Jumaat, 30 Mac 2012

Muhasabah Jumaat: Adakah kamu akan menerima seorang gadis yang tiada lagi daranya?




Soalan itu andai diajukan pada mana-mana lelaki, maka akan beratlah untuk diberikan jawapannya, kerana soal itu adalah satu soalan yang pasti sukar diberikan jawapannya. Namun andai cinta mengatasi segalanya, apakah soal itu akan diketepikan? Mampukah ‘kekurangan’ seorang wanita itu dapat diterima oleh si lelaki atas nama cinta?

Apabila bicara tentang ‘dara’ ini, maka isunya lebih menyentuh tentang soal kesucian dan ketertinggian harga diri seorang wanita. Benar, ‘dara’ itu ibarat penanda aras kepada kesucian seorang wanita. Andai tidak dijaga, maka hilanglah nilai tinggi seorang wanita ini.

Menyentuh isu ini, maka jelaslah sensitiviti itu menjadi perkara utama, kerana perbincangan ini menyentuh soal maruah dan adat sebagai seorang Melayu. Hakikatnya, ‘dara’ itu bukanlah boleh dibicarakan secara terbuka tanpa sebarang alas atau lapik ketika diutarakan isu ini. Silap bicara, maka mungkin boleh mencetuskan perbalahan.

Mengapa ‘dara’? Mengapa penting?

Soalnya mudah, andai si wanita itu menjadikan diri ibarat ‘kereta sewa’ buat si lelaki, dibayar dengan kemewahan, atau jika tidak dengan kemewahan, mungkin dengan hanya bayaran kasih sayang yang palsu atas dasar nafsu dan kehendak hati semata-mata, maka ‘sorong’ dan ‘mendayung’ itu akan menjadi ibarat satu senaman malam di atas tilam yang empuk, sambil nikmat berpelukan bagi menghangatkan suasana malam. Menyundalkan diri, melacurkan maruah, maka ‘dara’ itu tiada kepentingan.

Maksudnya, andai si wanita itu menjadikan zina itu sebagai kebiasaan, maka sudah pasti istilah dara itu tiada lagi dalam diari hidupnya. Maksudnya juga, ‘dara’ itu ibarat kunci, menyekat seorang wanita dari melakukan perkara sumbang, menyekat diri dari terjerumus ke lembah kemaksiatan dalam gelumang dosa yang tak terhitung. Benar, setiap ciptaan-Nya punyai sebab kejadiannya. Dalam soal ini, ciptaan Allah kepada kaum hawa ini adalah sebagai satu tanda ingatan supaya dapat membataskan diri dari melakukan kemungkaran.

Hakikatnya, didapati kini banyak wanita telah terjerumus ke lembah hitam dalam nikmat zina yang mencetuskan huru-hara dalam sistem sosial masyarakat. Jika dibuat tinjaun rambang dalam kalangan wanita, maka jangan terkejut sekiranya didapati bahawa banyak si gadis itu hilang ‘kegadisannya’ sebelum mendirikan rumah tangga.

Tidak menghairankan,  kerana barah masyarakat memang telah menular kini. Nafsu syahwat terkepung dalam nafas yang meluap-luap, hingga tak tertahan untuk dilempiaskan dalam cara yang haram. Apabila rangsangan syahwat itu semakin bertebaran tanpa batasan, baik dari segi pakaian mahupun hingga ke industri pornografi yang berkembang pesat kini, video lucah mahupun pakaian separa bogel  memang mudah didapati. Akses yang mudah, maka si anak muda dirangsang berlebihan hingga dah tak tahan untuk ‘menyorong’, dan tak sabar untuk ‘mendayung’. Tak mampu untuk berkahwin, gelodak nafsu dah tak tertahan, maka opsen mudah adalah zina, dengan istilah lebih lembut diutarakan mereka, ‘senaman kasih sayang’.

Mangsanya ialah wanita. Bila si gadis hilang sucinya, maka si lelaki berlari bertempiaran angkat tangan lepaskan tanggungjawab. Andai si perut gadis membuncit terisi dengan nyawa tak diundang, si lelaki hilang dan pergi tanpa khabar. Si lelaki hanya tahu ‘mendayung’ dan bila si lelaki dapati kapalnya hampir nak karam, ditinggalkan si wanita itu berseorangan ‘ menyorong’ perut sambil menahan malu dek kenikmatan sementara.

Itulah dunia. Wanita juga yang jadi mangsanya.

Benar, si lelaki amat sukar untuk menerima si wanita yang tidak lagi suci. Sebabnya mudah, kesucian itu lambang keutuhan peribadi dan maruah wanita itu. Sudah pasti si lelaki mahukan calon yang terbaik, yang mampu menjadi ibu yang baik buat bakal anak-anaknya kelak. Maka opsen untuk si gadis tiada dara ini nyata bukan dalam senarai pilihannya.

Seorang lelaki itu memang gemar berkawan dengan wanita yang mungkin menjual maruahnya untuk berseronok, namun apabila berada dalam situasi memilih pasangan untuk dijadikan isteri, mereka tidak akan sama sekali memilih si wanita murahan, kerana hanya yang terbaik sahaja yang akan dicari mereka.

Mungkin atas alasan itulah, ramai lelaki mahukan si dara dari si gadis yang ditebuk tupai. Mereka tidak mahu menjadi tupai kedua, mengambil hasil dari bekas kerja orang lain. Bukan barang ‘ second hand’ yang dimahukan, kerana katanya ‘kurang prestasi’ berbanding yang ‘freshie’.  Benar, memilih si dara bererti, memlih seorang wanita yang akan menjadi hak eksklusif  buat si lelaki itu. Jaminan apabila memilih si dara, setidak-tidaknya cerminan peribadi dan maruah diri yang terjaga itu akan muncul di wajah wanita itu.

Dalam erti kata lain, wanita yang suci itu setidak-tidaknya memberi gambaran bahawa dirinya punyai akhlak yang tinggi kerana mampu menjaga maruah diri, walaupun mungkin indah khabar dari rupa pada hakikatnya.

Benar, masih ada lelaki yang sanggup mengetepikan soal kesucian ini. Bagi mereka, barang yang lepas jangan dikenang, asalkan diri telah insaf dan sedar, maka mengapa tidak diberikan peluang yang kedua. Mengapa harus terus menghukum, kerana tiap-tiap hukuman itu hanya akan terus memberi tekanan buat si pesalah itu. Andai cinta terlalu utuh, kisah hitam mungkin dimaafkan.

Ibarat satu dalam sejuta, ibarat sebutir mutiara di dalam lautan, jumpanya sukar, ketemunya payah. Tak ramai si lelaki punyai fikiran sedemikian.

Namun, isunya apabila menyentuh  tentang dara ini, ramai tidak sedar bahawa bukan hanya pensundalan dan penjualan diri itu sahaja yang menghilangkan kedaraan ini, kerana mungkin juga ada dari kalangan mereka itu hilang ‘permata’ disebabkan menjadi mangsa. Benar, kisah mangsa perkosa, tanpa rela disumbatkan derita. Hilang suci, namun hati tak rela. Namun hukuman masyarakat, terus memandang hina setaraf juga si perempuan sundal.

Ketidakadilan itu terjadi, kerana walaupun kedua-kedua kehilangan harga diri, namun metodologi yang menghilangkannya itu ternyata tidak sama. Antara rela dan dipaksa, dua perkara berbeza jika dinilai dalam lubuk hati. Suka dan derita, dua perkara kontra walaupun penyudahnya sama.

Si ‘pemberi kereta’ yang ‘murah hati’ mungkin tidak tertekan bila ‘kunci pintu’ keretanya telah diumpil oleh si ‘penyewa kereta’. Namun bagi si ‘pemilik kereta’ yang tidak pernah mahu menyewakan keretanya, maka bila ada ‘perompak’  mengumpil ‘pintu keretanya’ maka pasti  dirinya menderita. Derita kerana ‘kerosakan’ yang telah terjadi.

Mungkin ada si pembela, mahu menghilangkan kegelapan masa depan si mangsa perkosa ini, dengan mengambil si wanita itu untuk menjadi seorang isteri. Namun, ibarat satu dalam sejuta, yang membelanya sikit, yang mengelaknya banyak. Andai ada lelaki ingin mengambil mangsa ini, mungkin terpaksa menghadapi halangan kedua iaitu keluarganya. Mungkin keluarga bakal menjadi pembangkang utama dalam dewan persidangan sewaktu perbincangan hasrat perkahwinan.

Itulah yang terjadi terhadap seorang sahabat saya. Dia berkenalan dengan seorang wanita, rakan sekolah lamanya. Agak akrab sehingga terjalin ikatan cinta. Pada awalnya, si wanita itu seperti orang-orang biasa. Namun akhirnya tersesak-esak pada satu hari dalam perbualan telefon, meluahkan kisah hitam penuh trauma. Tahulah si lelaki sahabat saya ini bahawa si wanita itu telah diperkosa sewaktu belajar di sebuah kota. Ditipu sang lelaki belang, sewaktu terperangkap dalam kesesakan kota. Akhirnya termakan pujukan pergi ke rumah si lelaki belang itu. Separa sedar selepas dikhayalkan dengan dadah, maka si wanita diperkosa. Bukan si lelaki durjana sahaja yang menikmati ‘hidangan’ malah turut diajak rakan-rakannya, berpesta merasai hidangan kenduri yang tersedia. Diperkosa bergilir-gilir di sebuah rumah, dalam keadaan tak bermaya akibat kekhayalan. Akhirnya si gadis telah hilang dara, diperkosa hingga datangkan trauma.

Bila ke balai polis mahu membuat laporan, si polis kemudian berkata, “Kamu yang buat noda, maka baru kini nak buat laporan. Mungkin dah mengandung, kelam kabut nak tutup malu”

Nasib malang bertimpa-timpa.

Sahabat saya ini tidak kisah. Dia menerima si wanita ini tanpa sebarang syarat. Baginya, dia mahu menjadi pembela buat wanita yang telah dianiaya itu. Bukan simpati, namun atas rasa tanggungjawab mahu lindungi wanita itu. Maka, andai ada jodohnya, si lelaki bercadang mahu mendirikan rumah tangga dengan wanita itu, sebaik tamat pengajian sahabat saya ini.

Namun, itu sekadar rancangan. Apabila kisah si wanita itu diketahui oleh keluarga, maka sekelip mata keadaan berubah.  Pembangkang utama dari si ayah, manakala timbalan pembangkang dari si ibu. Nilai suci menjadi keutamaan, maka dipaksa sahabat saya ini melupakan si wanita itu.

Kerana taatkan ibu dan ayah, maka akhirnya terputus hubungan dirinya dengan wanita itu. Panggilan tak terjawab, mesej tidak lagi dibalas. Hari demi hari, tiada lagi hubungan antara sahabat ini dan wanita  itu. Mereka terpisah.

Tak lama beberapa ketika, menjelang cuti semester, maka muncul cadangan dari keluarganya. Mungkin takut sahabat ini salah lagi memilih calon wanita, maka dipertunangkan dengan seorang gadis pilihan ibunya. Maka sahabat saya ini akur dan terus menerima. Memang pilihan ibunya terbaik kerana paras rupa dan peribadi wanita itu tiada tandingan, dan kerana itu sahabat ini terus menerima.

Baginya, “Berkat ibu dan ayah, bahagia sampai ke syurga”

Benar, walaupun mahu membela golongan mangsa perkosa, namun andai tiada restu dari si ibu dan si ayah, mana mungkin wujud bahagia dan berkat. Tidak guna jika terus berkahwin, andai hidup berkeluarga dalam keadaan ibu dan ayah terguris rasa di dalam hati.

Konklusinya memang tiada. Dara itu satu aras harga diri, namun bukan penjamin bahagia. Tiada dara bukan bererti perempuan murahan, kerana ada juga yang hilang tanpa rela.

Isunya memang berat andai dibicara, kerana isu ini terperangkap dalam konteks agama, budaya, dan masyarakat di negara kita. Kepungan inilah yang menyebabkan isu ini tiada jalan penyelesaian yang tepat.

Andai soalan yang sama diajukan kepada penulis, “Adakah anda tidak kisah untuk menerima seorang wanita sama ada dia punyai dara atau tidak?”, maka pasti kebisuan melanda memikirkan jawapan yang akan diberikan. Soalannya mungkin pendek, namun jawapan yang akan diberi akan mencerminkan sejauh mana kekuatan hati seorang lelaki.

Bukan mudah.

Agak lama juga blog ini tidak aktif, kerana penulis mahu rehatkan minda, cuba tenangkan diri mengambil ketenangan.  Mahu mencari idea-idea baru dan lebih segar, setelah dirasakan tulisan-tulisan sebelum ini seperti telah hilang kesegarannya. Insyaallah, bertemu di bicara seterusnya. Setelah sebulan bersara, kini kembali bekerja semula.

Wassalam.













Jumaat, 2 Mac 2012

Muhasabah Jumaat: Dakwah semberono?




Dakwah itu perlu berhikmah, dan bukan semberono menghukum itu dan ini, dan mengeluarkan hujah siapa yang layak ke pintu syurga, dan siapa yang rebah di pintu neraka.

Isu tudung andai dibicarakan dengan panjang lebar, maka kadangkala boleh tercetus satu polemik dan pertikaian. Benar, kisah tudung mampu mencetuskan suasana hangat dalam sebuah perbincangan. Maka, bermulalah hujah bercampur emosi, cuba mempertahankan dalam nada membela ataupun mengkritik, baik si bertudung mahupun si ‘berambut bebas’

Baru-baru ini, diutarakan satu isu berkaitan tudung, kerana kisahnya bermula dalam situasi di kelas, apabila seorang hamba Allah memberikan teguran ‘direct kick’ kepada seorang lagi hamba Allah yang tidak bertudung. Saya berada sewaktu situasi itu berlaku.

Walaupun diakui, menutup aurat itu wajib buat setiap umat Islam, namun memberi teguran dalam nada untuk mengaibkan individu tersebut adalah sangat tidak wajar. Diperlekehkan soal keislamannya, dan kemudian dikeluarkan soalan, “Apakah beza antara orang Islam dan bukan Islam jika tak bertudung?”, malah kemudian dikeluarkan kata-kata sinis seolah-olah individu tersebut robot tak berperasaan.

Mungkin ada yang kurang mengerti, namun bagi rakan-rakan rapat, semua memahami  dan mengetahui situasi yang dimaksudkan tersebut.

Ada pula yang berpendapat, aib yang diterima akibat teguran tak berlapik itu adalah wajar, kerana sememangnya apabila seseorang itu tidak menutup aurat, maka hakikatnya dirinya telah mendedahkan aib. Namun persoalannya, apakah mengaibkan seseorang dengan teguran yang semberono itu akibat tidak menutup aurat akan membawa orang tersebut lebih dekat dengan suruhan Allah?

TIDAK!

Jika inilah dikatakan dakwah memberikan kesedaran buat kaum wanita untuk bertudung, maka percayalah, tidak akan ramai wanita yang tidak bertudung itu akan tergerak untuk bertudung. Malah, mungkin hati mereka terguris, dan menjadi tawar hati untuk berubah. Manusia itu punyai psikologi dan perasaan.

Bukan mahu membela golongan yang tak bertudung (seperti yang dihujahkan oleh seorang hamba Allah ini), namun jika diteliti dalam soal dakwah Islamiah ini, maka kebijaksanaan itu harus ada untuk menarik golongan yang tersesat menghampiri jalan-Nya. Dakwah dalam hikmah, maka itu sebaiknya.

Berdasarkan pengalaman, percayalah, jika mahu mengajak seseorang itu untuk bertudung, dan metodoginya adalah dengan menerangkan tentang azab api neraka, dan diterangkan pula hukuman yang akan diterima di akhirat akibat tidak menutup aurat, maka percayalah, usaha dakwah itu akan gagal. Golongan tidak bertudung itu akan menjadi takut, dan akibatnya, mereka akan menjauhi usaha dakwah supaya rasa takut itu tidak dirasai. Ketakutan itu beri kejutan, sehingga menakutkan mereka untuk mendalami dengan lebih dalam lagi tentang soal hukum agama.

Jika mahu berlari, maka berjalanlah dahulu. Jika mahu berjalan, maka berdirilah dahulu. Jika mahu berdiri, maka merangkaklah dahulu. Begitu juga dengan kegiatan dakwah, perlu mengikut ‘level’ tertentu supaya golongan sasaran itu tidak menerima kejutan yang tidak dapat ditampung oleh akal mereka.

Saya pernah mempunyai seorang kenalan yang tidak bertudung. Menurutnya, ramai yang berdakwah kepadanya supaya bertudung, namun tidak seorang pun yang member teguran yang bijaksana. Mereka lebih gemar menghentam, dengan bersikap prejudis, dan lebih mahu menghukum dari membimbing. Malah, ada juga yang mengkafirkan dirinya dek tidak menutup aurat. Kata mereka, hanya orang kafir sahaja yang tidak mengerti kewajipan menutup aurat.

Kisah berikutnya, dia berjumpa seorang hamba Allah (lelaki), dan kebetulan dia juga merupakan kenalan saya. Pengalaman luas rakan saya ini dalam kegiatan dakwah ternyata menyerlahkan kebijaksanaannya dalam memahami erti dakwah berhikmah ini.

Daripada menjatuhkan hukum kepada kenalan saya yang tak bertudung ini, sahabat ini sekadar mengeluarkan sebaris ayat. Bukan sindiran, tapi satu bentuk pujian berhikmah.

Katanya: “Saya teringin nak tengok kamu bertudung. Mesti lagi manis rupa kamu”

Sebaris ayat ini mencetuskan gerak hati si gadis ini untuk cuba bertudung.

“Benarkah?” itulah yang terpacul di mulut si gadis sahabat saya ini.

Permulaan itu telah mencetuskan tarikan buat sahabat saya ini. Harus diakui, jika dilihat dari latar belakang keluarganya, maka sememangnya tidak menghairankan andai gadis ini tidak bertudung.

Penyudahnya?

Tanpa disangka, sahabat saya bertemu jodoh dengan lelaki tersebut. Teguran yang akhirnya memberi satu jaminan keselamatan mengenai bimbingan ke alam bahagia di akhirat. Sahabat wanita saya ini akhirnya bertemu pembimbing yang akan membimbingnya ke jalan benar. Jangan terkejut, kerana jika dulu dia ibarat Avril Lavigne versi Malaysia, kini dia mengalami transformasi sehingga kadangkala lebih hebat dari seorang ustazah.

Soalnya, pendekatan berhikmah itu haruslah bijaksana. Tidak guna dinyatakan hikmah caranya, andai mesej dan dakwah itu lebih kepada penerangan tentang azab di akhirat jika tidak menutup aurat. Rambutnya digantung, dan buah dadanya menahan azab beban tubuh dan pada waktu yang sama api marak terus membakar tubuh.

Apakah berkesan andai ini merupakan mukadimah yang diterangkan buat mereka yang baru mengenal erti menutup aurat?

Benar, itulah yang akan diterima buat si wanita yang mendedahkan aurat, namun keberkesanannya tidak akan sampai kerana cara itu lebih kepada pendekatan menakutkan para wanita. Risikonya, ketakutan itu mungkin akan mendorong kaum hawa untuk menutup aurat, namun mungkin juga menyebabkan kaum hawa untuk menjauhi suruhan agama, berada dalam ‘comfort zone’ mereka dengan menjauhi dan menafikan hakikat.

Inilah permasalahan yang terjadi dalam usaha dakwah kepada mereka yang tersesat. Adakalanya, sikap prejudis ini akhirnya menyebabkan jurang antara mereka yang ‘mantap’ imannya dan ‘longlai’ amalannya menjadi semakin besar.

Dakwah bukanlah sesuatu yang bersifat menghukum dan menghentam, atau menakut-nakutkan orang lain. Dakwah itu adalah satu bentuk didikan dan pemupukan serta semaian tanggungjawab dalam kasih sayang. Malah jika dilihat kembali perjalanan penyebaran Islam Rasulullah pada awal kerasulannya, baginda sendiri memulakan dakwahnya dengan taktikal secara sembunyi dan dan dalam kerahsiaan.

Konklusinya mudah, dalam kegiatan dakwah, prosedur itu harus ada, dengan langkah demi langkah (follow the steps) perlu diatur. Kebijaksanaan dalam mentafsir sistem sosial masyarakat dan pemahaman mendalam latar belakang individu sasaran itu akan membolehkan penyuburan dakwah dalam kalangan masyarakat akan lebih subur.

Buat mereka yang giat menjalankan usaha dakwah, walau dalam platform dan metodologi  apa pun (baik dakwah bebas, facebook, Youtube, blog, mahupun kegiatan tabligh), seharusnya mereka ini diberikan ucapan penghargaan. Merekalah yang akan menyuburkan seri Islam sampai ke akhir hayat dunia ini.

Terima kasih buat mereka.