Ahad, 27 Disember 2015

Mencari Ira



Walau apa pun yang berlaku, hidup harus diteruskan. Kepedihan tidak akan kekal selama-lamanya. Akan tiba masanya, semua itu akan berlalu. Tiap-tiap hati yang terluka, pasti akan pulih di suatu masa. Hakikatnya hidup itu pasti ada hikmahnya. Apa yang perlu hanyalah sabar.

“Tapi, sabar itu kadang-kadang terlalu menguji kita. Sampai di satu tahap kita tak mampu nak bertahan lagi”

Mungkin kerana itu jugalah, maka langkahnya pagi itu sangat longlai dan lemah. Zahid seperti tak mampu lagi untuk meneruskan harinya. Namun digagahkannya juga  kerana itulah tanggungjawabnya. Maka Zahid terus melangkah mendaki anak tangga. Menuju ke kelas untuk sesi berikutnya.

“Assalamualaikum Sir”

Ucap selamat diberi. Zahid ,mengukir sedikit senyuman cuba dipaksa dihadirkan untuk anak-anak muridnya. Kelas paginya kali ini dilihat cukup berbeza. Zahid merasa sukar. Ibarat kehilangan keterujaan dan semangat.

Tempoh lapan puluh minit pengajaran dengan dua slot waktu, maka pastinya bukan sesuatu yang mudah di kala itu. Mengajar di kelas tingkatan satu yang dipenuhi dengan anak-anak yang masih lagi ceria dan aktif, maka itu kadangkala menduga kesabaran Zahid. Subjek Bahasa Inggeris memerlukan keterlibatan semua pelajar untuk memahami dan bertutur. Namun masalah yang masih terus menyelebungi adalah apabila pelajar-pelajar masih berat mulut untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris, dan kenakalan mereka menambah lagi beban buat Zahid.

“Namun bukan itu puncanya,” luah Zahid. Mesej dihantar menerusi telefon.

“Cikgu ok?”

Mesej diterima dan dibaca Zahid. Namun Zahid tidak membalasnya lagi. Hakikatnya, dia perlu memulakan sesi pengajarannya. Bagi sesi hari ini, komponen sastera akan diajarnya. Novel Black Beauty akan diajar kepada pelajarnya.

Namun semuanya serba tak kena. Zahid seringkali terkaku dan terdiam di beberapa waktu tatkala sedang mengajar. Ada waktunya diam itu terlalu lama sehingga mencetuskan kehairanan bagi pelajarnya. Malah, Zahid dilihat cukup berbeza apabila langsung tidak mengusik dan bergurau terhadap para pelajarnya seperti kebiasaannya. Zahid hilang keceriaan.

Maka di penghujung sesi pembelajaran, seorang pelajar meluahkan rasa.

“Kenapa Sir hari ni nampak tak ceria ya?”

“Really? Why do you think so? I’m just fine. Maybe I’m too tired. Not enough sleep yesterday,” Zahid memberi alasan.

Maka sesi pengajaran terhenti di situ sahaja tatkala loceng berbunyi. Lantas Zahid menuju keluar dari kelas dan kelihatan pantas berjalan menuju ke bilik guru. Sebaik tiba di mejanya, Zahid merehatkan fikirannya seketika. Setelah tenang di hatinya, barulah Zahid meilihat kembali telefon bimbitnya.

Lantas dibaca semula mesej yang diterima tadi sebelum dibalasnya.

“Entahlah. Saya tak pasti saya ni ok atau tak. Rasa sangat-sangat tak bersemangat. Nak mengajar pun tak rasa seronok. Semuanya ternganggu. Sampai ada seorang pelajar tegur saya cakap saya ni nampak tak ceria hari ni….”

“Cikgu kena kawal mood cikgu. Jangan terlalu fikirkan sangat dengan masalah yang ada tu,” mesej berbalas tidak lama selepas itu.

Zahid tersenyum sedikit.

“Terima kasih Cik Zara. Terima kasih banyak-banyak…” bisik hati kecil Zahid. Tersenyum tatkala membaca mesej pendek yang baru diterimanya itu.

Cik Zara menjadi teman baiknya. Walaupun baru dikenali, namun secara pantas mereka menjadi sahabat. Barangkali mereka saling melengkapi, punyai masalah tersendiri yang dikongsikan di antara satu sama lain.

“Itulah gunanya sahabat baik….” Satu lagi mesej diterima Zahid. Senyuman terukir lagi.

Semuanya bermula di suatu masa. Panjang kisahnya. Perjalanan Zahid penuh dengan dugaan. Apabila tamat sahaja pengajiannya di universiti, beberapa bulan selepas itu Zahid berkenalan dengan seorang gadis dari Pahang. Di waktu itu Zahid masih belum bekerja. Zahid masih menanti untuk panggilan temuduga.

Mereka berkenalan di laman sosial. Di awalnya Zahid langsung tidak tahu gerangan gadis itu. Namun barangkali niat ikhlas gadis Pahang itu, maka mereka berkenalan di antara satu sama lain. Perjalanan mereka baru sahaja bermula. Mereka mula berkawan sejak itu.

Bagi Zahid, semuanya bagaikan ada hikmahnya. Dia tidak menduga akan ada gadis yang sudi untuk berkenalan dengannya walaupun tak pernah bersua bertentangan mata. Bagi Zahid mungkin inilah takdir jodohnya.

“Kalau dia takdir untuk aku…. Memang aku tak ada masalah nak terimanya. Semuanya mungkin dah tertulis,” luah Zahid di suatu masa berbual dengan sahabat baiknya Remi. Saat itu mereka sedang berehat seketika di tepi tasik setelah penat berjoging di pagi hari.

“Kau tak cuba nak betulkan keadaan? Kau tak cuba nak jumpa semula dia?” soal Remi.

“Jumpa Thahirah?” soal Zahid.

“Dari dulu sampai sekarang, aku tau kau memang sayangkan Thahirah. Jangan paksa diri untuk sukakan orang lain semata-mata nak ubati luka yang berbekas,” kata Remi.

“Luka aku dah lama sembuh. Bekasnya pun dah makin hilang. Hidup perlu diteruskan. Jangan kita terlalu mengharap pada kenangan. Tiap-tiap yang dah berlalu semuanya tak boleh dikembalikan,” balas Zahid.

“Ya, memang betul. Tapi, aku takut kau cuba tergesa-gesa. Takut nanti kau yang kecewa,” kata Remi. “Nak kenal hati budi seseorang, bukan semudah dan secepat yang disangka. Hati ni deria paling sukar untuk kita fahami…”

“Hati paling sukar untuk difahami tapi paling mudah untuk terluka…”

Remi terdiam seketika. Hanya memandang sahabatnya yang berada di sebelahnya. Zahid ternyata bijak berbicara.

“Aku cuma ada satu soalan saja nak tanya….” Remi kembali berbicara. “Kau masih sayangkan Thahirah lagi?”

Zahid hanya membisu sahaja. Tiada jawapan yang diberikannya.

Setiap kali nama itu disebut, maka pasti ingatan Zahid kembali segar akan peristiwa yang berlaku beberapa tahun sebelumnya. Di saat itu Zahid dilamun bahagia dengan Thahirah. Tatkala penantian Zahid bertahun lamanya akhirnya terjawab apabila Thahirah muncul semula di suatu masa memberikan jawapan secara tiba-tiba.

“Ira sebenarnya dah lama sukakan abang. Cuma masa saja yang tak sesuai waktu tu untuk Ira luahkan,” bicara Thahirah terngiang-ngiang kembali di ingatan Zahid. Itulah pertemuan pertama Zahid dan Thahirah setelah beberapa tahun tidak berjumpa. Thahirah secara tiba-tiba muncul di universiti dan di saat itu Zahid masih lagi dalam pengajian.

Hakikatnya, tiga tahun sebelum kemunculan semula Thahirah itu, Zahid pernah meluahkan perasaannya kepada Thahirah. Zahid menyatakan dengan jelas dan jujur bahawa dirinya ingin menjadikan Thahirah sebagai isterinya. Lamaran itu hanya berkesudahan dengan soalan yang tak terjawab apabila Thahirah tiba-tiba menghilangkan diri. Tiada jawapan diberikannya selepas itu. Lantas Zahid kecewa.

Namun, selepas beberapa tahun, Thahirah muncul secara tiba-tiba dan terus memberikan jawapan yang dinanti Zahid selama ini. Sebaik bertemu, Thahirah terus mempelawa Zahid untuk menaiki keretanya. Lantas mereka menuju ke suatu tempat. Hakikatnya Thahirah terus memandu menuju ke rumah ibu bapanya yang terletak tidak jauh dari universiti itu.

“Dapatkan berkat dan restu dari mereka. Kerana tiap-tiap yang bahagia bermula dari berkatnya,” kata Thahirah kepada Zahid sebaik mereka tiba di destinasi. Di saat itu debaran besar melanda Zahid. Mereka baru sahaja bertemu dan kini akan terus berjumpa ibu bapanya?

Itulah yang bermain di fikiran Zahid. Peristiwa yang berlaku itu merupakan detik yang paling sukar untuk dilupakannya. Dilamun bahagia yang tidak pernah dibayangkannya. Lantas pertemuan berlangsung dengan ibu bapa Thahirah. Semuanya lancar, dan hubungan mereka yang baru kembali terjalin itu direstui kedua ibu bapa Thahirah.

Namun, bahagia mereka tidak panjang. Dalam perjalanan pulang, di kala hujan renyai-renyai, Thahirah yang memandu kereta tiba-tiba hilang kawalan. Bagi mengelak kereta yang tiba-tiba masuk ke lorong yang dipandunya, sekelip mata Thahirah hilang kawalan dan kereta yang mereka naiki itu terbabas meluru masuk ke kawasan ladang kelapa sawit. Zahid tercampak keluar manakala Thahirah cedera parah. Zahid koma untuk beberapa bulan dan sepanjang tempoh itu, Thahirah setia berada di sisinya berkerusi roda.

Bahagia baru sahaja tercipta. Saat Zahid sedar dari komanya, kisah lain pula tercipta. Di saat Thahirah masih terus menjaganya, tiba di suatu masa bapa Thahirah muncul bertemu Zahid yang baru sahaja pulih dari kemalangan itu. Pertemuan yang merubah segalanya.

“Mungkin ada lebih baik kalau kamu lupakan saja Thahirah,” bicara yang terluah oleh bapa Thahirah itu ternyata cukup mengejutkan. Rasa pedih sukar dibendung.

Maka di suatu masa, Zahid membuat keputusan. Dia harus mengundurkan diri menjauhi Thahirah. Ditinggalkan Thahirah tanpa sebarang bicara. Thahirah dilanda kehairanan.

“Katakanlah kalau Thahirah muncul semula, apa yang kau nak buat?” soal Remi menghentikan lamunan panjang Zahid.

“Aku tak fikir dia akan datang lagi. Pasti dia dah ada hidupnya sendiri. Pasti dia dah bahagia…” balas Zahid.

“Itu kata kau. Realitinya siapa yang tahu macam mana keadaan Thahirah sekarang. Mungkin sampai sekarang dia terus menanti kau,” balas Remi.

“Kita kena hidup di bumi yang nyata. Mustahil aku boleh bahagia dengan Thahirah kalau tak dapat restu orang tuanya…” kata Zahid.

Kata-kata Zahid itu ada benarnya. Remi hanya terdiam sahaja.

Hidup perlu diteruskan dan bahagia perlu dicari. Maka tatkala Zahid mula berkenalan dengan gadis Pahang itu, Zahid merasakan mungkin dialah yang bakal menjadi teman hidupnya. Setelah hampir setahun Zahid menjauhkan diri dari Thahirah, maka dia berkenalan dengan gadis itu.

“Jadi kau pasti yang Alia tu memang pilihan yang tepat?” soal Remi.

“Kenapa aku perlu sangsi dengan pilihan aku?” soal Zahid kembali.

“Sebab hakikat yang tak boleh dinafikan, Thahirah masih tetap di hati kau. Aku takut bayang-bayang akan terus menganggu kau. Takut Alia tu bukan cinta sebenar kau…” terang Remi.

Sekali lagi Zahid membisu sahaja.

Kisah perkenalan di antara Zahid dan Alia bermula dari situasi yang tak pernah dijangka. Setelah beberapa bulan menjauhkan diri dari Thahirah, maka sepi itu mula dirasakan. Zahid dilanda satu kesunyian.

Di waktu itu, Zahid baru sahaja bergraduasi. Maka tibalah waktu itu Zahid menanti untuk memasuki alam pekerjaan. Menunggu waktu untuk menjadi seorang guru.

Di suatu masa, seorang gadis dari Pahang ini menghantar satu mesej di laman sosial. Secara tiba-tiba dan Zahid langsung tidak mengenalinya. Di waktu itu, gadis itu menyatakan hasrat untuk berkenalan dengannya. Maka niat dan pesanan yang dikirim itu disambut baik Zahid. Selepas itu, bermulalah perkenalan di antara Zahid dan gadis itu.

“Nama saya Alia. Dari Pahang, ingin berkenalan dengan saudara Zahid kalau sudi”

Mesej pendek itu pasti akan terus diingati Zahid.

Di awal perkenalan mereka, Zahid langsung tidak memikirkan untuk menjalinkan hubungan erat dengan gadis itu. Hanya suka-suka sekadar untuk berkenal-kenalan. Hakikatnya, perasaan sayang pada Thahirah sukar untuk dilupakan. Walaupun cuba dilupakan, ingatan terhadap Thahirah itu masih kekal dalam kotak hatinya.

Mereka hanya berhubungan menerusi media sosial. Hanya melalui telefon menerusi pesanan-pesanan ringkas. Mereka hanya berkomunikasi secara jarak jauh. Tidak pernah bertemu bertentang mata.

“Tapi, dari hanya sebuah perkenalan, segalanya berkemungkinan. Soal hati dan perasaan ni kita tak boleh jangka,” terang Zahid kepada Remi. Angin petang dinikmati mereka.

Di suatu masa, Alia menyatakan hasrat untuk berbual menerusi telefon. Itulah kali pertamanya Zahid dan Alia berbicara di antara satu sama lain. Degupan jantungnya sungguh hebat tatkala pertama kali ingin berbual dengan Alia. Saat telefonnya berdering, seluruh tubuhnya bagaikan bergetar. Teruja dalam kerisauan.

“Hello. Assalamualaikum…” suara Alia pertama kali didengarinya. Bicara tuturnya sungguh halus, lembut dan manja. Suaranya itu sahaja telah membuatkan Zahid sekelip mata jatuh hati pada Alia. Setiap ungkapan katanya sungguh sopan. Nada manja yang kedengaran mungkin disebabkan Alia merupakan anak bongsu dalam keluarganya.

“Waalaikumussalam,” balas Zahid ringkas. Degupan jantungnya ketika itu cukup pantas. Zahid benar-benar dilanda rasa gementar. Teruja dan gembira barangkali itulah yang dirasakan Zahid.

“Awak apa khabar?” soal Alia.

“Saya Alhamdulillah sihat. Alia?” soal Zahid kembali.

“Saya pun…” balas Alia. “Awak cakap memang bunyi orang utara ya?” soal Alia barangkali dalam senyuman.

“Iya…. Saya memang orang Perak. Tapi tinggal di utara. Cakapnya pun macam orang utara, tak bunyi Perak,” terang Zahid. “Awak pun…. Suara awak…. Lembut sangat. Sedap didengar. Manja bunyinya,” kata Zahid separa sedar. Dia tak menjangka akan berbicara sebegitu kepada Alia. Seharusnya dia perlu menjaga adab berbual dengan seorang wanita.

“Awak ni… ada-ada saja kan…” balas Alia dalam nada manja. Suara yang didengari Zahid itu cukup menguji rasa di hatinya. Benar, Zahid sudah jatuh hati pada Alia  di saat itu.

Mereka terus berbual untuk beberapa minit lamanya. Perbualan pertama mereka menerusi telefon itu ternyata mencambahkan rasa suka buat Zahid terhadap Alia. Namun Zahid tidak pasti apakah rasa itu turut dibalas Alia.

“Jadi kau bagitau Alia pasal perasaan tu?” soal Remi. Perbualan petang terus berlangsung.

“Soal hati ni, kadang-kadang bila diluah kita akan kecewa. Bila dipendam, kita akan rasa bebannya…” balas Zahid. “Aku cuma senyap saja waktu tu…”

Namun, perasaan yang dipendam itu terluah juga. Di suatu hari, Zahid menulis isi hatinya itu menurusi baris-baris tulisan. Sekadar satu bentuk luahan dan kemudiannya dipaparkan di blog peribadinya. Zahid tidak pernah menduga sama sekali untuk tulisannya itu dibaca Alia. Namun itulah yang berlaku tak lama selepas itu.

Alia membaca tulisan itu dan itu mengubah segala-galanya selepas itu.

“Awak…  tulisan awak dalam blog tu… saya dah baca… Merah muka saya tau… tak sangka…”

Mesej diterima menerusi telefon Zahid. Alia menghantarnya.

“Awak dah baca?” balas Zahid menerusi mesej. “Maaf… maaf sangat-sangat atas tulisan saya tu….”

“Kenapa nak maaf pula?” balas Alia. “Awak memang betul-betul sukakan saya?” soal Alia.

Agak lama Zahid membisu seketika. Mesej dibalas beberapa ketika kemudian.

“Ya. Memang saya sukakan awak. Apa yang awak baca dalam blog tu, itulah perasaan saya…” balas Zahid.

Kali ini, Alia pula membisu. Agak lama, dan Zahid terus menanti balasan mesej dari Alia.

“Sebenarnya…. Saya pun suka awak…”

Sebaris ayat itu ternyata sesuatu yang cukup indah buat Zahid. Bagaikan mimpi jadi kenyataan. Bagaikan impian termakbul akhirnya.

Mereka akhirnya menjalinkan hubungan intim. Mereka mula menyelusuri landasan yang baru. Perhubungan mereka bukan lagi sesuatu yang biasa. Mereka kini saling berkongsi perasaan antara satu sama lain. Barangkali juga mereka dalam bercinta.

Hari berganti hari, mereka terus menjalinkan hubungan. Namun dugaan cukup besar kerana mereka terpisah dengan jarak yang jauh. Alia di Pahang dan Zahid di Perak. Mereka tidak pernah lagi bersua. Hanya menerusi bicara-bicara dalam panggilan telefon sahaja yang menghubungkan mereka.

Di saat itu juga, Zahid masih lagi belum bekerjaya. Tidak mempunyai sebarang pendapatan, maka pastilah sukar untuk mereka bertemu.

“Jadi bila kau bertemu dengannya?” soal Remi.

“Kun fayakun….” balas Zahid. “Kalau Allah takdirkan, maka bertemu juga akhirnya…”

Alia mendapat tawaran kerja. Kerjayanya itu memerlukannya untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.  Mungkin sudah menjadi takdirnya, Alia ditugaskan untuk pergi ke negeri-negeri utara. Mungkin semua telah tertulis buat mereka berdua.

Apabila Alia ditugaskan di negeri Perak, itulah peluang buat Zahid untuk bertemu dengan Alia. Mereka mengatur pertemuan. Masing-masing barangkali teruja untuk bertemu buat pertama kalinya setelah beberapa bulan menjalinkan hubungan.  Perancangan mereka cukup lama, sebelum di suatu hari mereka bertemu akhirnya.

Saat Zahid memandang dan melihat sendiri tubuh yang berdiri di hadapannya, seakan-akan dia tidak percaya. Itulah Alia yang selama ini hanya berhubung dengannya menerusi telefon dan laman sosial sahaja. Rupa parasnya sesedap mata memandang. Alia dilihat cukup sesuai buat Zahid. Pertemuan mereka tidaklah begitu lama. Berbual seketika sebelum makan malam bersama. Itulah detik yang sukar untuk dilupakan buat Zahid.

“Dari saat itulah aku terus buat keputusan nak kahwin dengannya satu hari nanti,” terang  Zahid kepada Remi.

“Cerita kau, tak ubah macam sebuah drama TV. Tapi tak semestinya ia satu penyudah yang menggembirakan,” pesan Remi. “Kadang-kadang kita tak tahu apa yang hati kita inginkan. Mungkin rasa hati seolah-olah kita suka padanya, tapi hakikatnya sebaliknya,” katanya lagi.

“Kalau Alia tu memang dah jodoh aku, tak salah bukan untuk aku pasang impian dengannnya?” kata Zahid.

“Jodoh, tak semudah disangka. Dugaannya cukup besar,” kata Remi.

Perbualan mereka terhenti di situ. Senja semakin menghampiri, maka tiada lagi perbualan panjang yang boleh dicipta buat Zahid dan Remi. Mereka pulang dan Zahid ditinggalkan dalam bicara persoalan.

“Apakah Remi tak bersetuju hubungan aku dengan Alia?” bisik hati kecil Zahid.

Beberapa hari selepas itu, Zahid mendapat tawaran bekerja. Rezeki buat Zahid apabila dia ditempatkan di sekolah yang tidak jauh dari rumahnya. Maka Zahid tidak perlu berpisah dengan keluargnya. Terus menetap bersama mereka.

“Dari situ segalanya berubah…” bisik Zahid di suatu masa.

Hakikatnya selepas pertemuan Zahid dan Alia itu, kelihatan hubungan mereka semakin renggang. Alia tidak seaktif dahulu lagi berhubungan dengannya. Amat jarang untuk berbual apatah lagi menelefonnya. Ada di suatu masa, hampir berminggu mereka tidak berhubung. Di saat itulah Zahid merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

Namun, Zahid masih lagi berbaik sangka. Bagi Zahid barangkali Alia terlalu sibuk dengan kerjanya. Walaupun Alia sekali-sekala berhubung dengannya, Zahid dapat merasakan bahawa Alia tidak lagi seperti dulu.

Dalam situasi itu, seorang gadis tiba-tiba muncul dalam hidup Zahid. Bermula dari usikan-usikan menerusi komentar-komentar di laman sosial, maka Zahid berkenalan dengan gadis dari Selangor ini. Di awalnya mereka hanya sekadar berbalas mesej di laman sosial. Namun lama kelamaan mereka menjadi rapat dan dekat.

“Nama saya Zara… nama cikgu?” soalan itu diajukan menerusi mesej di laman sosial.

“Nama saya Zahid…” balas Zahid ringkas.

Zahid langsung tidak memikirkan soal hati dan perasaan apabila berkenalan dengan Zara. Zahid sedar bahawa dia telah mengikat hubungan dengan Alia yang jauh di Pahang. Zahid sedar dia harus setia, kerana pernah di suatu masa Alia meluahkan rasa cemburunya apabila Zahid dilihat cukup mesra dengan gadis lain di laman sosial. Walaupun sekadar gurauan dan usikan Zahid terhadap gadis itu, namun itu sudah cukup membangkitkan rasa cemburu buat Alia.

“Cemburu, tandanya sayang. Mungkin memang Alia benar-benar sayang pada aku,” bisik Zahid di suatu masa cuba menyedapkan hatinya.

Namun, Zahid tidak pernah menceritakan perihal gadis bernama Zara yang baru dikenalinya itu. Zahid sedar dia tidak perlu menceritakan perkara mengenai Zara kepada Alia kerana dia tahu itu pasti akan mencetuskan konflik dan persengketaan.

“Awak… janji dengan saya awak terus setia dengan saya. Jangan lupakan saya. Jangan jatuh hati dengan perempuan lain. Saya cemburu awak… bila awak bergurau dengan perempuan lain di Facebook,” luah Alia di suatu masa dihantar menerusi pesanan mesej di telefon.

“Insya-Allah. Saya janji dengan awak saya akan setia. Saya takkan lupakan awak sebab saya sayang sangat dengan awak. Tak mungkin saya akan jatuh hati dengan orang lain,” balas Zahid kemudiannya.

Di saat Zahid semakin rapat dengan Zara, dan pada masa yang sama Alia melahirkan rasa cemburunya, di saat itu jugalah Zahid mula menceritakan perihal Alia kepada kedua ibu bapanya.

Ibu dan ayah Zahid sedikit pun tidak membantah atau tidak bersetuju. Barangkali mereka tahu, jodoh Zahid semakin hampir. Kisah Thahirah yang pernah muncul seketika dalam hidup Zahid ternyata telah dilupakan ibu bapanya.

Lantas, Zahid mengatur sebuah pertemuan. Zahid merancang untuk mempertemukan keluarganya dengan keluarga Alia. Perancangan berjalan lancar, dan di suatu masa maka pertemuan itu direalisasikan. Perjalanan jauh diharungi Zahid dan keluarga sehinggalah mereka tiba di Pahang.

“Insya-Allah. Bila Zahid dah stabil kerjanya dan cukup wang, masa tu nanti bolehlah kita berbincang soal tunang dan perkahwinan. Tapi buat masa sekarang, pertemuan ni diharapkan menjadi satu sesi berkenalan sesama kita,” kata ayah Zahid sewaktu bertemu dengan keluarga Alia.

Pertemuan yang berlangsung itu cukup bermakna buat Zahid. Seakan tidak percaya, itulah yang dialaminya. Namun, keindahan dan bahagia yang dirasakan itu rupanya tidak bertahan lama. Bahagia berganti dengan sebuah kekecewaan.

Di suatu hari, Alia meluahkan rasa sebenar yang terbuku di hatinya. Menerusi satu pesanan mesej di telefon, Alia menulis baris-baris ayat buat Zahid.

“Sebenarnya, saya tak pernah ada perasaan pada awak. Jujur saya cakap. Sepanjang kita kenal saya cuba untuk ada perasaan tu. Tapi tak pernah awak. Saya tahu, saya tak jujur pada awak. Maafkan saya. Mungkin saya perlukan masa untuk ada perasaan tu pada awak…”

Terduduk Zahid di malam itu sebaik membaca mesej tersebut. Dadanya terasa begitu pedih. Tidak dapat digambarkan betapa sakit yang dirasakannya. Zahid benar-benar menangis malam itu. Air mata lelaki bukan mudah untuk dizahirkan. Namun malam itu sebaliknya berlaku buat Zahid.

Bermula di saat itu, secara pantas hubungan Zahid dan Alia terputus begitu sahaja. Alia meminta supaya mereka hanya menjadi kawan. Namun Zahid sedar, apabila diistilahkan sebagai kawan, maka itu adalah bermulanya sebuah pengakhiran hubungannya.

Hakikatnya Zahid dilanda kehairanan.

“Kalau benar dia tak pernah ada perasaan pada aku, kenapa dahulunya dia pernah cemburu? Kenapa dia minta aku setia dengannya?” bisik hati Zahid. “Apakah Alia dah punyai orang lain?”

Persoalan itu tak pernah terjawab. Namun kepedihan memang cukup mendalam dirasakan buat Zahid. Penolakan Alia ternyata memberi impak buat Zahid. Malah menganggu tugas Zahid sebagai seorang guru. Itulah yang terjadi saat Zahid melangkah masuk ke kelas. Tidak bersemangat mengajar pelajarnya sehingga ditegur pelajarnya sendiri akibat kesuraman yang dijelmakan Zahid.

“Cik Zara janji dengan saya terus jadi sahabat baik saya ya…” luah Zahid kepada Zara di pagi itu.

“Insya-Allah cikgu. Kita sahabat selamanya…” balas Zara buat Zahid menerusi mesej di telefon.

Maka di saat dilanda kepedihan itulah, kepada Zara tempat Zahid mengadu dan berkongsi masalah. Mungkin sudah ditakdirkan Ilahi, mereka berkenalan dan saling bergantung di antara satu sama lain. Perkenalan di antara Zahid dan Zara seperti satu kebetulan namun memberi setiap kelegaan buat Zahid terutamanya.

Zahid menjadikan Zara sebagai tempat untuk meluahkan rasa kekusutan di fikirannya. Di awal perkenalan mereka, masing-masing hanya berbual biasa sahaja. Tidak terlalu banyak berkongsi hal-hal peribadi. Banyak perkara dirahsiakan sahaja di antara satu sama lain. Namun hari demi hari mereka menjadi semakin akrab.

Zara dilihat ceria dan sangat terbuka dalam berkongsi masalah. Zara sangat mudah untuk mesra dengan orang di sekelilingnya. Walaupun baru sahaja berkenalan dengan Zahid, kelihatan Zara sangat baik melayan Zahid.

Perhubungan di antara mereka juga bersifat jarak jauh. Mereka tidak pernah bersua, namun seringkali berhubung menerusi laman sosial dan telefon. Kemunculan Zara dalam hidup Zahid berlaku di saat Zahid diuji dengan sebuah kekecewaan. Hubungan Zahid dan Alia yang berkahir secara mengejut ternyata memberi luka yang cukup mendalam buat Zahid. Namun rasa pedih itu dilihat terubat sedikit tatkala Zara muncul dalam hidupnya.

Di suatu malam, setelah begitu lama memendam rasa kecewa yang dirasainya itu, Zahid akhirnya meluahkan segalanya kepada Zara. Diceritakan satu persatu kisah perjalanan kekecewaannya. Dikongsikan siapa Alia yang dicintainya itu. Dinyatakan bagaimana Zahid berkenalan dengan Alia. Detik-detik manisnya bersama Alia, sehinggalah berlaku perpisahan. Semua kisah itu diluahkan kepada Zara.

“Saya sangat sayangkan dia Cik Zara. Sepenuh hati saya sukakan dia. Tapi tak sangka dia boleh buat macam ni pada saya….” Luah Zahid.

“Cikgu…. Cikgu ingat saja satu perkara ni. Dalam hal ni cikgu tak rugi apa-apa pun. Dia yang rugi sebab tolak orang sebaik cikgu, yang setia dan jujur. Bagi saya dia yang bodoh, sebab tolak cikgu yang dah stabil perkerjaannya, yang memang terjamin masa depannya. Cikgu ingat ni, akan tiba satu masa nanti, dia akan sedar dan menyesal dengan apa yang dia buatkan pada cikgu….” Kata Zara menerusi perbualan telefon di malam itu.

“Saya tak tau nak gambarkan perasaan saya ni Cik Zara. Memang saya rasa geram nak marah. Tapi… pada masa yang sama saya sangat-sangat sayangkannya… Saya sukar nak lupakan dia begitu saja…” luah Zahid.

“Tak apa cikgu. Jangan dirisaukan sangat pasal tu. Saya yakin, satu hari nanti cikgu akan dapat lupakan dia. Cikgu kan seorang guru. Ramai yang nak dengan cikgu tu. Kerja cikgu stabil dah ada kerja tetap. Pasti jodoh akan tiba nanti,” kata Zara. “Cikgu anggap saja apa yang dah terjadi ni sebagai satu pengalaman hidup untuk kita jadi lebih matang lagi”

“Insya-Allah. Saya akan cuba jadi lebih kuat. Mungkin semua ni satu ingatan buat saya,” balas Zahid ringkas. “Terima kasih banyak-banyak Cik Zara sebab sudi dengar masalah saya. Terima kasih banyak-banyak…”

Perbualan menerusi telefon itu berlangsung selama lebih dari satu jam. Mereka berbual sehingga ke lewat malam, berkongsi masalah masing-masing meluahkan setiap kekusutan yang dilalui mereka. Hakikatnya, Zara juga baru sahaja mengharungi siri kekecewaan dalam hidupnya. Hubungan cinta yang dibina dengan seoarang lelaki akhirnya musnah apabila mendapat tahu bahawa si lelaki itu tidak jujur padanya. Dalam hati yang terluka itulah Zahid muncul dalam hidupnya.

“Mungkin ini takdir untuk kita saling berkenalan Cik Zara. Mungkin kita saling bergantung. Semuanya dah disuratkan begitu,” kata Zahid kepada Zara.

Bermula di saat malam itulah, hubungan Zahid dan Zara semakin lama semakin rapat. Setiap hari mereka pasti berbalas mesej di telefon. Setiap hari pasti ada sahaja perkara yang mereka kongsikan bersama. Pagi-pagi lesu dan suram yang dilalui Zahid sebelum ini telah mula hilang. Hari demi hari, Zahid dapat melupakan Alia dalam hidupnya. Alia tidak lagi menghantui setiap rutin hariannya.

Zara orangnya ceria dan selamba. Setiap tutur bicaranya ternyata tidak sama jika dibandingkan dengan Alia. Zara suka bercakap. Malah setiap kali berbual menerusi  telefon, Zara yang lebih banyak berbicara berkongsi kisah. Zahid hanya menjadi pendengar setia. Nada suaranya juga dilihat lebih bertenaga berbanding Alia. Nada manjanya kurang tetapi nada ceria seringkali menguasai setiap perbualan yang berlangsung.

Mungkin kerana itu, Zahid cukup senang berkawan dengan Zara.

Pernah di suatu masa, terlintas di fikiran Zahid. Persoalan timbul, apakah Zara itu adalah pengganti Alia?

“Walau apa pun persoalannya, biarlah aku berkawan dengan Zara. Itu lebih baik dan menyenangkan. Tak perlu berfikir lebih dari itu,” bisik Zahid di suatu masa.

Hakikatnya, selepas hubungan Zahid dan Alia berakhir, Zahid merasakan satu kekosongan dalam hidupnya. Dirasakan satu kesepian dan kesunyian menerpa setiap kehidupan hariannya. Zahid tidak pasti sebabnya. Namun dia tahu, mungkin sudah tiba masanya dia perlu mencari seseorang untuk menjadi teman hidupnya.

“Cik Zara nak jadi teman saya?” soal Zahid di suatu masa dihantar menerusi pesanan mesej telefon.

“Cikgu nak ke kat saya ni? Saya ni… banyak kekurangannya. Menyesal cikgu kalau pilih saya,” balas Zara.

“Demi Cik Zara, lautan api sanggup saya harungi…” balas Zahid.

Gurau senda di pagi hari. Mesej dihantar Zahid sekadar berseloroh dan usik-mengusik. Hakikat, masing-masing hanya bergurau dan bukannya dalam nada yang serius. Itulah yang seringkali menceriakan hidup Zahid setiap hari.

“You made my day Cik Zara….” tulis Zahid kepada Zara.

Mereka terus menjadi sahabat yang baik.

“Cikgu carilah cikgu-cikgu yang bujang di sekolah tu. Cubalah pikat salah seorang tu. Mana tau, boleh ada jodoh,” tulis Zara.

“Manalah saya reti Cik Zara. Saya ni tak pandai dalam hal macam tu…”

“Cikgu kan lelaki. Kenalah berani…”

Zahid tersenyum sahaja sebaik membaca mesej tersebut.

Memang Zahid dan Zara tidak pernah bertemu. Namun di suatu masa, takdir mengubah segalanya. Zara berkunjung ke Perak atas  satu tugasan bagi subjeknya di universiti. Maka buat pertama kalinya, Zahid berpeluang untuk bertemu dengan Zara.

“Sudi Cik Zara jumpa saya?” soal Zahid.

“Saya takut cikgu je nanti terkejut bila dah jumpa saya…” balas Zara berseloroh.

“Kenapa pula saya nak terkejut?”

“Saya ni kasar orangnya cikgu…”

Zahid ketawa kecil. Gurau yang menjadi-jadi. Itulah kebiasaannya di antara Zahid dan Zara. Hubungan dibina atas dasar kawan menggembirakan hati Zahid. Tekanan dan kesuramana semakin lama semakin menghilang. Zahid semakin pulih dari kepedihan di hati.

Kemunculan Zara dalam hidupnya mencetuskan satu sisi baru baginya. Andai sebelum ini Zahid longlai untuk meneruskan hari-harinya sebagai seorang guru, semuanya berubah tatkala Zara menjadi sahabatnya. Zara banyak membantu Zahid memulihkan luka yang dirasakan.

“Kemunculan Zara adalah satu penyelamat untuk aku,” luah Zahid di suatu masa. Mereka terus bersahabat dan Zahid meneruskan hari-harinya melupakan kisah-kisah luka lamanya.

Hari-hari sebagai seorang guru berlalu dengan pantas. Hampir setahun menjadi pendidik, maka ada di waktunya Zahid merasai satu kekosongan. Hakikatnya, umurnya semakin meningkat. Mungkin dia perlukan teman. Di saat Zahid telah selesa dan senang dengan hidupnya, harus diakui Zahid dilanda kesepian.

“Memang saya cukup sunyi kadang-kadang. Mungkin umur saya makin meningkat dan saya masih tak jumpa sesiapa untuk jadi teman hidup saya,” luah Zahid di suatu hari kepada Zara.

“Cikgu… cikgu kena sabar. Cikgu jangan putus asa. Jangan lupa pada Allah. Selalu berdoa, amalkan solat malam. Solat di awal waktu dan yakin pada-Nya. Insya-Allah, pasti akan ada nanti. Saya yakin,” balas Zara.

Itulah yang dibicarakan dalam pertemuan pertama kali mereka. Zahid dan Zara bertemu di sebuah taman. Mereka berjanji untuk bertemu dan berbual-bual seketika, sekadar untuk mengenal di antara satu sama lain. Pertemuan itu berlangsung tanpa perancangan yang rapi. Hanya bertemu untuk seketika bukannya mahu menghabiskan masa bersama. Tatkala pertama kali Zahid melihat wajah Zara di hadapan matanya, maka degup jantung dirasakan begitu kuat.

“Memang betul….” luah Zahid.

“Apa yang betulnya cikgu?” soal Zara.

“Memang betul… tahap kecomelan Cik Zara ni memang buat jantung saya bagai nak gugur,” kata Zahid berseloroh mengusik Zara.

“Amboi cikgu… pujinya melebih-lebih,” balas Zara tersenyum.

Jauh di sudut hati Zahid, dia merasakan satu kebahagiaan tatkala bertemu buat pertama kalinya Zara itu. Sudah lama dia tidak merasai kegembiraan sebegitu. Kesunyian bagai hilang seketika. Bagi Zahid, alangkah indah andai muncul seorang gadis seperti Zara dalam hidupnya. Menjadi teman seumur hidupnya.

“Kita kan kawan cikgu. Selama-lamanya kita akan menjadi kawan, walaupun cikgu dah kahwin nanti,” kata Zara.

“Ya, kawan yang baik sampai bila-bila,” balas Zahid. Di saat itu, Zahid tersenyum panjang. Barangkali gembira dalam bahagia.

Pertemuan yang berlangsung itu terus terpahat di ingatan Zahid sebagai antara kenangan yang cukup manis buatnya. Bagi Zahid, Zara berjaya menghilangkan kedukaan yang dirasakannya selama ini. Namun, di satu sudut, Zahid langsung tidak pernah sedikitpun mempunyai perasaan kepada Zara. Zahid benar-benar menganggap Zara sebagai kawan baiknya sahaja. Umur Zara sangat muda berbandingnya. Zara ibarat adik buatnya.

Di suatu hari, Zahid menghabiskan masa hujung minggunya di bandar. Zahid singgah sebentar di restoran  makanan segera. Sudah lama dia tidak ke sana, menjamu dan menikmati hidangan yang ada. Hakikatnya, amat jarang Zahid akan makan di luar. Namun, untuk hujung minggu itu, Zahid tergerak untuk menghabiskan masa seketika.

Pesanan dibuat di kaunter. Menu ringkas diminta Zahid. Beberapa ketul ayam dan kentang putar bersama roti. Itulah pilihan Zahid untuk makan tengah hari. Barisan di kaunter itu agak panjang. Di belakang Zahid kelihatan ramai yang menanti. Sebaik sahaja Zahid menghulurkan wang bayaran, dan sejurus menerima pesanan yang diminta, maka perlahan-lahan Zahid mengangkat dulang pesanan dari meja kaunter itu. Zahid bersedia untuk bergerak ke meja makan, andai masih ada yang kosong.

“Abang?..... Abang Zahid?”

Satu suara didengari Zahid. Menangkap kalbunya. Mencipta satu getaran yang sudah lama tidak dirasakan. Saat mendengar suara itu, Zahid bagaikan berada kembali di alam bahagia suatu masa dahulu. Suara yang pernah mencipta hari-hari gembiranya. Suara yang cukup dirinduinya.

Zahid menoleh ke belakang. Cuba dilihat gerangan yang memanggil namanya. Debaran Zahid bagaikan menduga. Dia seakan pasti itulah orangnya.

“Thahirah?”

Mata Zahid terpana kembali melihat wanita yang berdiri di belakangnya. Zahid terkesima, tiba-tiba menjadi kaku. Matanya terus melihat wajah wanita di hadapannya itu. Suasana kesibukan di restoran itu bagaikan hilang semuanya. Zahid ternyata hilang dari dunia sebenar. Terus terpesona dengan wanita itu. Sudah lama tidak bertemu, bertahun lamanya. Thahirah yang pernah mencipta sisi bahagianya muncul semula. Dunia bagiakan berputar ke zaman sebelumnya. Zaman keindahan buat mereka.

Thahirah tersenyum sahaja sebaik melihat Zahid terkaku sebegitu. Wajahnya tetap sama seperti dulu. Senyuman manisnya masih kekal tidak berubah. Mungkin banyak kisah dukanya, namun senyum itu masih jujur dan ikhlas. Thahirah ibarat tidak ditelan masa. Masih sama seperti beberapa tahun dahulu.

“Jom abang. Kita duduk dulu,” ajak Thahirah sambil menarik tangan Zahid dalam keramaian orang itu. Zahid hanya menurut sahaja, ditarik dan dipimpin tangan halus mulus si Thahirah itu. Sentuhan itu mencetuskan kenangan-kenangan lalu. Thahirah kelihatan bersahaja, seolah-olah apa yang telah berlaku sebelum ini tidak pernah terjadi.

Zahid terus berjalan mengikut rentak Thahirah. Dibawa menuju di satu sudut restoran, di saat mereka berdua lebih selesa untuk berbicara. Zahid duduk, begitu juga Thahirah. Zahid terus memandang tepat wajah Thahirah. Senyuman dijelmakan Thahirah tanpa jemu sepanjang tempoh itu. Wajah manisnya jelas mencipta degupan rindu Zahid.

“Abang apa khabar?” soal Thahirah sebaik semuanya kelihatan reda.

Zahid menguntumkan senyuman buat Thahirah. Matanya masih tidak berkedip melihat wajah Thahirah.

“Dah lama abang tak tengok senyuman Ira. Dah lama abang tak tengok wajah Ira…” luah Zahid. Soalan Thahirah tidak dijawabnya.

“Mungkin ini takdirnya. Mungkin rindu abang dah lama. Allah pertemukan kita semula abang…” balas Thahirah tersenyum.

“Abang sihat. Macam dulu juga tetap sihat,” balas Zahid.

“Abang mengajar di mana sekarang?” soal Thahirah.

“Thahirah masih menetap di Kuala Lumpur?” soal pula Zahid.

“Ira masih macam dulu kerjanya. Tapi dah berpindah ke sini…” balas Thahirah.

“Ya… abang pun mangajar di sini. Tak jauh dari rumah…” balas pula Zahid.

“Macam mana hidup abang sekarang?” soal Thahirah. Persoalan demi persoalan diajukan. Makanan di atas meja tidak lagi disentuh mereka.

“Mungkin hidup Ira dah bahagia sekarang kan?” soal Zahid. Sekali lagi soalan dibalas soalan.

“Bahagia abang…. Bahagialah Ira…” balas Thahirah.

“Abang tak pernah bahagia Ira…. Tak pernah rasa bahagia….” kata Zahid. “Bahagia tu datang seketika, kemudian hilang begitu saja. Abang cuba cari bahagia, tapi tak kekal lama….” katanya lagi.

Thahirah terdiam seketika. Dia seakan mengerti dengan kata-kata Zahid itu.

“Jadi…. Abang belum lagi berkahwin?” soal Thahirah secara spontan. Soalan tersebut terus diajukan Thahirah. Hakikatnya, itulah yang ingin ditanya Thahirah dari awal. Namun bicaranya berkias-kias, tidak mahu kelihatan seperti kurang sopan andai diajukan pertanyaan sedemikian secara terus.

Zahid memandang Thahirah. Senyuman dikuntumkan.

“Thahirah pula macam mana? Dah kahwin?” soal Zahid. Persoalan yang mungkin juga bermain di fikiran Zahid saat itu.

Thahirah pula membisu. Lama juga sehingga mencetuskan rasa canggung di antara mereka. Lantas, Zahid kembali berbicara.

“Maafkan abang Ira…. Maafkan abang atas salah dan silap dulu…” luah Zahid.

Thahirah tersenyum secara tiba-tiba.

“Kesetiaan seringkali diuji abang,” balas Thahirah. “Alhamdulillah, mungkin bukan sampai masanya. Ira masih mencari bahagia yang sebenar…” katanya lagi.

Zahid tersenyum mendengar kata-kata Thahirah itu. Fahamlah Zahid akan status Thahirah di saat itu. Perbualan mereka berlangsung untuk detik-detik seterusnya. Mereka terus berbual dari satu hal ke hal yang lain. Pelbagai perkara dikongsikan mereka.  Bertahun tidak berjumpa pasti banyak perkara yang ingin diceritakan.

Itulah hari paling sukar dilupakan Zahid. Bertemu semula cinta pertamanya, menemui kembali Thahirah dan dia masih tetap sama tidak berubah. Zahid terbawa kembali ke zaman universitinya. Terkenang kembali detik-detik manis di saat Thahirah bertemu dengannya secara tiba-tiba di satu masa dahulu. Masih segar di ingatan Zahid detik dirinya bersama Thahirah bersama-sama menuju ke kampung. Mohon restu dari kedua ibu bapa Thahirah, dan kemudian segalanya berubah.

“Memang kemalangan tu banyak mengubah kita. Tapi dari situ kita belajar untuk jadi lebih matang…” kata Thahirah sebelum mereka beredar dari restoran tersebut. “Walau apa pun, semakin hari, kita semakin meningkat usia. Begitu juga dengan fikiran kita, semakin matang dalam membuat keputusan,” katanya lagi.

Di akhir pertemuan tak dijangka itu, Thahirah meminta janji dari Zahid. Mereka menetapkan janji untuk bertemu sekali lagi di hujung minggu. Taman menjadi lokasi pertemuan mereka nanti. Kata Thahirah, banyak lagi yang ingin dibualkannya bersama Zahid.

“Jadi, perlu ke saya jumpa Thahirah lagi?” soal Zahid. Bicara itu dipanjangkan kepada Zara. Zahid meminta pandangan Zara dalam hal ini. Perbualan telefon sekali lagi tercipta di antara Zara dan Zahid.

“Jadi…. Siapa sebenarnya Thahirah ni cikgu?” soal Zara ingin tahu. “Apa kisahnya dengan cikgu? Maaf saya bertanya…”

“Thahirah ialah kisah lama saya. Kisah manis saya yang tak kesampaian satu masa dahulu,” balas Zahid.

“Cuba cikgu ceritakan pada saya….” minta Zara.

Lantas kisah lama disingkap semula. Kisah beberapa tahun sebelum ini dikongsikan Zahid kepada Zara. Satu demi satu diceritakan Zahid. Kisah perjalanan hidup Zahid membuka banyak rahsia yang disimpannya sebelum ini. Kini bukan lagi kisah Alia yang dikongsikannya. Malah, kisah-kisah sebelum ini dari Syahida, Adila, Nadira sehinggalah menuju ke kisah Thahirah, maka semuanya dibuka satu demi satu. Rahsia bukan rahsia lagi. Semuanya diceritakan Zahid kepada Zara.

“Cikgu….. banyak sungguh dugaan cikgu sebelum ni,” luah Zara sebaik mendengar kisah Zahid itu. “Kenapa cikgu tak pernah ceritakan semuanya pada saya sebelum ni?” soal Zara.

“Ada waktunya, kenangan lama perlu dilupakan. Kalau dikongsikan, kita akan teringat kembali. Pedih yang akan kita dapat,” balas Zahid.

“Ya… saya faham sangat-sangat cikgu….” kata Zara.

“Jadi, apa yang saya perlu buat Cik Zara? Perlukah saya jumpa sekali lagi Thahirah tu?” soal Zahid.

“Cikgu…. Dalam soal ni, mana-mana pun tak salah. Thahirah pun tak salah, cikgu pun tak salah. Situasi dan keadaan saja yang tak memihak cikgu dengan Thahirah tu. Saya tak nampak kenapa cikgu perlu lari lagi darinya,” balas Zara.  “Cikgu… ingat satu perkara ni saja. Susah kita nak jumpa orang yang cukup setia. Orang yang betul-betul sayang dengan kita, yang betul-betul baik. Kalau dah jumpa, jangan lepaskan sebab mungkin kita takkan jumpa lagi orang sepertinya…”

Kata-kata Zara ada benarnya. Zahid faham apa yang perlu dilakukannya. Nasihat yang diberikan Zara cukup membantunya.

“Apa pun, saya fikir elok cikgu jumpa saja dia. Saya yakin, pasti ada perkara yang ingin dia bincangkan…”

Maka atas nasihat Zara itulah, Zahid memberanikan diri untuk bertemu Thahirah sekali lagi. Pertemuan di taman itu mencetuskan pelbagai persoalan. Zahid sedikit gementar dalam debaran. Kerisauan timbul.

“Apakah Thahirah akan melepaskan amarahnya kepadaku? Apakah itu tujuan sebenar pertemuan yang akan berlangsung ini?” soal Zahid sendiri saat memandu menuju ke taman.

Setibanya di taman, Zahid terus menuju ke kawasan yang telah dijanjikan. Di sebuah kawasan lapang berhampiran pokok hujan, terdapat sebuah kerusi batu mengadap ke arah tasik. Di pagi hari, kedinginan  masih terasa. Udara segar ternyata memberi kedamaian untuk perjumpaan itu.

Di saat Zahid melangkah berjalan, dari jauh sayup-sayup kelihatan susuk tubuh kecil seorang wanita sedang duduk di kerusi batu itu. Tahulah Zahid saat melihatnya, bahawa Thahirah telah menunggunya di situ.

“Nampak tak gentleman pula rasanya bila lelaki yang lewat, perempuan yang menunggu,” kata Zahid memulakan bicara. Thahirah tersenyum sahaja mendengarnya.

“Assalamualaikum abang,” Thahirah memberi salamnya.

“Waalaikumussalam,” jawab Zahid.

Thahirah bangun dari duduknya. Dia menghampiri Zahid yang berdiri menghadap tasik di hadapan mereka. Di saat itu, fikiran Zahid tidak dapat menduga, situasi yang bakal terjadi selepas itu.

“Abang…” Thahirah memulakan bicara. Matanya cuba memandang tepat ke arah wajah Zahid yang berdiri di sebelahnya. Zahid membalas pandangan itu dengan sedikit kuntuman senyuman.

Namun belum sempat Thahirah ingin meneruskan tutur katanya, Zahid mencelah dengan pemula bicaranya.

“Maafkan abang. Maafkan abang. Abang sangat-sangat nak minta maaf dari Ira…” luah Zahid. “Abang memang banyak silap dengan Ira…”

“Semua yang terjadi bukan berpunca dari abang. Ira tak pernah fikir abang yang bersalah,” balas Thahirah. “Mungkin pada waktu tu, Allah masih belum takdirkan kita untuk bersatu. Mungkin kita banyak kekurangan lagi pada waktu tu. Kalau Allah tak izin, kita tak terdaya nak melawannya,” kata Thahirah.

“Tapi… abang tinggalkan Thahirah begitu saja. Abang tinggalkan tanpa sebarang sebab. Tanpa sebarang kata-kata. Abang biarkan Thahirah dalam keadaan tertanya-tanya. Abang seksa Thahirah dalam tempoh yang lama… sangat lama….” kata Zahid.

Kenangan lalu disngkap kembali. Kisah Zahid yang meninggalkan Thahirah secara tiba-tiba di saat mereka sedang rancak merancang untuk berumah tangga dan itu pasti mengguris hati Thahirah.

“Ira tahu… itu bukan salah abang. Ira tahu abang dalam keadaan terpaksa…” kata Thahirah.

“Abang tak nak Thahirah jadi derhaka pada bapa. Hidup kalau tak ada restu, carilah macam mana pun bahagianya, pasti takkan jumpa,” kata Zahid.

“Ira tahu… memang semuanya disebabkan bapak. Sebab tu Ira tak pernah salahkan abang,” luah Thahirah.

“Jangan sama sekali salahkan bapa Ira. Tiap-tiap bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anaknya. Pasti dia ada sebab untuk semua tu…” kata Zahid.

“Memang Ira tak nafikan… memang Ira rasa kecewa sangat dengan apa yang dah terjadi. Memang Ira rasa pedih, rasa terluka. Tiga tahun tempohnya cukup lama. Ira terpaksa harungi semua ni berseorangan…”

“Maafkan abang…”

“Tapi…. Dalam tempoh tu jugalah Ira cuba bina kekuatan. Ira cuba untuk harungi semuanya dengan tabah. Ya… memang sukar, tapi bila difikirkan balik, apalah sangat penantian Ira ni berbanding penantian abang satu masa dulu. Kalau dulu Ira pernah tinggalkan abang dalam persoalan, mungkin itu jugalah yang berlaku pada Ira kemudiannya. Ira dah rasa apa yang abang rasa dulu,” kata Thahirah.

Zahid mendengar setiap tutur bicara Thahirah itu. Terlahir satu ketabahan tatkala Thahirah menceritakan apa yang berlaku selepas dia meninggalkan Thahirah.

“Jujur abang cakap, bila abang tinggalkan Ira, itu bukan atas kerelaan abang. Abang tak ada pilihan. Abang perlu lakukan juga,” luah Zahid.

Thahirah kemudian mengundurkan dirinya. Perlahan-lahan dia kembali duduk di kerusi batu yang didudukinya sebelum ini. Zahid terus berdiri di tempat yang sama. Terus melontarkan pandangannya ke arah tasik di hadapannya.

“Abang… selama tiga tahun ni, Ira tak pernah buka pintu hati Ira untuk sesiapa. Ira tak sanggup. Ira tak mampu nak lupakan abang. Sebab…. Ira terus mengharap apada abang. Ira terus menanti abang,” luah Thahirah. “Mungkin Allah Maha Kuasa, ditakdirkan Ira jumpa abang kembali sekarang. Betapa gembiranya bila Ira dapat lihat dan tatap wajah abang semula….”

Zahid terkedu dan terharu mendengar luahan Zahid itu. Serta merta dia menoleh dan memandang tepat ke wajah Thahirah yang duduk di kerusi batu itu. Hakikatnya, Zahid tersedar betapa setianya Thahirah untuknya. Betapa sayangnya Thahirah terhadap dirinya. Hakikatnya juga, Zahid tidak sepertinya. Selepas meninggalkan Thahirah, dia menjalin hubungan dengan wanita lain tidak lama selepas itu.

“Malu abang dengan Ira. Kuatnya setia Ira pada abang. Tapi…. Abang tak sekuat tu Ira. Sebab abang pernah jatuh hati dengan orang lain selepas Ira…” luah Zahid. “Mungkin abang tak setia macam Ira…”

“Semua tu kisah lalu abang. Tiap-tiap yang terjadi adalah pengajaran untuk kita. Walau apa pun yang dah abang lalui…. Perasaan Ira pada abang tak pernah berubah,” kata Thahirah. “Abang…”

Thahirah memandang Zahid. Thahirah seolah-olah memanggil Zahid untuk menghampirinya. Lantas perlahan-lahan Zahid berjalan menghampiri Thahirah. Zahid kemudian duduk di sebelah Thahirah.

“Apa perasaan abang pada Ira sekarang?” soal Thahirah.

Zahid terkedu dengan soalan itu. Soalan itu mudah namun dilihat sukar untuk dijawabnya.

“Kalau abang masih sayangkan Ira, boleh tak kalau Ira nak minta sesuatu dari abang?” soal Thahirah lagi.

“Minta apa Ira?” soal Zahid ringkas.

“Boleh tak kalau abang jadikan Ira sebagai isteri abang?” soal Thahirah. Soalan yang terkeluar dari mulut Thahirah itu ternyata amat janggal. Seorang wanita meminta seorang lelaki mengahwininya. Ibarat perigi mencari timba.

“Tapi…. Macam mana dengan bapa Ira?” soal Zahid.

“Bila usia makin meningkat, bila waktu berubah, hati manusia juga turut berubah abang. Percayalah, semuanya pasti berbeza,” terang Thahirah.

Zahid terdiam dan terkelu sekali lagi. Tiada tutur bicara yang mampu diperkatakan. Ibarat mimpi menjadi kenyataan.

“Semuanya terpulang pada abang. Kalau Ira mengharap pada abang, tapi abang tak seperti dulu, Ira redha kalau itu yang terjadi…” kata Thahirah. Dia kemudian bangun dari duduknya. “Abang… percayalah, walau apa pun yang berlaku, tiap-tiap susah itu pasti ada kebahagiaan di akhirnya…”

Saat itu Thahirah berjalan dan meninggalkan tempat pertemuan itu. Zahid terus duduk. Pertemuan berakhir di situ. Thahirah pulang selepas itu. Zahid masih terus duduk di kerusi itu barangkali terkejut atau terkesima dengan kata-kata yang diluahkan Thahirah itu.

“Assalamualaikum abang…” Thahirah memberi salam sebelum berlalu pergi.

Thahirah meninggalkannya dengan satu persoalan yang cukup besar. Hakikatnya, Zahid gembira dalam ketidaktentuan. Di saat dia cukup bersyukur dengan perkhabaran yang dinyatakan Thahirah itu, di saat itu jugalah Zahid menjadi risau.

“Apakah aku masih sayangkan Thahirah?” soal Zahid.

Lantas di suatu masa, kepada Zara menjadi tempat rujukan bagi Zahid. Hakikatnya, hanya perempuan memahami isi hati perempuan. Maka disebabkan itu, Zahid sanggup memandu jauh ke selatan semata-mata mahu bertemu dengan Zara. Pertemuan tersebut semata-mata untuk berbicara seketika, berkongsi kisah di antara Zahid dan Thahirah. Mereka bertemu di suatu petang.

“Apa yang saya perlu buat Cik Zara?” soal Zahid.

“Cikgu…. Semuanya bergantung pada kata hati cikgu,” balas Zara tenang. “Kalau cikgu rasa cikgu masih ada perasaan sayang pada dia, cikgu terimalah dia kembali. Saya tahu, cinta pertama memang sangat bermakna dan cikgu beruntung sebab masih berpeluang untuk kembali pada dia…”

“Cuma saya tak pasti, apakah saya ni masih sayangkan dia macam dulu? Apakah saya masih cintakan dia?”

“Cikgu mohonlah pada Allah. Mintak petunjuk dari-Nya. Minta dibukakan pintu hati cikgu. Minta diterangkan mana yang gelap. Insya-Allah, bila kita dekat dengan Allah, pasti kita akan temui jawapannya,” kata Zara.

“Semuanya berlaku dengan pantas. Kemunculan secara tiba-tiba. Saya jadi keliru…”

“Itu namanya jodoh. Mungkin masa cikgu dah tiba. Mungkin jodoh cikgu dah sampai…” kata Zara.

Kata-kata itu terus terngiang-ngiang di fikiran Zahid sepanjang pemanduannya menuju pulang ke utara. Pertemuan itu ternyata sangat singkat. Apa yang Zahid harapkan hanyalah baris-baris nasihat dari Zara. Zahid tahu, hanya Zara sahaja yang mampu membantunya. Zara menjadi tempat rujukannya setiap kali menghadapi sebarang persoalan.

Hari pantas berlalu. Maka tibalah detik yang dinantikan. Setelah pelbagai kisah duka diharungi Zahid, maka mungkin tibalah masa untuk Zahid menikmati bahagia. Setelah berbulan berlalu, pertemuan di antara Zahid dan Thahirah itu ternyata mengubah segalanya. Pertemuan Zahid dan Zara pula mencerahkan kekelaman yang terjadi sebelumnya.

Kini tiba masanya Zahid bakal melalui satu fasa. Setelah difikirkan mendalam-dalam, maka inilah keputusan yang dibuat. Zahid bakal menempuh alam bahagia. Debaran yang dirasakan cukup sukar. Zahid menjadi tak keruan. Pilihan telah diputuskan. Keputusan telah dibuat. Zahid telah memilih.

“Zara… saya harap pilihan saya ni tepat. Saya harap inilah kunci kebahagiaan saya…” bicara Zahid menerusi telefon.  Panggilan dibuat di saat itu. Zara orang pertama yang dihubungi.

“Insya-Allah. Moga berbahagia…” balas Zara ringkas.

Apabila tiba detiknya, Zahid perlahan-lahan turun menuju k ruang tamu. Saat sekeluarga telah bersedia, maka rombongan bakal menuju ke destinasi. Masing-masing dilanda teruja. Kegembiraan bakal dinikmati semua. Rumah pengantin perempuan bakal ditujui mereka.

“Semua di sini dah tak sabar menanti. Cepat ya…” kata Zara menerusi telefon.

Setibanya di rumah itu, perlahan-lahan Zahid dan rombongan masuk ke rumah. Di saat itu hantaran dibawa masuk. Keramaian telah memenuhi kawasan ruang tamu rumah. Itulah saat yang mendebarkan buat Zahid. Kerana langkahnya itu akan menuju ke alam rumah tangga. Majlis akad nikah bakal berlangsung dalam masa yang terdekat.

Hadirin mula menumpukan mata ke arah Zahid. Dengan tenang, Zahid duduk di tengah-tengah ruang tamu itu. Beralaskan kusyen berwarna merah, di hadapannya telah menunggu ketibaannya. Kadi yang bertugas telah siap sedia untuk memulakan acara. Maka hadirin mula membisukan suara.

Di saat itu, hanya Allah yang tahu perasaan Zahid. Kegembiraan tidak dapat disembunyikan.  Namun di satu sudut, kenangan-kenangan lama menerjah di kotak fikirannya. Setiap kecewa dan kesedihan bermain-main seketika di fikirannya. Namun dia tahu, semua itu telah berlalu.

“Moga Allah permudahkan setiap urusanku,” bisik hati kecil Zahid.

Mata Zahid kemudian melihat di penjuru kanan ruang tamu itu. Pengantin perempuan telah duduk di situ. Tunduk sepanjang masa mungkin malu. Namun Zahid dapat melihat dengan jelas wajah cerianya. Itulah wajah yang bakal menjadi teman hidupnya. Semuanya bakal bermula dan bakal berubah.

Zara terus tersenyum di saat itu. Hari bahagia Zahid merupakan hari bahagianya juga. Dia terus setia duduk di sudut yang sama. Terus menunggu untuk majlis berlangsung. Wajahnya kelihatan gembira. Barangkali teruja dengan apa yang bakal berlaku.

“Pengantin perempuan namanya Thahirah. Betul namanya?” soal kadi di hadapan Zahid.

Zahid tersenyum sektika.

“Ya, itu namanya…” balas Zahid ringkas.

Di saat itu, mata Zahid beralih arah melihat Zara. Wajahnya ceria terus tersenyum. Malah senyuman bertambah membunga tatkala menyedari Zahid melihatnya. Senyuman itu tidak pernah pudar di hari bahagia Zahid. Zara terus setia duduk di sebelah Thahirah. Menjadi peneman baik buat Thahirah.

Lantas fikiran Zahid menerawang seketika. Tatkala melihat wajah Zara ketika itu, Zahid terkenang kembali perbualan yang pernah berlangsung di antaranya bersama sahabat baiknya Remi di suatu masa.

“Cuba kau jujur… apa perasaan kau dengan Zara tu?” soal Remi. “Bila dua insan yang kecewa sama-sama berkongsi kisah duka, aku tak fikir kalau hubungan tu sekadar hanya berkawan saja…”

“Mi… Kalau aku suka pun dengan Zara tu, aku tak fikir semua tu boleh membawa makna. Nak mencipta bahagia, kita perlu bertepuk sama-sama. Irama dan bunyi tulah yang akan buat kita bahagia. Memang aku ada perasaan pada Zara. Tapi aku sedar, perasaan tu mungkin tak berbalas. Jadi…. Aku tak boleh berharap pada perkara yang tak pasti…” balas Zahid.

“Tapi, katakanlah Zara tu pun suka pada kau…. Macam mana?” soal Remi.

“Perkataan ‘katakanlah’ tu mencipta harapan. Tak mungkin kita boleh hidup hanya pada harapan. Kita perlu berpijak di bumi yang nyata…”

Perbualan yang tercipta itu tiba-tiba menerjah di fikiran Zahid. Wajah Zara terus dilihatnya. Senyuman yang diberikan Zara memberikan satu kelegaan.

Di saat itu juga, Zara sedar akan pandangan tepat dari Zahid itu. Lantas dia menoleh dan melihat wajah Thahirah yang duduk di sebelahnya. Tangannya kemudian menggenggam tangan Thahirah.

“Akak… moga akak berbahagia dengan Cikgu Zahid…” luah Zara.

“Terima kasih Zara. Terima kasih untuk semuanya…”

Zara terus tersenyum. Senyuman yang dikuntumkan di sebalik rahsia.

“Kau tak pernah ada perasaan pada Cikgu Zahid?” soal seorang sahabat kepada Zara di suatu masa. Kenangan lalu turut tersingkap dalam kotak fikiran Zara ketika itu.

“Kalau aku suka dengan dia pun, layakkah aku untuknya?” balas Zara. “Mungkin aku suka, tapi mungkin tak ke mana…”

Lamunan kenangan lalu Zara terhenti. Mata Zara kembali melihat Zahid. Dia tersenyum kerana itulah hari bahagia buat Zahid.

Majlis perkahwinan bakal berlangsung. Hadirin semakin teruja untuk melihat detik bahagia Zahid. Di kala itu, persoalan demi persoalan timbul. Mungkin itulah takdir Zahid. Mungkin itulah yang tertulis buat Thahirah. Mungkin itulah suratan buat Zara.

Bahagia itu terlalu halus. Ikhlas itu sukar untuk difahami. Kadangkala keikhlasan datang dalam kerahsiaan. Kebahagiaan bererti, sebuah pengorbanan.

Itulah sebuah kisah Zahid di suatu masa. Kerana ia adalah permulaan kepada sebuah kisah panjang yang mungkin akan diceritakan di suatu masa. Sebuah kisah Zahid dan masa depannya.






*Cerpen ini merupakan kesinambungan dari tiga cerpen yang ditulis sebelum ini:



Klik Cerpen untuk melihat cerpen-cerpen lain di blog ini.



(Sebuah lagi cerpen hasil nukilan: Muhammad Yazid Rosly )