Isnin, 8 Ogos 2011

Jam keempat: Apabila mereka melondehkan kesopanan dan ketertiban di Facebook dan blog


“Ko memang celaka. Dasar pengkhianat!!! F***k!!!”

Harus diakui, Facebook dan blog kini menjadi satu fenomena generasi hari ini. Perkara ini tak menghairankan, kerana kepesatan penggunaan internet kini telah menjadi satu kebiasaan buat genarasi hari ini untuk mendekati dunia tanpa sepadan tersebut.

Petikan kata di atas mungkin pernah kalian baca menerusi mana-mana status atau mungkin juga komen di Facebook . Benar, itulah satu luahan kemarahan, melepaskan segala api kepanasan. Soalnya, sopankah perilaku itu di saat majoriti yang membaca status itu merupakan orang Islam, dan yang mengeluarkan status itu juga merupakan seorang Muslim?

Inilah perihal yang mula menjadi perbualan dalam kalangan ibu bapa dan ilmuan. Saat kepesatan teknologi menguliti remaja hari ini, saat itu jugalah generasi baru ini telah melondehkan nilai-nilai kesopanan dan perilaku baik, yang telah menjadi amalan sejak zaman dahulu.



Hakikatnya, Facebook telah mendedahkan segala macam kelemahan dan keburukan orang Islam. Mungkin orang Islam itu sendiri tanpa sedar, telah menjadikan Facebook sebagai medan menjatuhkan dan merendahkan martabat Islam itu sendiri.

ITU HAKIKATNYA....

Sedarkah, setiap kali status meluahkan kemarahan kepada seseorang itu ditulis di Facebook, satu dosa telah tercatat dalam buku amalan. Apabila status itu dibaca pula oleh individu yang dimarahi itu, satu dosa lagi tercatat. Sebaik individu itu membaca status tersebut, dan dirinya terguris hati, satu lagi catatan dosa tercatat. Jika perbalahan tercetus selepas itu, maka satu lagi catatan dosa dicatat. Hakikatnya perbalahan demi perbalahan boleh tercetus dengan hanya sebaris tulisan seperti di atas tadi. Ingatlah, ini boleh memecahbelahkan umat Islam.

Maka berhati-hati setiap kali mahu menulis status di Facebook. Jangan melebihkan kepentingan diri berbanding kepentingan umat Islam ketika mahu menulis. Ingatlah dosa, yang mungkin dikutip andai silap langkah berlaku.

Begitu juga dalam soal perkongsian peribadi di Facebook. Harus diakui, sesetengah daripada pelayar Facebook, mengamalkan prinsip ‘terbuka’ sehingga tanpa segan silu berkongsi mengenai masalah peribadi yang kadang kala hanya mengaibkan dirinya kembali. Soal bergaduh dengan boyfriend, bergaduh dengan suami, bergaduh dengan isteri, bertegang urat dengan ayah dan mak, malah sehingga ada sesetengah dari mereka sanggup berkongsi  perkara-perkara yang sehrusnya menjadi rahsia sendiri.

“Hari ini saya period”

Saya pernah membaca status tersebut dan ternyata individu ini telah berlebih-lebihan dalan berkongsi mengenai hal peribadi.

Prinsipnya mudah, perkongsian peribadi di Facebook itu tidak ada masalah, namun haruslah mempunyai batasan agar maruah dan harga diri seseorang itu tidak tercalar. Bersederhanalah dalam berkongsi hal peribadi.

“Takkan bergaduh dengan mak nak dikongsikan di Facebook kot?” kata seorang sahabat sebaik melihat satu status individu ini di Facebook.

Malah, banyak dilihat juga pelayar Facebook gemar menghabiskan masa melakukan perbincangan mengenai hal-hal remeh dengan memberikan komen-komen kosong yang tidak mendatangkan manfaat. Hakikatnya, semua ini hanya membuang masa terutama apabila perbincangan itu berlarutan sehingga berjam-jam lamanya.

Satu lagi perkara yang mungkin menjadi kealpaan bagi pelayar Facebook ialah soal perkongsian gambar di Facebook. Apa yang dilihat kini, ramai yang terlalu ghairah berkongsi gambar, namun di satu sudut mereka ini telah menolak dan melupakan adab-adab dan peraturan bagi berkongsi gambar. Soal aurat, batas-batas bergambar dengan yang bukan mahram, soal kesopanan bergambar seolah-olah dibaikan kebanyakan mereka. Semua ini mengundang fitnah, dan pastinya menjemput dosa ke dalam catatan amalan mereka.

Ingatlah, bukan semua gambar boleh dikongsikan di Facebook. Gambar berpeluk sakan dengan girlfriend itu, dengan aurat terdedah sambil pipi si gadis itu dicium, hakikatnya akan mencetuskan api nereka kelak andai masih terus terpapar di Facebook. Sedangkan gambar bersama isteri pun tak digalakkan, apatah lagi sekadar teman istimewa sahaja.

Tidak dilupakan juga adab dan tatasusila dalam penggunaan blog. Benar, kini ramai yang mempunyai blog masing-masing. Namun jika dilihat sesetengah blog tersebut, harus diakui ada dari blog tersebut telah melanggar adab dan kesopanan sebagai seorang Muslim.

Wajarkah isu bergaduh dengan ibu dikongsikan di blog? Wajarkah segala kemarahan akibat perbalahan dengan ibu dilempiaskan di blog? Wajarkah segala punca masalah bergaduh dengan ibu itu dikongsikan?

Bayangkan jika si ibu tadi membaca pos yang diterbitkan oleh si anak itu di blog tersebut. Apakah perasaannya? Jika terguris hati ibunya, maka tanggunglah dosa menjadi anak derhaka andai tidak diampunkan ibunya kembali.

Ada juga yang gemar berkongsi mengenai kisah bahagia dirinya dengan teman ‘cinta monyetnya’. Apakah ini menggambarkan peribadi Islam yang unggul? Bagaimana pandangan orang bukan Islam apabila membaca tulisan orang Islam yang berada dalam kelekaan hanyut dibuai dengan rasa cinta?

Mungkin mereka akhirnya akan melihat bahawa Islam itu tidak seindah mana.

Hakikatnya, Islam itu indah, namun dek kejahilan sesetengah umatnya, maka imej Islam itu akhirnya tercalar. Orang Islam sendiri yang sebenarnya merendahkan ketertinggian martabat Islam.

Tak salah untuk berkongsi apa sahaja perkara di Facebook mahupun di blog. Perkongsian itu sebenarnya memberikan satu terapi ketenangan, kerana itulah fitrah manusia di muka bumi ini. Namun, sebagai hamba Allah yang mendukung agama Islam, kita seharusnya lebih berhati-hati dalam setiap perkongsian di Facebook mahupun di blog. Islam itu ada panduannya, dan Islam itu mementingkan kesederhanaan. Maka bersederhanalah dalam setiap perkongsian. Janganlah berlebih-lebihan.

Moga muhasabah ini mencetuskan kesedaran buat kita semua supaya mengingati akan adab dan tatatacara yang mendukung kesopanan dan kesusilaan di Facebook dan blog.

"Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia"
(Al-Qalam:4)

Wallahualam.


*Jam keempat bagi "12 jam tanpa henti bicara di blog" ditamatkan. Jumpa di jam berikutnya.






2 ulasan :

hana banana berkata...

aduish..terkena pulak=p
tp memg yer pown...x elok kan...xpe2, pasnie nk tapis2 jugak la bahan2 kat fb=)

Muhammad Yazid Rosly berkata...

sama-sama kita muhasabah diri. moga apa yang salah dapat diperbetulkan... :)