Jumaat, 2 Mac 2012

Muhasabah Jumaat: Dakwah semberono?




Dakwah itu perlu berhikmah, dan bukan semberono menghukum itu dan ini, dan mengeluarkan hujah siapa yang layak ke pintu syurga, dan siapa yang rebah di pintu neraka.

Isu tudung andai dibicarakan dengan panjang lebar, maka kadangkala boleh tercetus satu polemik dan pertikaian. Benar, kisah tudung mampu mencetuskan suasana hangat dalam sebuah perbincangan. Maka, bermulalah hujah bercampur emosi, cuba mempertahankan dalam nada membela ataupun mengkritik, baik si bertudung mahupun si ‘berambut bebas’

Baru-baru ini, diutarakan satu isu berkaitan tudung, kerana kisahnya bermula dalam situasi di kelas, apabila seorang hamba Allah memberikan teguran ‘direct kick’ kepada seorang lagi hamba Allah yang tidak bertudung. Saya berada sewaktu situasi itu berlaku.

Walaupun diakui, menutup aurat itu wajib buat setiap umat Islam, namun memberi teguran dalam nada untuk mengaibkan individu tersebut adalah sangat tidak wajar. Diperlekehkan soal keislamannya, dan kemudian dikeluarkan soalan, “Apakah beza antara orang Islam dan bukan Islam jika tak bertudung?”, malah kemudian dikeluarkan kata-kata sinis seolah-olah individu tersebut robot tak berperasaan.

Mungkin ada yang kurang mengerti, namun bagi rakan-rakan rapat, semua memahami  dan mengetahui situasi yang dimaksudkan tersebut.

Ada pula yang berpendapat, aib yang diterima akibat teguran tak berlapik itu adalah wajar, kerana sememangnya apabila seseorang itu tidak menutup aurat, maka hakikatnya dirinya telah mendedahkan aib. Namun persoalannya, apakah mengaibkan seseorang dengan teguran yang semberono itu akibat tidak menutup aurat akan membawa orang tersebut lebih dekat dengan suruhan Allah?

TIDAK!

Jika inilah dikatakan dakwah memberikan kesedaran buat kaum wanita untuk bertudung, maka percayalah, tidak akan ramai wanita yang tidak bertudung itu akan tergerak untuk bertudung. Malah, mungkin hati mereka terguris, dan menjadi tawar hati untuk berubah. Manusia itu punyai psikologi dan perasaan.

Bukan mahu membela golongan yang tak bertudung (seperti yang dihujahkan oleh seorang hamba Allah ini), namun jika diteliti dalam soal dakwah Islamiah ini, maka kebijaksanaan itu harus ada untuk menarik golongan yang tersesat menghampiri jalan-Nya. Dakwah dalam hikmah, maka itu sebaiknya.

Berdasarkan pengalaman, percayalah, jika mahu mengajak seseorang itu untuk bertudung, dan metodoginya adalah dengan menerangkan tentang azab api neraka, dan diterangkan pula hukuman yang akan diterima di akhirat akibat tidak menutup aurat, maka percayalah, usaha dakwah itu akan gagal. Golongan tidak bertudung itu akan menjadi takut, dan akibatnya, mereka akan menjauhi usaha dakwah supaya rasa takut itu tidak dirasai. Ketakutan itu beri kejutan, sehingga menakutkan mereka untuk mendalami dengan lebih dalam lagi tentang soal hukum agama.

Jika mahu berlari, maka berjalanlah dahulu. Jika mahu berjalan, maka berdirilah dahulu. Jika mahu berdiri, maka merangkaklah dahulu. Begitu juga dengan kegiatan dakwah, perlu mengikut ‘level’ tertentu supaya golongan sasaran itu tidak menerima kejutan yang tidak dapat ditampung oleh akal mereka.

Saya pernah mempunyai seorang kenalan yang tidak bertudung. Menurutnya, ramai yang berdakwah kepadanya supaya bertudung, namun tidak seorang pun yang member teguran yang bijaksana. Mereka lebih gemar menghentam, dengan bersikap prejudis, dan lebih mahu menghukum dari membimbing. Malah, ada juga yang mengkafirkan dirinya dek tidak menutup aurat. Kata mereka, hanya orang kafir sahaja yang tidak mengerti kewajipan menutup aurat.

Kisah berikutnya, dia berjumpa seorang hamba Allah (lelaki), dan kebetulan dia juga merupakan kenalan saya. Pengalaman luas rakan saya ini dalam kegiatan dakwah ternyata menyerlahkan kebijaksanaannya dalam memahami erti dakwah berhikmah ini.

Daripada menjatuhkan hukum kepada kenalan saya yang tak bertudung ini, sahabat ini sekadar mengeluarkan sebaris ayat. Bukan sindiran, tapi satu bentuk pujian berhikmah.

Katanya: “Saya teringin nak tengok kamu bertudung. Mesti lagi manis rupa kamu”

Sebaris ayat ini mencetuskan gerak hati si gadis ini untuk cuba bertudung.

“Benarkah?” itulah yang terpacul di mulut si gadis sahabat saya ini.

Permulaan itu telah mencetuskan tarikan buat sahabat saya ini. Harus diakui, jika dilihat dari latar belakang keluarganya, maka sememangnya tidak menghairankan andai gadis ini tidak bertudung.

Penyudahnya?

Tanpa disangka, sahabat saya bertemu jodoh dengan lelaki tersebut. Teguran yang akhirnya memberi satu jaminan keselamatan mengenai bimbingan ke alam bahagia di akhirat. Sahabat wanita saya ini akhirnya bertemu pembimbing yang akan membimbingnya ke jalan benar. Jangan terkejut, kerana jika dulu dia ibarat Avril Lavigne versi Malaysia, kini dia mengalami transformasi sehingga kadangkala lebih hebat dari seorang ustazah.

Soalnya, pendekatan berhikmah itu haruslah bijaksana. Tidak guna dinyatakan hikmah caranya, andai mesej dan dakwah itu lebih kepada penerangan tentang azab di akhirat jika tidak menutup aurat. Rambutnya digantung, dan buah dadanya menahan azab beban tubuh dan pada waktu yang sama api marak terus membakar tubuh.

Apakah berkesan andai ini merupakan mukadimah yang diterangkan buat mereka yang baru mengenal erti menutup aurat?

Benar, itulah yang akan diterima buat si wanita yang mendedahkan aurat, namun keberkesanannya tidak akan sampai kerana cara itu lebih kepada pendekatan menakutkan para wanita. Risikonya, ketakutan itu mungkin akan mendorong kaum hawa untuk menutup aurat, namun mungkin juga menyebabkan kaum hawa untuk menjauhi suruhan agama, berada dalam ‘comfort zone’ mereka dengan menjauhi dan menafikan hakikat.

Inilah permasalahan yang terjadi dalam usaha dakwah kepada mereka yang tersesat. Adakalanya, sikap prejudis ini akhirnya menyebabkan jurang antara mereka yang ‘mantap’ imannya dan ‘longlai’ amalannya menjadi semakin besar.

Dakwah bukanlah sesuatu yang bersifat menghukum dan menghentam, atau menakut-nakutkan orang lain. Dakwah itu adalah satu bentuk didikan dan pemupukan serta semaian tanggungjawab dalam kasih sayang. Malah jika dilihat kembali perjalanan penyebaran Islam Rasulullah pada awal kerasulannya, baginda sendiri memulakan dakwahnya dengan taktikal secara sembunyi dan dan dalam kerahsiaan.

Konklusinya mudah, dalam kegiatan dakwah, prosedur itu harus ada, dengan langkah demi langkah (follow the steps) perlu diatur. Kebijaksanaan dalam mentafsir sistem sosial masyarakat dan pemahaman mendalam latar belakang individu sasaran itu akan membolehkan penyuburan dakwah dalam kalangan masyarakat akan lebih subur.

Buat mereka yang giat menjalankan usaha dakwah, walau dalam platform dan metodologi  apa pun (baik dakwah bebas, facebook, Youtube, blog, mahupun kegiatan tabligh), seharusnya mereka ini diberikan ucapan penghargaan. Merekalah yang akan menyuburkan seri Islam sampai ke akhir hayat dunia ini.

Terima kasih buat mereka.



2 ulasan :

Nora_Aniza berkata...

betul tu..jgn mudah berasa bosan memberikan teguran secara baik.

Muhammad Yazid Rosly berkata...

Hanya yang tak sabar sahaja yang suka menghentam dalam berdakwah. Sabar itu ada manisnya.