Ahad, 25 Januari 2015

"Adina (Bicara Tiga Puluh Tujuh)"





Barangkali semuanya telah menjadi berbeza. Tiap-tiap perkara yang berlaku kini ibarat satu perjalanan baru yang tak pernah terlintas di fikiran. Setiap kisah lama hanya mampu menjadi memori untuk dikenang, namun tidak sama sekali mampu untuk dikembalikan di masa kini. Barangkali kenangan lalu seringkali mencipta sisi keindahan yang cukup manis. Namun di sebalik indah itulah, maka pasti tersembunyi juga kisah-kisah duka yang terjadi.

“Kadang-kadang, Ina rasa macam dah letih. Tak mampu lagi nak hadapi setiap dugaan yang datang,” luah Abyatina.

Sebaik merehatkan diri di bawah rumah sementara menanti kepulangan ahli keluarga yang lain, maka Abyatina dan Rizqullah menunggu sebentar. Di saat itulah, Abyatina meluahkan rasa hatinya terhadap setiap perkara yang telah menimpanya. Hakikatnya, sebelum berkahwin hinggalah Abyatina mendirikan rumah tangga, satu demi satu dugaan menimpa. Malah setelah berkahwin hinggalah Abyatina mempunyai anak, pelbagai ujian masih terus menduganya. Kisah Ustaz Man menguasai perbualan di antara Abyatina dan suaminya itu.  Abyatina ternyata dilanda kerisauan.

“Tak ada apa yang perlu diresahkan. Tak ada apa yang perlu dikeluhkan. Memang banyak dugaan yang menimpa. Tapi satu demi satu dapat diharungi. Itu buktinya kita kuat,” balas Rizqullah.

“Mungkin itu hikmahnya. Tapi setiap kali nak berhadapan dengan ujian, bukan senang seperti yang disangka. Ina tak tahu, sampai bila lagi Ina boleh bertahan”

“Ini bukan Ina yang abang kenal. Isteri abang orangnya kuat. Sentiasa tabah dengan dugaan,” kata Rizqullah.

“Barangkali situasi dah ubah segalanya?” balas Abyatina. “Mungkin Ina dah tak sama macam dulu...” luah Abyatina.

Hakikatnya, Abyatina tahu segalanya pasti akan berubah selepas ini. Setelah Ustaz Man terlantar begitu lama di hospital akibat serangan angin ahmar, maka keadaan Ustaz Man dilihat tidak akan sama seperti sebelumnya. Ayah Abyatina itu dilihat semakin lemah, dan tidak lagi secergas dahulu. Tidak lagi mampu bergurau senda apatah lagi untuk mengusik manja Abyatina. Semua itu dapat dilihat dengan jelas setiap kali Abyatina menziarahi ayahnya di hospital.

“Ina tahu, mungkin ayah dah tak ada banyak masa lagi. Mungkin semua dah tertulis. Ina kena redha dengan apa yang ditakdirkan. Tapi, Ina takut bila tiba masanya nanti, Ina tak bersedia nak hadapinya...” luah Abyatina.

Rizqullah mengerti akan kerisauan yang melanda isterinya itu.

“Aturan kehidupan, semuanya tak akan kekal selamanya. Pasti ada permulaan dan penghujungnya. Begitulah juga dengan kehidupan kita. Walau apa pun yang terjadi, kita kena terima ketentuan Allah. Walaupun kita tak bersedia, semuanya kita kena hadapi. Walau hati kita tak mampu hadapi dugaan, kita kena sedar kita sekadar hamba-Nya. Siapalah kita nak persoalkan ketentuan dan takdir yang ditulis-Nya,” balas Rizqullah dengan maksud yang jelas.

Kata-kata itu ternyata harus diakui Abyatina. Mungkin kerana itu, maka untuk detik-detik berikutnya Abyatina hanya membisu tanpa sebarang bicara. Abyatina hanya melemparkan pandangannya sejauh yang mungkin, melihat pemandangan sawah padi yang semakin menguning itu. Satu pemandangan yang biasa tatkala Abyatina tiba di kampungnya. Di saat itu, mereka terus sabar menanti ketibaan ahli keluarga yang lain. Itulah detik Ustaz Man kembali pulang ke rumah setelah beberapa bulan terlantar di hospital.

“Apa yang penting sekarang, kita kena lihat masa depan. Kalau selalu toleh ke belakang, mungkin banyak yang kita terlepas di masa depan,” kata Rizqullah. “Ina kena jaga kesihatan. Jangan sampai terjejas kandungan tu”

Abyatina hanya tersenyum.

Tidak berapa lama kemudian, maka kedengaran deruman enjin memasuki perkarangan halaman rumah. Maka, dapatlah dilihat dengan jelas sebuah kereta berwarna putih perlahan-lahan memasuki halaman rumah itu. Kelihatan Absyar memandu kereta tersebut. Duduk di sebelahnya ialah Tasha isterinya.

“Alhamdulillah syukur,” luah Abyatina.

Kelihatan dengan jelas mereka yang duduk di bahagian belakang penumpang kereta itu. Mak Cik Ros terus setia berada di sisi Ustaz Man yang kelihatan tidak begitu bermaya, hanya bersandar di kerusi kereta tanpa sebarang bicara. Maka sebaik tiba, Absyar dengan pantas membuka bonet belakang keretanya itu. Dikeluarkan kerusi roda untuk digunakan buat Ustaz Man. Memudahkan urusan untuk membawa Ustaz Man naik ke atas rumah.

Melihat situasi itu, Rizqullah terus menghulurkan bantuan. Sebaik pintu belakang kereta dibuka, maka perlahan-lahan dengan kudrat yang ada, Rizqullah cuba mengangkat Ustaz Man untuk duduk di atas kerusi roda yang dikeluarkan Absyar tadi. Absyar turut membantu bersama-sama Mak Cik Ros. Tasha pula hanya berjalan dan berdiri di satu penjuru. Isteri Absyar itu hanya memerhati tanpa menghulurkan sebarang pertolongan.

Abyatina melihat perilaku kakak iparnya itu. Ternyata menggusarkan sedikit kata hati kecilnya.

“Apa geli sangatkah ayahku sampai si Tasha tu langsung tak nak membantunya?” soal Abyatina dalam hatinya. Persoalan yang barangkali tercetus akibat terkilan di hati memerhatikan perilaku Tasha itu. Abyatina dengan pantas tidak lama kemudian cuba membantu bersama-sama yang lain untuk mengangkat Ustaz Man naik ke atas kerusi roda.

Kisah seterusnya bukan terhenti di situ sahaja. Sebaik Ustaz Man diangkat naik ke atas kerusi roda, maka langkah seterusnya adalah untuk membawanya menuju ke rumah, cuba dibawa naik ke atas rumah. Tugasnya bukan mudah, kerana Ustaz Man langsung tidak mampu menggerakkan kakinya. Hakikatnya, Ustaz Man telah lumpuh separuh badan setelah diserang angin ahmar sebelum ini.

Di saat ini, juga, Tasha masih terus berada jauh dari mereka yang lain. Tasha hanya menjadi pemerhati tanpa menghulurkan sebarang bantuan. Situasi ini ternyata tidak menyenangkan hati Abyatina. Rasa jelak muncul seketika, namun hanya dipendalm dalam hatinya sahaja.

“Kenapa dengan si Tasha tu? Kenapa langsung tak membantu?” soal Abyatina kepada suaminya Rizqullah.

“Tak perlulah difikirkan perkara yang lain. Biarkan saja,” balas Rizqullah. “Apa yang penting, ayah tu yang perlu diberi tumpuan”

Perbualan itu tercipta setelah mereka merasai kepenatan selepas membantu mengangkat Ustaz Man naik ke atas rumah. Hakikatnya tugas itu bukanlah mudah. Sebaik Ustaz Man duduk di kerusi roda, maka ayah Abyatina itu dibawa menuju ke ruang beranda rumah. Sebaik tiba di situ, maka Ustaz Man diangkat sekali lagi. Maka dengan kudrat tenaga yang ada, Abyatina bersama-sama Rizqullah, Absyar, Zabarjad dan Rafiqin perlahan-lahan mengangkat Ustaz Man mendaki anak tangga rumah itu. Mak Cik Ros pula sementara itu mengangkat kerusi roda yang digunakan, dibawa naik ke atas rumah. Masing-masing memainkan peranan kecuali Tasha.

“Mungkin mak terasa di hati. Kita tak tau...” luah Rizqullah dalam nada yang berbeza.

“Entahlah. Lagi difikirkan, lagi kusut jadinya. Satu demi satu dugaan. Takut nanti dah tak terdaya nak lalui...” kata Abyatina.

“Jangan serabutkan fikiran dengan perkara yang tak pasti. Biarkan dulu, tumpukan pada yang yang perlu kita hadapi...” kata Rizqullah.

Seperti kebiasaannya, setiap kali ditimpa kekusutan, maka Abyatina pasti meluahkan rasa hatinya itu kepada Rizqullah. Setiap kali itu jugalah, Rizqullah akan cuba menenangkan isterinya itu.

Bilik di hujung rumah yang selama ini kosong, mula dibersihkan. Itulah bilik yang akan digunakan buat Ustaz Man. Jaraknya tidak jauh dari bilik air, tidak juga jauh dari kawasan dapur. Maka bilik itu merupakan pilihan yang tepat untuk Ustaz Man duduki. Setidak-tidaknya, sekiranya terdapat sebarang kecemasan, tindakan pantas dapat diatur.

“Tapi yang pasti, kita tak boleh biarkan ayahmu duduk seorang dalam bilik. Mesti ada teman sepanjang masa,” kata ibu Abyatina. “Ayahmu sepanjang masa perlukan bantuan...”

Perbincangan tercipta di ruang tamu. Saat itu, kesemua ahli keluarga Ustaz Man berada di ruang tamu. Raiqah dan keluarganya baru sahaja tiba. Begitu juga Zaafarani, yang baru saja tiba dari Pulau Pinang. Kepulangan Ustaz Man kembali ke rumah menjadi satu perkara yang besar dalam keluarga itu. Mereka harus berkumpul kesemuanya untuk mengatur langkah masa hadapan. Merencana perjalanan seterusnya terutama perkara yang berkaitan dengan Ustaz Man.

“Doktor cakap, mungkin lumpuh ayahmu akan kekal sampai bila-bila. Suka atau tak suka, kita kena terima kenyataannya. Ayahmu takkan sama seperti dulu,” kata Mak Cik Ros. Nada bicaranya cukup tenang walaupun barangkali kesedihan masih terus menyelubungi dalam dirinya.

Namun di satu sudut, Abyatina tahu akan perasaan yang disembunyikan ibunya itu. Hati seorang wanita, maka pasti juga akan dapat difahami oleh Abyatina. Mana mungkin ibunya akan setenang itu tatkala suami yang disayanginya tidak akan kembali sihat seperti sebelumnya.

“Insya-Allah. Kami sama-sama akan cuba bantu mana yang patut,” kata Zaafarani memberi jaminannya. “Memang Zaf jauh. Tapi kita sama-sama boleh tolong”

“Kami pun macam tu juga,” kata Raiqah. “Soal ayah, janganlah dirisaukan. Insya-Allah, kalau kita semua bersatu, semuanya akan jadi mudah”

“Insya-Allah. Saya pun akan cuba hulurkan mana yang patut. Moga-moga cepat sembuh ayah,” kata Rizqullah pula.

Senyuman terukir di wajah Mak Cik Ros. Barangkali sokongan yang dinyatakan itu sedikit sebanyak memberi ketenangan di hatinya itu. Barangkali beban yang terpaksa dipikulnya itu dilihat sedikit demi sedikit terungkai. Kelegaan dirasakan.

Ustaz Man perlukan penjagaan sepenuhnya. Dari soal makan dan minum hinggalah kepada mandi dan pakaian, semua itu harus dibuat dengan bantuan orang lain. Ustaz Man tidak lagi berdaya. Kakinya lumpuh kembali, sama seperti keadaannya beberapa tahun sebelumnya. Namun untuk kali ini, lumpuhnya itu barangkali akan kekal ditambah pula dengan keadaan tangannya yang dilihat semakin lemah untuk digerakkan. Untuk bercakap juga, pertuturannya itu tidaklah begitu jelas dan mudah untuk difahami yang lain.

“Ayahmu akan jadi lain. Tabahkan hati semua,” luah Mak Cik Ros menutup bicara sebelum bangun menuju ke bilik Ustaz Man berada. Seisi keluarga yang lain membisu sahaja. Barangkali faham dengan situasi yang sedang melanda.

“Baru saja ayah sihat boleh berjalan. Sekarang lumpuh balik. Sekejap saja nikmat sihatnya..” luah Raiqah.

“Apa boleh buat akak. Semuanya dah tertulis begitu takdirnya,” balas Abyatina.

Suasana di ruang tamu itu ternyata berada dalam keadaan sugul dan barangkali tertekan. Rata-rata dilanda kerisauan memikirkan masa depan Ustaz Man. Hakikatnya satu masa dahulu, Ustaz Man telah pun menerima dugaan. Beberapa tahun sebelumnya, Ustaz Man ditimpa kemalangan jalan raya apabila dilanggar lori sewaktu dalam perjalanan pulang dari masjid. Kemalangan itu menyebabkan Ustaz Man lumpuh di bahagian kaki. Namun berkat usaha anak-anaknya, mencari rawatan sana dan sini, maka lumpuh itu berjaya dipulihkan. Ustaz Man dapat kembali berjalan seperti biasa beberapa tahun selepas kemalangan itu.

“Tapi sekarang semuanya kembali macam dulu...” luah Abyatina.

Hari-hari berikutnya, maka suasana rumah itu menjadi berlainan. Kesemua anak-anak Ustaz Man masih terus berada di rumah menemani ibu mereka menguruskan hal rutin harian Ustaz Man. Zaafarani sanggup mengambil cuti selama seminggu semata-mata mahu menjaga Ustaz Man. Begitu juga Arfan suami Raiqah, turut melapangkan masanya selama seminggu, mengambil cuti seperti Zaafarani.

Di hari pertama, segalanya tampak sukar buat semua yang ada. Menguruskan segala hal harian Ustaz Man bukanlah sesuatu yang mudah. Di awal pagi, Mak Cik Ros akan mengejutkan suaminya itu untuk mendirikan solat fardhu Subuh. Zaafarani kemudian membantu ayahnya itu untuk mengambil wuduk sebelum dibantu untuk bersiap-siap mendirikan solat di awal pagi itu. Bukan mudah, kerana kesemua perkara itu harus dibantu sepenuhnya oleh Zaafarani dan Mak Cik Ros. Ustaz Man ternyata sukar untuk bergerak sendiri. Pertuturan bicaranya juga tidaklah sejelas yang disangka.

Situasi yang sama juga berlaku apabila tiba waktu untuk memandikan Ustaz Man. Hakikatnya, walaupun jarak di antara bilik dengan bilik air rumah tidaklah begitu jauh, namun untuk membawa Ustaz Man ke sana memerlukan tenaga dan kerjasama semua. Bilik itu terletak di bahagian atas rumah, sedangkan bilik air berada di tingkat bawah berhampiran dapur. Disebabkan itu, untuk membawa Ustaz Man ke bilik air, maka Zaafarani, Rizqullah bersama-sama Zabarjad bekerjasama sepenuhnya. Malah, ada ketikanya Abyatina turut cuba membantu, namun dilarang Mak Cik Ros.

“Jangan dicari malang yang tak berbau. Mu tu berbadan dua. Silap langkah kalau terjatuh, buruk padahnya,” kata Mak Cik Ros melarang Abyatina.

“Tiga cucu...”

Bicara Ustaz Man muncul di bibirnya. Ringkas bersesuaian dengan pertuturan yang kurang jelas, maka mesej itu cukup difahami semua yang ada di saat Ustaz Man diangkat menuruni anak tangga menuju ke bilik air. Kata-kata itu dilihat mengukir senyuman semua terutama Mak Cik Ros.

“Pandai ayah bergurau. Dalam sakit masih sama macam dulu...” bisik hati kecil Abyatina.

Benar, pada tahun yang sama, Ustaz Man dijangka menerima tiga orang cucu baru. Di saat itu, Abyatina, Raiqah, dan Tasha sedang hamil. Untuk beberapa bulan yang mendatang, maka akan tiba saatnya masing-masing bakal menerima bayi baru. Raiqah bakal menerima anak ketiganya, manakala Abyatina akan menerima anak keduanya. Bagi Tasha pula, kehamilannya itu merupakan pengalaman pertamanya. Pasti mengujakan dirinya bersama Absyar.

“Mungkin sebab tu, si Tasha tu tak ringan nak tolong masa angkat ayah tadi,” kata Raiqah. Perbualan tercipta di malam hari sewaktu Raiqah dan Abyatina baru sahaja selesai menunaikan solat fardhu Isyak. “Mungkin dia takut kalau jadi apa-apa dengan kandungannya”

“Tolongnya langsung tak. Bukan alasan namanya. Kalau tak boleh tolong yang berat, boleh saja dibantu mana yang ringan,” kata Abyatina. “Kalau dah duduk tercegat melihat saja tapi tak membantu, macam-macam orang akan sangka...”

“Jangan buruk sangka. Kita tak tahu di sebalik hati si Tasha tu,” balas Raiqah. “Kita pun sama macam Tasha. Mengandung juga. Tak elok prasangka buruk. Nanti buruk juga anak yang lahir nanti”

Ada benarnya kata-kata kakaknya itu.

“Bukan itu yang perlu kita risaukan. Tapi ayah yang perlu jadi tumpuan,” kata Raiqah beberapa ketika kemudian selepas melihat Abyatina hanya membisu sahaja.

Memikirkan akan kesusahan yang perlu dihadapi untuk menguruskan Ustaz Man setiap kali untuk ke tandas dan ke dapur, maka masing-masing mula memikirkan apa yang perlu dibuat bagi mengurangkan beban tersebut.

“Sekarang ni mungkin ramai yang boleh tolong ayah. Tapi nanti bila semua dah balik, bila semua dah kerja semula, tak termampu mak nak buat semuanya berseorangan,” kata Raiqah.

“Yalah. Nak harap Rafiqin dengan Zabarajad, dua-dua pun tak sepanjang masa ada di rumah,” kata Abyatina.

Maka, di suatu masa, Zaafarani abang Abyatina memberikan buah fikirannya. Bagi mengatasi masalah yang dihadapi dalam menguruskan rutin harian Ustaz Man, Zaafarani mengusulkan cadangannya.

“Mungkin kita kena ubahsuai bilik tu,” kata Zaafarani.

“Apa yang nak diubahsuai?” soal Raiqah. Perbincangan tercetus di ruang tamu.

“Kita jadikan bilik tu mudah untuk ayah. Selesa untuk ayah, senang untuk mak,” terang Zaafarani.

“Maksudnya?” soal Abyatina.

“Kita buat sambungan paip, buatkan ruang khas, aturkan mana yang patut dalam bilik tu, barulah senang nak uruskan ayah nanti,” terang Zaafarani.

Mengikut apa yang dicadangkan Zaafarani, bilik yang menempatkan Ustaz Man di rumah itu perlu diubahsuai. Hakikatnya, memang sukar untuk mengusung Ustaz Man untuk turun ke bawah andai hanya Mak Cik Ros sahaja yang menguruskannya. Hakikatnya pasti sangat sukar untuk membantu Ustaz Man mengambil wuduk jika tiada air yang berhampiran dengannya. Cadangan itu ternyata kelihatan memudahkan urusan harian Ustaz Man namun barangkali mengundang sedikit kegusaran sesetengah ahli keluarga.

“Apa kita nak jadikan ayah tahanan dalam bilik? Apa kita nak kurungnya dalam bilik sepanjang masa?” soal Absyar melahirkan rasa kurang setujunya. “Bukankah itu namanya merendahkan martabat seorang ayah? Apa susah sangatkah nak usung turun naik ayah setiap hari dari bilik? Nak jadi anak derhaka? Apa kita dah lupa jasa ayah?”

Persoalan yang diajukan Absyar itu ternyata mengundang kegusaran di waktu itu. Memang ada benarnya kata-kata Absyar itu.

“Apa yang kita buat bukan nak jatuhkan martabat ayah. Bukan juga sebab kita tak kenang jasa. Tapi itu jalan sebaik-baiknya,” balas Zaafarani. “Jangan kita terlalu banyak fikirkan pasal ayah sampai kita lupa pada mak yang kena jaganya nanti”

“Kita semua nanti akan pulang ke rumah masing-masing. Bila dah tak ada siapa di rumah, siapa lagi yang boleh membantu? Laratkah mak nak bawa ayah setiap hari ke bilik air?” kata Raiqah pula.

“Syar memang tak berapa berkenan dengan cadangan ni. Rasa macam kita tak hormat ayah. Syar tak boleh bayangkan macam mana nanti ayah dimandikan dalam bilik tu, buang air, tidur di situ...”

“Bukan itu yang akan berlaku. Bila mak seorang saja di rumah, barulah semuanya diuruskan dalam bilik tu. Tapi kalau kita semua ada, sama-samalah kita tolong ayah mandikannya di bilik air, uruskan apa yang patut,” terang Zaafarani.

Maka di penghujung perbincangan, walaupun Absyar dilihat kurang bersetuju dengan cadangan yang dilontarkan Zaafarani itu, di akhirnya kesemua ahli keluarga telah memberi kata putus.  Cadangan yang dinyatakan itu dipersetujui semua.

“Apa yang penting, semua ni kita buat semata-mata nak memudahkan kerja mak,” kata Zaafarani.

Pengubahsuaian bilik dibuat. Saluran paip dipasang dan lantai papan di penjuru bilik direnggangkan. Tujuannya adalah untuk memudahkan air mengalir ke tanah sekiranya air digunakan dalam bilik itu. Kawasan itu nanti akan digunakan untuk memandikan Ustaz Man sekiranya keadaan memerlukan.  Pengubahsuaian ringkas itu tidak mengambil masa yang lama. Masing-masing menghulurkan pertolongan bagi mempercepatkan urusan.

Beberapa hari kemudian, maka Abyatina dan Rizqullah pulang semula ke rumah. Maka, kembalilah mereka meneruskan rutian harian kebiasaannya. Abyatina akan kembali ke sekolah untuk mengajar, begitu juga Rizqullah. Masing-masing dilanda kesibukan seperti biasa. Begitu juga buat Yaqzan anak kecil mereka. Kembali tinggal di rumah Mami Radhwa tatkala Abyatina dan Rizqullah dalam bekerja.

“Jaga juga diri hang tu. Kerja tu satu ibadah. Tapi jangan sampai boleh mudarat diri,” pesan ibu Rizqullah kepada Abyatina di suatu hari. “Jangan lupa, hang tu dah mengandung”

“Insya-Allah. Ina tahu jaga diri. Kalau apa pun yang terjadi, mak tak perlu risau. Tak jauh pun sekolah dari rumah ni,” balas Abyatina.

Beberapa tahun yang lalu, kisah berbadan dua Abyatina ternyata sangat berbeza dengan yang keduanya. Jika dulu, Abyatina hanya berada di rumah, tidak bekerja. Masa sepenuhnya ditumpukan kepada urusan rumah tangga dan penjagaan dirinya di kala mengandung. Semuanya tampak tenang dan teratur apatah lagi diri Abyatina seringkali dipantau dan dijaga oleh ibu mertuanya. Namun semuanya kini berbeza tatkala Abyatina sedang mengandungkan anak keduanya. Situasi yang diharunginya dilihat cukup mencabar.

“Kadang-kadang memang pening kepala. Ada waktunya fikiran serabut. Tapi ada ketikanya, hati jadi tenang. Tapi bila dah rasa tenangnya, datang pula dugaan lain. Tak berhenti, tak pernah hilang,” luah Abyatina menerusi perbualan telefon. Abyatina berbual dengan kakaknya Raiqah di suatu malam.

“Dalam dunia ni, tak ada yang mudah untuk kita. Kalau kita hidup dalam senang sepanjang masa, tak ada susahnya, takut nanti kita jadi manusia yang lupa pada Allah,” kata Raiqah. “Biarlah sepanjang masa kita diberi ujian. Asal kita terus ingat pada kekuasaan-Nya”

“Tapi kadang-kadang takut juga. Ina tak pasti kalau semua dugaan tu Ina dapat hadapi,” balas Abyatina.

“Allah tu Maha Tahu. Setiap ujian yang dia bagi, pasti bersesuaian dengan kemampuan kita. Apa yang penting, bila kita ditimpa susah, sentiasa ingat pada Allah. Itu kunci ketenangan,” kata Raiqah. “Kenapa, Ina tak mampu nak bekerja lagikah?”

“Bukan tak mampu. Tapi takut nanti tak terdaya nak hadapi beban kerjanya. Ina memang suka kerja sekarang ni. Seronok dapat mengajar budak-budak, dapat bimbing mereka, dapat bergaul dengan mereka. Tapi, ada waktunya, Ina rasa macam tak mampu nak galas dua tanggungjawab pada masa yang sama. Ina takut ada yang terkurang tanggungjawabnya, sampai mungkin terabai rumah tangganya”

“Jangan fikir mampu atau tak. Tapi fikirkan soal ikhlas dalam bekerja. Tiap-tiap pekerjaan yang ikhlas, maka pasti akan ada kemudahannya. Pasti ada ganjarannya,” balas Raiqah. “Kalau kita terlalu memikirkan soal kemampuan diri, sampai bila-bila pun kita tak akan rasa mampu. Tapi kalau kita fikirkan ikhlas hati dalam bekerja, insya-Allah, kita boleh capainya”

“Ya... mungkin jugak...”

Hakikatnya, seringkali Abyatina dilanda kesibukan setiap kali hari bekerja. Rutin harian yang sibuk itu, membataskan pula Abyatina untuk memberi tumpuan terhadap kandungan bayinya. Ada ketikanya Abyatina merasakan bahawa dirinya itu tidak memberi perhatian yang penuh terhadap kandungannya itu. Lebih banyak sibuk dengan tugasnya sebagai seorang guru hingga tidak melakukan persediaan rohani buat bayinya yang bakal lahir itu.

“Apakah Ina ni ibu yang tak bertanggungjawab kak?” soal Abyatina.

“Kalau Ina masih dapat fikirkan soal masa depan anak-anak Ina, fikirkan mengenai kandungan Ina tu, akak tak fikir itu menunjukkan Ina tak bertanggungjawab. Setiap nilai tanggungjawab tu bermula dari kesedaran hati. Kalau hati Ina masih ingat pada tugas yang perlu dipikul, insya-Allah, Ina masih lagi di landasan yang betul. Janganlah dirisaukan sangat,” balas Raiqah.

Hari demi hari, kandungan Ina semakin membesar. Maka cabaran demi cabaran juga semakin sukar dirasakan. Setiap kali kaki melangkah ke sekolah, maka setiap kali itu jugalah Abyatina dilanda kerisauan.

“Takut juga kalau tiba-tiba jadi sesuatu yang terduga. Takut juga tiba-tiba Ina boleh pengsan...” kata Abyatina.

“Kalau tak dijaga kesihatannya, semua yang tak kena boleh berlaku. Tapi semuanya terjaga, insya-Allah tak ada apa yang perlu dirisaukan,” balas Raiqah yang memahami kerisauan Abyatina itu. “Akak tahu, mungkin tak layak akak nak bagi nasihat. Akak tak bekerja. Ina ada kerjaya. Tak mungkin akak boleh faham sepenuhnya...”

“Tapi akak banyak pengalaman. Itu pun dah cukup untuk nasihatkan Ina ni,” balas Abyatina.

“Suamimu Rizqullah macam mana? Dia tahu keadaanmu sekarang?” soal Raiqah.

“Orang laki akak. Kalau nampak si isteri sihat di luarannya, maka dianggap saja Ina ni sihat. Kadang-kadang memang Ina terasa di hati. Bila Ina tak selesa pening kepala, badan rasa tak sihat, waktu tu jugalah Abang Riz buat tak tahu saja. Dibuat Ina ni macam tak ada apa-apa,” luah Abyatina.

Kisah yang dikongsikan Abyatina itu menarik perhatian Raiqah.

“Kita orang perempuan pun macam tu juga. Bila dah berbadan dua, perkara yang kecil pun boleh jadi satu benda yang besar. Kadang-kadang puncanya tak seberapa, tapi kesannya cukup mendalam. Bila kita dah mengandung ni, suka atau tak emosi kita pun tak sama macam sebelumnya. Senang naik senang turun. Cepat berubah, cepat juga terasa di hati. Hormon dalam badan dah berubah, anak dalam perut tu perlukan makanan secukupnya. Biasalah kalau kita jadi sensitif,” kata Raiqah.

“Tapi, kadang-kadang bila terasa di hati susah nak dikawal,” balas Abyatina.

“Apa yang terasa di hatinya? Apa yang Rizqullah dah buat?” soal Raiqah cuba mengorek isi hati yang dipendam Abyatina. Barangkali ada kisah di sebalik kata-kata keluhan dari adiknya itu.

“Pening juga kalau nak difikirkan. Kalau hidup dalam dua pilihan, yang mana satu nak pilih pun dah jadi buntu. Satu perkara, soal masa depan nak kejar cita-cita. Satu perkara lagi, soal kepatuhan seorang isteri kepada suaminya,” terang Abyatina.

“Apa yang disuruh Rizqullah?”

“Cadangnya dah lama akak. Mungkin juga untuk masa depan. Abang Riz kata dia nak berpindah ke Taiping, bina hidup baru di sana. Tingga di rumah baru di sana. Cadangnya, kampung halamannya tu nak ditinggalkan, untuk bagi kehidupan yang lebih selesa buat anak-anak nanti,” kata Abyatina.

“Baguslah kalau macam tu. Elok juga buat masa depan nanti. Jadi apa pula yang perlu dirisaukan? Kenapa nak dirungsingkan?”

“Kalau pindah ke Taiping, macam mana pula kerja Ina sebagai cikgu di kampung ni? Takkan nak berhenti tinggalkan semuanya? Kalau tak berhenti, takkan nak berpisah dari suami buat sementara?” kata Abyatani.

“Pernah bincang dengan suamimu?” soal Raiqah.

“Sebagai suami, sepatutnya dia lebih faham,” balas Abyatina. “Takkan semuanya si isteri kena bagi tahu...”

“Jangan macam tu. Kalau ego menguasai diri, takut nanti makan di hati. Orang laki kadang-kadang tak perasan apa yang kita tahu. Tak sedar apa yang kita rasa. Pandangan mereka terletak pada perkara yang besar, tapi kita orang perempuan ni banyak melihat perkara-perkara kecil yang mereka tak nampak. Itulah lumrah hidup,” balas Raiqah.

Mungkin emosi Abyatina seringkali ternganggu sejak kebelakangan ini. Tatkala diri telah berbadan dua, Abyatina dilihat lebih sensitif daripada kebiasaannya. Mudah sahaja terasa di hati walaupun ada waktunya Rizqullah tidak melakukan apa-apa. Rasa itu diluahkan kepada kakaknya Raiqah, dan ternyata kakaknya itu memahami situasi yang terjadi.

“Banyakkan istighfar. Jangan ikutkan sangat rasa di hati. Jangan terlalu beremosi, takut nanti bayi yang dikandung terjejas rohani dan jasmaninya. Sabarkan hati,” pesan Raiqah.

“Insya-Allah....”

Maka untuk hari-hari berikutnya, hati Abyatina cuba dikuatkan semangatnya. Segala kekusutan fikiran yang melandanya cuba diketepikan seketika. Fokus Abyatina perlu terang dan jelas, kerana tatkala kaki melangkah menuju ke sekolah, maka tanggungjawab sebagai seorang guru itulah yang perlu diberikan keutamaan. Soal hal rumah tangga perlu dilupakan seketika.

“Tapi kenapa tiba-tiba Ina terlebih emosi berbanding biasa?”

Soalan itu diajukan Raiqah sewaktu perbualan telefon masih berlangsung di antara Abyatina dan kakaknya itu.

“Entahlah. Mungkin sebab terlalu banyak keserabutan barangkali. Mungkin Ina dah tak terdaya nak hadapi semua dugaan yang datang,” balas Abyatina.

Mungkin juga Abyatina tidak tahu jawapan yang sebenar. Namun perbualan yang tercipta di antaranya dengan Raiqah itu memberikan sedikit kelegaan di fikirannya. Setidak-tidaknya, masalah yang dipendamnya itu telah dikongsikan.

“Hari ni saya nak kamu sambung latihan yang saya bagi semalam. Rasanya ramai lagi yang tak siap. Kalau ada yang tak faham, boleh tanya saya. Kalau yang dah siap kerja, kamu jumpa saya, biar saya semak kerja kamu. Faham?”

Pagi itu, Abyatina tidak mengajar seperti kebiasaannya. Subjek Sejarah ternyata bukanlah sesuatu yang sukar untuk diajarnya. Namun, ada waktunya, pengajaran itu tidak dapat dilaksanakan disebabkan para pelajar sedikit lambat dan ketinggalan dalam memahami topik yang telah diajar. Maka mungkin disebabkan itu jugalah, Abyatina hanya memutuskan untuk pelajar-pelajarnya itu menyiapkan kerja yang telah diberi sepanjang tempoh pengajarannya di kelas itu. Namun di sebalik semua alasan itu, sebab utamanya bukanlah disebabkan perlajar itu sendiri tetapi disebabkan keadaan diri Abyatina.

“Ya Allah. Apa yang tak kena pada aku hari ni? Sakitkah? Salah makankah?” soal Abyatina bermonolog sendirian dalam hatinya.

Benar, Abyatina di pagi hari itu tidaklah seperti kebiasaannya. Kecergasannya hilang, rasa pening sahaja yang muncul. Sakit kepala turut dirasakan dan ada ketikanya matanya dirasakan berpinar-pinar. Ada waktunya juga, lututnya tidak terdaya untuk berdiri. Itulah sebab yang menyebabkan Abyatina memutuskan untuk tidak mengajar hari ini. Hanya duduk di kerusi dalam kelas, sambil menyemak kerja-kerja pelajar yang telah siap tugasannya. Abyatina terpaksa menukar rancangan pengajarannya hariannya. Perlu diubah suai untuk selari dengan keadaan kesihatannya di hari itu.

Abyatina terus duduk di kerusi sambil para pelajar terus tekun melakukan kerja yang diberi. Rata-rata kebanyakan pelajarnya itu masih belum sempat menyiapkan kerja rumah yang diberikanya semalam. Mungkin juga kerja yang diberi agak banyak atau barangali para pelajarnya itu yang dilanda kemalasan. Namun, walau apa pun sebabnya, kerja masih tetap dilakukan mereka. Di saat itu, ada waktunya beberapa pelajar menghapiri meja guru. Mereka bertanya soalan untuk kepastian. Meminta pandangan terhadap jawapan yang telah diberikan. Hakikatnya, pelajar tingkatan lima dan menjawab soalan Sejarah, maka daya ingatan yang tinggi harus ada dalam menjawab soalan esei yang diberi. Mereka harus memahami kronologi sejarah dan perlu memhami konsep bagi setiap urutan peristiwa yang telah terjadi. Barulah mudah untuk mereka memahami dalam menjawab soalan yang diberi.

“Cikgu sihat?”

Soalan diajukan oleh salah seorang pelajarnya secara tiba-tiba. Aminah, pelajar terbaik dalam kelasnya tiba-tiba menghampiri Abyatina yang duduk di kerusi. Terus bertanya seolah-olah tahu dan faham dengan keadaan Abyatina ketika itu.

Abyatina hanya tersenyum saja.

“Kamu dah siap kerjanya?” soal Abyatina.

“Dah siap cikgu,” jawab Aminah sambil menyerahkan buku kerjanya kepada Abyatina.

Beberapa ketika selepas itu, loceng sekolah berbunyi. Maka tamatlah waktu Abyatina untuk kelas itu. Kisah seterusnya, Abyatina perlu bergerak ke bilik guru untuk berehat seketika. Setelah tiga waktu di tiga kelas, maka tibalah masa untuk Abyatina merehatkan diri seketika.

Seperti biasa, kesemua pelajar bangun sebelum memberi ucapan salam hormat kepada Abyatina sebagai guru. Ucapan terima kasih diucapkan kesemua pelajar sebelum diakhiri dengan bacaan tasbih kifarah dan surah al-Asr. Kesemua itu berlangsung dalam beberapa ketika sebelum Abyatina mula bergerak meninggalkan kelas itu.

“Cikgu, biar saya tolong,” kata Aminah yang tiba-tiba menghampiri Abyatina. “Biar saya tolong bawakan semua buku-buku tu. Taklah berat sangat cikgu nak angkatnya”

“Terima kasih Aminah,” balas Abyatina tersenyum. Aminah pelajarnya itu, ternyata seringkali mencetuskan kesenangan di hatinya. Kesemua guru ternyata sangat senang dengan pelajar itu.

Abyatina menyerahkan buku-buku yang dipegangnya itu kepada Aminah. Agak banyak juga buku-buku yang dibawa. Kesemuanya merupakan buku-buku pelajarnya yang masih belum disemak. Buku diserahkan, dan Aminah mengikut Abyatina menuju ke bilik guru. Segalanya tampak biasa sahaja di saat itu.

“Cikgu!”

Secara tiba-tiba Aminah menjerit. Dilanda kejutan, dan jeritan itu ternyata menangkap perhatian seluruh kelas. Aminah baru sahaja melangkah keluar dari kelas dan sedang berjalan menerusi koridor bangunan. Saat itulah jeritan kedengaran. Serentak dengan itu, kebanyakan pelajar kelas itu meluru keluar untuk melihat apa yang sedang berlaku.

“Cikgu Ina!”

Abyatina kelihatan rebah di koridor. Secara tiba-tiba Abyatina pengsan di pertengahan jalan. Maka bermulalah situasi kelam-kabut di sekolah. Pagi itu, sesi persekolahan mencipta perbezaan. Pastinya kisah Cikgu Abyatina yang menjadi tajuk perbualan utama.

“Dah hubungi suaminya?” soal pengetua sekolah.

“Cikgu Rizqullah dalam perjalanan,” jawab Cikgu Razul.

Maka, Rizqullah bergegas menuju ke sekolah Abyatina. Jaraknya ternyata jauh, dari Taiping menuju ke sekolah itu, sekurang-kurangnya mengambil masa satu jam tempohnya. Di saat itu, kerisauan melanda dan pelbagai persoalan muncul di fikiran. Apakah yang terjadi sebenarnya?

“Allahuakbar. Bantulah hambamu yang lemah ini,” bisik hati Rizqullah di saat kelam-kabut memandu untuk pulang ke rumah.

Abyatina dibawa menaiki ambulans. Bergegas menuju ke klinik kesihatan berhampiran. Pening dan sakit kepala yang dirasakan, akhirnya menyebabkan Abyatina pengsan. Namun, tiada siapa tahu punca sebenar yang menyebabkan Abyatina menjadi begitu.

Hanya Abyatina sahaja yang dapat menjawabnya.




*Tamat sudah Bicara Tiga Puluh Tujuh*

Bagaimanakah keadaan kesihatan Abyatina? Apakah kandungan Abyatina terjejas? Apakah punca Abyatina pengsa? Akan bersambung di bicara seterusnya.

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 




Sekali lagi sekalung penghargaan kepada sahabat UPSI, saudari Nur Adila Muhammad kerana memberi izin untuk disiarkan gambar beliau untuk kali ke-5 bagi siri Adina kali ini.

Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina





Ahad, 18 Januari 2015

"Adina (Bicara Tiga Puluh Enam)"




 
“Mungkin masanya dah tiba...”

Rizqullah bersuara di pagi hari. Baru sahaja bersarapan di dapur, dan kini sedang mebelek-belek akhbar di ruang tamu. Hari hujung minggu sekali lagi dinikmatinya.

“Apa yang tibanya? Kenapa dengan masanya?” soal Abyatina sambil melayan Yaqzan bermain-main dengan alat permainannya.

“Kita kena fikir juga masa depan. Kena fikir sepuluh tahun akan datang. Kena fikir hidup anak-anak kita nanti...” kata Rizqullah.

“Kalau nak difikirkan pasal masa depan, semuanya banyak yang perlu dirancangkan. Tapi semua tu abang boleh aturkan. Ina akan ikut saja apa saja abang rancangkan...” kata Abyatina.

Yaqzan anak mereka sementara itu masih terus leka bermain bersendirian. Yaqzan dilihat selesema. Barangkali suasana pagi itu yang sedikit dingin disebabkan hujan malam semalam, maka kesihatan Yaqzan tidaklah begitu baik. Abyatina menyedari keadaan itu, dan selepas bersarapan, maka terus diberi ubat selesema buat Yaqzan.

“Kita hidup berkeluarga. Setiap perancangan masa depan, mestilah diatur bersama. Takkan abang seorang saja yang perlu tentukan semuanya....” balas Rizqullah. “Abyatina pun mesti kena bagi cadangan...”

Abyatina mengukir sedikit senyuman.

“Apa yang nak dicadangkan?” soal Abyatina. “Ina bukannya pandai nak merancang...”

Soalan itu ternyata mencetuskan ingatan-ingatan lalu Abyatina. Hakikatnya, banyak yang pernah diimpikan Abyatina sejak dahulu lagi. Sebelum berkahwin, tatkala masih lagi di usia remaja, Abyatina pernah mengimpikan untuk melanjutkan pengajiannya di universiti sebaik selesai sahaja SPM. Namun, takdir mengubah perancangan impiannya. Tatkala umurnya dua puluh tahun, Abyatina akhirnya berkahwin dengan Rizqullah, memadamkan terus impiannya untuk menyambung pengajian.

Namun, Rizqullah suami yang mengerti. Ibarat memahami apa yang pernah diimpikan Abyatina selama ini, beberapa tahun selepas itu mereka akhirnya sama-sama menyambung pengajian di universiti. Di awalnya Abyatina seakan tidak percaya, namun satu demi satu sisi baru dirasainya, mencipta pengalaman yang baru. Tiga tahun dalam pengajian, maka akhirnya Abyatina bergelar graduan berijazah. Impian tercapai berkat sokongan suaminya.

“Bukan Ina yang bijak dalam merencanakan kehidupan masa depan? Bukan Ina yang banyak memasang impian dulu?” soal Rizqullah menghentikan lamunan Abyatina. “Tiap-tiap impian Ina adalah satu perancangan yang terbaik untuk masa depan”

Abyatina sekali lagi mengukir senyuman.

“Tapi tak semua impian dapat direalisasikan. Tak semua impian indah-indah belaka di akhirnya...” balas Abyatina.

“Isteri abang orangnya bijak. Takkan boleh tersalah dalam memasang impian?” balas Rizqullah.

“Jadi apa perancangannya?” soal Abyatina. “Apa yang nak diimpikan?”

Kisah berlalu dengan pantas. Setelah berkonvokesyen beberapa bulan yang lalu, maka kini hidup Abyatina dan Rizqullah tidak lagi sama seperti sebelumnya. Jika dulu, hanya Rizqullah sahaja menggalas tanggungjawab sebagai seorang guru. Kini Abyatina juga turut memikul tanggungjawab yang sama. Abyatina kini telah bekerjaya, sesuatu yang pernah diimpikannya sebelum ini.

Disebabkan itu jugalah, maka rutin harian buat keluarga Rizqullah telah berubah. Jika dulu, hanya Rizqullah sahaja yang dilanda kesibukan bersiap-siap untuk ke sekolah. Namun kini, Abyatina juga dilanda sibuk yang sama. Maka setiap pagi, Yaqzan akan dihantar ke rumah ibu mertuanya, Mami Radhwa untuk dijaga sementara waktu. Barulah Abyatina akan bertolak menuju ke sekolah.

“Kesian mu. Dah tak serupa dulu...”

Luah Raiqah di satu masa tatkala mereka berbual-bual menerusi telefon. Perbualan itu tercipta di suatu petang tatkala Raiqah kakaknya itu ingin menyampaikan khabar gembira bahawa dirinya juga turut hamil seperti Abyatina.

“Apa boleh buat. Semuanya dah tersurat. Biar susah dahulu, mungkin ada senangnya di kemudian hari,” balas Abyatina.

“Akak cuma takut nanti disebabkan sibuk tu, tak teratur rumah tangga...” luah Raiqah.

“Ina masih boleh uruskan rumah tangga. Setakat yang mampu, insya-Allah semuanya masih baik-baik saja. Apa yang penting, Abang Riz faham dengan perubahan yang berlaku...”

Hakikatnya, apabila suami dan isteri masing-masing sibuk bekerjaya, maka pasti kehidupan sebelumnya itu tidak akan menjadi sama. Mungkin itulah yang dibimbangi Raiqah.

“Jangan abaikan apa yang sepatutnya diberi perhatian. Seorang isteri tetap isteri. Walau dah bekerja, syurganya tetap sama. Masih di bawah tapak kaki seorang suami,” pesan Raiqah.

“Insya-Allah...”

“Tapi, akak hairan jugak. Kenapa boleh terpisah jauh macam tu? Seorang di sini, seorang jauh di utara. Kenapa tak ditempatkan di kawasan yang sama?” soal Raiqah.

“Barangkali itulah ujian baru. Mungkin nak lihat sejauh mana kesabaran Ina dalam berkeluarga,” balas Abyatina.

Hakikatnya, walaupun Abyatina dan Rizqullah bekerjaya yang sama sebagai seorang guru, namun penempatan sekolah mereka tidak sama. Sebaik tamat pengajian di universiti, Rizqullah tidak lagi ditempatkan di sekolah lama tempatnya mengajar dahulu. Rizqullah dihantar ke sebuah sekolah di bandar Taiping, kira-kira empat puluh lima minit dari rumah. Bagi Abyatina pula, penempatan pertamanya sebagai seorang guru adalah di sekolah lama tempat Rizqullah mengajar dahulu.

“Tangan-tangan yang berkuasa di atas kadangkala mungkin tak fikirkan soal hati dan perasaan orang di bawah,” luah Raiqah. “Tak sepatutnya dipisahkan jauh suami dan isteri sebegitu,” katanya lagi.

Disebabkan itulah, setiap hari Rizqullah akan bangun seawal yang mungkin. Sebaik selesai solat Subuh, maka Rizqullah terus bertolak ke Taiping menuju ke sekolah. Abyatina pula sementara itu akan sibuk menyiapkan bekalan makanan buat suaminya setiap hari. Maka rutin itu dilihat bukanlah sesuatu yang mudah.

“Memang penat. Tapi itulah namanya pengorbanan,” kata Abyatina.

“Biar pengorbanan ada maknanya. Jangan pengorbanan itu akhirnya kita yang terkorban,” kata Raiqah.

“Tak semua pengorbanan berakhir dengan kesedihan...” balas Abyatina.

Kerisauan kadangkala melanda, namun semuanya diharungi Abyatina dengan tenang. Walaupun setiap hari bergelut dengan kesibukan, Abyatina tahu semuanya hanya sementara.

“Jadi macam mana Siti Abyatina?” soal Rizqullah. Lamunan Abyatina terhenti seketika. Kisah lalu yang bermain di fikirannya terhenti sebaik ditegur suaminya itu.

“Apa yang macam mana? Apa yang nak dibuat?” soal Abyatina kehairanan.

“Abyatina ada perancangan untuk masa depan keluarga kita?” soal Rizqullah.

Abyatina membisu sahaja. Hakikatnya, memang banyak perancangan yang bermain di fikirannya. Namun tiap-tiap yang diimpikan itu hanya disimpan sahaja buat dirinya. Tidak pernah dikongsikan buat sesiapa.

Namun, Abyatina harus mengakui bahawa umur anaknya Yaqzan semakin hari semakin meningkat. Hakikatnya, Yaqzan semakin cepat membesar, tatkala masa berlalu dengan pantas. Kadangkala tercetus kerisauan di fikirannya apabila memikirkan perihal Yaqzan itu. Ada waktu Abyatina merasakan bahawa dirinya itu tidak memberi tumpuan sepenuhnya dalam mendidik anaknya. Mungkin kesibukan sewaktu dalam pengajian di USM, maka Yaqzan dirasakan diabaikannya.

“Kalau di hati kata mu abaikan Yaqzan, maka sebenarnya itu bukti mu sayangkan Yaqzan”

Bicara ibunya bermain kembali di fikiran. Saat itu, Abyatina berbual-bual dengan ibunya di suatu malam di kampung. Abyatina meluahkan rasa risaunya dengan anaknya Yaqzan. Kebimbangan dengan kepantasan umurnya anaknya yang semakin meningkat.

“Hati seorang ibu, walau macam mana sayang pun, mesti risau juga dengan anaknya...” balas Abyatina.

“Jangan biarkan hati yang gusar menguasai setiap masa. Nanti disebabkan hati risau, semuanya yang tak perlu berlaku akan betul-betul berlaku,” kata Mak Cik Ros. “Yaqzan memang makin besar. Tapi jangan sesalkan masa yang lalu. Fikirkan masa depannya. Itu lebih penting. Kalau kita selalu toleh ke belakang, kita tak sedar mungkin kita terlepas dengan peluang yang ada di depan”

Ada benarnya kata Mak Cik Ros itu. Mungkin Abyatina seringkali melihat kesilapan-kesilapannya yang lalu.

“Mungkin Ina banyak salahnya dalam mendidik Yaqzan...” luah Abyatina.

“Kalau ada salahnya, maka perbetulkannya. Jangan disesalkan. Pastikan tak berulang, itu lagi penting,” pesan ibu Abyatina.

Umur Yaqzan kini menghampiri usia empat tahun. Dalam tempoh itu, pelbagai perkara yang telah diharungi oleh anak Abyatina itu. Namun, sepanjang tempoh itu juga, Yaqzan ternyata menempuhi pelbagai cabaran. Di usia yang muda, Yaqzan mengenal erti ketabahan.

Masih segar di fikiran Abyatina tatkala Yaqzan baru sahaja menjengah usia dua tahun. Saat itu, Yaqzan secara tiba-tiba dilanda sesak nafas. Tatkala leka berlari-lari bermain di taman, secara tiba-tiba Yaqzan menejerit dan menangis. Tangannya kemudian terus memegang dadanya. Wajahnya kemudian bertukar pucat. Yaqzan yang sebelum ini aktif berlari, tiba-tiba terduduk sebelum rebah di atas padang. Maka situasi panik tercetus. Abyatina menyaksikan semuanya.

“Hanya Allah saja yang tahu macam mana rasa hati Ina waktu tu...” luah Abyatina kepada ibunya di malam itu.

“Tapi, semuanya ketentuan dari-Nya. Itu satu ujian...”

Situasi yang melanda Yaqzan itu terjadi tatkala Abyatina membawa Yaqzan bermain-main di taman permainan berhampiran rumah sewa mereka di Pulau Pinang. Pada petang itu, Rizqullah suaminya berada di kampus mengikuti kelas kuliahnya. Masa lapang yang ada itu kemudian dimanfaatkan sepenuhnya bersama Yaqzan.

Tatkala Yaqzan dilanda semput pernafasan, maka selepas itu anaknya dilihat rebah. Maka, kisah seterusnya, orang ramai yang berada di sekitar taman permainan itu menghampiri dan cuba menghulurkan bantuan buat anak Abyatina itu. Dalam situasi itu, Abyatina dilanda panik tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Abyatina ibarat hilang punca sehingga hilang pertimbangan untuk mengatur tindakan terhadap situasi yang terjadi itu.

“Mujur ada yang sudi nak bantu. Mujur ada yang tahu apa perlu dibuat. Kalau harap pada Ina waktu tu, entah apa yang akan berlaku...” kata Abyatina.

“Itu namanya pengalaman. Kita belajar dari kesilapan,” kata ibu Abyatina.

Yaqzan kemudian dibawa menuju ke klinik berhampiran. Rawatan diberikan, dan doktor mengenal pasti punca yang berlaku. Setelah diperiksa, maka Yaqzan didapati diserang penyakit asma. Sesak nafas yang terjadi mungkin disebabkan aktiviti petang yang dilakukan anaknya itu. Berkemungkinan Yaqzan terlebih aktif, dan tubuhnya tidak dapat menampung tahap aktif itu. Apabila itu terjadi, sesak nafas berlaku dan itu menyebabkan salur pernafasannya terganggu.

“Itulah kali pertama Yaqzan kena asma. Tak pernah selama ni berlaku...” luah Abyatina.

“Setiap penyakit ada ubatnya. Setiap kesususahan ada senangnya...” kata ibu Abyatina.

Maka, sejak dari persitiwa petang itu, Abyatina dilihat lebih peka dengan keadaan kesihatan anaknya itu. Kawasan rumah dipastikan senantiasa bersih, tidak langsung dipenuhi habuk dan hampas. Andai itu dibiarkan, maka dengan mudah penyakit asma Yaqzan akan kembali semula. Malah, tatkala berlaku perubahan cuaca yang mendadak, maka kepekaan Abyatina juga akan bertambah terhadap anaknya itu. Hakikatnya, disebabkan persitiwa petang itulah, Abyatina dilihat lebih banyak mengambil perhatian terhadap anaknya itu.

“Mujurlah Abang Riz faham dengan apa yang berlaku...” kata Abyatina.

Penyakit yang dihidapi Yaqzan bukan suatu di luar kebiasaan bagi Rizqullah. Hakikatnya, sewaktu kecil, Rizqullah juga turut menghidapi penyakit yang sama. Penyakit itu berterusan sejak kecil hinggalah Rizqullah masuk ke sekolah menengah. Maka, dalam situasi yang terjadi pada Yaqzan itu, Rizqullah dilihat lebih banyak mempunyai pengalaman. Tahu untuk mengendalikan keadaan dalam situasi yang tenang.

Maka setiap kali Yaqzan dilanda masalah asma, Rizqullah yang lebih banyak menguruskan anaknya. Abyatina hanya mengikut sahaja setiap aturan yang dibuat Rizqullah.

“Aturan Allah tu cantik. Setiap kesusahan yang ada, mesti ada hikmah. Kadang-kadang kita saja yang tak nak tengok hikmah tu...” kata ibu Abyatina. “Dalam dunia ni, tak ada benda semudah yang disangka. Mesti ada rintangan. Kalau hidup selalu senang, takut hati jadi alpa lupakan kekuasan Dia..”

Dalam tempoh tiga tahun Abyatina dan Rizqullah menyambung pengajian di USM, Yaqzan anak mereka melalui pengalaman baru. Dalam tempoh itu, Yaqzan seringkali berulang-alik dari Pulau Pinang ke kampungnya. Ada waktunya, andai Abyatina dan Rizqullah benar-benar dilanda kesibukan, maka Yaqzan akan dihantar pulang ke kampung untuk dijaga Mak Cik Ros. Namun andai segalanya berkelapangan, maka Yaqzan akan tinggal bersama Abyatina dan Rizqullah di Pulau Pinang. Dalam tempoh itu, Yaqzan menerima didikan dari empat individu.

Tatkala berada di kampung, maka tugas menjaga dan mendidik Yaqzan terletak di bahu Ustaz Man dan Mak Cik Ros. Andai berada di kampung, maka Yaqzan banyak menerima didikan agama terutama dari Ustaz Man. Mak Cik Ros pula seringkali mengajar Yaqzan mengaji al-Quran. Soal solat dan amalan-amalan fardhu ain, maka Ustaz Man memikul tanggungjawab itu.

“Tugas mendidik sepatutnya kami yang pikul,” kata Abyatina. “Tapi... mak dengan ayah pula yang terpaksa didik Yaqzan”

“Tak salah kalau diberi didikan yang lebih. Tak salah kalau mak dengan ayah turut sama. Kalau itu buatkan Yaqzan jadi lebih baik, tak ada apa yang perlu kita sesalkan,” kata Mak Cik Ros.

Jika berada di Pulau Pinang, maka Yaqzan akan menerima didikan dari Abyatina dan Rizqullah sepenuhnya. Dalam soal hal pembelajaran seperti membaca dan mengira, maka Rizqullah yang menggalas tugasnya. Dalam soal pengurusan diri dan rumah, Abyatina yang bertanggungjawab.

“Abang Riz kalau boleh nak Yaqzan dapat membaca seawal usia tiga tahun. Tapi semuanya bergantung pada kemampuan Yaqzan sendiri,” terang Abyatina kepada ibunya.

“Suamimu orangnya bijak. Tahulah caranya nak didik anakmu Yaqzan tu...” kata ibu Abyatina.

Mungkin kerana berkat kesabaran, maka hasrat Rizqullah itu akhirnya tercapai. Tatkala Yaqzan menjengah usianya tiga tahun, perlahan-lahan Yaqzan mula menunjukkan kemampuan untuk mengeja perkataan demi perkataan. Walaupun tidak lancar, namun Yaqzan dilihat sangat berminat untuk terus mencuba mengeja. Hari demi hari, maka masa berlalu dengan pantas. Sedikit demi sedikit, Yaqzan semakin lancar mengeja perkataan yang dibacanya.

“Bila dah pandai mengeja, maka itu satu langkah ke arah kebijaksanaan. Yaqzan mampu pergi jauh satu hari nanti...” kata Rizqullah terus menghentikan lamunan panjang isterinya Abyatina.

Abyatina terkejut seketika. Lamunan panjangnya ternyata sangat jauh. Banyak perkara lalu terlintas di fikirannya. Fikiran Abyatina kembali semula dalam perbincangan di ruang tamu rumah mereka itu.

“Mungkin sebab tu abang rasa, ada eloknya kita berpindah ke tempat lain. Kita bina hidup baru di tempat baru. Selesa untuk Yaqzan... selesa untuk kita. Selesa untuk anak kedua kita nanti,” terang Rizqullah. “Lagipun, mungkin lebih sesuai Yaqzan tinggal di rumah yang lebih selesa. Baru selesa nak belajar...” katanya lagi.

Cadangan itu ternyata tidak pernah terlintas di fikiran Abyatina. Itulah kali pertama Abyatina mendengar cadangan penghijrahan dari suaminya itu. Selama ini, Abyatina hanya memikirkan bahawa rumah kayu kecil yang didiaminya itulah bakal menjadi rumah mereka untuk beberapa tahun mendatang.

“Tapi ke mana kita nak berpindah?” soal Abyatina.

“Ke Taiping barangkali?” balas Rizqullah.

“Taiping?” soal Abyatina hairan. “Kenapa Taiping? Kenapa tak pindah sekitar sini saja? Bukan kita ada tanah di sini?”

“Soal tanah.... kalau nak dibincangkan, adik beradik pun sanggup berbunuhan...” kata Rizqullah.

Kata-kata Rizqullah itu menangkap perhatian Abyatina. Hakikatnya, dalam soal tanah, Rizqullah tidak pernah sekali pun menyatakan sebarang pendapat apatah untuk dikongsikan dengan Abyatina. Bagi Rizqullah, perihal berkaitan tanah tidak perlu dikongsikan dengan Abyatina. Barangkali merasakan bahawa isu itu bersifat sensitif dan hanya mencetuskan kekusutan di fikiran.

“Apa yang kusutnya?” soal Abyatina. “Ada apa dengan tanahnya?”

“Banyak yang tak kena kalau nak dikongsikan....” kata Rizqullah. “Bila cakap pasal tanah, semua jadi huru-hara...”

“Abang tak dapat tanah di sini?” soal Abyatina cuba mengorek isi hati yang disimpan suaminya itu.

“Panjang kisahnya...”

Keluarga Cikgu Hamdawi orangnya cukup dihormati. Keturunannya ternyata bukan keluarga sebarangan. Hidupnya sederhana namun senantiasa senang tidak ditimpa kesusahan dalam soal wang dan harta. Maka, disebabkan itu, keluarga Cikgu Hamdawi memiliki puluhan hektar tanah, hasil warisan turun temurun nenek moyang mereka. Tanah-tanah yang dimiliki dijaga dan dibahagikan sebaiknya dalam kalangan ahli keluarga Cikgu Hamdawi. Setiap anak-anaknya dikurniakan tanah-tanah yang dimiliki di serata tempat. Masing-masing mendapat bahagiannya, cuma dibezakan tempat dan kawasan tanahnya sahaja.

“Masing-masing dah dapat bahagian. Masing-masing dah setuju dengan apa yang diterima. Tapi bila tamak menguasai hati, benda yang dah cukup jadi tak cukup,” kata Rizqullah.

“Adik beradik abang yang tak puas hati?” soal Abyatina.

Rizqullah menggelengkan kepalanya.

“Pak Teh yang tak setuju. Katanya, ada tanah miliknya diambil sekali,” jawab Rizqullah. “Kami adik beradik tak dapat buat apa-apa sebab itu urusan antara bapak dengan Pak Teh. Tak boleh nak masuk campur”

Kisah pembahagian tanah ke atas anak-anak Cikgu Hamdawi akhirnya mendapat campur tangan dari Pak Teh, bapa saudara Rizqullah, iaitu adik lelaki Cikgu Hamdawi. Menurut Pak Teh, tanah yang diberi bagi hak Rizqullah dikatakan merupakan miliknya. Tanah itu dikatakan dirampas darinya sewaktu proses pertukaran nama atas geran.

“Tapi, betul ke dakwaan Pak Teh tu?” soal Abyatina.

“Kalau tamak ada dalam diri, pusinglah kot mana pun, benda yang betul pun boleh dijadikan perkara yang salah. Benda yang tak betul boleh nampak baik...” balas Rizqullah. “Kalau ikutkan hak tanah, memang haknya di bawah bapak. Memang semua orang tahu, tanah tu milik bapak. Tapi, zaman dulu orang-orang tua tak pandai dalam soal dokumen hitam putih. Minta tolong orang lain, tapi orang itulah yang tikam kita balik”

Kisah dulu-dulu, hal ehwal tanah hanya diamanahkan kepada seseorang menerusi perjanjian mulut dari satu generasi ke generasi yang lain. Tatkala itu, tiada sebarang dokumen rasmi untuk merekodkan pemilikan hak tanah. Semuanya berdasarkan kepercayaan dan nilai amanah masing-masing. Waktu itu, penduduk kampung saling memahami dan menghormati akan hak milik tanah seseorang, tidak sama sekali akan mencampuri tanah orang lain sekiranya tiada sebab yang kukuh.

Namun, tatkala masa pantas berlalu, maka keperluan untuk mendokumenkan hak pemilikan tanah itu menjadi satu kepentingan. Setiap pemilik tanah di kampung kemudiannya diwajibkan untuk mendaftarkan pemilikan tanah masing-masing. Geran akan dikeluarkan oleh pejabat tanah selepas itu, dan menerusi geran itulah, bukti hitam putih dapat diberikan andai terdapat sebarang percanggahan.

Di waktu itu, rata-rata penduduk kampung tidaklah tahu akan hal pendaftaran tanah secara mendalam. Ada yang tidak tahu membaca apatah lagi cuba untuk memahami dokumen yang cuba ditandatangani. Mungkin disebabkan itu jugalah, maka ada sesetengah penduduk kampung meminta bantuan orang lain untuk menguruskan hal pemilikan geran tanah itu.

“Kalau yang jujur, semuanya berjalan lancar. Kalau yang tak jujur, mungkin ada penipuan,” kata Rizqullah. “Zaman penuh tipu muslihat, macam-macam boleh berlaku...”

Ada di antara penduduk kampung berkongsi nama di atas geran yang baru didaftarkan. Walaupun secara hakikinya tanah tersebut miliknya salah seorang daripada nama tersebut, namun terdapat penduduk kampung yang kurang arif, sehingga tersalah cara hingga meletakkan nama orang lain di atas geran tersebut. Kesilapan teknikal inilah yang akan mendatangkan masalah pada masa akan datang.

“Bila ada yang ambil kesempatan, maka salah seorang dari nama dalam geran tu akan tuntut haknya, walaupun pada hakikatnya nama di atas geran itu hanya sekadar atas kertas sahaja, bukan memiliki tanah yang sebenar,”terang Rizqullah. “Dalam kata yang mudah, inilah cara halus untuk merampas tanah orang lain. Kalau nak dibawa ke mahkamah pun, semuanya akan jadi sia-sia saja, sebab di atas kertas, tanah tu ada dua nama. Orang yang licik, dia akan gunakan cara ni...”

“Jadi itulah yang Pak Teh gunakan? Itu cara dia ambil tanah ayah?” soal Abyatina.

“Bapak tak dapat buat apa, sebab nama atas geran tu bukan namanya, tapi nama arwah datuk dulu, tak sempat ditukar milik lagi. Jadi, ikut kata Pak Teh, dia ada hak pada  tanah tu sebab nama atas geran bukan nama bapak...” balas Rizqullah. “Bapak pun tak nak panjangkan keadaan, dia mengalah saja. Dibiarkan Pak Teh ambil tanah tu”

“Semudah itu?” soal Abyatina.

“Harta dunia saja Ina... Tak boleh bawak ke mati pun...” balas Rizqullah ringkas.

“Tapi, tanah mana yang sepatutnya jadi milik abang?” soal Abyatina.

“Kalau ikut pembahagian, tanah hujung kampung ni, dekat dengan kawasan pantai tu...” balas Rizqullah. “Kawasan tu tak banyak lagi rumah. Tapi sesuai kalau nak dibuat tapak rumah,” sambungnya lagi. “Sebab Pak Teh dah ambil tanah tu, bapak bagi tanah atas bukit kawasan hulu sungai”

“Kalau kat situ, rumah apa yang boleh dibuat....?”

“Rumah monyet bolehlah...” balas Rizqullah berseloroh.

Kisah tanah Rizqullah baru sahaja difahami Abyatina. Barulah Abyatina tahu akan kisah sebenar yang pernah melanda. Namun, walaupun pelbagai konflik berlaku di antara keluarga Cikgu Hamdawi dan Pak Teh, Rizqullah masih tetap melayan baik bapa saudaranya itu.

“Jadi... kita boleh bina hidup baru di Taiping,” kata Rizqullah mengembalikan tajuk perbualan asalnya dengan Abyatina. “Kita cari rumah baru di sana, pindah ke sana. Tinggalkan semua yang ada di sini”

Hakikatnya hati Abyatina sangat gembira tatkala mendengar perkhabaran itu. Andai tercapai hasrat untuk berpindah ke Taiping, maka semakin dekatlah dirinya dengan kampung halaman. Barangkali nanti Abyatina akan dapat pulang dengan lebih kerap ke kampung untuk melawat ibu dan ayahnya.

“Tapi... kenapa sampai nak tinggalkan kampung abang di sini?” soal Abyatina mencetuskan pertanyaan yang bermain di fikirannya.

“Abang dah malas nak ambil kisah pasal hal tanah di kampung ni. Berebut sana, berbalas sini. Tuduh sana, tuduh di sini,” balas Rizqullah. “Biarlah mereka semua. Abang tak nak ambil tahu. Kalau mereka ambil hak kita, Allah tu Maha Adil”

Kata-kata Rizqullah itu ada benarnya. Abyatina faham akan apa yang dirasakan suaminya itu.

“Tapi... kenapa Taiping? Kenapa bukan tempat lain?” soal Abyatina.

“Sebab di situ ramai keluarga kita. Banyak yang dah menetap di sana. Kalau di sini, yang tinggal cuma orang-orang tua saja. Nak harap yang muda, semua dah berhijarh...” balas Rizqullah.

Namun persoalan baru muncul pula di fikiran Abyatina.

“Macam mana pula dengan Ina?”

“Kenapa?” soal Rizqullah tidak mengerti soalan tersebut.

“Abang pindah Taiping... itu mudah sebabnya sekolah abang jadi dekat. Tapi, bila Ina pindah Taiping... itu susah. Jauh kalau nak berulang-alik dari rumah ke sekolah Ina,” balas Abyatina.

Rizqullah terdiam seketika. Persoalan yang diajukannya itu ternyata tidak terlintas di fikirannya. Hakikatnya di saat itu, Abyatina dilanda kemudahan kerana sekolah tempat mengajarnya itu tidaklah jauh dari rumah mereka. Andai berpindah nanti, maka pasti itu menjadi satu bebanan buat Abyatina nanti.

“Kita akan fikirkan caranya nanti,” balas Rizqullah ringkas.

Hakikatnya, hanya Rizqullah yang terpaksa bersusah payah berulang-alik dari rumah ke sekolahnya di Taiping. Setiap hari, Rizqullah akan bertolak bersama-sama dua rakannya yang lain yang turut mengajar di Taiping. Cikgu Lee dan Cikgu Azmi, dua sahabat baik Rizqullah yang akan bergilir-gilir berkongsi kereta setiap hari menuju ke Taiping. Walaupun destinasi mereka sama, namun sekolah tempat mereka mengajar adalah berbeza.

“Cikgu Azmi ada cakap pasal perkara ni juga. Dia pun bercadang nak pindah ke Taiping,” terang Rizqullah. “Kalau boleh, mungkin kita cari rumah sekali dengannya”

“Bila nak mencarinya?”

“Bila Abyatina dah bersedia. Mungkin?” balas Rizqullah dalam persoalan juga.

Seminggu berikutnya, di hujung minggu, Abyatina dan Rizqullah menuju ke Taiping. Mereka singgah sebentar di rumah kakak Rizqullah, Marwa. Mereka bermalam di sana. Yaqzan paling gembira kerana dapat bertemu dan bermain-main dengan sepupunya di sana. Namun tujuan utama kunjungan ke Taiping bukanlah untuk menziarahi keluarga, tetapi mencari dan meninjau rumah yang mungkin bakal dibeli Rizqullah di bandar Taiping itu.

“Kenapa hang tiba-tiba nak beli rumah kat Taiping ni?” soal Marwa kepada Rizqullah.

“Nak ambil angin baru. Dari dulu asyik terperap saja dengan angin pantai, nak juga berubah cara hirup udara tanah hujan ni,” balas Rizqullah menjawab dalam nada bersahaja, tidaklah begitu serius.

Abyatina hanya mendengar perbualan di antara Rizqullah dan Marwa itu. Perbualan itu tercetus selepas mereka selesai makan malam. Saat itu, suami Marwa keluar sebentar ke bandar atas urusan kerja. Maka tinggallah Marwa bersendirian waktu itu bertemankan anak-anak kecilnya. Namun, mujur juga secara kebetulan Abyatina dan Rizqullah bermalam di rumahnya malam itu. Hilang sedikit rasa sunyinya.

“Tapi, bukan Ina mengajar kat Manjung sana?” soal Marwa. “Macam mana nanti kalau berpindah ke sini?” Takkan dia nak ulang-alik ke sana?”

“Kalau ada rezeki, harap-harap dapatlah Ina pindah ke Taiping nanti. Tapi, kalau masih tak dapat tukar juga, mungkin kami beli dulu rumahnya. Duduknya mungkin nanti dulu,” balas Rizqullah.

“Yaqzan dah besar akak. Mungkin dah sampai masanya dia tinggal di rumah yang lebih selesa. Tak lama lagi, Yaqzan dah nak bersekolah. Kenalah pastikan suasana persekitaran selesa untuk Yaqzan belajar nanti,” terang Abyatina mencelah perbualan di antara Marwa dan Rizqullah itu.

Marwa melihat Yaqzan yang bermain di ruang tamu. Leka Yaqzan mencuit hati Marwa, tatkala anak saudaranya itu sedang asyik bermain-main dengan anak-anaknya.

“Yalah. Yaqzan cepat membesar. Kalau nak tinggal di rumah kecil tu, memang tak selesalah nanti. Anak-anak ni aktif. Kalau rumah kecil macam tu, takut nanti dia jadi rimas,” kata Marwa.

Abyatina mengukir senyuman. Hakikatnya kelucuan dirasakannya. Mana mungkin seorang kanak-kanak seaktif Yaqzan itu akan dapat duduk diam di rumah kecil di kampung Rizqullah itu.

“Itu bukan namanya rumah. Serupa pondok saja rasanya...” balas Rizqullah berseloroh.

Abyatina tersenyum.

“Alah... dalam pondok tu jugalah hangpa dapat Yaqzan,” usik Marwa.

Gurauan nakal dicetuskan Marwa. Masing-masing hanya ketawa sahaja. Barangkali Abyatina tersipu-sipu malu dengan gurauan dari kakak iparnya itu.

Keesokan harinya, Rizqullah membawa Abyatina menuju ke kawasan perumahan yang dalam pembinaan. Setelah dicadangkan oleh beberapa rakan baik Rizqullah, maka sebuah taman perumahan baru berhampiran kaki Bukit Larut itu cuba ditinjaunya. Rizqullah ingin melihat lokasi taman perumahan itu dan reka bentuk rumah yang sedang dibina itu. Mereka menuju ke rumah contoh yang disediakan di sana.

“Kedudukannya boleh kata agak strategik. Tak jauh pun dari bandar. Tak jauh juga dari sekolah abang...” kata Rizqullah.

“Tapi dekat dengan bukit. Takut pula Ina rasa...” luah Abyatina. Yaqzan didukungnya walaupun anaknya itu sepatutnya dibiarkan sahaja berjalan.

“Kalau dekat bukit, angin dingin dapat rasa selalu. Baru jiwa tenteram. Serabut ada pun boleh hilang,” balas Rizqullah.

Abyatina hanya membisu sahaja. Hakikatnya, sebolehnya Abyatina tidak mahu berumah di tepi kaki bukit. Namun dia tahu, segala keputusan mutlak terletak di tangan suaminya. Walau apa pun keputusan yang akan dibuat, Abyatina menerima dengan hati yang terbuka.

Mereka kemudian masuk ke dalam rumah contoh, satu-satunya rumah yang telah siap dibina di kawasan itu. Sebaik masuk, mereka disambut oleh seorang pegawai pemasaran syarikat pemaju. Di kala itu, hanya Abyatina dan Rizqullah sahaja yang masuk ke dalam rumah tersebut. Maka, mereka dilayan sepenuhnya oleh pegawai itu dengan penuh kemesraan. Setiap pertanyaan yang diajukan, dijawab dengan baik oleh pegawai wanita itu yang barangkali berusia lewat 20-an.

Menurut pegawai itu, kawasan perumahan yang akan dibina itu merupakan kawasan baru yang belum diteroka dan merupakan kawasan pertama seumpanya yang dibina di kaki Bukit Larut. Walaupun mungkin dilihat seperti agak jauh ke dalam berhampiran dengan kawasan hutan, namun menurutnya, untuk perancangan masa hadapan, kawasan perumahan itu akan pesat membangun dengan pelbagai kemudahan yang bakal disediakan kelak.

“Apa yang penting, kawasan perumahan ini memang lebih sunyi dan aman. Jauh dari kesibukan bandar. Udaranya pun segar. Tapi pada masa yang sama, kedudukan dengan kawasan bandar tak jauh. Cuma sepuluh minit saja perjalanan,” terang pegawai pemasaran itu.

“Tapi, tak bahaya ke sebab kawasannya di tepi bukit?” soal Abyatina inginkan kepastian.

“Insya-Allah puan. Kawasan tapak perumahan ni selamat. Struktur tanahnya memang kuat dan stabil. Pihak kami dah buat kajian beberapa tahun sebelum buka tapak perumahan ni,” terang pegawai itu.

Reka bentuk dalaman rumah itu juga dilihat agak moden dan baru. Rumah teres satu tingkat itu mempunyai tiga buah bilik dan dua buah bilik air. Kawasan ruang tamunya juga agak luas, dan itu pasti memberi keselesaan buat keluarga muda seperti Rizqullah. Di bahagian belakang, kawasan dapurnya menempatkan satu kabinet dapur beserta sinki air. Di satu penjuru juga, terdapat satu lagi sinki untuk basuhan tangan. Ruangnya yang memanjang, membolehkan kawasan dapur itu dibahagikan kepada dua kawasan iaitu kawasan memasak dan kawasan ruang makan.

“Macam mana Siti Abyatina? Tertarik?” soal Rizqullah.

Abyatina tersenyum sahaja. Hakikatnya memang harus diakui bahawa reka bentuk dalaman dan luaran rumah yang dilihatnya itu telah memikat hatinya. Abyatina telah dapat membayangkan masa depannya sekiranya dia menetap di rumah itu.

Selepas kunjungan beberapa ketika, maka mereka meninggalkan kawasan rumah contoh itu. Destinasi seterusnya mereka menuju ke kampung Abyatina. Sudah agak lama mereka tidak berkunjung, maka di kesempatan itu, kunjungan tersebut diatur.

Namun, tatkala tiba di kampung, suasana dilihat sepi. Rumah dilihat tidak berpenghuni. Pintu dan tingkap ditutup rapat. Abyatina dan Rizqullah hairan.

“Ke mana pula semua orang?” soal Abyatina.

Abyatina mencari-cari kelibat ibunya di perkarangan rumah. Cuba juga mencari kelibat adiknya Zabarjad dan Rafiqin sekiranya ada. Namun semuanya sepi tiada yang menjawab. Hanya kedengaran bunyi ayam dan itik yang ada dalam reban di belakang rumah.

“Ada apa-apa yang kita tak tahu?” soal Rizqullah pula.

Hakikatnya, amat jarang sekali untuk rumah itu kosong tak berpenghuni.

“Ibumu pergi ke hospital”

Mak Cik Jah tiba-tiba muncul di perkarangan rumah. Tatkala melihat kelibat Abyatina dan Rizqullah, maka Mak Cik Jah cepat-cepat datang ke kawasan itu.

“Kalau ke hospital, kenapa sampai berkunci rumahnya? Bukan selalunya Rafiqin dengan Zabarjad ada di rumah?” soal Abyatina.

“Itu kalau selalunya. Tapi hari ada istimewanya...” balas Mak Cik Jah.

“Istimewa?” soal Rizqullah pula.

“Eh, mu tak tahu ke?” soal Mak Cik Jah. “Hari ni kan ayahmu Ustaz Man dah dibenarkan keluar hospital. Mu tak ingat ke?”

Abyatina terkesima seketika. Perkhabaran yang disampaikan itu ternyata sesuatu yang baru. Tidak ada sesiapa pun yang menyampaikan berita itu.

“Alhamdulillah. Syukur!” luah Abyatina tersenyum lebar.

Khabar gembira yang barangkali menyenangkan hati Abyatina di saat itu.



*Tamat sudah Bicara Tiga Puluh Tujuh*

Ustaz Man akan pulang semula ke rumah. Apakah Ustaz Man telah pulih dari sakitnya? Akan bersambung di lain bicara.

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.




Sekali lagi sekalung penghargaan kepada sahabat UPSI, saudari Nur Adila Muhammad kerana memberi izin untuk disiarkan gambar beliau untuk kali ke-4 bagi siri Adina kali ini.

Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina