Jam kedua: Johnny English kembali....

Pernah kalian menonton filem Johnny English?

Filem yang ditayangkan pada 2003 ini ternyata memberikan tarikan buat penonton-penontonnya kerana filem ini dibintangai oleh Rowan Atkinson yang lebih dikenali sebagai Mr. Bean di seantero dunia. Inilah pertama kali Mr. Bean yang sebelum ini seorang yang bisu, bertukar watak menjadi seorang yang boleh bercakap. Hakikatnya, walaupun watak yang dipegang Rowan Atkinson ialah Johnny English, namun kebanyakan penonton masih merujuk beliau sebagai Mr. Bean saat ketika menonton filem tersebut.

Filem ini merupakan parodi kepada filem James Bond, malah skrip dan jalan cerita bagi filem ini juga ditulis oleh penulis skrip filem James Bond iaitu Neal Purvis, Robert Wade, bersama William Davies. Dua puluh tahun yang lalu, Rowan Atkinson pernah muncul dalam filem tidak rasmi James Bond- Never Say Never Again, melakonkan watak penyiasat British yang tidak bepengalaman. Maka, dari watak itulah, tercetusnya idea untuk menghasilkan filem Johnny English.

Filem ini merupakan filem komedi, namun masih mempunyai aksi sebagai tarikannya. Jika filem James Bond dilihat sebagai filem yang serius, bagi filem Johnny English pula, filem ini ternyata sangat santai kerana sarat dengan unsur komedinya.

Walaupun Johnny English merupakan agen rahsia British, hakikatnya ternyata dia seorang yang tidak berpengalaman. Malah jika dilihat dalam filem pada tahun 2003 itu, Johnny tidak melepaskan sebarang tembakan pun di dalam filem. Aksi kebodohannya senantiasa mencuit hati, dan jika dilihat betul-betul, hakikatnya Johnny tidak memberikan apa-apa sumbangan pun dalam misi menumpaskan Sauvage  (watak antagonis dalam filem ini) yang merampas mahkota Queen Elizabeth. Kesemua usaha itu hakikatnya dilakukan oleh pembantunya iaitu Boug (lakonan Ben Miller).

Di akhir cerita, mahkota negara berjaya diselamatkan, dan Sauvage ditangkap sebelum dijatuhkan hukuman mati. Johnny pula sementara itu dikurniakan gelaran Sir oleh Queen Elizabeth.

Kini, setelah lapan tahun berlalu, Johnny English kembali menerusi filem terbaru, Johnny English Reborn. Trailer untuk filem ini telah ditayangkan pada Julai 2011 di Youtube, dan ternyata punyai tarikannya.

Filem ini mengisahkan kisah Johnny setelah lapan tahun berlalu selepas kejayaannya menumpaskan Sauvage. Namun, segalanya berbeza apabila dia kini telah memencilkan diri di sebuah gua di pergunungan di Tibet selepas kegagalan misinya di Mozambique lima tahun sebelum itu.

Kemunculan seorang sami, akhirnya telah memberikan keyakinan semula buat Johnny. Sami itu telah memberikan latihan-latihan untuk meningkatkan kembali keyakinan Johnny. Tidak beberapa lama selepas itu, Johnny dipanggil semula oleh MI7 untuk kembali semula ke London bagi satu misi baru di Asia Tenggara. Kali ini Johnny ditugaskan untuk memastikan bahawa China yang sedang membangunkan senjata nuklear berada di pihak British.

Apakah kesudahannya?

Filem ini akan muncul di pawagam hujung tahun 2011. Sama-sama kita tunggu kisah Johnny dalam filem Johnny English Reborn.







*Jam kedua bagi "12 jam tanpa henti bicara di blog" ditamatkan. Jumpa di jam berikutnya.







Ulasan

Catatan Popular