Selasa, 28 Jun 2011

Sembang-sembang Selasa: Menyelusuri kenangan SMK Dr. Burhanuddin









Sabtu yang lalu, saya menjadi sedikit sibuk dek pertembungan aktiviti di empat buah sekolah. Sekolah Kebangsaan Pengkalan Aur mengadakan Hari Sukan 2011, dan saya menghantar adik-adik saya bersama mak ke sana. Pada hari itu juga, Sekolah Menengah Kebangsaan Dr. Burhanuddin mengadakan Hari Kantin, dan di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah, adik lelaki saya Izhar kembali ke sekolah lamanya, menghadiri Hari Sukan sekolah lamanya itu. Ayah saya pula awal-awal pagi pergi ke sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan Mudzaffar Shah, Gunong Semanggol kerana hari itu juga turut berlangsung Hari Sukan sekolah tersebut. Benar, pagi itu rumah menjadi sunyi sepi. Masing-masing sibuk pagi itu.

Saya berkesempatan menyelusuri kembali kenangan lama apabila berpeluang menjejakkan kaki semula ke SK Pengkalan Aur, sekolah saya dari tahun 1996 hingga 2001. Setelah hampir sepuluh tahun saya tinggalkan sekolah tersebut, inilah pertama kali saya kembali muncul menghadiri Hari Sukan sekolah ini. Peluang yang diberikan ini membuatkan saya terkenang kembali saat saya sewaktu di sekolah rendah. Saya meluangkan sedikit masa melihat acara perbarisan, sebelum meninggalkan majlis tersebut untuk menuju pula ke SMK Dr. Burhanuddin, sekolah saya dari tahun 2002 hingga 2004 bagi menghadiri pula Hari Kantin di sana.

Banyak yang berubah selepas tujuh tahun saya tinggalkan sekolah tersebut. Dalam tempoh tujuh tahun tersebut, pernah beberapa kali saya berkunjung atas urusan tertentu. Pada hujung tahun 2005, saya muncul semula di sekolah tersebut mengikuti pengumuman keputusan PMR tahun 2005 SMDB. Saya muncul kerana mahu mengetahui keputusan PMR seorang sahabat saya yang muda setahun dari saya.

Hujung tahun 2006, saya berkunjung semula, dan kali ini saya muncul bersama Razif, sahabat lama untuk mengambil sijil PMR yang baru keluar. Tahun 2007, saya muncul lagi. Kali ini saya berjumpa sahabat lama di sekolah tersebut. Kami berbual agak panjang pada tengah hari Jumaat, selepas tamat sesi pagi sekolah tersebut.  Dan beberapa tahun kemudian, saya kembali lagi, kali ini hadir untuk menghadapi ujian Medsi (Ujian kelayakan guru) di sekolah tersebut.

Hakikatnya, banyak yang telah berubah. Jika dulu, jalan masuk ke sekolah merupakan jalan sehala. Namun kini, jalan telah diubah menjadi dua hala, bagi memberi laluan untuk projek pembinaan jejambat berhampiran sekolah tersebut. Jika dulu, terdapat kolam ikan yang dilatari dengan hiasan lanskap taman yang cukup indah. Namun kini, semuanya telah tiada, dan digantikan dengan dataran kawad serta tempat parkir kereta berbumbung. Kawasan dataran kawad sebelum ini pula telah digantikan dengan dewan sekolah yang baru. Dalam kata yang lebih mudah, kehijauan rumput dan pepohon yang banyak mengindahkan sekolah lama saya ini telah pun hilang sebaik saya berkunjung semula ke sekolah tersebut.

Hari Kantin menjadi peluang saya untuk melakukan sesi lawatan semula menyulusuri kenangan lama. Kunjungan saya bukanlah mahu menghabiskan wang membeli makanan yang dijual, namun saya hanya sekadar meninjau-ninjau keadaan sekolah lama saya ini.

Saya menghabiskan setengah jam berjalan-jalan melihat dan meninjau gerai-gerai yang dibuka. Saya akui, gerai-gerai yang dibuka lebih banyak berbanding sewaktu tahun-tahun saya belajar di sekolah ini. Pada waktu inilah, saya terlihat Ustaz Razak, guru Sejarah saya sewaktu di tingkatan dua. Wajahnya tetap sama, dan saya melihatnya kesibukan di gerai menjual makanan. Maka saya sekadar melihatnya dari jauh tanpa menegurnya, tidak mahu mengganggu kesibukannya.

Selepas puas membuat tinjauan, saya putuskan untuk melihat-lihat pula persekitaran sekolah. Maka bermulalah perjalanan saya dari satu blok bangunan ke blok bangunan yang lain.

Keadaan bangunan kebanyakannya masih sama. Namun beberapa kemudahan baru disediakan. Water cooler telah diletakkan di sebelah pejabat, manakala bersebelahan blok satu tingkat yang pernah menjadi blok yang menempatkan kelas saya sewaktu di tingkatan satu dan dua (tak ingat blok berapa...) telah diletakkan dua meja bulat batu yang boleh digunakan pelajar untuk berehat dan bersantai. Malah bumbung tambahan telah ditambah di kawasan yang sebelum ini terdedah dengan cahaya matahari. Blok setingkat itu juga telah dilakukan perubahan, apabila dinding kayunya telah diganti dengan dinding konkrit. (Cemburunya...)

Gelangggang banminton di hadapan bengkel Kemahiran Hidup masih kekal sama. Di sinilah tempat perhimpunan pelajar sesi petang sebelum masuk ke kelas terapung (kelas ini diwujudkan kerana bilangan bilik kelas yang tidak mencukupi disebabkan waktu pertama bagi kelas sesi petang adalah pada jam 12.30 pm, yang bertindih dengan pelajar sesi pagi. Maka, kelas pada waktu ini akan diadakan di tempat-tempat tertentu, seperti di surau, di pusat sumber, dan kelas-kelas kosong).

Kerusi-kerusi batu yang mengelilingi gelanggang badminton ini masih kekal sama. Saya masih ingat, kerusi-kerusi batu inilah yang menjadi tempat untuk saya letakkan beg saya sewaktu perhimpunan lima minit diadakan. Kerusi batu ini jugalah dijadikan oleh guru bertugas untuk berdiri dan mebuat pengumuman sekiranya terdapat maklumat yang ingin disampaikan. Selalunya, Cikgu Khushairy, guru disiplin sesi petang pada waktu itu yang akan mebuat pengumuman kerana suaranya cukup kuat apabila bercakap. (saya sangat rapat dengan Cikgu Khushairi kerana tahun itu saya menjadi Bendahari Agung Pengawas sesi petang)

Saya meninjau juga keadaan surau sekolah. Semuanya masih sama seperti dulu. Malah, permaidani surau masih sama seperti waktu saya bersekolah di sini dahulu. Terkenang zaman saya sewaktu di tingkatan satu dan dua dulu. Inilah tempat saya dan pelajar-pelajar lain solat jemaah bagi solat Zohor dan solat Asar. Setiap pelajar diwajibkan memakai kain pelikat sewaktu solat, dan jika terlupa membawa, maka rotanlah hukuman yang menanti. Saya pernah sekali dirotan di tapak kaki, namun semua itu berlaku dek salah faham. Tak pasal-pasal saya dirotan oleh Ustaz Halim pada waktu itu.

Sebaik kaki melangkah melepasi kawasan surau, saya terlihat kelibat seorang lelaki berjalan bersama dua orang anaknya. Saya ternyata mengenali lelaki itu. Lantas tangan diangkat melambai lelaki tersebut. Itulah Ustaz Kamal, guru Pendidikan Islam, antara guru yang paling rapat dengan saya sewaktu di SMDB.

Tangan dihulur berjabat tangan. Pada pemulaan, Ustaz Kamal tidak mengecam saya. Katanya saya sangat berbeza berbanding sembilan tahun yang lalu. Sudah semestinya, kerana sewaktu Ustaz Kamal mengajar saya di tingkatan dua, saya masih berada di awal remaja.

Perbualan panjang berlangsung selepas itu. Perkhabaran dihulurkan sambil bertanya perkembangan saya sekarang. Dia ternyata bangga apabila mendapat tahu saya kini merupakan pelajar UPSI dalam jurusan TESL. Katanya, tugas menjadi seorang guru ini sangatlah mencabar dan apabila saya telah memilih bidang perguruan ini, maka hendaklah saya menerima dengan sepenuh hati. Ya, saya memang memilih bidang perguruan kerana memang saya minat dan memang saya meminatinya dengan sepenuh hati.

Ustaz Kamal kini tidak lagi mengajar di SMDB. Dia kini mengajar di SMK Klian Pauh sebagai guru Pendidikan Islam, mata pelajaran di luar opsyennya. (Ustaz Kamal opsyen Bahasa Arab, dan merupakan graduan dari Universiti Yarmuk, Jordan).

Ustaz juga kini telah mempunyai lima cahaya mata. Nampaknya dah besar jumlah keluarganya. (Sewaktu mengajar saya, ustaz baru ada dua orang anak). Tujuh tahun tak bersua, ternyata banyak perubahan yang berlaku.

Akhir bicara, salam dihulurkan buatnya, dan sebelum berpisah, saya meminta nombor telefon ustaz agar perhubungan tidak lagi terputus. Ustaz Kamal berjalan menuju ke tapak hari kantin, dan saya kembali meronda-ronda sekitar sekolah lama ini.

Setelah puas berjalan-jalan, saya kemudian berehat di kerusi batu, berhadapan dengan bengkel Kemahiran Hidup 1. Merenung kembali bengkel  tersebut, teringat kembali akan kenangan saya belajar dalam kelas Cikgu Leman, guru KH saya sewaktu di tingkatan tiga. Inilah guru yang paling saya takuti waktu itu, dan setiap kali hari Isnin dan Jumaat, hati saya pasti berdebar-debar dek gerun terhadap Cikgu Leman. Hakikatnya, Cikgu Leman agak baik dalam kelas, namun ketegasannya itu mungkin menyebabkan dia kelihatan seperti seorang guru yang garang.

Idea tercetus untuk meninjau pula kelas lama saya sewaktu di tingkatan tiga. Kelas 301 yang terletak di bangunan blok C saya tujui. Kelas tersebut berada di  tingkat atas hujung bangunan blog C. Pada waktu itu, inilah satu-satunya kelas tingkatan tiga yang berada di aras tersebut. Kelas bersebelahan dan kelas-kelas yang lain di aras tersebut merupakan kelas bagi pelajar tingkatan enam atas.

Saya melangkah mendaki anak tangga menuju ke tingkat atas. Fikiran kemudian terus melayang kembali terkenang saat saya di tingkatan tiga. Di tangga yang saya daki inilah merupakan tangga yang saya gunakan setiap hari untuk menuju ke kelas saya. Terasa seperti kembali ke zaman tersebut sebaik mendaki tangga tersebut.

Mata saya kemudian tertumpu pada pintu kelas lama saya. Saya tak percaya, saya kembali semula ke kelas tersebut setelah hampir tujuh tahun meninggalkannya. Inilah kelas 301 saya, dan saya kemudian masuk ke dalam.

Pintu hadapan kelas 301


Sebaik masuk, saya terus terkenang kembali keriuhan kelas semasa di tingkatan tiga. Terbayang saya keriuhan Solehuddin dan Taufiq bergurau senda, dan kemudian ditambah pula dengan Faizal yang menambahkan lagi keriuhan. Teringat juga Firdaus yang membelek-belek buku teks Geografi, dan terkenang juga Fatinah dan Nurul Amirah berbual-bual  sambil Faziela menyapu di dalam kelas. 

Pemandangan keseluruhan kelas dari pandangan belakang


Saya meninjau kembali keadaan di dalam kelas tersebut. Semuanya masih sama, kecuali susunan mejanya sahaja. Jika dulu, meja disusun secara bertiga, namun kini meja disusun secara berdua. Jika dulu, layar putih untuk paparan LCD tidak disediakan, namun kini kelas tersebut telah dilengkapi dengan kemudahan tersebut. Keadaan kelas agak bersepah, dan mungkin kelas ini kini digunakan oleh pelajar kelas hujung.

Keadaan kelas lama 301 yang agak bersepah. Pada tahun 2004, kelas ini sangat bersih dan tersusun sehingga pernah dipilih sebagai kelas terbersih.


Saya kemudian terus menuju ke meja lama saya. Meja di bahagian kanan kelas, terletak di barisan kedua itu masih segar di ingatan saya. Meja saya bersebelahan dengan tingkap. Sebaik duduk, terasa seperti kembali menjadi pelajar semula. Aura zaman di tingkatan tiga kembali terasa, dan saya benar-benar terasa seolah-olah berada kembali di zaman itu.

Meja saya sewaktu di kelas 301 (2004). Barisan kedua di tepi tingkap (kerusi berwarna merah). Di sebelah meja itu merupakan meja Firdaus.


Melihat meja guru, teringat kembali saat Pn. Baishah (guru kelas 301) mengajar saya untuk subjek Bahasa Melayu. Di meja guru inilah, saya masih terkenang kembali saat perbincangan ayah saya dengan Pn. Baishah sewaktu hari mengambil laporan prestasi akademik saya.

Meja guru. Di sinilah ayah dan Cikgu Baishah pernah berbincang mengenai prestasi akademik saya pada waktu itu.


Saya juga masih teringat sewaktu Ustazah Kamaliah bercerita mengenai gurauan dengan alatan tajam. Katanya, di dalam kelas inilah seorang pelajar yang pada mulanya bergurau dengan rakannya menggunakan pisau tanpa sengaja telah melukakan tangan rakannya itu. Ustazah Kamaliah berkata begitu  untuk menasihati Solehuddin yang bergurau dengan gunting di dalam kelas.

Apabila berada di meja lama saya ini, saya terkenangkan kembali sahabat yang duduk di sebelah saya. Itulah Firdaus Mokhtar (kini di Universiti Malaya), sahabat karib saya pada waktu itu. Dia sangat rajin menyalin setiap nota yang diberikan cikgu di papan putih. Saya dan Firdaus berkongsi minat yang sama terhadap mata pelajaran Sejarah dan Geografi. Dua mata pelajaran ini senantiasa menjadi perbincangan antara saya dan Firdaus.

Di sebelah Firdaus ialah Hakimi. Dan di hadapan Hakimi ialah Faisal, Fakhrul, dan Hafiz.  Rakan sekelas lain yang berada di barisan tengah pula ialah Taufiq, Faizal, Sollehuddin, dan Zaki.

Di barisan tengah ini, Solehuddin, Taufiq, Zaki, dan Faizal duduk.


Saya kemudian merenung keluar menerusi tingkap kelas dari tempat duduk saya. Dapat dilihat dengan jelas bangunan tiga tingkat yang menempatkan kelas untuk tingkatan empat dan tingkatan lima. (saya tak pasti sekarang bangunan tersebut masih digunakan oleh pelajar tingkatan yang sama) Teringat kembali pada waktu dulu, apabila bosan dengan pembelajaran dalam kelas, atau mungkin terasa mengantuk, maka saya akan merenung seketika ke luar tingkap menghilangkan sekejap letih dan mengantuk. Saat melihat kesibukan pelajar bergerak ke sana dan ke sini di blok tiga tingkat itu, saya menjadi tenang seketika. Dari tingkap itu juga saya dapat melihat dengan jelas blok satu tingkat yang terletak bersebelahan dengan blok C. Di blok itulah menempatkan kelas 201 (2003), dan 101 (2002) saya.

Pemandangan dari tingkap. Bangunan tiga tingkat dan bangunan satu tingkat. Di bangunan satu tingkat itulah merupakan kelas saya dari tahun 2002 hingga 2003.


Kadangkala, apabila elektrik terputus (selalu berlaku di SMDB pada waktu itu), sayalah antara orang bertuah. Angin yang meniup memasuki tingkap pasti akan saya rasai dengan lebih kuat berbanding pelajar lain dek meja saya yang betul-betul di tepi tingkap kelas.

Saya kemudian bangun dan kemudian berdiri di hadapan kelas. Terus terlintas di fikiran saya terhadap ujian lisan  Bahasa Melayu, dan oral test Bahasa Inggeris saya. Di tempat saya berdiri inilah, saya bercakap di hadapan kelas bagi ujian lisan tersebut. Bagi oral test yang dikendalikan Pn. Marduati, saya memperkatakan mengenai sinopsis dalam short story The Pencil karya Ali Majod. Pada waktu itu, saya kurang fasih bercakap Bahasa Inggeris, dan saya merangka dulu di atas kertas sebelum menghafalnya dan kemudian dipersembahkan di dalam kelas.

Di hadapan kelas inilah, saya berdiri untuk ujian lisan


Semasa berdiri juga, saya merenung kembali meja di penjuru berhampiran pintu hadapan kelas. Itulah letaknya meja Fatinah (kini di Mesir) yang merupakan perlajar terbaik dalam sekolah pada waktu itu. Di sebelah Fatinah pula ialah Nurul Amira, juga merupakan antara pelajar terbaik di sekolah. Pada waktu itu, Sollehuddin (kini di USM), Firdaus, Fatinah, Nurul Amira, dan saya bersaing di dalam kelas dalam dalam peperiksaan dan ujian. Masing-masing pernah menjadi pelajar terbaik sekolah, dan ternyata persaingan pada waktu itu sangat menyeronokkan.

Meja Fatinah di tepi pintu. Di sebelahnya ialah meja Nurul Amira.

Saya kembali ke meja lama saya. Sebaik itu, saya teringat pula Cik Norbie (kini Pn. Norbie), guru Geografi saya. Selalu setiap kali masuk ke kelas, Cik Norbie akan memperkatakan mengenai drama Samarinda di TV3 yang bertajuk Sephia. Maka saat ini terlintas pula di kepala akan lagu yang dijadikan lagu tema drama tersebut iaitu lagu Berhenti Berharap nyanyian Sheila On 7. Sollehuddin antara rakan saya yang cukup meminati lagu tersebut. Maka lantas saya keluarkan telefon bimbit, dan kemudian terus mendengar lagu tersebut. Sekadar mahu merasai kembali kenangan lama yang menjadi kenangan manis saya.

Benar, lagu mampu mengembalikan ingatan terhadap memori lama. Maka, saat ini saya benar-benar terasa seperti berada dalam kelas 301 tahun 2004. Walaupun hanya saya seorang sahaja berada dalam kelas tersebut, namun saya dapat merasakan seolah-olah kelas itu dipenuhi dengan riuh rendah pelajar-pelajarnya. Benar, kenangan lama semuanya menjelma. Kerinduan terhadap sesi kelas dari awal pagi 7.30 sehingga ke pukul 1.40 tengah hari sangat dirasakan. Saya kini telah meninggalkan alam persekolahan hampir lima tahun. Ternyata kerinduan itu ada asasnya.

Tahun berikutnya iaitu tahun 2005, saya berpindah ke MRSM Taiping setelah mendapat keputusan cemerlang dalam PMR. Saya akui, pengalaman baru di sana ternyata masih segar dalam ingatan. Namun, apabila dikenang secara keseluruhan perjalanan saya sebagai pelajar sekolah dari tahun 1996 hingga tahun 2006, tahun 2004 iaitu sewaktu saya di tingkatan tiga SMK Dr. Burhanuddin merupakan kenangan paling manis saya sehingga kini.

Mengapa?

Pada tahun itulah saya berada di kemuncak kejayaan. Tahun tersebut diharungi dengan mudah tanpa banyak dugaan. Pada tahun itu jugalah Adrina, adik bongsu saya dilahirkan. Tahun itu jugalah saya berada di tahap terbaik dari aspek kesihatan. Tahun itu juga merupakan tahun terbaik pengurusan masa saya. Malah, tahun itu juga disiplin saya berada di tahap yang paling tinggi. Pengurusan kewangan saya juga tidak terkecuali, apabila saya mampu menguruskan kesemua elaun yang diberikan ayah saya dengan baik, tanpa perlu meminta elaun tambahan dari ayah saya. Saya mempunyai sahabat karib yang cukup ramai, dan pada waktu itu tidak ada langsung musuh. Tahun 2004 juga turut menyaksikan saya tidak langsung mengalami sebarang tekanan dalaman, dan pada waktu itu jugalah tiada langsung istilah ‘perkara sensitif’ wujud dalam kotak fikiran pada waktu itu.

Maka tidak hairanlah, saya mampu memberikan keputusan yang terbaik bagi PMR untuk dihadiahkan kepada mak dan ayah. Pada waktu itu, saya benar-benar memberikan tumpuan pada pembelajaran tanpa diganggu langsung oleh anasir-anasir luar.

Sehingga kini, saya tidak lagi dapat merasai kemanisan seperti yang pernah saya lalui pada tahun 2004. Trauma yang menimpa pada tahun 2005 telah meruntuhkan kesemua sistem pengurusan diri  saya, dari aspek pengurusan masa, akademik, dan sosial. Pada waktu itulah saya terkapai-kapai mencari kembali formula yang pernah saya gunakan sewaktu di tingkatan tiga, dalam usaha mengembalikan saat manis yang pernah saya rasai pada tahun 2004.

Saya gagal.

Namun, walaupun saya tak berjaya menngembalikan kenangan manis seperti yang pernah saya rasai pada tahun 2004, saya akui saya masih berjaya mendapatkan kejayaan walaupun pada masa yang sama pelbagai dugaan menimpa. Siri kekecewaan tahun demi tahun berterusan. Saya akui, mungkin itu dugaan Allah untuk saya bagi memantapkan lagi diri.

Sehingga saya masuk ke UPSI pada pertengahan tahun 2010, saya belum berjaya mengembalikan saat manis itu. Pelbagai kecelaruan masih belum selesai, dan saya masih lagi terus terkapai-kapai mencari formula terbaik dalam mendapatkan pengurusan diri yang sangat mantap. Benar, mungkin kenangan-kenangan pahit yang dilalui dari tahun 2005 hinggalah tahun 2010 masih belum dapat dipadamkan.

Moga tahun 2011 yang kini berada di pertengahan mampu menjadi antara tahun termanis saya kembali. Walaupun saya sedar, saat manis 2004 itu mungkin tidak lagi dapat dikembalikan, saya berharap agar separuh dari kemanisan yang pernah saya rasai pada waktu itu dapat dirasai kembali pada tahun 2011.

Itulah kisah perjalanan menyelusuri kembali kenangan lama, saat termanis di SMK Dr. Burhanuddin, Taiping. Setelah  hampir sejam meluangkan masa berada di dalam kelas tersebut, saya keluar dan kemudian pulang.

Kelas 301 tahun 2004 kini menjadi kelas 2UITM


Moga kunjungan ke SMDB yang baru dilalui akan memberikan satu motivasi buat saya mencari kembali kegembiraan dan kemanisan yang telah hilang itu.

Wallahualam.


*Sembang-sembang Selasa adalah ruangan bebas untuk sebarang isu yang akan dipaparkan setiap hari Selasa dalam blog ini.

Jumaat, 24 Jun 2011

Muhasabah Jumaat: Keparat perompak blog!






Alhamdulillah, setelah lebih dari seminggu bersusah payah, maka akhirnya usaha telah mencapai kejayaan. Seminggu yang lalu, blog saya telah digodam seseorang. Tak tahu siapa orangnya, tapi yang pasti saya tak dapat nak masuk untuk poskan apa-apa lagi perkongsian dalam blog tersebut dek passwordnya telah ditukar. Maka, itulah yang menyebabkan blog saya menjadi tak aktif.

Mujurlah seorang sahabat bantu saya untuk 'merampas' kembali blog yang telah dirompak. Saya tak tahu bagaimana sahabat ini lakukan, namun berkat usahanya, blog saya dapat dikembalikan.

Bila dilakukan semakan, alhamdulillah tidak ada apa-apa pos yang tak elok diposkan. Keadaan blog sama seperti biasa. Namun saya terkejut apabila mendapati kesemua draf artikel yang saya tulis, berjumlah hampir 32 artikel yang masih belum diterbitkan di blog telah dipadamkan. Terkaku saya terkejut. Segala tulisan yang saya tulis hilang begitu sahaja. Namun, semua itu adalah satu takdir.

Muhasabah Jumaat kali ini akan lari sedikit dari kebiasaan. Tiada lagi perbincangan panjang, sekadar bersantai sedikit. Tiada bicara, namun kali ini saya mengajak semua untuk meluangkan masa menikmati irama muzik orkestra yang digubah dari lagu-lagu P. Ramlee. Orkestra Tashkent, sebuah orkestra dari Uzbekistan telah merekodkan lagu-lagu P.Ramlee ke dalam bentuk orkestra dan direkodkan ke dalam album berjudul 
"The Bolshoi Ballet Theatre Orchestra Of Tashkent presents"

Inilah contoh untuk mengangkat martabat muzik P. Ramlee ke satu tahap yang lebih tinggi.

Wallahualam.





                                                                                     
                                                                                     








Khamis, 23 Jun 2011

"Adina (Bicara Sembilan)"



“Aku terima nikahnya, Siti Abyatina binti Yusman, dengan maskawin seratus satu ringgit tunai”

Seluruh isi rumah di ruang tamu menghilangkan suara. Suasana senyap dan tiada perbualan sesama mereka. Masing-masing memberikan tumpuan terhadap apa yang sedang berlaku di ruang tamu.

“Abyatina kini milik Rizqullah,” bisik ibunya.

“Subhanallah.....”

Kekaguman diluahkan Abyatina. Kesyukuran dijelmakan pada wajahnya. Debaran yang dirasakan berada di penghujungnya. Segala kerisauan ditamatkan dengan tenang. Maka, cabaran baru bermula dengan pembukaan fasa baru. Inilah pengkisahan Abyatina menjadi isteri buat si Rizqullah.

Dengan persalinan baju Melayu serba putih beserta songkok hitam kemas disarungkan di kepala, ternyata ketenangan dijelmakan oleh Rizqullah. Dengan hanya sekali lafaz tanpa sebarang kegusaran ditonjolkan, maka ikatan telah disambung. Hasrat hati telah tercapai.

“Moga Allah berkati kamu,” ucap kadi sebaik lafaz Rizqullah disahkan oleh saksi.

Solat sunat kemudian didirikan Rizqullah. Menuju ke bilik sebentar mengambil masa seketika sebagai tanda kesyukuran akan kejayaannya mewujudkan ikatan yang sah. Senyuman dikuntumkan tanda kegembiraan. Abyatina tertunduk tanda kelegaan.

“Sarungkan cincin ke jarinya. Tanda ikatan telah dijalinkan,” bicara Ustaz Man selepas Rizqullah selesai menunaikan solat sunat.

Maka, kaki dengan tenang perlahan-lahan melangkah. Abyatina menanti sambil disaksikan kaum keluarga.  Sebaik dihampiri, cincin diberikan kepada Rizqullah. Kisah berikutnya, jarinya menyentuh jari Abyatina. Maka itulah pertama kali Rizqullah dan Abyatina merasai sebuah sentuhan.

“Subhanallah. Sejuknya jari kamu,” bisik Abyatina di dalam hati. Sentuhan jari Rizqullah menyarungkan cincin ke jarinya dirasakan cukup indah. Dalam penuh debaran, perlahan-lahan cincin disarungkan ke jarinya.

Tangan Rizqullah dikucup Abyatina. Dahi Abyatina pula kemudian dikucup Rizqullah. Agak lama juga, ditambah pula dengan usikan sanak saudara, maka kucupan dahi Abyatina itu berlangsung dalam tempoh yang agak lama. Saat itu juga pancaran-pancaran cahaya kamera memenuhi ruang tamu tersebut. Bermula dari saat cincin disarungkan sehinggalah kepada kucupan dahi Abyatina, semuanya diambil dan ditangkap saat itu dengan sebaiknya.

Keriuhan itu juga tersembunyi wajah individu yang kalah dalam perjuangan mendapatkan hati Abyatina. Berbeza situasi diharapkan, kini dia masih muncul memberi sokongan tanda menumpang gembira. Ramai yang kagum akan sifat matang yang ditonjolkan. Ramai yang tersenyum akan nilai hormat yang ditonjolkan Yaqzan.

“Jurukamera tanpa diminta,” bisik Raiqah ke telinga ibunya.

Yaqzan menjadi antara orang yang sibuk bergerak ke sana dan ke sini, mencari posisi terbaik. Tugasnya hari itu memegang sebuah kemera, mengambil gambar majlis perkahwinan Abyatina dan Rizqullah.

“Mungkin juga mahu sorokkan rasa kecewanya? “ bicara Absyar kepada Zabarjad apabila adiknya itu terlihat Yaqzan muncul dengan sebuah kamera.

Perjalanan diteruskan dengan upacara berikutnya. Selepas cincin disarungkan dengan hadiahnya sebuah kucupan suami buat isterinya, kisah berikutnya pemberian maskawin kepada si isteri.  Helaian wang kertas dengan not satu ringgit berjumlah seratus satu helai, dilipat menjadi origami berbentuk bunga dan disusun semua helaian itu di atas dulang dan kemudian ditutup dengan plastik lutsinar. Maka dulang dipersembahkan oleh si suami buat si isteri. Si isteri tersenyum, menerima dengan tapak tangan kemudian menyambut dulang tersebut. Tangan dikucup si isteri tanda menerima dengan senang.

Sesi bergambar diteruskan kemudian. Bilik pengantin menjadi tempat utama sesi berlangsung. Beberapa rakan dan kenalan, termasuk beberapa ahli keluarga kedua-dua pihak menjadi antara jurugambar bagi sesi tersebut. Wajah Abyatina tidak semanis yang sepatutnya. Ibarat serba tak kena walaupun senyuman dikuntumkan sambil si suaminya berada di sisi dalam sesi bergambar tersebut.

“Mengapa si alien ini wujud di alam permulaan bahagia yang baru bermula? Apakah kamera dipegang sekadar mahu mengganggu bahagia aku tanda cemburu yang tak berkesudahan?” bisik si Abyatina.

Ternyata saat itu Abyatina tidak begitu selesa. Yaqzan merupakan salah seorang jurukamera yang mengambil gambar. Senyuman terpaksa dibuat-dibuat. Perasaan bercampur antara geram dan serba salah. Kegeraman dek wajah si Yaqzan masih berterusan mengganggu hidupnya. Perasaan serba salah dek keputusan yang telah diberikan dengan pengakhiran Yaqzan ditolak, Rizqullah dipilih.

“Di mana pelaminnya?” soal seorang jurugambar, kenalan si Rizqullah dengan namanya Azizi.

Kisah tiada pelamin menjadi tarikan dalam majlis perkahwinan tersebut. Ibarat adat Melayu, tiada pelamin, maka bukanlah majlis perkahwinan namanya. Namun ibarat kata Melayu itu bukanlah tradisi keluarga Abyatina mahupun Rizqullah. Ustaz Man sangat menentang amalan bersanding dalam majlis perkahwinan. Maka dek itu, pelamin ditiadakan dalam senarai persiapan majlis.

“Haram bagi kamu, jika apa yang kamu junjung sebagai adat itu menyerupai amalan bagi agama lain,” bicara Ustaz Man di masjid dalam kuliah Maghrib beberapa hari sebelum majlis perkahwinan Abyatina.

Malah di kampung juga, adat bersanding jarang diamalkan. Jika terdapat majlis perkahwinan itu menyelitkan aturcara bersanding dalam perjalanan majlisnya, maka akan berlakulah pemulauan penduduk kampung terhadap majlis tersebut.

“Itulah yang terjadi pada Pak Seman dulu. Kendurinya hilang meriah dek sikitnya yang berkunjung ke majlis perkahwinan anaknya,” kata Absyar pada Abyatina sewaktu persiapan majlis sedang rancak berlaku.

“Bersanding mungkin adat yang dikatakan memeriahkan majlis. Katanya, menaikkan seri pengantin dan menceriakan lagi hari perkahwinan. Namun apa gunanya adanya majlis bersanding jika hanya menambahkan dosa,” kata ibu Abyatina pula.

“Banyak yang kata, bila bersanding tiada, maka tiada juga seri majlisnya. Tapi kalau berkatnya tiada, benarkah ada serinya dalam majlis?” bicara pula Mawaddah adik Rizqullah yang turut serta dalam persiapan majlis. Hanya Mawaddah menjadi wakil tunggal dihantar keluarga Rizqullah bagi memberikan sedikit pertolongan meringankan beban.

Perjalanan majlis berterusan dari sesi bergambar diteruskan lagi dengan upacara santapan. Abyatina merasa sedikit kaku bercampur malu. Dalam hati tidak percaya dirinya dah bersuami, dan pada masa yang sama, mata yang terlalu banyak memerhati setiap gerak langkahnya menyebabkan rasa segan dirasakannya.

Itulah saat paling merimaskannya. Setiap suap nasi dirasakan terlalu sukar. Untuk ditelan terasa terlalu perit. Dia mengawal dirinya takut tersalah lakukan kesilapan. Ibarat puteri raja, senyuman senantiasa dikuntumkan, dan tatacara senantiasa dijaga.

“Cantik dan mengkagumkan!” bicara seorang penduduk kampung dari jauh.

Santapan yang berlangsung di ruang tamu utama menarik perhatian setiap jemputan yang berada di ruang tamu. Ada juga yang menjenguk-jenguk dari tingkap beranda. Masing-masing mahu melihat wajah Abyatina yang diangkat tarafnya menjadi pengantin.

“Abyatina adalah ciptaan terindah yang pernah aku lihat,” bisik Yaqzan sambil mengambil gambar.

Saat bergelar isteri, tugas mentaati suami menjadi perkara utama. Perjalanan baru tanda permulaan sebuah lagi kematangan dalam zaman awal kedewasaan. Dalam usia 20 tahun, si gadis ayu anak Ustaz Man meninggalkan status lama, kini menjadi teman hidup Rizqullah. Dalam debaran menggalas tugas baru, Abyatina kerisauan takut tugas yang akan dipikulnya tidak berjaya dilaksanakan sebaiknya.

“Bagaimana cita-citamu?” soal Raiqah di sisi Abyatina sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

Ibarat terus terlupa dengan hasrat cita-citanya, meniti sebuah alam perkahwinan ternyata mengasyikkannya. Keindahan alam rumah tangga menenggelamkan impian yang ditanamnya sebelum ini. Bahagia yang dirasai ditambah pula dengan belaian hati, dirasai ketika berdua-duan bersama Rizqullah pertama kali di sebelah petangnya, selepas tamatnya majlis, maka Abyatina seakan-akan melupakan segala susunan impiannya. Itulah saat pertama dia merasai satu gelodak jiwa dengan hatinya benar-benar terasa disentuh Rizqullah.

“Inilah mungkin keindahan sebuah perkahwinan,” bicara diluahkan, ditulis di atas sehelai kertas, menyambung bicara-bicara luahan dari mata penanya.

Malam itu suasana sunyi. Bilik Abyatina berubah wajah dengan hiasan penuh indah bertukar menjadi sebuah bilik pengantin. Rizqullah di ruang tamu berbual dengan Ustaz Man, dan turut bersama di ruang tamu itu ialah Absyar, Zabarjad dan adik-beradik Abyatina  yang lain. Abyatina pula terus leka di bilik menulis sebaik yang mungkin, mengumpulkan segala kenangan indahnya hari ini ke dalam bicara-bicara tulisannya.

“Assalamualaikum”

Pintu diketuk serentak dengan kemunculan Rizqullah. Salam dijawab Abyatina dengan degup jantung yang tiba-tiba kuat. Debaran bercampur gementar, dan hakikatnya itulah pertama kali seorang lelaki muncul di biliknya pada malam yang dingin itu.

Berdua-duan dengan masing-masing berdebar. Mata bertentang mata. Senyuman dibalas senyuman. Rizqullah menghampiri Abyatina, dan pena tanpa sedar terlepas dari tangan Abyatina. Terhenti luahan bicara tulisannya. Keasyikan melihat jejaka yang kemudian memegang jari jemarinya. Usapan perlahan-lahan dirasainya membelai rambutnya.

“Moga kamu bahagia,” bisik Rizqullah ke telinga Abyatina. Tangannya menggenggam tangan Abyatina dan kemudian dihulurkan dengan perlahan sehelai kertas diletakkan di tapak tangan isterinya itu.

“Bila sayang kamu dari aku?
Bila saat pertama dahimu dikucup
Kamu isteriku...
Janji padamu: Kamu seluruh hidupku.
Maka dari aku, sayang itu kamu terima”

Abyatina tersenyum sebaik membaca tulisan yang dinukilkan di kertas itu. Bahagia dirasai tidak terucap dengan kata-kata.

Dahinya dikucup, tangan disentuh. Belaian demi belaian menenangkan jiwanya. Kemesraan  terjalin dan kertas yang diberikan itu disimpan kemas diselitkan dalam diarinya. Segala yang haram sebelumnya kini menjadi halal, dan nikmat halal itu tak terucap dengan bicaranya.

“Abyatina di alam bahagia....”

Lemas dalam kebahgiaan dan kenikmatan dalam sebuah ibadah. Kisah berlanjutan tanpa bicara yang mampu merungkaikan perasaan Abyatina.



*Tamat sudah Bicara Sembilan*

Menyambung kisah di lain bicara...

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.



Ahad, 12 Jun 2011

Dari kaca mata: Drama Melayu yang melayukan?


 Muhammad Yazid Rosly (yazidrosly_my@yahoo.com)






Umum mengetahui, televisyen merupakan wadah terbaik dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Umum juga ternyata tahu, televisyen juga menjadi sumber buat masyarakat dalam mendapatkan hiburan dalam bentuk paling mudah dan percuma.

Kisah kewujudan drama Melayu di televisyen pada awal tahun 70-an ternyata telah mencambahkan lagi sisi baru buat industri hiburan tanah air. Jika dulu, pawagam menjadi sumber bagi mendapatkan hiburan, kini masyarakat telah mempunyai pilihan dengan wujudnya televisyen.

Namun, umum juga pasti sedar akan tanggapan kebiasaan masyarakat hari ini apabila memperkatakan berkenaan drama Melayu. Bila disebut sahaja drama Melayu, maka yang terlintas di fikiran kebanyakan orang adalah satu kebosanan dan munculnya rasa kebosanan. Drama Melayu diibaratkan suatu hiburan televisyen yang membosankan. Maka wujudlah persoalan mencari jawapan terhadap pandangan masyarakat ini, apakah yang menyebabkan drama Melayu dipandang sebegitu?

Industri hiburan drama televisyen menjana pendapatan yang cukup tinggi hakikatnya. Kewujudan industri pembikinan drama televisyen inilah, yang membantu pembikin filem negara menyuburkan kembali industri perfileman negara. Kreativiti pembikin filem yang dilihat merudum selepas era P. Ramlee, dilihat telah berjaya dipulihkan sedikit demi sedikit apabila wujudnya rancangan-rancangan hiburan di televisyen.

Namun, di sebalik kepentingan itu, hakikatnya industri drama Melayu dikatakan mempunyai banyak kelemahan, dan jika dilihat sehingga ke hari ini, drama-drama Melayu yang ditayangkan di televisyen dikatakan masih lagi berada dalam kelayuan dan kelesuan.


"Kreativiti pembikin filem yang dilihat merudum selepas era P. Ramlee, dilihat telah berjaya dipulihkan sedikit demi sedikit apabila wujudnya rancangan-rancangan hiburan di televisyen"

Benar, bila dilihat drama Melayu, semua pasti akan bersetuju dengan hakikat yang tak dapat disangkal. Ciri-ciri drama Melayu inilah yang mewujudkan kebosanan dan perasaan layu ketika menontonnya.

Kualiti skrip bagi kebanyakan drama Melayu amatlah mengecewakan. Kebanyakan skrip yang dihasilkan dilihat seolah-olah seperti sekadar hanya untuk mengaut keuntungan sahaja. Aspek ketelitian dan kualiti itu dipandang sepi. Jalan cerita dalam skrip terlalu stereotaip. Malah, bila dipersembahkan dalam bentuk drama televisyen, penonton boleh meneka jalan cerita dan boleh membuat telahan yang tepat bagi kesudahan jalan ceritanya.

Kelemahan penghasilan skrip juga dapat dilihat menerusi dialog pelakonnya. Kebanyakan dialog drama Melayu dilihat meleret-leret sehingga menyebabkan penonton merasakan kebosanan ketika menonton drama tersebut. Malah kualiti dialog juga dilihat agak rendah apabila penggunaan ayat-ayat stereotaip senantiasa digunakan dalam drama Melayu.

Drama bersiri Gemilang membawa tema perjuangan guru

Sebagai contoh, setiap kali watak jahat meminta maaf kepada watak baik di dalam drama, akan kelihatan dengan mudah watak baik itu memaafkan watak jahat tersebut dengan lafat ayat, “Saya dah lama maafkan kamu”

Mengapa begitu mudah menghasilkan skrip begini? Bukankah lebih menarik jika watak baik itu dibiarkan sahaja membisu tanpa berkata apa-apa? Rumitkan lagi keadaan dengan mewujudkan watak yang lambat memberikan maaf, dan bukan watak yang terlalu sempurna dengan mudah memaafkan orang lain. Kelainan harus dicipta, supaya kebosanan tidak tercetus.

Drama Melayu juga terkenal dengan babak makan dan babak telefon yang senantiasa menguasai jalan cerita. Lihatlah mana-mana drama Melayu, pasti akan ada babak makan di restoran atau di kedai mamak, dan di restoran dan kedai mamak itulah, perbualan meleret-leret berlaku. Malah, kadang kala babak makan di rumah juga kelihatan seolah-olah tidak logik. Bayangkan, bersarapan hanya tiga orang, tapi hidangan ibarat hendak disediakan buat 10 orang untuk makan. Makanan disusun begitu banyak untuk sarapan, dengan segala macam jenis kuih ditambah pula dengan nasi lemak, bihun goreng dan roti bakar. Namun dalam babak tersebut, hanya tiga orang pelakon melakonkan babak bersarapan.

Melihat pada sudut mutu lakonan pula, memang tidak dapat dinafikan bahawa drama Melayu mempunyai pelakon yang tinggi mutu lakonannya. Pelakon seperti Nurkhiriah, Tiz Zakiah, Kartina Aziz, Zamarul Hisyam, Jalaluddin Hassan, Jalil Hamid, Rosyam Nor dan beberapa lagi pelakon terkenal sememangnya kelihatan begitu hidup. Harus diakui, dek lakonan mantap pelakon-pelakon berkualiti inilah yang menyelamatkan kebanyakan kekurangan aspek lain dalam drama Melayu.


"Bayangkan, bersarapan hanya tiga orang, tapi hidangan ibarat hendak disediakan buat 10 orang untuk makan."

 
Namun, drama Melayu kini seolah-olah mengikut budaya yang tidak begitu menguntungkan apabila mula memilih pelakon-pelakon baru berdasarkan paras rupa sahaja. Maka, inilah yang melahirkan pelakon seperti Rozita Che Wan, Faridah (pelakon Epilog Syurga Cinta), Siti Saleha, atau mungkin juga pelakon lelaki seperti Shah Jazlee dan Fahrin Ahmad. Lakonan kebanyakan dari mereka ini agak kaku dan masih lagi kekurangan dari pelbagai aspek. Mungkin mereka masih lagi baru dalam dunia lakonan, namun mereka ini harus sedar bahawa mereka perlu meningkatkan mutu lakonan mereka.

Penerbit drama Melayu juga dilihat senantiasa mengamalkan budaya ikut mengikut penerbit lain. Maka tidak hairanlah wujudnya penghasilan drama mengikut musim. Satu masa dahulu, drama komedi mendominasi di televisyen. Tidak lama kemudian, drama berbentuk koporat menguasai drama Melayu. Tidak lama selepas itu, drama berbentuk seram menjadi pilihan penerbit-penerbit drama Melayu. Terbaru, drama berbentuk keagamaan mula banyak diketengahkan oleh penghasil drama Melayu.

Satu masa dahulu, drama Sephia telah menarik perhatian ramai pihak. Drama berbentuk koporat disulami dengan percintaan ini ternyata memberi impak kepada penonton. Selepas drama ini, pelbagai siri drama dihasilkan oleh penerbit lain seperti drama Rindu Semakin Jauh,  dan beberapa drama lain.

Kejayaan drama Susuk, drama seram bersiri pertama yang ditayangkan di televisyen telah menyebabkan ramai pengkarya mula fokus untuk menghasilkan pelbagai drama seram. Drama ini mendapat tempat di hati penonton kerana kelainan jalan ceritanya dan mengakibatkan pelbagai lagi siri drama seram dihasilkan kemudian. 

Nur Kasih pencetus fenomena


Kemunculan drama Nur Kasih yang bertemakan keagamaan ternyata memberikan impak terbesar dalam industri drama Melayu. Dengan jumlah penonton mencecah 19 juta penonton, maka impaknya menyebabkan penerbit lain menerbitkan banyak lagi drama berunsurkan keagamaan.

Maka muncullah drama seperti Ustaz Amirul, Makbul dan pelbagai lagi drama Melayu yang mempunyai tema yang sama. Hakikatnya, budaya ikut mengikut inilah yang akhirnya telah mewujudkan kebosanan terhadap penonton.

Namun harus diakui, masih terdapat lagi drama Melayu yang berkualiti berjaya dihasilkan. Lihat sahaja kehebatan drama Nur Kasih, yang menjadi contoh sebagai drama Melayu yang paling mengkagumkan. Setiap aspek, baik mutu lakonan, sinematografi, dan jalan cerita, di samping muzik latarnya seiring dan sekata mengindahkan drama ini.

Drama Makbul di TV2 setiap hari Khamis, 9.00 malam


Drama Gemilang juga wajar dijadikan contoh sebagai drama berkualti. Drama mengisahkan perjuangan guru yang membuka sekolah persendirian pada era 70-an bolehlah dikatakan sangat unik. Begitu juga dengan drama Makbul yang ditayangkan di TV2. Dengan kebanyakkannya  menggunakan pelakon-pelakon baru, drama ini agak unik apabila mengangkat tema berkaitan doa yang menjadi amalan masyarakat Melayu.

Tidak dilupakan juga drama sitkom seperti Puteri, Kisah Kaisara, Dunia Anita, dan Mat Dom Teksi serta beberapa drama sitkom Melayu yang lain. Sitkom-sitkom ini adalah contoh terbaik sebagai hiburan berkualiti kepada masyarakat yang mempunyai isi dan mesej tersirat kepada masyarakat.

Sitkom Puteri, contoh drama sitkom berkualiti yang wajar menjadi contoh pembikin drama lain


Memang harus diakui, dalam kemajuan dan kepesatan perkembangan industri hiburan, industri drama Melayu dilihat semakin berkembang pesat. Buktinya, jumlah drama Melayu yang ditayangkan di televisyen semakin meningkat. Namun, peningkatan ini masih belum selari dengan peningkatan kualitinya. Maka, seharusnya penerbit drama Melayu perlu memikirkan jalan penyelesaian bagi meningkatkan kualiti drama Melayu yang dihasilkan. Bukan tidak ada drama Melayu yang berkualiti, namun jumlah drama yang berkualiti itu sangatlah sedikit.

Akan tetapi, terdapat seperkara kelebihan dalam drama Melayu di negara ini yang harus dibanggakan. Kebanyakan pelakon drama Melayu mempunyai kualiti yang sangat membanggakan dengan mempamerkan mutu lakonan yang mantap. Benar, kualiti pelakon yang ada pada pelakon di Malaysia jauh lebih baik berbanding kualiti pelakon Indonesia. Kebanyakan pelakon di Indonesia kebanyakannya hanya bersandar pada paras rupa, namun bila berlakon kaku ibarat patung yang menjadi perhiasan.

Kita punyai kualiti lakonan, maka kini langkah yang harus dilakukan ialah meningkatkan kualiti drama Melayu yang dihasilkan. Skrip, lakonan pelakon dan sinematografi beserta muzik latar, jika kesemua elemen ini sempurna, maka akan lahirlah drama Melayu yang berkualiti.



*Penulis merupakan pelajar jurusan TESL di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan aktif dalam bidang penulisan. Kebanyakan hasil tulisannya dipaparkan menerusi blognya:
www.yazidrosly-mydablog.blogspot.com

Jumaat, 10 Jun 2011

Muhasabah Jumaat: Bila al-Quran jadi hiasan rumah...







Jangan terkejut jika satu kajian dibuat terhadap remaja, dan hasilnya kemudian menyatakan bahawa kebanyakan remaja Islam hari ini tidak lagi menjadikan membaca  al-Quran sebagai amalan harian mereka. Malah, ada yang lebih teruk apabila langsung tak tahu membaca al-Quran.

Satu kajian telah dijalankan di sebuah sekolah bandar oleh seorang guru (tidak perlu dinyatakan nama sekolah tersebut), memberikan statistik yang cukup membimbangkan. Kajian ayang dijalankan terhadap  pelajar Islam sahaja ini menunjukkan 75 peratus daripada pelajar sekolah tersebut langsung tidak menjadikan pembacaan al-Quran sebagai amalan harian mereka, dan dalam jumlah itu pula, 57 peratus remaja tidak tahu langsung membaca al-Quran.  Daripada jumlah yang tidak tahu membaca al-Quran itu, 30 peratus menyatakan bahawa mereka langsung tidak memiliki al-Quran di rumah.

Data ini diambil dari sebuah sekolah di bandar yang majoriti pelajarnya beragama Islam. Hakikatnya, ini adalah angka yang sangat membimbangkan. Barah keruntuhan Islam semakin jelas dilihat saat ini.


"....57 peratus remaja tidak tahu langsung membaca al-Quran.  Daripada jumlah yang tidak tahu membaca al-Quran itu, 30 peratus menyatakan bahawa mereka langsung tidak memiliki al-Quran di rumah."
 

Maka itu juga tidak mengejutkan jika masalah sosial yang melanda terhadap remaja Islam hari ini semakin menjadi-jadi. Memang agak memeningkan bila memikirkan kes dadah semakin berleluasa dalam kalangan remaja Islam. Kes rogol pula bertambah-tambah, dan pada masa yang sama juga, angka kes cabul juga menunjukkan peningkatan. Itu belum ditambah lagi dengan kes anak derhaka, sepak terajang mak bapak ibarat bola sepak di tengah padang.

Kecelaruan jiwa, itulah jawapan kepada barah yang melanda hari ini.

Kekosongan jiwa anak-anak remaja ini ternyata melahirkan satu generasi yang mengalami kerosakan akhlak yang jelas. Pengisian rohani yang mantap itu dikatakan langsung tidak diberikan penekanan oleh ibu bapa itu sendiri. Kelihatan seperti mengajar budak-budak berusia 5 tahun untuk bersolat dan membaca al-Quran itu dianggap ‘kurang penting’ berbanding kesibukan mencari ‘kekayaan’ buat keluarga. Kesudahannya, keluarga tersebut kaya dengan kemewahan, namun miskin dengan kerohanian.

Jiwa itu bila tidak diisi dengan pemantapan agama, maka anasir dari luar akan mudah menajajah minda mereka. Hakikatnya, dunia hari ini terlalu mendewakan hiburan ke tahap yang begitu melampau. Artis dijadikan pujaan, melampaui pujaan kita pada Rasulullah. Alasan yang diberikan, Rasulullah telah ‘ketinggalan zaman’ dan tak dapat dilihat sebab telah wafat. Maka, bagi mencari kesesesuaian itu, golongan artis dipilih.

Artis membawa imej yang pelik. Mungkin bersama-sama dengan segala fahaman muzik yang melampau. Akhirnya, dek fanatiknya terhadap rock, maka rambut dipanjangkan, dan pakaian pula seolah-olah ditelanjangkan. Dek mahu mengikut fesyen ala Yuna, maka dada yang patut ditutup, diitayangkan bentuknya, dan telinga yang patut dilindungi ditunjukkan cupingnya supaya subang dapat ditayangkan. Hakikatnya, artis-artis yang cetek ilmu ini akan merosakkan remaja yang kurang agamanya di dalam jiwa.

Menyelusuri kisah kebutaan terhadap al-Quran, maka bolehlah disimpulkan bahawa masalah ini semakin meruncing. Tugas ibu bapa untuk mengajar anak-anak mereka celik al-Quran diserahkan bulat-bulat kepada guru agama. Dek alpanya ibu bapa, anak-anak dihantar ke pusat mengaji al-Quran, namun ibu bapa ini tak sedar, anak-anak ini kemudiannya melencong ke pusat-pusat komputer. Kesudahannya, mereka ini celik IT, tapi buta hati terhadap kalam Allah ini.

Jiwa itu perlukan belaian. Al-quran itulah jalan penyelesaian. Hakikatnya, bila membaca al-Quran, jiwa itu dapat diisi dengan sebaiknya, dan hati itu dapat ditenteramkan dengan sepatutnya. Bila jiwa itu telah terisi dengan kelazatan al-Quran, maka segala macam anasir luar yang mampu memesongkan anak-anak muda, sukar  untuk menjajah mereka. Mereka ini mungkin akan menikmati segala macam hiburan yang disajikan, namun dek jiwa mereka yang telah terisi dengan fahaman agama yang mantap, maka budaya ikutan terhadap artis tidak akan berlaku.


"Dek alpanya ibu bapa, anak-anak dihantar ke pusat mengaji al-Quran, namun ibu bapa ini tak sedar, anak-anak ini kemudiannya melencong ke pusat-pusat komputer."
 
Mungkin itulah yang menyebabkan sesetengah ustaz sangat suka mendengar lagu rock atau mungkin lagu hip hop, namun kerana jiwa mereka yang memang telah diisi dengan agama yang secukupnya, maka mereka tidak terikut-ikut dengan artis yang diminati mereka. Agama itulah yang menjaga hati mereka.

Al-Quran punyai segala keajaiban. Dari kalam Allah inilah, segala ilmu dunia dapat diteladankan. Keajaiban tercipta bila kajian dilakukan. Jika didalami dengan sepenuhnya, maka segala masalah dunia ini dapat diselesaikan. Dari al-Quran jugalah, segala penyakit mampu disembuhkan. Sihir juga dapat ditepiskan, begitu segala macam penyakit moden yang muncul di akhir zaman ini.

Bila membaca al-Quran, percayalah ketenangan hati dapat dirasakan. Bagi menambah lagi kenikmatan membaca al-Quran, buat mereka yang tak menguasai Bahasa Arab, maka tambahkan masa membaca pula terhadap tafsir al-Quran. Maka akan timbullah kecintaan terhadap mukjizat Rasulullah ini.

Rasulullah pernah bersabda:

Perumpamaan orang mukmin yang membawa al-Quran ialah seperti perumpamaan buah utrujan (mirip buah semangka), baunya harum dan rasanya manis
(Hadis Riwayat Muslim)

Maka amalkanlah membaca al-Quran. Jadikan amalan harian. Bacalah hatta walaupun cuma satu ayat sahaja, pastikan setiap hari anak-anak muda ini membacanya. Bila membaca al-Quran menjadi amalan harian, percayalah sinar cahaya menyinari kehidupan, dan kesesatan pasti suatu yang mustahil. Nikmat kemanisan hidup pasti dapat dirasai dengan kurniaan sebuah ketenangan.

Dalam al-Quran tersembunyi pelbagai rahsia, maka jika diselongkar rahsia itu pasti segala masalah yang membelenggu masyarakat hari ini akan dapat diatasi.

Penyudahnya, ibu bapa haruslah memantapkan anak-anak dengan menanamkan sikap cinta untuk mendalami al-Quran. Jika ibu bapa sendiri sekadar menjadikan al-Quran penghias dinding dan almari, maka rasailah generasi akan datang dengan keadaan mencari-cari identiti untuk menenangkan jiwa dan hati. Silap memilih penenang hati, maka hancurlah genarasi ini. Hakikatnya, al-Quran harus menjadi budaya dalam masyarakat keseluruhannya.

Al-Quran, penyuluh kehidupan sehigga ke akhir zaman.

Wallahualam.


*’Muhasabah Jumaat’ merupakan ruangan yang akan dipaparkan setiap Jumaat menerusi blog ini. Ruangan ini akan membicarakan pelbagai isu yang dibincangkan dari sudut agama.


Al-Quran keajaiban sehingga akhir zaman

Khamis, 9 Jun 2011

Pagi Khamis: 60 peratus hilang dara? Tak hairan pun......






Laporan akhbar beberapa minggu yang lalu ternyata memberi tamparan buat masyarakat hari ini yang dikatakan semakin maju. 60 peratus remaja perempuan hilang dara menjelang umur 18 tahun, itulah yang saya baca. Nak dikatakan terkejut, tak juga. Nak dikatakan menghairankan, hakikatnya tak dapat disangkal.

Itulah hasil kajian yang dibuat oleh Youthsay.com yang mendapatkan data dari 2 800 koreponden berusia dalam lingkungan 15 hingga 18 tahun. Daripada jumlah tersebut, 24 peratus mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan lima kekasih.

Hebat!

Kuat juga nafsu kaum hawa generasi baru ni. Belum cukup umur, dah pandai beraksi di ranjang. Harga diri tolak ketepi, dengan membiarkan tupai-tupai 'menebuk' sesuka hati. 'Kedai kopi' dibuka 24 jam ibarat rangkaian '7 Eleven' yang senantiasa bersedia 'berkhidmat' buat pelanggannya.

Kajian ini tidak menyatakan latar belakang agama koresponden, namun jika dilihat pada masalah sosial di negara hari ini, maka tak hairanlah jika disimpulkan, orang Melayu paling ramai terlibat.

Minggu lalu, saya ada selitkan kisah Blog Adinda (kini nama blognya dah bertukar pula), yang terang-terangan mengaku dah tiada dara. Ramai yang mencemuh, akhirnya pos kontroversi tersebut dibuang pemiliknya. Namun, tak lama kemudian, muncul pula posnya (betajuk 'Semak') yang memarahi semua yang mencemuhnya.

Katanya, dirinya bukan Islam pada IC sahaja. Namun, hakikatnya, jika dilihat pada perilaku budak mentah ini, maka semua orang boleh simpulkan, dirinya memang Islam pada nama.

Berbalik pada isu kehilangan 'dara' ini, saya tak hairan dan tak terkejut.

Dengan lambakan dan longgokan laman web lucah, nafsu kaum remaja ni memang mudah dirangsang. Itu belum masuk lagi dengan hiburan yang berbakul-bakul di televisyen. Belum lagi dicampur drama televisyen yang nampaknya kini banyak 'mengkhayalkan' remaja.

Artis bertudung pula beri contoh 'terbaik'. Bertudung, tapi 'tembikai' yang patut disorok didedahkan dengan baju yang ketat sehingga terbonjol jelas bentuk 'tembikai tersebut. Seluar ketat mencengkam bontot, sampai sekali pandang, macam bertudung tapi bertelanjang di bawah.

Maka, peminat fanatik artis bertudung 'contoh' ini pun ikutnya. Konon nak ikut fesyen terkini, tapi tak sedar dah hancurkan budaya menutup aurat yang sebenar. Sudahnya, aurat terdedah, sang jantan terliur, dan kemudian kisah disudahi dengan 'kegembiraan' berzina, atau kesedihan 'dirogol'.

Jiwa yang kosong, bila disogokkan hiburan, mungkin menggelincirkan remaja dari agama. Itulah bila agama tidak diisi dalam jiwa, dan diganti kekosongan itu dengan hiburan yang melampau.

Bagi saya penyelesaian terbaik adalah dengan memantapakan agama dalam diri generasi baru ini. Bila agama dah mantap, maka sukar anasir-anasir asing nak ganggu jiwa remaja ini kerana jiwa mereka dah terisi dengan kukuh agama. Bila agama dah kukuh, maka mereka dengan mudah akan patuh untuk menutup aurat dengan sempurna dan pada masa yang sama menjaga batas pergaulan. Bila aurat ditutup dengan sempurna, maka terhindarlah dari pintu-pintu zina itu terbuka.

Pokoknya, jika mahu 60 peratus ini diturunkan menjadi kosong peratus, maka ibu bapa atau bakal-bakal ibu bapa perlu mantapkan agama dalam diri, sebelum semaikan pula pada anak-anak mereka.

Sekadar bicara terlintas di pagi Khamis di Taman tasik Taiping


* "Pagi Khamis" adalah ruangan luahan pendek yang akan dipaparkan setiap pagi Khamis.


"Mummy, dulu mummy main dengan siapa?" tanya anaknya 20 tahun akan datang..... 
Apa nak jawab nanti dik ooi.......

Selasa, 7 Jun 2011

Sembang-sembang Selasa: Kawan yang mungkin menjadi lawan?









Dalam keterbukaan meluahkan segala perasaan, kadang kala telah melupakan tatacara dan kesopanan. Pena dikatakan tajam, hingga bila tikaman dilakukan, maka seluruh isi tubuh merasai kesakitan. Muncul penuh berbisa, bila sekali orang terasa, maka sepuluh kali sang penulis akan menderita. Biarlah ayat berbelit-belit, kerana dengan ayat bersimpul itulah, baru tiada siapa yang perasan akan mesej ‘direct’ yang ingin disampaikan.

Dia bukanlah seorang penulis terhebat sehingga tiada cacat celanya. Di awal perkenalan semasa dia masuk ke dalam dunia baru, dipenuhi manusia pelbagai tempat dari bermacam ragam kehidupan, harus diakui dia tidak punyai kemahiran yang tinggi untuk mencampuri ditambah pula usaha untuk bermesra. Hakikat itu, menjadikan dia tersilap langkah, bila medan tulisan dijadikan satu bentuk medan perluahan rasa.

Itulah dia yang dikenali oleh ibunya. Tulisan ibarat nadinya. Dari kecil hingga ke besar, titik-titik kisah itu dimainkan dengan mainan pena. Ibunya mengajarnya. Ayahnya memandunya. Atas situasi yang sama, lama kelamaan, waktu kecilnya yang sangat membenci sebuah penulisan akhirnya bertukar menjadi sebuah kecintaan.

Itulah yang memulakan tarian penanya buat pertama kali sewaktu usianya 14 tahun. Diariku Diarimu menjadi titik permulaan asahan menajamkan tulisannya. Pertama kali, cuba mencipta sebuah novel, walaupun dipenuhi dengan banyak perkongsian mengaibkan dirinya sendiri. Dua siri berikutnya dihasilkan, maka itulah muncul Cinderella Junior dan Romie and Juliet Junior. Dicabar sehabat-sahabatnya, dia menyatakan suatu kepuasan bila tulisannya itu dihargai.

Perjalanan permulaan itu diteruskan tahun demi tahun. Itulah menghasilkan Warisan, dan itulah juga melahirkan Kumajipakat. Berikutnya, naskah Cinta Thahirah mengambil tempat. Asahan demi asahan, kini dia dikatakan punyai suatu bakat menulis yang cukup menarik perhatian, sehingga dikhabarkan dia mampu sebaris dengan penulis terkenal.

Kata mereka itulah bunyinya....

Dek satu kisah disembunyikan, tak ramai yang tahu kisah sebenar yang berlaku, satu cabaran yang mungkin menghancurkan masa depan. Dia dihadapkan dengan sebuah kedengkian yang mengheretkan dia ke sebuah kisah kesuraman bertahun-tahun lamanya. Satu demi satu dugaan muncul, dan dia diibaratkan ‘bukan seperti orang’ oleh sahabat baik ayahnya sendiri. Setiap dugaan diibaratkan mustahil mencerahkan masa depan, namun hakikatnya perlahan-lahan ditempuhi melepasi dugaan dan memasuki pula sinar harapan.

Mungkin salah dia, lupakan dan abaikan tanggungjawab diberikan, sahabatnya mula melahirkan ketidakpuasan. Maka tulisan dijadikan medan sahabatnya, dan kemarahan dilempiaskan. Pagi itu dia membaca tulisan itu, maka bermulalah detik kesedihan dan kekesalan.

Dia tahu, sahabat dengan tulisan itu tak tahu kisah sebenar-benarnya apa yang terjadi padanya. Dia merasakan tak adil sahabatnya buat kesimpulan dan terus menghukum tanpa mengetahu cerita sebenarnya. Namun, dia tak ambil kisah, dalam hati maafkan sahaja, walaupun dah tawar hati dengan rakan ini.

Diluahkan rasa kecewa itu pada ibunya. Ibunya kemudian membaca tulisan rakan itu. Maka saat berikutnya selepas membaca, suara sebak diluahkan. Ibunya menangis tanda kepedihan. Kata ibunya, sungguh siapa tak tahu apa yang anaknya lalui dengan kepedihan lalu. Sebak ibunya, maka akhirnya, dia memutuskan, mulakan peperangan. Sahabat itu diisyhtiharkan musuh bermula saat ibunya titiskan air mata beserta tangisan. Baginya, sesiapa yang menitiskan air mata ibunya, maka orang itu adalah musuhnya.

Maka diputuskan segala hubungan. Perbualan dihentikan. Kemesraan ditiadakan. Sahabatnya itu dijauhkan. Ikrar diputuskan, jangan sama sekali menyambung kembali pertalian persahabatan dengannya.

Dia tahu, persahabatan itu sangat berharga. Namun dia tahu, ibunya tiada pertukaran. Hanya satu ibu, namun berjuta sahabat. Maka, sampai bila-bila, sahabat itu bukan lagi sahabat.

Saat itu juga, dia putuskan, cukuplah sebuah perkongsian di dalam tulisan. Tiada lagi luahan hati kerana mungkin itu melahirkan sebuah kemenyampahan mereka yang lain.

Sahabat rapatnya berkata: “Memang ada yang tak suka seorang penulis, namun akan ada lebih ramai yang sukakan penulis itu....”

Terima kasih sahabat MSS atas nasihat berguna itu.....


*Sembang-sembang Selasa adalah ruangan bebas untuk sebarang isu yang akan dipaparkan setiap hari Selasa dalam blog ini.

Ahad, 5 Jun 2011

Dari kaca mata: P. Ramlee bukan seorang legenda?

 Muhammad Yazid Rosly (yazidrosly_my@yahoo.com)







Minggu lalu, pada 29 Mei 2011, maka genaplah 38 tahun seniman agung P. Ramlee meninggal dunia. Anak kelahiran Pulau Pinang ini meletakkan dirinya dalam lipatan sejarah negara sebagai seniman yang terbaik yang pernah dilahirkan di negara ini.

Itu adalah fakta yang umum telah ketahui, diulang-ulang setiap tahun apabila tarikh 29 Mei muncul. Seringkali setiap tahun bila muncul sahaja tarikh tersebut, maka nama P. Ramlee diangkat setinggi yang boleh, dipuja, malah diagung-agungkan. Berulang kali, namun setakat itu sahaja usaha mengangkat beliau. Di akhirnya, industri filem negara masih belum berjaya meneladani perjuangan P. Ramlee dalam industri perfileman.

Jika dilihat kembali kesemua hasil dan buah tangan P. Ramlee, baik menerusi lagu-lagunya, mahupun menerusi filem-filemnya, keunikan tersendiri memang dapat dilihat. Ibarat menghasilkan dengan penuh makna dan tersirat, maka tidak hairanlah hasil seni dan buah tangan tangan P. Ramlee sehingga kini masih belum mencetuskan kebosanan bagi kebanyakan filem dan lagunya.

Mengapa filem P. Ramlee sehingga kini masih ditonton dan dikatakan masih relevan untuk dijadikan panduan dan pengajaran? Semuanya terletak kepada sentuhan halus dari P. Ramlee menghasilkan filem yang datang dari hatinya sendiri, dan bukannya sekadar menghasilkan filem berdasarkan keuntungan jangka pendek.

P. Ramlee di zaman mudanya


Bukan mahu merendah atau memperkecilkan anak-anak seni sezaman dengan P. Ramlee, namun jika dilihat pengarah filem sezamannya, seperti Mat Sentol, M. Amin, Hussain Haniff yang mengarahkan filem komedi ketika itu, dapatlah disimpulkan bahawa filem-filem komedi arahan Mat Sentol dan yang lain-lain itu tidak mempunyai kesan yang cukup mendalam jika dibandingkan dengan filem-filem komedi P. Ramlee. Buktinya, filem P. Ramlee seperti Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Nujum Pak Belalang, Tiga Abdul, dan banyak lagi filem lain masih terus ditayangkan hingga ke hari ini. Perlu diingat juga, P. Ramlee menghasilkan paling banyak filem berunsur komedi berbanding dengan pengarah filem yang lain pada waktu itu.


"Ibarat menghasilkan dengan penuh makna dan tersirat, maka tidak hairanlah hasil seni dan buah tangan tangan P. Ramlee sehingga kini masih belum mencetuskan kebosanan bagi kebanyakan filem dan lagunya"

Namun jika dilihat filem-filem komedi arahan pengarah sezamannya, seperti filem Tiga Botak, Dua Kali Lima, Mabuk Kepayang, dan beberapa filem lain, keberkesanan filem-filem ini tidaklah dapat bertahan untuk menggeletek penonton generasi hari ini. Mungkin komedi yang dipersembahkan lebih kepada komedi jangka pendek, yang hanya relevan pada zaman tayangan filem-filem tersebut. Maka tidak hairanlah, filem-filem komedi ini tidak lagi ditayangkan di televisyen.

Tahun 1960 hingga tahun 1969, menyaksikan era emas bagi filem Melayu. Ketika itu, kebanyakan filem berkualiti dihasilkan oleh studio-studio filem di Singapura. Era keemasan ini wujud disebabkan penerimaan baik penonton filem tanah air terhadap filem Melayu ketika itu. Malay Film Productions dan Cathay Keris Film merupakan dua syarikat pengeluar filem yang senantiasa bersaing sewaktu era tersebut. Pada zaman keemasan inilah, P. Ramlee menjadi anak seni bergelar pelakon, pengarah filem, penyanyi dan pencipta lagu. Inilah mungkin salah satu sebab mengapa P. Ramlee dengan mudah dapat mencipta nama pada era tersebut, sehingga berjaya menghasilkan filem-filem yang cukup menyengat walaupun ditonton berulang kali sehingga ke hari ini.

Keunikan P. Ramlee yang mempunyai bakat serba boleh menyebabkan beliau dengan mudah dapat memahami segenap ciri-ciri berkualiti bagi menghasilkan sesebuah filem. Maka tidak hairanlah, apabila menonton filem P. Ramlee, penonton dapat merasakan elemen lagu, jalan cerita, serta aspek lakonan yang bergerak selari dan sekata. Lagu dilihat bertepatan dengan jalan cerita, manakala lakonan pelakon pula dilihat diselami dengan baik oleh pelakon-pelakonnya.

Cuba lihat filem Semerah Padi atau mungkin juga filem Anakku Sazali. Menerusi filem Semerah Padi, filem kedua arahan beliau dan dianggap sebagai mahakarya P. Ramlee oleh pengkritik filem, aspek sinematografinya sangat dipuji. P. Ramlee telah mengambil contoh dari sebuah filem di Jepun bagi aspek sinematografinya. Itulah yang menghasilkan sinematografi yang cantik menerusi babak Aduka yang meredah hutan bagi mencari Dara yang hilang. Begitu juga bagi filem Anakku Sazali, lagu ‘Anakku Sazali’ yang diangkat menjadi lagu tema filem ini ternyata berjaya menyentuh jiwa penonton. Bait-bait dalam lirik lagu tersebut mempunyai makna yang cukup tersirat serta memberi mesej yang cukup mendalam kepada penonton.

Filem P. Ramlee juga, mempunyai banyak penyampaian mesej-mesej tersirat berserta sindiran-sindiran dan kritikan sosial. Penyampaian dan jalan cerita yang bersahaja, dan disulami pula dengan unsur humor menyebabkan setiap filem yang dihasilkan P. Ramlee memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat.

Lihat sahaja filem Seniman Bujang Lapok, P. Ramlee dengan sinis menyindir masyarakat Melayu ketika itu yang cukup percaya terhadap perkara-perkara tahyul. Sindiran ini dipaparkan menerusi babak Sudin yang membeli batu akik berharga RM10 yang kononnya punyai kuasa hikmat dari seorang penjual di kaki lima. Sudin percaya bahawa batu itu mampu membantu dirinya dan Ramlee mendapatkan wang dari manager mereka. Akhirnya keadaan sebaliknya berlaku apabila Sudin hanya memeroleh RM5 sahaja dari manager Kemat Hassan. Secara tersirat, P. Ramlee cuba menyampaikan mesej bahawa kepercayaan tahyul itu hanya akan mendatangkan kerugian sahaja.

Sebagai pengarah filem berbangsa Melayu kedua dalam sejarah filem Melayu


Dalam filem Bujang Lapok pula, babak Aziz mengintai suami isteri yang bergaduh akibat kesusahan yang dialami dek hutang yang banyak, kesan daripada belanja perkahwinan yang tinggi secara tak langsung mengkritik orang Melayu ketika itu yang taksub untuk bergolok gadai semata-mata mahu menjadikan majlis perkahwinan mereka meriah. Malah mesej ini masih boleh digunakan lagi untuk disampaikan kepada masyarakat hari ini. Kesan dari perbelanjaan tersebut, hutang suami tersebut belum selesai walaupun telah mempunyai enam cahaya mata.

Filem Musang Berjanggut juga mempunyai mesej yang cukup banyak disampaikan secara tersirat. Dialog-dialog perbualan antara Sultan Alam Syahbana dan Tun Nila Utama yang berbicara mengenai ‘perempuan’ dan ‘betina’ mempunyai elemen sindir yang cukup tinggi. P. Ramlee secara tak langsung memberi mesej kepada kaum wanita supaya menjaga maruah diri. Tun Nila Utama berpendapat bahawa perempuan itu memelihara maruahnya, manakala betina itu menjual maruahnya.

Sekadar memberikan beberapa contoh, jika mahu disenaraikan kesemua mesej yang disampaikan oleh P. Ramlee dalam setiap filemnya amatlah panjang jika ingin dihuraikan. Filem seperti Madu Tiga, Antara Dua Darjat, Penarek Becha, Sarjan Hassan, Anakku Sazali, Pendekar Bujang Lapok, sarat dengan mesej-mesej yang cukup berguna buat masyarakat. Malah, setiap mesej yang disampaikan itu masih lagi relevan dengan masyarakat zaman sekarang.

P. Ramlee merupakan pengarah filem berbangsa Melayu kedua selepas Haji Mahadi. Namun bezanya, P. Ramlee mengecapi kejayaan menerusi filem arahan pertamanya iaitu Penarek Becha, manakala kegagalan dihadapi Haji Mahadi menerusi filem arahannya iaitu Permata di Perlimbahan. Kejayaan P. Ramlee ini telah membuatkan dirinya ibarat ‘pisang panas’, menjadi rebutan produser filem.

Sekitar awal 60-an, itulah saat P. Ramlee berada di kemuncaknya. Filem-filem arahan dan lakonannya kebanyakkannya mencatat kutipan pecah panggung. Paling tidak dilupakan adalah kejayaan P. Ramlee menghasilkan filem komedi Pendekar Bujang Lapok yang menyaksikan kutipan filem Melayu tertinggi dalam sejarah ketika itu berjaya dicipta. 


"P. Ramlee merupakan pengarah filem berbangsa Melayu kedua selepas Haji Mahadi"



Malah P. Ramlee juga menempa nama apabila menerima banyak anugerah pengiktirafan. Menerusi Festival Filem Asia, beliau menerima beberapa anugerah. Pada  tahun 1956 (Lagu Terbaik- filem Hang Tuah),  tahun 1957 (Pelakon Lelaki Terbaik- filem Anakku Sazali), tahun 1958 (Fotografi Hitam Putih Terbaik- filem Sumpahan Orang Minyak), tahun 1959 (Filem Komedi Terbaik- Pendekar Bujang Lapok), tahun 1963 (Filem Komedi Terbaik- Nujum Pak Belalang), tahun 1964 (Filem Komedi Terbaik- Madu Tiga).

P. Ramlee dan Bat Latiff memegang trofi ketika di Festival Filem Asia tahun 1963 di Tokyo


Krisis berlaku di Malay Film Productions yang akhirnya menyebabkan P. Ramlee berpindah ke Kuala Lumpur. Bekerja di bawah Studio Merdeka, inilah saat kejatuhan dan kesuraman P. Ramlee. Kemerosotan ini berlaku atas dua faktor, iaitu sambutan penonton tempatan yang beralih kepada filem Indonesia dan filem Hindustan, serta teknologi yang ketinggalan digunakan di Studio Merdeka.

Maka tidak hairanlah, kualiti filem juga dilihat tidak begitu bagus. Namun, P. Ramlee masih berjaya menghasilkan filem yang terbaik seperti Masam-masam Manis, Anak Bapak, dan siri Do Re Mi. Namun, harus diakui filem Laksmana Do Re Mi kelihatan sangat meleret-leret, malah kualiti filemnya juga dikatakan agak mengecewakan. Perkara ini tidak menghairankan, kerana bajet bagi filem Laksmana Do Re Mi adalah yang terendah dalam sejarah P. Ramlee menjadi seorang pengarah.

P. Ramlee, S. Shamsudin, dan Aziz Sattar dalam filem Seniman Bujang Lapok


Dihujung hayatnya, P. Ramlee dilanda kesuraman. Pernah dihina oleh produser filem dan penerbit lagu, sehingga dirasakan tiada lagi harapannya dalam industri seni ini. Kesuraman inilah yang mencetuskan penciptaan lagu Air Mata Kuala Lumpur, namun lagu ini tidak sempat dirakamkan beliau sendiri. Lagu ini kemudiannya dinyanyikan oleh Saloma selepas P. Ramlee meninggal dunia.

Ibarat kata-katanya, “Aku akan hidup seribu tahun”, maka kini terbuktilah akhirnya. P. Ramlee diangkat menjadi lagenda seni, namun malangnya kesemua kemasyuran, pujian melambung tinggi itu tidak dapat dilihat sendiri oleh P. Ramlee.

Pernah diceritakan oleh rakan-rakan P. Ramlee, sewaktu di penghujung hayatnya, beliau hidup dalam kesusahan sehingga menyebabkan P. Ramlee terpaksa menjamah nasi dan telur, beserta kicap sahaja. Namun ada yang menyatakan bahawa kesusahan ini berpunca disebabkan P. Ramlee seorang kaki judi selain dikatakan kaki botol. Namun, dakwaan ini tidak dapat dibuktikan dan mungkin sekadar cubaan untuk merosakkan nama baik P. Ramlee.

Sayangnya, sewaktu P. Ramlee masih hidup, beliau dicaci dan dihina. Namun, apabila beliau telah tiada, maka pelbagai pengiktirafan diberikan dan kehebatan filemnya mula diperkatakan. Ramai mula menyedari kehalusan seni P. Ramlee yang sebelum ini tidak nampak. Ramai yang mula mengetahui, ketulusan lirik-lirik serta lagu-lagu ciptaannya.

Majlis pengebumian P. Ramlee


Lagu-lagu P. Ramlee pernah diambil oleh sebuah kumpulan orkestra dari Russia untuk dijadikan album orkestra mereka. Penghormatan yang diberikan ini, telah mengangkat P. Ramlee di mata dunia. Malah, di Russia juga, universiti di sana yang menawarkan kursus Bahasa Melayu, menggunakan lagu-lagu ciptaan P. Ramlee dalam pembelajaran mereka. Menurut seorang pensyarah di sana, menerusi lagu P. Ramlee, pelbagai perkataan Melayu yang mudah dapat dipelajari.

P. Ramlee juga telah dianugerahkan gelaran Tan Sri pada tahun 1990. Pada tahun 2005, gelaran Doktor diberikan pula kepada beliau seterusnya meningkatkan lagi taraf nama P. Ramlee.

Setelah 38 tahun pemergiannya, tiada seorang pun yang mampu mengambil tempatnya. Jika ada pun mungkin M. Nasir dan Afdlin Shauki sahaja yang berjaya mengikut sedikit jejak langkah beliau. Sebagai pelakon, pengarah, dan pencipta lagu, M. Nasir pernah mengarahkan filem Merah. Begitu juga dengan Afdlin Shauki yang berjaya mengarahkan filem Buli, Baik Punya Cilok, Sumolah, dan beberapa filem yang lain.

Foto terakhir P. Ramlee yang diambil beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia


Masyarakat harus belajar atas kesilapan yang lalu. P. Ramlee adalah satu kesilapan bagi masyarakat apabila segala hasil kerjanya tidak dihargai sebaiknya semasa hayat beliau. Maka, seharusnya masyarakat perlu menghargai setiap hasil seni penggiat-penggiat seni, terutama hasil seni yang berkualiti. Jangan biarkan sejarah berulang untuk kali kedua.

Jika soalan: “P. Ramlee bukan seorang legenda?” diajukan, maka sudah pasti semua akan mampu menjawab dengan menyatakan penafian terhadap soalan itu. Mungkin sepanjang zaman, P. Ramlee akan terus dikenang sebagai legenda seni tanah air negara.


*Penulis merupakan pelajar jurusan TESL di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan aktif dalam bidang penulisan. Kebanyakan hasil tulisannya dipaparkan menerusi blognya:
www.yazidrosly-mydablog.blogspot.com