjung ke rumah Ustaz Man untuk menziarahi  Zabarjad.

“Bukan saya tak paksa. Bukan saya suka bila Zabarjad tak dapat datang ke sekolah. Tapi, bila setiap hari sakitnya tak pernah hilang, saya sendiri tak sampai hati nak seret anak saya ke sekolah...” terang Ustaz Man kepada Cikgu Azizi sewaktu kunjungan ziarah tersebut.

“Mungkin ada sebabnya yang kita tak tahu. Tiap-tiap musibah pasti ada puncanya. Mungkin kita kena cari puncanya...” kata Cikgu Azizi. “

“Maksud cikgu?” soal Ustaz Man.

“Mungkin anak ustaz takut nak datang sekolah. Kebiasaannya macam tu kalau pelajar berat hati nak ke sekolah...” kata Cikgu Azizi.

“Tapi punca tak hadirnya disebabkan sakitnya. Bukan sebab saja-saja...”

“Kadang-kadang, semuanya hanya bermain di sini saja ustaz..” kata Cikgu Azizi sambil jari telunjuknya ditunjukkan ke arah kepalanya.

“Kalau betul pun semuanya hanya permainan fikirannya, apa sebabnya? Apa puncanya?” soal Ustaz Man.

Cikgu Azizi terdiam sahaja. Tiada jawapan dapat diberikannya kerana hakikatnya dirinya juga tidak tahu punca sebenar ketidakhadiran Zabarjad ke sekolah itu. Namun, pertemuan itu mencetuskan pemikiran baru terhadap permasalahan yang melanda Zabarjad. Ustaz Man dilihat seakan tahu akan penyelesaian yang harus dilakukannya.

“Apa penyelesaiannya?” soal Abyatina.

“Jawapannya pasti dari Allah...” balas Raiqah.

Ustaz Man tanpa berputus asa berterusan mendirikan solat malam setiap hari. Memohon pada Allah moga dikurniakan kesihatan yang baik buat anaknya Zabarjad. Itulah perkara yang sama dilakukan Ustaz Man sewaktu Zabarjad dilanda demam panas ketika masih bayi dahulu. Itulah sebaik-baik usaha yang dilakukan Ustaz Man.

“Asal pagi nak ke sekolah sahaja, mula datang demamnya. Tiap-tiap pagi macam tu, seolah-olah dah berjanji pula..” luah Mak Cik Ros di suatu pagi tatkala anaknya Zabarjad masih lagi gagal untuk menghadirkan diri ke sekolah.

“Sabarkan hati. Mungkin ini kafarah bagi kita...” balas Ustaz Man ringkas.

Hari demi hari keadaan tetap sama. Setiap kali pagi, maka Zabarjad dilanda demam. Seolah-olah seperti satu perjanjian, maka Zabarajad hanya akan demam tatkala berniat untuk ke sekolah. Sekiranya hari cuti, Zabarajad sihat seperti biasa. Ada yang menyatakan bahawa sakit Zabarjad itu bersifat psikologi, hanya tercipta oleh fikiran Zabarjad itu sendiri. Ada juga yang menyatakan bahawa sakit Zabarjad itu disebabkan buatan orang. Pelbagai andaian dicipta dan dinyatakan.

“Apa pun orang cakap, semua yang berlaku tu atas kehendak Allah...” luah Ustaz Man. “Semua terjadi atas izin Allah. Jangan kita ambil peduli apa yang orang lain cakap...”

Memang agak perit dan tertekan tatkala orang kampung mulai mencipta pelbagai andaian terhadap Zabarjad. Tidak kurang juga yang cuba menabur fitnah nyatakan kononnya Zabarjad terjebak dengan penagihan dadah di kampung. Namun semua itu tidak diambil peduli. Ustaz Man membiarkan sahaja setiap andaian dan tuduhan yang dilemparkan itu.

Apabila Zabarjad meneruskan sesi persekolahannya di tingkatan 3, keadaan dilihat semakin meruncing. Tidak ada satu hari pun Zabarjad hadir ke sekolah. Tempohnya berlanjutan selama hampir tiga bulan sebelum rumah Ustaz Man dikunjungi Penolong Kanan sekolah dan guru kelas Zabarjad di satu hari.

“Ustaz cubalah paksa Zabarjad ke sekolah. Walau apa pun caranya, harap-harap dia dapat hadir ke sekolah nanti...” jelas Cikgu Azizi, yang masih lagi terus menjadi guru kelas Zabarjad di tingkatan tiga.

“Kalau masih tak dapat datang, kami di pihak sekolah tak ada banyak pilihan. Terpaksa berhentikan Zabarjad...” terang pula Cikgu Razali, Penolong Kanan sekolah.

“Insya-Allah, saya akan cuba...” balas Ustaz Man ringkas.

Namun, semuanya berbeza kisahnya. Hari berikutnya, Zabarjad masih lagi dalam keadaan yang sama, sakit dan tidak dapat hadir ke sekolah seperti kebiasaannya. Di hari itu, Ustaz Man tidak banyak bicara. Tidak banyak lagi tenaga dikerahkan untuk memaksa Zabarjad hadir ke sekolah. Ustaz Man terus menuju ke ruang tamu, dan duduk di satu sudut. Ustaz Man termenung panjang.

Melihat keadaan itu, Mak Cik Ros terus menuju ke ruang tamu.

“Apa yang kita nak buat dengan Zabarjad?” soal Mak Cik Ros.

“Kita tak dapat buat apa-apa lagi. Kalau itu takdirnya si Zabarjad, tak apa... Kita tak boleh nak paksa lagi. Memaksa dalam keadaan Zabarjad tak sihat, tak mungkin ada kerelaan. Mungkin seksa bagi Zabarjad sendiri...” luah Ustaz Man. “Kalau berhenti sekolah itu jalan terbaik buat dia, kita terpkasa juga terima...”

“Tapi.... kalau berhenti sekolah, apa yang dia nak kerja nanti? Dia nak hidup macam mana?” soal Mak Cik Ros meluahkan rasa kerisauannya.

“Rezeki itu hak Allah. Selagi mana ada usaha, bumi Allah ini luas. Carilah di mana-mana, pasti ada rezeki dari Allah,” kata Ustaz Man.

Akhirnya Zabarjad berhenti sekolah. Maka sedikit demi sedikit, masalah kesihatan Zabarjad juga dilihat semakin pulih. Situasi itu ternyata memberi kehairanan buat Ustaz Man dan isterinya. Namun, mereka redha atas ketentuan yang telah ditetapkan buat anak mereka itu. Sebaik berhenti sekolah, Zabarjad mula berjinak-jinak mencari pekerjaan. Banyak kerja kampung dilakukannya. Tidak kira apa pun bidang pekerjaannya, maka Zabarjad pasti akan melakukannya.

Zabarjad orangnya rajin. Walaupun tidak bersekolah, Zabarjad dilihat banyak mempelajari pelbagai perkara. Maka tidak hairanlah, lama kelamaan Zabarjad semakin mahir dalam kerja-kerja kampung. Walaupun tiada pendidikan yang tinggi, Zabarjad dilihat mempelajari erti hidup dengan caranya tersendiri.

“Allah tu Maha Kuasa. Kita tak jangka setiap perancangan-Nya kadang-kadang akan beri kejutan buat kita semua,” kata Ustaz Man. “Walaupun Zabarjad pendidikan tak tinggi, tapi masih juga jadi manusia berguna”

Zabarjad juga berkeja sambilan sebagai mekanik di sebuah bengkel di kampung. Bekerja di bengkal seorang kenalannya, hari demi hari juga Zabarjad mula mempelajari selok belok kenderaan terutama di bahagian enjin. Baik motosikal atau kereta, semuanya dipelajari Zabarjad. Lama kelamaan, berkat kesabarannya, maka Zabarjad dilihat semakin mahir dengan ilmu mekanik tersebut.

“Hobinya suka ambil gambar. Kalau ada masa lapang, Jad akan habiskan masa dengan kameranya. Lama-lama, hobinya tu dah jadi kerjaya buatnya. Jad jadi mahir dengan ilmu fotografi,” terang Abyatina kepada Rizqullah.

“Ilmu yang Zabarjad terima datang dari pengalamannya. Itulah ilmu yang lebih berharga dari ilmu yang dipelajari di sekolah atau universiti..” kata Rizqullah.

Disebabkan itu jugalah, maka Zabarjad diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk mengatur sesi fotografi di hari konvokesyen Abyatina dan Rizqullah. Walaupun tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang itu, Zabarjad dilihat cukup mahir dan cekap setiap kali membidik gambar-gambar Abyatina dan Rizqullah. Malah, Zabarjad dilihat cukup cekap dalam mengatur gerak gaya yang perlu ditonjolkan Abyatina dan ahli keluarga yang lain ketika bergambar di hadapan kamera.

“Macam pakar!” puji Raiqah.

Sesi fotografi itu berlangsung selama hampir sejam. Di saat itu, kesemua ahli keluarga Abyatina dilihat begitu ceria sahaja. Gelak ketawa kedengaran. Ada kalanya, Zaafarani abang Abyatina bergurau senda. Harus diakui, abang Abyatina itu gemar menyakat dan mengusik ahli keluarga yang lain. Ibarat penceria dalam keluarga, kehadiran Zaafarani pasti dinanti dan ditunggu. Andai tiada kelibat abang Abyatina itu, maka pasti suasana menjadi sedikit suram.

Namun, di sebalik gelak ketawa itu, Raiqah merasakan sesuatu yang tidak kena saat itu.

“Ke mana Absyar dan isterinya?”

Ketiadaan Absyar dan Tasha baru disedari Raiqah. Hakikatnya, ahli keluarga lain juga tidak sedar akan ketiadaan itu. Barangkali terlalu gembira, maka masing-masing seolah-olah terlupa seketika akan ketidakhadiran Absyar dan Tasha itu.

“Bukan tadi Absyar masuk dengan kak ke?” soal Zaafarani kepada Raiqah.

“Tak pula. Sebabnya, akak masuk awal. Masuk sekali dengan Zabarjad... sekali dengan Rafiqin..” balas Raiqah.

“Dah tu ke mana pulaknya?” soal Arfan suami Raiqah.

“Mungkin dia ada dalam masjid kot...” kata Rizqullah pula.

“Tapi... Ina tak nampak pula si Tasha di sana tadi...” kata Abyatina.

Maka, masing-masing baru menyedari akan ketiadaan Absyar dan Tasha itu. Kisah seterusnya, mereka mula mencari-cari kelibat Absyar dan isterinya di persekitaran kawasan tempat mereka berada. Namun pencarian itu hanya menemui kebuntuan. Masing-masing kehairanan.

“Kita ada salah cakapkah?” soal Raiqah.

“Kenapa akak cakap macam tu?” soal Abyatina yang ternyata hairan.

Hakikatnya, perihal perangai Tasha telah banyak diketahui dan difahami Raiqah terutamanya. Namun, di sebalik kisah itu, Raiqah tidak banyak berbicara apatah lagi menyebarkan perihal perangai Tasha itu. Hakikatnya, sejak berkahwin dengan Absyar, kehidupan yang dijalani mereka ternyata menjadi berbeza. Andai dulu, Absyar pasti akan berkunjung dan pulang ke kampung sekiranya punyai kelapangan, namun sejak kebelakangan ini, Absyar dilihat sangat jarang.

“Apa sebabnya?” soal Mak Cik Jah kepada Mak Cik Ros di suatu petang ketika mereka berbual-bual kosong di bawah pohon mangga di tepi rumah. Saat itu, mereka berehat di atas pangkin sambil menikmati hidangan kopi dan biskut lutut. Dua sahabat bertemu dan menghabiskan masa seketika.

“Aku pun tak tau puncanya. Makin lama selepas kahwin, dah makin jarang nak melawat kami di sini. Padahal rumahnya tak pun jauh. Pekan Taiping tu saja...” balas Mak Cik Ros.

“Mungkin sibuk dengan kerja...” kata Mak Cik Jah. “Biasalah tu...”

“Sibuknya bukan macam kerja pejabat,” balas Mak Cik Ros. “Cikgu kalau kerja sesibuk macam mana pun, mesti ada lapangnya juga...”

“Kita tak tahu Ros. Mungkin ada sebab lain. Orang dah kahwin, tak bolehlah harap sama macam macam zaman bujangnya”

“Orang lain pun kahwin juga. Tapi ada lapangnya, boleh juga jenguk mak ayahnya,” kata Mak Cik Ros.

“Mungkin ada sebabnya. Jangan difikirkan sangat. Nanti susah di hati...”

“Aku tak kisah kalau tak nak jenguk pun. Tapi... Ustaz Man tu dah makin teruk sakitnya. Nak melawat sekejap pun tak pernah...”

“Mu ada masalah dengan menantumu ke? Si Tasha tu...” soal Mak Cik Jah secara tiba-tiba.

Mak Cik Ros tidak menjawab pertanyaan itu. Hakikatnya, jauh di sudut hatinya, ibu Abyatina itu tahu akan jawapannya. Persoalan itu jugalah yang seringkali bermain-main di fikirannya. Perihal Tasha menantunya itu seringkali menggusarkan hatinya. Hakikatnya, sejak berkahwin dengan Absyar, kunjungan yang dibuat Tasha sangat sedikit. Andai berkunjung, tempohnya tidak lama. Walaupun berada di kampung, Tasha dilihat tidak begitu selesa di situ.

“Entahlah... Mungkin ada yang tak kena. Tapi akak bukan nak burukkan si Tasha tu,” kata Raiqah. “Lagipun, Tasha tu dah jadi sebahagian dari keluarga kita. Nak sangka buruk pun, takut nanti tersalah sangka. Keruh pula hubungan nanti”

“Maksud akak, Tasha tu kawal Abang Syar?” soal Abyatina seakan memahami kata-kata kakaknya itu. “Queen control?”

“Kalau mak pun dah terasa di hati...” kata Raiqah. “Akak tak tahulah kalau puncanya tu disebabkan isterinya”

Abyatina terdiam sahaja. Tiada bicara yang dapat disambungnya. Hakikatnya, perihal kisah perangai Tasha itu pertama kali diketahuinya.

Namun, di sebalik kekalutan mencari kelibat Absyar dan Tasha itu, akhirnya mereka diberikan kejutan.

“Semua cari Syar ke?”

Absyar tiba-tiba muncul. Soalan pertama tersebut diajukannya sebaik tiba di kawasan itu. Masing-masing terkejut dengan kemunculan Absyar itu.

“Ke mana mu pergi?” soal Raiqah.

“Abang masuk tak dewan tadi?” soal pula Abyatina.

“Mana Kak Tasha?” soal pula Rafiqin.

“Ke mana abang pergi?” soal pula Zabarjad.

Satu demi satu soalan diajukan. Bertubi-tubi dinyatakan kepada Absyar. Ternyata petang itu masing-masing kehairanan dengan kehilangan sementara Absyar itu. Hakikatnya juga, di saat itu hanya Absyar sahaja yang muncul.

“Err... Syar tak tahu nak mulakan yang mana dulu...” kata Absyar. “Pertamanya... tadi memang Syar tak sempat nak masuk dewan. Tapi bukan sengaja... “ terang Absyar.

Masing-masing mendengar jawapan yang diberi Absyar itu.

“Habis tu ke mana pula mu pergi?” soal Raiqah.

“Eh... sabarlah ooi. Adikmu tu tengah nak cakap..” sampuk Arfan suami Raiqah.

Absyar menarik nafasnya seketika.

“Semuanya sebab Tasha...” kata Absyar.

“Akak dah agak dah....” kata Raiqah. “Mesti tu sebabnya. Dari awal lagi akak boleh agak...”

“Ya Allahuakbar. Mu ni tak reti nak sabar ke? Asyik menyampuk saja cakap si Absyar itu,” marah Arfan kepada isterinya itu. “Biarlah dia cakap sampai habis dulu.

Masing-masing kemudian tertumpu kembali pada Absyar.

“Sebenarnya, tadi sebelum nak masuk dewan, Tasha pengsan. Terus dibawanya ke hospital,” terang Absyar. “Jadi, Syar ni baru saja balik dari hospital”

Masing-masing terkejut dengan perkhabaran yang dinyatakan Absyar itu.

“Apa yang jadi dengan Tasha?” soal Abyatina.

“Dia tak sihat. Tekanan darah rendah kata doktor. Jadi sekarang ni Tasha kena tahan di hospital, dapatkan rawatan di sana,” balas Absyar.

“Sejak bila pula sakitnya? Tadi nampak sihat saja...” soal Raiqah.

“Sakitnya tak siapa yang perasan. Tapi bila dah loya-loya, muntah selalu, badan tak sedap... rasanya mungkin semua dah tahu sebabnya bukan?” soal Absyar tiba-tiba mengukir sedikit senyuman.

“Maksudnya.... Tasha tu dah...”

Absyar tersenyum saja. Jawapan tidak diberi namun masing-masing mengerti.

“Alhamdulillah. Syukur!” kata Zaafarani. “Ini semua berkat rezeki Abyatina mungkin”

“Nampakanya mak nanti bukan dapat satu cucu. Tapi dua cucu sekaligus...” kata Raiqah meluahkan rasa gembira.

Kisah petang itu mencipta sisi gembira yang baru. Perkhabaran gembira dinyatakan. Absyar bakal menjadi bapa tidak lama lagi. Tasha dikhabarkan telah hamil dua bulan. Kegembiraan berganda di hari itu. Mungkin mencipta sisi kebahagiaan yang tak dapat dilupakan seisi keluarga.




*Tamat sudah Bicara Tiga Puluh Lima*

Absyar dilanda berita gembira. Apakah kegembiraan itu akan bertahan? Akan bersambung di lain bicara.

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 




Sekali lagi sekalung penghargaan kepada sahabat UPSI, saudari Nur Adila Muhammad kerana memberi izin untuk disiarkan gambar beliau untuk kali ke-3 bagi siri Adina kali ini.



Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina



Khamis, 18 Disember 2014

Menyelusuri perjalanan 4 tahun siri novel Adina


"Adina"

Menjelang 18 Disember 2014 ini, maka genaplah 4 tahun siri novel Adina. Kini setelah hampir 4 tahun berlalu, siri novel ini masih lagi diteruskan dan dihasilkan. Masih lagi diterbitkan di blog dalam tempoh itu. Dalam tempoh 4 tahun itu, sehingga ke tarikh 18 Disember ini, maka telah 34 siri Adina telah berjaya diterbitkan. Dalam tempoh itu juga, siri Adina ini menjadi tunjang utama bagi blog ini. Disebabkan siri Adina ini jugalah, jumlah trafik dan pengunjung blog ini terus meningkat dan mendapat perhatian.

Itu sedikit sebanyak mukadimah yang dapat dinukilkan.


  
Bagaimana siri Adina ini boleh tercetus?

Idea penghasilannya bolehlah dikatakan tercetus secara spontan tanpa sebarang perancangan yang rapi. Di awalnya, projek siri novel Adina ini lebih menjurus ke arah projek mini novel yang merangkumi 20 siri novel yang akan diterbitkan dalam tempoh setahun. Novel ini ditulis dalam bahasa santai dan tidak begitu menekankan aspek kepuitisan mahupun aspek nilai estetika yang tinggi. Sekadar bacaan santai yang ditulis dengan cara yang santai.

Siri Adina hakikatnya tercetus daripada kisah-kisah penceritaan pengalaman hidup mak yang ternyata sangat menarik untuk dikongsikan. Kisah sewaktu masih bergelar pelajar sekolah sehinggalah menjadi seorang isteri. Hakikatnya, setiap kisah itu dipenuhi dengan konflik dan dugaan. Dari kisah itu jugalah, maka tercetus ilham untuk menghasilkan sebuah novel.


Adina (Bicara Satu) dan 18 Disember 2010

Penghasilan siri pertama Adina dimulakan sekitar pertengahan Disember 2010. Waktu itu saya sedang bercuti semester, dan baru sahaja menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-21 pada 15 Disember 2010. Pada keesokan harinya, idea tiba-tiba datang, dan tulisan spontan dibuat. Dalam tempoh tak sampai 2 jam, maka terhasillah siri pertama Adina yang agak pendek; hanya sekadar 8 muka surat sahaja.

Menjelang 18 Disember 2010, tulisan siri pertama itu diterbitkan di blog dan kemudian dikongsikan link itu ke Facebook. Tanpa diduga, perkongsikan siri pertama Adina ini mendapat sambutan yang hebat. Sebaik sahaja diposkan di blog, seramai 150 pengunjung blog telah melihat dan membaca siri itu dalam tempoh hanya 2 jam. Malah mereka juga turut memberi komen dan respon terhadap siri pertama itu. Sesuatu yang tidak pernah dijangka sewaktu mula-mula menulis siri pertama ini.

Menerusi maklum balas yang diterima, maka saya dapat simpulkan bahawa siri pertama Adina yang serba ringkas itu mempunyai potensi untuk dikembangkan dengan lebih meluas lagi untuk masa akan datang. Dari itulah, maka saya memutuskan untuk menghasilkan siri novel penuh Adina. Daripada perancangan asal yang hanya sebanyak 20 siri, perancangan berikut adalah untuk memanjangkan siri itu menjadi 70 siri dan akan dihasilkan dalam tempoh 4 ke 5 tahun.

Mengapa judulnya ‘Adina’?

Pada asalnya, siri novel ini tidak ditetapkan judulnya. Hanya idea plot dan cerita sahaja yang berada dalam perancangan namun tidak ada sebarang penetapan judulnya. Namun di akhirnya, diputuskan supaya digunakan nama adik bongsu saya Nur Adrina Najiha Rosly atau dipanggil Adina sebgai tajuk judul novel ini. Dari nama Adina itu, maka dijadikannya sebagai satu akronim, singkatan kepada “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

Mengapa tajuknya berbunyi sedemikian? Hakikatnya tajuk itu akan membawa pengertian yang bermakna di penghujung jalan cerita novel ini. Siapa yang dilahirkan? Siapa insan nan ayu itu? Siapa yang melahirkannya?

Pembaca akan faham sebab pemilihan tajuk ini apabila mereka membaca siri akhir novel ini nanti.

Petikan "Adina (Bicara Dua Puluh)" di blog bertarikh 19 Januari 2013


Kisah Abyatina dan kisah mak

Kisah dan jalan cerita yang difokuskan dalam siri ini berkisar kepada perjalanan hidup Abyatina sebagai gadis kampung yang membesar dalam serba sederhana di kampung. Gadis ini punyai cita-cita untuk menyambung pengajiannya di universiti seperti abangnya Absyar. Namun, disebabkan paras rupanya yang elok, dan seringkali menarik perhatian, maka pelbagai fitnah dan tohmahan dilemparkan kepada Abyatina. Banyak pinangan dibuat terhadap Abyatina, namun kesemuanya ditolak. Namun, di akhirnya Abyatina mengalah dan menerima pinangan terakhir dari keluarga Rizqullah atas permintaan ayahnya, Ustaz Man. Bermula dari itulah, perjalanan hidup Abyatina berubah, menjadi seorang isteri dan suri rumah sepenuh masa, melupakan terus cita-citanya selama ini untuk menyambung pengajian.

Itu serba sedikit plot bagi siri novel ini. Barangkali tiada konflik yang besar cuba ditonjolkan. Namun, novel ini lebih terarah kepada pengkisahan perjalanan hidup seorang gadis biasa sehingga menjadi seorang isteri dan seterusnya sebagai seorang ibu. Kisahnya lebih kepada sebuah diari yang diceritakan dari sudut pandangan orang ketiga.

Bagi setiap siri juga, akan diselitkan nota akhir yang berbunyi “Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya

Adakah kisah Adina ini merupakan kisah sebenar hidup mak saya?

Hakikatnya tidak kerana ada sesetengah pengkisahan dalam novel ini telah diubah dan ditambah daripada kisah sebenar mak. Saya tidak mengambil sepenuhnya kisah mak, sebaliknya hanya menjadikan kisah mak sebagai inspirasi untuk menghasilkan sebuah kisah baru dalam novel.



Nama-nama watak yang unik.

Abyatina, Rizqullah, Yusman, Mawaddah, Zabarjad, Rafiqin, Zaafarani, Raiqah, Radhwa dan banyak lagi pasti mencetuskan persoalan mengapa nama-mana ini unik dan berbeza dari kebiasaan nama yang digunakan kebanyakan orang.

Hakikatnya, nama-nama ini dipilih untuk mencipta keunikan dalam novel ini; memudahkan pembaca untuk mengingati wataknya serta membolehkan siri novel Adina menjadi unik kerana nama-nama wataknya. Kesemua nama watak yang digunakan ini mempunyai maksud dan bukan direka-reka. Kesemua nama ini dipilih dengan teliti sebelum digunakan dalam novel ini.

Setiap nama yang digunakan mewakili nama sebenar dalam hidup sebenar saya. Sebagai contoh, nama Abyatina merupakan nama kepada mak saya Azmah. Begitu Rizqullah, merupakan nama ayah saya Rosly. Bagi watak Yusman atau Ustaz Man, nama itu diambil dari nama datuk saya, Yunus.

Kebanyakan nama-nama yang digunakan mempunyai huruf pertama yang sama dengan nama sebenar dalam kalangan ahli keluarga saya. Sengaja dilakukan sedemikian supaya mudah untuk mengingati dan membentuk perwatakan bagi setiap watak. Namun, gambaran perwatakan tersebut tidaklah sama seperti yang sebenar; diubah mengikut kesesuaian plot.



Bilangan musim Adina

Sehingga ke tarikh entri ini ditulis, siri novel Adina telah memasuki musim ke-8 pada tahun 2014. Setiap musim dibahagikan berdasarkan plot dan latar tempat di dalam novel ini. Jarak masa di antara satu musim kadangkala menjangkau 4 bulan. Situasi ini disebabkan saya hanya menulis setiap siri novel pada waktu cuti semester sahaja. Tatkala sibuk dengan pengajian di UPSI, penulisan Adina direhatkan seketika. Maka bagi setiap musim itu, hakikatnya mewakili setiap cuti semester saya sehinggalah saya tamat pengajian pada tahun 2014. Untuk tahun 2015, berkemungkinan musim ke-9 dan ke-10 bakal diterbitkan di blog.

Bila Adina akan tamat?

Mengikut perancangan asal, siri novel ini akan tamat pada siri yang ke-70. Sehingga ke angka itu, siri ini akan terus dihasilkan dan diterbitkan di blog. Mengikut perancangan juga, tahun 2015 bakal menjadi tahun terakhir bagi siri ini. Sebanyak 40 siri novel akan cuba disiapkan bagi tahun 2015.

Sebaik sahaja tamat siri ini, novel ini akan cuba diterbitkan ke dalam bentuk naskah buku. Namun, sehingga ke waktu itu, novel ini hanya akan diterbitkan di blog sehingga tamat sepenuhnya nanti.


Wajah-wajah pembuka bicara siri Adina

Bagi setiap siri baru Adina yang diterbitkan di blog, sirinya itu akan dibuka dengan perletakan gambar-gambar wajah yang menyerikan setiap siri itu. Hakikatnya, gambar yang dipaparkan itu tidak mempunyai sebarang tujuan tertentu, hanya sekadar menjadi penghias bagi setiap siri novel yang diterbitkan itu.

Kebanyakan gambar tersebut diambil dari koleksi gambar rakan-rakan terdekat, baik dari UPSI atau mungkin juga rakan-rakan lama sekolah. Seperkara yang perlu dinyatakan, kesemua gambar yang digunakan telah mendapat keizinan pemiliknya sebelum disiarkan dan diterbitkan di blog. Permohonan izin akan dibuat dahulu sebelum persetujuan diberikan oleh pemiliknya.

Kebanyakan gambar yang dipilih hakikatnya menggambarkan sedikit sebanyak wajah sebenar yang cuba digambarkan menerusi watak utama dalam novel ini, iaitu Abyatina. Namun itu tidaklah menggambarkan secara keseluruhan wajah sebenar Abyatina itu.















Perancangan masa hadapan

Insya-Allah, tahun 2015 akan menjadi tahun terakhir bagi penghasilan siri novel Adina. Mengikut perancangan, sebanyak 40 siri lagi akan cuba dihasilkan dalam tempoh tersebut. Menjelang 18 Disember 2015 nanti, siri Adina yang terakhir akan cuba diterbitkan di blog. Siri akhir tersebut nanti akan menjawab secara keseluruhan persoalan-persoalan yang ada di dalam novel tersebut. Siri itu akan merangkumkan secara keseluruhan novel Adina itu nanti.

Diharapkan, moga sokongan terus diberikan daripada kalian semua. Hakikatnya, idea penghasilan novel Adina ini tidak pernah terlintas di fikiran sebelum ini; hanya tercetus atas sokongan yang diberikan. Terima kasih atas sokongan tidak berbelah bagi yang diberikan terhadap siri novel ini sejak tahun 2010. Disebabkan sokongan itulah, maka siri ini menjadi tunjang kepada blog ini. Tanpa siri ini, barangkali jumlah trafik blog ini tidak setinggi sekarang.

Moga kisah Abyatina akan terus menjadi inspirasi bagi pembacanya. Menjadi pengajaran dan barangkali panduan dalam merencanakan setiap perjalanan kehidupan masa akan datang.

Sekadar itu sahaja perkongsian sedikit sebanyak berkenaan siri novel Adina ini. Ketemu di lain bicara. 

Insya-Allah.


“Adina” ialah Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu.

Sebuah novel Muhammad Yazid Rosly tahun 2010.
Ikuti siri-siri Adina sebelum ini di blog:  Siri Adina


Terima kasih kepada rakan-rakan yang telah menjadi penyumbang wajah untuk pembuka bicara siri Adina. Terima kasih juga kerana memberi idea dan cadangan bagi setiap siri Adina ini.