Rabu, 31 Ogos 2011

Apabila Suci datang ke rumah...




Kisahnya diceritakan oleh sahabat rapat, sebuah sambungan kisah luahannya seperti yang pernah diceritakan dalam bicara sebelum ini; Luahan sahabat berbicara tentang Suci dalam penceritaan tersirat ....”

Bicara bermula dengan sebuah kejutan, ketika dirinya ke perpustakaan sekolah berjumpa ayahnya yang menunggu. Ayahnya seorang guru, dan dia muncul setelah lima tahun meninggalkan alam persekolahan. Saat itu matanya terpaku.

Suci di sebelah ayahnya, dan ayahnya itu berbual mesra dengan Suci.

“Apakah ayahku megenali Suci?” bicara sahabat ini dalam persoalan.

Lantas perkenalan berlaku, walaupun hakikatnya Suci dan dirinya masing-masing telah mengenali antara satu sama lain.

Kata ayahnya, Suci akan menumpang tinggal di rumah. Ibu dan ayah Suci akan berada di luar negara atas urusan kerja. Makanya selama seminggu Suci akan berada di rumah sahabat ini.

Sahabat ini terkejut. Tak terlintas di fikirannya  gadis bernama Suci itu akan menumpang tinggal beberapa hari di rumahnya.

“Bagaimana boleh berlaku perjanjian tumpang tinggal di rumahnya itu?” saya menyoal sahabat ini.

Katanya, ayahnya dan ayah Suci adalah sahabat. Berkenalan lama walaupun beza sisi pandangan politiknya. Perkara itu ternyata di luar pengetahuan sahabat ini.

Matanya terpegun saat melihat Suci berada di bilik tetamu. Saat itu, dia seakan tak percaya gadis yang menjadi obsesinya itu berkunjung ke rumahnya. Saat mata melihat ketekunan si Suci menyiapkan tugasan kolej di ruamhnya, sambil matanya hanya fokus pada kerja itu, itulah detik terindah yang sukar dipercayainya. Wajah Suci adalah terindah pada pandangan matanya. Kekaguman ditambah pula dengan rasa terpesona, maka kisah seterusnya menghasilkan detik-detik tak terucap bagi sahabat ini.

“Cantiknya tak tergambar...” kata sahabat ini menggambarkan kekaguman.

Benar, matanya sering menjeling melihat Suci sewaktu menyiapkan tugasan kolej di ruang tamu rumahnya. Suci tak menyedari, ketekunan melakukan kerja itu disambut dengan renungan oleh sahabat saya ini. Adik-adik kecil sahabat ini kadang kala menganggu si Suci yang tekun bekerja, mungkin pinta untuk bermanja. Tiada kemarahan terlahir di wajah Suci, tetapi hanya senyuman manis sambil ketawa kecil melayan kerenah adik-adik kecil ini. Kekaguman tercipta lagi buat sahabat ini.

Malam itu, Suci tidur bersama-sama adik-adik perempuan sahabat ini. Amat manja, seolah-olah adik-adiknya itu telah lama mengenali Suci. Perbualan tercetus diikuti dengan gurau senda saat Suci dan adik-adiknya itu hendak tidur di bilik. Gurau senda itu jelas didengari oleh sahabat ini yang tidur di ruang tamu.

“Apakah ada tersirat di sebalik kemesraan antara mereka ini?” soal sahabat ini.

Ibu sahabat ini melayan dengan penuh mesra Suci. Dilayan Suci ibarat seperti anak sendiri. Perbualan mesra seringkali tercetus setiap masa di rumah. Suci mesra orangnya, dan ibu sahabat ini pula ternyata ramah orangnya.

“Apakah serasi mereka ini ada maksudnya?”

Petang itu, Suci keluar berjalan-jalan di halaman rumah menghirup udara segar. Mungkin kepenatan dek sibuk menyiapkan kerja dan tugasan, kini mahu merehatkan minda. Saat itu, sahabat ini curi-curi masuk ke bilik Suci. Sekadar masuk untuk melihat, namun matanya terpaku di meja kerja di bilik itu. Tugasan-tugasan kolej Suci terusun rapi di atas meja. Dibelek-belek tugasan itu namun sahabat ini tak mengerti. Tak faham apa yang dilihat, kerana Suci bidang pengajiannya dalam perbankan. Seorang bakal guru tak akan mengerti apa itu konsep inflasi mahupun dasar kewangan fiskal.

Mata sahabat ini kemudian tertarik pada kamera digital di atas meja. Terus diambil sekadar melihat. Milik si Suci, kamera itu mencetuskan rasa ingin tahu. Maka dihidupkan kamera itu. Satu persatu gambar dalam kamera itu dilihatnya.

Saat itu sahabat ini terkejut seketika. Mungkin tak percaya, atau mungkin juga tak terlintas di fikirannya.

Wajah-wajah sahabat ini mendominasikan dalam simpanan gambar dalam kamera itu. Satu persatu gambarnya terpampang dengan jelas dalam kamera milik Suci itu. Kebanyakan gambar itu diambil dari jauh tanpa disedari sahabat ini sendiri. Terdapat juga video rakaman, yang dirakam Suci sendiri, dan dengan jelas rakaman tesebut ialah rakaman gelagat sahabat ini bermain dengan adik-adiknya.

Sahabat ini terkejut. Tidak menduga, dalam diam Suci mengambil gambarnya. Tidak menduga, dalam diam Suci merakamkan video dirinya. Mengapa dan kenapa? Itulah persoalan yang tercetus. Apakah terdapat istimewa buat sahabat ini pada mata si Suci?

Lantas tercetus persoalan dalam pertanyaan.

“Apakah Suci menyukai aku?” soal sahabat ini.

Hakikatnya, Suci tak pernah luahkan rasa hatinya kepada sesiapa. Apatah lagi luahkan kepada sahabat ini. Kata sahabat ini, Suci telah punyai teman hati, dan diketahuinya menerusi laman Muka Buku. Namun, sejauh mana kebenaran bahawa Suci ini punyai hubungan istimewa dengan si teman hati itu, maka jawapannya masih samar-samar.

Mungkinkah dalam diam Suci mencintai sahabat ini? Mungkinkah memang akan tiba satu masa nanti, sahabat ini dan Suci akan bersatu mengikat janji dan hati?

Sahabat ini bernama Tabah, dan memang punyai obsesi terhadap Suci. Walaupun punyai hubungan dengan seorang gadis lain kini, namun obsesi terhadap gadis bernama Suci masih terus kekal.

Apakah maksud di sebalik koleksi gambar-gambar wajah Tabah yang disimpan Suci dalam kamera digitalnya? Bagaimana pula dengan rakaman video itu? Apakah itu tanda bahawa Suci memang menyukai Tabah dalam diam?

Hakikatnya, keluarga Tabah melayan dengan baik Suci sepanjang Suci berada di rumahnya. Tempoh seminggu itu melahirkan rasa kekaguman yang tercipta apabila melihat kemesraan yang ditonjolkan oleh keluarganya terhadap Suci. Ibarat seperti  sebahagian dari keluarganya, itulah yang dilihat Tabah apabila memerhatikan kemesraan Suci dan keluarganya.

Saat itu juga baru Tabah tahu, keluarganya tidak langsung memandang latar politik keluarga Suci. Walaupun tak sebulu bendera politik, namun itu bukanlah lesen pemutus tali silaturahim. Sahabat ini tahu, mungkin lima sebab yang pernah dinyatakan sebelum ini kepada saya hakikatnya bukanlah satu sebab yang akan memustahilkan impiannya bersama Suci.

Petang itu juga, Suci bermain-main dengan adik-adik Tabah. Sangat mesra dan tak pernah jemu melayan kerenah adik-adiknya, ternyata gelak ketawa yang tercipta dalam gurauan bermain-main itu mencetuskan rasa bahagia di hati Tabah.

Apakah benar Suci akan menjadi sebahagian dari keluarga sahabat ini?

Persoalan demi persoalan akan terus tercipta. Biarlah, kerana tiap kali bicara tentang obsesi sahabat ini terhadap Suci, memang penuh keterujaan akan tercipta.

Saat itu jugalah, Tabah tidak lagi takut untuk menyebut nama Suci di hadapan keluarganya. Jika dulu disorok sahaja perihal Suci ini, namun kini barulah dia tahu keluarganya hakikatnya telah mengenali si Suci.

Buat sahabat ini, jika benar kamu bahagia dengan Suci, maka usahakanlah sesuatu. Barang siapa pun pilihan kamu, baik Suci mahupun gadis yang lain, cuma satu sahaja harapan saya selaku sahabat rapat kamu.

“Moga kamu bahagia senantiasa”

Bersatukah Tabah dan Suci satu hari nanti?


Hanya Allah mengetahui, dan hanya takdir yang mengerti... 


Khamis, 25 Ogos 2011

Epilog Kerana dia memelukku di KOMTAR




Penghasilan Siri Adina (Bicara Dua Belas) telah membawa saya berkunjung semula ke Pulau Pinang. Kunjungan wajib setiap kali bercuti, maka kisah kali ini hanya lebih ditumpukan kepada kunjungan ziarah keluarga saya di sana. Itulah yang mencetuskan ilham buat saya bagi menulis Adina (Bicara Dua Belas).

Pulau Pinang dan saya ternyata terlalu sebati.  Dari dulu sehingga kini, kunjungan ke Pulau Mutiara ini menjadi satu kunjungan wajib setiap kali mempunyai peluang dan kelapangan. Banyak kisah dan perjalanan telah tercatat di sini, dan pengalaman yang dikutip juga ternyata sangat bermakna.

Epilog perjalanan setelah hampir setahun berlalu, kunjungan saya masih sama, iaitu singgah ke KOMTAR. Ibarat satu tradisi, acap kali berkunjung ke Pulau Pinang, maka KOMTAR menjadi destinasi wajib untuk saya kunjungi.  Telah menjadi kebiasaan sehingga mungkin menjadi kemestian.

Pernah dikisahkan satu masa dulu, perjalanan di KOMTAR mencetuskan rasa kejutan tak terduga. Itulah kisah si gadis yang tiba-tiba memeluk saya secara mengejut. Kisah itu ternyata menjadi perjalanan pengalaman yang tak pernah disangka akan memberi impak yang besar dalam hidup saya. Disebabkan kejutan itulah, satu kesyukuran tercipta dalam hati. Itulah kesyukuran apabila seorang gadis menemui jalan benar kembali.

Beberapa hari yang lalu, pada sebelah paginya, seperti biasa rutin berjoging di Taman Tasik masih tetap diteruskan walaupun di bulan Ramadan. Cuaca dingin dengan kabus masih menyelimuti kawasan taman tasik ternyata beri nikmat tak terucap.  Hujan malam sebelumnya telah mendinginkan pagi itu. Hari itu, semangat berbeza dirasai. Itulahs semangat dengan hati penuh teruja untuk berkunjung ke Pulau Pinang.

“Setiap 17 minit, lahir seorang anak luar nikah”

Itulah tajuk Dewan Masyarakat edisi Jun 2011. Ternyata melihat pada tajuknya sahaja, memang agak menakutkan untuk menerima hakikat, masyarakat hari ini telah mengalami kerosakan yang amat parah.

Bukan mudah untuk mendapatkan naskah Dewan Masyarakat sejak kebelakangan ini. Semuanya gara-gara masalah yang menimpa syarikat Dawama, iaitu syarikat yang diberikan kepercayaan oleh DBP untuk mencetak naskah Dewan Masyarakat. Dek pembuangan 400 pekerja Dawama, maka pengedaran naskah Dewan Masyarakat juga telah terencat. Naskah Julai dan Ogos masih belum berada di pasaran Taiping.

Kerana puas mencari naskah itu, maka perjalanan ke Pulau Pinang terpaksa diubah masanya. Sukar benar untuk menemui naskah itu di Taiping dan akhirnya baru saya ketemu naskah tersebut apabila berkunjung ke kedai buku DBP yang terletak di hadapan Hospital Taiping. Namun hanya naskah bulan Jun sahaja yang ada, dan itupun hanya tinggal beberapa naskah sahaja.

Selepas Zohor, perjalanan dimulakan. Naskah Dewan Masyarakat yang baru dibeli itu turut dibawa bersama untuk menjadi teman sepanjang berada di Pulau Pinang.

Memandu berseorangan, fikiran senantiasa menerawang memikirkan pelbagai perkara. Perkaitan tajuk utama majalah yang dibeli itu ternyata amat rapat dengan kisah yang berlegar di fikiran saya ketika itu. Disebabkan dirinya, saya muncul kembali ke Pulau Mutiara. Perjalanan satu jam setengah itu hanya membuatkan fikiran saya memikirkan akan barah kerosakan yang sedang melanda generasi muda hari ini.

Melepasi Jambatan Pulau Pinang, maka destinasi telah ditetapkan. Perjalanan akan menuju pula ke Universiti Sains Malaysia (USM).  Lokasi ini bukanlah asing, kerana kerap kali saya berkunjung ke sini. Seperti yang telah dijanjikan menerusi perbualan pendek di telefon semalam, maka saya akan menuju ke Masjid al-Malik Khalid atau lebih dikenali sebagai Masjid USM. Di sana saya akan bertemu dengannya.

Menanti di perkarangan masjid mengimbau kembali kisah lama beberapa tahun yang lalu. USM bukanlah sesuatu yang asing. Setiap inci kawasan kampus ini telah dihafal dengan baik. Malah, setiap kali berkunjung kembali ke bumi USM, perasaan ‘pulang ke rumah’ memang dapat dirasai.

“Assalamualaikum”

Bicara dia dimulakan dengan satu lafaz salam lantas terus saya jawab. Akhirnya individu yang dinanti telah tiba di perkarangan masjid.

“Abang nak gerak sekarang?” soalnya kemudian.

“Insyaallah”

Saya mengikut dari belakang Suzuki Swift yang dipandunya. Walaupun jalan-jalan di Pulau Pinang telah biasa dilalui, namun untuk perjalanan ke rumahnya saya akui saya tak tahu. Walaupun alamat diberinya, saya akhirnya meminta dirinya muncul juga untuk menjadi pemandu pelancong tak bertauliah buat saya membantu perjalanan saya ke rumahnya.

Siapakah hamba Allah itu?

Itulah individu yang pernah mencipta kisah di KOMTAR. Itulah hamba Allah yang tiba-tiba memberikan kejutan sewaktu kunjungan saya di KOMTAR setahun yang lalu. Itulah gadis yang memeluk saya di KOMTAR. Epilog memulakan penceritaan.

Semuanya bermula dengan satu panggilan ringkas menerusi telefon. Gadis itu beri kejutan menjemput saya berbuka puasa bersama keluarganya.  Katanya, ibu bapanya ternyata sangat ingin menemui saya. Maka saya terus beri persetujuan.

Perjalanan ke rumahnya tidaklah jauh dari kampus USM. Namun, dek kesesakan jalan, maka masa perjalanan menjadi panjang sedikit. Mata tertumpu saat kereta yang dipandu melalui kawasan kondomium mewah. Kagum dibuatnya, apabila mendapat tahu bahawa keluarga gadis ini tinggal di kawasan tersebut.

Kereta yang dipandu terus mengikuti kereta gadis itu melepasi pondok pengawal di pintu masuk kondominium. Itulah pertama kali saya memasuki kawasan kediaman mewah sebegitu.

Rumahnya terletak di tingkat sepuluh, dan mengadap kawasan pantai. Kunjungan saya di rumah itu disambut dengan senyuman mesra ayah dan ibu gadis tersebut. Terharu saya dibuatnya atas layanan baik dari mereka. Tambah mengharukan, saya diberitahu bahawa ibu dan ayah gadis itu telah mengambil cuti semata-mata mahu berjumpa dengan saya. Rasa serba salah pula dibuatnya.

Sejurus sampai, ibunya terus mempelawa saya berehat-rehat di ruang tamu. Satu pelawaan yang bertepatan dengan apa yang saya rasai ketika ini. Benar, saya agak keletihan sebaik tiba di rumahnya. Mungkin keletihan akibat terlebih aktif di pagi hari dek sibuk mencari naskah Dewan Masyarakat.

Menanti azan Asar, maka saya mengambil peluang meninjau-ninjau ruang tamu. Mata yang memandang akhirnya membuat kesimpulan bahawa keluarga gadis ini bukanlah calang-calang orang. Kekayaan menguliti kehidupannya. Barang-barang di ruang tamu itu ternyata bukanlah seperti kebiasaan yang saya lihat di ruang tamu di rumah-rumah lain.

Tidak menghairankan melihat kemewahan rumah itu. Bapanya seorang peguam di sebuah firma, dan ibunya pula seorang arkitek. Gadis itu hanya mempunyai seorang adik, dan pendapatan bulanan keluarganya jauh melebihi dari apa yang diperlukan. Limpahan kemewahan menguliti hidupnya. Terasa kecil diri ini bila melihat kesenangan hidup keluarganya. Jauh benar dengan keluarga saya yang hidup bersederhana.

Angin yang bertiup telah menarik kaki saya untuk melangkah ke balkoni rumah itu. Mata kagum melihat dengan pemandangan dari balkoni itu. Hamparan lautan jelas dilihat, dan dari balkoni ini jugalah, dapat dilihat dengan jelas kawasan Seberang Perai yang terletak di tanah besar.

Maka, saya putuskan untuk berehat sahaja di balkoni itu. Duduk di kerusi rotan sambul menikmati hembusan angin yang menyegarkan. Peluang yang jarang dirasai jika berada di sebuah kondominium mewah di tingkat sepuluh. Ah, mungkin sekali sahaja peluang ini.

“Boleh saya duduk?”

Saya disapa. Gadis itu berdiri di balkoni. Muncul secara mengejut. Entah kenapa, saat dia muncul itu, fikiran saya terus terkenangkan kembali peristiwa kejutan saya terima sewaktu berkunjung ke KOMTAR apabila dipeluk oleh gadis yang sama setahun yang lalu. Apakah gadis ini memang suka memberi kejutan pada saya?

“Silakan,” saya membalas diikuti dengan diam seribu bahasa. Tak tahu apa yang ingin dibualkan dengan gadis itu. Saat itu, adiknya sedang menonton televisyen bersama ayahnya di ruang tamu yang tak jauh dari balkoni tempat saya berada, sementara ibunya pula berada di dapur. Gadis itu kemudian duduk di kerusi rotan di sebelah saya.

“Terima kasih banyak-banyak abang....” bicara gadis itu memulakan bicara.

“Terima kasih?” saya menyoal kehairanan tanda tak faham.

“Sebab abanglah semuanya dah berbeza sekarang. Kerana abang, saya dah berubah”

Tak tahu apa yang ingin saya bicarakan. Ucapan terima kasih yang diungkapkan itu hakikatnya bukanlah layak untuk diberikan kepada saya. Hakikatnya bukan saya yang menyebabkan dirinya berubah.

“Kamu yang merubah diri kamu. Kerana hati kamu nak berubah, maka kamu berubah. Bukan saya penyebabnya,” balas saya.

“Tapi, kalau tak kerana abang yang tegur saya hari tu, mungkin sampai sekarang saya masih hanyut macam dulu,” katanya pula.

“Hidayah adalah hak mutlak Allah. Dari-Nya, maka hidayah tu diberikan. Bukan saya penyebabnya, tapi Allah yang beri izin. Kamu berubah bukan disebabkan saya, tapi disebabkan izin Allah”

Gadis itu sekadar membisu. Sekadar mendengar sahaja bicara saya.

“Walau apa pun, terima kasih sebab tegur saya. Kalaulah abang tak tegur, saya tak tahu kesudahan selepas itu”

Terlintas di fikiran kemudian. Sejak dari dulu lagi saya ingin benar mengetahui jawapan kepada persoalan ini. Saya tertanya-tanya, sebab dan alasan mengapa saya dipilih untuk dipeluk gadis itu sewaktu peristiwa di KOMTAR setahun yang lalu, sedangkan terdapat ramai lagi lelaki yang berjalan ketika itu di KOMTAR.

“Kenapa?” saya menyoalnya.

“Sebab bila saya lihat muka abang waktu tu, saya tau, abang bukan orang yang akan cepat melenting. Saya rasa lebih selamat kalau peluk abang berbanding yang lain. Kalau peluk yang lain, mungkin makan penampar lepas tu,” jawabnya.

Tersenyum saya. Rupa-rupanya itulah alasannya. Saat mahu melakukan perkara maksiat, saat itu jugalah fikirannya masih memikirkan kewarasan. Masih berfikir jalan mana yang lebih selamat sebelum dilakukan pelukan itu. Walaupun perkara haram dilakukannya, dia masih memikirkan keselamatannya. Benar, dia tak merasai tamparan tangan saya yang memang marah ketika itu, namun dia menerima satu teguran panjang dari saya selepas itu.

“Saya minta maaf. Saya jahil waktu tu. Semuanya hanya nak berseronok. Tak pernah fikirkan soal masa depan,” bicara gadis itu.

“Tak apa...”

Bicara berterusan berlanjutan tanpa saya sedar. Perbualan itu ternyata panjang, dari hati ke hati. Banyak yang diluahkan gadis itu kepada saya. Itulah pertama kalinya saya mendengar segala luahannya secara langsung, kerana sebelum ini semua perbincangan dan luahan itu dinyatakan menerusi Facebook sahaja.

“Saya dulu bukan ikhlas. Bab agama semua diketepikan. Mungkin Islam saya hanya pada nama sahaja,” katanya. “Dulu, tudung yang saya pakai macam main-main saja. Sekadar ikut kawan-kawan, nak nampak lawa. Tak pernah terfikir pakai tudung untuk penuhi tuntutan agama”

Katanya lagi, dia sebenarnya bukanlah sepanjang masa bertudung. Ada kalanya, dia membiarkan sahaja rambutnya terdedah sewaktu keluar dari rumah. Malah, katanya lagi, rambutnya dulu diwarnakan, dan diubah warnanya mengikut kehendak hatinya. Katanya lagi, tudung yang dipakainya pada waktu itu ibarat aksesori, seperti topi yang akan dipakai pada waktu-waktu tertentu sahaja.

“Saya jahil abang....”

Lantas saya bertanya perihal ibu bapanya. Apakah ibu bapanya tidak mempedulikannya saat dia hanyut satu masa dulu? Soalan itu diajukan padanya.

“Mak dengan ayah bukan tak ambil peduli. Banyak kali juga nasihat saya, tapi saya buat tak kisah. Degil tak dengar cakap. Lagipun diorang jarang ada kat rumah. Memanjang sibuk. Pagi pergi kerja, petang baru balik. Kadang-kadang waktu malam baru diorang balik. Tak ada masa nak tengok saya ni. Kat rumah tak ada siapa. Adik ada kat sekolah, saya sorang-sorang kat rumah. Boring, tulah keluar dengan kawan-kawan,” bicara gadis itu.

“Sebab tu kamu terjebak dengan budak-budak hantu tu?” soal saya.

“Sebab saya seronok bila bergaul dengan diorang. Enjoy je. Tak rasa tension langsung,” bicara gadis itu. “Tapi, tu dulu. Bila lama-lama, seronok tu dah hilang”

“Tiap-tiap yang seronok atas dasar nafsu, tak akan kekal selamanya,” bicara saya.

“Abang tau, bila abang tegur saya waktu tu, hati saya tiba-tiba terdetik. Macam tersedar dari mimpi. Tak tau apa sebabnya, tapi bila abang yang tak pernah kenal saya dengan berani tegur saya, terfikir dalam hati yang saya ni mungkin dah jauh hanyut,” terangnya dengan tenang. “Bila abang tegur saya, terus terfikir pasal mak dengan ayah. Saya tau, memang diorang akan kecewa”

Peristiwa di KOMTAR itu ternyata memberi impak yang cukup besar buat gadis itu. Secara kebetulan, saya terlibat dalam kisahnya itu. Tanpa disangka juga, dia terus berubah selepas teguran yang diberikan.

Mengapa dengan mudah dirinya boleh berubah selepas kejadian itu?

Semua itu adalah kehendak Allah. Tiap-tiap kejadian adalah hak Allah untuk menerencanakannya. Dialah yang berhak mengurniakan hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Gadis itu kemudian terus menceritakan kisahnya apabila  pulang pada hari tersebut. Katanya, dia menangis sebaik masuk ke biliknya. Bukan kerana terasa dengan teguran yang saya berikan, tetapi perasaan menyesal tiba-tiba dirasainya. Katanya, dia seolah-olah tersedar dari mimpi yang panjang.

Lebih seminggu dia mengurungkan diri dalam biliknya. Sepanjang tempoh itu, gadis itu kemurungan. Katanya, dia benar-benar keliru dengan apa yang berlaku pada waktu itu. Tak tahu apa yang perlu dilakukannya. Hatinya senantiasa resah. Cuba mencari sesuatu, namun tak tahu apa yang ingin dicari.

Seminggu berlalu, dia kemudian tergerak hati untuk membuka Facebook. Menerusi kertas yang tercatat nama saya yang saya berikan sebelum meninggalkan gadis itu, maka dia terus mencari nama saya. Akhirnya dia menghantar permintaan berkawan di Facebook, dan sehari kemudian, dia menghantar satu mesej ke inbox Facebook saya. Dia bertanya soal cara untuk mendapatkan kententeraman dalam jiwa.

Maka dari situ baru saya tahu gadis ini tak pernah bersolat.  Lantas saya terus membalas mesej tersebut.

“Kembalilah kamu dekatkan diri pada Allah. Solatlah lima waktu...”

Gadis itu kemudian perlahan-lahan cuba mendirikan solat. Katanya, pada pemulaan untuk solat kembali ternyata agak sukar, namun digagahkan juga. Kesukaran itu timbul dek dirinya yang telah lama tidak mendirikan solat.

Perhubungan terus terjalin antara saya dan gadis itu. Namun, kami hanya berhubung melalui Facebook sahaja. Pelbagai soalan diajukan gadis ini, dan saya sekadar menjawab dalam kemampuan ilmu yang ada. Niat saya sekadar mahu membimbingnya supaya kembali ke jalan yang benar.

Kata gadis itu, hari demi hari dia mula merasai ketenangan. Perlahan-lahan juga, dia menjadikan saya sebagai tempat rujukan utamanya. Memang tidak menghairankan kerana dia memang kerap menghantar mesej ke Facebook saya. Boleh dikatakan setiap hari, pasti akan ada soalan yang diajukan olehnya. Setiap soalan itu hanya mempunyai satu tema, iaitu persoalan berkaitan untuk merubah diri menjadi lebih baik. Namun, saya menasihatinya supaya sebaiknya perkara-perkara berkaitan dengan hal agama dirujuk kepada pakar yang lebih berpengetahuan. Takut juga nanti saya beri nasihat yang tak selari dengan tuntutan agama.

Perubahan demi perubahan berlaku. Lama kelamaan perubahan itu disedari ibu dan ayahnya. Benar, ibu bapa mana yang tak gembira apabila melihat anaknya tidak lagi liar keluar pada waktu malam? Ibu bapa mana yang tak gembira bila lihat anaknya tak tinggalkan solat? Ibu bapa mana yang tak gembira jika lihat anaknya telah menutup aurat sepanjang masa dan dengan sempurna?

Memang ibu dan ayahnya sangat gembira. Malah, disebabkan perubahan yang berlaku pada gadis itulah, ahli keluarganya mula kembali rapat. Ibu bapanya tersedar bahawa mereka telah alpa seketika dalam memberi perhatian kepada anak-anak mereka. Maka hasilnya, masing-masing banyak meluangkan masa bersama.

Maka dari situ ibu bapanya mula mengenali saya. Gadis itu bercerita perihal saya yang dikatakan telah berjaya merubah dirinya kepada ibu dan ayahnya. Bermula dari saat itulah, hubungan yang lebih akrab mula terjalin antara saya dan keluarganya.

Perbualan antara saya dan gadis itu terhenti sebaik azan Asar berkumandang. Lantas saya menuju ke bilik tetamu yang disediakan untuk saya. Solat Asar akan didirikan.

Selepas Asar,  ayah gadis itu mengajak saya bersiar-siar di sekitar Pulau Pinang. Turut ikut serta ialah adik gadis itu, sementara ibunya dan gadis itu berada di dapur sibuk melakukan persiapan untuk juadah berbuka.

Banyak yang dibualkan sepanjang perjalanan itu. Bicara dari hati ke hati berlaku. Luahan seorang ayah saya dengar sepanjang perjalanan itu. Namun, adalah sesuatu yang tidak sesuai untuk saya kongsikan dalam bicara ini kerana banyak perkara yang diperkatakan adalah terlalu peribadi untuk dikongsikan. Ternyata ayahnya ini seorang yang sangat ramah dan petah berkata-kata. Perjalanan itu sebenarnya menuju ke KOMTAR.

“Bila saya lihat KOMTAR, saya akan teringat anak saya. Sebab di sinilah titik permulaan anak saya berubah,” kata ayahnya sebaik tiba di KOMTAR.

Hidangan berbuka puasa ternyata menyelerakan. Nasi beriani respi turun-temurun ibunya menjadi menu utama untuk berbuka. Hidangan kuih muih juga turut disediakan. Saya menjadi kagum apabila mendapat tahu bahawa kesemua hidangan yang disediakan itu dibuat sendiri oleh ibunya. Segan pula dibuatnya.

Malam itu saya mengikut mereka sekeluarga berjemaah terawih di Masjid USM. Menaiki Porche Cayene yang dipandu ayahnya merupakan pengalaman baru buat saya. Terasa bagai menjadi orang kaya seketika saat menaiki kereta milik ayahnya itu.
Sewaktu mahu melelapkan mata di bilik tetamu pada malamnya, fikiran saya terus menerawang. Saya akui, peristiwa yang berlaku di KOMTAR ternyata memberi impak yang cukup besar buat saya. Saya tak menjangka, disebabkan hati saya tergerak untuk menegur gadis itu, akhirnya hubungan persaudaraan terjalin antara saya dan keluarga tersebut. Bayangkan jika teguran pada hari kejadian itu tak dibuat dan saya membiarkan sahaja gadis itu. Mustahil saya dapat berada di rumah keluarga ini.

Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dalam memberikan hidayah kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya. Saat hidayah itu sampai, tiada siapa lagi yang mampu menghalang-Nya. Hidayah adalah sesuatu yang cukup indah bila dilihat, kerana kadangkala boleh mencetuskan rasa keinsafan dan rasa keharuan. Hati boleh rasa kagum bila melihat seseorang yang dulunya hanyut kembali ke jalan-Nya.

Saya akui, hidayah yang diperoleh gadis itu adalah tanda kekuasaan Allah dan bukti bahawa Allah itu Maha Penyayang. Peristiwa yang terjadi itu banyak mengajar saya supaya senantiasa mengingati Allah tidak kira di mana berada dan bila masanya. Selagi nyawa masih ada, maka selagi itu tanggungjawab utama hanyalah kepada Allah.

Perubahan yang berlaku terhadap gadis itu ternyata memberi rahmat buat ahli keluarga yang lain. Disebabkan hidayah yang diperoleh si gadis itu, ahli keluarga lain turut merasai tempiasnya. Benar, apabila Allah memberi nur hidayah kepadanya, orang di sekelilingnya juga turut mendapat rahmat-Nya.

Kisah di Pulau Pinang ditamatkan dengan sebuah perpisahan di pagi hari keesokannya. Pagi itu sebelum pulang, saya bersahur di sebuah restoran bersama ahli keluarga gadis itu, dan kemudian bersolat Subuh di Masjid Negeri. Kepulangan saya sebaik matahari memancarkan sinarnya ternyata menjadi satu situasi yang agak emosional.

Perbualan panjang sekali lagi berlangsung di ruang tamu. Kali ini ibu dan ayahnya berbicara dengan saya. Mereka mengucapkan ucapan penghargaan tak terhingga kepada saya kerana dikatakan telah berjaya mengubah anak gadisnya yang hanyut.  Wallahualam, saya tak pernah merasakan begitu kerana sehingga kini, saya masih beranggapan bahawa perubahan yang berlaku pada gadis itu bukanlah disebabkan saya tetapi berlaku atas kententuan Allah.

“Terima kasih tak terhingga atas jasa kamu yang cukup besar,” bicara ayahnya. Serentak dengan itu, saya dipeluknya dengan cukup erat dan cukup lama pelukan itu. Itulah pelukan yang sangat bermakna buat saya. Rasa sedikit sebak apabila melihat kegembiraan ayahnya itu terhadap perubahan anak gadisnya.

Itulah pelukan yang saya terima sekali lagi di bumi Pulau Mutiara. Pelukan yang saya terima bukan lagi sebuah kejutan, namun satu keinsafan yang dapat saya rasai. Pelukan itu bukan lagi atas dasar kejahilan seorang gadis, namun satu pelukan yang datang dari seorang ayah yang melahirkan kesyukuran. Pelukan yang diterima adalah sesuatu cukup berbeza dengan pelukan yang pernah saya terima ketika di KOMTAR setahun yang lalu.

Sebelum saya berangkat, gadis itu berkata sesuatu pada saya. Ibarat seperti satu luahan atau mungkin juga sekadar bicara dinyatakan pada saya.

“Kalau saya ditakdirkan nanti jatuh hati dengan oarang macam abang, saya sangat-sangat bersyukur. Abang adalah orang yang cukup sempurna,” kata gadis itu.

Tergamam saya. Apakah maksudnya? Saya tak mengerti. Apakah dia telah jatuh hati pada saya? Itu juga tak dapat saya pastikan. Apa yang pasti, hubungan saya dan gadis itu akrab. Namun untuk dinyatakan mengenai soal hati, itu jauh sekali dari fikiran saya.

Itulah kisah perjalanan di Pulau Pinang. Kisah kunjungan yang cukup bermakna buat saya di bulan Ramadan, dan pasti akan terus terpahat di ingatan saya menjadi antara kenangan termanis buat saya. Tema utama selepas kunjungan itu, saya hanya merasai satu sahaja; iaitu menghayati kebesaran Ilahi mengurniakan satu hidayah buat seorang gadis. Mendengar kisah perjalanan perubahan gadis itu ternyata melahirkan rasa insaf buat saya, moga saya tak alpa dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Mengapa dikongsikan epilog KOMTAR itu? Sekadar mahu berkongsi sebuah pengalaman baru yang sangat bermakna buat saya. Kisahnya masih melibatkan orang yang sama, namun punyai tema yang berbeza. Maka, apa yang diharapkan, moga kisah ini dapat diteladani.

Ramai yang bertanya gerangan nama gadis itu. Namun, saya perlu merahsiakan namanya atas permintaan gadis itu sendiri. Namun, yang pasti, gadis ini merupakan pelajar yang bakal menduduki STPM tahun ini, dan katanya, dia ingin benar menyambung cita-citanya menjadi seorang guru di UPSI.

Andai hasratnya tercapai, moga saya dan dia dapat ketemu lagi pada masa akan datang. Insyaallah.

Bicara ditamatkan dengan sebuah konklusi. Inilah konklusi yang menyatakan bahawa kisah yang diceritakan ini telah diletakkan tajuknya. “Epilog Kerana dia memelukku di KOMTAR”, maka itulah tajuk diberi.

Wallahualam.


Taman Tasik Taiping, 9.30 pagi.

*Bicara ini merupakan sambungan kisah selepas setahun berlalu seperti yang pernah dikongsikan dalam tulisan "Kerana dia memelukku di KOMTAR" Sila rujuk andai tidak memahami  kisah dalam bicara ini

Klik untuk membaca bicara "Kerana dia memelukku di KOMTAR"


Sabtu, 13 Ogos 2011

"Adina (Bicara Sebelas)"




Kepayahan kadang kala sengaja dicari. Kesenangan sengaja dibiarkan. Katanya, kesusahan itu mengajar satu pengertian yang cukup bermakna dalam menghargai sebuah kehidupan. Benar, jika tak kenal susah, maka tak kenal juga nilai kesyukuran terhadap nikmat kesenangan. Namun, bila perasaan kasih sayang itu baru terpupuk, maka kisah seterusnya pasti sebuah pencarian untuk mencambahkan lagi rasa sayang itu.

“Selamat datang ke rumah baru”

Ucapan diungkapkan penuh senyuman. Rizqullah meneruskan kisah perkongsian hidupnya bersama Abyatina. Satu lagi perjalanan baru bermula.

“Hah, ini rumah ke pondok?”

Bisikan Abyatina terjelma. Saat mata melihat rumah di hadapannya, itulah bisikan yang terungkap di fikirannya.  Terkejut dalam kuntuman senyuman. Hadiah sebuah perkahwinan dengan sebuah rumah baru. Dalam kegembiraan, tersembunyi kegusaran.

“Lah, awat yang hang nak pi pindah rumah kat depan tu? Rumah ni dah cukup besar dah untuk hang dengan bini hang tinggal....”

Kata-kata Marzuq, abang ipar Abyatina jelas kembali muncul di ingatannya. Perbualan yang berlaku di pagi hari ketika bersarapan melibatkan Rizqullah dan abang iparnya itu ternyata menarik perhatiannya.

Hasrat mahu berpindah dari rumah besar itu disuarakan Rizqullah beberapa minggu yang lalu kepada Abyatina. Bukan diminta Abyatina, kerana baginya berada di rumah mertuanya tidak menjadi satu perkara yang mendatangkan masalah.  Kisahnya terjadi, datang dari hasrat Rizqullah sendiri.

“Awat nak pindah?” soal ayah Rizqullah.

“Haish, biaq pi la. Darah tengah muda tu.....” bicara ibu Rizqullah.

“Hah, darah muda? Awat dengan darah muda tu?”

“Lah, pak hang ni boleh buat-buat tanya pulak....”

Ketawa tercetus  di dapur seisi keluarga. Abyatina tertunduk malu dan Rizqullah sekadar memandang wajah Abyatina sambil tersenyum.

“Tak produktif lah jawabnya kalau dok terperap kat rumah mak ni...” Marzuq berseloroh pula.

“Apa ke menatang ‘pronduktik’ tu? Nama biskut ke?”

“Tu dia, pak hang. Awat jadi pelik hari ni? Serba-serbi tak tau...” bicara ibu Rizqullah.

Ketawa tercetus sekali lagi. Sarapan ceria di pagi hari. Ikatan keluarga terjalin penuh kemesraan, tanda diri Abyatina semakin mendapat ketenangan di tempat baru.

“Bagaimana dengan Ina? Boleh ke rumah ni?” soal Rizqullah menghentikan lamunan seketika si Abyatina.

“Alhamdulillah....” bicara Abyatina tersenyum.

Rumah kecil tidak jauh dari rumah mertuanya. Mata Abyatina terkebil-kebil melihat rumah itu. Seakan tak percaya dia akan menetap di situ. Maka, kisah ketidakselesaan tercetus dalam hati Abyatina.

“Ya Allah, kecil yang amat. Nasib Rizqullah ni Proton Saga, dan aku ni Mini Cooper. Kalau dibuatnya aku ni lori kontena, dan Rizqullah tu lori balak, alamatnya lantai papan yang dipijak akan bertemu dengan tanah di bawahlah jawabnya....” bisik si Abyatina sambil kaki terus melangkah menuju ke rumah baru.

“Punyalah besar rumah ni, hang nak pi rumah kecil tu buat apa?” soal Marwa, kakak ipar Abyatina  sewaktu sarapan pada pagi yang sama.

“Biarlah. Bagilah peluang kat Rizqullah dengan Abyatina ber’prondok tik’ sikit...” balas ayah Rizqullah.

“Bapak, bukan pronduktik... Tapi produktif....” bicara pula Marzuq ketawa kecil.

“Owh, macam tu? Apa maksudnya?”

“Maksudnya, kalau kalau Abyatina dengan Rizqullah produktif, makin cepatlah bapak nak dapat cucu...” seloroh Marwa. Sekali lagi Abyatina tertunduk malu dengan usikan itu.

Rumah papan dengan satu bilik itu merupakan rumah yang dibina oleh abang Rizqullah, Sabqi. Saiz rumah itu terlalu kecil namun mempunyai kelengkapan yang mencukupi. Kawasan rumah itu terletak berhampiran kawasan paya, dan tidak jauh dari rumah keluarga Rizqullah.

“Saya cuma tak nak Ina rasa tak selesa. Setiap yang berkeluarga pasti mahu hidup berdikari. Maka, dengan berpindah ini, nilai berdikari itu akan dapat dirasai,” bicara Rizqullah pada malam sebelumnya.

“Ina tak kisah. Kat sini pun dah selesa...”

“Sekurang-kurangnya boleh berdua. Kalau kat rumah mak, bila adik-beradik lain berkunjung melawat mak, nilai berdua tu memang tak ada lagi...”

Prihatin Rizqullah kadang-kala melebihi dari apa yang diinginkan Abyatina. Layanan bak puteri kepadanya ternyata sangat melegakan hatinya. Benar, dalam kejauahan Abyatina dari keluarganya, Rizqullah menenangkan jiwanya dari kerinduan yang melanda.

Dek kerinduan itulah, Abyatina dibawa ke klinik pada malam dirinya pengsan di dapur. Kekalutan tercetus saat Rizqullah baru sahaja pulang dari masjid. Namun, kegelisahan yang tercetus akhirnya terlerai dengan pengesahan doktor bahawa Abyatina sekadar keletihan sahaja.

“Rindu Abyatina mendatangkan lemah buat dirinya, sehingga makan dan minum pun hilang seleranya. Maka mungkin itulah sebab Abyatina pengsan di bilik,” bicara Rizqullah di klinik kepada ibunya.

“Hilangkah rindunya. Biar dia pulang ke kampungnya....”  balas ibu Rizqullah.

Maka, itulah yang mewujudkan kisah perjalanan pulang Abyatina  ke kampungnya. Keterujaan dalam kegembiraan,  itulah yang dirasai hati Abyatina. Menenangkan jiwa seorang wanita yang kerinduan, ternyata Rizqullah berjaya menceriakan Abyatina. Itulah kisah pulang ke kampung, hanya selepas beberapa hari sahaja Abyatina dan Rizqullah berpindah ke rumah baru.

“Ini suratmu...”

Kunjungan  pulang kembali ke rumahnya disambut dengan senyuman ibunya yang siap menunggu di muka pintu dengan surat di tangan. Belum sempat kaki memasuki rumah, surat diterima si Abyatina.  Rizqullah memandang tersenyum dalam sinis.

“Masih ada peminat?” bicara Rizqullah.

Kunjungan pertama Rizqullah selaku menantu Mak Cik Ros dan Ustaz Man merupakan satu kejutan. Kedatangan tanpa dirancang, maka nikmat kejutan itu melahirkan satu kegembiraan berganda. Itulah kisah pertama Abyatina muncul bersama Rizqullah selepas hampir sebulan majlis perkahwinannya berlangsung.

“Surat apa tu?” soal Ustaz Man sebaik Abyatina menjejak kaki masuk ke ruang tamu.

Salam dihulurkan Abyatina buat Ustaz Man tanda pertemuan. Pelukan diberikan tanda melepaskan kerinduan. Abyatina membalas dalam nada kebisuan. Surat di tangan sekadar diletakkan sahaja di atas meja tanpa membukanya. Persoalan diajukan Ustaz Man tidak dijawab.

Keceriaan terpancar di wajah Abyatina. Rindu dipendam dilepaskan dengan kemesraan terhadap ibu dan ayahnya. Makan malam senantiasa menguntumkan senyuman di wajah Abyatina. Tahulah Rizqullah, isterinya kini tenang menikmati kesenangan hati. Benar, Abyatina tersangat gembira.

“Moga kamu senantiasa bahagia...” bisik Rizqullah.

Pagi keesokannya, Rizqullah pulang dan Abyatina masih terus berada di kampung. Rizqullah perlu ke sekolah untuk mengajar bagi sesi petang persekolahan, dan Abyatina diberi peluang untuk terus tinggal beberapa hari lagi di kampung. Peluang diberikan dengan harapan kerinduan yang terpendam oleh Abyatina dapat dilepaskan.

“Jaga diri, moga Ina gembira,” bicara diluahkan Rizqullah sebelum meninggalkan kampung.

Saat berjauhan pertama kali dengan Rizqullah, degupan hati Abyatina mula dirasai. Seperti rasa kekurangan tatkala hati gembira pulang ke kampung, ketiadaan Rizqullah di sisinya melahirkan rasa yang tak pernah dirasainya.

“Kamu sesungguhnya telah diikat hati oleh Rizqullah. Kamu dilanda demam rindu pertama kali...” kata ibunya sewaktu Abyatina memotong sayur di dapur untuk hidangan tengah hari.

Surat di atas meja yang tak disentuh sejak semalam mencuri kembali perhatian Abyatina. Saat dia mengemas ruang tamu rumah, barulah dia teringat kembali akan surat yang diterimanya itu.

“Adakah langkahku akan menjadi langkah yang sama seperti abangku Absyar?” bisikan muncul sebaik Abyatina melihat isi surat tersebut.

“Apa benar itu tawaran yang mu terima?” soal ibu Abyatina saat Abyatina muncul kembali di dapur.

“Jadi bagaimana dengan dirimu?” soal Ustaz Man sewaktu makan tengah hari.

Dilema tercetus kembali. Isi kandungan beri satu kegembiraan dalam sebuah persoalan. Abyatina ditawarkan untuk menyambung pengajian di IPSI. Keputusan cemerlang SPM telah merealisasikan impian Abyatina. Kini tinggal selangkah untuk menjadikan cita-cita yang menjadi impian sebelum ini bertukar kepada kenyataan. Kisah Abyatina bakal mengikut jejak abangnya Absyar, namun tersepit dengan situasi dilema.

“Apakah bahagia itu satu jaminan jika cita-citaku diteruskan? Apakah cita-cita itu satu kemestian, jika bahagia kini perlu dikorbankan? Apakah mengorbankan bahagia kini, akan menjamin satu kesenangan apabila cita-cita itu tercapai?”

Luahan dinukilkan dalam tulisan. Persoalan tentang dilema menjadi ungkapan tak terjawab. Kisah kegembiraan yang dihimpit dengan sebuah pilihan. Antara cita-cita dan Rizqullah, pilihan harus dimuktamadkan. Abyatina perlu melakukan keputusan.

“Berbincanglah dengan Rizqullah. Minta pendapat, dan tanyalah keputusannya...” bicara ibu Abyatina.

Malam itu, fikirannya masih terus berlegar-legar. Kisah tawaran belajar di IPSI hakikatnya dihimpit dengan sebuah tanggungjawab sebagai isteri kepada Rizqullah. Saat hatinya melonjak-lonjak untuk menerima tawaran itu, saat itu jugalah hatinya seakan mahu menolak hasrat menyambung cita-citanya itu.

“Tempat isteri sesungguhnya di sisi suami...” bisik Abyatina saat kaki melangkah pulang menuju ke rumah. Malam itu Abyatina ke masjid mengikuti kuliah Maghrib yang disampaikan oleh ayahnya sendiri.

Perjalanan pulang ke rumah berseorangan adalah sesuatu yang janggal. Kebiasaannya, Abyatina akan ditemani ibunya. Namun, jarak antara rumah dan masjid yang tidak jauh menyebabkan kerisauan tidak pernah muncul di wajah Abyatina. Jalan raya yang terang ditambah pula berhampiran dengan kedai kopi yang senantiasa dipenuhi para lelaki selepas berjemaah di masjid, memberikan keselamatan berganda buat Abyatina.

“Abyatina, boleh saya bercakap sekejap?”

Sapaan seorang lelaki muncul secara tiba-tiba. Suaranya memang pernah didengar Abyatina. Yaqzan muncul tanpa diduga. Di pintu masjid mereka bersua.

“Apa lagi si alien ni?” monolog si Abyatina tanda tidak selesa. Itulah kali pertama Abyatina melihat wajah Yaqzan sejak majlis perkahwinannya.

“Boleh tak?” soal Yaqzan sekali lagi.

Jika diikutkan hati, mahu sahaja diluahkan lemparan ketidaksenangan hatinya. Benar, Abyatina tidak selesa saat itu. Yaqzan seperti masih belum mengerti akan perasaan Abyatina.

“Kenapa nak kacau aku lagi? Tak faham-faham lagi ke yang kamu bukan pilihan aku? Tak reti-reti nak hormat ke, yang aku ni dah jadi isteri orang?”

Luahan Abyatina dalam monolog ternyata menggambarkan rasa amarahnya. Ikutkan hati, mahu sahaja dilemparkan kata-kata itu kepada Yaqzan. Namun, adab masih lagi dijunjung ditambah pula saat diri Abyatina yang baru sahaja pulang dari masjid.

“Ina, ayahmu dilanggar lori!”

Jeritan tiba-tiba datang dari kedai kopi. Seorang lelaki menghampiri Abyatina dalam nada yang cemas. Berita mengejut disampaikan. Yaqzan di sebelah Abyatina, dan seorang lelaki di hadapannya. Kekalutan terbesar tercetus.

“Ya Allah!”



*Tamat sudah Bicara Sebelas*

Jeng, jeng, jeng.......  Menyambung kisah di lain bicara...

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 


Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina

Isnin, 8 Ogos 2011

Jam kedua belas: Meraikan pos ke-100 di blog, dan pos terakhir bagi "12 Jam tanpa henti bicara di blog"

Alhamdulillah, entri ini merupakan pos ke-100 di blog ini. Sesungguhnya, untuk mencapai jumlah ini bukanlah mudah, kerana kesemua entri yang diterbitkan di blog ini adalah datang dari nukilan saya sendiri, tidak dicopy dari mana-mana artikel mahupun laman web.

Perlaksanaan 12 jam tanpa henti bicara di blog ini adalah bertujuan untuk meraikan juga entri ke-100 di blog ini. Mengenangkan kembali kisah-kisah dulu, harus diakui, saya tak pernah terlintas untuk mencapai angka ke-100 ini. Malah, saya juga tak pernah terfikir untuk terlibat secara aktif dalam penulisan di blog.



Mohon maaf andai ada yang terguris hati sepanjang 12 jam saya berbicara di blog. Mohon maaf juga, andai ada yang terguris hati sepanjang saya menulis 100 entri sebelum ini. Saya akui, banyak kelemahan yang ada, dan hakikat itu saya sedar bahawa belajar dari kesilapan itu adalah pembelajaran sebaik-baiknya.

Insyaallah, andai punyai masa dan kesempatan lagi, saya akan terus menulis di blog ini. Andai masih ada pembaca yang membaca setiap bicara saya ini, insyaallah saya akan terus menulis. Terima kasih buat kalian yang terus menjadi pembaca setia tulisan saya. Saya sangat menghargai kalian semua.

Insyaallah, setelah hampir 12 jam berbicara dan menulis di blog tanpa henti, mungkin saya akan berehat panjang. Biarlah blog ini direhatkan seketika setelah pelbagai perkongsian dinyatakan. Dalam tempoh terdekat ini, insyaallah "Adina (Bicara Sebelas)" akan muncul di blog tak lama lagi.

Penghujung bicara, saya sekadar berkongsi sepuluh entri paling popular yang telah diposkan di blog ini (susunan nombor mengikut populariti entri tersebut).


  1. Jahanam Si Polis Trafik
  2. Nur Kasih The Movie- Menyelusuri sebuah kisah panjang Nur, Adam, dan Aidil
  3. Betulkan Tudungmu jika kamu benar-benar sayang akan aku
  4. Bicara: Yahudi dan media Amerika di atas derita Palestin 
  5. "Adina (Bicara Sepuluh)"
  6. 10 Sebab Yazid Rosly Tak Akan Bercinta Sekarang
  7. Artis tak boleh jadi ikon? Betul ke?
  8. Pagi Khamis: Rosak anak perempuan sekarang....
  9. Pagi Khamis: Pegang tangan, sentuh pipi, peluk, dan cium
  10. Pagi Khamis: 60 peratus hilang dara? Tak hairan pun....

Terima kasih. Jumpa lagi.

Wassalam.




Jam kesebelas: Usop Wilcha pernah berkata: "English Education itu penting..."

Bulan lepas, saya melapangkan masa untuk berkunjung ke sekolah lama saya iaitu, Sekolah Kebangsaan Pengakalan Aur, Taiping. Inilah sekolah saya dari tahun 1996 hingga tahun 2001. Kunjungan kali ini sekadar mahu melihat perubahan yang telah berlaku di sekolah tersebut. Jika berpeluang dan jika masih ada, mungkin juga saya akan bersua dengan guru-guru yang pernah mengajar saya dahulu.

Namun bukan itu kisah yang ingin dikongsikan. Perkara yang ingin dikongsikan itu bermula apabila majlis perhimpunan sekolah berlangsung. Ketika saya mengambil peluang untuk turut serta dalam perhimpunan mingguan itu.



Seperti biasa, bacaan doa dimulakan sebelum diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku. Tak lama kemudian, guru bertugas memberikan ucapan sebelum diserahkan pula kepada Guru Besar. Ucapan yang diberikan agak panjang, menyatakan pelbagai nasihat dan ingatan kepada pelajar.

Namun, itu juga bukanlah perkara yang ingin saya kongsikan. Perkara yang ingin diceritakan itu bermula sebaik Guru Besar menjemput seorang guru asing yang sedang melakukan kunjungan ke atas sekolah tersebut.

Itulah saat nama Mr. Patrick diumumkan dan dipanggil untuk memberi ucapannya.

Kemunculan Mr. Patrick di sekolah itu adalah bertujuan untuk melakukan satu kunjungan. Beliau merupakan guru dari London, datang ke sekolah tersebut untuk melakukan kajian. Sebaik ucapan dimulakan, saya akui perasaan kagum itu muncul. Benar, bukan mudah untuk mendengar seorang native speaker Bahasa Inggeris berbicara secara langsung di hadapan saya. Peluang ini jarang saya peroleh.

Secara keseluruhan, saya memang tidak menghadapi sebarang masalah mendengar dan memahami ucapan beliau. Percakapannya sangat jelas, dan sangat tenang apabila bertutur.

Ucapan beliau tertumpu kepada kepentingan Bahasa Inggeris di zaman globalisasi ini. Beliau menegaskan bahawa Bahasa Inggeris adalah mudah untuk dipelajari. Malah beliau juga menyatakan bahawa Bahasa Inggeris sebenarnya seronok untuk dipelajari. Beliau juga memberikan tips-tips untuk mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris. Antara tips tersebut ialah dengan rajin membaca buku berbahasa Inggeris selain kerap menonton rancangan-rancangan televisyen berbahasa Inggeris.

Di penghujung ucapan, beliau mengharapkan agar pelajar sekolah itu dapat meningkatkan lagi penguasaan Bahasa Inggeris selaras dengan kepentingannya yang kini semakin banyak digunakan di seluruh dunia.

Tak lama selepas itu saya menghampiri seorang pelajar tahun 5. Sekadar mahu melihat sejauh mana respon pelajar dengan ucapan Mr. Patrick itu, maka saya bertanya seorang pelajar lelaki ini:

"Apa yang kamu dapat dari ucpan Sir patrick tadi tu?"

Pelajar itu kemudian membalas:

"Nak dapat apa abang. Saya faham pun tak..."

"Habis apa yang kamu faham?" soal saya.

"Yang saya tahu, dia cakap good morning, dengan thank you je..."

Hah, terkejut saya. menurut pelajar itu, dia ternyata tidak memahami pertuturan Mr. Patrick itu. Loghat British yang pekat itu ternyata membuatkan dirinya langsung tidak memahami apa yang diucapkan oleh Mr Patrick tadi.

Itu bicara seorang pelajar di kelas hadapan. Bayangkan jika pelajar di kelas belakang, pasti mereka lebih tak faham.

Kesudahannya, saya mendapat tahu bahawa kebanyakan pelajar dalam perhimpunan itu langsung tidak memahami ucapan Mr. Patrick. Kebanyakannya hanya menyatakan bahawa mereka hanya faham ucapan "Good morning" dan "thank you".

Malah, dalam kalangan guru juga menghadapi situasi yang sama. Hanya guru Bahasa Inggeris sahaja yang benar-benar memahami ucapan Mr. Patrick itu.

Hakikatnya, sekolah itu mempunyai pelajar-pelajar yang terbaik. Malah dari segi penguasaan Bahasa Inggeris juga tidaklah mengecewakan. Namun, disebabkan mereka ini tidak pernah terdedah dengan penutur asli Bahasa Inggeris, menyebabkan mereka menghadapi kesukaran memahami apa yang dituturkan oleh Mr. Patrick.

Bahasa Inggeris yang diajar di sekolah adalah Bahasa Inggeris yang diajar oleh guru-guru ESL (English as Second Language). Maka apa yang pelajar itu belajar adalah Bahasa Inggeris versi Malaysia, dan bukannya Bahasa Inggeris British. Mungkin itulah punca mengapa banyak pelajar tidak memahami ucapan Mr. Patrick itu.

Saya sedar, ini adalah cabaran buat saya selaku bakal guru Bahasa Inggeris. Persoalan timbul di fikiran saya, apakah saya mampu menjadi guru Bahasa Inggeris yang baik?

"Tulah, sekolah dulu tak nak ambil English Education...."

Teringat kembali kata-kata Usop Wilcha dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Memang Bahasa Inggeris sangat penting pada masa kini.


Wallahualam.


*Jam kesebelas bagi "12 jam tanpa henti bicara di blog" ditamatkan. Jumpa di jam berikutnya.