Isnin, 8 Ogos 2011

Jam ketujuh: 7 perkara yang sinonim dengan rakyat Malaysia apabila Ramadhan menjelma.

Setiap kali Ramadhan menjelma, pasti pelbagai kisah juga akan muncul. Ramadhan itu satu bulan yang berkat dan memberikan keunikan yang tersendiri. Maka kisah keunikan itu kadangkala menarik perhatian.

Di Malaysia, rakyatnya yang bergama Islam mempunyai budaya dan tradisinya tersendiri apabila munculnya bulan Ramadhan. Harus diakui, mungkin tradisi ini hanya terdapat di Malaysia.


Pengumuman tarikh mula berpuasa



Setiap tahun, inilah saat-saat yang dinantikan oleh rakyat Malaysia. Jika tahun-tahun sebelum ini, rakyat Malaysia pasti akan melihat wajah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah (memegang jawatan selama 22 tahun), kini bagi tahun ini tempatnya telah diambil alih oleh orang baru iaitu Datuk Syed Danial Syed Ahmad. Menunggu pengumuman tarikh puasa ternyata telah menjadi satu kemestian bagi setiap rakyat Malaysia.


Air Soya


Minuman ini pasti menjadi satu kemestian buat rakyat Malaysia menjelang Ramdhan. Jika dijual di bulan lain, air ini tidaklah mendapat sambutan hangat, namun apabila Ramadhan menjelma, air soya menjadi minuman yang cukup laris. Mungkin disebabkan minuman ini boleh mengenyangkan di samping menghilangkan dahaga.


Ayam Percik


Makanan ini bila menjelmanya Ramdhan, pasti menjadi sasaran dan tumpuan. Mungkin disebabkan aroma ayam percik sewaktu dipanggang ditambah pula dengan kesedapan rasanya, maka ramai yang akan tergoda dan kecur air liurnya. Ya, memang menggoda makanan ni.

Air Katira


Minuman ini lebih popular di bahagian selatan semenanjung Malaysia terutama di negeri Johor. Minuman ini banyak dijual pada bulan Ramadhan. Rasanya memang sedap, dan pilihan terbaik untuk hilangkan dahaga.


Bubur Lambuk


Hidangan ini selalunya akan disediakan oleh masjid. Bubur lambuk yang siap kemudiannya akan diagih-agihkan secara percuma kepada orang ramai. Campuran pelbagai bahan dalam bubur lambuk ini ternyata menyelerakan dan boleh menjadi pilihan yang mudah bagi orang yang tak ada gigi.... (gurau saja)


Mercun


Bila masuk bulan Ramadhan, maka bermulalah kisah epik peperangan menggunakan mercun. Ibarat menjadi tradisi, tiap-tiap kali Ramadhan, kanak-kanak mula menjadi hamba mercun. Seronok juga, tapi boleh datang bahaya. Dulu waktu kecil pernah main mercun bola, tapi mujurlah tak pernah tercedera. 

Jejak Rasul


Rancangan terbitan TV3 ini telah sinonim dengan bulan Ramadhan disebabkan rancangan ini hanya muncul di bulan Ramadhan. Bagi sesetengah rakyat Malaysia, tak lengkap Ramadhan itu jika tiada Jejak Rasul. Maka tak hairanlah, Jejak rasul masih bertahan hingga hari, malah telah masuk untuk musim ke-17.


Tujuh perkara itu mungkin merupakan keunikan yang hanya terdapat di Malaysia menjelang Ramadhan. Kita punyai pelbagai budaya dan adat resam tersendiri, maka berbanggalah dengan asal usul kita.

Walau apa pun, moga ibadah puasa kita diberkati dan mendapat rahmat. Moga puasa yang dilakukan tidak sia-sia, dan moga kita dipermudahkan untuk menjalani ibadah ini.

Tahan iman apabila melihat makanan dan minuman di atas. Jangan sampai terbuka puasa pula nanti....


Wallahualam.



*Jam ketujuh bagi "12 jam tanpa henti bicara di blog" ditamatkan. Jumpa di jam berikutnya.







2 ulasan :

Tanpa Nama berkata...

kurma??
cendol??
tebu??

Muhammad Yazid Rosly berkata...

kalau kurma tu, satu dunia memang akan cari kurma bila ramadhan.
yang cendol n tebu, bukan bulan puasa pun masih dibeli orang.