Isnin, 13 Oktober 2008

Alhamdulillah, novel Cinta Thahirah hampir 30 peratus telah siap. Pada masa yang sama juga saya sedang sibuk mereka bentuk kulit buku novel ini. Saya juga kini sedang menumpul beberapa buah lagu untuk dimasukkan dalam sountrack novel ini. apa yang pasti, soundtrack kali ini ternyata berbeza dengan sountrack untuk novel sebelum ini. Hampir 80 peratus lagu sountrack ini adalah lagu Melayu.
Insyaallah saya akan memberitahu lagi perkembangan novel ini di masa akan datang.

Selasa, 5 Ogos 2008

Kisah Kaisara kembali lagi di TV3


Akhirnya, setelah beberapa bulan sahaja Kisah Kaisara tamat untuk musimnya yang pertama, akhirnya Kisah Kaisara kembali lagi untuk musim yang kedua. Drama ini disambung lagi untuk musimnya yang kedua disebabkan sambutan yang hangat musim pertama lalu. Kisah Kaisara merupakan drama paling popular di TV3 untuk tahun 2007 mengalahkan sitkom-sitkom yang lain seperti Puteri, Dunia Anita, dan Fara. Bagi saya, sudah semestinya saya menantikan Kisah Kaisara untuk musim yang kedua ini. Memang boleh dikatakan agak menarik juga untuk menonton rancangan ini.

Jika dibandingkan dengan musim pertama, montaj pembukaan Kisah Kaisara lebih menarik. Ditambah pula dengan lagu tema baru nyanyian Elliza yang ternyata lebih sesuai berbanding musim pertama dahulu yang menggunakan lagu Jikalau Aku. Lagu nyanyian Ezlyn tersebut ternyata tidak begitu sesuai dengan jalan cerita kisah ini yang memfokuskan kehidupan remaja di sekolah. Namun untuk musim kedua ini, Nyon Osman berjaya memperbetulkan keadaan ini. Dengan montaj pembukaan yang begitu menarik, menjadikan semua pelakon yang terlibat, Sari Yanti, Wan Sharmilla, Elliza dan beberapa pelakon lagi sebagai tukang sorak, ternyata telah memberi ‘tenaga’ untuk pembukaan drama ini. Hal ini sememangnya dapat menarik penonton untuk menonton Kisah Kaisara.

Namun begitu untuk episod pertama Kisah Kaisara, yang bertajuk Kisah Bermula, jalan ceritanya agak kurang menarik dan sedikit membosankan. Hanya permulaan cerita sahaja terdapat daya tarikan iaitu babak Kaisara dan rakan-rakannya mengadakan pementasan drama Hang Tuah di sekolah. Selain daripada babak itu, babak seperti jamuan makan di rumah Kaisara dilihat seperti meleret-leret dan kelihatan seperti tiada tujuan. Tanpa babak itu sendiri pun, drama tersebut tidak akan cacat. Secara keseluruhannya, episod pertama Kisah Kaisara 2 kurang menyengat berbanding episod pertama Kisah Kaisara 1 dahulu yang bertajuk Berbalas-balas. Episod pertama siri itu lebih menyengat kerana telah menampilkan konflik. Dengan jelas episod itu menampilkan konflik yang berlaku antara Kaisara dan rakan-rakannya dengan Yani. Namun untuk episod pertama musim baru ini, kelihatan seperti tiada apa-apa yang cuba ditonjolkan. Cuma sedikit pengenalan watak baru dalam drama ini ditampilkan. Selebihnya hanya kelihatan meleret-leret.

Namun syabas buat team Ace Motion kerana telah berjaya memperbetulkan beberapa kesilapan semasa musim pertama dahulu. Untuk musim kedua ini, tidak ada lagi watak Kaisara berselendang di dalam rumah. Kaisara ditampilkan dengan imej berambut ketika di rumah, membuatkan drama ini menjadi lebih logik berbanding dahulu – mana ada orang berselendang 24 jam di rumah. Selain itu, penukaran pelakon bagi watak emak Aben – sebelum ini dilakonkan oleh Yasmin Haron, bolehlah dikatakan satu keputusan yang bijak. Aliah Lee ternyata lebih sesuai memegang watak tersebut berbanding Yasmin Haron - barulah kelihatan seperti seorang ibu kepada seorang anak yang berusia 17 tahun. Sebelum ini, Yasmin Haron yang memegang watak tersebut ternyata tidak sesuai. Dia bukannya kelihatan seperti ibu kepada Aben, tetapi kelihatan seperti kakak kepada Aben. Syabas kepada Nyon Osman!

Secara keseluruhannya, drama Kisah Kaisara ini telah berjaya diupgradekan menjadi drama yang lebih berkualiti. Saya mengharapkan drama ini akan menjadi lebih menyengat untuk episod-episod akan datang. Dan tak mustahil untuk saya katakan, drama ini pasti sekali lagi akan menjadi siri drama paling popular di Malaysia! Kepada seluruh krew Kisah Kaisara, syabas!

Selasa, 17 Jun 2008

Alahai rakyat Malaysia. Apabila berkaitan duit, semua laju.

Itulah hakikat yang berlaku baru-baru ini apabila pemberian rebat kenderaan mula diberi minggu lepas. Sesak dengan kebanyakan pejabat pos di seluruh Malaysia pada hari pertama pemberian rebat bermula. Malah ibarat pesta keadaannya di pejabat-pejabat pos dengan pelbagai gelagat orang ramai. Semuanya hanya kerana ingin mendapatkan pemberian rebat yang diberi kerajaan menggantikan pemberian subsidi minyak.

Ironinya, keadaan sebaliknya berlaku di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) beberapa tahun lalu. Pada masa itu, kerajaan telah memutuskan bahawa tarikh akhir untuk penukaran kad pengenalan adalah pada 31 Disember 2006. Kerajaan telah memaklumkan begitu awal mengenai hal demikian. Namun keesokannya, selepas kerajaan membuat pengumuman tersebut, pejabat JPN masih lengang dan berjalan seperti biasa. Namun apabila tiba tarikh 31 Disember 2006, tarikh akhir pembahuruan kad pengenalan, barulah pejabat JPN menghadapi kesesakan orang ramai yang ingin menukar kad pengenalan di saat-saat akhir. Kenapa hal ini berlaku?

Seperti yang diperkatakan tadi, semuanya hanya kerana duit. Pemberian rebat, orang ramai mendapat duit. Penukaran kad pengenalan pula orang ramai perlu mengeluarkan duit. Apabila ini terjadi, tidak mustahillah pada hari pertama pemberian rebat, orang ramai telah mula bersesak-sesak di pejabat pos. Namun bagi penukaran kad pengenalan pula, orang ramai sanggup bersesak-sesak pada hari terakhir yang diberi kerajaan.

Mungkin bagi penukaran kad pengenalan pada waktu itu, kerajaan perlu memberi ganjaran kepada mereka yang menukar awal kad pengenalan dengan pemberian wang berjumlah ratusan ringgit. Mungkin barulah pejabat JPN penuh pada hari pertama selepas kerajaan membuat pengumuman penukaran kad pengenalan itu. Itulah realiti sikap rakyat Malaysia…

Isnin, 16 Jun 2008

3 Faktor Perosak Manusia

Semua orang gemar kepada perkara yang baik dan melakukan kebaikan kerana ia membawa kebahagiaan, kesejahteraan, dan keharmonian. Golongan seperti perompak atau penyamun juga tidak suka harta bendanya dicuri dan diganggu, walaupun mereka menggannggu dan menceroboh kehidupan orang lain.

Keburukan berlaku dalam masyarakat disebabkan beberapa faktor seperti tidak menghiraukan larangan Allah. Begitu juga keharmonian boleh digapai apabila kita menuruti petunjuk Allah yang Maha Kuasa. Menghindari lebih baik daripada mencegah. Muhasabahlah kita agar dapat menghindari daripada faktor perosak manusia.

Saidina Umar berkata, “Sekiranya kamu ingin menghindari keburukan, kamu mesti mengetahui kejahatan itu supaya senang kamu menghindarinya.”

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Ada tiga perkara merosakkan, hawa nafsu yang dituruti, kedekut yang ditaati, dan kekaguman pada diri sendiri.”

Pertama, hawa nafsu bukan dibunuh tetapi dididik. Ini kerana nafsu dunia menjadi indah, sebab itu dunia dibangunkan rasa cinta kepada harta, tahta, dan wanita mengindahkan kehidupan selama mana dalam batas yang dibenarkan. Ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Remaja yang tenggelam dalam hawa nafsunya lemas dalam lilitannya. Cinta tanpa batasan, pergaulan bebas, mahu senang tanpa usaha, berhibur tanpa batasan, dan akhirnya nafsu menjadi Tuhan, berkiblatkan perasaan serta tiada lagi batasan. Pada masa itu, pekak telinganya, buta matanya, dan akhir sekali terkunci hatinya. Allah sudah mengingatkan umatnya dalam firman-Nya yang bermaksud: “Pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan? Allah membiarkan mereka sesat dalam keadaan berilmu lalu Allah mengunci mati pendengaran dan hatinya.”

Subjek pembelajaran sepatutnya ditekankan untuk mengendalikan hawa nafsu. Remaja sepatutnya bukan hanya memburu kecerdikan tetapi kebaikan.

Kedua, sifat yang merosak ialah kedekut. Terlalu cintakan harta hingga tidak mengeluarkan zakat. Tidak terpanggil membantu sesama Muslim dalam bidang ekonomi juga dipanggil kedekut. Sama ada menyokong mereka dengan membeli produk atau dengan tidak menjatuhkannya. Keekut bukan terbatas kepada wang sahaja tetapi merangkumi kedekut idea, pemdapat, kedekut nota kuliah, resipi, dan tenaga.

Program kebaikan dan bermanfaat di kampus dan surau serta masjid kadang-kadang tidak mandapat sokongan memberangsangkan dalam kalangan remaja. Tetapi jika konsert dan hiburan, tanpa dijemput sanggup melakukan apa sahaja untuk menikamatinya. Pemuda yang mewarisi negara perlu belajar menjadi pemurah, suka membantu, ringan tangan, dan penyokong setia kebaikan.

Ketiga, sifat membanggakan diri. Ia merosakkan diri, keluarga, dan masyarakat. Orang yang bangga diri biasanya berasa ada kelebihan luar biasa pada dirinya yang tidak mampu ditandingi orang lain. Mereka yang terkena penyakit begini biasanya mudah memperkecilkan orang lain Apabila melakukan kesalahan sukar untuk diri mengakuinya, jarinya mudah menuduh dan menuding orang lain. Fitnah terkutuk sanggup dilakukan demi untuk menjaga nama baik dirinya yang sebenarnya memang jelak.

Sama-samalah kita bermuhasabah diri…..

Isnin, 9 Jun 2008

Sinopsis Cinta Thahirah

Novel ini mengisahkan mengenai Zahid yang merupakan seorang akauntan sebuah bank yang berusia dalam lingkungan 20-an. Dia tinggal berseorangan di sebuah rumah banglo di Kampung Jambu, kawasan kediaman yang terletak di pusat bandar Taiping. Keluarganya sebelum ini menetap di Taiping tetapi kini berada di Butterworth mengikut ayahnya yang menjadi pengetua di sebuah sekolah di sana. Zahid mempunyai seorang adik perempuan yang bernama Sheera. Sheera merupakan pelajar di Universiti Sains Malaysia dalam bidang pendidikan. Dia merupakan seorang yang sangat manja dengan abangnya. Setiap kali mempunyai cuti, dia akan pulang ke Taiping untuk berjumpa abangnya.

Zahid mempunyai seorang rakan karib yang sangat rapat dengannya. Orang itu ialah Izham, yang telah menjadi rakan kepada Zahid sejak di sekolah menengah lagi. Izham telah pun berkahwin. Nama isterinya ialah Erma, yang juga merupakan rakan kepada Zahid. Izham merupakan rakannya sama ada ketika dia dalam kesusahan atau ketika senang.

Secara ringkasnya, Cinta Thahirah berkisarkan kisah mengenai pencarian cinta Zahid dalam mencari cinta yang benar-benar suci (Thahirah). Pelbagai kisah berlaku semasa pencarian itu yang akhirnya membawa kepada penyimpulan bahawa cinta suci itu hanya akan wujud jika seseorang itu merasa cinta kepada Allah dan rasulNya. Apabila dua cinta ini wujud dalam diri seseorang, maka cinta yang akan lahir dalam dirinya itu terhadap manusia yang lain akan menjadi suci. Cinta yang wujud itu bukanlah kerana faktor kecantikan, kekayaan, atau kekuasaan tetapi sebaliknya datang dari hati yang benar-benar suci.

Dalam Cinta Thahirah ini, Zahid sebenarnya mempunyai hubungan dengan seorang wanita yang bernama Khadijah. Khadijah bukanlah kekasih Zahid, tetapi hubungan yang terjalin antara mereka tidak dapat ditafsirkan dengan jelas. Mereka seolah-olah seperti adik-beradik dalam perhubungan itu. Zahid menganggap Khadijah sebagai adiknya, dan begitu juga Khadijah yang menganggap Zahid sebagai abangnya. Perhubungan unik ini menyebabkan mereka tidak pernah sama sekali untuk jatuh cinta antara satu sama lain. Namun perhubungan mereka itu dibataskan dengan hukum syarak.

Segala-galanya berubah apabila satu hari Zahid terdetik di dalam hatinya untuk memperisterikan Khadijah. Ironinya, dia mempunyai niat itu tanpa disertakan dengan perasaan cinta terhadap Khadijah, suatu yang menentang dengan kebiasaan orang lain yang ingin berkahwin, iaitu ‘bercinta dahulu sebelum berkahwin’. Hal ini diberitahu kepada Izham, rakan baiknya. Izham yang mempunayi banyak pengalaman, dengan rela hati membantu rakannya itu untuk mencapai hajatnya. Pelbagai usaha dilakukannya untuk merapatkan lagi hubungan Khadijah dan Zahid.

Di pihak Khadijah pula, Murni rakan kepada Khadijah memainkan peranan pula. Dia juga turut membantu Izham bagi mengeratkan lagi perhubungan antara Zahid dan Khadijah. Banyak sebenarnya usaha yang dilakukan sehingga akhirnya Zahid dan Khadijah berkahwin. Namun, disebalik semua itu, terdapat satu perkara yang tidak diketahui oleh orang lain mengenai Zahid. Hal tersebutlah menyebabkan Zahid begitu bersungguh untuk mencari jawapan kepada cinta sucinya itu. Apakah perkara tersebut? Ikuti kisah selanjutnya di dalam novel Cinta Thahirah.

p/s: novel ini baru 15% dalam pembikinan. Insyaallah, awal tahun 2009 novel ini akan siap sepenuhnya.


Ahad, 8 Jun 2008

Tahniah kepada pengundi BN yang telah memberikan mandat kepada Pak Lah untuk menaikkan harga minyak!

Apa lagi yang boleh diperkatakan terhadap tindakan kepimpinan Pak Lah yang melaksanakan satu tindakan membunuh dirinya apabila beliau menaikkan harga minyak baru-baru ini. Walaupun subsidi ditarik balik, Pak Lah menyatakan bahawa subsidi minyak tersebut sebenarnya disalurkan kepada bentuk lain seperti bayaran rebat kepada pemilik kenderaan yang terpilih. Bunyinya seperti baik kerana seolah-olah membantu rakyat. Namun sebenarnya tindakan itu tidak lebih hanyalah untuk mengaburi mata rakyat. Sebenarnya jumlah wang yang diberikan kepada pemilik kenderaan tidaklah begitu banyak untuk menampung kembali kos petrol yang terpaksa ditanggung ekoran kenaikan harga minyak. Ibaratnya seperti memotong perbelanjaan anak dari RM2 kepada RM1 tetapi akan digantikan dengan bayaran upah 50 sen jika anak itu membantu kerja-kerja rumah. Bunyinya seperti bagus, tetapi apabila dijumlahkan keseluruhan wang yang anak itu dapat hanyalah RM1.50, kurang 50 sen daripada jumlah wang belanja asal. Begitulah yang sedang dihadapi rakyat Malaysia hari ini.

Mungkin perkara ini hanya akan berubah jika kerajaan persekutuan BN tumbang dan kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat terbentuk, mungkin dalam masa beberapa bulan dari sekarang...

Jumaat, 30 Mei 2008

Remaja bercinta, adakah itu budaya Islam?

Pada hari ini, budaya bercinta dalam kalangan remaja boleh dikatakan menjadi satu kemestian bagi setiap daripada mereka. Malah sehingga sampai satu tahap seseorang remaja yang tidak mempunyai pasangan dikatakan ketinggalan. Persoalannya adakah itu satu budaya Islam?

Islam menyarankan setiap umatnya untuk menjauhi segala perkara yang boleh menghampiri zina. Budaya bercinta yang banyak diamalkan dalam kalangan remaja pada hari ini adalah salah satu perkara yang boleh menghampiri perbuatan zina. Siapa lagi orang ketiga yang berada ketika dua pasangan bercinta itu berjumpa jika bukan syaitan? Apabila syaitan menjadi orang ketiga itu, maka hasutan-hasutan menghampiri kemaksiatan sudah pasti semakin mudah dihembus kepada pasangan tersebut. Oleh itu, tidak mustahil jika zina boleh berlaku selepas itu.

Selain itu juga, bercinta juga boleh menyebabkan seseorang itu lalai daripada mengngati Allah. Mustahillah jika solat seseorang itu kusyuk sekiranya dalam kepala mereka hanya sering memikirkan ‘si dia’. Mungkin memikirkan mengenai ‘si dia’ itu memang menyeronokkan, namun hakikat yang perlu diketahui keseronokan itu sebenarnya datang daripada hasutan syaitan sebenarnya. Keseronokan sebenar yang perlu dinikmati oleh setiap insan ialah keseronokan mengingati Allah dan rasulNya.

Perasaan cinta sebenarnya bukanlah diharamkan dalam Islam kerana ia merupakan fitrah semula jadi manusia. Namun cara untuk bercinta itu perlulah mengikut landasan Islam. Bercinta sememangnya diharuskan kepada pasangan suami isteri. Melalui perasaan cinta yang disemai, kehidupan pasangan suami isteri tersebut akan lebih indah untuk dilayari bersama. Cinta sebegitu memang tidak akan diharamkan Islam.

Persoalan juga perlu ditimbulkan kepada remaja hari ini yang bercinta. Adakah mereka bercinta kerana tertarik dengan hati dan peribadi pasangan mereka, atau tertarik kerana nafsu semata-mata. Jawapannya mudah, kerana nafsu sahaja kebanyakan mereka itu. Cinta yang berlandaskan nafsu tidak akan kekal lama. Ia sebenarnya sebahagian daripada hasutan syaitan.

Bagi saya, bercintalah seseorang itu selepas mereka berkahwin kerana ia adalah lebih indah dan akan lebih segar sepanjang masa. Tambahan pula percintaan itu tidak akan sama sekali menjurus ke lembah dosa. Apa gunanya kalau bercinta sebelum kahwin yang ternyata boleh mendatangkan dosa kepada seseorang, dan apabila telah berkahwin, perasaan cinta itu semakin pudar. Bukankah itu merugikan? Fikir-fikirkanlah wahai remaja sekalian...

p/s: Saya tak pernah bercinta, tetapi meminati seseorang. Semua ciri yang ada pada dirinya memenuhi ciri seorang isteri yang saya ingini. Saya harap orang itulah yang akan menjadi isteri saya nanti supaya saya dapat bercinta dengannya apabila telah berkahwin dengannya kelak...

Khamis, 29 Mei 2008

Novel Cinta Thahirah, novel terbaru akan datang

Insyaallah, novel Cinta Thahirah sedang dalam proses penghasilannya. Novel ini merupakan novel ke enam saya selepas novel Diariku Diarimu(2003), Cinderella Junior(2003), Romeo & Juliet Junior(2003), Warisan(2007), dan Kumajipakat(2008). Insyaallah sinopsis novel ini akan saya usulkan tidak lama lagi.

Bangga atau bersyukur? Pelajar sekarang apabila menjadi pelajar cemerlang

Pelajar sekolah pada hari ini ternyata mementingkan kecemerlangan dalam pelajaran. Hakikatnya itu adalah sesuatu yang baik untuk kemajuan negara. Namun, di sebalik itu, terdapat nilai kebanggaan diri wujud dalam diri pelajar yang cemerlang itu. Maka tidak hairan apabila seringkali kedengaran bahawa pelajar cemerlang itu sombong terhadap pelajar biasa yang lain.

Tudung dan artis kita


Sejak kebelakangan ini, banyak artis tanah air mula mengenakan pemakaian tudung untuk menutup kepala mereka. Antara yang paling diketahui umum ialah Datuk Siti Nurhaliza yang mula bertudung selepas mengerjakan haji tahun lalu. Namun pemakaian tudung yang cuba ditonjolkan oleh artis kita tidaklah mengikut syarak yang sebenar. Hal ini amat membimbangkan kerana fesyen bertudung mereka ini mungkin akan mempengaruhi masyarakat umum yang cuba mengikut gaya arti-artis ini. Seperti Datuk Siti, tudung yang dipakainya itu bukanlah menutup aurat sebenarnya tetapi sebaliknya hanya menutup rambutnya sahaja. Bukankah itu seperti mempermainkan suruhan agama? Sama-samalah kita berfikir

Ezam ibarat ayam jantan yang gah berkokok tetapi ekornya dipenuhi najis


Ada banyak rumours diperkatakan apabila Ezam Mohamed Nor menyerahkan borang keahlian Umno seumur hidup kepada Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen semalam.
Ezam mengatakan beliau berhasrat masuk Umno bukan kerana mengkagumi personaliti Abdullah, sebaliknya perubahan dasar yang dijalankan khususnya dalam persoalan Badan Pencegah Rasuah dan isu kehakiman, begitu menarik minatnya.
Hakikatnya pada beliau perubahan dasar yang dibuat oleh Abdullah, Kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi Umno begitu mendorong pendiriannya untuk berubah.
BN dan Umno sudah berubah? Benarkah begitu? Apakah pendirian yang diambil Ezam sekarang ini, sinomin dengan perjuangan beliau selama ini?
Ezam sejak dua tahun lepas adalah orang yang tidak berparti. Kisah Ezam keluar KeADILan bukan lagi menjadi isu. Dua tahun lalu beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Angkatan Muda atas alasan hendak menumpukan kepada Gerak.
Namun, ada yang mengatakan beliau bergaduh dengan Naib Presiden KeADILan, Mohamed Azmi Ali, ada juga yang mendakwa Ezam bergaduh dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim.
Ketika Anwar dipecat pada tahun 1998, Ezam adalah Setiausaha Politiknya, manakala Azmin sebagai Setiausaha Sulit.
Kedua-dua anak muda ini merupakan antara tonggak utama dan orang kepercayaan Anwar untuk menggerakkan gerakan reformasi semasa Anwar merengkok dalam tahanan.
Dalam parti politik, pemimpin memang ada banyak perbezaan pendapat. Soal pergaduhan dan bagaimana bentuk pendekatan masing-masing tidak perlu dihuraikan di sini.