Rabu, 27 April 2011

“Adina (Bicara Enam)”




“Ciuman sebuah bahagia bermula dengan langkahan pertama sebuah keberkatan. Bila rahmat pendamping si pencari bahagia, maka cita-cita kesenangan masa depan akan diberikan kurnia padanya. Ibarat menjadi burung di langit, bebas memilih kisah perjalanan, maka sebuah ikatan yang disambungkan itu adalah sebuah kebebasan. Debaran hati merentasi sempadan pertukaran kisah dari seorang pemimpin kepada pemimpin yang baru. Bila jari ditandakan, maka bermulalah kisah sebuah perubahan”

Permulaan menjadi sebuah kegilaan. Dalam menunggu debaran, maka kecelaruan berlaku. Abyatina bukan keliru tapi dia menjadi terkedu. Tidak pula serba salah, tapi terasa ada yang tak kena. Perjalanan diteruskan setelah kata putus ditetapkan. Pilihan telah dibuat, maka keberanian kini menemani. Hati telah diikat, dan pilihannya telah dinyatakan.

“Berapa lama keputusan kamu sebelum ditentukan pilihan itu?”

“Jika Allah nyatakan pilihan itu dengan jelas, sesaat pun tak mustahil untuk tentukan pilihan itu,” Abyatina membalas pertanyaan kakaknya, Raiqah.

“Jenis alien sangat berbeza. Satu dari Zarogoza dan satu lagi diperkenalkan Jeneral Mak Jah. Maka alien mana yang kamu pilih?”

“Alien ni dah bermutasi menjadi manusia yang telah berjaya menjajah seorang wanita dari kampung terpencil,” bicara Abyatina.

Maka kisahnya bermula dengan sebuah pengumuman rasmi dalam keramaian makan malam di malam Jumaat. Kenyataan ringkas menyebut bicara perjalanan masa depan Abyatina. Sebutan dengan jelas dengan hanya satu patah kata.

“Rizqullah”

Tersenyum si Raiqah kakak si Abyatina. Orang jauh dipilih dan Yaqzan menemui kekalahan penamat. Seluruh famili gemuruh hadiahkan tepukan. Makan malam penuh keriuhan dan kelazatan ibarat digandakan. Si gadis anak Ustaz Man telah bersuara. Pilihan diumumkan.

Maka alien Yaqzan berasal planet Zaragoza telah ditusuk hingga terasa ke dalam jantung. Degupan masih berbunyi, dan tanpa sebarang suara, UFO sedang menanti membawa si alien ni pulang ke planet asal. Zaragoza markasnya menjadi tempat tinggal Jeneral Khumaini, dan laporan telah disediakan. Maka hancurlah harapan Jeneral Khumaini untuk berjumpa George Lucas kerana kehilangan skrip bagi sekuel baru Star Wars. Yaqzan ketua angkatan telah menemui kegagalan.

Planet bumi kini diduduki Sarjan Rizqullah. Jeneral Mak Jah mengarahkan ikatan dengan seorang penduduk bumi. Maka anak gadis dengan nama Abyatina dipertemukan dengan Sarjan Rizqullah.

“Yeehaaa!!” jeritan dalam hati Abyatina muncul. “Alien tidak lagi mengganggu aku!”

Sarjan Rizqullah ditugaskan untuk menyebarkan keturunannya. Individu dengan kod nama Abyatina telah dipilihnya. Proses seterusnya ialah perjalanan pertunangan. Maka selepas itu barulah bermula perkahwinan. Keturunan bakal tercipta bagi proses seterusnya.

“Pastikan jari kamu dalam rupa terbaik menjelang hari itu. Pastikan cincin yang akan disarung menyukai jari kamu yang halus itu,” bicara Raiqah berseloroh dalam nada tersirat.

Perjalanan bergelar seorang yang akan dipertunangkan penuh dengan kisah berliku. Cabaran, bila pemilihan harus dilakukan, dan bila pilihan telah ditetapkan nasib si kecewa pasti amat berat untuk ditelan.

Hakikatnya, kisah naik angin Ustaz Khumaini adalah berdasarkan konklusinya yang salah tafsir. Kunjungan Rizqullah yang hanya sekadar mahu melihat wajah si Abyatina buat pertama kali telah dianggap satu perjalanan persetujuan dua belah pihak, bahawa Abyatina akan diikat dengan Rizqullah. Salah tafsir, maka Ustaz Khumaini nyatakan ketidakadilan buat si Yaqzan. Tiada perkhabaran diberikan pada Yaqazan, dan kini dalam senyap Rizqullah telah dipilih. Katanya, kecewa Yaqzan pasti terasa dek disorokkan perjumpaan itu.

“Mu fikir ini satu keadilan buat Rizqullah bila dia hanya diberi peluang untuk melihat wajah Abyatina buat pertama kali, dan Yaqzan itu pula setiap hari bukan sahaja melihat wajah Abyatina, malah dapat berbual dengannya. Adilkah itu buat Rizqullah?” balas Ustaz Man membalas lemparan tuduhan sahabatnya itu.

Hakikatnya, saat itu Abyatina tidak pun membuka mulut pada sesiapa. Pilihan telah ditetapkan, disampaikan pada Ustaz Man dan ibunya, namun keputusan itu tidak diketahui langsung oleh si Rizqullah yang berkunjung ke rumahnya.

“Berhati-hati dengan Yaqzan, kerana jika kekecewaan yang akan dihadapinya, maka kecewa itu adalah kecewa yang terbesar yang akan dirasainya,” bisik ibu Abyatina.

Saat itu juga barulah Rizqullah tahu, dia sebenarnya bersaing dengan seorang lagi pemikat hati. Yaqzan seteru tanpa diketahuinya.

Dimulakan majlis dengan bacaan doa serta selawat ke atas nabi, ucapan alu-aluan dimulakan oleh Ustaz Man. Menghargai kedatangan tetamu yang sangat dimuliakan, maka gurau senda si ayah Abyatina ini gamatkan suasana. Kehadiran tetamu dengan lima buah kereta beserta tiga belas dulang hantaran dibalas pula dengan sebelas dulang dari pihak si wanita, maka hasrat hati si Rizqullah dinyatakan oleh bapa saudaranya merangkap ketua rombongan.

Pantun berbalas pantun, senyum berbalas santun, gurau berbalas senda, gelak bersama canda, isi dinyatakan hati, jambatan ikatan direaliti, pertunangan sebuah saksi, persetujuan tersenyum di sisi, maka nyatakan akhiri, dia terima sampai dinihari, aku sampaikan berkati, kamu teruskan hasrat hati.

“Moga Allah berkati kamu dan moga Allah permudahkan hasrat kamu,” bicara Ustaz Man.

Abyatina tersenyum mengenangkan bicara itu. Pesanan si ayah pada malam sebelum hari pertunangan. Debaran terasa dan kini dia di bilik menanti untuk disarungkan cincin.

“Mantapkan hati dengan keimanan, moga kamu tiada debaran. Cekalkan hati dengan ketabahan, moga kamu penuh kesabaran. Mu tunggulah kemunculan si ibu Rizqullah yang akan bawa utusan sarungkan cincin ke jarimu,” bicara ibu Abyatina.

Dimulakan dengan salam diikuti dengan senyuman, maka ibu Rizqullah muncul perlahan-lahan masuk ke bilik. Abyatina menanti dengan kuntuman senyuman, maka dengan perlahan jari dihulurkan. Cincin disarungkan, maka lengkaplah sebuah pertunangan.

“Tenangkan hati, redakan jiwa. Jangan fikirkan kerisauan. Moga kamu menjadi sebahagian daripada kami. Selamat berbahagia menjalani kehidupan pertunangan” bisik ibu Rizqullah ke telinga Abyatina. Kuntuman senyuman dibalas kemudian.

Bermula kisah sebuah lembaran baru si Abyatina.

Dari jauh kelihatan Yaqzan tersenyum. Kalah dalam pertarungan bukanlah penghalang untuk menghadirkan diri dalam majlis pertunangan Abyatina. Penerimaan baik penolakan Abayatina beri kekaguman buat Ustaz Man. Maka dijemputnya Yaqzan beri hormat atas perjuangannya walaupun tidak menemui sebuah kejayaan. Hakikatnya, wajah tenang itu mungkin tak gambarkan apa yang terlindung sebenarnya.

Sepucuk surat dihulurkan. Disampaikan dari Mawaddah, adik Rizqullah buat Abyatina bakal kakak iparnya. Maka dibukakan surat itu dengan mata yang tenang membaca bicaranya.

“Bila sayang kamu dari aku?
Bila saat pertama wajahmu, diceritakan ibuku,
Saat cincin disarung dijarimu, tanda kamu tunangku.
Kata ibuku: Wajahmu tenang, cahaya, tanda patuh ibu dan bapamu.
Matamu berseri, tanda kamu menerima sepenuh hati.
Maka dari aku, sayang itu kamu terima.”


“Subahanallah....” Abyatina terkagum sekali lagi.

Kehidupan sebagai tunangan orang adalah sesuatu yang luar biasa. Manis dan indah, ditambah pula hilangnya bicara-bicara sumbang orang kampung. Tiada lagi dirasakan bahawa ayu dan cantik itu ibarat racun dalam hidupnya. Usikan dan gurauan buat jejaka-jejaka kampung telah senyap. Semuanya ibarat menghormati status si gadis ayu Ustaz Man ini. Kebanyakan meluahkan kekecewaan, gadis yang menjadi idaman hati kebanyakan si jejaka telah diambil hatinya. Kini seri kampung mula bertukar. Harapan memiliki Abyatina nan ayu tinggal kenangan. Status yang merubah segalanya.

Topik terhangat di kampung pastilah kisah kekalahan si Yaqzan dalam perjuangan mendapatkan Abyatina. Bicara-bicara kosong kadang kala diisi dengan suara-suara sumbang nyatakan pelbagai andaian atas kekalahan itu.

“Mungkin Yaqzan terlampau memaksa Abyatina...”

“Mungkin memang ada konspirasi Mak Jah dan Mak Cik Ros. Jatuhkan Yaqzan dan angkat Rizqullah sebagai pilihan mereka”

“Apakah Yaqzan tak ikhlas? Mungkin juga”

“Khabarnya Yaqzan tu alien dari planet Zaragoza...”

“Hah?”

Semua di warung tiba-tiba terkedu dan terkaku. Tiba-tiba Zabarjad adik lelaki Abyatina muncul dengan memberikan andaian yang pelik itu.

“Apa alien tu?” soal Pak Hambali.

Zabarjad sekadar membisu. Nada sinis mengenangkan kembali gelaran Abyatina kepada Yaqzan, tanda betapa Abyatina tidak menyukai anak Ustaz Khumaini itu. Bicara kebencian tentang sebab dan alasannya itu, langsung tidak dinyatakan Abyatina kepada sesiapapun.

“Saya nak ucapkan pada Ina semoga berbahagia sampai ke akhir hayatmu. Tahniah buat kamu, moga gembira selalu,” Yaqzan tersenyum meluahkan kata-kata buat Abyatina. Tiada kekecewaan, hanya perkongsian perasaan menumpang gembira.

Yaqzan menghulurkan tangan. Spontan, Abyatina menyambut tangan dihulur. Berjabat tangan dan kemudian genggaman tangan tidak dilepaskan Yaqzan. Mata orang-orang sekeliling terpaku. Gadis nan ayu bersalam dengan Yaqzan anak Ustaz Khumaini. Spontan yang mengundang seribu kecelakaan.

“Hoi, apa yang mu buat tu?” jerkah Ustaz Man. Kejutan dirasai Abyatina, menyebabkan dia terus memeluk Yaqzan. Suara tinggi ayahnya yang tak pernah didengar sebelum ini.

Dari bersalam, kini dinaiktaraf kepada peluk. Padah demi padah dicipta. Mulut demi mulut mula memperkatakannya. Fitnah mungkin terwujud. Hari pertunangan disulami dengan bicara tak manis.

“Ya, Allah. Apa yang kamu dah buat Abyatina?”

Bicara ibu Abyatina terkejut. Pelukan Abyatina dan Yaqzan berterusan melemahkan ibunya. Alien Zaragoza mencipta peperangan baru.


*Tamat sudah Bicara Enam*

Menyambung kisah di lain bicara...

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.

Rabu, 20 April 2011

“Adina (Bicara Lima)”




“Mewujudkan sebuah ikatan yang suci, dihadiahkan sebuah cabaran dan ditambahkan dengan sebuah ujian. Kekuatan ikatan bergantung kepada kekuatan hati. Ketabahan menjadi kunci, disulami dengan keimanan, makanya sebuah ikatan akan kekal sampai ke syurga. Indahnya bicara tentang sebuah ikatan, kasih sayang diselami sebuah belaian, hati dikongsikan beri kekuatan. Keindahan sebuah bicara, bila pilihan sebuah kepastian, bahagia menjemput dan akhirnya, kekuatan berserta kesyukuran terwujud dalam sebuah kehidupan. Allah itu Maha Pengasih buat si tabah yang kenal erti kesukaran dan sebuah persimpangan pilihan.”

“Maha Suci Allah. Sesungguhnya pandai benar kamu menulis,” bisik Abyatina.

Dilemparkan pujian atas sebuah penulisan. Surat yang dibuka akhirnya beri sebuah kekaguman. Penghasilan sebuah bicara ditujukan khas buat si Abyatina. Kejujuran disemaikan dalam sehelai kertas. Maka Rizqullah telah mewujudkan satu kekaguman. Ketulusan dalam sebuah penulisan. Tercipta sebuah pengenalan. Sedarlah Abyatina, minat sama dikongsi dengan Rizqullah. Pena dan kertas menjadi luahan kata-kata.

Kisah Mak Jah muncul dengan saingan dari Yaqzan. Tersenyum satu sama lain dengan bicara ironi, kerana hakikatnya masing-masing tahu sebuah pertandingan sedang dilalui mereka. Namun senyuman yang menguntum antara satu sama lain seolah-olah memperlihatkan bahawa mereka seperti tidak bersaing dalam mendapatkan hati Abyatina. Kisah Yaqzan cuba mengambil hati Abyatina, dan kisah Mak Jah cuba memujuk Abyatina buat si Rizqullah.

“Kemunculan mereka memeningkan aku dek terkeliru dengan sebuah keputusan,” bicara senyap Abyatina sebaik Mak Jah dan Yaqzan meninggalkan rumah.

“Kemunculan bawa rahmat tanda rezeki kamu bahawa jodoh itu adalah datang dari Allah, dan kamu punyai pilihan untuk memilih,” bisik ibu Abyatina ke telinga si Abyatina sebaik kesemua tetamu itu pulang.

“Pilihan di jariku untuk disusun mana yang dulu, mana yang kemudian,” bisik Abyatina.

Perjalanan menuju kisah pembahuruan. Menjelang sebulan kemudian, sepucuk surat muncul lagi. Bicara pendek. Rizqullah muncul lagi dengan sebuah sususan bicara.

“Allah Maha Besar....”

Abyatina tersenyum sambil matanya terpejam seketika. Nafasnya dilepaskan perlahan-lahan. Surat yang diterima itu telah dibacanya. Ringkas, namun bermakna.

“Bila sayang aku kepada kamu?
Bila orang tuaku bicara tentang kamu
Kata kamu terbaik buatku
Maka dari aku, sayang itu kamu terima.”


Luahan sebuah puisi, dilampirkan dalam sebuah surat nyatakan sesuatu yang tersirat. Kekaguman melanda Abyatina. Bicara puisi yang dijanjikan Rizqullah bahawa akan ada sambungannya. Langkah demi langkah disusun Rizqullah merapatkan hubungan dengan Abyatina. Walaupun tak pernah bersua, Abyatina dilanda debaran berbeza.

“Prang...”

Genggaman tangan terlepas. Gelas dibawanya jatuh tepat di atas lantai. Debaran terus dirasakannya. Gemuruh hati bercampur keresahan. Sebulan berlalu dengan sebarang kata putus tidak dinyatakan. Surat terbaru Rizqullah menghantui dirinya. Kemunculan Yaqzan tanpa diundang beri sebuah lagi kegelisahan.

“Mak Ina ada tak?” soal Yaqzan ringkas dari luar.

Perbincangan berlaku antara ibunya dan Yaqzan. Tidak tahu isi bicara mereka, Abyatina membiarkan sahaja. Keresahan yang melanda sepanjang hari itu sebaik menerima surat Rizqullah nyata beri kehairanan buat dirinya.

“Apakah puncanya?” bisik Abyatina.

Malam itu, Abyatina hanya membisu.

Bicara seterusnya, kisah senyuman menguntum yang tak henti-henti wujud di wajah Abyatina. Senyuman yang tidak tahu puncanya menghairankan semua. Ibunya membisu tak terkata. Tak tahu apa yang mahu dicakap, tak tahu apa yang ingin diluahkan. Petanda muncul, Yaqzan sekali lagi tiba tak diundang sambil tangan membawa beg plastik dipenuhi kuih.

“Alien ni lagi?” bisik Abyatina dengan tindakan separa sedar terus menghilangkan senyumannya sebelum ini.

Bagaikan tetamu tak dijemput, Abyatina naik ke atas. Bisu sahaja tanpa suara, namun bisu itu menangkap perhatian Yaqzan. Tersenyum sahaja Yaqzan.

Kisah seterusnya, Mak Jah kelam kabut berjalan menghapiri rumah. Terjerit sedikit memanggil ibu Abyatina. Nama Ros bergema di halaman.

“Mengapa?” soal ibu Abyatina.

Khabar dari Manjung, si Rizqullah katanya telah pulang sebentar. Dari Sabah perjalanan, kini berada di kampung halaman. Abyatina terkedu seribu bahasa dan Yaqzan pula pula tunduk tanda kecewa. Pertarungan hari ini, Yaqzan diketepikan, Rizqullah menjadi juara.

“Rizqullah akan datang melawat Abyatina,” bicara Mak Jah.

Hari itu senyuman bertambah mekar. Abyatina senang hati tanpa dirancang. Hati lapang jiwanya tenang. Kembalikan ceria di sebalik tekanan kisah lama. Bicara hati telah bersuara, maka keputusan telah diletakkan. Bicara seterusnya, ditujukan pada ayahnya. Waktu dicari disusun ayatnya. Akan disampaikan pada si walinya.

“Maka kamu yakin dengan keputusanmu?” soal Ustaz Man lemah lembut pada Abyatina.

“Lillah hita’ala...” balas Abyatina ringkas.

Ibu Abyatina tersenyum. Hati senang dirasai si ibu. Si anak telah putuskan sesuatu. Masa depan telah dinyatakan. Pilihan telah disuarakan. Kini tinggal bicara keizinan ayahnya pula.

“Maka jika itu keputusan kamu, kamu mendapat keredhaanku....” balas ayahnya.

“Moga keberkatan dari kami bahagiakan pilihan kamu,” tambah ibu Abyatina pula.

Bukan mudah bila luahkan keputusan. Namun semuanya mudah bila langkah pertama dilakukan. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, kemunculan Rizqullah beri satu petanda. Yaqzan yang selalu muncul di rumahnya turut beri petunjuk, inilah jawapannya. Debaran hilang. Kini susunan perjalanan Abyatina menuju masa depan.

Keesokannya, perancangan telah diatur. Kedatangan Rizqullah yang berhajat mahu melihat Abyatina secara dekat diizinkan Ustaz Man. Mak Jah jadi pengatur. Persediaan telah dibuat. Tetamu yang bakal datang disambut dengan setinggi darjat. Meraikan hajat murni melihat Abyatina. Hari ini Abyatina dan Rizqullah bakal bertentang mata. Bicara pertama bakal diluahkan.

Bicara dimula dengan salam dan selawat. Maka kedengaran suara seorang lelaki bertemankan ibu bapanya. Mak Jah di tepi berikan senyuman. Maka dinyatakan pada Ustaz Man, inilah tetamu dinanti. Penuh senyuman Rizqullah tenang menghulurkan tangan pada Ustaz Man. Sambil bersalam, ucapan diberikan.

“Assalamualaikum moga sihat selalu”

Abyatina mengintai di sudut dapur. Wajah manis si Rizqullah menggetarkan jantungnya. Hidung mancung berkulit cerah dan petah berbicara. Maka perwatakan pandang pertama dari kaca mata Abyatina, Rizqullah kualiti terbaik. Terketar seketika tangannya. Sudu berisi gula tertumpah ke lantai. Ibu Abayatina menyedari. Terus diambil sudu tersebut.

“Perkenalkan dirimu pada Rizqullah,” kata ibunya.

Pagi itu, suasana sangat mendamaikan. Sesi perkenalan keluarga Rizqullah dan keluarga Abyatina berlangsung. Kedinginan pagi itu dinikmati dengan senyuman yang menguntum di setiap wajah dalam rumah itu. Ketika itu jugalah Abyatina muncul di ruang tamu. Rizqullah terkedu seketika. Membisu secara tiba-tiba sambil mata tunduk malu.

“Perkenalkan dirimu kepada Abyatina, Rizqullah,” pinta Ustaz Man buat si Rizqullah.

Pertemuan di hadapan hadirin yang lain ternyata beri satu keunikan dan keberkatan. Hanya sekadar melihat wajah Abyatina beberapa minit diikuti dengan beberapa patah kata bertanya pada Abyatina, maka Rizqullah kemudian membisu.

“Kamu sihat?” soal Rizqullah dan itu sahajalah yang disuarakannya kepada Abyatina.

“Alhamdulillah,” Abyatina tersenyum menjawab pertanyaan. Mengundurkan diri dan kemudian kembali ke dapur.

Setenang air di tasik, rupanya bergelora tiba-tiba. Setenang pagi yang penuh kemesraan rupanya bertukar sebaliknya. Maka sebuah goncangan berlaku. Kemunculan Ustaz Khumaini merubah suasana.

“Assalamualaikum”

Ustaz Man keluar menyambut tetamu mengejut itu. Kedatangan Rizqullah yang disambut baik keluarga Abyatina meresahkan Ustaz Man. Api mula dicucuh tanpa disedari.

“Ini kamu kata keadilan buat semua?” lantang soalan diluahkan Ustaz Khumaini. Seluruh isi rumah mendengar bicaranya.

“Tetamu yang datang, harus disambut dengan baik,” balas Ustaz Man.

“Mu memang pendusta!”

Ustaz Man terkedu. Abyatina terkejut. Ibunya pula mengurut dada. Rizqullah mengerutkan dahi kehairanan. Mak Cik Jah terduduk kembali. Kemarahan pagi melemahkan kesemuanya. Amarah Ustaz Khumaini, ayah Yaqzan tiba-tiba menghilangkan seri pagi.

“Ya Allah.....” bisik Abyatina kegentaran.


*Tamat sudah Bicara Lima*

Bicara berterusan untuk sambungan seterusnya....

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.

Isnin, 18 April 2011

Pakai inner, siapa kata tutup aurat?

Trend masa kini, pemakaian inner jadi kemestian buat setiap wanita. Tak salah, tapi terdapat sedikit teguran buat si wanita yang saya teladani dari majlis ilmu sewaktu cuti semester lalu di kampung halaman saya. Teguran seorang ustaz dalam majlis tersebut ada kebenarannya.

Inner selalunya akan dipakai apabila wanita itu berpakaian t-shirt lengan pendek atau mungkin apabila memakai baju yang kainnya jarang. Situasi dah menjadi trend dan lihatlah di mana-mana pun, semua mengikut budaya memakai inner ini. Namun soalnya kini apakah pemakaian inner ini dibolehkan dalam Islam? Apakah inner ini terjamin menutup aurat buat si wanita?

Inner tidak menutup aurat. Itu yang harus diakui. Peranannya sebenarnya sekadar menutup atau menyaluti kulit, bukan menutupi bentuk tubuh dan bentuk lengan. Maka, bila dipakai inner kerana t-shirt yang dipakai itu berlengan pendek, maka sebenarnya aurat itu masih belum ditutup. Inner itu hanya melitupi kulit, maka inner itu mengikut bentuk lengan. Jadi jika bentuk lengan kelihatan, maka aurat tak ditutup.

Trend pemakaian baju berkain jarang, baik baju kurung mahupun kebaya memang telah menjadi ikutan kini. Pemakaian inner di dalam dikatakan telah sempurna untuk menutup kejarangan baju yang dipakai itu. Namun, inner itu mengikut bentuk tubuh. Pakaian yang nipis, kemudian di dalamnya dipakai inner, dan inner itu ketat mengikut bentuk tubuh, maka sia-sia sahaja jika tudung dipakai. Kalau dari jauh boleh nampak baju ketat yang dipakai di dalam, buat apa lagi pakai baju jarang di luar tu? Inilah yang Rasulullah kata, wanita di akhir zaman, berpakaian tapi telanjang.

Tak salah nak pakai inner. Namun tujuan itu dipakai bukanlah untuk menutupi kain yang tak cukup atau kain yang jarang, tapi sebagai keselamatan, dari situasi tak terduga. Manalah tau tanpa sengaja lengan baju kurung terselak, maka sekurang-kurangnya ada inner di dalam. Maka itu baru penggunaan sebenar inner. Mengelakkan dari aurat terdedah tanpa sengaja.

Begitu juga dengan baju yang jarang. Jika mahu juga pakai baju yang jarang, pastikan inner itu longgar. Jangan menampakkan bentuk tubuh. Sesetengah mereka pakai baju kurung jarang, inner di dalam dipakai dan hanya paras pinggang tak menutupi punggung dan terlalu ketat dan sendat. Maka terdedahlah aurat walaupun pakaian tutup litup. Bayangkan, pakai t-shirt ketat kemudian dipakai kain, dipakai tudung, dan kemudian keluar dari rumah. Bukankah nampak tak manis dan tak ayu lagi dengan berpakaian begitu? Itulah yang terjadi bila pakai baju kurung yang jarang kainnya, inner ketat di dalam.

Setiap bentuk tubuh wanita bila didedahkan, maka bayangan rupa wanita itu jika tak berpakaian oleh orang lain terhadap mereka akan lebih jelas. Hakikat harus diketahui, tubuh wanita itu setiap sudut punyai tarikan buat si lelaki, dan tarikan itu harus disembunyikan kerana tarikan itu adalah pencetus zina jika dituruti nafsu syahwat.

Inilah mesej yang diterima sewaktu majlis ilmu tersebut. Moga kaum wanita faham, tujuan sebenar inner itu digunakan.

Wallahualam.

Ahad, 17 April 2011

Thesis statement dalam contrast introduction, tapi tak lengkap,...

Berbicara dalam nada simple tapi punyai topic sentence yang mantap. Ibarat permulaan introduction dengan thesis statement dengan method broad statement atau mungkin method contrast. Topic sentence dihuraikan menerusi supporting details, dan beberapa example diberikan. Katakanlah kehidupan semudah itu untuk dirancang. Letakkan bentuk dan method perjalanan hidup, kemudian tentukan topic sentence yang akan dijadikan guide bagi matlamat hidup.

Foreshadowing, menyatakan masa depan pada seseorang walaupun nanti akan ada yang nyatakan, kamu terlalu sarcastic pada perjalanan kisah kamu. Jangan ambiguous bila bicara, nanti letakkan kekosongan yang tak ada content. Moral of the story, jangan letakkan terlalu tinggi cita-cita. Takut nanti jadi unpredictable, sehingga mungkin jadi surprise buat perjalanan masa depan.

Sedarlah, perjalanan tak semudah yang disangka. Sedangkan Rasulullah cerminan dan contoh buat kita, kisahnya penuh pancaroba, apatah lagi kita yang hina ini. Pembukaan kota Mekah dipenuhi dengan perjuangan dan kebijaksanaa, maka teladanilah dengan menjadi bijak terhadap perjalanan hidup kita.

Patuh kepada Allah, satu perkataan mudah, namun implementasinya bukanlah satu yang boleh dianggap senang. Dek keasyikan, kadang kala Allah itu di tangga dua. Cinta itu indah, namun jika terlalu dibelai, maka akan alpalah diri dari mengingati Allah. Harus kita sedar, cinta tangga pertama ialah cinta Allah, dan kedua cinta Rasulullah. Kekasih hati tiada dalam kamus hidup jika dua cinta utama itu diabaikan. Cinta agung terhadap kekasih ibarat kerajaan tak berpelembagaan, nampak hebat,namun akan hancur dengan mudah. Jika Allah diabaikan, maka rasailah cinta pendek tanpa rasa nikmat pun.

Tak ada nak kritik mana-mana pihak. Bercintalah dengan sesiapa pun. Itu hak masing-masing. Namun jagalah hati, jangan sampai mencium bau-bau zina. Hanya dengan sms sahaja tanpa sebab kukuh hanya mahu layan perasaan, maka bersiap sedialah, mungkin kita dah termasuk pintu zina.Memang Seronok berzina, dan memang nikmat tak terkata, tapi azab di hari muka, maka tanggunglah sendiri.

Soal aurat satu perkara sensitif. Bila direnung dari kaca seorang lelaki, saya yakin banyak nafsu syahwat si teruna dah terangsang dek melihat pelbagai fesyen si wanita yang kadang kala mengiurkan walaupun baju yang diapakai hanya baju kurung. Terus terang saya cakap, mata-mata yang meliar melihat setiap gerak tubuh wanita yang tak sempurna menutup aurat hanya mengharapkan satu sahaja. "Alangkah bagus dapat kunikmati tubuh-tubuh mereka ini...."

Iman bila kurang, maka kotor sahajalah pemikiran si lelaki.Nafsu membuak, silap-silap cuba memikat si wanita tubuh mengiurkan ajak bermalam bersama dengan menu utama adalah zina. Maka tundukkanlah sahaja pandanganmu, lindungi mata dari melihat tubuh si wanita. Pandangan sinis, benarlah kata Rasulullah, wanita adalah ahli neraka paling ramai berbanding lelaki. Tak mahu prejudis, tapi ini hakikat.

Bukan mahu bicara lagi perihal sendiri. Hentikan segala bicara mengundang seribu satu kurang senang. Ajaklah ke arah kebaikan. Lemparkan dirimu dengan segala perkongsian. Tiada lagi kisah yang ingin diungkapkan. Senyap sahaja dan santaikan diri.

Mengundang kemenyampahan orang dan haruslah berhati-hati. Kelemahan diri jangan dikongsi. Tak bermaya, maka sembunyikan diri. Insyaallah, musim hadapan, insan bebas tanpa tanggungjawab. Jawatan dicanang akan diketepikan.

Kekuatan seorang itu letak pada imannya. Kukuhkan iman lupakan semua. Jika ada yang menyatakan ketidaksukaan, jauhkan diri sahaja. Terlalu banyak kepeningan sampai tak tahu mana kewajaran.

Sama-sama insafkan diri mengubah mana yang kurang. Dekatkan diri dengan Allah dan jangan tinggalkan solat. Doalah, dan bertawakal. Penuhkan dada dengan iman. Kukuhkan iman dengan amal. Moga Allah bantu di bicara akan datang dengan mesej hanya berpaksikan niat "KERANA ALLAH TA'ALA"

17 April 2011, 12.00am, Kolej Za'ba, UPSI, Tanjung Malim

Selasa, 12 April 2011

Refleksi Sahabat Semester 2

Permulaan diakhiri dengan sebuah coretan....

Khabarnya, lama benar saya menyimpang dari landasan bicara. Ketajaman melebihi kelembutan. Entah, dalam kekurangan diri hadapi kesihatan yang tek menentu, maka bermulalah buah fikiran cetuskan permulaan.

Refleksi sahabat UPSI akhirin semester 2.

“Shahril Saibon”
Sahabat paling akrab dengan saya. Fikiran yang sama buatkan senang saya bergaul dengannya. Banyak yang boleh saya kongsikan buah fikiran dengan sahabat ini. Maka, tak hairanlah, ada pepatah disebut beberapa rakan lain nyatakan: “Di mana ada Shahril, di situ ada Yazid”

Memang banyak persamaan pemikiran dan aliran serta ideologi yang didukung termasuk dalam soal politik bolehlah saya nyatakan mempunyai keserasian. Nilai hormat dan nilai merendah diri kunci mengapa saya dan Shahril akrab. Kami banyak kongsikan kisah masing-masing, dari soal famili sampailah ke soal serius seperti politik dan akademik. Banyak perkongsian dan pemberian pendapat mengenai isu-isu tertentu dan yang penting perbincangan adalah sangat matang dan tidak bersifat kebudak-budakan.

Harus diakui, sahabat saya ini punyai minat yang sama dalam bidang penulisan. Malah aliran dan gaya penulisan juga hampir sama menyebabkan kami seringkali bertukar pendapat dan idea-idea baru dalam perbincangan bentuk tulisan. Saya kagum, kerana penulisannya cukup matang dan jarang untuk berjumpa individu sepertinya yang matang dalam penulisan.

Menyentuh soal nilai tolong menolong, harus diakui saya dan sahabat ini seringkali mengamalkan prinsip ini. Kadang-kadang saya belanja makan, kadang-kadang sahabat saya yang belanja. Kadang-kadang dia teman saya (sanggup bawa saya dengan motosikal), hantar assigment, dan saya juga kadang-kadang temankannya hantar assignment. Hakikatnya, nilai tolong menolong antara saya dan sahabat ini sangat tinggi berbanding dengan sahabat lain.

Saya dan Shahril sahabat akrab, senantiasa ada walau susah dan senang.

“Izzat Fahmi”
Dulu memang tak rapat, namun bila dah jadi roomate saya, maka terserlah nilai murni yang banyak ada dalam diri sahabat ini. Harus diakui, sebelum ini saya tak nampak nilai tersebut, namun kini saya akui Izzat individu paling ringan jika sentuh soal menolong. Rajin tolong orang dan dia sangat peramah. Suka berkongsi kisah hidupnya dengan saya, dan saya suka mendengar kisahnya. Izzat individu yang jarang saya temui. Sifat rajin membantu ini buatkan saya kagum dan sangat menghormatinya. Bermulut manis dan pandai menarik perhatian, itu kelebihan Izzat.

“Ilyias”
Dulu saya akui tak rapat. Kini, Ilyias mula rapat dengan saya. Mungkin faktor bahasa (loghat) menyebabkan pada permulaan saya sukar nak rapat dengan dia. Ilyias seorang yang boleh bawa ke tengah dan ke tepi. Boleh dan mudah dibawa berbincang. Senantiasa ketawa dan senyum dan jarang bermasam muka. Seorang yang selalu berterus terang, maka saya tak pernah berprasangka dengan Ilyias.

“Firdaus a.k.a Daus”
Daus paling menarik adalah kesenyapannya bila di rumah. Selalu mengadap laptopnya bermain Dota. Namun, kesenyapannya itu disertai dengan kerajinannya untuk mengemas rumah. Rajin dia menyapu dan kadangkala mencuci tandas. Saya akui, Daus ada kematangan dalam soal pengurusan diri. Satu lagi yang menarik, Daus suka menyanyi bila di rumah dan suaranya pun tak mengecewakan untuk didengar. Ya, inilah Rocker Kapak 405.

“Maghfur”
Roomate saya semester lepas, dan kini masih lagi serumah. Seorang yang sangat teliti serta sangat rajin mengemas rumah. Kekalutannya menceriakan suasana rumah. Sangat rapat dengan Romie teman sebiliknya. Sangat bertanggungjawab terutama membabitkan komitmen dan kerja. Seorang yang punyai bakat untuk bercakap, dan tak hairanlah bila sahabat saya ini menyertai debat Bahasa Arab. Seorang yang selalu bercakap dalam nada yang lembut. Maka seseuai dengan peribadi seorang ustaz. Gilakan bolasepak, dan bila cakap soal itu, maka penuh semangat dia bercerita. Seronok juga dengar cerita bolanya.

“Romie”
Sahabat dari Sabah yang sangat popular dalam kalangan pelajar UPSI. Siapa yang tak kenal Romie Abbas? Semua akan tahu. Popularitinya ini buatkan Romie senantiasa mendapat perhatian walau di mana dia berada. Fanatik dengan anime Jepun dan siri Kamen Rider, inilah keunikan yang ada padanya. Seronok bila dengar Romie bicara tentang Kamen Rider. Penuh semangat sampai saya sendiri mula berminat nak menontonnya. Punyai kepimpinan yang mantap, saya yakin pada masa akan datang dia akan menjadi seorang pemimpin masyarakat. Mudah mesra dengan orang dan yang paling penting, Romie merupakan pelawak yang senantiasa menggelikan hati rakan-rakannya. Unsur humor ini adalah tarikan dan trademark buat Romie. Rindu saya nanti semester depan bila dia tinggal di luar.

“Kashfi”
Sahabat akrab Maghfur yang sekepala dengan rakan saya itu. (Ibarat saya dan Shahril). Ke mana Maghfur ada, di situ ada Kashfi. Orangnya sangat matang dan terlihat jelas bakat kepimpinannya. Agak pekat loghat Kedahnya dan kalau tak dengar betul-betul, mungkin tak faham. Sangat mesra dan memang punyai ciri-ciri pemimpin yang mampu membawa agama sebagai asa perjuangan.

“Arshad”
Ketinggiannya setinggi impiannya. Seorang yang berani bercakap di depan dan fasih berbahasa Inggeris. Mudah diajak berbual dan dia sering berkongsi kisah hidupnya. Arshad sangat menghormati pendapat orang lain dan jika berbeza pendapat, dia tak pernah menyatakan bahawa pendapat orang lain salah. Dia mampu bersendirian dan seorang yang independent. Merupakan “periuh” suasana.

“Yuvin”
Sahabat India saya berasal dari Batu Caves. Menarik tentang sahabat ini, dia mudah diajak berbual. Bila mula berbual, Yuvin memang sangat mesra. Dia akan beri sepenuh perhatian bila saya cakap, dan tak pernah tunjukkan rasa tak suka. Dia akan cuba ikut tajuk perbualan. Nilai hormat pada orang lain sangat tinggi, dan itu menyebabkan jika Yuvin memohon pertolongan, saya ringan untuk membantu.

“Syafiq”
Dari Terengganu. Seorang yang punyai pendirian yang teguh. Sukar untuk ubah apa-apa pendiriannya. Maka bolehlah saya katakan Syafiq mempunyai jati diri yang utuh. Bijak berkata-kata dan personalitinya cukup disenangi orang lain. Saya memang suka bersahabat dengan Syafiq walaupun sekarang agak jarang ketemu. Kadang-kadang saya terbayang kembali semester lepas sewaktu saya sangat rapat dengan Syafiq. Ah, tak mengapa kerana saya sangat hormat padanya.

“Izwan”
Sahabat Shahril pelajar Bahasa Melayu. Saya senang berkawan dengannya sebab dia seorang yang sangat sporting dan mesra. Gurauan yang dilemparkan senantiasa bersahaja dan dalam nada selamba. Sangat menghormati saya dan selalu menyenangkan hati saya. Tersenyum saja bila lihat Izwan.

“Nazrul”
Roomate Shahril berasal dari Parit Buntar, tak jauh dari rumah saya di Taiping. Loghatnya yang hampir sama dengan saya buatkan saya mudah bergaul dengannya. Nazrul seorang yang lemah lembut dan tak pernah tinggikan suara. Sejuk je bila dengar dia berkata-kata. Seorang yang mempunyai bakat dalam seni suara, memang diakui Nazrul boleh pergi jauh jika dia terus mengekalkan seni suaranya itu. Intelligent yang tinggi, saya akui Nazrul memang nampak sebagai pelajar cemerlang.

“Fitri”
Sahabat yang memang sangat humor. Setiap kali bicara, pasti buat saya tersenyum atau ketawa. Seorang lagi sahabat yang senangkan hati saya. Perwatakannya senantiasa ceria dan suka berterus terang. Fitri senantiasa bercerita kisah negeri Selangornya. Bersemangat pula nak melawat tempatnya.

“Abang Saifullah”
Bekas Timbalan Pengerusi Rakan Surau. Tempatnya kini diganti saya. Mula rapat bila saya sertai Rakan Surau sewaktu saya dilantik menjadi Exco Akademik Rakan Surau. Saya mula kenali abang Saifullah sewaktu mengunjungi rumah Syafiq yang kebetulan dikunjungi juga abang Saifullah. Seorang yang sangat baik dan perihatin selain punyai unsur humur kerana mampu punyai kuasa untuk bergurau. Seorang yang punyai ciri-ciri pemimpin yang cukup utuh, dan saya yakin abang Saifullah mampu menjadi pemimpin yang berkualiti. Tapi dah rindu sekarang, sebab abang Saifullah dah tak tinggal lagi di KZ.

“Faisal”
Sahabat Rakan Surau sejak semester satu, Faisal peribadinya memang sangat warak. Setiap inci kehidupannya ternyata hanya beteraskan perjuangan terhadap Islam. Saya suka berbual dengannya kerana setiap inci bicaranya punyai isi yang mampu dimanfaatkan. Harus diakui, jika ditanya siapa pengganti terbaik bagi Pengerusi Rakan Surau sekarang, maka jawapannya ialah Faisal. Ya, dia terbaik dalam pengurusan setiap aktiviti yang dianjurkan. Faisal tahu bagaiaman untuk menguruskan program yang ingin dibuat. Walaupun tak terlalu rapat, namun saya bersyukur berkenalan dengannya.

“Saiful Islam”
Sahabat rapat Faisal, juga merupakan ahli Rakan Surau merangkap Exco Publisiti Rakan Surau. Nada percakapannya senantiasa rendah. Sejuk saja kalau berbual dengannya. Tak pernah melenting. Sangat ramah dan senang bergaul dengannya

“Aizat”
Sahabat gila-gila rakan seangkatan TESL. Ya, kegilaan sahabat ini menceriakan saya. Suka dinyatakan, Aizat adalah individu yang senantiasa ceria terhadap semua orang. Namun, dia mempunyai nilai hormat. Kalau berbual dengannya, mungkin nadanya macam bergurau, tetapi isinya tetap ada. Sebab itu saya suka berbual dengannya. Soal kepimpinan? Ya, Aizat mampu memimpin sebuah perkumpulan. Percayalah kata-kata saya.

“Adina”
Sahabat rapat dari Sabah. Maka Adina saya dapat simpulkan merupakan seorang sahabat yang mampu membantu saya sewaktu susah. Mengapa? Biarlah Adina sahaja yang tahu apa maksudnya. Seorang yang ambil berat pada sahabatnya, dan akan cuba membantu jika boleh. Seorang yang agak pendiam, namun bila diajak berbual, maka mudah sahaja dia bercerita. Nampak kelihatan manja dan mungkin kelihatan bergantung pada seseorang, namun hakikatnya Adina seorang yang berdikari. Selalu bersendirian namun saya tahu, ramai rakan bersamanya.

“Lisa”
Sahabat karib dari Sarawak yang sangat ceria. Mudah tersenyum dan mudah ketawa. Jarang masam muka dan selalu buatkan orang lain senang hati. Mudah mesra dengan orang dan itu buat orang yang baru kenal tak kekok berkawan dengannya. Gilakan Korea, maka saya kadangkala terhibur juga dengan gelagatnya yang sangat terujua bila bicara soal hiburan dari Korea. Mudah kelam kabut dan mudah menjadi risau. Tapi bila buat kerja, agak teliti orangnya.

“Syuhadah a.k.a Syu Comel (katanyalah....)”
Saya kenal secara kebetulan. Nama yang meniti di bibir rakan-rakan saya semester lepas dek satu kontroversi yang kononnya kaitkan saya dan Syu ada hubungan tertentu. Semuanya bermula dengan gambar berdua yang diambil sewaktu sesi fotografi untuk kelas Reading saya. Sejak kes tersebut, saya jadi takut nak rapat dengan Syu. Lama kelamaan saya jauhkan diri dari Syu. Kesannya, kini saya dah Syu dah tak semesra dulu. Selisih pun dah tak tegur. Ah tinggalkan kisah tu, bicarakan tentang perwatakan Syu. Sangat ceria dan senantiasa kelihatan gembira. Pantang diusik dengan gurauan, maka dengan pantas juga Syu cuba menepis dengan muncungkan mulut atau jelingkan matanya. Kelihatan agak kelam-kabut dan senantiasa berkepit dengan sahabat rapatnya Mardiana a.k.a Nana. Seorang yang independent dan sangat bertanggungjawab. Saya kagum dengan ketelitian Syu lakukan kerja dan yang pasti tak pernah saya lihat Syu kelam kabut sebab tak siap kerja. Ah, rindunya saya dengan sahabat ni. Dah jarang saya berbual dengannya. Entahlah, mungkin keadaan dah berubah.

“Ainun”
Sahabat dari Kedah. Seorang yang banyak bercakap. Bila bicara, macam-macam kisah akan diceritakan. Ibarat tukang cerita, ramai juga yang mendengarnya. Saya kadang-kadang tersenyum sendirian dek terhibur dalam hati. Kemunculan Ainun ibarat matahari yang menyinari suram kerana bila muncul saja dia, maka kecaoh dan cerialah suasana. Agak bagus dalam pertuturan, dan yang paling penting sangat hormati rakan-rakan yang lain.

“Ainin”
Muka cutenya paling menangkap perhatian saya. Dulu saya pernah nyatakan Ainin seiras Thahirah. Namun, setelah hampir dua semester, saya rasa mereka berdua tak sama. Saya suka tengok Ainin kerana dia seorang yang lemah lembut dalam percakapan. Walaupun kecil, namun dia seorang yang sangat berani. Rapat dengan Ashee, saya rasakan mungkin mereka sahabat karib. Sekarang dah jarang berbual dengan Ainin. Mungkin saya kekok dan tak reti berbual. Namun, dari jauh saya suka melihat perwatakannya. Walaupun jarang berkomunikasi jika dibandingkan dengan Romie, saya masih menganggap Ainin sebagai sahabat saya. Ya, Ainin seorang yang matang melebihi usianya. Saya sangat hormatkan dia. Dari jauh saya lihat, “wah bertuahnya tunangnya... bertuahnya anak-anaknya nanti....”

“Ashee”
Sahabat rapat Ainin ini punyai pesona tersendiri. Ashee jika dilihat dari segi penampilan memang seperti wanita lain, namun jika kenali lebih dekat, dia seorang yang unik dan jarang saya jumpa. Minatnya yang menggila pada siri Korea dan segala jenis hiburan Korea buatkan saya kagum pada sahabat ini. Saya hormati minatnya, kerana itu lebih bagus dari lakukan perkara-perkara yang tak elok. Sekurang-kurangnya dia tahu gunakan masa terluang. Ashee tak rapat dengan saya, namun saya tetap menganggap dia sebagai sahabat saya. Orang yang sangat ceria, bila bergabung dengan Ainin, gelagatnya selalu buatkan saya tersenyum sendirian.

“Yang”
Sahabat ini rakan rapat Ainin dan Ashee. Agak bersahaja dia ni. Saya suka lihat gelagatnya yang kadang kala agak kelakar. Sekali nampak macam tomboy, tapi sebenarnya tak pun. Memang tak rapat dengan saya, tapi saya masih anggap dia sahabat saya.

“Chan Pei Hua”
Orang tercantik. Itu yang boleh saya nyatakan. Kulitnya, paras rupanya, harus saya akui sangat lengkap untuk memegang gelaran cantik ini. Cukup fasih dalam Bahasa Inggeris. Saya kagum melihat kefasihannya.

“Fatin Rashidah”
Sahabat berasal dari Tanjung Malim. Terus terang saya cakap, saya tak rapat dengannya. Saya kenal pun menerusi Shahril yang selalu ceritakan mengenai Fatin ini. Orangnya sweet sangat. Saya kagum dengan caranya, walaupun dia pelajar TESL, namun dia tetap humble. Tak pernah tunjukkan diri yang dia pelajar TESL. Hanya di kelas sahaja dia berbicara English. Di luar, semuanya Bahasa Melayu. Orangnya peramah, dan saya selesa juga walaupun sekadar sekali dua berbual dengannya.

“Bella”
Punyai iras muka yang seakan sama dengan Pa’ah. Namun Bella berbeza perwatakannya. Bella adalah orang yang suka cakap terus terang dan tak berselindung. (saya pernah alami dulu bila ditegur Bella). Saya lihat Bella sangat ceria dan tak pernah tunjukkan wajah yang bermasalah. Menarik tentang Bella ini, dia seorang yang mudah untuk kita minta tolong (itu apa yang saya nampaklah...). Berani dan tak kisah dengan apa yang diperkatakan orang, maka saya simpulkan Bella punyai jati diri yang kukuh.

“Ann Aisyah”
Sahabat ini saya kenal dan mudah kenal dek namanya yang mewakili dua adik perempuan saya Ann a.k.a Adina dan Aisyah. Peribadinya kelihatan sangat manja. Ann sangat merdu suaranya. Pandai menyanyi dan sedap didengar. Pernah saya mendengar suaranya ketika sedang tunggu di dalam bas untuk ke PC. Memang kagum saya. Maka tak hairan dia boleh lepas beberapa stage untuk AF9 baru-baru ni. Personaliti yang menarik mengenai Ann ni, dia seorang yang berani menegakkan haknya serta berani bersuara jika memang terdapat kesilapan.

“Pa’ah”
Sahabat saya berasal dari Ampang ini sangat gilakan kamera. Itu apa yang saya lihat. Mungkin tak betul kot.... Mukanya so sweet.... manis saja, selalu tersenyum dengan orang lain. Pa’ah ni agak lembut bila bercakap, tapi melihat gayanya, dia ni agak berani juga. Pa’ah tua setahun dari saya, jadi kena panggil akak Pa’ah ni.... Namun yang penting, dia sangat mesra dengan kenalannya, dan tak pernah bermasam muka dengan orang lain. Cayalah Pa’ah!!!

“Hisyam”
Sahabat TESL berasal dari Tapah dan tua dua tahun dari saya. Maka apa yang boleh saya katakan, dia ni seorang yang sangat matang. Seronok berbual dengannya kerana saya rasa seperti saya sedang berbual dengan orang dewasa. Kematangan yang ada pada Hisyam buatkan saya sangat hormat dia selaku orang yang lebih tua. Seperkara lagi, Hisyam ni agak rapat dengan Sheera. Ada apa-apa ke Hisyam?...hmmmmm

“Nasha”
Sahabat TESL yang saya kenal menerusi kelas Linguistics dan kini menetap di KAB. Juga seorang ahli Rakan Surau memegang Exco Sukan dan Latihan Rakan Surau. Nasha sangat menghormati orang lain dan suka membantu. Walaupun kadangkala tak banyak bercakap, namun bila dalam meeting Rakan Surau, ada juga idea bernas yang disuarakannya. Mahir dengan komputer, dan selalu juga say jadikan Nasha sebagai tempat rujukan bila ada masalah dengan komputer.

“Nik Syafiq”
Rakan yang saya kenal disebabkan selalu ke surau, maka pelajar Sain Sukan ini ternyata sangat ramah. Walaupun pekat dengan dialek Kelantannya, saya sangat selesa bersahabat dengan hamba Allah ini. Nilai hormat terhadap rakan-rakan lain sangatlah tinggi. Malah sahabat ini juga seorang yang sangat pemurah kerana selalu belanja saya minum. Seorang yang cukup warak, maka Syafiq kadangkala menjadi tempat rujukan saya dalam soal agama. Insyaallah, semester depan saya tinggal serumah dengan Syafiq.

“Ayong”
Saya tak mengenalinya secara berdepan. Saya lebih rapat bersahabat dengan Ayong di Facebook. Ya, banyak diskusi telah kami lakukan terutama membicarakn mengenai masalah-masalah tertentu. Ayong seorang yang mempunyai pendirian yang tegas dan pada pandangan saya mempunyai kematangan dalam berfikir. Saya harus akui juga, sahabat ini antara pengikut setia bagi tulisan saya. Seperkara lagi, Ayong memang nampak cukup sempurna dari segi didikan agamanya.

“Aminuddin”
Menjadi Timbalan Rakan Surau kepada Pengerusi Rakan Surau, maka itulah permulaan persahabatan saya dengan Aminuddin. Inilah Pengerusi Rakan Surau al-Falah selaku pelajar semester lima Pendidikan Islam yang sebaya usianya dengan saya mempunyai personalitinya yang tersendiri. Orangnya low-profile, tak suka menonjolkan diri, tapi bila bekerja kualitinya sangat tinggi. Saya suka bekerja dibawahnya kerana kesederhanaan yang ditonjolkan. Ilmunya banyak tapi tak pernah nak sombongkan diri. Cakap lembut sahaja, tapi punyai ketegasan dalam bicara. Seorang pemimpin yang berkualiti.

“Abang Ridzuan”
Seorang lagi sahabat Rakan Surau saya pelajar jurusan Bimbingan dan Kaunseling. Maka, petah berkata-kata dan bijak menarik perhatian orang lain. Kemahiran komunikasi yang tinggi membolehkan dia mudah untuk berhubung dengan mana-mana pihak, baik pihak atasan ataupun bawahan. Seorang yang pandai bergurau dan bijak untuk buat orang lain ketawa. Harus diakui, Abang Ridzuan punyai tarikan sebagai bakal guru kaunseling.

“Amirah Adilah”
Sahabat TESL, yang pernah saya sebut di awal bicara tentang sahabat di UPSI. Memang saya tak rapat pun dengan Mira. Perkara yang paling saya kagum adalah cara pakaiannya. Sempurna dan sangat Islamik. Wajar jadi contoh buat para wanita yang inginkan anggun dan bergaya tapi pada masa yang sama menutup aurat dengan sempurna. Saya tak dapat nilaikan perwatakan Mira dengan jelas, namun saya tahu sahabat ini kelihatan seorang yang berani.

Maka panjang semua itu sudahkan dengan satu kesimpulan tajuk. Inilah “Refleksi Sahabat Semester 2”

Akhir bicara, “Saya sayang kamu semua selaku sahabat-sahabat saya”

p/s: bicara ini dah lama saya peram dalam komputer saya. Baru kini saya poskan di blog. Hampir sebulan dah diperam.

11 April 2011, 11.28pm.
Kolej Za’ba, UPSI, Tanjung Malim.



Gambar sekadar hiasan, kerana gambaran saya buat kesemua sahabat saya, kalian seindah dan semanis adik saya ini (Adina a.k.a Ann). Kamu adalah terbaik buat saya.