Isnin, 9 Jun 2008

Sinopsis Cinta Thahirah

Novel ini mengisahkan mengenai Zahid yang merupakan seorang akauntan sebuah bank yang berusia dalam lingkungan 20-an. Dia tinggal berseorangan di sebuah rumah banglo di Kampung Jambu, kawasan kediaman yang terletak di pusat bandar Taiping. Keluarganya sebelum ini menetap di Taiping tetapi kini berada di Butterworth mengikut ayahnya yang menjadi pengetua di sebuah sekolah di sana. Zahid mempunyai seorang adik perempuan yang bernama Sheera. Sheera merupakan pelajar di Universiti Sains Malaysia dalam bidang pendidikan. Dia merupakan seorang yang sangat manja dengan abangnya. Setiap kali mempunyai cuti, dia akan pulang ke Taiping untuk berjumpa abangnya.

Zahid mempunyai seorang rakan karib yang sangat rapat dengannya. Orang itu ialah Izham, yang telah menjadi rakan kepada Zahid sejak di sekolah menengah lagi. Izham telah pun berkahwin. Nama isterinya ialah Erma, yang juga merupakan rakan kepada Zahid. Izham merupakan rakannya sama ada ketika dia dalam kesusahan atau ketika senang.

Secara ringkasnya, Cinta Thahirah berkisarkan kisah mengenai pencarian cinta Zahid dalam mencari cinta yang benar-benar suci (Thahirah). Pelbagai kisah berlaku semasa pencarian itu yang akhirnya membawa kepada penyimpulan bahawa cinta suci itu hanya akan wujud jika seseorang itu merasa cinta kepada Allah dan rasulNya. Apabila dua cinta ini wujud dalam diri seseorang, maka cinta yang akan lahir dalam dirinya itu terhadap manusia yang lain akan menjadi suci. Cinta yang wujud itu bukanlah kerana faktor kecantikan, kekayaan, atau kekuasaan tetapi sebaliknya datang dari hati yang benar-benar suci.

Dalam Cinta Thahirah ini, Zahid sebenarnya mempunyai hubungan dengan seorang wanita yang bernama Khadijah. Khadijah bukanlah kekasih Zahid, tetapi hubungan yang terjalin antara mereka tidak dapat ditafsirkan dengan jelas. Mereka seolah-olah seperti adik-beradik dalam perhubungan itu. Zahid menganggap Khadijah sebagai adiknya, dan begitu juga Khadijah yang menganggap Zahid sebagai abangnya. Perhubungan unik ini menyebabkan mereka tidak pernah sama sekali untuk jatuh cinta antara satu sama lain. Namun perhubungan mereka itu dibataskan dengan hukum syarak.

Segala-galanya berubah apabila satu hari Zahid terdetik di dalam hatinya untuk memperisterikan Khadijah. Ironinya, dia mempunyai niat itu tanpa disertakan dengan perasaan cinta terhadap Khadijah, suatu yang menentang dengan kebiasaan orang lain yang ingin berkahwin, iaitu ‘bercinta dahulu sebelum berkahwin’. Hal ini diberitahu kepada Izham, rakan baiknya. Izham yang mempunayi banyak pengalaman, dengan rela hati membantu rakannya itu untuk mencapai hajatnya. Pelbagai usaha dilakukannya untuk merapatkan lagi hubungan Khadijah dan Zahid.

Di pihak Khadijah pula, Murni rakan kepada Khadijah memainkan peranan pula. Dia juga turut membantu Izham bagi mengeratkan lagi perhubungan antara Zahid dan Khadijah. Banyak sebenarnya usaha yang dilakukan sehingga akhirnya Zahid dan Khadijah berkahwin. Namun, disebalik semua itu, terdapat satu perkara yang tidak diketahui oleh orang lain mengenai Zahid. Hal tersebutlah menyebabkan Zahid begitu bersungguh untuk mencari jawapan kepada cinta sucinya itu. Apakah perkara tersebut? Ikuti kisah selanjutnya di dalam novel Cinta Thahirah.

p/s: novel ini baru 15% dalam pembikinan. Insyaallah, awal tahun 2009 novel ini akan siap sepenuhnya.


1 ulasan :

Dyra berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.