"Adina (Bicara Tiga Puluh Tujuh)"
Barangkali semuanya telah menjadi berbeza. Tiap-tiap
perkara yang berlaku kini ibarat satu perjalanan baru yang tak pernah terlintas
di fikiran. Setiap kisah lama hanya mampu menjadi memori untuk dikenang, namun
tidak sama sekali mampu untuk dikembalikan di masa kini. Barangkali kenangan
lalu seringkali mencipta sisi keindahan yang cukup manis. Namun di sebalik
indah itulah, maka pasti tersembunyi juga kisah-kisah duka yang terjadi.
“Kadang-kadang, Ina rasa macam dah letih. Tak mampu lagi
nak hadapi setiap dugaan yang datang,” luah Abyatina.
Sebaik merehatkan diri di bawah rumah sementara menanti
kepulangan ahli keluarga yang lain, maka Abyatina dan Rizqullah menunggu
sebentar. Di saat itulah, Abyatina meluahkan rasa hatinya terhadap setiap
perkara yang telah menimpanya. Hakikatnya, sebelum berkahwin hinggalah Abyatina
mendirikan rumah tangga, satu demi satu dugaan menimpa. Malah setelah berkahwin
hinggalah Abyatina mempunyai anak, pelbagai ujian masih terus menduganya. Kisah
Ustaz Man menguasai perbualan di antara Abyatina dan suaminya itu. Abyatina ternyata dilanda kerisauan.
“Tak ada apa yang perlu diresahkan. Tak ada apa yang
perlu dikeluhkan. Memang banyak dugaan yang menimpa. Tapi satu demi satu dapat
diharungi. Itu buktinya kita kuat,” balas Rizqullah.
“Mungkin itu hikmahnya. Tapi setiap kali nak berhadapan
dengan ujian, bukan senang seperti yang disangka. Ina tak tahu, sampai bila
lagi Ina boleh bertahan”
“Ini bukan Ina yang abang kenal. Isteri abang orangnya
kuat. Sentiasa tabah dengan dugaan,” kata Rizqullah.
“Barangkali situasi dah ubah segalanya?” balas Abyatina. “Mungkin
Ina dah tak sama macam dulu...” luah Abyatina.
Hakikatnya, Abyatina tahu segalanya pasti akan berubah
selepas ini. Setelah Ustaz Man terlantar begitu lama di hospital akibat
serangan angin ahmar, maka keadaan Ustaz Man dilihat tidak akan sama seperti
sebelumnya. Ayah Abyatina itu dilihat semakin lemah, dan tidak lagi secergas
dahulu. Tidak lagi mampu bergurau senda apatah lagi untuk mengusik manja
Abyatina. Semua itu dapat dilihat dengan jelas setiap kali Abyatina menziarahi
ayahnya di hospital.
“Ina tahu, mungkin ayah dah tak ada banyak masa lagi.
Mungkin semua dah tertulis. Ina kena redha dengan apa yang ditakdirkan. Tapi,
Ina takut bila tiba masanya nanti, Ina tak bersedia nak hadapinya...” luah
Abyatina.
Rizqullah mengerti akan kerisauan yang melanda isterinya
itu.
“Aturan kehidupan, semuanya tak akan kekal selamanya.
Pasti ada permulaan dan penghujungnya. Begitulah juga dengan kehidupan kita.
Walau apa pun yang terjadi, kita kena terima ketentuan Allah. Walaupun kita tak
bersedia, semuanya kita kena hadapi. Walau hati kita tak mampu hadapi dugaan,
kita kena sedar kita sekadar hamba-Nya. Siapalah kita nak persoalkan ketentuan
dan takdir yang ditulis-Nya,” balas Rizqullah dengan maksud yang jelas.
Kata-kata itu ternyata harus diakui Abyatina. Mungkin
kerana itu, maka untuk detik-detik berikutnya Abyatina hanya membisu tanpa
sebarang bicara. Abyatina hanya melemparkan pandangannya sejauh yang mungkin,
melihat pemandangan sawah padi yang semakin menguning itu. Satu pemandangan
yang biasa tatkala Abyatina tiba di kampungnya. Di saat itu, mereka terus sabar
menanti ketibaan ahli keluarga yang lain. Itulah detik Ustaz Man kembali pulang
ke rumah setelah beberapa bulan terlantar di hospital.
“Apa yang penting sekarang, kita kena lihat masa depan.
Kalau selalu toleh ke belakang, mungkin banyak yang kita terlepas di masa
depan,” kata Rizqullah. “Ina kena jaga kesihatan. Jangan sampai terjejas
kandungan tu”
Abyatina hanya tersenyum.
Tidak berapa lama kemudian, maka kedengaran deruman enjin
memasuki perkarangan halaman rumah. Maka, dapatlah dilihat dengan jelas sebuah
kereta berwarna putih perlahan-lahan memasuki halaman rumah itu. Kelihatan
Absyar memandu kereta tersebut. Duduk di sebelahnya ialah Tasha isterinya.
“Alhamdulillah syukur,” luah Abyatina.
Kelihatan dengan jelas mereka yang duduk di bahagian
belakang penumpang kereta itu. Mak Cik Ros terus setia berada di sisi Ustaz Man
yang kelihatan tidak begitu bermaya, hanya bersandar di kerusi kereta tanpa
sebarang bicara. Maka sebaik tiba, Absyar dengan pantas membuka bonet belakang
keretanya itu. Dikeluarkan kerusi roda untuk digunakan buat Ustaz Man. Memudahkan
urusan untuk membawa Ustaz Man naik ke atas rumah.
Melihat situasi itu, Rizqullah terus menghulurkan
bantuan. Sebaik pintu belakang kereta dibuka, maka perlahan-lahan dengan kudrat
yang ada, Rizqullah cuba mengangkat Ustaz Man untuk duduk di atas kerusi roda
yang dikeluarkan Absyar tadi. Absyar turut membantu bersama-sama Mak Cik Ros.
Tasha pula hanya berjalan dan berdiri di satu penjuru. Isteri Absyar itu hanya
memerhati tanpa menghulurkan sebarang pertolongan.
Abyatina melihat perilaku kakak iparnya itu. Ternyata
menggusarkan sedikit kata hati kecilnya.
“Apa geli sangatkah ayahku sampai si Tasha tu langsung
tak nak membantunya?” soal Abyatina dalam hatinya. Persoalan yang barangkali
tercetus akibat terkilan di hati memerhatikan perilaku Tasha itu. Abyatina
dengan pantas tidak lama kemudian cuba membantu bersama-sama yang lain untuk
mengangkat Ustaz Man naik ke atas kerusi roda.
Kisah seterusnya bukan terhenti di situ sahaja. Sebaik
Ustaz Man diangkat naik ke atas kerusi roda, maka langkah seterusnya adalah
untuk membawanya menuju ke rumah, cuba dibawa naik ke atas rumah. Tugasnya
bukan mudah, kerana Ustaz Man langsung tidak mampu menggerakkan kakinya.
Hakikatnya, Ustaz Man telah lumpuh separuh badan setelah diserang angin ahmar
sebelum ini.
Di saat ini, juga, Tasha masih terus berada jauh dari
mereka yang lain. Tasha hanya menjadi pemerhati tanpa menghulurkan sebarang
bantuan. Situasi ini ternyata tidak menyenangkan hati Abyatina. Rasa jelak
muncul seketika, namun hanya dipendalm dalam hatinya sahaja.
“Kenapa dengan si Tasha tu? Kenapa langsung tak
membantu?” soal Abyatina kepada suaminya Rizqullah.
“Tak perlulah difikirkan perkara yang lain. Biarkan
saja,” balas Rizqullah. “Apa yang penting, ayah tu yang perlu diberi tumpuan”
Perbualan itu tercipta setelah mereka merasai kepenatan
selepas membantu mengangkat Ustaz Man naik ke atas rumah. Hakikatnya tugas itu
bukanlah mudah. Sebaik Ustaz Man duduk di kerusi roda, maka ayah Abyatina itu
dibawa menuju ke ruang beranda rumah. Sebaik tiba di situ, maka Ustaz Man
diangkat sekali lagi. Maka dengan kudrat tenaga yang ada, Abyatina bersama-sama
Rizqullah, Absyar, Zabarjad dan Rafiqin perlahan-lahan mengangkat Ustaz Man
mendaki anak tangga rumah itu. Mak Cik Ros pula sementara itu mengangkat kerusi
roda yang digunakan, dibawa naik ke atas rumah. Masing-masing memainkan peranan
kecuali Tasha.
“Mungkin mak terasa di hati. Kita tak tau...” luah
Rizqullah dalam nada yang berbeza.
“Entahlah. Lagi difikirkan, lagi kusut jadinya. Satu demi
satu dugaan. Takut nanti dah tak terdaya nak lalui...” kata Abyatina.
“Jangan serabutkan fikiran dengan perkara yang tak pasti.
Biarkan dulu, tumpukan pada yang yang perlu kita hadapi...” kata Rizqullah.
Seperti kebiasaannya, setiap kali ditimpa kekusutan, maka
Abyatina pasti meluahkan rasa hatinya itu kepada Rizqullah. Setiap kali itu
jugalah, Rizqullah akan cuba menenangkan isterinya itu.
Bilik di hujung rumah yang selama ini kosong, mula
dibersihkan. Itulah bilik yang akan digunakan buat Ustaz Man. Jaraknya tidak
jauh dari bilik air, tidak juga jauh dari kawasan dapur. Maka bilik itu
merupakan pilihan yang tepat untuk Ustaz Man duduki. Setidak-tidaknya,
sekiranya terdapat sebarang kecemasan, tindakan pantas dapat diatur.
“Tapi yang pasti, kita tak boleh biarkan ayahmu duduk
seorang dalam bilik. Mesti ada teman sepanjang masa,” kata ibu Abyatina.
“Ayahmu sepanjang masa perlukan bantuan...”
Perbincangan tercipta di ruang tamu. Saat itu, kesemua
ahli keluarga Ustaz Man berada di ruang tamu. Raiqah dan keluarganya baru
sahaja tiba. Begitu juga Zaafarani, yang baru saja tiba dari Pulau Pinang.
Kepulangan Ustaz Man kembali ke rumah menjadi satu perkara yang besar dalam
keluarga itu. Mereka harus berkumpul kesemuanya untuk mengatur langkah masa
hadapan. Merencana perjalanan seterusnya terutama perkara yang berkaitan dengan
Ustaz Man.
“Doktor cakap, mungkin lumpuh ayahmu akan kekal sampai
bila-bila. Suka atau tak suka, kita kena terima kenyataannya. Ayahmu takkan
sama seperti dulu,” kata Mak Cik Ros. Nada bicaranya cukup tenang walaupun
barangkali kesedihan masih terus menyelubungi dalam dirinya.
Namun di satu sudut, Abyatina tahu akan perasaan yang
disembunyikan ibunya itu. Hati seorang wanita, maka pasti juga akan dapat
difahami oleh Abyatina. Mana mungkin ibunya akan setenang itu tatkala suami yang
disayanginya tidak akan kembali sihat seperti sebelumnya.
“Insya-Allah. Kami sama-sama akan cuba bantu mana yang
patut,” kata Zaafarani memberi jaminannya. “Memang Zaf jauh. Tapi kita
sama-sama boleh tolong”
“Kami pun macam tu juga,” kata Raiqah. “Soal ayah,
janganlah dirisaukan. Insya-Allah, kalau kita semua bersatu, semuanya akan jadi
mudah”
“Insya-Allah. Saya pun akan cuba hulurkan mana yang
patut. Moga-moga cepat sembuh ayah,” kata Rizqullah pula.
Senyuman terukir di wajah Mak Cik Ros. Barangkali
sokongan yang dinyatakan itu sedikit sebanyak memberi ketenangan di hatinya
itu. Barangkali beban yang terpaksa dipikulnya itu dilihat sedikit demi sedikit
terungkai. Kelegaan dirasakan.
Ustaz Man perlukan penjagaan sepenuhnya. Dari soal makan
dan minum hinggalah kepada mandi dan pakaian, semua itu harus dibuat dengan
bantuan orang lain. Ustaz Man tidak lagi berdaya. Kakinya lumpuh kembali, sama
seperti keadaannya beberapa tahun sebelumnya. Namun untuk kali ini, lumpuhnya
itu barangkali akan kekal ditambah pula dengan keadaan tangannya yang dilihat
semakin lemah untuk digerakkan. Untuk bercakap juga, pertuturannya itu tidaklah
begitu jelas dan mudah untuk difahami yang lain.
“Ayahmu akan jadi lain. Tabahkan hati semua,” luah Mak
Cik Ros menutup bicara sebelum bangun menuju ke bilik Ustaz Man berada. Seisi
keluarga yang lain membisu sahaja. Barangkali faham dengan situasi yang sedang
melanda.
“Baru saja ayah sihat boleh berjalan. Sekarang lumpuh
balik. Sekejap saja nikmat sihatnya..” luah Raiqah.
“Apa boleh buat akak. Semuanya dah tertulis begitu
takdirnya,” balas Abyatina.
Suasana di ruang tamu itu ternyata berada dalam keadaan
sugul dan barangkali tertekan. Rata-rata dilanda kerisauan memikirkan masa
depan Ustaz Man. Hakikatnya satu masa dahulu, Ustaz Man telah pun menerima
dugaan. Beberapa tahun sebelumnya, Ustaz Man ditimpa kemalangan jalan raya
apabila dilanggar lori sewaktu dalam perjalanan pulang dari masjid. Kemalangan
itu menyebabkan Ustaz Man lumpuh di bahagian kaki. Namun berkat usaha
anak-anaknya, mencari rawatan sana dan sini, maka lumpuh itu berjaya
dipulihkan. Ustaz Man dapat kembali berjalan seperti biasa beberapa tahun
selepas kemalangan itu.
“Tapi sekarang semuanya kembali macam dulu...” luah
Abyatina.
Hari-hari berikutnya, maka suasana rumah itu menjadi berlainan.
Kesemua anak-anak Ustaz Man masih terus berada di rumah menemani ibu mereka
menguruskan hal rutin harian Ustaz Man. Zaafarani sanggup mengambil cuti selama
seminggu semata-mata mahu menjaga Ustaz Man. Begitu juga Arfan suami Raiqah,
turut melapangkan masanya selama seminggu, mengambil cuti seperti Zaafarani.
Di hari pertama, segalanya tampak sukar buat semua yang
ada. Menguruskan segala hal harian Ustaz Man bukanlah sesuatu yang mudah. Di
awal pagi, Mak Cik Ros akan mengejutkan suaminya itu untuk mendirikan solat fardhu
Subuh. Zaafarani kemudian membantu ayahnya itu untuk mengambil wuduk sebelum
dibantu untuk bersiap-siap mendirikan solat di awal pagi itu. Bukan mudah,
kerana kesemua perkara itu harus dibantu sepenuhnya oleh Zaafarani dan Mak Cik
Ros. Ustaz Man ternyata sukar untuk bergerak sendiri. Pertuturan bicaranya juga
tidaklah sejelas yang disangka.
Situasi yang sama juga berlaku apabila tiba waktu untuk
memandikan Ustaz Man. Hakikatnya, walaupun jarak di antara bilik dengan bilik
air rumah tidaklah begitu jauh, namun untuk membawa Ustaz Man ke sana memerlukan
tenaga dan kerjasama semua. Bilik itu terletak di bahagian atas rumah, sedangkan
bilik air berada di tingkat bawah berhampiran dapur. Disebabkan itu, untuk
membawa Ustaz Man ke bilik air, maka Zaafarani, Rizqullah bersama-sama Zabarjad
bekerjasama sepenuhnya. Malah, ada ketikanya Abyatina turut cuba membantu,
namun dilarang Mak Cik Ros.
“Jangan dicari malang yang tak berbau. Mu tu berbadan
dua. Silap langkah kalau terjatuh, buruk padahnya,” kata Mak Cik Ros melarang
Abyatina.
“Tiga cucu...”
Bicara Ustaz Man muncul di bibirnya. Ringkas bersesuaian
dengan pertuturan yang kurang jelas, maka mesej itu cukup difahami semua yang
ada di saat Ustaz Man diangkat menuruni anak tangga menuju ke bilik air.
Kata-kata itu dilihat mengukir senyuman semua terutama Mak Cik Ros.
“Pandai ayah bergurau. Dalam sakit masih sama macam
dulu...” bisik hati kecil Abyatina.
Benar, pada tahun yang sama, Ustaz Man dijangka menerima
tiga orang cucu baru. Di saat itu, Abyatina, Raiqah, dan Tasha sedang hamil.
Untuk beberapa bulan yang mendatang, maka akan tiba saatnya masing-masing bakal
menerima bayi baru. Raiqah bakal menerima anak ketiganya, manakala Abyatina
akan menerima anak keduanya. Bagi Tasha pula, kehamilannya itu merupakan
pengalaman pertamanya. Pasti mengujakan dirinya bersama Absyar.
“Mungkin sebab tu, si Tasha tu tak ringan nak tolong masa
angkat ayah tadi,” kata Raiqah. Perbualan tercipta di malam hari sewaktu Raiqah
dan Abyatina baru sahaja selesai menunaikan solat fardhu Isyak. “Mungkin dia
takut kalau jadi apa-apa dengan kandungannya”
“Tolongnya langsung tak. Bukan alasan namanya. Kalau tak
boleh tolong yang berat, boleh saja dibantu mana yang ringan,” kata Abyatina.
“Kalau dah duduk tercegat melihat saja tapi tak membantu, macam-macam orang
akan sangka...”
“Jangan buruk sangka. Kita tak tahu di sebalik hati si
Tasha tu,” balas Raiqah. “Kita pun sama macam Tasha. Mengandung juga. Tak elok
prasangka buruk. Nanti buruk juga anak yang lahir nanti”
Ada benarnya kata-kata kakaknya itu.
“Bukan itu yang perlu kita risaukan. Tapi ayah yang perlu
jadi tumpuan,” kata Raiqah beberapa ketika kemudian selepas melihat Abyatina
hanya membisu sahaja.
Memikirkan akan kesusahan yang perlu dihadapi untuk
menguruskan Ustaz Man setiap kali untuk ke tandas dan ke dapur, maka
masing-masing mula memikirkan apa yang perlu dibuat bagi mengurangkan beban
tersebut.
“Sekarang ni mungkin ramai yang boleh tolong ayah. Tapi
nanti bila semua dah balik, bila semua dah kerja semula, tak termampu mak nak
buat semuanya berseorangan,” kata Raiqah.
“Yalah. Nak harap Rafiqin dengan Zabarajad, dua-dua pun
tak sepanjang masa ada di rumah,” kata Abyatina.
Maka, di suatu masa, Zaafarani abang Abyatina memberikan
buah fikirannya. Bagi mengatasi masalah yang dihadapi dalam menguruskan rutin
harian Ustaz Man, Zaafarani mengusulkan cadangannya.
“Mungkin kita kena ubahsuai bilik tu,” kata Zaafarani.
“Apa yang nak diubahsuai?” soal Raiqah. Perbincangan
tercetus di ruang tamu.
“Kita jadikan bilik tu mudah untuk ayah. Selesa untuk
ayah, senang untuk mak,” terang Zaafarani.
“Maksudnya?” soal Abyatina.
“Kita buat sambungan paip, buatkan ruang khas, aturkan
mana yang patut dalam bilik tu, barulah senang nak uruskan ayah nanti,” terang
Zaafarani.
Mengikut apa yang dicadangkan Zaafarani, bilik yang
menempatkan Ustaz Man di rumah itu perlu diubahsuai. Hakikatnya, memang sukar
untuk mengusung Ustaz Man untuk turun ke bawah andai hanya Mak Cik Ros sahaja
yang menguruskannya. Hakikatnya pasti sangat sukar untuk membantu Ustaz Man
mengambil wuduk jika tiada air yang berhampiran dengannya. Cadangan itu
ternyata kelihatan memudahkan urusan harian Ustaz Man namun barangkali
mengundang sedikit kegusaran sesetengah ahli keluarga.
“Apa kita nak jadikan ayah tahanan dalam bilik? Apa kita
nak kurungnya dalam bilik sepanjang masa?” soal Absyar melahirkan rasa kurang
setujunya. “Bukankah itu namanya merendahkan martabat seorang ayah? Apa susah
sangatkah nak usung turun naik ayah setiap hari dari bilik? Nak jadi anak
derhaka? Apa kita dah lupa jasa ayah?”
Persoalan yang diajukan Absyar itu ternyata mengundang
kegusaran di waktu itu. Memang ada benarnya kata-kata Absyar itu.
“Apa yang kita buat bukan nak jatuhkan martabat ayah.
Bukan juga sebab kita tak kenang jasa. Tapi itu jalan sebaik-baiknya,” balas
Zaafarani. “Jangan kita terlalu banyak fikirkan pasal ayah sampai kita lupa
pada mak yang kena jaganya nanti”
“Kita semua nanti akan pulang ke rumah masing-masing.
Bila dah tak ada siapa di rumah, siapa lagi yang boleh membantu? Laratkah mak
nak bawa ayah setiap hari ke bilik air?” kata Raiqah pula.
“Syar memang tak berapa berkenan dengan cadangan ni. Rasa
macam kita tak hormat ayah. Syar tak boleh bayangkan macam mana nanti ayah
dimandikan dalam bilik tu, buang air, tidur di situ...”
“Bukan itu yang akan berlaku. Bila mak seorang saja di
rumah, barulah semuanya diuruskan dalam bilik tu. Tapi kalau kita semua ada,
sama-samalah kita tolong ayah mandikannya di bilik air, uruskan apa yang
patut,” terang Zaafarani.
Maka di penghujung perbincangan, walaupun Absyar dilihat
kurang bersetuju dengan cadangan yang dilontarkan Zaafarani itu, di akhirnya
kesemua ahli keluarga telah memberi kata putus. Cadangan yang dinyatakan itu dipersetujui
semua.
“Apa yang penting, semua ni kita buat semata-mata nak
memudahkan kerja mak,” kata Zaafarani.
Pengubahsuaian bilik dibuat. Saluran paip dipasang dan
lantai papan di penjuru bilik direnggangkan. Tujuannya adalah untuk memudahkan
air mengalir ke tanah sekiranya air digunakan dalam bilik itu. Kawasan itu
nanti akan digunakan untuk memandikan Ustaz Man sekiranya keadaan memerlukan. Pengubahsuaian ringkas itu tidak mengambil
masa yang lama. Masing-masing menghulurkan pertolongan bagi mempercepatkan
urusan.
Beberapa hari kemudian, maka Abyatina dan Rizqullah
pulang semula ke rumah. Maka, kembalilah mereka meneruskan rutian harian
kebiasaannya. Abyatina akan kembali ke sekolah untuk mengajar, begitu juga
Rizqullah. Masing-masing dilanda kesibukan seperti biasa. Begitu juga buat
Yaqzan anak kecil mereka. Kembali tinggal di rumah Mami Radhwa tatkala Abyatina
dan Rizqullah dalam bekerja.
“Jaga juga diri hang tu. Kerja tu satu ibadah. Tapi
jangan sampai boleh mudarat diri,” pesan ibu Rizqullah kepada Abyatina di suatu
hari. “Jangan lupa, hang tu dah mengandung”
“Insya-Allah. Ina tahu jaga diri. Kalau apa pun yang
terjadi, mak tak perlu risau. Tak jauh pun sekolah dari rumah ni,” balas
Abyatina.
Beberapa tahun yang lalu, kisah berbadan dua Abyatina
ternyata sangat berbeza dengan yang keduanya. Jika dulu, Abyatina hanya berada
di rumah, tidak bekerja. Masa sepenuhnya ditumpukan kepada urusan rumah tangga
dan penjagaan dirinya di kala mengandung. Semuanya tampak tenang dan teratur
apatah lagi diri Abyatina seringkali dipantau dan dijaga oleh ibu mertuanya.
Namun semuanya kini berbeza tatkala Abyatina sedang mengandungkan anak
keduanya. Situasi yang diharunginya dilihat cukup mencabar.
“Kadang-kadang memang pening kepala. Ada waktunya fikiran
serabut. Tapi ada ketikanya, hati jadi tenang. Tapi bila dah rasa tenangnya,
datang pula dugaan lain. Tak berhenti, tak pernah hilang,” luah Abyatina
menerusi perbualan telefon. Abyatina berbual dengan kakaknya Raiqah di suatu
malam.
“Dalam dunia ni, tak ada yang mudah untuk kita. Kalau
kita hidup dalam senang sepanjang masa, tak ada susahnya, takut nanti kita jadi
manusia yang lupa pada Allah,” kata Raiqah. “Biarlah sepanjang masa kita diberi
ujian. Asal kita terus ingat pada kekuasaan-Nya”
“Tapi kadang-kadang takut juga. Ina tak pasti kalau semua
dugaan tu Ina dapat hadapi,” balas Abyatina.
“Allah tu Maha Tahu. Setiap ujian yang dia bagi, pasti
bersesuaian dengan kemampuan kita. Apa yang penting, bila kita ditimpa susah,
sentiasa ingat pada Allah. Itu kunci ketenangan,” kata Raiqah. “Kenapa, Ina tak
mampu nak bekerja lagikah?”
“Bukan tak mampu. Tapi takut nanti tak terdaya nak hadapi
beban kerjanya. Ina memang suka kerja sekarang ni. Seronok dapat mengajar
budak-budak, dapat bimbing mereka, dapat bergaul dengan mereka. Tapi, ada
waktunya, Ina rasa macam tak mampu nak galas dua tanggungjawab pada masa yang
sama. Ina takut ada yang terkurang tanggungjawabnya, sampai mungkin terabai
rumah tangganya”
“Jangan fikir mampu atau tak. Tapi fikirkan soal ikhlas
dalam bekerja. Tiap-tiap pekerjaan yang ikhlas, maka pasti akan ada
kemudahannya. Pasti ada ganjarannya,” balas Raiqah. “Kalau kita terlalu
memikirkan soal kemampuan diri, sampai bila-bila pun kita tak akan rasa mampu.
Tapi kalau kita fikirkan ikhlas hati dalam bekerja, insya-Allah, kita boleh
capainya”
“Ya... mungkin jugak...”
Hakikatnya, seringkali Abyatina dilanda kesibukan setiap
kali hari bekerja. Rutin harian yang sibuk itu, membataskan pula Abyatina untuk
memberi tumpuan terhadap kandungan bayinya. Ada ketikanya Abyatina merasakan
bahawa dirinya itu tidak memberi perhatian yang penuh terhadap kandungannya
itu. Lebih banyak sibuk dengan tugasnya sebagai seorang guru hingga tidak
melakukan persediaan rohani buat bayinya yang bakal lahir itu.
“Apakah Ina ni ibu yang tak bertanggungjawab kak?” soal
Abyatina.
“Kalau Ina masih dapat fikirkan soal masa depan anak-anak
Ina, fikirkan mengenai kandungan Ina tu, akak tak fikir itu menunjukkan Ina tak
bertanggungjawab. Setiap nilai tanggungjawab tu bermula dari kesedaran hati.
Kalau hati Ina masih ingat pada tugas yang perlu dipikul, insya-Allah, Ina
masih lagi di landasan yang betul. Janganlah dirisaukan sangat,” balas Raiqah.
Hari demi hari, kandungan Ina semakin membesar. Maka
cabaran demi cabaran juga semakin sukar dirasakan. Setiap kali kaki melangkah
ke sekolah, maka setiap kali itu jugalah Abyatina dilanda kerisauan.
“Takut juga kalau tiba-tiba jadi sesuatu yang terduga.
Takut juga tiba-tiba Ina boleh pengsan...” kata Abyatina.
“Kalau tak dijaga kesihatannya, semua yang tak kena boleh
berlaku. Tapi semuanya terjaga, insya-Allah tak ada apa yang perlu dirisaukan,”
balas Raiqah yang memahami kerisauan Abyatina itu. “Akak tahu, mungkin tak
layak akak nak bagi nasihat. Akak tak bekerja. Ina ada kerjaya. Tak mungkin
akak boleh faham sepenuhnya...”
“Tapi akak banyak pengalaman. Itu pun dah cukup untuk
nasihatkan Ina ni,” balas Abyatina.
“Suamimu Rizqullah macam mana? Dia tahu keadaanmu
sekarang?” soal Raiqah.
“Orang laki akak. Kalau nampak si isteri sihat di
luarannya, maka dianggap saja Ina ni sihat. Kadang-kadang memang Ina terasa di
hati. Bila Ina tak selesa pening kepala, badan rasa tak sihat, waktu tu jugalah
Abang Riz buat tak tahu saja. Dibuat Ina ni macam tak ada apa-apa,” luah
Abyatina.
Kisah yang dikongsikan Abyatina itu menarik perhatian
Raiqah.
“Kita orang perempuan pun macam tu juga. Bila dah
berbadan dua, perkara yang kecil pun boleh jadi satu benda yang besar. Kadang-kadang
puncanya tak seberapa, tapi kesannya cukup mendalam. Bila kita dah mengandung
ni, suka atau tak emosi kita pun tak sama macam sebelumnya. Senang naik senang
turun. Cepat berubah, cepat juga terasa di hati. Hormon dalam badan dah
berubah, anak dalam perut tu perlukan makanan secukupnya. Biasalah kalau kita
jadi sensitif,” kata Raiqah.
“Tapi, kadang-kadang bila terasa di hati susah nak
dikawal,” balas Abyatina.
“Apa yang terasa di hatinya? Apa yang Rizqullah dah
buat?” soal Raiqah cuba mengorek isi hati yang dipendam Abyatina. Barangkali
ada kisah di sebalik kata-kata keluhan dari adiknya itu.
“Pening juga kalau nak difikirkan. Kalau hidup dalam dua
pilihan, yang mana satu nak pilih pun dah jadi buntu. Satu perkara, soal masa
depan nak kejar cita-cita. Satu perkara lagi, soal kepatuhan seorang isteri
kepada suaminya,” terang Abyatina.
“Apa yang disuruh Rizqullah?”
“Cadangnya dah lama akak. Mungkin juga untuk masa depan.
Abang Riz kata dia nak berpindah ke Taiping, bina hidup baru di sana. Tingga di
rumah baru di sana. Cadangnya, kampung halamannya tu nak ditinggalkan, untuk
bagi kehidupan yang lebih selesa buat anak-anak nanti,” kata Abyatina.
“Baguslah kalau macam tu. Elok juga buat masa depan
nanti. Jadi apa pula yang perlu dirisaukan? Kenapa nak dirungsingkan?”
“Kalau pindah ke Taiping, macam mana pula kerja Ina
sebagai cikgu di kampung ni? Takkan nak berhenti tinggalkan semuanya? Kalau tak
berhenti, takkan nak berpisah dari suami buat sementara?” kata Abyatani.
“Pernah bincang dengan suamimu?” soal Raiqah.
“Sebagai suami, sepatutnya dia lebih faham,” balas
Abyatina. “Takkan semuanya si isteri kena bagi tahu...”
“Jangan macam tu. Kalau ego menguasai diri, takut nanti
makan di hati. Orang laki kadang-kadang tak perasan apa yang kita tahu. Tak
sedar apa yang kita rasa. Pandangan mereka terletak pada perkara yang besar,
tapi kita orang perempuan ni banyak melihat perkara-perkara kecil yang mereka
tak nampak. Itulah lumrah hidup,” balas Raiqah.
Mungkin emosi Abyatina seringkali ternganggu sejak
kebelakangan ini. Tatkala diri telah berbadan dua, Abyatina dilihat lebih
sensitif daripada kebiasaannya. Mudah sahaja terasa di hati walaupun ada
waktunya Rizqullah tidak melakukan apa-apa. Rasa itu diluahkan kepada kakaknya
Raiqah, dan ternyata kakaknya itu memahami situasi yang terjadi.
“Banyakkan istighfar. Jangan ikutkan sangat rasa di hati.
Jangan terlalu beremosi, takut nanti bayi yang dikandung terjejas rohani dan
jasmaninya. Sabarkan hati,” pesan Raiqah.
“Insya-Allah....”
Maka untuk hari-hari berikutnya, hati Abyatina cuba
dikuatkan semangatnya. Segala kekusutan fikiran yang melandanya cuba
diketepikan seketika. Fokus Abyatina perlu terang dan jelas, kerana tatkala
kaki melangkah menuju ke sekolah, maka tanggungjawab sebagai seorang guru
itulah yang perlu diberikan keutamaan. Soal hal rumah tangga perlu dilupakan
seketika.
“Tapi kenapa tiba-tiba Ina terlebih emosi berbanding
biasa?”
Soalan itu diajukan Raiqah sewaktu perbualan telefon
masih berlangsung di antara Abyatina dan kakaknya itu.
“Entahlah. Mungkin sebab terlalu banyak keserabutan
barangkali. Mungkin Ina dah tak terdaya nak hadapi semua dugaan yang datang,”
balas Abyatina.
Mungkin juga Abyatina tidak tahu jawapan yang sebenar.
Namun perbualan yang tercipta di antaranya dengan Raiqah itu memberikan sedikit
kelegaan di fikirannya. Setidak-tidaknya, masalah yang dipendamnya itu telah
dikongsikan.
“Hari ni saya nak kamu sambung latihan yang saya bagi
semalam. Rasanya ramai lagi yang tak siap. Kalau ada yang tak faham, boleh
tanya saya. Kalau yang dah siap kerja, kamu jumpa saya, biar saya semak kerja
kamu. Faham?”
Pagi itu, Abyatina tidak mengajar seperti kebiasaannya.
Subjek Sejarah ternyata bukanlah sesuatu yang sukar untuk diajarnya. Namun, ada
waktunya, pengajaran itu tidak dapat dilaksanakan disebabkan para pelajar
sedikit lambat dan ketinggalan dalam memahami topik yang telah diajar. Maka
mungkin disebabkan itu jugalah, Abyatina hanya memutuskan untuk pelajar-pelajarnya
itu menyiapkan kerja yang telah diberi sepanjang tempoh pengajarannya di kelas
itu. Namun di sebalik semua alasan itu, sebab utamanya bukanlah disebabkan
perlajar itu sendiri tetapi disebabkan keadaan diri Abyatina.
“Ya Allah. Apa yang tak kena pada aku hari ni? Sakitkah?
Salah makankah?” soal Abyatina bermonolog sendirian dalam hatinya.
Benar, Abyatina di pagi hari itu tidaklah seperti
kebiasaannya. Kecergasannya hilang, rasa pening sahaja yang muncul. Sakit
kepala turut dirasakan dan ada ketikanya matanya dirasakan berpinar-pinar. Ada
waktunya juga, lututnya tidak terdaya untuk berdiri. Itulah sebab yang
menyebabkan Abyatina memutuskan untuk tidak mengajar hari ini. Hanya duduk di
kerusi dalam kelas, sambil menyemak kerja-kerja pelajar yang telah siap
tugasannya. Abyatina terpaksa menukar rancangan pengajarannya hariannya. Perlu
diubah suai untuk selari dengan keadaan kesihatannya di hari itu.
Abyatina terus duduk di kerusi sambil para pelajar terus
tekun melakukan kerja yang diberi. Rata-rata kebanyakan pelajarnya itu masih
belum sempat menyiapkan kerja rumah yang diberikanya semalam. Mungkin juga
kerja yang diberi agak banyak atau barangali para pelajarnya itu yang dilanda
kemalasan. Namun, walau apa pun sebabnya, kerja masih tetap dilakukan mereka.
Di saat itu, ada waktunya beberapa pelajar menghapiri meja guru. Mereka
bertanya soalan untuk kepastian. Meminta pandangan terhadap jawapan yang telah
diberikan. Hakikatnya, pelajar tingkatan lima dan menjawab soalan Sejarah, maka
daya ingatan yang tinggi harus ada dalam menjawab soalan esei yang diberi.
Mereka harus memahami kronologi sejarah dan perlu memhami konsep bagi setiap
urutan peristiwa yang telah terjadi. Barulah mudah untuk mereka memahami dalam
menjawab soalan yang diberi.
“Cikgu sihat?”
Soalan diajukan oleh salah seorang pelajarnya secara
tiba-tiba. Aminah, pelajar terbaik dalam kelasnya tiba-tiba menghampiri
Abyatina yang duduk di kerusi. Terus bertanya seolah-olah tahu dan faham dengan
keadaan Abyatina ketika itu.
Abyatina hanya tersenyum saja.
“Kamu dah siap kerjanya?” soal Abyatina.
“Dah siap cikgu,” jawab Aminah sambil menyerahkan buku
kerjanya kepada Abyatina.
Beberapa ketika selepas itu, loceng sekolah berbunyi.
Maka tamatlah waktu Abyatina untuk kelas itu. Kisah seterusnya, Abyatina perlu
bergerak ke bilik guru untuk berehat seketika. Setelah tiga waktu di tiga
kelas, maka tibalah masa untuk Abyatina merehatkan diri seketika.
Seperti biasa, kesemua pelajar bangun sebelum memberi
ucapan salam hormat kepada Abyatina sebagai guru. Ucapan terima kasih diucapkan
kesemua pelajar sebelum diakhiri dengan bacaan tasbih kifarah dan surah al-Asr.
Kesemua itu berlangsung dalam beberapa ketika sebelum Abyatina mula bergerak
meninggalkan kelas itu.
“Cikgu, biar saya tolong,” kata Aminah yang tiba-tiba
menghampiri Abyatina. “Biar saya tolong bawakan semua buku-buku tu. Taklah
berat sangat cikgu nak angkatnya”
“Terima kasih Aminah,” balas Abyatina tersenyum. Aminah
pelajarnya itu, ternyata seringkali mencetuskan kesenangan di hatinya. Kesemua
guru ternyata sangat senang dengan pelajar itu.
Abyatina menyerahkan buku-buku yang dipegangnya itu
kepada Aminah. Agak banyak juga buku-buku yang dibawa. Kesemuanya merupakan
buku-buku pelajarnya yang masih belum disemak. Buku diserahkan, dan Aminah
mengikut Abyatina menuju ke bilik guru. Segalanya tampak biasa sahaja di saat
itu.
“Cikgu!”
Secara tiba-tiba Aminah menjerit. Dilanda kejutan, dan
jeritan itu ternyata menangkap perhatian seluruh kelas. Aminah baru sahaja
melangkah keluar dari kelas dan sedang berjalan menerusi koridor bangunan. Saat
itulah jeritan kedengaran. Serentak dengan itu, kebanyakan pelajar kelas itu
meluru keluar untuk melihat apa yang sedang berlaku.
“Cikgu Ina!”
Abyatina kelihatan rebah di koridor. Secara tiba-tiba
Abyatina pengsan di pertengahan jalan. Maka bermulalah situasi kelam-kabut di
sekolah. Pagi itu, sesi persekolahan mencipta perbezaan. Pastinya kisah Cikgu
Abyatina yang menjadi tajuk perbualan utama.
“Dah hubungi suaminya?” soal pengetua sekolah.
“Cikgu Rizqullah dalam perjalanan,” jawab Cikgu Razul.
Maka, Rizqullah bergegas menuju ke sekolah Abyatina.
Jaraknya ternyata jauh, dari Taiping menuju ke sekolah itu, sekurang-kurangnya
mengambil masa satu jam tempohnya. Di saat itu, kerisauan melanda dan pelbagai
persoalan muncul di fikiran. Apakah yang terjadi sebenarnya?
“Allahuakbar. Bantulah hambamu yang lemah ini,” bisik
hati Rizqullah di saat kelam-kabut memandu untuk pulang ke rumah.
Abyatina dibawa menaiki ambulans. Bergegas menuju ke
klinik kesihatan berhampiran. Pening dan sakit kepala yang dirasakan, akhirnya
menyebabkan Abyatina pengsan. Namun, tiada siapa tahu punca sebenar yang
menyebabkan Abyatina menjadi begitu.
Hanya Abyatina sahaja yang dapat menjawabnya.
*Tamat sudah Bicara Tiga Puluh Tujuh*
Bagaimanakah keadaan kesihatan Abyatina? Apakah kandungan
Abyatina terjejas? Apakah punca Abyatina pengsa? Akan bersambung di bicara
seterusnya.
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan
inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan
kekuatannya, beri kekaguman buat saya.
Sekali lagi sekalung penghargaan kepada sahabat UPSI, saudari Nur Adila Muhammad kerana
memberi izin untuk disiarkan gambar beliau untuk kali ke-5 bagi siri Adina kali ini.
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan