"Adina (Bicara Sebelas)"
Kepayahan kadang kala sengaja dicari. Kesenangan sengaja dibiarkan. Katanya, kesusahan itu mengajar satu pengertian yang cukup bermakna dalam menghargai sebuah kehidupan. Benar, jika tak kenal susah, maka tak kenal juga nilai kesyukuran terhadap nikmat kesenangan. Namun, bila perasaan kasih sayang itu baru terpupuk, maka kisah seterusnya pasti sebuah pencarian untuk mencambahkan lagi rasa sayang itu.
“Selamat datang ke rumah baru”
Ucapan diungkapkan penuh senyuman. Rizqullah meneruskan kisah perkongsian hidupnya bersama Abyatina. Satu lagi perjalanan baru bermula.
“Hah, ini rumah ke pondok?”
Bisikan Abyatina terjelma. Saat mata melihat rumah di hadapannya, itulah bisikan yang terungkap di fikirannya. Terkejut dalam kuntuman senyuman. Hadiah sebuah perkahwinan dengan sebuah rumah baru. Dalam kegembiraan, tersembunyi kegusaran.
“Lah, awat yang hang nak pi pindah rumah kat depan tu? Rumah ni dah cukup besar dah untuk hang dengan bini hang tinggal....”
Kata-kata Marzuq, abang ipar Abyatina jelas kembali muncul di ingatannya. Perbualan yang berlaku di pagi hari ketika bersarapan melibatkan Rizqullah dan abang iparnya itu ternyata menarik perhatiannya.
Hasrat mahu berpindah dari rumah besar itu disuarakan Rizqullah beberapa minggu yang lalu kepada Abyatina. Bukan diminta Abyatina, kerana baginya berada di rumah mertuanya tidak menjadi satu perkara yang mendatangkan masalah. Kisahnya terjadi, datang dari hasrat Rizqullah sendiri.
“Awat nak pindah?” soal ayah Rizqullah.
“Haish, biaq pi la. Darah tengah muda tu.....” bicara ibu Rizqullah.
“Hah, darah muda? Awat dengan darah muda tu?”
“Lah, pak hang ni boleh buat-buat tanya pulak....”
Ketawa tercetus di dapur seisi keluarga. Abyatina tertunduk malu dan Rizqullah sekadar memandang wajah Abyatina sambil tersenyum.
“Tak produktif lah jawabnya kalau dok terperap kat rumah mak ni...” Marzuq berseloroh pula.
“Apa ke menatang ‘pronduktik’ tu? Nama biskut ke?”
“Tu dia, pak hang. Awat jadi pelik hari ni? Serba-serbi tak tau...” bicara ibu Rizqullah.
Ketawa tercetus sekali lagi. Sarapan ceria di pagi hari. Ikatan keluarga terjalin penuh kemesraan, tanda diri Abyatina semakin mendapat ketenangan di tempat baru.
“Bagaimana dengan Ina? Boleh ke rumah ni?” soal Rizqullah menghentikan lamunan seketika si Abyatina.
“Alhamdulillah....” bicara Abyatina tersenyum.
Rumah kecil tidak jauh dari rumah mertuanya. Mata Abyatina terkebil-kebil melihat rumah itu. Seakan tak percaya dia akan menetap di situ. Maka, kisah ketidakselesaan tercetus dalam hati Abyatina.
“Ya Allah, kecil yang amat. Nasib Rizqullah ni Proton Saga, dan aku ni Mini Cooper. Kalau dibuatnya aku ni lori kontena, dan Rizqullah tu lori balak, alamatnya lantai papan yang dipijak akan bertemu dengan tanah di bawahlah jawabnya....” bisik si Abyatina sambil kaki terus melangkah menuju ke rumah baru.
“Punyalah besar rumah ni, hang nak pi rumah kecil tu buat apa?” soal Marwa, kakak ipar Abyatina sewaktu sarapan pada pagi yang sama.
“Biarlah. Bagilah peluang kat Rizqullah dengan Abyatina ber’prondok tik’ sikit...” balas ayah Rizqullah.
“Bapak, bukan pronduktik... Tapi produktif....” bicara pula Marzuq ketawa kecil.
“Owh, macam tu? Apa maksudnya?”
“Maksudnya, kalau kalau Abyatina dengan Rizqullah produktif, makin cepatlah bapak nak dapat cucu...” seloroh Marwa. Sekali lagi Abyatina tertunduk malu dengan usikan itu.
Rumah papan dengan satu bilik itu merupakan rumah yang dibina oleh abang Rizqullah, Sabqi. Saiz rumah itu terlalu kecil namun mempunyai kelengkapan yang mencukupi. Kawasan rumah itu terletak berhampiran kawasan paya, dan tidak jauh dari rumah keluarga Rizqullah.
“Saya cuma tak nak Ina rasa tak selesa. Setiap yang berkeluarga pasti mahu hidup berdikari. Maka, dengan berpindah ini, nilai berdikari itu akan dapat dirasai,” bicara Rizqullah pada malam sebelumnya.
“Ina tak kisah. Kat sini pun dah selesa...”
“Sekurang-kurangnya boleh berdua. Kalau kat rumah mak, bila adik-beradik lain berkunjung melawat mak, nilai berdua tu memang tak ada lagi...”
Prihatin Rizqullah kadang-kala melebihi dari apa yang diinginkan Abyatina. Layanan bak puteri kepadanya ternyata sangat melegakan hatinya. Benar, dalam kejauahan Abyatina dari keluarganya, Rizqullah menenangkan jiwanya dari kerinduan yang melanda.
Dek kerinduan itulah, Abyatina dibawa ke klinik pada malam dirinya pengsan di dapur. Kekalutan tercetus saat Rizqullah baru sahaja pulang dari masjid. Namun, kegelisahan yang tercetus akhirnya terlerai dengan pengesahan doktor bahawa Abyatina sekadar keletihan sahaja.
“Rindu Abyatina mendatangkan lemah buat dirinya, sehingga makan dan minum pun hilang seleranya. Maka mungkin itulah sebab Abyatina pengsan di bilik,” bicara Rizqullah di klinik kepada ibunya.
“Hilangkah rindunya. Biar dia pulang ke kampungnya....” balas ibu Rizqullah.
Maka, itulah yang mewujudkan kisah perjalanan pulang Abyatina ke kampungnya. Keterujaan dalam kegembiraan, itulah yang dirasai hati Abyatina. Menenangkan jiwa seorang wanita yang kerinduan, ternyata Rizqullah berjaya menceriakan Abyatina. Itulah kisah pulang ke kampung, hanya selepas beberapa hari sahaja Abyatina dan Rizqullah berpindah ke rumah baru.
“Ini suratmu...”
Kunjungan pulang kembali ke rumahnya disambut dengan senyuman ibunya yang siap menunggu di muka pintu dengan surat di tangan. Belum sempat kaki memasuki rumah, surat diterima si Abyatina. Rizqullah memandang tersenyum dalam sinis.
“Masih ada peminat?” bicara Rizqullah.
Kunjungan pertama Rizqullah selaku menantu Mak Cik Ros dan Ustaz Man merupakan satu kejutan. Kedatangan tanpa dirancang, maka nikmat kejutan itu melahirkan satu kegembiraan berganda. Itulah kisah pertama Abyatina muncul bersama Rizqullah selepas hampir sebulan majlis perkahwinannya berlangsung.
“Surat apa tu?” soal Ustaz Man sebaik Abyatina menjejak kaki masuk ke ruang tamu.
Salam dihulurkan Abyatina buat Ustaz Man tanda pertemuan. Pelukan diberikan tanda melepaskan kerinduan. Abyatina membalas dalam nada kebisuan. Surat di tangan sekadar diletakkan sahaja di atas meja tanpa membukanya. Persoalan diajukan Ustaz Man tidak dijawab.
Keceriaan terpancar di wajah Abyatina. Rindu dipendam dilepaskan dengan kemesraan terhadap ibu dan ayahnya. Makan malam senantiasa menguntumkan senyuman di wajah Abyatina. Tahulah Rizqullah, isterinya kini tenang menikmati kesenangan hati. Benar, Abyatina tersangat gembira.
“Moga kamu senantiasa bahagia...” bisik Rizqullah.
Pagi keesokannya, Rizqullah pulang dan Abyatina masih terus berada di kampung. Rizqullah perlu ke sekolah untuk mengajar bagi sesi petang persekolahan, dan Abyatina diberi peluang untuk terus tinggal beberapa hari lagi di kampung. Peluang diberikan dengan harapan kerinduan yang terpendam oleh Abyatina dapat dilepaskan.
“Jaga diri, moga Ina gembira,” bicara diluahkan Rizqullah sebelum meninggalkan kampung.
Saat berjauhan pertama kali dengan Rizqullah, degupan hati Abyatina mula dirasai. Seperti rasa kekurangan tatkala hati gembira pulang ke kampung, ketiadaan Rizqullah di sisinya melahirkan rasa yang tak pernah dirasainya.
“Kamu sesungguhnya telah diikat hati oleh Rizqullah. Kamu dilanda demam rindu pertama kali...” kata ibunya sewaktu Abyatina memotong sayur di dapur untuk hidangan tengah hari.
Surat di atas meja yang tak disentuh sejak semalam mencuri kembali perhatian Abyatina. Saat dia mengemas ruang tamu rumah, barulah dia teringat kembali akan surat yang diterimanya itu.
“Adakah langkahku akan menjadi langkah yang sama seperti abangku Absyar?” bisikan muncul sebaik Abyatina melihat isi surat tersebut.
“Apa benar itu tawaran yang mu terima?” soal ibu Abyatina saat Abyatina muncul kembali di dapur.
“Jadi bagaimana dengan dirimu?” soal Ustaz Man sewaktu makan tengah hari.
Dilema tercetus kembali. Isi kandungan beri satu kegembiraan dalam sebuah persoalan. Abyatina ditawarkan untuk menyambung pengajian di IPSI. Keputusan cemerlang SPM telah merealisasikan impian Abyatina. Kini tinggal selangkah untuk menjadikan cita-cita yang menjadi impian sebelum ini bertukar kepada kenyataan. Kisah Abyatina bakal mengikut jejak abangnya Absyar, namun tersepit dengan situasi dilema.
“Apakah bahagia itu satu jaminan jika cita-citaku diteruskan? Apakah cita-cita itu satu kemestian, jika bahagia kini perlu dikorbankan? Apakah mengorbankan bahagia kini, akan menjamin satu kesenangan apabila cita-cita itu tercapai?”
Luahan dinukilkan dalam tulisan. Persoalan tentang dilema menjadi ungkapan tak terjawab. Kisah kegembiraan yang dihimpit dengan sebuah pilihan. Antara cita-cita dan Rizqullah, pilihan harus dimuktamadkan. Abyatina perlu melakukan keputusan.
“Berbincanglah dengan Rizqullah. Minta pendapat, dan tanyalah keputusannya...” bicara ibu Abyatina.
Malam itu, fikirannya masih terus berlegar-legar. Kisah tawaran belajar di IPSI hakikatnya dihimpit dengan sebuah tanggungjawab sebagai isteri kepada Rizqullah. Saat hatinya melonjak-lonjak untuk menerima tawaran itu, saat itu jugalah hatinya seakan mahu menolak hasrat menyambung cita-citanya itu.
“Tempat isteri sesungguhnya di sisi suami...” bisik Abyatina saat kaki melangkah pulang menuju ke rumah. Malam itu Abyatina ke masjid mengikuti kuliah Maghrib yang disampaikan oleh ayahnya sendiri.
Perjalanan pulang ke rumah berseorangan adalah sesuatu yang janggal. Kebiasaannya, Abyatina akan ditemani ibunya. Namun, jarak antara rumah dan masjid yang tidak jauh menyebabkan kerisauan tidak pernah muncul di wajah Abyatina. Jalan raya yang terang ditambah pula berhampiran dengan kedai kopi yang senantiasa dipenuhi para lelaki selepas berjemaah di masjid, memberikan keselamatan berganda buat Abyatina.
“Abyatina, boleh saya bercakap sekejap?”
Sapaan seorang lelaki muncul secara tiba-tiba. Suaranya memang pernah didengar Abyatina. Yaqzan muncul tanpa diduga. Di pintu masjid mereka bersua.
“Apa lagi si alien ni?” monolog si Abyatina tanda tidak selesa. Itulah kali pertama Abyatina melihat wajah Yaqzan sejak majlis perkahwinannya.
“Boleh tak?” soal Yaqzan sekali lagi.
Jika diikutkan hati, mahu sahaja diluahkan lemparan ketidaksenangan hatinya. Benar, Abyatina tidak selesa saat itu. Yaqzan seperti masih belum mengerti akan perasaan Abyatina.
“Kenapa nak kacau aku lagi? Tak faham-faham lagi ke yang kamu bukan pilihan aku? Tak reti-reti nak hormat ke, yang aku ni dah jadi isteri orang?”
Luahan Abyatina dalam monolog ternyata menggambarkan rasa amarahnya. Ikutkan hati, mahu sahaja dilemparkan kata-kata itu kepada Yaqzan. Namun, adab masih lagi dijunjung ditambah pula saat diri Abyatina yang baru sahaja pulang dari masjid.
“Ina, ayahmu dilanggar lori!”
Jeritan tiba-tiba datang dari kedai kopi. Seorang lelaki menghampiri Abyatina dalam nada yang cemas. Berita mengejut disampaikan. Yaqzan di sebelah Abyatina, dan seorang lelaki di hadapannya. Kekalutan terbesar tercetus.
“Ya Allah!”
*Tamat sudah Bicara Sebelas*
Jeng, jeng, jeng....... Menyambung kisah di lain bicara...
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan