"Adina (Bicara Tiga Puluh Empat)"
“Barangkala hari yang paling menggembirakan adalah saat
melihat orang yang disayangi tersenyum sepanjang masa menikmati nikmat
kejayaan. Adalah lebih indah jika rasa kejayaan itu dikongsi bersama, mencipta
gembira dalam bahagia. Apabila suami dan isteri sama-sama menikmati hari
terindah, maka saat seterusnya adalah ciptaan memori demi memori yang akan
disimpan untuk dikenang sampai bila-bila. Hakikatnya, setiap manusia pasti akan
merasa bahagia apabila segala penat dan lelah itu diakhirnya dirasakan sangat
berbaloi. Pengorbanan itu menjadi satu kenikmatan”
Pena diletakkan. Buku nota kecil ditutup. Setelah sekian
lama tidak dinukilkan sesuatu di atas helaian kertas pada buku kecil itu, maka
akhirnya Abyatina dapat meluangkan masa seketika untuk menulis selepas selesai menunaikan
fardhu Subuh.
“Selamat berkonvo Siti Abyatina!”
Sapaan mengejut tercipta di pagi hari. Rizqullah muncul
semula di bilik setelah bersiap-siap anak mereka Yaqzan. Dimandikan dahulu
Yaqzan sebelum disiap-siapkan pakaiannya. Maka, saat itu Yaqzan telah segak
bergaya dengan bedak bertampung di muka.
“Selamat berkonvo abang!” balas Abyatina tersenyum.
“Erk... tapi kenapa pula bertampung-tampung mukanya si Yaqzan ni?” soal
Abyatina sebaik melihat wajah anaknya yang bertampung bedak itu.
“Ini namanya solekan...” balas Rizqullah berseloroh.
Lantas Abyatina meratakan bedak di wajah anaknya itu.
Dengan cermat, muka Yaqzan disapu dengan telapak tangan Abyatina. Yaqzan hanya
diam sahaja pagi itu. Tidak juga seaktif seperti kebiasaannya.
“Barangkali dia pun tahu hari ni hari yang paling gembira
untuk kita,” kata Rizqullah.
Hidangan sarapan telah disediakan Abyatina. Sebaik
selesai solat Subuh, maka Abyatina terus bergegas ke ruang dapur menyediakan apa
yang patut untuk hidangan pagi seisi keluarga. Pagi itu Abyatina menyediakan
hidangan bihun goreng dan teh kosong panas. Hidangan ringkas yang seringkali
menjadi kegemaran buat Rizqullah. Di saat Abyatina sibuk di dapur, maka
Rizqullah pula menjalankan tugas untuk menyiapkan Yaqzan di pagi hari. Sesuatu
yang jarang dilakukan bagi Riqullah kerana kebiasaannya, Abyatina yang
menguruskannya.
“Mungkin sebab tu Yaqzan baik semacam pagi ni. Takut
dengan ayahnya barangkali...” bicara Abyatina. “Kalau dengan maknya, habis
berpesta air bila nak mandi. Aktif sangat...”
“Anak yang aktif itu tandanya ada akal yang pintar,”
balas Rizqullah. “Tak begitu Cik Abyatina?”
Abyatina hanya tersenyum sahaja. Saat itu, mereka terus
menuju ke dapur untuk menikmati hidangan sarapan yang telah tersedia di atas
meja makan. Hakikatnya, pagi itu masing-masing dilanda keterujaan. Abyatina dan
Rizqullah bakal melalui fasa yang baru. Itulah hari penting yang bakal tercatat
sebagai antara kenangan terindah buat mereka.
Sebaik selesai sarapan, maka Abyatina terus bersiap-siap.
Rizqullah hanya menanti di ruang tamu sambil terus melayan kerenah Yaqzan
bermain-main sebentar dengan beberapa alat permainan yang ada. Agak lama juga
Abyatina bersiap, sehingga mendatangkan kebosanan buat Rizqullah. Lantas suami
Abyatina itu terus menjenguk ke bilik melihat kelibat Abyatina. Kekaguman
dirasakan Rizqullah tatkala melihat Abyatina yang telah bersiap-siap. Berbaju
kurung biru serba baru, digayakan pula dengan tudung biru air, maka Abyatina
dilihat cukup berseri. Sedikit solekan dikenakannya, menyebabkan wajah Abyatina
di luar kebiasaan.
“Cantiknya isteri abang...” luah Rizqullah.
“Oh... jadi selama ni tak cantik?” soal Abyatina mengusik
suaminya.
“Memang pun... “ balas Rizqullah mencuit pipi isterinya
itu. Rizqullah berseloroh juga.
Gurauan di pagi hari itu menunjukkan betapa gembiranya
hati mereka. Di hari yang penting itu,
maka selepas masing-masing telah bersiap-siap, langkah mereka dimulakan dahulu
dengan berkunjung ke rumah keluarga Rizqullah. Mohon restu dipinta buat
Abyatina dan Rizqullah terhadap Cikgu Hamdawi dan Mami Radhwa. Pertemuan
singkat itu sekadar meminta izin sebelum bertolak ke Pulau Pinang. Di awalnya,
ibu dan bapa Rizqullah itu bersetuju untuk turut serta bersama Abyatina dan
Rizqullah ke USM. Namun, persetujuan itu terpaksa dibatalkan apabila Cikgu
Hamdawi dan isterinya terpaksa bertolak ke Kuala Lumpur di hari yang sama untuk
menghadiri majlis keramaian keluarga di sana.
“Tahniah Abyatina... Rizqullah. Semoga bergembira hari
ni,” kata Cikgu Hamdawi kepada Abyatina dan Rizqullah.
“Mak bangga dengan hangpa berdua. Selamat berkonvo!”
bicara pula ibu Rizqullah.
Abyatina dan Rizqullah kemudian bertolak. Bersama-sama
anak mereka, maka destinasi seterusnya adalah menuju ke Pulau Pinang.
Universiti Sains Malaysia maka tempat itu ditujui kerana hakikatnya di situlah
tempat yang bakal menjadi detik paling penting buat Abyatina dan Rizqullah.
Hari konvokesten buat mereka berdua di USM, maka keterujaan dalam debaran
dirasakan buat Abyatina dan Rizqullah.
Mengikut perancangan, perjalanan mereka akan terus menuju
ke Pulau Pinang. Sebelumnya, mereka akan singgah sebentar di rumah abang
Abyatina, Zaafarani. Di sana, ahli keluarga Abyatina akan berkumpul dahulu sebelum
masing-masing bertolak pula menuju ke kampus utama USM. Adik bongsu Abyatina,
Rafiqin akan turut serta menjadi tetamu untuk masuk ke dalam dewan. Turut serta
masuk ke dewan nanti ialah Zabarjad dan Absyar manakala Raiqah akan turut masuk
ke dewan sambil membawa Yaqzan, anak Abyatina. Zaafarani sementara itu hanya
akan menanti di luar menemani ahli keluarga lain yang tidak dapat masuk.
Namun di saat kemeriahan seisi keluarga Abyatina
berkumpul di rumah Zaafarani itu, perasaan sedih dirasakan Abyatina. Kelibat
ibunya tidak kelihatan.
“Kalaulah mak dan ayah ada juga sekarang ni....” luah
Abyatina.
“Tak apa. Kalau mereka boleh datang, dah lama mereka ada
di sini sekarang ni,” pujuk Rizqullah. “Apa yang penting, ingatan mereka pada
Ina pasti tak pernah lekang”
Di saat Abyatina melalui hari gembira untuk bergraduasi
bersama suaminya, hakikatnya di waktu itu jugalah Ustaz Man masih terus
terlantar di hospital. Disebabkan itu jugalah, maka ibu Abyatina tidak dapat
menghadirkan diri ke majlis konvokesyen di USM. Mak Cik Ros terus setia
menemani Ustaz Man di kala Abyatina dan seisi keluarga lain menyambut hari
gembira di Pulau Pinang. Abyatina faham dan redha dengan ketetapan perjalanan
hidupnya.
“Bergembiralah dan nikmati detik ni. Mungkin sekali
sahaja seumur hidup nak rasai gembira macam ni,” kata Rizqullah. Abyatina
menguntumkan sedikit senyumannya.
Sesi konvokesyen Abyatina dan Rizqullah berlangsung pada
sesi petang. Ibarat seperti menyambut hari gembira buat mereka berdua, maka
cuaca pada petang itu dilihat sangat baik. Tidak seperti di hari-hari kebiasaan
yang seringkali hujan, hari konvokesyen Abyatina dan Rizqullah tidak dilanda
hatta setitis pun gerimis. Disebabkan itu jugalah, maka pergerakan menuju ke
USM buat seisi keluarga Abyatina tidak menghadapi sebarang masalah.
Perjalanan menuju ke kampus induk USM dari rumah
Zaafarani memakan masa kira-kira tiga puluh minit. Namun andai terdapat
kesesakan di pertangahan perjalanan, maka tempohnya mungkin berlanjutan untuk
tempoh yang lebih lama. Rizqullah memandu keretanya disamping Abyatina di
sebelahnya. Raiqah pula duduk di belakang bersama dua anaknya. Si kecil Yaqzan
pula duduk di riba Raiqah. Mengikuti dari belakang ialah kenderaan-kenderaan
ahli keluarga lain. Empat buah kereta bergerak menuju ke destinasi. Sesuatu
yang sangat jarang untuk berlaku selama ini. Itulah kali pertamanya rombongan
berkenderaan tercipta dalam keluarga Abyatina.
Di saat itu, seperti biasa sekali lagi fikiran Abyatina
terus melayang terhadap peristiwa-peristiwa yang telah berlalu. Hakikatnya,
banyak perkara yang telah berlaku sebelumnya. Satu demi satu, muncul pelbagai
kisah dugaan. Namun di sebalik dugaan itu, maka terselit juga kisah-kisah
menggembirakan.
Mungkin itulah yang cuba dilakukan Rizqullah tatkala
Abyatina dilanda rasa resah di hati. Apabila perkhabaran Ustaz Man yang
terlantar di hospital itu seringkali menganggu kehidupan seharian Abyatina,
sehingga di kebanyakan masa Abyatina hanya bermuram sahaja di wajahnya, maka
Rizqullah cuba mententeramkan hati Abyatina. Rizqullah mengatur perancangan.
“Kadang-kadang, bila terlalu memikirkan masalah, tanpa sedar,
kita juga akan menjadi punca kepada masalah tu...” kata Rizqullah di suatu
petang. “Apa kata kalau kita tenangkan fikiran dengan ambil angin lain dari
tempat ni...”
“Kita nak ke mana?”
“Teluk Batik? Boleh?”
Maka, kisah beberapa minggu sebelum hari konvekesyen,
Rizqullah dan Abyatina bercuti seketika di Teluk Batik. Pantai peranginan
berhampiran Pulau Pangkor itu ternyata menjadi pilihan buat Rizqullah kerana
jaraknya yang tidak jauh dari rumah. Hanya setengah jam perjalanan, maka
tibalah mereka di pantai tersebut. Hakikatnya, mereka seringkali bersantai di
sana. Namun untuk kali ini, itulah buat pertama kalinya anak mereka Yaqzan berkunjung
ke sana.
“Bukan main gembira lagi si Yaqzan tu. Tak pernah nampak
laut Teluk Batik selama ni...” kata Abyatina.
“Umurnya dah nak masuk tiga tahun. Kita belajar pun dah
hampir tiga tahun. Selama tiga tahun tu, mana pernah Yaqzan sampai ke sini...”
balas Rizqullah.
Hakikatnya, keterujaan lebih dirasai Abyatina. Agak lama
juga tidak dihabiskan masa berkualiti bersama Rizqullah dan anaknya. Seringkali
mereka hanya terperap di rumah. Jika ada masa yang lapang, selalunya mereka
akan pulang ke kampung Abyatina. Mungkin kerana itu juga, Abyatina bangun lebih
awal dari kebiasaan. Menyiapkan segala bekalan yang perlu untuk berkelah, dan
persiapan itu dilihat penuh ketelitian. Sebaik bangun, Abyatina mengumpulkan
segala kelengkapan yang perlu dibawa. Tikar mengkuang dan raga berkelah
dicarinya dahulu. Pakaian untuk Yaqzan dikemas dahulu sebelum dimasukkan ke
dalam beg kecil. Begitu juga dengan pakaian suaminya. Dipilih dan disusun
dengan kemas sebelum diletakkan di penjuru katil. Biarlah Rizqullah sendiri yang
memilih pakaian yang ingin dipakainya nanti.
Sebaik selesai, maka Abyatina menuju pula ke dapur.
Persiapan untuk makanan dimulakannya pula. Walaupun sekadar bertiga untuk
berkelah di Teluk Batik, namun gaya Abyatina seolah-olah melakukan persiapan untuk
sedozen keluarga. Mungkin keterujaan atau mungkin juga disebabkan telah lama
tidak berkelah bersama keluarga. Pagi itu, Abyatina menyediakan bihun goreng di
samping hidangan karipap yang sempat disediakannya. Malah, Abyatina turut
sempat menggoreng keropok ikan untuk bekalan ke Teluk Batik itu.
“Kita nak buat kenduri ke kat Teluk Batik ni?” soal
Rizqullah memerli Abyatina. Tatkala melihat makanan yang banyak dibawa itu,
maka itulah yang diperkatakan Rizqullah.
“Kata orang, angin laut ni boleh buat perut cepat
lapar...” balas Abyatina.
“Bukan sebab orang tu dah berbadan dua?” usik Rizqullah.
“Nak kata Ina gemuk ke ni?...” soal Abyatina manja.
“Kalau gemuk pun salahkah? Kata orang makin tembam makin
comel...” usik lagi Rizqullah.
Abyatina tersenyum sahaja. Yaqzan sementara itu
bermain-main di tepi pantai bersendirian. Berlari-lari dan sekali sekala cuba
menyentuh ombak yang menghempas pantai. Yaqzan tidak berani untuk turun bermain
air. Barangkali disebabkan tidak pernah melihat dengan dekat ombak yang
menghempas itu. Jika di Pulau Pinang dahulu, walaupun jarak dengan laut
tidaklah jauh, namun tidak pernah sekalipun Yaqzan dibawa menuju ke pantai
sepanjang empat tahun di sana.
Gelagat Yaqzan itu diperhatikan Abyatina dan Rizqullah
yang berada tidak jauh dari tempat Yaqzan bermain, senantiasa dipantau mereka.
Duduk di atas tikar mengkuang yang dibawa, di bawah pepohon kelapa, ditambah
pula dengan angin bayu pantai maka suasana yang dirasakan ternyata sangat
menenangkan dan mendamaikan. Mungkin itulah tujuan Rizqullah membawa Abyatina
ke pantai itu. Menghilangkan seketika fikiran kusut yang melanda isterinya itu.
“Terima kasih Ina...” luah Rizqullah tiba-tiba.
“Untuk apa terima kasihnya?” soal Abyatina hairan. Di
ketenangan itu, perbualan tercipta semula.
“Terima kasih sebab jadi isteri abang...”
“Terima juga sebab abang sudi jadi suami Ina...” balas
Abyatina pula.
Rizqullah tersenyum sahaja. Selepas itu, dia kembali
membisu sambil melontarkan pandangannya ke arah laut yang terbentang luas di
hadapannya. Kebiruan air laut mencipta satu kenikmatan yang mendamaikan. Namun,
jauh di satu sudut pada wajah Rizqullah, kelihatan dirinya seolah-olah ingin
menyatakan sesuatu.
“Maafkan abang juga...” luah Rizqullah.
Abyatina hanya membisu sahaja. Melihat wajah suaminya,
Abyatina merasakan bahawa suaminya itu seolah-olah ingin berbicara dalam nada
yang serius.
“Ada apa yang abang rasakan sekarang ni? Ada apa yang
abang pendamkan?” soal Abyatina.
“Ina ingat sewaktu kita bersantai-santai tepi sawah dulu?”
soal Rizqullah cuba mengingatkan kembali peristiwa petang hari di tepi bendang
itu. Petang itulah Abyatina dan Rizqullah menghabiskan masa seketika
berdua-duaan bersama.
“Ya.. Ina ingat...”
“Abang ada cakap sesuatu pada Ina petang tu... sesuatu
yang cukup besar pada Ina. Mungkin sesuatu yang cukup terkesan buat Ina...”
kata Rizqullah. “Ina masih ingat?”
Abyatina membisu seketika. Hakikatnya memang Abyatina
ingat akan peristiwa yang berlaku di tepi bendang itu. Malah ingatan itu
senantiasa segar di fikirannya. Namun, untuk mengakui bahawa ingatannya itu masih
lagi kuat terhadap peristiwa itu di hadapan suaminya,itu adalah sesuatu yang
amat berat. Itulah petang yang tidak akan dilupakan Abyatina tatkala Rizqullah
menyatakan pengakuan bahawa dirinya pernah berkahwin sebelum mendirikan rumah
tangga bersama Abyatina.
“Abang tahu Ina pasti ingat. Tak mungkin Ina akan lupa
dengan apa yang abang sampaikan waktu tu...” kata Rizqullah.
“Ina.... Ina....” bicara Abyatina tersekat-sekat.
Barangkali teragak-agak untuk berbicara. “Ina... Ina tak tahu nak cakap apa...”
“Kenapa Ina tak pernah tanya abang selepas tu? Kenapa Ina
diamkan saja?” soal Rizqullah.
Sekali lagi Abyatina membisu. Tiada bicara dituturkan
Abyatina. Pertanyaan Rizqullah tidak dijawab. Maka serentak dengan itu juga
Rizqullah turut serta dalam bisu. Namun perlahan-lahan tangannya itu memegang
tangan Abyatina.
“Abang tak sepatutnya rahsiakan semua tu dari Ina. Sebab
tu abang nak minta maaf pada Ina...” kata Rizqullah.
Mendengar kata-kata itu, Abyatina tersenyum sahaja.
Tangannya masih terus dipegang Rizqullah. Lantas Abyatina pula mengusap-ngusap
tangan suaminya itu.
“Tak ada apa yang salah dengan masa silam abang. Tak ada
apa yang perlu dimaafkan sebab itu bukan silap abang pada Ina. Apa saja yang
berlaku sebelum abang kahwin dengan Ina, itu semua berkait dengan abang. Ina
tak ada hak nak campur...” bicara Abyatina dengan tenang.
“Tapi, selagi masa silam abang terus jadi rahsia, abang
takut Ina yang menderita...” balas Rizqullah.
“Abang nampak Ina ni macam orang yang menderita ke?” soal
Abyatina tersenyum. “Abang rasa masa silam abang tu masih lagi rahsia?” soalnya
lagi.
Hakikatnya, di saat itu Abyatina tidak sedikit pun merasa
ketidaksenangan di hati. Walaupun telah diketahui kisah sebenar suaminya
Rizqullah, namun di saat itu Abyatina tidak pernah merasa kecewa dengan kisah
silam tersebut. Abyatina ternyata sangat tenang malah langsung tidak
menampakkan emosinya di hadapan suaminya itu. Namun persoalan timbul tatkala
itu, mengapa Abyatina tidak melanjutkan lagi persoalan mengenai kisah
perkahwinan pertama Rizqullah itu? Mengapa tidak ditanya dengan lebih mendalam
siapa orangnya? Kenapa Abyatina terus membisu?
Itulah persoalan yang bermain di fikiran Rizqullah saat
itu.
“Kenapa Abyatina?” soal Rizqullah.
“Ina rasa tak perlu dipanjangkan lagi kisahnya. Cukup Ina
tahu kisahnya sedikit, tak perlu dikorek lebih dalam,” balas Abyatina. “Apa
yang ada sekarang dah cukup buat Ina bahagia...”
“Memang kuat hati Ina...” kata Rizqullah. “Ina bukan sebarang
orang. Bukan calang-calang wanita...” sambungnya lagi. “Tak semua wanita mampu
hadapi segala macam dugaan seperti isteri abang ni...”
“Tiap-tiap dugaan adalah satu bentuk pembelajaran
mengenal erti kehidupan,” balas Abyatina. “Walau apa pun dugaannya, Ina tahu
yang abang sentiasa ada di sisi...”
“Mungkin sebab tu abang perlu ceritakan kisah silam abang
pada Ina. Memang Ina berhak tahu sebab Ina isteri abang,” kata Rizqullah.
“Abang tak perlu paksakan diri...” balas Abyatina. “Semua
yang silam perkara lama. Kadang-kadang tak perlu diingat kembali...”
“Tapi abang akan ceritakan juga. Abang tahu, dalam
senyuman, Ina banyak pendamkan rasa hati. Abang tak nak lagi semua tu ada dalam
diri isteri abang ni. Biar semua jadi jelas,” kata Rizqullah. “Kisahnya bermula
begini...”
Penceritaan dimulakan terhadap kisah Rizqullah di
pertengahan 20-an. Tatkala baru sahaja
selesai menamatkan pengajian di Maktab Perguruan Gaya, maka kisah seterusnya
adalah penantian untuk bekerjaya. Tahun 80-an, maka pekerjaan sebagai guru
sangatlah diperlukan. Rizqullah pulang seketika ke kampungnya di Manjung,
meninggalkan bumi Sabah untuk sementara waktu. Hakikatnya, tak lama selepas
itu, Rizqullah akan kembali semula ke bumi Sabah, bakal memulakan tugas sebagai
guru di bandar Tawau.
“Semuanya bagaikan lancar. Dalam gembira, teruja jangan
dicakap. Hampir tiga tahun tak pulang, bila diberi peluang memang sesuatu yang
dinanti-nantikan...” kata Rizqullah dalam penceritaan kisah lamanya. “Sampai
saja di lapangan terbang, terus mak sambut. Terus dibawa pulang”
Memang ibu Rizqullah antara yang paling teruja dan
gembira dengan berita kepulangan Rizqullah ke semenangjung itu. Bersemangat
menanti Rizqullah di lapangan terbang bersama-sama suaminya, Cikgu Hamdawi,
maka Mami Radhwa sanggup menanti berjam-jam lamanya di sana. Pada hari itu,
pesawat mengalami kelewatan. Maka, tempoh menunggu menjadi lebih lama buat ibu
Rizqullah itu.
Sejurus tiba, maka Rizqullah terus dibawa pulang ke
kampung mereka di Manjung. Perjalanan tanpa henti itu ternyata mencetuskan
kehairanan buat Rizqullah. Mengikut kebiasaannya, sekiranya mereka berada di
Kuala Lumpur, maka pasti mereka singgah ke rumah Pak Teh, adik kepada Cikgu
Hamdawi, iaitu bapa saudara buat Rizqullah. Namun kali ini, persinggahan tidak
terjadi.
“Waktu tu, mak nampak betul-betul tergesa-gesa. Macam nak
kejar sesuatu. Abang memang rasa pelik,” cerita Rizqullah.
Mungkin ada benarnya telahan Rizqullah. Sebaik tiba di
kampung, pada keesokan harinya, Mami Radhwa terus berbicara dengan Rizqullah.
Tanpa berkias dan mukadimah yang panjang, tujuan utama terus diajukan kepada
Rizqullah.
“Mak cadang nak kahwinkan hang. Setuju tak?”
Itulah soalan yang diajukan ibu Rizqullah. Belum hilang
kepenatan jauh perjalanan, maka tatkala diajukan soalan sedemikian, pastilah
menyebabkan Rizqullah dilanda kejutan.
“Dengan siapa pula?” soal Rizqullah. “Sebab apa?”
“Dengan anak Pak Lang hang tu. Anak bongsu dia tu...”
Terkejut sekali lagi buat Rizqullah. Ternyata hajat yang
disampaikan ibunya itu mencetuskan ketidaksenangan dalam hatinya. Hakikatnya
saat itu, Rizqullah masih belum bersedia apatah lagi untuk memikirkan soal
perkahwinan tatkala diri masih belum lagi memulakan kerjaya. Namun, hati
seorang ibu sukar untuk menepis permintaan yang dinyatakan itu. Maka, Rizqullah
hanya membisu tidak pula membantah. Permintaan yang disampaikan ibunya itu
seperti telah diterima walaupun dalam keadaan terpaksa.
“Tapi, kenapa mak nak kahwinkan abang cepat-cepat masa
tu?” soal Abyatina.
“Sebab masa tu mak risau. Waktu tu, abang akan kembali
semula ke Sabah untuk mengajar di Tawau. Kalau ikut kebiasaan orang semenanjung
waktu tu, bila dah berhijrah ke sana, memang pasti akhirnya nanti akan
berkahwin dengan orang sana juga. Jadi mak nak elakkan perkara tu berlaku. Dipercepatkan
abang untuk berkahwin...” terang Rizqullah. “Abang tak ada pilihan waktu tu...
Terpaksa...”
“Tapi siapa sepupu abang tu?” soal Abyatina.
“Masih ingat dengan nama Zara?” soal Rizqullah. “Dialah
calon yang mak cadangkan. Anaknya Mak Cik Nab...”
Abyatina pula dilanda kejutan. Nama Mak Cik Nab itu
ternyata cukup diingatinya. Nama itulah yang mencetuskan pergolakan dalaman
hati Abyatina sewaktu berada di Batu Ferengghi. Kerana Mak Cik Nab, maka
terbuka rahsia kisah silam suaminya Rizqullah.
“Abang tak banyak pilihan sebab mak berharap sangat.
Sebab tu, abang bersetuju dengan permintaan tu...” kata Rizqullah.
Beberapa minggu selepas Rizqullah pulang ke kampung, maka
majlis perkahwinan terus diaturkan. Tidak ada ikatan pertunangan diaturkan,
sebaliknya ikatan perkahwinan terus dijalinkan. Kelihatan seperti tergesa-gesa.
Namun perancangan majlis diatur dengan teliti dan tersusun. Semuanya dilakukan
Mami Radwa buat Rizqullah. Bagi ibu Rizqullah itu, matlamat utamanya hanyalah
untuk memastikan supaya Rizqullah berkahwin sebelum kembali semula ke Sabah dan
bertugas di sana.
“Semuanya berlaku dengan pantas. Abang turut saja apa
yang mak nak. Tapi di hati hanya Allah yang tahu. Memang abang tak pernah
bersedia nak berumah tangga waktu tu. Tak pernah terfikir nak galas
tanggungjawab pada usia sebegitu...” kata Rizqullah.
Tempoh dua bulan dimiliki Rizqullah sebelum kembali
semula ke Sabah. Maka tempoh itu dimanfaatkan sebaiknya. Namun, tatkala ikatan
perkahwinan telah terjalin bersama Zara, sepupunya itu, rasa ketidakselesaan
mulai timbul. Mungkin disebabkan Rizqullah langsung tidak bersedia menggalas
tugas sebagai suami, maka hubungan rumah tangganya itu tidak langsung dirasakan
satu kenikmatan dalam bahagia.
Rizqullah dilihat lebih kerap berada di rumah ibunya
berbanding di rumah keluarga mertuanya. Seringkali Zara isteri barunya itu
ditinggalkan bersendirian sahaja di rumah. Gaya hidup Rizqullah tetap sama
seperti sebelumnya. Masih kekal dengan kebujangannya hingga seolah-olah
menidakkan kewujudan orang baru dalam hidupnya. Situasi ini dilihat sedikit
sebanyak telah mencetuskan rasa kurang senang keluarga mertua Rizqullah. Malah
teguran diberikan dan disampaikan kepada ibu Rizqullah.
“Tegurlah banyak mana pun. Bila darah masih mudah, jiwa
masih remaja, semuanya tak terkesan langsung,” kata Rizqullah bercerita kepada
Abyatina. “Memang dari awal abang tak setuju. Bila dah kahwin, tak mungkin
semudah itu abang boleh terima semuanya...”
Sikap acuh tak acuh itu akhirnya menyebabkan hubungan
rumah tangga yang baru dibina menjadi semakin retak. Maka dalam tempoh tak
sampai sebulan, hubungan Rizqullah dan Zara terputus. Penceraian terjadi, dan
mereka membawa haluan masing-masing. Sebulan selepas itu, maka Rizqullah pulang
semula ke Sabah untuk memulakan tugasnya sebagai guru di bandar Tawau.
“Memang tak ada siapa pun yang tahu abang kahwin. Cuma
keluarga terdekat saja. Mungkin sebab tu semuanya jadi rahsia, tak ada siapa
pun yang tahu...” terang Rizqullah.
Semuanya berlalu tahun demi tahun. Rizqullah langsung
tidak terfikir lagi untuk mendirikan rumah tangga. Beberapa tahun Rizqullah
terus menetap di Sabah dan terus bekerja di sana. Bagi ibu Rizqullah pula,
kegagalan rumah tangga Rizqullah barangkali berpunca dari sikapnya sendiri yang
mungkin terburu-buru dalam menentukan jodoh dan pasangan hidup buat anaknya itu.
Mungkin disebabkan itu jugalah, Rizqullah terus membujang hingga di penghujung
umur 20-an.
“Selepas itulah, baru hati abang tergerak nak cari
pasangan hidup. Dari situ abang bertemu Abyatina...” terang Rizqullah menutup
ceritanya.
“Macam mana dengan Zara? Apa yang terjadi?” soal Abyatina
ingin tahu.
“Umurnya muda, orangnya lawa. Kejap saja janda menjadi
pinangan orang. Lima bulan selepas bercerai, Zara kahwin dengan kawan lamanya,”
balas Rizqullah.
“Mak Cik Nab?”
“Masih sama macam dulu juga. Cuma sejak dah bercerai,
taklah semesra dulu dengan mak. Mungkin segan atau mungkin terasa di hati. Kita
tak tahu...”
Abyatina membisu seketika. Hakikatnya cetusan hati kecil
berbisik seketika.
“Apakah tujuan sebenar Mak Cik Nab? Kenapa perlu
disampaikan berita perkahwinan pertama suamiku dulu? Dendam di hatikah?”
monolog dalam hati Abyatina tatkala memikirkan kembali peristiwa yang berlaku
di batu Ferengghi satu masa dahulu.
Rizqullah kemudian memandang tepat ke wajah Abyatina.
“Mungkin dulu abang banyak buat silap. Mungkin abang tak
pernah bersedia nak berkahwin satu masa dulu. Mungkin abang tak
bertanggungjawab, abaikan tanggungjawab sebagai suami. Mungkin sebab tu jodoh
abang dengan Zara tak kekal,” kata Rizqullah. “Tapi... disebabkan kesilapan tu
jugalah abang banyak belajar. Bila abang buat keputusan nak berkahwin dengan
Ina, abang memang pastikan supaya kesilapan-kesilapan yang dulu tu takkan
berulang lagi pada Ina...”
“Terima kasih abang...”
Hati Abyatina girang. Segala persoalan yang dipendam
selama ini terjawab akhirnya. Untuk detik-detik berikutnya, Abyatina merasai
satu kelapangan yang tak pernah dirasakan sebelum ini. Segala beban yang
ditanggung selama ini bagaikan hilang begitu sahaja.
Mungkin itulah detik paling bahagia yang dirasakan
Abyatina. Keindahan yang dirasakannya bagaikan satu cetusan semula ingatan
terhadap kemanisan hidup di awal berumah tangganya bersama Rizqullah. Abyatina
seolah-olah telah kembali tersedar dari lamunan yang panjang. Di saat itulah,
barulah Abyatina tahu bahawa suaminya itu benar-benar ikhlas dan sayangkannya.
Maka di perjalanan menuju ke USM, senyuman Abyatina
terkuntum senantiasa. Hakikatnya, hari bahagia yang dirasakannya itu adalah
satu siri bahagia demi bahagia yang mula dirasainya. Lamunan Abyatina cukup
panjang, kerana di sepanjang perjalanan itu, fikiran Abyatina bermain-main
dengan kisah-kisah lalu yang telah ditempuhinya.
“Kata orang, kalau tersenyum selalu... itu tandanya anak
dalam kandungan dilamun bahagia...” bicara Rizqullah menghentikan lamunan
panjang Abyatina itu. Hakikatnya, Rizqullah sedar akan perihal isterinya itu
yang sejak tadi lagi tersenyum seorang diri. Walaupun sedang memandu, Rizqullah
menyedari situasi itu.
“Tiap-tiap senyuman isteri tu pun satu kebahagiaan buat suami... Bukan
begitu?” soal Abyatina.
Rizqullah tersenyum mendengar jawapan itu.
“Maknanya senyum tu tanda sayang?” soal Rizqullah.
Abyatina pula tersenyum.
“Dah tu... jangan nak berasmara sangat dalam kereta ni.
Akak ada kat belakang dengan anakmu ni... Jangan lupa kami di sini pula...”
Raiqah mencelah.
Abyatina tersipu-sipu malu. Rizqullah hanya tersenyum
sahaja. Hakikatnya, mereka seolah-olah tidak sedar bahawa Raiqah dan
anak-anaknya turut berada di dalam kereta itu. Barangkali masing-masing asyik
mengelamun dan melayan perasaan dalam perjalanan itu.
Maka bermulalah satu catatan sejarah buat Abyatina dan
Rizqullah. Sebaik tiba, mereka tidak lama kemudian akan melangkah masuk ke
dalam dewan untuk majlis pengijazahan. Raiqah juga akan masuk ke dalam dewan
membawa bersama Yaqzan. Sementara anak-anak Raiqah pula dijaga oleh suaminya
yang hanya berada di luar dewan sepanjang majlis berlangsung. Zabarajad dan Rafiqin juga akan turut
memasuki dewan sebagai tetamu dan tak lama selepas itu, Absyar bersama
isterinya Tasha juga akan bersama mereka. Bagi ahli keluarga yang lain, mereka
hanya menanti di luar dewan sambil menikmati pemandangan dan suasana kemeriahan
USM di kala hari konvokesyen.
“Mulakan dengan bismillah...” bisik Rizqullah ke telinga
Abyatina sebelum mereka melangkah masuk ke dalam dewan. Perarakan masuk para
graduan sedang berlangsung, dan Abyatina dan Rizqullah masuk dengan penuh
senyuman.
Kedudukan tempat duduk di antara Abyatina dan Rizqullah
di dalam dewan tidaklah begitu jauh. Mereka hanya duduk sebaris namun diselang
oleh beberapa graduan yang lain. Namun, di saat itu Abyatina dan Rizqullah
dilihat saling jeling menjeling di antara satu sama lain. Situasi itu berterusan
sehinggalah istiadat konvokesyen bermula.
Sementara itu, Raiqah dan ahli keluarga yang lain telah
berada di dalam dewan. Yaqzan yang berada di samping Raiqah dilihat cukup
tenang dan tidak terlalu aktif. Mujurlah juga Rafiqin dan Zabarjad ada bersama.
Setidak-tidaknya boleh mengawal keaktifan Yaqzan itu. Baik Raiqah mahupun ahli
keluarga yang lain, itulah kali pertama seumpanya mereka masuk ke dewan itu.
Itulah kali pertama juga buat mereka untuk menyaksikan istiadat
konvokesyen Universiti Sains Malaysia.
Maka, setiap detik yang berlaku di dalam dewan itu dilihat dengan penuh
kekusyukan bagaikan tidak akan dapat disaksikan lagi selepas ini.
“Bukan senang nak tengok semua ni...” bicara Raiqah
kepada adik-adiknya yang duduk di sebelahnya.
Namun berlainan pula bagi Absyar dan isterinya Tasha.
Mereka masuk ke dewan agak lewat sedikit berbanding hadirin yang lain. Sejak
dari pagi lagi, Tasha dilihat tidak begitu sihat. Wajahnya sedikit pucat namun
tidak diketahui puncanya. Walaupun Absyar bercadang untuk membawa isterinya itu
ke klinik, namun permintaan itu ditolak. Bagi Tasha, sakitnya itu tidaklah
begitu serius. Hanya sekadar pening kepala sahaja. Digagahkan dirinya itu tanpa
diketahui sesiapa. Tiada sesiapa yang mengetahui perihal keadaan Tasha itu
kecuali Absyar.
Mungkin kerana itu jugalah, sebelum masuk ke dewan, Tasha
telah beberapa kali menuju ke tandas. Peningnya semakin bertambah. Perutnya
pula dirasakan tidak sedap keadaannya. Disebabkan itu, Absyar dan Tasha masuk
sedikit lewat berbanding tetamu yang lain. Dalam keadaan tergesa-gesa langkah
diatur dengan pantas. Dalam keadaan kelam kabut itu, akhirnya mereka tiba di
pintu masuk dewan. Tercungap-cungap dirasakan Tasha. Lantas serentak dengan itu
juga, kejutan tak diundang berlaku.
“Allahuakbar!”
Laungan takbir kedengaran. Absyar dilanda kejutan tatkala
melihat isterinya itu tiba-tiba rebah di pintu dewan. Serentak dengan itu juga,
beberapa hadirin yang berdekatan menghampiri mereka. Tasha terus dibantu
setelah jatuh pengsan. Tidak lama kemudian, ahli paramedik datang dan terus
melakukan pemeriksaan ke atas Tasha.
“Apa yang tak kena pada isteri saya?” soal Absyar dilanda
kerisauan.
Tasha kemudian dibawa menuju ke ambulans. Dalam keadaan
tidak sedar, pelbagai persoalan muncul di fikiran Absyar. Kerisauan menguasai
diri dan sesalan juga dirasakan. Seharusnya, Tasha tidak perlu datang ke majlis
itu tatkala melihat keadaan diri Tasha di hari itu yang tidak sihat. Sebetulnya
Absyar harus bertegas dan tidak membiarkan Tasha menggagahkan diri untuk hadir
ke majlis itu.
“Salahkah aku?” monoloh Absyar.
Namun, di saat kekalutan itu, Abyatina dan Rizqullah
melalui detik terindah. Begitu juga buat Raiqah, Rafiqin, dan Zabarjad yang
menyaksikan hari gembira Abyatina dan Rizqullah. Mereka dilihat begitu senang
melihat detik bersejarah itu. Segala-gala tampak indah dan penuh keceriaan.
Namun tiada siapa yang tahu akan apa yang sedang terjadi luar dewan. Tiada
siapa yang sedar akan situasi yang terjadi pada Tasha. Di waktu itu jugalah,
Absyar dilanda kekalutan dalam keresahan.
“Selamatkanlah isteriku ya Allah...”
Ambulans bergerak dan Tasha dibawa menuju ke hospital
berhampiran. Absyar turut berada bersama di sampingnya. Bagi Absyar, semuanya
bagai terhenti seketika tatkala itu. Hanya Tasha sahaja yang menjadi tumpuan
fikirannya.
*Tamat sudah Bicara Tiga Puluh Empat*
Apakah yang sebenarnya berlaku kepada Tasha? Apakah
kegembiraan di hari konvokesyen akan hilang serinya? Akan bersambung di lain
bicara.
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan
inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan
kekuatannya, beri kekaguman buat saya.
Terima kasih sekali lagi kepada sahabat UPSI, saudari Nur Adila Muhammad kerana
memberi izin untuk disiarkan gambar beliau bagi siri Adina kali ini.
Ulasan