“Adina (Bicara Lima)”




“Mewujudkan sebuah ikatan yang suci, dihadiahkan sebuah cabaran dan ditambahkan dengan sebuah ujian. Kekuatan ikatan bergantung kepada kekuatan hati. Ketabahan menjadi kunci, disulami dengan keimanan, makanya sebuah ikatan akan kekal sampai ke syurga. Indahnya bicara tentang sebuah ikatan, kasih sayang diselami sebuah belaian, hati dikongsikan beri kekuatan. Keindahan sebuah bicara, bila pilihan sebuah kepastian, bahagia menjemput dan akhirnya, kekuatan berserta kesyukuran terwujud dalam sebuah kehidupan. Allah itu Maha Pengasih buat si tabah yang kenal erti kesukaran dan sebuah persimpangan pilihan.”

“Maha Suci Allah. Sesungguhnya pandai benar kamu menulis,” bisik Abyatina.

Dilemparkan pujian atas sebuah penulisan. Surat yang dibuka akhirnya beri sebuah kekaguman. Penghasilan sebuah bicara ditujukan khas buat si Abyatina. Kejujuran disemaikan dalam sehelai kertas. Maka Rizqullah telah mewujudkan satu kekaguman. Ketulusan dalam sebuah penulisan. Tercipta sebuah pengenalan. Sedarlah Abyatina, minat sama dikongsi dengan Rizqullah. Pena dan kertas menjadi luahan kata-kata.

Kisah Mak Jah muncul dengan saingan dari Yaqzan. Tersenyum satu sama lain dengan bicara ironi, kerana hakikatnya masing-masing tahu sebuah pertandingan sedang dilalui mereka. Namun senyuman yang menguntum antara satu sama lain seolah-olah memperlihatkan bahawa mereka seperti tidak bersaing dalam mendapatkan hati Abyatina. Kisah Yaqzan cuba mengambil hati Abyatina, dan kisah Mak Jah cuba memujuk Abyatina buat si Rizqullah.

“Kemunculan mereka memeningkan aku dek terkeliru dengan sebuah keputusan,” bicara senyap Abyatina sebaik Mak Jah dan Yaqzan meninggalkan rumah.

“Kemunculan bawa rahmat tanda rezeki kamu bahawa jodoh itu adalah datang dari Allah, dan kamu punyai pilihan untuk memilih,” bisik ibu Abyatina ke telinga si Abyatina sebaik kesemua tetamu itu pulang.

“Pilihan di jariku untuk disusun mana yang dulu, mana yang kemudian,” bisik Abyatina.

Perjalanan menuju kisah pembahuruan. Menjelang sebulan kemudian, sepucuk surat muncul lagi. Bicara pendek. Rizqullah muncul lagi dengan sebuah sususan bicara.

“Allah Maha Besar....”

Abyatina tersenyum sambil matanya terpejam seketika. Nafasnya dilepaskan perlahan-lahan. Surat yang diterima itu telah dibacanya. Ringkas, namun bermakna.

“Bila sayang aku kepada kamu?
Bila orang tuaku bicara tentang kamu
Kata kamu terbaik buatku
Maka dari aku, sayang itu kamu terima.”


Luahan sebuah puisi, dilampirkan dalam sebuah surat nyatakan sesuatu yang tersirat. Kekaguman melanda Abyatina. Bicara puisi yang dijanjikan Rizqullah bahawa akan ada sambungannya. Langkah demi langkah disusun Rizqullah merapatkan hubungan dengan Abyatina. Walaupun tak pernah bersua, Abyatina dilanda debaran berbeza.

“Prang...”

Genggaman tangan terlepas. Gelas dibawanya jatuh tepat di atas lantai. Debaran terus dirasakannya. Gemuruh hati bercampur keresahan. Sebulan berlalu dengan sebarang kata putus tidak dinyatakan. Surat terbaru Rizqullah menghantui dirinya. Kemunculan Yaqzan tanpa diundang beri sebuah lagi kegelisahan.

“Mak Ina ada tak?” soal Yaqzan ringkas dari luar.

Perbincangan berlaku antara ibunya dan Yaqzan. Tidak tahu isi bicara mereka, Abyatina membiarkan sahaja. Keresahan yang melanda sepanjang hari itu sebaik menerima surat Rizqullah nyata beri kehairanan buat dirinya.

“Apakah puncanya?” bisik Abyatina.

Malam itu, Abyatina hanya membisu.

Bicara seterusnya, kisah senyuman menguntum yang tak henti-henti wujud di wajah Abyatina. Senyuman yang tidak tahu puncanya menghairankan semua. Ibunya membisu tak terkata. Tak tahu apa yang mahu dicakap, tak tahu apa yang ingin diluahkan. Petanda muncul, Yaqzan sekali lagi tiba tak diundang sambil tangan membawa beg plastik dipenuhi kuih.

“Alien ni lagi?” bisik Abyatina dengan tindakan separa sedar terus menghilangkan senyumannya sebelum ini.

Bagaikan tetamu tak dijemput, Abyatina naik ke atas. Bisu sahaja tanpa suara, namun bisu itu menangkap perhatian Yaqzan. Tersenyum sahaja Yaqzan.

Kisah seterusnya, Mak Jah kelam kabut berjalan menghapiri rumah. Terjerit sedikit memanggil ibu Abyatina. Nama Ros bergema di halaman.

“Mengapa?” soal ibu Abyatina.

Khabar dari Manjung, si Rizqullah katanya telah pulang sebentar. Dari Sabah perjalanan, kini berada di kampung halaman. Abyatina terkedu seribu bahasa dan Yaqzan pula pula tunduk tanda kecewa. Pertarungan hari ini, Yaqzan diketepikan, Rizqullah menjadi juara.

“Rizqullah akan datang melawat Abyatina,” bicara Mak Jah.

Hari itu senyuman bertambah mekar. Abyatina senang hati tanpa dirancang. Hati lapang jiwanya tenang. Kembalikan ceria di sebalik tekanan kisah lama. Bicara hati telah bersuara, maka keputusan telah diletakkan. Bicara seterusnya, ditujukan pada ayahnya. Waktu dicari disusun ayatnya. Akan disampaikan pada si walinya.

“Maka kamu yakin dengan keputusanmu?” soal Ustaz Man lemah lembut pada Abyatina.

“Lillah hita’ala...” balas Abyatina ringkas.

Ibu Abyatina tersenyum. Hati senang dirasai si ibu. Si anak telah putuskan sesuatu. Masa depan telah dinyatakan. Pilihan telah disuarakan. Kini tinggal bicara keizinan ayahnya pula.

“Maka jika itu keputusan kamu, kamu mendapat keredhaanku....” balas ayahnya.

“Moga keberkatan dari kami bahagiakan pilihan kamu,” tambah ibu Abyatina pula.

Bukan mudah bila luahkan keputusan. Namun semuanya mudah bila langkah pertama dilakukan. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, kemunculan Rizqullah beri satu petanda. Yaqzan yang selalu muncul di rumahnya turut beri petunjuk, inilah jawapannya. Debaran hilang. Kini susunan perjalanan Abyatina menuju masa depan.

Keesokannya, perancangan telah diatur. Kedatangan Rizqullah yang berhajat mahu melihat Abyatina secara dekat diizinkan Ustaz Man. Mak Jah jadi pengatur. Persediaan telah dibuat. Tetamu yang bakal datang disambut dengan setinggi darjat. Meraikan hajat murni melihat Abyatina. Hari ini Abyatina dan Rizqullah bakal bertentang mata. Bicara pertama bakal diluahkan.

Bicara dimula dengan salam dan selawat. Maka kedengaran suara seorang lelaki bertemankan ibu bapanya. Mak Jah di tepi berikan senyuman. Maka dinyatakan pada Ustaz Man, inilah tetamu dinanti. Penuh senyuman Rizqullah tenang menghulurkan tangan pada Ustaz Man. Sambil bersalam, ucapan diberikan.

“Assalamualaikum moga sihat selalu”

Abyatina mengintai di sudut dapur. Wajah manis si Rizqullah menggetarkan jantungnya. Hidung mancung berkulit cerah dan petah berbicara. Maka perwatakan pandang pertama dari kaca mata Abyatina, Rizqullah kualiti terbaik. Terketar seketika tangannya. Sudu berisi gula tertumpah ke lantai. Ibu Abayatina menyedari. Terus diambil sudu tersebut.

“Perkenalkan dirimu pada Rizqullah,” kata ibunya.

Pagi itu, suasana sangat mendamaikan. Sesi perkenalan keluarga Rizqullah dan keluarga Abyatina berlangsung. Kedinginan pagi itu dinikmati dengan senyuman yang menguntum di setiap wajah dalam rumah itu. Ketika itu jugalah Abyatina muncul di ruang tamu. Rizqullah terkedu seketika. Membisu secara tiba-tiba sambil mata tunduk malu.

“Perkenalkan dirimu kepada Abyatina, Rizqullah,” pinta Ustaz Man buat si Rizqullah.

Pertemuan di hadapan hadirin yang lain ternyata beri satu keunikan dan keberkatan. Hanya sekadar melihat wajah Abyatina beberapa minit diikuti dengan beberapa patah kata bertanya pada Abyatina, maka Rizqullah kemudian membisu.

“Kamu sihat?” soal Rizqullah dan itu sahajalah yang disuarakannya kepada Abyatina.

“Alhamdulillah,” Abyatina tersenyum menjawab pertanyaan. Mengundurkan diri dan kemudian kembali ke dapur.

Setenang air di tasik, rupanya bergelora tiba-tiba. Setenang pagi yang penuh kemesraan rupanya bertukar sebaliknya. Maka sebuah goncangan berlaku. Kemunculan Ustaz Khumaini merubah suasana.

“Assalamualaikum”

Ustaz Man keluar menyambut tetamu mengejut itu. Kedatangan Rizqullah yang disambut baik keluarga Abyatina meresahkan Ustaz Man. Api mula dicucuh tanpa disedari.

“Ini kamu kata keadilan buat semua?” lantang soalan diluahkan Ustaz Khumaini. Seluruh isi rumah mendengar bicaranya.

“Tetamu yang datang, harus disambut dengan baik,” balas Ustaz Man.

“Mu memang pendusta!”

Ustaz Man terkedu. Abyatina terkejut. Ibunya pula mengurut dada. Rizqullah mengerutkan dahi kehairanan. Mak Cik Jah terduduk kembali. Kemarahan pagi melemahkan kesemuanya. Amarah Ustaz Khumaini, ayah Yaqzan tiba-tiba menghilangkan seri pagi.

“Ya Allah.....” bisik Abyatina kegentaran.


*Tamat sudah Bicara Lima*

Bicara berterusan untuk sambungan seterusnya....

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.

Ulasan

bud@k_p$!k0 berkata…
uiii...lamanya na tgu bicara lima...hihihi...
bila lak bicara 6?? hihi..
tahniah..karya yg mnarik..^__^

Catatan Popular