Isnin, 8 Ogos 2011

Jam kesepuluh: Apabila seruan Rasulullah mengenai pertunangan dipinggirkan...


Rahsiakan pertunangan dan war-warkan (maklumkan) tentang perkahwinan
(Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)

Seolah-olah menjadi trend dan ikut-ikutan masa kini, kisah pertunangan si jejaka dan si gadis kini seolah-olah telah jauh menyimpang dari hadis tersebut. Harus diakui, jika dilihat pada budaya bertunang masa kini, ternyata budaya itu sangatlah berbeza dengan budaya yang diamalkan zaman dahulu.

Ingatlah, Rasululluah menganjurkan agar pertunangan itu dirahsiakan....

Memang tidak haram bagi mana-mana pasangan untuk mewar-warkan pertunangan mereka. Islam tidak meletakkan haram di atas hebahan itu. Namun, jika diteliti pula pada hadis tersebut, wajarkah majlis besar-besaran diadakan tak ubah seperti majlis perkahwinan kemeriahannya?



Mengapa umat Islam dianjurkan untuk merahsiakan pertunangan mereka?

Jika diteliti kembali, semuanya adalah bertujuan untuk menjaga maruah si wanita yang ditunangkan itu. Ikatan yang terbina dari sebuah pertunangan itu hakikatnya tidaklah sekukuh dan terjamin lagi untuk dibawa ke alam berumah tangga. Bayangkan, andai pertunangan itu terputus di tengah jalan, alangkah aibnya buat si wanita itu. Aib itu akan dirasai andai pertunangannya itu dihebohkan seantero dunia.

Bagi si lelaki pula, mungkin mereka akan dilabelkan sebagai tidak berhati perut, atau mungkin juga digelarkan sebagai si buaya yang tak tahu bersyukur. Itulah yang akan terjadi andai pertunangan itu dihebahkan seluas-luasnya.

Seharusnya, apabila diadakan sebuah pertunangan itu, hanya ahli keluarga yang terdekat sahaja yang sepatutnya tahu. Selain dari itu, maka tidaklah digalakkan untuk diberitahu. Pertunangan itu merupakan satu perkara yang sangat sulit, kerana hubungan itu bolehlah didefinasikan sebagai ‘fragile’, kerana kekukuhan hubungan itu masih belum utuh.

Jika diteliti kembali pada budaya majlis bertunang, harus diakui banyak perkara yang diamalkan kini seolah-olah meminggirkan seruan yang dinyatakan Rasulullah itu. Majlis diadakan secara besar-besaran, dengan jemputan mungkin mencecah ratusan orang. Persiapan dilakukan dengan begitu rapi, sehingga kelihatan seperti akan mengadakan majlis perkahwinan. Harus diakui, semua ini pasti memerlukan belanja yang sangat tinggi.

Bayangkan andai setelah majlis dengan ribuan ringgit belanjanya itu kemudian diakhri dengan kisah putus tunang. Bukankah rugi wang yang  telah dibelanjakan itu? Kerana itu, umat Islam dianjurkan berserderhana ketika melakukan majlis pertunangan. Biarlah majlis itu sekadar kecil-kecilan.

Satu lagi budaya yang kini menular dalam kalangan umat Islam hari ini ialah budaya si lelaki bertandang ke rumah si wanita pada majlis pertunangan.  Budaya ini ternyata sangat berbeza berbanding zaman dahulu. Jika dulu, si lelaki tidak akan sama sekali berada dalam majlis pertunangan, namun kini perkara sebaliknya berlaku. Malah, ada yang lebih hebat, apabila si lelaki ini memakai pakaian sedondong dengan si gadis yang menjadi tunangnya itu. Tak ubah macam pengantin pula....

Tak salah untuk si lelaki berada dalam majlis pertunangan si gadis itu. Namun, adab dan batas haruslah dijaga. Jangan disebabkan telah bertunang, maka batas pergaulan itu mula dirobohkan sedikit. Hakikatnya, batas itu hanya boleh diruntuhkan dengan ikatan perkahwinan.

Adalah haram buat si lelaki bergambar berdua dengan si gadis pada majlis pertunangan. Ikatan tunang hakikatnya tidak menghalalkan apa yang haram. Malah, seeloknya, si lelaki itu tidak bercakap dengan si gadis, demi menjaga batas dan adab.

Mungkin kerana itulah, adat Melayu tidak menggalakkan si lelaki berada dalam majlis pertunangan si gadis.

Bicara ini tercetus apabila melihat dan membaca beberapa kisah selebriti tempatan yang mengumumkan pertunangan mereka yang telah putus. Kelihatan seolah-olah budaya putus tunang telah menjadi trend hari ini.

Hakikatnya, kisah putus pertunangan ini diketahui umum apabila pertunangan itu dihebahkan pada orang ramai. Jika dirahsiakan, apabila putus tunang pun orang tak akan tahu. Maruah dapat dijaga, perseteruan tak akan berlaku.


Sekadar muhasabah untuk diri sendiri.

Wallahualam.



*Jam kesepuluh bagi "12 jam tanpa henti bicara di blog" ditamatkan. Jumpa di jam berikutnya.




4 ulasan :

hana banana berkata...

terbaca jugak kisah selebriti putus tunang...kesian jugak...

Muhammad Yazid Rosly berkata...

skrg ni dah selalu sgt dgr berita putus tunang....

KaSiH ILLAHI berkata...

nice blog~!!syukran di atas perkongsian.. perkongsian menarik..

Muhammad Yazid Rosly berkata...

Terima kasih