"Adina (Bicara Dua Puluh Lima)"






“Kesabaran seharusnya diuji, kerana semakin banyak diuji, maka semakin kukuhlah kesabaran itu. Tiap-tiap ujian adalah satu petanda, mengingatkan tiap-tiap manusia bahawa hidup itu tak senantiasa bahagia sepanjang masa. Setiap dugaan adalah satu perjalanan ke arah hati yang lebih kukuh dan tabah”

“Kesetiaan perlukan kesabaran. Kebahagiaan perlukan pengorbanan,” bisik Abyatina sebaik meletakkan penanya di atas meja. Buku notanya ditutup kembali.

Pagi itu, fikiran Abyatina seakan tenang kembali. Fikirannya dilontarkan sejauh yang mungkin, cuba melupakan setiap dugaan yang melanda. Benar, pelbagai kekusutan mengganggu dirinya, namun semuanya harus dihadapi, tidak boleh dielak. Prinsip Abyatina, selagi kekusutan dibiarkan, maka tidak mungkin ketenangan akan dirasakan. Masalah perlu diselesaikan satu persatu.

“Bagaimana dengan Abyatina sekarang?” soal ustaz Man.

“Abyatina orangnya tabah. Tenang di hati, tenang di wajah,” balas ibu Abyatina.

“Tapi, setenang wajah tak gambarkan perasaan sebenar dia,” bicara ustaz Man.

“Kita hanya mampu mengharap. Moga-moga Abyatina hilang kusutnya...” luah ibu Abyatina.

Saat masing-masing meluahkan kerisauan dengan situasi yang melanda Abyatina, kisah Absyar juga turut mencuri perhatian. Perkhabaran orang kampung menyatakan bahawa Absyar seringkali bertemu Tasha di hujung bendang ternyata telah menjadi buah mulut orang. Pelbagai kisah mula diperkatakan.

“Anaknya ustaz, tapi perangainya mengalahkan anaknya yang bukan ustaz. Buat kampung ni macam tempat tak ada agama. Suka-suka hati nak buat apa saja, macam dah hilang adatnya,” luah Mak Cik Jemah, sewaktu membeli beras di kedai Pak Din.

“Maknanya, kalau bukan anak ustaz boleh suka hati buat dosa? Begitu Cik Jemah?” soal Pak Din memerli.

“Aku tak kata macam tu. Tapi, keturunan yang baik, sepatutnya semuanya perlu baik. Takkan nak jadi arang yang contengkan muka...”

“Habis tu, mu nak kata si Absyar si kambing hitam dalam keluarga ustaz Man?” soal Pak Din.

“Orang bila bercakap sesuatu, pasti ada yang tak kena. Takkan tiba-tiba saja nama Absyar jadi buah mulut orang kampung? Mesti ada yang tak kena...”

“Disebabkan mulut-mulut macam nilah, fitnah tersebar. Cukup-cukuplah. Jangan ditambah beban si ustaz Man tu. Kalau dulu si Abyatina, dan sekarang si Absyar?” balas Pak Din. “Selepas ni siapa pula?”

“Ah, mu kalau selalu terperuk di kedai ni, memang tak tau langsung kisah di kampung ni,” balas Mak Cik Jemah sebelum meninggalkan kedai itu.

“Buat apa kalau ke hulu ke hilir, tapi mulutnya tabur fitnah?” balas Pak Din.

Sarapan pagi ustaz Man dan Mak Cik Ros dimulakan dengan kisah Abyatina. Namun tak lama selepas itu, kerisauan terhadap Absyar pula mengambil tempat. Pagi itu hanya ustaz Man dan Mak Cik Ros sahaja yang menikmati sarapan. Zabarjad seperti biasa masih lagi tidur ketika ini manakala Abyatina sedang berehat di bilik. Rafiqin pula telahpun berada di sekolah.

“Absyar dah jadi kisah baru kampung ni...” bicara ustaz Man.

“Mungkin kena percepatkan perkahwinan Absyar...” balas ibu Abyatina.

“Bersediakah Absyar?” soal ustaz Man.

“Bukan soal bersedia. Tapi soal hukum dan hakam...”

“Tapi, soal kahwin bukan paksaan. Semuanya terpulang pada Absyar. Kalau hati tak mahu, dipaksa macam mana pun takkan dapat bahagiakan dia,” balas ustaz Man.

“Lepas Abyatina, Absyar pula dugaannya...” keluh ibu Abyatina.

Absyar banyak berdiam diri tatkala diajukan soal perkahwinan dengan Tasha. Bukan tidak berhasrat dengan niat tersebut, namun Absyar menyatakan bahawa dirinya masih lagi belum bersedia. Berkali-kali dipujuk, namun jawapan diberi tetap sama.

“Kahwin tu memang senang. Tapi kalau duit tak ada, kahwin entah ke mana, kenduri entah ke mana,” bicara Absyar setiap kali isu perkahwinannya ditimbulkan.

“Entah-entah memang abang Lang ni tak nak kahwin kot...” usik Rafiqin anak bongsu dalam keluarga ustaz Man.

“Kalau dientahkan, kenapa bisa abang Langmu ini bikin tunang samanya Tasha...” balas Absyar bergurau dalam loghat Indonesia.

“Kok biasa begitu sih?” celah Zabarjad pula.

Suasana pagi yang sunyi itu sedikit sebanyak memberi ketenangan jiwa buat Abyatina. Hujan yang turun malam semalam memberikan kedinginan di pagi itu, menyejukkan hati yang dalam kekusutan. Namun yang paling mencuri tumpuan sudah semestinya ustaz Man dan Mak Cik Ros, berdua-duaan di meja makan, dan secara tiba-tiba melalui saat-saat romantis yang telah lama tak dirasai.

“Dinda dah habis santap?” usik ustaz Man tatkala Mak Cik Ros bangun dari duduknya.

“Hah?”

“Marilah dinda kita berdansa. Pagi-pagi begini elok benar untuk berkasih sayang...” gurau ustaz Man lagi.

“Apakah yang merasuk dirimu wahai ustaz Man?” balas Mak Cik Ros.

“Peluang macam ini bukan selalu dinda...” usik ustaz Man. “Kanda, dinda dan secawan teh ni...”

“Menggamit memori barangkali?” balas Mak Cik Ros mula mengerti gurauan suaminya. Lantas dirinya kembali duduk di sebelah ustaz Man.

“Kita selalu sibuk dengan masalah anak-anak. Barangkali dah terlupa kenangan-kenangan lama...” bicara ustaz Man serius kembali. Tangannya menyentuh tangan isterinya.

“Itu namanya pengorbanan. Anak-anak walaupun banyak dugaannya, itulah namanya bahagia,” balas Mak Cik Ros tersenyum.

“Entah berapa lama lagi kita dapat hidup. Takut bila kita tinggalkan, anak-anak masih tak bahagia..” keluh ustaz Man.

“Kita merancang bahagia, tapi bahagia itu terletak pada Allah,” balas Mak Cik Ros.

“Cuma bila dilihat nasib si Abyatina, nasib si Rizqullah, risaunya tak sudah. Susah nak bertemu bahagia”

“Tiap-tiap yang susah pasti ada senangnya nanti. Perlu bersabar moga-moga dapat harungi setiap dugaan,” balas Mak Cik Ros. “Kanda tadi katanya mahu berdansa ya?” soal Mak Cik Ros menceriakan suasana kembali.

“Dansa yang bagaimana tu dinda?” balas ustaz Man tersenyum.

“Joget Pahang barangkali?” Mak Cik berseloroh.

“Tetapi kanda rasa, ada baiknya kalau kita bertango. Lagi romantis,” balas ustaz Man.

Mak Cik Ros ketawa. Usikan ustaz Man menceriakan paginya. Hilang seketika kusut di fikiran.

“Boleh Jad turut serta?” celah Zabarjad yang tiba-tiba muncul di dapur. Maka ustaz Man dan mak Cik Ros dilanda kejutan. Barangkali menjadi segan dek gurau senda di antara mereka yang berlaku sebelumnya.

“Ish, mu ni. Selalunya bagi orang terperanjat,” kata Mak Cik Ros.

“Saya jadi tukang kompang pun boleh...” usik Zabarjad ketawa kecil.

“Bikin rosak ana punya program saja mu ni Jad...” bicara ustaz Man bergurau lagi.

“Sudahlah ustaz Man. Kita yang tua, buat cara yang tua...” balas Mak Cik Ros serius.

“Jiwa kena muda wahai cik Ros...” bicara ustaz Man tersenyum.

Suasana ceria pagi itu berterusan. Gurau senda berlaku di dapur. Zabarjad ternyata pandai menyakat ustaz Man dan Mak Cik Ros.  Maka suasana kecoh berterusan tatkala gelak ketawa dan usik mengusik terus berlaku. Namun di saat keceriaan itu, perkarangan ustaz Man dikunjungi seorang tetamu.

“Assalamualaikum,” salam diberi tetamu yang hadir.

“Waalaikumussalam,” jawab ustaz Man sebelum bergerak ke muka pintu. Perlahan-lahan berjalan menggunakan tongkatnya.

“Yaqzan?” bisik ibu Abyatina kehairanan. Dia mengerti suara yang didengarnya. Itulah suara Yaqzan yang seringkali muncul di rumah itu suatu ketika dulu. “Apa pula munculnya tiba-tiba pagi ni?”

“Lama mu tak datang sini. Ke mana menghilang?” soal ustaz Man menyambut salam yang dihulur Yaqzan.

“Kerjayanya banyak. Sibuknya tak berhenti...” jawab Yaqzan.

“Apa khabar ustaz Khumaini?”

“Sihat-sihat saja. Banyak berehat di rumah saja sekarang,” balas Yaqzan.

“Oh, patutlah jarang bertemu di masjid....”

“Maaflah kalau menganggu. Hajat di hati dah lama dah. Cuma baru hari ni berkesempatan. Sekadar nak ziarah Abyatina dengan anaknya, bertanya khabar” bicara Yaqzan.

“Alahamdulillah. Masuklah. Abyatina sihat-sihat saja,” balas ustaz Man.

“Kakinya dah makin kuat ke? Nampak dah makin pantas jalannya,” bicara Yaqzan saat menaiki rumah.

“Bolehlah nak menapak sikit-sikit. Kuatnya tak sangat, tapi boleh dah bergerak sendiri,” balas ustaz Man tersenyum sambil berjalan dengan tongkatnya.

Kunjungan Yaqzan tidak diduga sesiapa. Kemunculan mengejut, maka itulah yang seringkali dilakukan Yaqzan. Umumnya mengetahui, Yaqzan kelihatan masih lagi mengharap pada Abyatina walaupun hakikatnya harapan itu satu kemustahilan. Namun, kunjungan itu disambut baik ustaz Man walaupun kurang disenangi ibu Abyatina.

“Banyak dugaannya, dan sekarang nak ditambah lagi kusutnya?” bisik ibu Abyatina tatkala Yaqzan naik ke rumah. “Abyatina dah bersuami Yaqzan...” bisiknya lagi di dalam hati.

Hakikatnya, kunjungan Yaqzan mencetuskan persoalan yang tak berkesudahan. Tidak diketahui tujuan sebenar Yaqzan muncul di pagi itu.

Disebabkan Yaqzan juga, maka Rizqullah dilanda serabut. Pertemuan di antara Rizqullah dan Yaqzan di satu petang  dulu telah mencetuskan pelbagai persoalan mengenai Abyatina. Lantas, di satu malam perbualan tercetus di antara Rizqullah dan Abyatina mungkin mahu merungkaikan persoalan itu.

“Abang nak tanya satu perkara...” bicara Rizqullah pada suatu malam. Saat Abyatina berehat sambil melihat bayi kecilnya, maka perbualan tersebut tercetus.

“Tanya?”

“Apa yang terjadi sebenarnya?” soal Rizqullah.

Dek cerita Yaqzan yang disampaikan pada Rizqullah, maka di suatu malam pertanyaan dinyatakan Rizqullah buat isterinya. Rizqullah perlukan kepastian dari Abyatina. Pelbagai persoalan muncul sehingga perkara yang benar dan palsu itu seolah-olah tiada bezanya. Perjumpaan Rizqullah dan Yaqzan bukan suatu perkara yang biasa. Satu persoalan muncul di fikiran Rizqullah selepas perjumpaan itu.

“Dah lama abang nak tanya... tapi abang tak sampai hati,” luah Rizqullah.

“Tanya yang bagaimana?” soal Abyatina kurang mengerti.

“Dulu, masa abang tinggalkan Abyatina di kampung ni, ada apa-apa perkara yang abang tak tahu?” soal Rizqullah.

“Apa yang Ina tahu dan apa yang abang tak tahu?” soal Abyatina masih lagi kurang memahami. “Maafkan Ina kalau ada kesalahan yang Ina tahu...” bicara Abyatina sebelum dipegang tangan suaminya. Mungkin cuba mahu tenangkan situasi.

“Waktu abang tinggalkan Ina di kampung dulu, ada tak sesuatu yang berlaku pada Ina yang abang tak tahu?” soal Rizqullah.

“Bila? Banyak waktunya Ina di sini?”

“Masa abang pergi kursus dulu...” balas Rizqullah tenang. “Di Pulau Pinang dulu...”

Lantas fikiran Abyatina terus terkenang kembali peristiwa yang terjadi hampir setahun yang lalu. Mungkin satu rahsia yang tak pernah diceritakan oleh sesiapa. Kisah yang berlaku di petang hari, menjadi satu memori yang cukup menakutkan. Benar, rahsia itu terlalu sulit, hingga Rizqullah sendiri tidak mengetahuinya.

“Apa benar Abyatina kejadian tu berlaku?” soal Rizqullah.

Abyatina secara tiba-tiba menitiskan air matanya. Tak lama kemudian tersesak-esak menangis. Lantas Rizqullah dipeluknya. Tangisan yang ternyata mengejutkan Rizqullah. Tangisan itu bagai melepaskan segala rahsia yang terpaksa dipendam.

“Ina takut abang.... Ina takut....” bicara Abyatina dalam nafas yang tersekat-sekat.

“Apa yang jadi sebenarnya, Ina?” soal Rizqullah tenang sambil mengusap belakang Abyatina cuba beri kekuatan buat isterinya itu.

“Bukan salah Ina abang...” balas Abyatina teresak-esak.

“Tak apa... tak apa...” pujuk Rizqullah. “Tiap-tiap yang berlaku ada ujian...”

Kisahnya, kejadian tersebut berlaku saat Abyatina berjalan pulang dari rumah rakannya. Maka dalam perjalanan pulang, Abyatina terpaksa meredah kawasan ladang getah di kampung sebelum melalui kawasan bendang sawah. Perjalanan petang yang menghampiri senja itu ternyata sangat sunyi. Dalam perjalanan bersendirian itu, maka secara tiba-tiba beberapa lelaki yang tidak dikenali mengepung Abyatina.

“Itulah tempat yang sama...” terang Abyatina.

Peristiwa sebelum Abyatina berkahwin dengan Rizqullah muncul di fikirannya. Di tempat yang sama, Abyatina mengalami situasi yang hampir serupa. Namun, nasib menyebelahinya tatkala  Pak Long muncul secara kebetulan bersama parang di tangannya. Abyatina terselamat dari menjadi mangsa nafsu-nafsu buas.

“Jadi Abyatina jadi mangsa?” soal Rizqullah cuba mendapatkan kepastian.

“Allah Maha Kuasa...” balas Abyatina yang kelihatan sedikit tenang.

Rahsia yang terjadi petang itu hanya diketahui Abyatina dan adiknya Zabarjad. Secara kebetulan juga, Zabarjad muncul di kawasan ladang getah itu. Baru sahaja keluar dari hutan mencari kayu-kayu halus untuk dibuat ukiran, maka tatkala mendengar jeritan di kawasan ladang getah itu, Zabarjad terus mencari puncanya. Kejutan diterima tatkala melihat kakaknya Abyatina sedang diseret masuk ke dalam semak.

“Jad penyelamat petang tu...” terang Abyatina.

Berbekalkan ilmu silat yang dipelajari, dan secara kebetulan parang panjang dibawanya tatkala masuk ke dalam hutan, maka bagai diserang kegilaan, Zabarjad terus menyerang kesemua lelaki yang cuba memperkosa kakaknya itu. Sepantas kilat itu jugalah libasan demi libasan parang diacukan kepada lelaki-lelaki durjana tersebut. Serangan mengejut itu ternyata tidak dapat dilawan mereka. Maka saat itu jugalah Abyatina terus melarikan diri pulang ke rumah.

“Dan semuanya terus jadi rahsia. Zabarjad dan Ina,” bicara Abyatina.

“Dan Yaqzan mungkin?” soal Rizqullah.

“Yaqzan? Mana mungkin dia lahir lagi masa tu...” balas Abyatina sambil melihat bayi yang sedang tidur nyenyak di atas katil.

“Bukan Yaqzan yang comel ni...” balas Rizqullah tersenyum. “Ini Yaqzan si tua, yang cemburunya tak pernah hilang,” bicara Rizqullah.

“Ustaz gila bayang tu?” bicara Abyatina sedikit tersenyum. Wajah ceria tercipta.

“Ya...Alien Zaragoza tu..”

“Ina tak pasti...”

Terjawab sudah persoalan besar yang bermain di fikiran Rizqullah selama ini. Malam itu Rizqullah menjadi tenang. Setiap tuduhan yang dilemparkan Yaqzan hanyalah satu kepalsuan. Namun kehairanan masih timbul di fikiran Rizqullah. Apakah sebab Yaqzan sanggup menabur kepalsuan? Persoalan yang masih tak terjawab.

“Di mana mu kerja sekarang Yaqzan?” soal ustaz Man sebaik Yaqzan berada di ruang tamu.

“Sekarang saya mengajar di sekolah hujung daerah ni...” jawab Yaqzan dengan tenang.

“Sekolah agama tu ya?”

“Iya. Sekolahnya baru lagi,” Yaqzan tersenyum. “Kemudahannya pun banyak yang kurang”

“Biasalah tu,” kata ustaz Man. “Mu kerjanya dah lama. Bilanya pula nak berdua? Ada orang rumah, baru lengkap hidupnya”

“Nak kahwin memang senang. Tapi kalau jodohnya tak sampai, tak dapat nak buat apa-apa,” balas Yaqzan.

Ibu Abyatina muncul di ruang tamu. Hidangan teh panas buat tetamu disajikannya. Walaupun kelihatan agak kurang selesa dengan kehadiran Yaqzan, namun senyuman tanda kemesraan masih lagi dijelmakan di wajah Mak Cik Ros.

“Apa namanya anak Abyatina?” soal Yaqzan ingin tahu.

Ustaz Man dan Mak Cik Ros tersenyum, berpandangan antara satu sama lain.

“Namanya namamu,” balas ustaz Man.

“Maksudnya?”

“Namamu namanya,” bicara Mak Cik Ros pula.

“Ertinya?”

“Namamu namanya anak Rizqullah. Yaqzan nama diberi,” balas ustaz Man.

“Hah? Kenapa?” soal Yaqzan terkejut dalam kehairanan.

“Soalan yang sama juga buat kami sekeluarga. Hanya Rizqullah yang tahu sebabnya,” terang ustaz Man.

Yaqzan terdiam. Mungkin terkejut atau mungkin kehairanan. Namun yang pasti, perkhabaran bahawa Rizqullah menamakan bayi itu sempena namanya adalah sesuatu yang tidak masuk akal. Pasti Rizqullah punyai sebab yang tidak diketahui orang lain. Itulah yang terlintas di fikiran Yaqzan.

Yaqzan tak lama di rumah ustaz Man. Tidak pun menjenguk Abyatina dan bayinya, kelihatan Yaqzan mungkin sekadar singgah untuk seketika waktu. Mungkin juga Yaqzan secara tiba-tiba mahu pulang lebih awal tatkala diberitahu bahawa bayi Abyatina itu dinamakan sempena namanya. Mungkin kejutan itu mencetuskan kegelisahan bagi Yaqzan, mengundang rasa kurang selesa buatnya.

Hakikatnya, kunjungan Yaqzan langsung tidak diketahui Abyatina. Saat kunjungan itu, Abyatina berehat di bilik. Ibunya langsung tidak memberitahu kunjungan Yaqzan itu. Mungkin tidak mahu mengganggu atau mungkin tidak mahu mencetuskan kekusutan baru.

Kisah tiga hari sebelumnya, Abyatina ternyata dilanda kesedihan. Perkhabaran menerusi telefon yang dijawab ibunya memberikan berita yang kurang enak. Rizqullah kemalangan, dan berita itu ternyata sukar untuk diterima Abyatina. Petang itu, Abyatina bagai hilang arah. Kesedihan menguasai dirinya.

“Kita pergi ke kampung Rizqullah,” bicara ustaz Man. “Mungkin ada perkhabaran yang lebih jelas di sana”

“Abyatina?” soal Mak Cik Ros.

“Abyatina tak boleh ke mana-mana. Abyatina kena berehat,” balas ustaz Man.

“Lebih baik kalau Zabarjad dan Absyar yang pergi. Biar kita di sini...” cadang Mak Cik Ros.

Maka, Absyar dan Zabarjad bertolak menuju ke kampung Rizqullah. Perjalanan hampir sejam itu menimbulkan pelbagai persoalan sehingga menyebabkan Absyar dan Zabarjad langsung tidak berbual sepanjang perjalanan. Dalam gelap malam, wajah Abyatina seringkali muncul di fikiran mereka. Mungkinkah satu lagi dugaan bakal dihadapi Abyatina?

“Barangkali ceritanya banyak dugaan. Tapi Abyatina dapat harungi semuanya. Kalau dulu Abyatina boleh hadapi, insya-Allah dia mampu juga kali ni,” luah ustaz Man pada malam itu.

“Tapi, kalau dugaan kali ni tak terlawan Abyatina?” soal ibu Abyatina.

“Kita mesti ada bila Abyatina perlukannya...”

Sesungguhnya, tiap-tiap dugaan adalah satu titik kebangkitan setiap manusia. Setiap kesusahan adalah satu kekuatan yang akan meperbaiki setiap kelemahan diri. Setiap kesedihan adalah satu permulaan bagi sebuah kegembiraan. Dunia hanya akan indah andai ketabahan dan kesabaran itu menjadi teman tatkala ujian sedang dihadapi. Maka, dari situ akan wujudlah kebahagiaan.

Mungkin dari ketabahan dan kesabaran itulah, maka Abyatina diberikan perkhabaran yang menenangkan jiwanya. Tak lama selepas Absyar dan Zabarjad tiba di kampung Rizqullah, maka kisah sebenar diketahui mereka. Mungkin satu kelegaan.

“Alhamdulillah. Abang Cik selamat,” bicara Zabarjad kepada Mak Cik Ros menerusi panggilan telefon.

“Kemalangan tu?” soal Mak Cik Ros.

“Sampaikan berita ni pada Kak Cik,” bicara Zabarjad, langsung tidak menjawab pertanyaan ibunya. Perbualan terhenti setakat itu sahaja.

Khabar gembira disampaikan kepada Abyatina. Maka ketenangan terukir di wajah Abyatina. Namun, kisah sebenar kemalangan yang terjadi itu masih kurang difahami Abyatina. Walaupun diketahui keadaan Rizqullah, ternyata Abyatina masih tidak mengetahui kisah sepenuhnya kemalangan yang terjadi itu.

“Assalamualaikum”

Salam yang diberikan mencetuskan satu gerakan spontan Abyatina tatkala dirinya terus keluar dari bilik menuju ke muka pintu. Suara yang cukup dikenali tiba-tiba kedengaran. Tanpa sedar, kuntuman senyuman terjelma di wajahnya. Mungkin satu kegembiraan akan muncul.

“Apa khabar Siti Abyatina?”

Rizqullah muncul di ruang tamu. Kelihatan tangan kanannya berbalut dan dianduh. Mungkin kesan kemalangan yang menimpanya. Senyuman diberikan Rizqullah. Lantas sekelip mata kegembiraan melanda. Abyatina meluru menghampiri Rizqullah. Dipeluk suaminya itu seerat-eratnya.

“Jangan tinggalkan Ina lagi...” bisik Abyatina. “Jangan tinggalkan lagi...”

“Maafkan abang...” balas Rizqullah. Abyatina terus memeluk suaminya itu. Rasa sebak melanda Abyatina.

“Rizqullah?” soal ibu Abyatina terkejut tatkala melihat Rizqullah muncul di ruang tamu. “Bila sampainya? Mu sihat?”

“Alhamdulillah...” balas Rizqullah.

Tiga hari selepas berita kemalangan diketahui, maka Rizqullah akhirnya muncul semula. Kunjungan Absyar dan Zabarjad ke kampung halaman Rizqullah pada malam kemalangan itu hanya memberi perkhabaran yang kurang jelas. Tatkala Absyar dan Rizqullah tiba, hanya kelibat Marzuq, abang sulung Rizqullah sahaja yang berada di rumah.

“Insya-Allah, Rizqullah selamat,” bicara Marzuq malam itu kepada Absyar dan Zabarjad.

“Tapi mana yang lain?” soal Absyar sedikit hairan.

“Semua ada di hospital sekarang,” balas Marzuq.

“Bunyinya macam teruk saja...” luah Zabarjad pula.

“Jangan dirisaukan. Sampaikan perkhabaran ini pada Abyatina. Moga dia tenang sedikit,” bicara Marzuq tersenyum.

Maka selepas itu Zabarjad menelefon ibunya dengan perkhabaran yang sedikit itu namun tetap memberikan kelegaan buat sesisi keluarga. Malam itu juga, Absyar dan Zabarjad pulang semula ke kampung.

“Apa yang terjadi sebenarnya Rizqullah?” soal ibu Abyatina. Saat itu juga, ustaz Man muncul di ruang tamu apabila mendapat tahu kehadiran Rizqullah itu.

“Kami di sini menunggu cerita yang tergantung Rizqullah,” kata ustaz Man berjalan perlahan-lahan dengan tongkatnya sebelum duduk di atas kerusi.

“Apa yang berlaku petang tu?” soal pula Abyatina. Dalam keadaan yang masih berpantang, Abyatina ternyata berjaya menyesuaikan diri. Itulah pertama kali Abyatina duduk di ruang tamu sejak kelahiran bayi sulungnya.

“Saya tak tahu nak mulakan dengan yang mana...” bicara Rizqullah.

Agak lama Rizqullah membisu. Suasana senyap wujud di ruang tamu.

“Petang tu kami terima panggilan dari abangmu Marzuq. Khabarnya mu kemalangan. Tapi, bagaimana kemalangannya? Apa yang berlaku? Apa puncanya? Bagaimana keadaannya?” bicara ibu Abyatina menghilangkan kebisuan yang melanda.

“Semuanya pantas berlaku...” terang Rizqullah kembali bersuara. “Dalam kelam kabut nak pulang ke kampung, di satu selekoh, satu motosikal tiba-tiba melintas jalan,” bicara Rizqullah. “Saya tak dapat elak, dan terus bertembung...”

“Seterusnya?” soal ustaz Man.

“Saya tak pasti. Mungkin keliru masa tu. Mujur selamat. Cuma patah di tangan saja...” balas Rizqullah.

“Motor yang mu langgar apa jadinya?” soal pula ibu Abyatina.

“Entah. Saya tak tahu...”

“Tapi, kenapa tiga hari, baru abang muncul?” soal Abyatina tiba-tiba mencelah.

“Suamimu dah muncul pun satu kesyukuran, Abyatina...” bicara ibunya. “Biarkan saja Rizqullah berehat dulu..”

 Rizqullah hanya tersenyum sahaja. Tidak pula menjawab pertanyaan Abyatina itu.

“Oh ya. Bagaimana dengan cikgu Hamdawi? Bertemu sudahkah?” soal ibu Abyatina.

“Ya... malam itu juga orang kampung jumpa bapak di stesen bas di pekan,” jawab Rizqullah. “Saya tak pasti... tapi ada mungkin bapak tak ingat apa yang terjadi hari tu...”

“Tak ingat? Kenapa?” soal ustaz Man pula.

“Entah... saya tak pasti..” bicara Rizqullah.

Perkhabaran di kampung Rizqullah tatkala mengetahui kehilangan bapanya merupakan satu kejutan bagi penduduk kampung. Maka sepantas itu juga, gerakan mencari dilakukan. Khabarnya, cikgu Hamdawi tidak pulang ke rumah sejak pagi lagi. Sebagai individu yang cukup dihormati di kampung itu, maka dengan mudah pertolongan dihulurkan oleh penduduk kampung bagi mencari cikgu Hamdawi.

“Terpinga-pinga bila dah jumpa. Bapak jadi hairan dan tak faham dengan apa yang berlaku hari tu,” terang Rizqullah.

Maka, mungkin itulah sebab Rizqullah terus berada di kampungnya menemani ayahnya. Mungkin mahu memulihkan semangat cikgu Hamdawi yang ternyata keliru dengan kejadian yang menimpa. Cikgu Hamdawi cuba mencari kepastian, namun semuanya berakhir dengan persoalan. Tiga hari berlalu, maka barulah Rizqullah muncul semula di kampung Abyatina.

“Kadangkala, persoalan menjadi terlalu pedih tatkala kebenaran diketahui,” bicara Abyatina secara tiba-tiba lantas bangun dan meninggalkan Rizqullah di ruang tamu. Abyatina masuk ke biliknya. Rajuk si Abyatina mungkin tercetus.

Rizqullah kehairanan dengan tindakan Abyatina. Bicara yang dituturkan Abyatina kurang difahami, namun punyai maksud tersirat yang cukup mendalam. Mungkinkah Abyatina pendamkan hati sehingga kekecewaan diluahkan sedemikian? Hakikatnya, perasaan Abyatina sukar diduga.

“Biarkan dulu... Abyatina masih lagi kusut,” pujuk ibu Abyatina buat Rizqullah. “Moga kusutnya berganti dengan tenang di hati”

Rizqullah hanya membisu. Mungkin mengerti Abyatina ketika itu. Tenang di rumah kembali tercipta tatkala Rizqullah muncul semula, dan semuanya bagai kembali sempurna. Mungkin bahagia Abyatina kembali tercipta. Setidak-tidaknya untuk saat itu.

“Assalamualaikum!”

Salam kedengaran diberi dari luar rumah. Lantas ibu Abyatina menjenguk ke luar. Kelihatan seorang pemuda berdiri di halaman rumah. Wajahnya seperti tergesa-gesa. Lantas terus diajukan soalan sebaik salam dijawab.

“Waalaikumussalam. Ada apa Mail?” tanya ibu Abyatina.

“Saya datang nak jumpa Abyatina dan Rizqullah. Mereka ada tak?” balas pemuda itu.

“Kenapa dan mengapa?” soal ibu Abyatina kehairanan.

“Hamidi tengah nazak sekarang ni. Kalau boleh, sementara ada waktunya, nak minta Abyatina dan suaminya jumpa Hamidi,” terang Mail.

“Apa kaitannya Hamidi dengan Abyatina dan suaminya?” soal ibu Abyatina kehairanan.

“Panjang ceritanya Mak Cik Ros... Cuma sekarang ni, saya nak minta izin nak bawa Abyatina dan suaminya...” bicara Mail.

“Apa yang jadi pada Hamidi sebenarnya?”

“Dia kemalangan. Teruk juga. Dah tak boleh buat apa-apa lagi...” balas Mail.

“Kenapa pula saya perlu ke sana?” soal Rizqullah tiba-tiba muncul di muka pintu.

“Sebab... sebab Hamidi punca abang sekeluarga porak peranda...” terang Mail sedikit gugup.

“Hamidi?” Rizqullah hairan. “Apa yang Hamidi lakukan?”

Abyatina tiba-tiba muncul pula di ruang tamu. Lantas terus berjalan ke muka pintu. Perbualan yang berlangsung di halaman rumah menarik perhatian Abyatina. Dalam keadaan berpantang, Abyatina menggagahkan dirinya.

“Hamidi antara lima lelaki yang serang Ina petang tu...” bisik Abyatina kepada Rizqullah.

Rizqullah bagai dipanah kejutan. Secara spontan kemarahan tercipta.

“Dasar binatang! Biar mampus!” bicara Rizqullah dalam kemarahan.

Semua terkejut tatkala Rizqullah tiba-tiba melenting. Rizqullah terus masuk ke dalam rumah. Abyatina mengikut Rizqullah tanpa sebarang bicara. Suasana tenang rumah sekejap sahaja singgah. Keamanan hilang sekali lagi.

“Mungkin banyak salah Hamidi. Tapi, saya minta supaya dimaafkan dia...” luah Mail kepada ibu Abyatina.

“Apa dosa Hamidi sampaikan perlu minta ampun dengan Abyatina dan Rizqullah?” soal ibu Abyatina hairan.

Petang itu, nama Hamidi menjadi satu tumpuan di rumah itu. Ibu Abyatina kurang mengerti. Rizqullah dalam kemarahan. Abyatina pula terus membisu. Kisah kemarahan dan kehairanan menjadi tema yang mengisi petang itu.

“Memaafkan tak semudah yang disangka...” bicara Rizqullah.




*Tamat sudah Bicara Dua Puluh Lima*

Siapakah Hamidi dan apakah kesalahannya?

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya.


Siri Adina ke-25 ini sekali lagi didedikasikan kepada Thahirah Kamarulail, Nor Farhana, saudara Fhazrul, saudara Anwaruddin, dan saudari Hamidah Ainun.








*Terima kasih kepada saudari Nadzirah Mohd Rosli atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.



Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina


Ulasan

Unknown berkata…
Abg yazid, ada typo kt perkataan Pulau Pinang dlm perbualan Rizqullah dan Abyatina ; p
Oh. Ok Hana. Thanks ya :)
Kadang-kadang double check pun boleh tak perasan

Catatan Popular