“Adina (Bicara Enam)”




“Ciuman sebuah bahagia bermula dengan langkahan pertama sebuah keberkatan. Bila rahmat pendamping si pencari bahagia, maka cita-cita kesenangan masa depan akan diberikan kurnia padanya. Ibarat menjadi burung di langit, bebas memilih kisah perjalanan, maka sebuah ikatan yang disambungkan itu adalah sebuah kebebasan. Debaran hati merentasi sempadan pertukaran kisah dari seorang pemimpin kepada pemimpin yang baru. Bila jari ditandakan, maka bermulalah kisah sebuah perubahan”

Permulaan menjadi sebuah kegilaan. Dalam menunggu debaran, maka kecelaruan berlaku. Abyatina bukan keliru tapi dia menjadi terkedu. Tidak pula serba salah, tapi terasa ada yang tak kena. Perjalanan diteruskan setelah kata putus ditetapkan. Pilihan telah dibuat, maka keberanian kini menemani. Hati telah diikat, dan pilihannya telah dinyatakan.

“Berapa lama keputusan kamu sebelum ditentukan pilihan itu?”

“Jika Allah nyatakan pilihan itu dengan jelas, sesaat pun tak mustahil untuk tentukan pilihan itu,” Abyatina membalas pertanyaan kakaknya, Raiqah.

“Jenis alien sangat berbeza. Satu dari Zarogoza dan satu lagi diperkenalkan Jeneral Mak Jah. Maka alien mana yang kamu pilih?”

“Alien ni dah bermutasi menjadi manusia yang telah berjaya menjajah seorang wanita dari kampung terpencil,” bicara Abyatina.

Maka kisahnya bermula dengan sebuah pengumuman rasmi dalam keramaian makan malam di malam Jumaat. Kenyataan ringkas menyebut bicara perjalanan masa depan Abyatina. Sebutan dengan jelas dengan hanya satu patah kata.

“Rizqullah”

Tersenyum si Raiqah kakak si Abyatina. Orang jauh dipilih dan Yaqzan menemui kekalahan penamat. Seluruh famili gemuruh hadiahkan tepukan. Makan malam penuh keriuhan dan kelazatan ibarat digandakan. Si gadis anak Ustaz Man telah bersuara. Pilihan diumumkan.

Maka alien Yaqzan berasal planet Zaragoza telah ditusuk hingga terasa ke dalam jantung. Degupan masih berbunyi, dan tanpa sebarang suara, UFO sedang menanti membawa si alien ni pulang ke planet asal. Zaragoza markasnya menjadi tempat tinggal Jeneral Khumaini, dan laporan telah disediakan. Maka hancurlah harapan Jeneral Khumaini untuk berjumpa George Lucas kerana kehilangan skrip bagi sekuel baru Star Wars. Yaqzan ketua angkatan telah menemui kegagalan.

Planet bumi kini diduduki Sarjan Rizqullah. Jeneral Mak Jah mengarahkan ikatan dengan seorang penduduk bumi. Maka anak gadis dengan nama Abyatina dipertemukan dengan Sarjan Rizqullah.

“Yeehaaa!!” jeritan dalam hati Abyatina muncul. “Alien tidak lagi mengganggu aku!”

Sarjan Rizqullah ditugaskan untuk menyebarkan keturunannya. Individu dengan kod nama Abyatina telah dipilihnya. Proses seterusnya ialah perjalanan pertunangan. Maka selepas itu barulah bermula perkahwinan. Keturunan bakal tercipta bagi proses seterusnya.

“Pastikan jari kamu dalam rupa terbaik menjelang hari itu. Pastikan cincin yang akan disarung menyukai jari kamu yang halus itu,” bicara Raiqah berseloroh dalam nada tersirat.

Perjalanan bergelar seorang yang akan dipertunangkan penuh dengan kisah berliku. Cabaran, bila pemilihan harus dilakukan, dan bila pilihan telah ditetapkan nasib si kecewa pasti amat berat untuk ditelan.

Hakikatnya, kisah naik angin Ustaz Khumaini adalah berdasarkan konklusinya yang salah tafsir. Kunjungan Rizqullah yang hanya sekadar mahu melihat wajah si Abyatina buat pertama kali telah dianggap satu perjalanan persetujuan dua belah pihak, bahawa Abyatina akan diikat dengan Rizqullah. Salah tafsir, maka Ustaz Khumaini nyatakan ketidakadilan buat si Yaqzan. Tiada perkhabaran diberikan pada Yaqazan, dan kini dalam senyap Rizqullah telah dipilih. Katanya, kecewa Yaqzan pasti terasa dek disorokkan perjumpaan itu.

“Mu fikir ini satu keadilan buat Rizqullah bila dia hanya diberi peluang untuk melihat wajah Abyatina buat pertama kali, dan Yaqzan itu pula setiap hari bukan sahaja melihat wajah Abyatina, malah dapat berbual dengannya. Adilkah itu buat Rizqullah?” balas Ustaz Man membalas lemparan tuduhan sahabatnya itu.

Hakikatnya, saat itu Abyatina tidak pun membuka mulut pada sesiapa. Pilihan telah ditetapkan, disampaikan pada Ustaz Man dan ibunya, namun keputusan itu tidak diketahui langsung oleh si Rizqullah yang berkunjung ke rumahnya.

“Berhati-hati dengan Yaqzan, kerana jika kekecewaan yang akan dihadapinya, maka kecewa itu adalah kecewa yang terbesar yang akan dirasainya,” bisik ibu Abyatina.

Saat itu juga barulah Rizqullah tahu, dia sebenarnya bersaing dengan seorang lagi pemikat hati. Yaqzan seteru tanpa diketahuinya.

Dimulakan majlis dengan bacaan doa serta selawat ke atas nabi, ucapan alu-aluan dimulakan oleh Ustaz Man. Menghargai kedatangan tetamu yang sangat dimuliakan, maka gurau senda si ayah Abyatina ini gamatkan suasana. Kehadiran tetamu dengan lima buah kereta beserta tiga belas dulang hantaran dibalas pula dengan sebelas dulang dari pihak si wanita, maka hasrat hati si Rizqullah dinyatakan oleh bapa saudaranya merangkap ketua rombongan.

Pantun berbalas pantun, senyum berbalas santun, gurau berbalas senda, gelak bersama canda, isi dinyatakan hati, jambatan ikatan direaliti, pertunangan sebuah saksi, persetujuan tersenyum di sisi, maka nyatakan akhiri, dia terima sampai dinihari, aku sampaikan berkati, kamu teruskan hasrat hati.

“Moga Allah berkati kamu dan moga Allah permudahkan hasrat kamu,” bicara Ustaz Man.

Abyatina tersenyum mengenangkan bicara itu. Pesanan si ayah pada malam sebelum hari pertunangan. Debaran terasa dan kini dia di bilik menanti untuk disarungkan cincin.

“Mantapkan hati dengan keimanan, moga kamu tiada debaran. Cekalkan hati dengan ketabahan, moga kamu penuh kesabaran. Mu tunggulah kemunculan si ibu Rizqullah yang akan bawa utusan sarungkan cincin ke jarimu,” bicara ibu Abyatina.

Dimulakan dengan salam diikuti dengan senyuman, maka ibu Rizqullah muncul perlahan-lahan masuk ke bilik. Abyatina menanti dengan kuntuman senyuman, maka dengan perlahan jari dihulurkan. Cincin disarungkan, maka lengkaplah sebuah pertunangan.

“Tenangkan hati, redakan jiwa. Jangan fikirkan kerisauan. Moga kamu menjadi sebahagian daripada kami. Selamat berbahagia menjalani kehidupan pertunangan” bisik ibu Rizqullah ke telinga Abyatina. Kuntuman senyuman dibalas kemudian.

Bermula kisah sebuah lembaran baru si Abyatina.

Dari jauh kelihatan Yaqzan tersenyum. Kalah dalam pertarungan bukanlah penghalang untuk menghadirkan diri dalam majlis pertunangan Abyatina. Penerimaan baik penolakan Abayatina beri kekaguman buat Ustaz Man. Maka dijemputnya Yaqzan beri hormat atas perjuangannya walaupun tidak menemui sebuah kejayaan. Hakikatnya, wajah tenang itu mungkin tak gambarkan apa yang terlindung sebenarnya.

Sepucuk surat dihulurkan. Disampaikan dari Mawaddah, adik Rizqullah buat Abyatina bakal kakak iparnya. Maka dibukakan surat itu dengan mata yang tenang membaca bicaranya.

“Bila sayang kamu dari aku?
Bila saat pertama wajahmu, diceritakan ibuku,
Saat cincin disarung dijarimu, tanda kamu tunangku.
Kata ibuku: Wajahmu tenang, cahaya, tanda patuh ibu dan bapamu.
Matamu berseri, tanda kamu menerima sepenuh hati.
Maka dari aku, sayang itu kamu terima.”


“Subahanallah....” Abyatina terkagum sekali lagi.

Kehidupan sebagai tunangan orang adalah sesuatu yang luar biasa. Manis dan indah, ditambah pula hilangnya bicara-bicara sumbang orang kampung. Tiada lagi dirasakan bahawa ayu dan cantik itu ibarat racun dalam hidupnya. Usikan dan gurauan buat jejaka-jejaka kampung telah senyap. Semuanya ibarat menghormati status si gadis ayu Ustaz Man ini. Kebanyakan meluahkan kekecewaan, gadis yang menjadi idaman hati kebanyakan si jejaka telah diambil hatinya. Kini seri kampung mula bertukar. Harapan memiliki Abyatina nan ayu tinggal kenangan. Status yang merubah segalanya.

Topik terhangat di kampung pastilah kisah kekalahan si Yaqzan dalam perjuangan mendapatkan Abyatina. Bicara-bicara kosong kadang kala diisi dengan suara-suara sumbang nyatakan pelbagai andaian atas kekalahan itu.

“Mungkin Yaqzan terlampau memaksa Abyatina...”

“Mungkin memang ada konspirasi Mak Jah dan Mak Cik Ros. Jatuhkan Yaqzan dan angkat Rizqullah sebagai pilihan mereka”

“Apakah Yaqzan tak ikhlas? Mungkin juga”

“Khabarnya Yaqzan tu alien dari planet Zaragoza...”

“Hah?”

Semua di warung tiba-tiba terkedu dan terkaku. Tiba-tiba Zabarjad adik lelaki Abyatina muncul dengan memberikan andaian yang pelik itu.

“Apa alien tu?” soal Pak Hambali.

Zabarjad sekadar membisu. Nada sinis mengenangkan kembali gelaran Abyatina kepada Yaqzan, tanda betapa Abyatina tidak menyukai anak Ustaz Khumaini itu. Bicara kebencian tentang sebab dan alasannya itu, langsung tidak dinyatakan Abyatina kepada sesiapapun.

“Saya nak ucapkan pada Ina semoga berbahagia sampai ke akhir hayatmu. Tahniah buat kamu, moga gembira selalu,” Yaqzan tersenyum meluahkan kata-kata buat Abyatina. Tiada kekecewaan, hanya perkongsian perasaan menumpang gembira.

Yaqzan menghulurkan tangan. Spontan, Abyatina menyambut tangan dihulur. Berjabat tangan dan kemudian genggaman tangan tidak dilepaskan Yaqzan. Mata orang-orang sekeliling terpaku. Gadis nan ayu bersalam dengan Yaqzan anak Ustaz Khumaini. Spontan yang mengundang seribu kecelakaan.

“Hoi, apa yang mu buat tu?” jerkah Ustaz Man. Kejutan dirasai Abyatina, menyebabkan dia terus memeluk Yaqzan. Suara tinggi ayahnya yang tak pernah didengar sebelum ini.

Dari bersalam, kini dinaiktaraf kepada peluk. Padah demi padah dicipta. Mulut demi mulut mula memperkatakannya. Fitnah mungkin terwujud. Hari pertunangan disulami dengan bicara tak manis.

“Ya, Allah. Apa yang kamu dah buat Abyatina?”

Bicara ibu Abyatina terkejut. Pelukan Abyatina dan Yaqzan berterusan melemahkan ibunya. Alien Zaragoza mencipta peperangan baru.


*Tamat sudah Bicara Enam*

Menyambung kisah di lain bicara...

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.

Ulasan

bud@k_p$!k0 berkata…
wah?? xsabar2...ni klimaks die ke?? ke baru je nk mule perjlnn kisah die?? hehe..xsabar nk taw slnjutnye..^_^
kisah Abyatina masih panjang lagi.

Catatan Popular