Jam kelapan: Menyelongkar buku resepi mak

Harus diakui, bila sebut soal masakan dan makanan, maka yang akan terlintas di fikiran pastilah mak masing-masing. Benar, semua akan mengakui, masakan maklah yang paling sedap dan paling disukai. Air tangan mak adalah sesuatu yang cukup bermakna, kerana dari air tangan itulah, maka wujudnya kasih sayang.

Baru-baru ini saya terlihat sebuah buku resepi mak yang disimpan. Buku resepi tersebut merupakan himpunan resepi-resepi yang menjadi panduan mak ketika memasak, telah ditulis sejak mak di tingkatan satu lagi (sangat lama). Saya mengambil buku resepi tersebut, dengan izin mak, saya memohon pada mak untuk dikongsikan dalam bicara kali ini. Mak beri izin.

Berikut adalah tiga resepi yang ingin saya kongsikan berdasarkan buku resepi mak itu.


Kerepek Bawang

Bahan-bahan:
1kg tepung gandum
2-3 biji bawang besar
20-30 biji cili kering
2 biji telur
Ikan bilis
Sedikit planta
Sedikit jintan putih
Garam

*5 bahan yang pertama itu perlu ditumbuk

Cara-cara:

  1.  Ayak tepung dan dibahagi dua
  2. Satu bahagian digaul dengan planta, garam, satu lagi dengan bahan-bahan yang ditumbuk tadi. Bancuhan ini hendaklah keras.
  3. Canai sedikit-sedikit tiap-tiap satu bahagian sehingga nipis. Kemudian dilapis dua dan digulung rapat. Buat sehingga habis semua doh tersebut.
  4. Potong nipis-nipis, panaskan minyak dan bolehlah digoreng
  5. Apabila kuning dan rangup, bolehlah diangkat

Kuih Buah Rotan

Bahan-bahan:
1/2 kampit tepung pulut (1/2 kg)
2 biji telur
1 biji kelapa (santan pekat)
1 cawan gula halus
Lenga
Minyak masak

Cara-cara:
  1. Tepung digaul dengan gula. Campurkan telur dan santan. Uli dan rasa. Jika kurang manis, tambah gula sedikit.
  2. Uli hingga lembut seperti buah melaka
  3. Gentel bulat-bulat sebesar guli kecil. Panaskan minyak.
  4. Gaul guli-guli tepung tadi dengan lenga dan goreng hingga kuning dan garing. Toskan minya.

Kek Span

Bahan-bahan:
8 biji telur ayam
2 cawan tepung gandum
1/2 tin susu pekat manis
1 sudu besar marjerin
2 sudu teh bikarbonat soda
2 sudu teh esen vanila
2 cawan gula kasar- masaka menjadi gula hangus bersama-sama 2 cawan air. Biar sejuk.

Cara-cara:
  1. Kacau planta dan susu, pecahkan telur sebiji-sebiji dan kacau lagi. Curahkan sedikit-sedikit air gula hangus yang telah disejukkan sambil diselang seli dengan tepung yang telah diayak bersama dengan bikarbonat soda. Kemudian, masukkan esen vanila.
  2. Kacau hingga rata.
  3. Jika bancuhan tadi berketul-ketul, bolehlah ditapiskan dahulu.
  4. Sapukan acuan dengan marjerin dan taburkan sedikit tepung. Masukkan bancuhan ke dalam acuan dan bakar selama 45 minit.


Masakan mak adalah yang terbaik buat saya...

Sekadar perkongsian selepas diberi keizinan. 

Wallahualam.




*Jam kelapan bagi "12 jam tanpa henti bicara di blog" ditamatkan. Jumpa di jam berikutnya.












Ulasan

Catatan Popular