Ahad, 30 Jun 2013

"Adina (Bicara Dua Puluh Lima)"






“Kesabaran seharusnya diuji, kerana semakin banyak diuji, maka semakin kukuhlah kesabaran itu. Tiap-tiap ujian adalah satu petanda, mengingatkan tiap-tiap manusia bahawa hidup itu tak senantiasa bahagia sepanjang masa. Setiap dugaan adalah satu perjalanan ke arah hati yang lebih kukuh dan tabah”

“Kesetiaan perlukan kesabaran. Kebahagiaan perlukan pengorbanan,” bisik Abyatina sebaik meletakkan penanya di atas meja. Buku notanya ditutup kembali.

Pagi itu, fikiran Abyatina seakan tenang kembali. Fikirannya dilontarkan sejauh yang mungkin, cuba melupakan setiap dugaan yang melanda. Benar, pelbagai kekusutan mengganggu dirinya, namun semuanya harus dihadapi, tidak boleh dielak. Prinsip Abyatina, selagi kekusutan dibiarkan, maka tidak mungkin ketenangan akan dirasakan. Masalah perlu diselesaikan satu persatu.

“Bagaimana dengan Abyatina sekarang?” soal ustaz Man.

“Abyatina orangnya tabah. Tenang di hati, tenang di wajah,” balas ibu Abyatina.

“Tapi, setenang wajah tak gambarkan perasaan sebenar dia,” bicara ustaz Man.

“Kita hanya mampu mengharap. Moga-moga Abyatina hilang kusutnya...” luah ibu Abyatina.

Saat masing-masing meluahkan kerisauan dengan situasi yang melanda Abyatina, kisah Absyar juga turut mencuri perhatian. Perkhabaran orang kampung menyatakan bahawa Absyar seringkali bertemu Tasha di hujung bendang ternyata telah menjadi buah mulut orang. Pelbagai kisah mula diperkatakan.

“Anaknya ustaz, tapi perangainya mengalahkan anaknya yang bukan ustaz. Buat kampung ni macam tempat tak ada agama. Suka-suka hati nak buat apa saja, macam dah hilang adatnya,” luah Mak Cik Jemah, sewaktu membeli beras di kedai Pak Din.

“Maknanya, kalau bukan anak ustaz boleh suka hati buat dosa? Begitu Cik Jemah?” soal Pak Din memerli.

“Aku tak kata macam tu. Tapi, keturunan yang baik, sepatutnya semuanya perlu baik. Takkan nak jadi arang yang contengkan muka...”

“Habis tu, mu nak kata si Absyar si kambing hitam dalam keluarga ustaz Man?” soal Pak Din.

“Orang bila bercakap sesuatu, pasti ada yang tak kena. Takkan tiba-tiba saja nama Absyar jadi buah mulut orang kampung? Mesti ada yang tak kena...”

“Disebabkan mulut-mulut macam nilah, fitnah tersebar. Cukup-cukuplah. Jangan ditambah beban si ustaz Man tu. Kalau dulu si Abyatina, dan sekarang si Absyar?” balas Pak Din. “Selepas ni siapa pula?”

“Ah, mu kalau selalu terperuk di kedai ni, memang tak tau langsung kisah di kampung ni,” balas Mak Cik Jemah sebelum meninggalkan kedai itu.

“Buat apa kalau ke hulu ke hilir, tapi mulutnya tabur fitnah?” balas Pak Din.

Sarapan pagi ustaz Man dan Mak Cik Ros dimulakan dengan kisah Abyatina. Namun tak lama selepas itu, kerisauan terhadap Absyar pula mengambil tempat. Pagi itu hanya ustaz Man dan Mak Cik Ros sahaja yang menikmati sarapan. Zabarjad seperti biasa masih lagi tidur ketika ini manakala Abyatina sedang berehat di bilik. Rafiqin pula telahpun berada di sekolah.

“Absyar dah jadi kisah baru kampung ni...” bicara ustaz Man.

“Mungkin kena percepatkan perkahwinan Absyar...” balas ibu Abyatina.

“Bersediakah Absyar?” soal ustaz Man.

“Bukan soal bersedia. Tapi soal hukum dan hakam...”

“Tapi, soal kahwin bukan paksaan. Semuanya terpulang pada Absyar. Kalau hati tak mahu, dipaksa macam mana pun takkan dapat bahagiakan dia,” balas ustaz Man.

“Lepas Abyatina, Absyar pula dugaannya...” keluh ibu Abyatina.

Absyar banyak berdiam diri tatkala diajukan soal perkahwinan dengan Tasha. Bukan tidak berhasrat dengan niat tersebut, namun Absyar menyatakan bahawa dirinya masih lagi belum bersedia. Berkali-kali dipujuk, namun jawapan diberi tetap sama.

“Kahwin tu memang senang. Tapi kalau duit tak ada, kahwin entah ke mana, kenduri entah ke mana,” bicara Absyar setiap kali isu perkahwinannya ditimbulkan.

“Entah-entah memang abang Lang ni tak nak kahwin kot...” usik Rafiqin anak bongsu dalam keluarga ustaz Man.

“Kalau dientahkan, kenapa bisa abang Langmu ini bikin tunang samanya Tasha...” balas Absyar bergurau dalam loghat Indonesia.

“Kok biasa begitu sih?” celah Zabarjad pula.

Suasana pagi yang sunyi itu sedikit sebanyak memberi ketenangan jiwa buat Abyatina. Hujan yang turun malam semalam memberikan kedinginan di pagi itu, menyejukkan hati yang dalam kekusutan. Namun yang paling mencuri tumpuan sudah semestinya ustaz Man dan Mak Cik Ros, berdua-duaan di meja makan, dan secara tiba-tiba melalui saat-saat romantis yang telah lama tak dirasai.

“Dinda dah habis santap?” usik ustaz Man tatkala Mak Cik Ros bangun dari duduknya.

“Hah?”

“Marilah dinda kita berdansa. Pagi-pagi begini elok benar untuk berkasih sayang...” gurau ustaz Man lagi.

“Apakah yang merasuk dirimu wahai ustaz Man?” balas Mak Cik Ros.

“Peluang macam ini bukan selalu dinda...” usik ustaz Man. “Kanda, dinda dan secawan teh ni...”

“Menggamit memori barangkali?” balas Mak Cik Ros mula mengerti gurauan suaminya. Lantas dirinya kembali duduk di sebelah ustaz Man.

“Kita selalu sibuk dengan masalah anak-anak. Barangkali dah terlupa kenangan-kenangan lama...” bicara ustaz Man serius kembali. Tangannya menyentuh tangan isterinya.

“Itu namanya pengorbanan. Anak-anak walaupun banyak dugaannya, itulah namanya bahagia,” balas Mak Cik Ros tersenyum.

“Entah berapa lama lagi kita dapat hidup. Takut bila kita tinggalkan, anak-anak masih tak bahagia..” keluh ustaz Man.

“Kita merancang bahagia, tapi bahagia itu terletak pada Allah,” balas Mak Cik Ros.

“Cuma bila dilihat nasib si Abyatina, nasib si Rizqullah, risaunya tak sudah. Susah nak bertemu bahagia”

“Tiap-tiap yang susah pasti ada senangnya nanti. Perlu bersabar moga-moga dapat harungi setiap dugaan,” balas Mak Cik Ros. “Kanda tadi katanya mahu berdansa ya?” soal Mak Cik Ros menceriakan suasana kembali.

“Dansa yang bagaimana tu dinda?” balas ustaz Man tersenyum.

“Joget Pahang barangkali?” Mak Cik berseloroh.

“Tetapi kanda rasa, ada baiknya kalau kita bertango. Lagi romantis,” balas ustaz Man.

Mak Cik Ros ketawa. Usikan ustaz Man menceriakan paginya. Hilang seketika kusut di fikiran.

“Boleh Jad turut serta?” celah Zabarjad yang tiba-tiba muncul di dapur. Maka ustaz Man dan mak Cik Ros dilanda kejutan. Barangkali menjadi segan dek gurau senda di antara mereka yang berlaku sebelumnya.

“Ish, mu ni. Selalunya bagi orang terperanjat,” kata Mak Cik Ros.

“Saya jadi tukang kompang pun boleh...” usik Zabarjad ketawa kecil.

“Bikin rosak ana punya program saja mu ni Jad...” bicara ustaz Man bergurau lagi.

“Sudahlah ustaz Man. Kita yang tua, buat cara yang tua...” balas Mak Cik Ros serius.

“Jiwa kena muda wahai cik Ros...” bicara ustaz Man tersenyum.

Suasana ceria pagi itu berterusan. Gurau senda berlaku di dapur. Zabarjad ternyata pandai menyakat ustaz Man dan Mak Cik Ros.  Maka suasana kecoh berterusan tatkala gelak ketawa dan usik mengusik terus berlaku. Namun di saat keceriaan itu, perkarangan ustaz Man dikunjungi seorang tetamu.

“Assalamualaikum,” salam diberi tetamu yang hadir.

“Waalaikumussalam,” jawab ustaz Man sebelum bergerak ke muka pintu. Perlahan-lahan berjalan menggunakan tongkatnya.

“Yaqzan?” bisik ibu Abyatina kehairanan. Dia mengerti suara yang didengarnya. Itulah suara Yaqzan yang seringkali muncul di rumah itu suatu ketika dulu. “Apa pula munculnya tiba-tiba pagi ni?”

“Lama mu tak datang sini. Ke mana menghilang?” soal ustaz Man menyambut salam yang dihulur Yaqzan.

“Kerjayanya banyak. Sibuknya tak berhenti...” jawab Yaqzan.

“Apa khabar ustaz Khumaini?”

“Sihat-sihat saja. Banyak berehat di rumah saja sekarang,” balas Yaqzan.

“Oh, patutlah jarang bertemu di masjid....”

“Maaflah kalau menganggu. Hajat di hati dah lama dah. Cuma baru hari ni berkesempatan. Sekadar nak ziarah Abyatina dengan anaknya, bertanya khabar” bicara Yaqzan.

“Alahamdulillah. Masuklah. Abyatina sihat-sihat saja,” balas ustaz Man.

“Kakinya dah makin kuat ke? Nampak dah makin pantas jalannya,” bicara Yaqzan saat menaiki rumah.

“Bolehlah nak menapak sikit-sikit. Kuatnya tak sangat, tapi boleh dah bergerak sendiri,” balas ustaz Man tersenyum sambil berjalan dengan tongkatnya.

Kunjungan Yaqzan tidak diduga sesiapa. Kemunculan mengejut, maka itulah yang seringkali dilakukan Yaqzan. Umumnya mengetahui, Yaqzan kelihatan masih lagi mengharap pada Abyatina walaupun hakikatnya harapan itu satu kemustahilan. Namun, kunjungan itu disambut baik ustaz Man walaupun kurang disenangi ibu Abyatina.

“Banyak dugaannya, dan sekarang nak ditambah lagi kusutnya?” bisik ibu Abyatina tatkala Yaqzan naik ke rumah. “Abyatina dah bersuami Yaqzan...” bisiknya lagi di dalam hati.

Hakikatnya, kunjungan Yaqzan mencetuskan persoalan yang tak berkesudahan. Tidak diketahui tujuan sebenar Yaqzan muncul di pagi itu.

Disebabkan Yaqzan juga, maka Rizqullah dilanda serabut. Pertemuan di antara Rizqullah dan Yaqzan di satu petang  dulu telah mencetuskan pelbagai persoalan mengenai Abyatina. Lantas, di satu malam perbualan tercetus di antara Rizqullah dan Abyatina mungkin mahu merungkaikan persoalan itu.

“Abang nak tanya satu perkara...” bicara Rizqullah pada suatu malam. Saat Abyatina berehat sambil melihat bayi kecilnya, maka perbualan tersebut tercetus.

“Tanya?”

“Apa yang terjadi sebenarnya?” soal Rizqullah.

Dek cerita Yaqzan yang disampaikan pada Rizqullah, maka di suatu malam pertanyaan dinyatakan Rizqullah buat isterinya. Rizqullah perlukan kepastian dari Abyatina. Pelbagai persoalan muncul sehingga perkara yang benar dan palsu itu seolah-olah tiada bezanya. Perjumpaan Rizqullah dan Yaqzan bukan suatu perkara yang biasa. Satu persoalan muncul di fikiran Rizqullah selepas perjumpaan itu.

“Dah lama abang nak tanya... tapi abang tak sampai hati,” luah Rizqullah.

“Tanya yang bagaimana?” soal Abyatina kurang mengerti.

“Dulu, masa abang tinggalkan Abyatina di kampung ni, ada apa-apa perkara yang abang tak tahu?” soal Rizqullah.

“Apa yang Ina tahu dan apa yang abang tak tahu?” soal Abyatina masih lagi kurang memahami. “Maafkan Ina kalau ada kesalahan yang Ina tahu...” bicara Abyatina sebelum dipegang tangan suaminya. Mungkin cuba mahu tenangkan situasi.

“Waktu abang tinggalkan Ina di kampung dulu, ada tak sesuatu yang berlaku pada Ina yang abang tak tahu?” soal Rizqullah.

“Bila? Banyak waktunya Ina di sini?”

“Masa abang pergi kursus dulu...” balas Rizqullah tenang. “Di Pulau Pinang dulu...”

Lantas fikiran Abyatina terus terkenang kembali peristiwa yang terjadi hampir setahun yang lalu. Mungkin satu rahsia yang tak pernah diceritakan oleh sesiapa. Kisah yang berlaku di petang hari, menjadi satu memori yang cukup menakutkan. Benar, rahsia itu terlalu sulit, hingga Rizqullah sendiri tidak mengetahuinya.

“Apa benar Abyatina kejadian tu berlaku?” soal Rizqullah.

Abyatina secara tiba-tiba menitiskan air matanya. Tak lama kemudian tersesak-esak menangis. Lantas Rizqullah dipeluknya. Tangisan yang ternyata mengejutkan Rizqullah. Tangisan itu bagai melepaskan segala rahsia yang terpaksa dipendam.

“Ina takut abang.... Ina takut....” bicara Abyatina dalam nafas yang tersekat-sekat.

“Apa yang jadi sebenarnya, Ina?” soal Rizqullah tenang sambil mengusap belakang Abyatina cuba beri kekuatan buat isterinya itu.

“Bukan salah Ina abang...” balas Abyatina teresak-esak.

“Tak apa... tak apa...” pujuk Rizqullah. “Tiap-tiap yang berlaku ada ujian...”

Kisahnya, kejadian tersebut berlaku saat Abyatina berjalan pulang dari rumah rakannya. Maka dalam perjalanan pulang, Abyatina terpaksa meredah kawasan ladang getah di kampung sebelum melalui kawasan bendang sawah. Perjalanan petang yang menghampiri senja itu ternyata sangat sunyi. Dalam perjalanan bersendirian itu, maka secara tiba-tiba beberapa lelaki yang tidak dikenali mengepung Abyatina.

“Itulah tempat yang sama...” terang Abyatina.

Peristiwa sebelum Abyatina berkahwin dengan Rizqullah muncul di fikirannya. Di tempat yang sama, Abyatina mengalami situasi yang hampir serupa. Namun, nasib menyebelahinya tatkala  Pak Long muncul secara kebetulan bersama parang di tangannya. Abyatina terselamat dari menjadi mangsa nafsu-nafsu buas.

“Jadi Abyatina jadi mangsa?” soal Rizqullah cuba mendapatkan kepastian.

“Allah Maha Kuasa...” balas Abyatina yang kelihatan sedikit tenang.

Rahsia yang terjadi petang itu hanya diketahui Abyatina dan adiknya Zabarjad. Secara kebetulan juga, Zabarjad muncul di kawasan ladang getah itu. Baru sahaja keluar dari hutan mencari kayu-kayu halus untuk dibuat ukiran, maka tatkala mendengar jeritan di kawasan ladang getah itu, Zabarjad terus mencari puncanya. Kejutan diterima tatkala melihat kakaknya Abyatina sedang diseret masuk ke dalam semak.

“Jad penyelamat petang tu...” terang Abyatina.

Berbekalkan ilmu silat yang dipelajari, dan secara kebetulan parang panjang dibawanya tatkala masuk ke dalam hutan, maka bagai diserang kegilaan, Zabarjad terus menyerang kesemua lelaki yang cuba memperkosa kakaknya itu. Sepantas kilat itu jugalah libasan demi libasan parang diacukan kepada lelaki-lelaki durjana tersebut. Serangan mengejut itu ternyata tidak dapat dilawan mereka. Maka saat itu jugalah Abyatina terus melarikan diri pulang ke rumah.

“Dan semuanya terus jadi rahsia. Zabarjad dan Ina,” bicara Abyatina.

“Dan Yaqzan mungkin?” soal Rizqullah.

“Yaqzan? Mana mungkin dia lahir lagi masa tu...” balas Abyatina sambil melihat bayi yang sedang tidur nyenyak di atas katil.

“Bukan Yaqzan yang comel ni...” balas Rizqullah tersenyum. “Ini Yaqzan si tua, yang cemburunya tak pernah hilang,” bicara Rizqullah.

“Ustaz gila bayang tu?” bicara Abyatina sedikit tersenyum. Wajah ceria tercipta.

“Ya...Alien Zaragoza tu..”

“Ina tak pasti...”

Terjawab sudah persoalan besar yang bermain di fikiran Rizqullah selama ini. Malam itu Rizqullah menjadi tenang. Setiap tuduhan yang dilemparkan Yaqzan hanyalah satu kepalsuan. Namun kehairanan masih timbul di fikiran Rizqullah. Apakah sebab Yaqzan sanggup menabur kepalsuan? Persoalan yang masih tak terjawab.

“Di mana mu kerja sekarang Yaqzan?” soal ustaz Man sebaik Yaqzan berada di ruang tamu.

“Sekarang saya mengajar di sekolah hujung daerah ni...” jawab Yaqzan dengan tenang.

“Sekolah agama tu ya?”

“Iya. Sekolahnya baru lagi,” Yaqzan tersenyum. “Kemudahannya pun banyak yang kurang”

“Biasalah tu,” kata ustaz Man. “Mu kerjanya dah lama. Bilanya pula nak berdua? Ada orang rumah, baru lengkap hidupnya”

“Nak kahwin memang senang. Tapi kalau jodohnya tak sampai, tak dapat nak buat apa-apa,” balas Yaqzan.

Ibu Abyatina muncul di ruang tamu. Hidangan teh panas buat tetamu disajikannya. Walaupun kelihatan agak kurang selesa dengan kehadiran Yaqzan, namun senyuman tanda kemesraan masih lagi dijelmakan di wajah Mak Cik Ros.

“Apa namanya anak Abyatina?” soal Yaqzan ingin tahu.

Ustaz Man dan Mak Cik Ros tersenyum, berpandangan antara satu sama lain.

“Namanya namamu,” balas ustaz Man.

“Maksudnya?”

“Namamu namanya,” bicara Mak Cik Ros pula.

“Ertinya?”

“Namamu namanya anak Rizqullah. Yaqzan nama diberi,” balas ustaz Man.

“Hah? Kenapa?” soal Yaqzan terkejut dalam kehairanan.

“Soalan yang sama juga buat kami sekeluarga. Hanya Rizqullah yang tahu sebabnya,” terang ustaz Man.

Yaqzan terdiam. Mungkin terkejut atau mungkin kehairanan. Namun yang pasti, perkhabaran bahawa Rizqullah menamakan bayi itu sempena namanya adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Pasti Rizqullah punyai sebab yang tidak diketahui orang lain. Itulah yang terlintas di fikiran Yaqzan.

Yaqzan tak lama di rumah ustaz Man. Tidak pun menjenguk Abyatina dan bayinya, kelihatan Yaqzan mungkin sekadar singgah untuk seketika waktu. Mungkin juga Yaqzan secara tiba-tiba mahu pulang lebih awal tatkala diberitahu bahawa bayi Abyatina itu dinamakan sempena namanya. Mungkin kejutan itu mencetuskan kegelisahan bagi Yaqzan, mengundang rasa kurang selesa buatnya.

Hakikatnya, kunjungan Yaqzan langsung tidak diketahui Abyatina. Saat kunjungan itu, Abyatina berehat di bilik. Ibunya langsung tidak memberitahu kunjungan Yaqzan itu. Mungkin tidak mahu mengganggu atau mungkin tidak mahu mencetuskan kekusutan baru.

Kisah tiga hari sebelumnya, Abyatina ternyata dilanda kesedihan. Perkhabaran menerusi telefon yang dijawab ibunya memberikan berita yang kurang enak. Rizqullah kemalangan, dan berita itu ternyata sukar untuk diterima Abyatina. Petang itu, Abyatina bagai hilang arah. Kesedihan menguasai dirinya.

“Kita pergi ke kampung Rizqullah,” bicara ustaz Man. “Mungkin ada perkhabaran yang lebih jelas di sana”

“Abyatina?” soal Mak Cik Ros.

“Abyatina tak boleh ke mana-mana. Abyatina kena berehat,” balas ustaz Man.

“Lebih baik kalau Zabarjad dan Absyar yang pergi. Biar kita di sini...” cadang Mak Cik Ros.

Maka, Absyar dan Zabarjad bertolak menuju ke kampung Rizqullah. Perjalanan hampir sejam itu menimbulkan pelbagai persoalan sehingga menyebabkan Absyar dan Zabarjad langsung tidak berbual sepanjang perjalanan. Dalam gelap malam, wajah Abyatina seringkali muncul di fikiran mereka. Mungkinkah satu lagi dugaan bakal dihadapi Abyatina?

“Barangkali ceritanya banyak dugaan. Tapi Abyatina dapat harungi semuanya. Kalau dulu Abyatina boleh hadapi, insya-Allah dia mampu juga kali ni,” luah ustaz Man pada malam itu.

“Tapi, kalau dugaan kali ni tak terlawan Abyatina?” soal ibu Abyatina.

“Kita mesti ada bila Abyatina perlukannya...”

Sesungguhnya, tiap-tiap dugaan adalah satu titik kebangkitan setiap manusia. Setiap kesusahan adalah satu kekuatan yang akan meperbaiki setiap kelemahan diri. Setiap kesedihan adalah satu permulaan bagi sebuah kegembiraan. Dunia hanya akan indah andai ketabahan dan kesabaran itu menjadi teman tatkala ujian sedang dihadapi. Maka, dari situ akan wujudlah kebahagiaan.

Mungkin dari ketabahan dan kesabaran itulah, maka Abyatina diberikan perkhabaran yang menenangkan jiwanya. Tak lama selepas Absyar dan Zabarjad tiba di kampung Rizqullah, maka kisah sebenar diketahui mereka. Mungkin satu kelegaan.

“Alhamdulillah. Abang Cik selamat,” bicara Zabarjad kepada Mak Cik Ros menerusi panggilan telefon.

“Kemalangan tu?” soal Mak Cik Ros.

“Sampaikan berita ni pada Kak Cik,” bicara Zabarjad, langsung tidak menjawab pertanyaan ibunya. Perbualan terhenti setakat itu sahaja.

Khabar gembira disampaikan kepada Abyatina. Maka ketenangan terukir di wajah Abyatina. Namun, kisah sebenar kemalangan yang terjadi itu masih kurang difahami Abyatina. Walaupun diketahui keadaan Rizqullah, ternyata Abyatina masih tidak mengetahui kisah sepenuhnya kemalangan yang terjadi itu.

“Assalamualaikum”

Salam yang diberikan mencetuskan satu gerakan spontan Abyatina tatkala dirinya terus keluar dari bilik menuju ke muka pintu. Suara yang cukup dikenali tiba-tiba kedengaran. Tanpa sedar, kuntuman senyuman terjelma di wajahnya. Mungkin satu kegembiraan akan muncul.

“Apa khabar Siti Abyatina?”

Rizqullah muncul di ruang tamu. Kelihatan tangan kanannya berbalut dan dianduh. Mungkin kesan kemalangan yang menimpanya. Senyuman diberikan Rizqullah. Lantas sekelip mata kegembiraan melanda. Abyatina meluru menghampiri Rizqullah. Dipeluk suaminya itu seerat-eratnya.

“Jangan tinggalkan Ina lagi...” bisik Abyatina. “Jangan tinggalkan lagi...”

“Maafkan abang...” balas Rizqullah. Abyatina terus memeluk suaminya itu. Rasa sebak melanda Abyatina.

“Rizqullah?” soal ibu Abyatina terkejut tatkala melihat Rizqullah muncul di ruang tamu. “Bila sampainya? Mu sihat?”

“Alhamdulillah...” balas Rizqullah.

Tiga hari selepas berita kemalangan diketahui, maka Rizqullah akhirnya muncul semula. Kunjungan Absyar dan Zabarjad ke kampung halaman Rizqullah pada malam kemalangan itu hanya memberi perkhabaran yang kurang jelas. Tatkala Absyar dan Rizqullah tiba, hanya kelibat Marzuq, abang sulung Rizqullah sahaja yang berada di rumah.

“Insya-Allah, Rizqullah selamat,” bicara Marzuq malam itu kepada Absyar dan Zabarjad.

“Tapi mana yang lain?” soal Absyar sedikit hairan.

“Semua ada di hospital sekarang,” balas Marzuq.

“Bunyinya macam teruk saja...” luah Zabarjad pula.

“Jangan dirisaukan. Sampaikan perkhabaran ini pada Abyatina. Moga dia tenang sedikit,” bicara Marzuq tersenyum.

Maka selepas itu Zabarjad menelefon ibunya dengan perkhabaran yang sedikit itu namun tetap memberikan kelegaan buat sesisi keluarga. Malam itu juga, Absyar dan Zabarjad pulang semula ke kampung.

“Apa yang terjadi sebenarnya Rizqullah?” soal ibu Abyatina. Saat itu juga, ustaz Man muncul di ruang tamu apabila mendapat tahu kehadiran Rizqullah itu.

“Kami di sini menunggu cerita yang tergantung Rizqullah,” kata ustaz Man berjalan perlahan-lahan dengan tongkatnya sebelum duduk di atas kerusi.

“Apa yang berlaku petang tu?” soal pula Abyatina. Dalam keadaan yang masih berpantang, Abyatina ternyata berjaya menyesuaikan diri. Itulah pertama kali Abyatina duduk di ruang tamu sejak kelahiran bayi sulungnya.

“Saya tak tahu nak mulakan dengan yang mana...” bicara Rizqullah.

Agak lama Rizqullah membisu. Suasana senyap wujud di ruang tamu.

“Petang tu kami terima panggilan dari abangmu Marzuq. Khabarnya mu kemalangan. Tapi, bagaimana kemalangannya? Apa yang berlaku? Apa puncanya? Bagaimana keadaannya?” bicara ibu Abyatina menghilangkan kebisuan yang melanda.

“Semuanya pantas berlaku...” terang Rizqullah kembali bersuara. “Dalam kelam kabut nak pulang ke kampung, di satu selekoh, satu motosikal tiba-tiba melintas jalan,” bicara Rizqullah. “Saya tak dapat elak, dan terus bertembung...”

“Seterusnya?” soal ustaz Man.

“Saya tak pasti. Mungkin keliru masa tu. Mujur selamat. Cuma patah di tangan saja...” balas Rizqullah.

“Motor yang mu langgar apa jadinya?” soal pula ibu Abyatina.

“Entah. Saya tak tahu...”

“Tapi, kenapa tiga hari, baru abang muncul?” soal Abyatina tiba-tiba mencelah.

“Suamimu dah muncul pun satu kesyukuran, Abyatina...” bicara ibunya. “Biarkan saja Rizqullah berehat dulu..”

 Rizqullah hanya tersenyum sahaja. Tidak pula menjawab pertanyaan Abyatina itu.

“Oh ya. Bagaimana dengan cikgu Hamdawi? Bertemu sudahkah?” soal ibu Abyatina.

“Ya... malam itu juga orang kampung jumpa bapak di stesen bas di pekan,” jawab Rizqullah. “Saya tak pasti... tapi ada mungkin bapak tak ingat apa yang terjadi hari tu...”

“Tak ingat? Kenapa?” soal ustaz Man pula.

“Entah... saya tak pasti..” bicara Rizqullah.

Perkhabaran di kampung Rizqullah tatkala mengetahui kehilangan bapanya merupakan satu kejutan bagi penduduk kampung. Maka sepantas itu juga, gerakan mencari dilakukan. Khabarnya, cikgu Hamdawi tidak pulang ke rumah sejak pagi lagi. Sebagai individu yang cukup dihormati di kampung itu, maka dengan mudah pertolongan dihulurkan oleh penduduk kampung bagi mencari cikgu Hamdawi.

“Terpinga-pinga bila dah jumpa. Bapak jadi hairan dan tak faham dengan apa yang berlaku hari tu,” terang Rizqullah.

Maka, mungkin itulah sebab Rizqullah terus berada di kampungnya menemani ayahnya. Mungkin mahu memulihkan semangat cikgu Hamdawi yang ternyata keliru dengan kejadian yang menimpa. Cikgu Hamdawi cuba mencari kepastian, namun semuanya berakhir dengan persoalan. Tiga hari berlalu, maka barulah Rizqullah muncul semula di kampung Abyatina.

“Kadangkala, persoalan menjadi terlalu pedih tatkala kebenaran diketahui,” bicara Abyatina secara tiba-tiba lantas bangun dan meninggalkan Rizqullah di ruang tamu. Abyatina masuk ke biliknya. Rajuk si Abyatina mungkin tercetus.

Rizqullah kehairanan dengan tindakan Abyatina. Bicara yang dituturkan Abyatina kurang difahami, namun punyai maksud tersirat yang cukup mendalam. Mungkinkah Abyatina pendamkan hati sehingga kekecewaan diluahkan sedemikian? Hakikatnya, perasaan Abyatina sukar diduga.

“Biarkan dulu... Abyatina masih lagi kusut,” pujuk ibu Abyatina buat Rizqullah. “Moga kusutnya berganti dengan tenang di hati”

Rizqullah hanya membisu. Mungkin mengerti Abyatina ketika itu. Tenang di rumah kembali tercipta tatkala Rizqullah muncul semula, dan semuanya bagai kembali sempurna. Mungkin bahagia Abyatina kembali tercipta. Setidak-tidaknya untuk saat itu.

“Assalamualaikum!”

Salam kedengaran diberi dari luar rumah. Lantas ibu Abyatina menjenguk ke luar. Kelihatan seorang pemuda berdiri di halaman rumah. Wajahnya seperti tergesa-gesa. Lantas terus diajukan soalan sebaik salam dijawab.

“Waalaikumussalam. Ada apa Mail?” tanya ibu Abyatina.

“Saya datang nak jumpa Abyatina dan Rizqullah. Mereka ada tak?” balas pemuda itu.

“Kenapa dan mengapa?” soal ibu Abyatina kehairanan.

“Hamidi tengah nazak sekarang ni. Kalau boleh, sementara ada waktunya, nak minta Abyatina dan suaminya jumpa Hamidi,” terang Mail.

“Apa kaitannya Hamidi dengan Abyatina dan suaminya?” soal ibu Abyatina kehairanan.

“Panjang ceritanya Mak Cik Ros... Cuma sekarang ni, saya nak minta izin nak bawa Abyatina dan suaminya...” bicara Mail.

“Apa yang jadi pada Hamidi sebenarnya?”

“Dia kemalangan. Teruk juga. Dah tak boleh buat apa-apa lagi...” balas Mail.

“Kenapa pula saya perlu ke sana?” soal Rizqullah tiba-tiba muncul di muka pintu.

“Sebab... sebab Hamidi punca abang sekeluarga porak peranda...” terang Mail sedikit gugup.

“Hamidi?” Rizqullah hairan. “Apa yang Hamidi lakukan?”

Abyatina tiba-tiba muncul pula di ruang tamu. Lantas terus berjalan ke muka pintu. Perbualan yang berlangsung di halaman rumah menarik perhatian Abyatina. Dalam keadaan berpantang, Abyatina menggagahkan dirinya.

“Hamidi antara lima lelaki yang serang Ina petang tu...” bisik Abyatina kepada Rizqullah.

Rizqullah bagai dipanah kejutan. Secara spontan kemarahan tercipta.

“Dasar binatang! Biar mampus!” bicara Rizqullah dalam kemarahan.

Semua terkejut tatkala Rizqullah tiba-tiba melenting. Rizqullah terus masuk ke dalam rumah. Abyatina mengikut Rizqullah tanpa sebarang bicara. Suasana tenang rumah sekejap sahaja singgah. Keamanan hilang sekali lagi.

“Mungkin banyak salah Hamidi. Tapi, saya minta supaya dimaafkan dia...” luah Mail kepada ibu Abyatina.

“Apa dosa Hamidi sampaikan perlu minta ampun dengan Abyatina dan Rizqullah?” soal ibu Abyatina hairan.

Petang itu, nama Hamidi menjadi satu tumpuan di rumah itu. Ibu Abyatina kurang mengerti. Rizqullah dalam kemarahan. Abyatina pula terus membisu. Kisah kemarahan dan kehairanan menjadi tema yang mengisi petang itu.

“Memaafkan tak semudah yang disangka...” bicara Rizqullah.




*Tamat sudah Bicara Dua Puluh Lima*

Siapakah Hamidi dan apakah kesalahannya?

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.


Siri Adina ke-25 ini sekali lagi didedikasikan kepada Thahirah Kamarulail, Nor Farhana, saudara Fhazrul, saudara Anwaruddin, dan saudari Hamidah Ainun.








*Terima kasih kepada saudari Nadzirah Mohd Rosli atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.



Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina


Khamis, 27 Jun 2013

Tasha Rozana: Surat cinta dan jodoh buat Fahmi




Satu hari, saat Fahmi baru pulang dari kuliah, fikirannya menerawang seketika. Fikirannya terkenang akan sekeping nota atau mungkin surat yang telah dibacanya beberapa hari sebelumnya.

Satu nota kecil tertulis di atas kertas. Agak hairan juga buat Fahmi, kerana jarang sekali bicara dituturkan di atas tulisan. Lantas kertas kecil itu diambil, yang terselit di dalam buku yang diletak di atas meja. Maka, satu tulisan panjang dilihatnya. Satu tulisan yang ditulis dengan cukup kemas. Kandungannya berbunyi:

"Merehatkan minda dan berfikir perkara-perkara yang menimbulkan tekanan amatlah penting. Maka keluargalah yang menjadi tempat rujukan bagi mendapatkan ketengan itu. Mungkin terdapat ruang lain bagi mencari ketenangan, namun ketenangan hakiki datang dari keluarga sendiri.

Mungkin ada yang berkata, sudah tiba masanya untuk mencari jodoh. Namun hakikatnya, mencari jodoh itu bukan satu perkara yang mudah. Mencari kesempurnaan itu amatlah penting, namun sempurna hakiki tidak pernah wujud. Tiap-tiap kejadian manusia itu pasti akan ada kekurangannya. Itu adalah sifat manusia yang ternyata lemah di sisinya.

Andai mahu mencari ketenangan, maka dekatkanlah diri dengan-Nya. Hanya kepada Allah, maka tenang itu akan dinikmati. Walau sepayah mana kesukaran itu, andai hati itu diserahkan pada-Nya, maka usahlah risau. Pasti akan ada jalan ketenangan yang akan ditemui nanti. Bersabarlah, moga jiwa masih lagi terkawal.

Tulisan ini sekadar bingkisan, cuba meluahkan isi hati. Soal hati dan perasaan, satu perkara yang cukup mengelirukan. Biarlah, moga ketemu di masa akan datang.

Namun, sehingga kini, hanya doa yang boleh diungkapkan. Moga temakbul hasrat di hati itu.

Inilah pesanan dari Tasha buat abang. Moga kita ada jodohnya.

Insya-Allah.


-Tasha Rozana-


Lantas Fahmi tersenyum sendirian. Sehelai kertas punyai tulisan berikan makna yang cukup mendalam buat dirinya. Itulah satu bingkisan pesanan mungkin disengajakan diselit di dalam buku Fahmi. Buku itu dipinjam Tasha minggu lalu, baru baru diserahkan di petang itu.

"Tasha Rozana, insya-Allah. Moga pesanmu akan abang ikuti..."

Lantas Fahmi terus mengambil pena. Kerta diambil. Maka, bicaranya dinukilkan ke dalam tulisan selepas itu. Mungkin surat balasan buat Tasha, itulah yang dikarangkannya. Namun kisahnya akan bersambung di lain bicara.



 *Bicara ini adalah sambungan kepada bicara: Tasha Rozana: Diari jodoh Fahmi

Isnin, 24 Jun 2013

"Adina (Bicara Dua Puluh Empat)"



Hidup sebagai seorang ibu memang sebuah fasa yang menarik. Anak sulung, maka teruja pasti melebihi debaran. Walaupun mungkin perit saat kelahiran, namun apabila terdengar tangisan si kecil itu, semuanya sekelip mata hilang.

“Bukankah begitu bapanya Rizqullah,” usik ustaz Man, bapa mertua Rizqullah.

“Eh, saya tak rasa sakitnya tu. Si Abyatina yang lalui semuanya...” balas Rizqullah tersenyum.

“Ya... tapi debarannya tetap ada kan?” balas ustaz Man.

Kisahnya, malam itu sekeluarga dilanda bahagia. Makumlah, baru sahaja menyambut kelahiran ahli keluarga baru. Si Abyatina tersenyum saja sejak petangnya. Matanya tak lekang memandang bayi kecil di sisinya. Tiada langsung tanda keletihan. Mungkin kegembiraan mengatasi segalanya.

“Jadi, apa seterusnya?” soal Abyatina saat Rizqullah masuk untuk menjenguk bayi mereka.

“Apa yang nak diteruskan?” Rizqullah hairan.

“Dah ada ibu, dah ada ayah, dah ada anak,... takkan masih sama saja selepas ni?” soal Abyatina.

“Insya-Allah. Banyak perubahannya,” balas Rizqullah tersenyum. Bayi kecil didukung Rizqullah. Wajahnya gembira tanda syukur.

Berita kelahiran ahli baru keluarga ustaz Man tersebar dengan beitu pantas. Rata-rata sudah mengetahui, ada yang gembira dan ada yang mengeji. Kisah pelbagai siri kedengaran. Pengumuman rasmi dibuat sendiri oleh Absyar, abang Abyatina di masjid selepas Isyak. Sedikit majlis kesyukuran diadakan sebaik selesai solat berjemaah.

“Tapi, aku musykil. Apa betul itu anaknya Rizqullah?” soal Hamidi kepada rakannya sebaik selesai majlis kesyukuran.

“Kalau ya pun nak mengumpat, jangan sampai masjid yang suci ni dicemari dengan mulut-mulut yang tak sedar dek untung,” bicara Zabarjad, adik Abyatina mencelah bicara Hamidi itu.

Hamidi terdiam. Lantas terus bergegas meninggalkan masjid. Rakan baik kepada Yaqzan, seringkali muncul di masjid, namun jarang sekali bertegur sapa dengan jemaah yang lain. Namun setiap kali dia berbicara, maka pasti mendatangkan situasi yang kurang enak.

Kisahnya, berita kehamilan Abyatina sejak dari awal lagi diterima penduduk kampung dengan pelbagai tafsiran. Ada yang tidak kisah, ada pula yang memandang dengan pelbagai andaian. Ada juga yang gembira, ada pula yang cemburu. Ada kisah yang sedap didengar, ada juga fitnah yang ditabur.

“Entah siapa yang tabur fitnah. Abyatina dah bersuami, tapi masih lagi ada yang pandang serong. Dosa apakah yang Abyatina dah buat?” bicara ibu Abyatina sewaktu membeli sayur dan ikan di kedai Pak Din.

“Abyatina orangnya lawa, Ros. Kalau yang cemburu memang ramai. Bila cemburu mulalah nak buat macam-macam cerita,” balas Pak Din.

“Apa yang dicemburu lagi? Abyatina dah bersuami pun. Bukan lagi anak gadis...” balas ibu Abyatina.

“Cemburu ni penyakit hati. Selagi tak dirawat, selagi itu akan terus kekal. Dari situ wujudnya dendam,” bicara Pak Din tersenyum sahaja. Ikan yang siap dibungkus diberi kepada Mak Cik Ros.

“Cemburu tak kena pada tempatnya. Cantik atau lawa, buruk atau hodoh, semuanya hak Allah. Kita manusia jangan persoalkannya,” balas ibu Abyatina.

Mak Cik Ros dulu hingga kini, terpaksa menghadapi segala macam kisah yang dilemparkan buat Abyatina. Jika dulu, rasa marahnya wujud, kini semuanya bagai hilang begitu sahaja. Tidak diikut apa yang diperkatakan mereka yang lain, tetapi percaya pada keyakinan sendiri. Seorang ibu lebih memahami perjalanan anaknya.

“Katakanlah Rizqullah sekadar bergurau, agak-agaknyalah apa nama yang nak diberi pada si kecil comel anak Abyatina tu?” soal ustaz Man sebaik isterinya pulang.

“Seterunya itu dijadikan nama buat anaknya? Peliknya bagai halilintar memanah kilat,” balas ibu Abyatina.

“Apa sebabnya ya, sampai si Yaqzan dijadikan nama anaknya?” soal ustaz Man hairan.

“Susah nak memahami menantu kita ni...” kata ibu Abyatina.

“Bagaimana ya hailintar memanah kilat tu? Tak pernah pula dilihatnya...” usik ustaz Man menukar tajuk perbualan. Ibu Abyatina hanya tersenyum sebelum menuju ke dapur.

Suara-suara kehairanan dalam persoalan itu hanya berlegar di antara ustaz Man dan ibu Abyatina sahaja. Tidak pernah sekali pun cuba ditanya sebab utama nama bayi kecil Abyatina itu dinamakan sedemikian.

“Kenapa Yaqzan?” soal Abyatina kepada Rizqullah pada malamnya.

“Sedap maknanya, maka baik juga akhlaknya nanti. Kalau sesuai namanya, maka sesuailah untuk anak kita ni...” balas Rizqullah ringkas.

“Aduhai sayangku. Dikau tak menjawab bertanyaan adinda ini..” bisik Abyatina dalam hatinya. Hanya senyuman diberikan buat suaminya Rizqullah.

Kata orang, tiap-tiap perjalanan itu ada bahagianya. Malam itu, pertama kalinya Abyatina dan Rizqullah merasai detik yang cukup berbeza. Melihat wajah comel bayi itu, maka setiap permasalahan yang melanda sebelum itu bagai hilang begitu sahaja. Saat bergelar sebagai ibu bapa, maka saat gembira tidak terkata.

“Empat puluh lapan hari tempohnya. Seeloknya, Abyatina perlu rehatkan diri.  Perlu jauh dari kusut. Mu boleh izinkan Abyatina tinggal di sini selama tempoh itu?” soal ibu Abyatina kepada Rizqullah saat mereka menikmati sarapan pagi.

“Apa yang terbaik buat Ina, sebaiknya saya setuju saja. Lagi elok Ina di sini, ramai yang boleh tengok-tengokkan. Saya pun tak tahu sangat pasal pantang orang bersalin ni,” balas Rizqullah tersenyum. “Tapi, tak manis pula kalau Ina ditinggalkan di sini, dan saya balik ke sana..”

“Kalau nak ikut mulut-mulut orang, sampai bila pun tak terlayan. Biarkan saja, sebab hati kita siapa yang tahu. Ikhlas hati tak perlu dicanang pada yang lain,” balas ibu Abyatina.

“Abyatina dengan hasad dengki orang, sampai bila pun tak ada penyudahnya...” keluh ustaz Man yang membisu sebelumnya.

Pagi itu, Abyatina dikunjungi tetamu. Kelahiran ahli keluarga baru disambut dengan gembira oleh Pak Long dan isterinya. Keterujaan dirasakan saat melihat bayi comel Abyatina. Mak Long kelihatan lebih banyak melayan bayi tersebut dan menghabiskan masanya berbual dengan Abyatina di bilik. Pak Long hanya duduk di luar di ruang tamu rumah.

“Entah siapa bayi tu...” bicara Pak Long tiba-tiba.

“Apa pula yang mu kata ni?” soal ustaz Man terkejut.

“Mu pasti bayi tu anak Rizqullah?” soal Pak Long.

“Apa lancang mulutmu!” balas ustaz Man sedikit geram.

“Seluruh kampung canang macam-macam cerita pasal Abyatina, takkan semuanya palsu?”

“Fitnah itu mudah. Lagi benar dari yang sebenar. Takkan mu percaya semua yang buruk, padahal mu ahli keluarga Abyatina!” balas ustaz Man.

“Fitnah tak terjadi kalau Rizqullah bukan suaminya Abyatina...” balas Pak Long.

Ustaz Man hanya membisu. Tidak pula dibalas bicara yang dituturkan abang iparnya itu. Mungkin tidak mahu mencetuskan perbalahan yang lebih besar.

“Tapi saya memang suaminya Abyatina. Itu dah takdirnya....” balas Rizqullah tiba-tiba muncul di ruang tamu. Masing-masing terkejut dengan kemunculan Rizqullah secara tiba-tiba itu.

Kisah sebelumnya, Rizqullah keluar awal pagi bersama Absyar dan Zabarjad. Balai polis menjadi destinasi. Bagi seorang yang agak jarang ke pekan, pencarian balai polis bukanlah sesuatu yang mudah. Mungkin itulah sebab Rizqullah ditemani Absyar dan Zabarjad.

“Kenapa balai polis?” soal Zabarjad kurang mengerti.

“Kalau nak ke pejabat pendaftaran, jaraknya makan masa.  Dah ada yang dekat, lagi baik kita pergi ke sana...” balas Absyar.

“Apa yang nak didaftarkan?” soal Zabarjad masih tidak mengerti.

“Apa lurus pula mu pagi ni. Kita ke balai polis sebab nak daftarkan nama ahli baru keluarga kita...” balas Absyar.

“Boleh ke daftar di balai polis?” soal Zabarjad.

Kisah zaman 90-an, kelahiran bayi boleh didaftarkan di pejabat balai polis yang terdekat. Cukup dokumen yang diperlukan, sesi mendaftar nama bayi baru boleh sahaja dilakukan tanpa sebarang masalah. Maka, urusan dipermudahkan buat penduduk kampung yang tinggal berjauhan dari bandar.

Bagi Rizqullah, perjalanan mendaftar kelahiran anaknya adalah sesuatu yang cukup indah. Tidak pernah terlintas di fikirannya, akan tiba masanya dirinya bakal melalui detik itu. Maka, bermula saat itu jugalah, Rizqullah menggalas tugas yang baru. Sebagai ayah dan suami, dua tugas penting perlukan tanggungjawab yang besar.

“Apa dah pasti namanya Yaqzan?” soal Absyar sebelum melangkah masuk ke balai polis bersama Rizqullah dan Zabarjad.

“Insya-Allah. Namanya itu satu doa...” balas Rizqullah. “Tiap-tiap nama dengan maksudnya yang baik, moga masa depannya juga baik”

“Tapi...”

“Ada yang tak kena?” soal Rizqullah tersenyum sinis.

“Kenapa Yaqzan namanya?” soal Zabarjad. Rizqullah hanya tersenyum. Dia terus melangkah masuk tanpa menjawab pertanyaan Zabarjad itu.

Saat pendaftaran dilakukan, situasi kelam kabut tercetus tatkala seorang wanita muncul di balai polis tersebut. Wanita tersebut kelihatan agak cemas sebaik masuk ke dalam. Wajahnya sedikit pucat, terus menuju ke kaunter laporan.

“Kereta saya kena curi encik...” bicara wanita itu kepada pegawai polis yang bertugas.

Seakan mengenali, lantas Absyar menghampiri wanita itu.

“Tasha?” tegur Absyar.

“Eh... Absyar!” balas wanita itu tersenyum.

“Kereta kena curi?”

“Tak pasti... tapi dah hilang...” balas Tasha.

“Dah macam silap mata pulak nampaknya...” bicara Absyar cuba menceriakan Tasha.

Diibaratkan seperti jodoh, pergi ke mana pun, maka bertemu jua, itulah diibaratkan Tasha dan Absyar. Pasangan yang baru mengikat pertunangan itu ternyata seringkali bertemu tanpa dirancang. Beberapa hari sebelumnya, Tasha turut bertemu Absyar secara kebetulan.

“Cantik cincinnya,” tegur Absyar di suatu pagi tatkala Tasha sibuk membeli sayur di pasar pagi. Tasha ternyata terkejut. Teguran tak dijangka, dan kejutan itu diikuti dengan senyuman manis tatkala mengetahui Absyar berada di sebelahnya.

“Nak balik cincinnya ke?” soal Tasha berseloroh.

“Oh, kalau diberi cincinnya semula, maka hati itu ibarat pasu bunga Mak Cik Ros terhempas ke atas tanah...” balas Absyar berseloroh juga.

“Pasu bunga yang mana?”

“Alah, yang dekat dengan dapur tu...” balas Absyar bergurau.

“Hah, bunga kantan?”

“Eh, mana pulak bunga kantan. Tak pernah dibuat orang tanam dalam pasu...” balas Absyar ketawa kecil.

Tasha tersenyum tersipu-sipu. Kisah seterusnya, mereka pulang bersama dan perbualan mereka diteruskan lagi. Ternyata saat itu, kemesraan dan keserasian di antara Absyar dan Tasha dapat dilihat dengan jelas.

“Hilang di mana?” soal Rizqullah menghentikan lamunan panjang Tasha.

“Hilang di pasar tani kat hujung pekan ni...” balas Tasha. “Itu yang nak dibuat laporan polis”

“Pekan kecil begini pun ada tangan-tangan panjang...” keluh Absyar.

Maka, penyudahnya Tasha pulang bersama Rizqullah, Absyar, dan Zabarjad. Selepas sesi pendaftaran nama selesai, diikuti pula dengan  laporan polis, maka perjalanan diteruskan. Rizqullah memandu pulang dalam situasi yang cukup janggal.

“Namanya, Muhammad Yaqzan bin Rizqullah,” bicara Rizqullah menyatakan nama bayi yang didaftarkan sebentar tadi. Perjalanan pulang diisi dengan perbualan di antara Rizqullah dan Tasha, sementara Absyar dan Zabarjad menjadi si tukang bisu, hanya menjadi pendengar setia perbualan tersebut.

“Sedap namanya...” balas Tasha.

“Tasha nanti nak namanya apa?” soal Rizqullah mengusik.

“Entahlah...Kalau ada yang sudi nak berkahwin dengan saya... baru difikirkan apa namanya...” balas Tasha tersenyum, cuba mengusik Absyar.

“Kahwin pun belum, anak pun tak ada, macam mana nak dinamakan namanya...” bicara Absyar.

“Hah, baru nak bersuara...” kata Tasha. “Dari tadi membisu saja”

“Bisuku disebabkan ku terpesona denganmu...” bicara pula Zabarjad cuba mengusik Absyar.

Hakikatnya, situasi ceria itu sengaja dicetuskan Rizqullah supaya Tasha tidak berada dalam kerisauan dek kehilangan keretanya. Mungkin usahanya berjaya kerana selepas itu perbualan rancak berlaku di antara mereka.

Sebaik Tasha dihantar pulang, maka tibalah mereka di rumah dan pada waktu itulah, Rizqullah muncul saat Pak Long sedang berbual dengan ayah mertuanya, ustaz Man.

“Saya tau, dari dulu lagi saya ibarat anak tiri buat sesetengah di sini,” bicara Rizqullah. “Tapi, bila sah akad nikahnya, semua kena terima, suka ataupun tak, memang saya suaminya Abyatina dan Abyatina isterinya saya”

“Kamu yakin itu anakmu?” soal Pak Long masih lagi cuba mempersoalkan Rizqullah.

“Abyatina anaknya ustaz Man. Didikan agamanya cukup sempurna, dan sekarang Pak Long menuduh isteri saya berzina?” balas Rizqullah agak tegas. “Di mana saksinya?”

“Mu pandai bercakap, tapi mungkin tak semuanya betul,” balas Pak Long.

“Terpulanglah kalau itu yang Pak Long fikir...” balas Rizqullah sebelum masuk ke bilik untuk menjenguk keadaan Abyatina. Perbualan terhenti. Mungkin Rizqullah tidak mahu perbalahan panjang tercetus.

Sepanjang hari itu, kebisuan melanda Rizqullah. Tidak banyak bicara yang dituturkan Rizqullah, hanya kadangkala tersenyum dan sekali sekala ketawa kecil. Banyak masa Rizqullah di kampung itu dihabiskan dengan duduk di beranda sambil membaca buku. Situasi yang jarang bagi Rizqullah tatkala berada di kampung.

“Apakah Rizqullah terasa di hati dengan Abang Long tadi?” soal ibu Abyatina.

“Kita tak tau apa di fikirannya. Dari dulu sampai sekarang, Rizqullah simpankan di hati. Susah nak faham menantu kita ni...” balas ustaz Man.

“Macam-macam dugaan menimpa Rizqullah dan Abyatina...” keluh ibu Abyatina. “Apa lagi selepas ni?...”

“Tiap-tiap dugaan adalah pelajaran buat mereka...” balas ustaz Man.

Petang itu, Rizqullah bersiar-siar keluar menikmati pemandangan indah kampung. Itulah pertama kali Rizqullah bersendirian berjalan, kerana kebiasaannya, Abyatina pasti berada di sisinya. Banyak perkara yang bermain di fikirannya. Mungkin kekusutan melanda dirinya.

“Ina sampai sekarang hairan. Apa sebab nama tu dipilih?” soal Abyatina pada malam sebelumnya. Soalan itu telah diajukan beberapa kali.

“Kenapa nak dihairankan?” soal Rizqullah tersenyum sahaja.

“Sebab... sebab...”

“Sebab namanya itu nama si alien Zaragoza?” soal Rizqullah berseloroh.

“Ya...memang pun...”

“Tiap-tiap nama yang baik, bukan milik dan hak seseorang sahaja. Kalau maksudnya baik, tak salah kita gunakan juga... “ balas Rizqullah.

“Tapi... Ina rasa janggal sangat kalau itu namanya...” balas Abyatina.

“Insya-Allah. Tak ada apa-apa. Lama-lama biasalah dengan nama tu...” balas Rizqullah.

Hakikatnya, tiada siapa yang tahu sebab utama Rizqullah membuat keputusan untuk meletakkan nama Yaqzan sebagai nama anaknya. Walaupun disoal beberapa kali, tiada jawapan jelas diberikan Rizqullah. Mungkin Abyatina kelihatan kurang selesa dengan nama itu, tetapi tiada langsung bantahan diluahkan Abyatina.

“Ina terima apa sahaja pilihan abang,” bisik Abyatina dalam hatinya saat melihat bayi kecilnya yang sedang nyenyak tidur. Setelah disusukan, bayi kecil bernama Yaqzan itu ternyata selesa dan tidak banyak meragam. Petang itu, Abyatina bersendirian di bilik. Kelibat suaminya tidak kelihatan di bilik.

Saat itu, Rizqullah berada di kawasan tali air, tempat Abyatina selalu berada tatkala menghadapi kekusutan. Pohon rendang menjadi kawasan teduh yang cukup nyaman pada petang itu. Rizqullah melontarkan pandangannya seluas-luasnya, menikmati pemandangan indah sawah padi yang terbentang luas di hadapannya.

“Mu jangan buat sampai Abyatina menitis air mata...” bicara Zaafarani, abang Abyatina muncul  kembali di fikiran Rizqullah. Perbualan itu tercetus selepas Abyatina selamat melahirkan anak pertama mereka.

“Abyatina takkan menangis lagi...” balas Rizqullah. “Itu janji saya...”

“Jangan sekadar janjinya sahaja, kalau usahanya entah ke mana...” balas Zaafarani seperti mencemuh.

Sehingga ke waktu itu, Rizqullah ternyata masih lagi kebingungan dengan sikap Zaafarani yang cukup dingin dengannya. Dari awal perkahwinan sehinggalah ke saat dia telah menjadi seorang bapa, abang iparnya itu masih terus dengan sikap dinginnya. Rizqullah cuba menjernihkan hubungan, namun semuanya bagai tiada kesan.

“Mungkin ada benarnya. Abyatina bukan untukku...” bisik Rizqullah saat menikmati pemandangan sawah di hadapannya. “Mungkin aku punca Abyatina derita...”

Buat pertama kalinya, Rizqullah merasakan nilai putus asa.

“Aku tak faham, apa butakah si Abyatina bila dia pilih mu sebagai suaminya?” bicara Pak Long terngiang-ngiang di telinga Rizqullah pula. “Aku dari dulu tak pernah setuju...”

Bicara itu tercetus saat Rizqullah mengunjungi rumah Pak Long sewaktu Rizqullah baru sahaja berkahwin dengan Abyatina. Kunjungan Rizqullah itu adalah satu sesi kenal mengenal ahli keluarga Abyatina. Namun sesi itu ternyata mewujudkan situasi kejanggalan di antara Rizqullah dan Pak Long. Mungkin sejak dari persitiwa itulah, maka Rizqullah jarang lagi berkunjung ke rumah Pak Long.

“Apakah cinta abang buta?” soal Rizqullah di suatu pagi. Waktu itu Abyatina dan Rizqullah berjalan-jalan di tepi pantai setelah penat mengayuh basikal bersiar-siar di kawasan sekitar kampung Rizqullah. Kisah awal-awal perkahwinan di antara Abyatina dan Rizqullah.

“Kenapa pula abang bertanya begitu?” soal Abyatina.

“Abang takut, nanti Abyatina tak bahagia...”

“Kalau kita usaha, kalau kita doa, insya-Allah bahagia akan kekal...” balas Abyatina tersenyum.

“Kadang-kadang, cinta itu buta. Takut buta itu menghilangkan bahagia...”

“Cinta tak buta, kalau kiblatnya iman dan takwa,” balas Abyatina.

“Moga-moga ada imannya...”

Mengenangkan kisah-kisah dulu, hakikatnya perkahwinan Abyatina dan Rizqullah bukanlah semudah yang disangka. Pada awal peminangan Rizqullah, Abyatina hakikatnya tidak sudi menerima. Jauh di sudut hati Rizqullah, kecewa itu dirasai. Walaupun tidak pernah bertemu dengan Abyatina, perasaan jatuh hati sudah mula dirasai Rizqullah pada waktu itu.

“Dia tidak pernah putus berdoa untuk dipertemukan dengan jodoh yang terbaik buatnya. Maka dia berniat dan berhasrat untuk menjadikan gadis itu sebagai isterinya. Maka dipohon moga hati gadis itu terbuka untuk menerimanya. Walaupun di awalnya mustahil, berkat sabar dan terus berdoa, maka hasrat itu termakbul di akhirnya. Gadis itu akhirnya menjadi teman hidupnya. Itulah kehebatan doa dan nikmat kesabaran hati. Jangan berputus asa dalam berdoa pada-Nya”

Pena diletakkan semula. Bicara panjang dinukilkan sedikit di dalam buku kecilnya. Abyatina telah lama tidak menulis bicaranya ke dalam bentuk tulisan di dalam buku itu. Petang itu setelah menjamah sedikit kuih yang disediakan ibunya, maka Abyatina mengambil peluang untuk menulis sesuatu.

“Dan gadis itu ialah Abyatina,” bisik Abyatina tersenyum panjang.  “Abang bukan satu kesilapan...”

Memang agak penat tatkala Abyatina masih lagi dalam tempoh berpantang selepas bersalin. Bagi ibu muda dan pertama kali melalui pengalaman sebagai seorang ibu, maka kadangkala dirasakan bahawa ruang masa itu mula menjadi terhad. Makan dan minum perlu dijaga, ditambah pula dengan kesihatan tubuh badannya. Pelbagai perkara perlu dilakukan dan pada masa yang sama si bayi kecil Yaqzan juga perlu dijaganya.

“Pendek kata, nampak saja empat puluh hari berehat, tapi rehatnya ada syaratnya,” bicara ibu Abyatina saat ibunya itu membantunya untuk bertungku.

“Banyak kesabarannya...” balas Abyatina.

Petang itu, Rizqullah terus menghabiskan masanya di tali air di kampung. Mungkin mahu tenangkan fikiran atau mungkin sekadar mahu menikmati tiupan angin petang. Tempat kegemaran Abyatina merehatkan minda, maka Rizqullah sedikit demi sedikit menjadi tenang, hilang kekusutan.

“Mungkin ada sebabnya ramai yang tak setuju dengan perkahwinan Abyatina...” luah Rizqullah. “Kalau ramai yang tak suka, mungkin lagi baik kalau tak datang ke sini selalu. Mengelak mungkin cara terbaik buat Abyatina dan aku”

Saat Abyatina bertungku, satu panggilan telefon kedengaran di rumah ustaz Man. Zabarjad menjawab panggilan itu. Lantas tak lama kemudian, Zabarjad bergegas keluar, terus berlari menuju ke sawah. Kelam kabut kelihatan di wajah Zabarjad.

“Ada apa Jad?” soal Mak Cik Ros. Pertanyaan itu tak terjawab apabila Zabarjad terus berlari meninggalkan rumah.

Tali air kawasan kampung itu menjadi tempat tuju Zabarjad. Zabarjad tahu, hanya di situ sahajalah abang iparnya, Rizqullah menghabiskan masa. Zabarjad terus berlari semampu yang boleh. Mungkin ada perkhabaran yang ingin disampaikan buat Rizqullah setelah Zabarjad menerima panggilan telefon di rumah tadi.

“Cikgu Hamdawi hilang!” kata Zabarjad sebaik bertemu Rizqullah di tali air itu.

“Hilang? Macam mana boleh hilang?” soal Rizqullah terkejut.

“Saya tak tahu. Cuma dimaklumkan begitu saja masa telefon tadi,” balas Zabarjad.

“Allahuakbar….”

Lantas Rizqullah bergegas pulang. Berita kehilangan ayahnya ternyata mengejutkan dan tidak pernah terjadi sebelum ini. Dalam keadaan bingung, Rizqullah mempercepatkan langkahnya. Di akhirnya, Rizqullah berlari. Setibanya di rumah, Rizqullah terus menuju ke bilik. Lantas beg pakaiannya diambil.

“Abang nak ke mana?” soal Abyatina terkejut saat Rizqullah masuk ke bilik dalam keadaan tergesa-gesa. Abyatina sedang menyusukan anaknya Yaqzan ketika itu.

“Abang kena pulang sekarang…” balas Rizqullah yang sibuk mengemas sedikit pakaiannya. “Bapak hilang..”

“Hilang?” Abyatina terkejut.

“Tak pasti hilangnya macam mana. Tapi, abang kena jumpa mak sekarang,” bicara Rizqullah.

“Tak makan dulu?” soal Abyatina cuba menenangkan suaminya.

“Tak apa. Tak lapar lagi…” balas Rizqullah sebelum mengucup dahi Abyatina. Lantas Rizqullah bergegas keluar dari bilik.

“Abang…” Abyatina bersuara. Tangannya menarik tangan Rizqullah. Langkah Rizqullah terhenti. Lantas tak lama kemudian, tangan Rizqullah dicium Abyatina. “Hati-hati”

Rizqullah tersenyum sebelum menggenggam tangan Abyatina. Dikucup pula tangan Abyatina selepas itu. Rizqullah kemudian bergegas keluar dari bilik itu. Abyatina hanya melihat tatkala debaran dirasakan di dadanya. Abyatina seakan merasakan satu kerisauan yang tak pasti.

“Ke mana suamimu nak pergi?” soal ibu Abyatina tatkala melihat Rizqullah bergegas masuk ke dalam kereta sebelum meninggalkan perkarangan rumah.

“Cikgu Hamdawi hilang,” balas Abyatina ringkas.

“Hah, hilang ke mana?” soal ibu Abyatina.

“Mungkin cerita yang lebih jelas akan kita tahu nanti. Tapi, untuk sekarang, Ina nak berehat dulu,” bicara Abyatina tenang walaupun hakikatnya hatinya dalam kerisauan.

Matanya terpejam tak lama kemudian selepas meletakkan Yaqzan di sisinya. Keletihan mungkin dirasai Abyatina. Lelapnya mudah sahaja, tidurnya mungkin agak nyenyak. Hari-hari sebagai ibu ternyata punyai cabaran tersendiri.

“Macam mana mak boleh bertahan dengan semua ni? Nak jaga seorang anak pun macam tak terdaya, inikan pula enam orang anak macam mak…” keluh Abyatina pada petang sebelumnya.

“Itulah kekuatan wanita. Selemah-lemah hawa, kekuatannya terletak pada kesabaran dan ketabahannya. Mungkin lemah pada kekuatan zahirnya, tapi kekuatan hatinya tak siapa yang boleh duga,” balas ibu Abyatina tersenyum. “Percayalah, nanti keletihan yang mu rasa ni akan bertukar jadi nikmat hidup yang tak terkata”

Abyatina tersenyum manis sambil melihat Yaqzan bayi kecilnya.

“Letihnya mungkin ada nikmatnya…” bisik Abyatina tersenyum.

Tatkala Abyatina sedang nyenyak tidur petang itu, situasi kelam kabut tercetus sekali lagi di rumah. Satu panggilan telefon kedengaran, dan ibu Abyatina menjawab panggilan itu. Tak lama selepas itu, ibu Abyatina masuk dan Abyatina dikejutkan dari tidurnya.

“Abyatina… Suamimu Rizqullah kemalangan!” bicara ibu Abyatina.

Sepantas kilat kejutan menyerang Abyatina. Keletihan yang dirasai sebelum itu hilang begitu sahaja. Berita yang tak terduga kedengaran. Maka, Abyatina mula hilang arah. Emosinya serta merta terganggu.

“Tak… tak mungkin… Itu bukan abang… bukan….”

“Abyatina…. Sabar. Tenangkan diri. Jangan kusutkan fikiran…. Tenang…” pujuk ibu Abyatina terus memeluk erat anaknya itu untuk mententeramkan Abyatina.

“Ina tak percaya…. Tak mungkin…”

Azan Maghrib kedengaran tak lama kemudian. Maka, situasi buat keluarga Abyatina sekali lagi dilanda dugaan. Saat bahagia tercipta, gembira itu direntap pula dengan berita yang tak diduga. Abyatina menitiskan air mata. Kesabaran sekali lagi diuji.

“Ya Allah....”





*Tamat sudah Bicara Dua Puluh Empat*

 Apakah yang terjadi kepada Rizqullah?

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.


Siri Adina ke-24 ini didedikasikan kepada Thahirah Kamarulail, Nor Farhana, saudara Fhazrul, saudara Anwarrudin, dan saudari Hamidah Ainun.






*Terima kasih kepada saudari Amalina atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.


Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina