"Adina (Bicara Tiga Puluh Tiga)"
Di awal Subuh, rumah Ustaz Man dilanda kekalutan. Saat
itu, hanya Mak Cik Ros sahaja yang berada di rumah. Zabarjad berada di Ipoh
bermalam di rumah kawannya. Rafiqin pula berada di sekolah menghadiri
perkhemahan di sana. Saat itu, Rizqullah dan Abyatina pula berada di Manjung,
pulang sebentar ke rumah kecil mereka di sana. Di saat tiada siapa yang dapat
membantu, maka detik itu jugalah Ustaz Man dilanda kesakitan.
“Ayahmu masuk hospital!”
Perkhabaran itu disampaikan Mak Cik Ros kepada Abyatina
menerusi panggilan telefon. Lantas secepat itu jugalah, Abyatina dan Rizqullah
menuju ke hospital. Walaupun keadaan
kesihatan Ustaz Man semakin merosot hari demi hari, namun itulah kali pertama
ayah Abyatina itu dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Hati Abyatina
dilanda kerisauan kerana sepanjang perjalanan menuju ke hospital, Abyatina
hanya membisu tanpa bicara. Yaqzan anak kecilnya di pangkuannya, namun
fikirannya melayang entah ke mana.
“Insya-Allah. Moga semuanya selamat,” pujuk Rizqullah
tatkala melihat isterinya itu dalam keresahan.
Memang tidak dapat dinafikan, Ustaz Man bukanlah seperti
zaman sihatnya. Kalau dulu petah berbicara, seringkali bergurau senda tatkala
anak-anaknya pulang ke kampung. Seringkali berjalan serata kampung, barangkali
melawat rakan-rakan atau sekadar mengambil angin petang. Seluruh kampung pasti
mengenal Ustaz Man, guru agama yang cukup dihormati di kampung itu. Ustaz Man disenangi
semua. Ke mana sahaja dia berada, pasti semua akan mengenalinya. Namun, itu
kisah yang lalu.
“Abang... Ina takut...” luah Abyatina tiba-tiba. “Ina
risau kalau ini detik terakhir Ina nak lihat ayah...”
Sebak kedengaran. Resah digambarkan. Ternyata fikiran
Abyatina melayang jauh mengenangkan kisah-kisah lalu.
“Walau apa pun yang berlaku, ingatlah Allah. Tiap-tiap
apa yang terjadi, semuanya ketentuan Allah. Jangan kita lupa tanggungjawab kita
untuk redha dengan perancangan Dia,” balas Rizqullah cuba memberi kata-kata
semangat buat Abyatina. “Sama-sama kita berdoa, moga-moga ayah sihat dan
selamat”
Ternyata pagi itu Abyatina dan Rizqullah dalam keletihan.
Sebaik selesai sahaja solat Subuh, dan saat itu perkhabaran mengenai Ustaz Man
disampaikan kepada Abyatina menerusi panggilan telefon, maka mereka terus bergegas
bergerak menuju ke bandar Taiping. Sejam lebih perjalanannya, dan tempoh itu
cukup memenatkan. Penat itu berganda tatkala keletihan hari sebelumnya pun
masih belum hilang.
Hakikatnya, Abyatina dan Rizqullah tiba di rumah mereka
pada lewat malam, hari sebelumnya. Setelah berbuka puasa di kampung Abyatina,
dan setelah selesai solat Terawih di masjid, maka barulah Rizqullah dan
Abyatina bertolak pulang ke rumah. Pada hari yang sama juga, di siangnya
Rizqullah bertolak dari Pulau Pinang ke kampung Abyatina. Maka, itu tidak
menghairankan jika Rizqullah dan Abyatina benar-benar letih sepanjang
perjalanan menuju ke hospital.
Namun, di saat itu jugalah, walaupun dalam keletihan,
maka peristiwa di lewat petang di hujung bendang terlintas semula di fikiran
Abyatina. Di awalnya Abyatina dan Rizqullah berdua-duaan menghabiskan masa
bersama. Berbual-bual kosong setelah beberapa hari tidak bertemu, ternyata
detik-detik sebegitu amat bermakna buat Abyatina dan Rizqullah. Namun di saat
sedang gembira melayan bahagia, maka secara tiba-tiba seteru lama Rizqullah
muncul mencelah. Yaqzan hadir tanpa diundang.
“Apa tujuannya datang ke sini?” soal Rizqullah dengan
baik.
Memang agak janggal situasi yang terjadi itu. Rizqullah
ternyata kurang selesa dengan kehadiran Yaqzan itu. Malah, keadaan bertambah
janggal tatkala saat itu Rizqullah baru sahaja mahu menghabiskan masa
berdua-duaan di bendang itu bersama Abyatina. Ibarat tidak kena pada waktunya,
maka kemunculan Yaqzan itu dilihat seperti kurang disenangi Rizqullah.
“Maaf kalau mengganggu,” kata Yaqzan. “Tadi pergi ke
rumah, tapi Mak Cik Ros cakap dua-dua ada di sini. Itu sebab saya datang ke
mari,” terangnya lagi.
Rizqullah menghampiri Yaqzan. Tangannya kemudian
menghulurkan salam. Lantas mereka berjabat tangan.
“Apa khabar Yaqzan?”
“Alhamdulillah. Sihat saja..” balas Yaqzan tersenyum.
Situasi yang berlaku itu ternyata mengundang perhatian
Abyatina yang masih duduk di pangkin di bawah pokok rendang itu. Amat berbeza
sekali keadaan yang sedang berlaku ketika itu. Kebiasaannya, apabila Yaqzan
bertemu Rizqullah, maka angin amarah pasti tercipta. Hakikatnya, untuk
pertemuan kali ini, Yaqzan dan Rizqullah berbeza sikapnya. Masing-masing
dilihat seperti sangat ramah, ibarat dua sahabat yang sudah lama tidak bertemu.
“Datang saya ni datang berhajat. Harap sudi nak berjumpa
sekejap,” kata Yaqzan.
“Kalau elok hajatnya, apa salahnya. Sebaik-baik niat,
maka sebaik-baik itu juga perlu disambut,” balas Rizqullah.
“Tujuan saya membawa dua hajat...”
Saat itu, Yaqzan menghulurkan tangannya kepada Rizqullah.
Yaqzan mahu berjabat tangan sekali lagi lantas disambut baik oleh Rizqullah
walaupun dirinya dalam keadaan terpinga-pinga dan kehairanan. Sebaik tangan
dijabat, Yaqzan bersuara kembali.
“Saya minta maaf atas semua kesalahan yang pernah saya
buat...”
Fahamlah Rizqullah akan tujuan perjumpaan itu. Permohonan
maaf yang dibuat itu ternyata sesuatu yang tidak dijangka Rizqullah. Setelah
sekian lama berseteru, berpanjangan tanpa penghujungnya, maka petang itu
segalanya bakal menemui penyudahnya. Dengan hati yang terbuka, Rizqullah
menerima permohonan maaf itu.
“Insya-Allah. Saya pun macam tu juga. Minta maaf kalau
ada kesalahan yang saya pernah buat,” bicara Rizqullah.
Masing-masing kemudian tersenyum. Maka saat itu,
perseteruan dingin di antara Rizqullah dan Yaqzan ternoktah. Tiada lagi angin
permusuhan yang tercipta untuk masa akan datang. Barangkali kisah berikutnya,
mereka bersahabat baik.
“Hajat saya yang kedua...”
Yaqzan menghulurkan sesuatu kepada Rizqullah. Kelihatan
sekeping sampul surat berwarna putih diberikan. Lantas Rizqullah mengambil
sampul itu. Yaqzan tersenyum selepas itu.
“Hajatnya sampai bersampul?” soal Rizqullah tersenyum
seketika.
“Hajatnya besar. Nak menjemput Rizqullah dan Abyatina...”
balas Yaqzan.
Rizqullah terus membuka sampul tersebut. Maka dilihatnya
sekeping kad berwarna putih. Dilipat dengan baik, lantas Rizqullah melihat isi
kad tersebut. Sebaik dilihat, maka kuntuman senyuman Rizqullah tidak lagi dapat
dibendung. Senyumannya itu begitu menggembirakan.
“Tahniah! Tahniah!”
Jabat salam dihulurkan sekali lagi. Kali ini Rizqullah
yang menghulurkannya. Yaqzan menyambutnya. Riak wajahnya ternyata gembira.
Barangkali reaksi yang diberikan Rizqullah itu mencetuskan rasa senang hati
buat Yaqzan.
“Perkhabaran inilah yang saya cuba nak sampaikan masa
kita jumpa di Batu Ferengghi dulu..” bicara Yaqzan.
“Batu Ferengghi?”
Rizqullah terkejut seketika. Bicara Batu Ferengghi
mencetuskan imbasan peristiwa lalu. Lantas mengingatkan kembali kisah beberapa
tahun yang lalu. Kisah Rizqullah di awal semester pengajiannya di USM. Saat
itu, Rizqullah dan Abyatina keluar bersama menghabiskan masa seketika di pantai
peranginan itu. Azan Asar berkumandang, lantas mereka menuju ke masjid
berhampiran. Rizqullah menuju ke ruang solat lelaki dan Abyatina ke bahagian
wanita. Mereka berjanji, selesai solat maka di tempat sama mereka akan bertemu
semula. Itulah pantai tempat mereka menghabiskan masa.
Rizqullah tiba dahulu di tempat yang dijanjikan. Namun
kelibat Abyatina masih tidak kelihatan. Lantas Rizqullah menanti dengan sabar
dan di saat itulah Yaqzan tiba-tiba muncul. Kehadiran Yaqzan itu ternyata
sangat mengejutkan Rizqullah. Hakikatnya sudah beberapa tahun Rizqullah tidak
berjumpa seterunya itu. Di saat itu, angin perseteruan tercetus kembali. Yaqzan
mencetuskan dahulu provokasinya.
“Di mana sebetulnya isterimu Abyatina?” soal Yaqzan
meneruskan perbualan yang tak dirancang itu.
“Kenapa ditanya begitu?” soal Rizqullah kehairanan.
“Sebab, kalau si suami ada di sini, dan kemudian si
isteri ada di sana memang ada yang tak kena,” kata Yaqzan. “Tambah tak kena,
kalau si isteri tu naik kereta dengan lelaki lain...”
“Maksudnya... Abyatina?”
Soalan yang diajukan Yaqzan pada waktu itu ternyata
mencetuskan api kemarahan dalam diri Rizqullah. Mempersoalkan kemampuannya
sebagai seorang suami, tatkala dirinya masih lagi dalam keadaan terpinga-pinga
menanti Abyatina untuk muncul bukanlah suatu tindakan yang berhemah. Yaqzan
ternyata sebagaja mencetuskan situasi tidak senang itu. Jika diikutkan hati
Rizqullah barangkali pergaduhan besar tersetus. Namun di saat itu jugalah, maka
secara tiba-tiba Abyatina muncul di tempat tersebut. Sepantas itu juga, Yaqzan
menghilangkan diri, mungkin cuba mengelak dari dilihat Abyatina yang baru tiba.
“Hari tu, memang ada perkhabaran yang saya nak sampaikan
pada Rizqullah. Tapi mungkin Allah tak izin,” terang Yaqzan menjelaskan
peristiwa yang berlaku beberapa tahun yang lalu.
“Tapi,macam mana Yaqzan tahu saya ada di sana?” soal
Rizqullah.
“Saya tak cari pun. Cuma kebetulan saya ternampak, sebab
tu saya terus berjumpa di situ,” terang Yaqzan.
“Tapi apa yang Yaqzan buat di Pulau Pinang waktu tu?”
“Saya berjumpa dengan keluarga bakal tunang saya di
sana,” balas Yaqzan. “Selepas jumpa, saya singgah sebentar di Batu Ferengghi.
Secara kebetulan, ternampak Rizqullah di sana,” terangnya lagi.
Rizqullah terdiam seketika. Perkara yang diterangkan Yaqzan
itu ternyata tak dijangkanya. Yaqzan mendedahkan rahsianya. Kisah pertunangan
baru diketahuinya. Barulah Rizqullah faham akan apa yang berlaku beberapa tahun
yang lalu. Namun persoalan lain pula muncul di fikirannya.
“Tapi, macam mana pula Yaqzan tahu Abyatina ikut lelaki
lain waktu tu?” soal Rizqullah.
“Secara kebetulan juga...” balas Yaqzan ringkas. “Cuma
ternampak saja..”
“Tapi, dengan siapa?” soal Rizqullah.
“Bukankah sebaiknya ditanya sendiri pada Abyatina? Saya
bukan jawapannya..” balas Yaqzan sambil melihat Abyatina yang masih duduk di
bawah pokok.
Rizqullah melihat juga kelibat isterinya yang terus
menanti di bawah pokok rendang itu. Sekali sekala, ada waktunya Abyatina tersenyum
dari jauh melihat kelibat Rizqullah dan Yaqzan. Namun jauh di sudut senyuman
itu, pasti tersimpan rahsia yang mungkin disembunyikan Abyatina. Itulah yang
bermain di fikiran Rizqullah.
Perihal misteri lelaki yang membawa Abyatina di Batu Ferengghi
itu masih kekal tak terjawab walaupun telah beberapa tahun berlalu. Baik
Abyatina mahupun Rizqullah, masing-masing dilihat sangat berhati-hati dengan
detik yang berlaku di Batu Ferengghi itu. Di saat Abyatina menyimpan rahsia
kejutan yang diterimanya di Batu Ferengghi, di saat itu jugalah Rizqullah hanya
membisu tanpa bertanya gerangan lelaki misteri yang berjumpa Abyatina seketika
di pantai itu. Masing-masing dilihat tidak mahu mencetuskan situasi keruh dalam
perhubungan mereka, walaupun pada hakikatnya masing-masing ingin tahu akan
jawapan sebenar.
Perihal Abyatina dilanda kejutan di Batu Ferengghi
ternyata tidak diketahui Rizqullah di awalnya. Malah, Rizqullah tidak tahu
langsung akan pertemuan ibu saudaranya Mak Cik Nab dengan Abyatina di masjid
tersebut. Mungkin itu jugalah menyebabkan Rizqullah tidak tahu bahawa Abyatina
dilanda kejutan terbesar petang tersebut. Kisahnya berlalu bertahun-tahun
selepas itu sehinggalah di suatu petang tatkala Rizqullah bertemu secara tak
sengaja kakak iparnya, Raiqah di bandar Georgetown, Pulau Pinang. Pertemuan itu
terjadi di sebuah restoran.
“Abyatina orangnya memang berahsia. Sejak kecil sampai
sekarang, perangainya tak berubah. Mu sebagai suami, kenalah selalu tanya
Abyatina. Mungkin ada yang dipendam dalam hatinya,” bicara Raiqah kepada
Rizqullah pada petang itu.
“Kenapa akak cakap macam tu?” soal Rizqullah hairan.
“Kak cuma nasihat saja. Sekadar ingatan takut ada yang
terlupa,” balas Raiqah.
“Abyatina ada rahsia dari saya?” soal Rizqullah.
Pertanyaan tercetus tatkala hatinya merasakan ada sesuatu yang cuba disampaikan
Raiqah.
Raiqah terdiam seketika. Barangkali di sudut fikirannya,
perihal Abyatina sedang berlegar-legar dengan pantas. Hakikatnya, memang Raiqah
menyimpan pelbagai rahsia yang dikongsikan Abyatina. Namun, untuk petang itu,
kelihatannya satu kerahsiaan itu cuba didedahkan Raiqah kepada Rizqullah.
“Mu tahu apa yang berlaku di Batu Ferengghi dulu?” soal
Raiqah kembali berbicara.
“Apa yang berlaku?”
“Ada Abyatina cakap pasal perkara tu padamu?” soal
Raiqah.
“Perkara tentang apa?”
“Kadang-kadang, dalam setiap perkara indah dan bahagia,
pasti akan ada pengorbanan yang berlaku,” kata Raiqah. “Pasti ada pahit dalam
kemanisan”
Kata-kata yang diluahkan Raiqah itu ternyata mencetuskan
pertanyaan dalam diri Rizqullah. Hakikatnya, Rizqullah merasakan Raiqah ingin
cuba menyampaikan sesuatu kepadanya, mamun disampaikan dalam nada berkias. Namun
Rizqullah tidak dapat menangkap apatah lagi untuk memahaminya.
“Apa yang Abyatina rahsiakan dari saya?” soal Rizqullah
kemudian.
“Apa yang Abyatina rahsiakan, biarlah Abyatina sendiri
yang jelaskan. Kak tak nak masuk campur. Itu hal kamu berdua. Tapi, cuma kak
nak tanya sesuatu pada Rizqullah, mungkin kak kurang jelas...”
“Saya sendiri kurang jelas dengan apa yang akak cakapkan
ni...” balas Rizqullah.
“Maaf kalau kak tanya ni... sebelum mu kahwin dengan
Abyatina, apa status sebenar dirimu?” soal Raiqah.
“Kenapa akak tanya begitu?” soal Rizqullah terkejut.
“Kak tak ada jawapan untuk tu. Mu yang ada jawapannya...”
balas Raiqah.
Untuk detik seterusnya, Rizqullah hanya berdiam sahaja.
Tidak diberikan jawapan sepantas yang disangka, maka di saat itu Rizqullah
dilihat lebih banyak berfikir dari cuba untuk berbicara. Raiqah hanya
memerhati, tidak pula memaksa Rizqullah untuk memberi jawapannya.
“Mungkin kadang-kadang, hal-hal yang dulu tak perlu diungkitkan.
Kadangkala disebabkan perkara lalu, hidup bahagia boleh sekelip mata porak
peranda,” bicara Rizqullah tak lama selepas itu.
“Tapi kalau hidup dalam rahsia, akan tiba waktunya, semua
yang dirahsiakan akan terdedah juga. Waktu tu, mungkin bahagia tak jadi
bahagia. Atau mungkin juga bahagia terus bahagia,” balas Raiqah. “Kita ni
manusia. Soal bahagia kita boleh rancang, tapi kuasa terletak pada-Nya”
“Masa silam saya mungkin kekurangan yang saya ada.
Mungkin menjadikan saya tak sempurna seperti yang Abyatina harapkan,” luah
Rizqullah.
“Dalam mencari pasangan hidup, janganlah mencari
kesempurnaan hakiki. Terimalah kekurangan yang ada padanya kerana hakikatnya
kamu juga pasti mempunyai kekurangan. Pasti dia juga menerima kekurangan yang
ada pada kamu,” bicara Raiqah. “Apa yang penting, jangan cari kekurangan.
Carilah kelebihan masing-masing”
“Ya... saya faham,” balas Rizqullah.
“Jadi, kamu dah tahu jawapannya kepada persoalan tadi?”
“Maaf kalau saya banyak berahsia. Bukan nak disembunyikan,
tapi rasanya tak perlu diceritakan,” kata Rizqullah. “Sebelum berkahwin dengan
Abyatina, memang saya pernah berkahwin dengan orang lain. Tapi jodohnya tak
lama. Sekadar beberapa bulan sahaja,” kata Rizqullah berterus terang.
Di petang itulah, Rizqullah menceritakan kisah silamnya
kepada kakak iparnya itu. Satu demi satu dikongsikan, dan itulah buat pertama
kalinya Rizqullah berkongsi kisahnya itu. Sebolehnya, Rizqullah mahu terus
berahsia, namun mungkin masanya telah tiba untuk menceritakan semuanya.
Hakikatnya, Rizqullah tidak tahu langsung akan peristiwa
perjumpaan Abyatina dan Mak Cik Nab di Batu Ferengghi itu. Namun apa yang
difahami Rizqullah selepas pertemuannya dengan Raiqah di restoran pada petang
itu adalah persoalan kisah silamnya yang harus diterangkan kepada Abyatina di
suatu masa nanti. Rizqullah faham bahawa sudah sampai masanya untuk dirinya
menceritakan statusnya sebelum berkahwin dengan Abyatina.
“Kita dah sampai...” bicara Rizqullah menghentikan
lamunan panjang Abyatina sepanjang dalam perjalanan. Rizqullah dan Abyatina
akhirnya telah tiba di Hospital Taiping.
Mereka tiba tatkala suasana hospital masih lagi dalam
keadaan lengang. Saat itu, kebanyakan staf hospital baru sahaja memulakan
tugas. Pertukaran syif sedang berlaku, menampakkan kelibat para jururawat yang
pulang dan yang datang ke hospital itu. Hospital Taiping tidaklah begitu besar,
namun di situlah menjadi tumpuan buat penduduk di sekitarnya untuk mendapatkan
rawatan kesihatan.
Abyatina dan Rizqullah terus bergegas menuju ke bangunan
wad hospital. Walaupun tidak tahu arah tuju yang sebenar, kaki mereka terus
melangkah. Hakikatnya, Abyatina dan Rizqullah tidak tahu lokasi sebenar Ustaz
Man ditempatkan untuk menerima rawatan. Mengharapkan mungkin bertemu dengan
ahli keluarga yang lain sepanjang perjalanan itu, maka mereka terus
meninjau-ninjau di sekitar hospital. Mujur Abyatina kemudiannya terlihat
kelibat Zabarjad yang kebetulan sedang berjalan di koridor hospital. Mereka
kemudian dibawa Zabarjad menuju ke bilik wad tempat Ustaz Man menerima rawatan.
“Ayahmu kena serangan angin ahmar...” luah Raiqah yang
telah tiba lebih awal di wad tersebut.
“Ya Allah...” Abyatina dilanda kesedihan dengan
perkhabaran itu.
Ustaz Man ditempatkan di wad khas. Ketika itu, tidak ada sesiapa
yang dibenarkan masuk ke dalam wad. Maka, kesemua ahli keluarga Ustaz Man hanya
berada di perkarangan luar wad, melihat dari jauh Ustaz Man yang terlantar di
atas katil. Hanya Mak Cik Ros sahaja yang dibenarkan masuk untuk menemani
suaminya itu.
“Mak apa khabar? Macam mana dengannya?” soal Abyatina
bertanya Raiqah.
“Entahlah... Sejak Subuh tadi sampailah sekarang, sepatah
pun mak tak cakap...” balas Raiqah.
“Mungkin mak masih terkejut..”
Di perkarangan itu kelihatan beberapa ahli keluarga yang
lain. Rafiqin hanya duduk di kerusi, kelihatan lebih banyak termenung. Absyar
pula baru sahaja tiba ditemani isterinya Tasha. Di satu sudut pula kelihatan
suami Raiqah duduk bersama anak-anak mereka. Perkhabaran juga baru sahaja
disampaikan Zabarjad bahawa Zaafarani sedang dalam perjalanan menuju ke
hospital dari Pulau Pinang.
“Mungkin juga ada hikmahnya. Hari ni, semua dapat
berkumpul...” bicara Rizqullah. Lantas
Rizqullah yang baru saja sampai terus menghulur salam kepada semua ahli
keluarga lain yang telah berada di perkarangan wad itu.
Raiqah kemudian memandang Abyatina.
“Mu pula macam mana? Sihat?” soal Raiqah.
“Alhamdulillah...”
“Duduklah dulu. Mu tu penat. Jalan jauh dari pagi tadi,”
suruh Raiqah.
Abyatina terus duduk tanpa banyak bicara. Hakikatnya
memang Abyatina penat setelah beberapa jam perjalanan dari rumahnya di Manjung.
Namun bukan penat di badan yang dirasakannya. Keletihan di fikiran yang
menganggu Abyatina. Pelbagai perkara difikirkannya sepanjang perjalanan menuju
ke hospital. Maka, sebaik duduk, Abyatina hanya memejamkan mata, cuba
merehatkan diri. Yaqzan anak mereka sementara itu hanya duduk di sebelah tidak
banyak kerenahnya. Barangkali Yaqzan faham akan situasi yang sedang berlaku.
Kelihatan tenang dan tidak seaktif seperti kebiasaannya.
“Mu sahur tadi?” soal Raiqah secara tiba-tiba kepada
Abyatina yang baru sahaja merehatkan dirinya di atas kerusi di luar wad itu.
Nadanya agak kuat, didengari oleh semua ahli keluarga yang ada di perkarangan
luar wad itu.
Abyatina hanya menggelengkan kepalanya sahaja. Tiada
bicara dituturkan. Mungkin keletihan.
“Jangan dibiarkan perut tu kosong. Jamahlah sikit waktu
sahur. Tak elok badan nanti. Tak elok kesihatan. Mu kena jaga kesihatan,” pesan
Raiqah.
Di saat itu, Mak Cik Ros yang sejak tadi berada di dalam
wad menemani Ustaz Man yang terlantar sakit, tiba-tiba keluar. Wajahnya sedikit
tersenyum, walaupun tidaklah seceria seperti kebiasannya.
“Ayahmu dah sedar...” bicara Mak Cik Ros dengan tenang.
“Tapi, masih lemah...”
Serentak dengan itu juga, kesemua yang berada di luar wad
melahirkan kesyukuran. Masing-masing meluahkan rasa kelegaan, seterusnya
menghilangkan kerisauan yang melanda sebelumnya. Itulah yang tergambar oleh
Raiqah, kakak Abyatina itu.
“Alhamdulillah! Syukur!” luah Raiqah. “Mungkin Allah bagi
rahmat untukmu Abyatina. Inilah namanya rezeki orang mengandung!”
Masing-masing kemudian terkesima. Kata-kata yang
dinyatakan Raiqah itu memberi kejutan. Hakikatnya, perihal Abyatina yang sedang
berbadan dua itu masih belum diketahui oleh sesiapa. Hatta, suaminya Rizqullah
sendiri pun masih belum menerima perkhabaran itu.
“Alamak...” kata Raiqah. “Terlepas cakap nampaknya....”
Abyatina tersipu-sipu malu. Merah wajahnya tatkala
perihalnya berbadan dua diketahui seisi keluarga. Namun senyuman terukir di
wajahnya. Perkhabaran gembira yang pasti mencetuskan keceriaan di pagi itu.
“Suamimu dah tahu?” soal Mak Cik Ros kepada Abyatina.
Walaupun letih, ibu Abyatina itu dilihat masih mampu tersenyum.
Lantas pandangan Abyatina ditoleh ke arah Rizqullah.
Namun di saat itu, tatkala masng-masing gembira dengan perkhabaran berita
tersebut, Rizqullah masih tetap duduknya di kerusi.
“Lah... tidur rupanya...” kata Abyatina tersenyum sahaja.
Barangkali suaminya itu benar-benar letih.
Keadaan kesihatan Ustaz Man sementara itu tidaklah pulih
sepenuhnya. Setelah menerima serangan angin ahmar, kelihatan Ustaz Man semakin
lemah. Ustaz Man tidak mampu bertutur dengan jelas. Separuh tubuhnya juga telah
kaku akibat lumpuh.
Sementara itu, perkhabaran kehamilan Abyatina itu masih
belum diketahui Rizqullah untuk hari-hari berikutnya. Di saat kesemua ahli
keluarga Abyatina telah mengetahuinya, Rizqullah masih terus dibiarkan dalam
rahsia. Bukan disengajakan, namun barangkali masanya masih tidak sesuai. Itulah
yang dinyatakan Abyatina saat dirinya berbual dengan kakaknya, Raiqah.
“Sampai bila nak berahsia?” soal Raiqah.
“Kalau boleh, biarlah lebih istimewa. Biarlah dia tahu
dengan cara yang indah...” balas Abyatina.
“Indah yang macam mana pula?” soal Raiqah.
“Kadang-kadang, kalau kita terlalu nak memikirkan kesempurnaan, semuanya jadi
sebaliknya”
“Kalau kita nak sayangkan suami, sebagai isteri kenalah
kita berusaha untuk membahagiakannya,” jawab Abyatina tersenyum sahaja.
Mungkin kerana ingin membahagiakan suaminya, setiap hari
Abyatina memikirkan cara terbaik untuk memberitahu perkhabaran kehamilannya.
Setiap waktu, Abyatina cuba mencari peluang tersebut. Namun peluang yang
ditunggu masih belum ada. Abyatina tidak tahu cara sebaiknya untuk menyampaikan
berita gembira itu.
“Bila kita sayangkan suami, macam-macam yang cuba kita
buat nanti...” bisik Abyatina.
Di satu petang selepas Asar, Rizqullah kelihatan santai.
Duduk di kerusi rotan beralaskan kusyen empuk di ruang tamu, maka Rizqullah
merehatkan diri dengan membaca surat khabar. Petang Ahad menjadi waktu santai
buat Rizqullah. Di saat itu, Abyatina baru sahaja selesai solat Asar. Sementara
itu, Yaqzan anak mereka sejak Zohor lagi telah berada di rumah ibu Rizqullah.
Bermain-main dengan datuk dan neneknya barangkali, maka kadangkala Yaqzan pasti
dalam kelekaan selama berjam-jam lamanya di rumah mertua Abyatina itu. Tatkala
Abyatina dan Rizqullah hanya berdua-duaan di rumah mereka, maka di saat itu
hati Abyatina terdetik.
“Mungkin inilah masanya...” bisik Abyatina.
Abyatina berjalan menuju ke ruang tamu. Terus duduk di
sebelah Rizqullah sambil cuba melihat apa yang dibaca Rizqullah dalam akhbar
yang dipegangnya itu. Hakikatnya, Abyatina tahu, amat jarang untuk suaminya itu
bersantai sebegitu apatah lagi untuk membaca akhbar di petang hari. Lantas
tanpa membuang masa, Abyatina terus memegang tangan Rizqullah. Maka bacaan
Rizqullah terhenti seketika sambil senyumannya terukir tatkala melihat
isterinya itu berada di sisinya.
“Dah solat?” soal Rizqullah.
Abyatina hanya mengangguk sahaja. Di saat itu, sebaik
memegang tangan Rizqullah, maka Abyatina terus mencium tangan Rizqullah itu. Tindakan
Abyatina itu mencetuskan kehairanan Rizqullah, namun dia terus membisu tanpa
mempersoalkan tindakan Abyatina itu.
“Ina minta maaf kalau ada salah dan silap Ina...” kata
Abyatina tak lama kemudian.
“Kenapa dengan Ina ni? Ina sihat?” soal Rizqullah.
“Ina tahu, sebagai isteri abang... mungkin banyak dosa
yang Ina buat dengan abang...”
“Adat dalam berumah tangga, dalam bahagia ada
kekusutannya. Dalam kusut pasti ada bahagianya. Kalau masing-masing kuat,
kekallah rumah tangganya. Tiap-tiap suami isteri, pasti ada kekurangannya.
Pasti ada kesilapannya...” balas Rizqullah.
“Ina tahu...”
“Tak ada apa yang perlu dimaafkan. Tiap-tiap salah dan
silap, semuanya satu bentuk pengajaran. Kalau Ina ada salah dengan abang, macam
tu juga abang ada salah dengan Ina...”
Abyatina tersenyum sahaja. Barangkali umpannya mengena.
Di petang itu, Ina cuba bermain emosi dengan Rizqullah. Abyatina sengaja
mencetuskan situasi sebegitu di petang tersebut.
“Ina harap dapat jadi isteri terbaik buat abang...” balas
Abyatina.
“Ina dah terbaik untuk abang...” kata Rizqullah tersenyum
sahaja.
Abyatina kemudian memegang sekali lagi tangan Rizqullah. Perlahan-lahan
Abyatina menarik tangan suaminya itu. Lantas tapak tangan suaminya disentuh
Abyatina. Perlahan-lahan tapak tangan itu kemudiannya diletakkan di atas perut
Abyatina. Senyuman kemudian terukir di wajah Abyatina.
“Tiap-tiap isteri, hadiah yang terbaik buat suaminya
ialah nasab dan keturunan. Rasanya, mungkin Ina akan hadiahkan untuk abang
sekali lagi...” tutur Abyatina penuh senyuman.
Pandangan Rizqullah terhadap Abyatina bertukar serinya.
Keceriaan jelas terlihat di wajah Rizqullah. Keterujaan dalam kegembiraan
dipamerkan Rizqullah. Senyuman dikuntumkan lantas terus dipeluk isterinya itu.
“Alhamdulillah!” luah Rizqullah. “Syukur!”
Petang itu, akhirnya Abyatina menceritakan apa yang perlu
dikongsikan. Seminggu lewatnya, maka barulah Rizqullah tahu akan perihal
Abyatina yang telah berbadan dua. Sepantas dengan itu juga, maka Rizqullah
menyampaikan perkhabaran gembira itu kepada ibunya. Maka dengan sepantas itu
jugalah, berita tersebut tersebar dalam keluarga Rizqullah.
“Kalau mak dah tau khabarnya, sepantas kilat berita akan
tersebar. Itulah kehebatannya...” bicara Rizqullah di satu pagi.
Hari demi hari, perjalanan kisah Abyatina dan Rizqullah
mencipta pelbagai pengalaman baru. Ustaz Man masih terus dirawat di hospital
dan di waktu itu jugalah, Abyatina dan Rizqullah sedang menghadapi peperiksaan
terakhirnya di USM. Dalam kesibukan itu, Yaqzan anak mereka dijaga ibu
Rizqullah pula kerana pada waktu itu jugalah Mak Cik Ros, ibu Abyatina masih
terus setia berada di hospital menemani Ustaz Man yang masih menerima rawatan
di sana.
Dalam situasi yang penuh mencabar, maka masih ada
kesenangan yang dikurniakan buat mereka. Walaupun dalam keresahan disebabkan
keadaan kesihatan Ustaz Man yang masih samar-samar, Abyatina dan Rizqullah
masih merasai kebahagiaan. Perkhabaran Abyatina berbadan dua ternyata
mencetuskan keterujaan yang cukup besar terutama buat Rizqullah.
“Semua ni rezeki Allah. Tiap-tiap ujian, pasti Allah
kasihkan hamba-Nya. Dari situ, datangnya nikmat yang kita sendiri tak pernah terfikir.
Hangpa kena ingat semua tu...”
Bicara ibu Rizqullah masih terngiang-ngiang di fikiran
Abyatina. Kata-kata pesanan itu disampaikan tatakala Rizqullah datang untuk
menyampaikan berita gembira tersebut kepada ibunya. Hakikatnya, berita yang disampaikan itu
bukanlah satu kejutan, malah dinanti-nanti oleh keluarga Rizqullah. Tatkala
usia Yaqzan telah menjengah ke usia dua tahun, maka masing-masing mengharapkan
akan ada yang kedua dari Abyatina dan Rizqullah.
Kegembiraan bagaikan berterusan kerana untuk beberapa
hari berikutnya, hari lebaran bakal menjelma sekali lagi. Walaupun di saat itu,
Ustaz Man masih lagi terlantar di hospital, namun kesuraman itu kelihatan
terubat apabila mendengar perkhabaran bahawa ayah Abyatina itu mula menunjukkan
reaksi positif walaupun proses pemulihannya tidaklah begitu cepat.
“Kalau kita yakin pada Allah, dalam kesusahan pasti akan
muncul kesenangan yang tak disangka,” bicara Rizqullah di satu hari.
“Selamat hari raya abang...” balas Abyatina tersenyum
sahaja. Hakikatnya, itulah hari lebaran buat mereka. Disambut sederhana di
rumah kecil mereka, maka kisah seterusnya mereka menuju ke rumah ibu Rizqullah.
Berlebaran di sana buat seketika kerana selepas itu mereka akan bertolak pula
ke Taiping.
Lebaran kali itu sungguh berbeza. Jika tahun-tahun
sebelumnya, seisi keluarga Ustaz Man menyambut lebaran di rumah. Namun untuk
tahun ini, kesemua berkumpul di hospital. Malah lebaran bagi keluarga Cikgu
Hamdawi, ayah Rizqullah juga tidak seperti kebiasaan. Menjelang tengah hari,
Cikgu Hamdawi dan isterinya juga turut berkunjung ke hospital untuk bertanya
khabar akan besannya itu.
Kunjungan itu ternyata mengembirakan Mak Cik Ros yang
telah lama tidak bertemu dengan besannya itu. Maka perbualan tercipta di wad
itu di saat Ustaz Man masih lagi terlantar di atas katil. Ustaz Man berada
dalam keadaan sedar, namun tidak dapat bertutur dengan tetamu yang ada. Tatkala
Cikgu Hamdawi dan isterinya Mami Radhwa berbual-bual dengan Mak Cik Ros, maka
setiap perbualan itu didengari Ustaz Man.
Tak lama selepas itu, Abyatina dan Rizqullah masuk ke wad
tersebut. Perbualan masih terus berlangsung di antara ibu Abyatina dan ibu
Rizqullah. Cikgu Hamdawi pula hanya membisu seketika memerhati keadaan Ustaz
Man yang masih terlantar. Kehadiran Abyatina dan Rizqullah disedari Ustaz Man.
Maka reaksi wajah Ustaz Man tiba-tiba berubah. Cikgu Hamdawi yang melihat
besannya itu sejak tadi menyedari perubahan Ustaz Man itu.
“Bila konvomu?”
Serentak dengan itu, situasi dalam bilik ibarat terkesima
dan terhenti. Suara tersebut jelas memberi kejutan buat kesemua yang berada
dalam bilik tersebut.
“Ayahmu dah boleh bercakap!” kata Mak Cik Ros dalam nada
gembira. Itulah yang terungkap di bibirnya tatkala mendengar dua patah kata
yang didengarnya tadi.
“Alhamdulillah!” luah Cikgu Hamdawi melahirkan rasa
syukur dengan apa yang dilihatnya.
Abyatina dan Rizqullah terkejut. Dalam situasi itu, pasti
kehairanan lebih terarah kepada Abyatina dan Rizqullah.
“Kenapa perkataan pertama yang ayah cakap ialah konvo
kita?” soal Abyatina hairan.
Namun, persoalan itu tidak pernah terjawab. Kegembiraan
mengatasi segalanya. Di hari lebaran, berita gembira diterima lagi buat seisi
keluarga. Barangkali itulah petanda bahawa perjalanan hidup mereka bakal
memasuki fasa baru.
“Insya-Allah.... Konvonya tak lama lagi,” jawab Rizqullah
dengan tenang. Jawapan diberikan kepada Ustaz Man. Senyuman cuba diukir Ustaz
Man sebaik mendengar jawapan yang diberikan menantunya itu.
*Tamat sudah Bicara Tiga Puluh Tiga*
Rizqullah dan Abyatina bakal berkonvo. Apakah kehidupan
mereka akan berubah nanti? Akan bersambung di lain bicara.
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan
inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan
kekuatannya, beri kekaguman buat saya.
Terima kasih kepada sahabat UPSI, saudari Nur Adila Muhammad kerana memberi izin untuk disiarkan gambar beliau bagi siri Adina kali ini.
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan