Ahad, 22 April 2012

Komen mengenai tragedi di bangunan E-Learning UPSI

Secara ringkas, berikut ialah komen penulis mengenai tragedi tersebut:

a) Isu ini seharusnya dikendalikan dengan cukup berhati-hati supaya tidak timbul spekulasi yang tidak benar mengenai punca kematian mangsa.

b) Seharusnya para blogger berhati-hati untuk membuat sebarang perkongsian mengenai berita kematian tersebut. Ditakuti perkongsian dan pendapat itu akan menyentuh sensitiviti ahli keluarga mangsa dan rakan terdekat mangsa.

c) Perkongsian gambar di tempat kejadian adalah seperti sesuatu yang mengaibkan mangsa. Seharusnya gambar-gambar situasi awal di tempat kejadian tidak disiarkan di blog. Apakah wajar merakamkan gambar di saat orang lain sibuk menghulurkan bantuan di tempat kejadian?

d) Individu juga perlu berhemah dalam berkongsi sebarang perkongsian berita dari mana-mana laman web. Perkongsian berbentuk spekulasi seperti yang diwar-warkan oleh akhbar Sinar Harian adalah tindakan yang tidak menghormati si mangsa itu sendiri. Isunya boleh jatuh menjadi fitnah.

e) Nawaitu seseorang itu sangat penting. Perkongsian berita tersebut seharusnya merupakan satu perkongsian jujur di blog mahupun di Facebook. Sekiranya niatnya adalah untuk menaikkan rating blog ataupun mahu meraih populariti di Facebook, mengambil kesempatan di atas berita tragedi tersebut, maka tindakan itu diibaratkan sebagai tidak beretika.

f) Sekiranya kalian telah berkongsi sebarang gambar di tempat kejadian menerusi Facebook ataupun blog, diharapkan agar segera dikeluarkan daripadanya. Ditakuti tindakan perkongsian gambar itu akan menjadi satu tindakan tidak menghormati mangsa.

g) Walau apa yang terjadi, sebaiknya kes ini hanya disiasat oleh pihak polis. Sebarang andaian tidak profesional hanya akan menyebabkan pelajar UPSI itu sendiri akan dilihat sebagai tidak profesional dan tidak matang.

Salam takziah buat keluarga Allahyarhamah. Moga Rahmat-Nya akan mengiringi beliau di alam sana. Insya-Allah.



Khamis, 12 April 2012

Pagi Khamis: Pengalaman gempa bumi kecil di Taiping





Petang semalam mungkin merupakan satu pengalaman yang jarang dirasai. Umumnya telah mengetahui bahawa Acheh sekali lagi ditimpa gempa bumi, dan kekuatan gegaran dikatakan hampir sama seperti peristiwa gempa tahun 2004 yang menyebabkan berlakunya tsunami.

Pada jam sekitar 4.38 petang, sewaktu sedang membaca novel The Great Gatsby tulisan F. Scott Fitzgerald (novel yang wajib dibaca untuk subjek Selected Novels and Short Stories), dan pada waktu itu adik saya Adrina sedang sibuk mewarnakan lukisan, manakala adik saya Izhar berbaring di sebelah Adrina, tiba-tiba kedengaran ‘sliding door’ rumah berbunyi seolah-olah angin kuat sedang bertiup. Kemudian, kelihatan pintu tersebut bergoyang-goyang walaupun di luar rumah tiada angin yang bertiup.

Adrina yang sibuk mewarna tadi terus berhenti dari kerjanya. Dia kemudian bangun melihat keadaan di luar rumah. Pada waktu itu jugalah, kedengaran pula gegaran pada pintu grill, dan gegaran tersebut agak kuat, seolah-olah  seperti ditiup angin kencang. Saya menyoal kehairanan, apakah terdapat angin di luar?

Izhar adik saya terus memberi respon. Katanya, bukan angin yang bertiup, tetapi mungkin rumah sedang bergegar. Lantas ditunjukannya akuarium di rumah. Kelihatan dengan jelas akuarium tersebut bergegar. Air di dalam akuarium berkocak dengan kuat, dan itu sesuatu yang jarang untuk berlaku. Pada waktu itu jugalah, lantai dirasakan bergetar dan kipas angin kelihatan bergoyang.

Secara spontan, keseluruhan keluarga keluar dari rumah bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini. Rupa-rupanya bukan keluarga saya sahaja yang merasai situasi itu, malah keseluruhan penduduk di kawasan perumahan turut mengalaminya. Kebanyakan jiran turut keluar dari rumah. Masing-masing mula bersuara, dan situasi agak kecoh sedikit.

Mata saya terus melihat tiang elektrik di hadapan rumah. Ternyata dengan jelas, tiang elektrik tersebut bergoyang, dan menyebabkan berlaku pergerakan pada wayar elektrik. Wayar eletrik ini terus bergoyang untuk beberapa minit.

Mata kemudian melihat pada parit di hadapan rumah. Air di dalam parit juga turut berkocak. Kemudian seorang jiran menyatakan bahawa kereta Toyota Alphard milik jiran sebelah kelihatan bergoyang. Ternyata apa yang dinyatakannya itu benar.

Situasi tersebut terus berlaku dalam tempoh beberapa minit. Sewaktu berlaku, fikiran menyatakan bahawa mungkin inilah kejadian gempa bumi pertama seumpamanya di Taiping. Mungkin zon selamat dari gempa bumi yang dimiliki di kawasan Semenanjung Malaysia tidak lagi dapat dipertahankan. Mungkin keadaan geografi telah berubah, dan kawasan di Malaysia juga mungkin telah terdedah dengan ancaman gempa bumi.

Apabila merasai sendiri gegaran tersebut, segala logik berdasarkan ilmu geografi yang menyatakan bahawa Malaysia tidak berada dalam zon Lingkaran Api Pasifik seolah-olah dilupakan seketika. Fikiran pada waktu itu hanya memikirkan bahawa kawasan Taiping mungkin telah terdedah dengan bencana gempa bumi.

Hakikatnya, gegaran yang berlaku itu sangatlah kecil. Namun, bagi rakyat Malaysia yang tidak pernah merasai pengalaman gegaran sedemikian, situasi itu ternyata mencetuskan panik. Itulah yang berlaku di kawasan perumahan saya. Masing-masing keluar dari rumah tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku.

Maka, sepantas kilat berita kemudian tersebar menyatakan bahawa gempa bumi telah berlaku di Acheh, Indonesia dengan kekuatan gegaran 8.9 skala ritcher. Maka tidak hairanlah andai gegaran itu dapat dirasai di Taiping.

Terdapat satu pengajaran yang boleh diambil. Sesungguhnya, manusia itu terlalu kerdil, dan Allah itu Maha Berkuasa. Apa sahaja yang mustahil bagi manusia, adalah sesuatu yang mudah untuk Allah laksanakan. Hanya dengan berkata ‘jadi’, maka akan jadilah setiap perkara yang mungkin mustahil.

Benar, Taiping bukan kawasan gempa bumi. Namun tak mustahil keadaan itu berubah jika Allah izinkannya. Maka, sama-samalah bersyukur dengan nikmat aman dan tenteram yang dirasai. Jangan kufur nikmat. Jangan suburkan maksiat dalam kehidupan.

Syukurlah, tiada kejadian tsunami berlaku selepas itu. Itu juga satu tanda kebesaran Allah buat hamba-Nya.



"Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak sesuatu, maka Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah!" Lalu jadilah ia."
[Al Baqarah:117]







Ahad, 8 April 2012

Jawapannya terhadap surat lamaran itu (Kisah benar dari seorang sahabat)





Surat lamaran buat si Kenanga, dan kisah perkongsian itu telah menarik banyak perhatian di blog ini. Kisah yang mengharukan menceritakan sebuah keikhlasan, menyatakan hasrat hati untuk mengahwini si wanita yang dihajatkan. Kisahnya dikatakan satu contoh betapa ikhlasnya hati seorang lelaki. Tidak mengharap sebarang balasan.

Persoalan yang mungkin timbul, apakah yang berlaku selepas itu? Apakah si Kenanga menerima sahabat ini? Apakah Kenanga dan sahabat ini di akhirnya mengikat hati masing-masing? Apakah Kenanga menolak? Jika ditolak, bagaimana pula dengan sahabat ini? Apakah merasai kekecewaan? Adakah sahabat ini dapat menerima penolakannya? Apakah bahagia, apakah derita?

Pelbagai andaian mungkin tercetus. Maka, bicara ini adalah satu sambungan kisah terhadap kisah surat lamaran seorang sahabat kepada si Kenanga. Mungkinkah tercetus bahagia?

Hakikatnya, selepas peristiwa surat lamaran itu, sahabat ini terus mendiamkan diri. Tidak lagi memikirkan soal surat itu, apakah Kenanga menerima lamaran itu, atau mungkin telah menolak. Mungkin penantian untuk menerima balasan lamaran itu adalah satu penyeksaan buat sahabat ini. Namun, katanya dia redha, andai surat itu tak berbalas, kerana katanya lagi, meluahkan isi hati untuk menjadikan Kenanga sebagai isterinya itu pun telah memadai dan cukup buatnya. Tak mengapa andai si Kenanga terus membisu.

Maka, dua bulan sahabat ini terus membisu tanpa menerima sebarang respon dari si Kenanga. Katanya, mungkin Kenanga menolak, dan baginya, jika ditolak. Maka dia akan redhakan hati.

Penantian dua bulan itu akhirnya tamat, apabila sahabat ini menerima sekeping kertas yang dilipat dengan kemas, diselitkan di peti surat rumahnya. Pagi itu, sahabat ini tak menduga bahawa surat tanpa sampul itu datang dari si Kenanga. Benar, seluruh paginya itu ternyata berubah sekelip mata.

Baris dan ayatnya cukup pendek. Tiada perenggan, tiada huraian. Sekadar satu catatan pendek yang mungkin terus menampakkan isi utamanya. Maka, dengan tenang sahabat ini duduk di kerusi, membaca satu demi satu isi kandungan surat itu.

Suratnya berbunyi:

Terima kasih abang sebab luahkan isi hati. Kenanga hargai kejujuran abang. Kenanga hargai keikhlasan abang. Kenanga tak pandai tulis macam abang, jadi Kenanga mungkin tak pandai nak bagi respon dengan surat abang. Memang Kenanga terkejut, tapi taklah marah atau tak suka. Kenanga tak sangka yang abang berniat nak jadikan Kenanga isteri abang. Tapi, Kenanga masih muda lagi dan belum lagi fikirkan tentang soal  jodoh. Kenanga pun masih belajar lagi, dan nak tumpukan pada studi. Kenanga tak bersedia, namun kalau kita ada jodoh, insyaallah kita akan bertemu juga.

Wassalam.

Surat dari Kenanga memang ringkas namun memberikan respon terhadap surat sahabat saya ini. Benar, sahabat ini tergamam dan terdiam dalam tempoh yang cukup lama. Disebabkan surat itu, maka perjalanan ke tempat kerja terus terhenti. Hari itu juga sahabat ini memohon untuk bercuti.

Apakah sahabat ini sangat kecewa selepas membaca surat itu?

Hakikatnya, surat dari si Kenanga yang serba ringkas itu adalah sebuah surat penolakan lamaran buat sahabat saya ini. Penolakan dari Kenanga sangatlah beradab, kerana penolakannya itu diakhiri  dengan satu ayat seolah-olah memberikan harapan: “…..kalau kita ada jodoh, insyaallah kita akan bertemu juga.

Tempohnya agak lama untuk sahabat ini menerima penolakan Kenanga. Di sebalik kata-kata bahawa dirinya akan redha sekiranya lamaran itu tidak diterima, hakikatnya penolakan itu masih tetap pahit untuk ditelan. Sahabat ini mungkin kecewa, namun kecewanya adalah atas dasar keikhlasan dan keredhaan. Kecewanya bukanlah bersifat dendam dan iri hati.

Kenanga merupakan seorang pelajar di sebuah universiti. Pelajar tahun kedua dalam bidang Farmasi, maka harus diakui, banyak mata yang melihatnya, kerana wajahnya yang cukup ayu. Ramai yang telah mencuba untuk mencuri hatinya, namun semua percubaan itu berakhir dengan kegagalan.

Bagaimana sahabat ini mengenali Kenanga? Semuanya bermula sewaktu di bangku sekolah lagi. Sahabat ini kebetulan menaiki bas yang sama bersama Kenanga. Pada waktu inilah, maka Kenanga dan sahabat ini berkenalan. Sejak itu jugalah, sehingga di universiti, hubungan antara mereka masih terus terjalin. Mereka bersahabat, walaupun jarang bersua.

Sahabat ini hakikatnya pernah menyatakan hasrat hati yang sama sewaktu umurnya  baru 19 tahun, namun pernyataan itu tidaklah sebegitu serius seperti yang diluahkan menerusi suratnya itu.

Menurut sahabat ini, Kenanga telah membuka hatinya. Persahabatan yang terjalin walaupun bukanlah sebuah persahabatan yang rapat hakikatnya telah mencetuskan cetusan hati yang akhirnya menggerakkan usahanya menulis surat lamaran itu.

Maka, apakah sahabat ini terus kecewa?

Kisahnya cukup panjang. Dua tahun berlalu, maka peristiwa surat lamaran itu hari berganti waktu akhirnya dilupakan. Bagi sahabat ini, hatinya telah dapat menerima  kenyataan. Katanya, Kenanga mungkin tidak diciptakan untuknya, dan sepenuh hati sahabat ini redha. Katanya lagi, dia kini memandang jauh masa depannya, menanti sesiapa sahaja yang mungkin akan mengisi hatinya. Sahabat ini menyerahkan jodohnya kepada-Nya, tanpa usaha, tanpa sebarang pencarian. Baginya, dia tidak punyai kekuatan lagi untuk melakukan pencarian itu. Mungkin trauma atas kekecewaan yang lalu.

Makanya, muncul satu hari apabila si ibu kepada sahabat ini tiba-tiba menyuarakan hasrat untuk mencari jodoh buatnya. Kata ibunya, umur yang meningkat memberikan kebimbangan buat si ibu. Si ibu berkata, andai hatinya sunyi, mungkin sunyi itu akan mencetuskan kesedihan, kerana si ibu berkata bahawa sahabat ini telah hilang nilai keceriaannya. Maka, tanpa membantah si anak bersetuju dengan cadangan si ibu.

Tempoh dua tahun itu juga, fikiran sahabat ini tidak lagi dibayangi dengan wajah Kenanga. Jika dulu, sahabat ini pasti tidak lupa untuk mengucapkan salam kelahiran kepada Kenanga setiap kali munculnya tarikh kelahiran Kenanga. Namun, setelah dua tahun berlalu, sahabat ini tanpa sedar telah terlupa untuk memberikan ucapan yang sama. Mungkin memori berkaitan Kenanga telah pudar sedikit demi sedikit dari ingatannya.

Satu hari, sahabat ini berkunjung ke sebuah hospital di Pulau Pinang. Kunjungannya adalah sebuah kunjungan melawat seorang kenalan yang jatuh sakit. Maka di situlah bermula kisah baru yang memberi satu dimensi yang cukup berbeza buat sahabat ini selepas itu. Itulah saat sahabat ini bertemu semula si Kenanga setelah dua tahun tidak bersua. Kenanga kini bekerja di hospital tersebut sebagai ahli farmasi di situ.

Sahabat ini ternyata terkedu dan terkejut. Wajah yang hampir dilupakan muncul semula, dan saat pertama kali bersua, maka masing-masing tak terkata. Si Kenanga tertunduk malu, dan sahabat ini terus membisu. Apakah terjadi selepas itu?

Tidak banyak yang dapat diperkatakan. Pertemuan tak diduga itu sekadar menghubungkan kembali hubungan yang terputus. Namun, kisah surat lamaran itu langsung tidak disebut baik sahabat ini ataupun Kenanga. Surat itu seolah-olah tidak pernah diterima Kenanga dan ditulis sahabat ini. Pertemuan akahirnya menjalinkan persahabatan mereka.

Walaupun bersua kembali, sahabat ini berkata bahawa dia tidak lagi terlintas di fikiran untuk mencuba membuat lamaran buat kali kedua. Baginya, walaupun hubungan persahabatan terjalin semula,  hatinya kini telah hilang untuk mempunyai niat sedemikian. Benar, mereka semakin akrab, namun keadaannya telah banyak berubah. Jika dulu Kenanga seorang pelajar, kini Kenanga telah bekerjaya. Kata sahabat ini, memang Kenanga bukan jodohnya.

Maka, bila dibicara soal jodoh, sahabat ini menyerahkan bulat-bulat soal tersebut kepada ibunya. Pencarian seorang isteri buat sahabat ini kini digalas oleh ibunya. Menariknya, sahabat ini langsung tidak mencampuri urusan pencarian itu. Katanya, sesiapa sahaja gadis pilihan ibunya, akan terus dirinya mengahwini gadis tersebut.

Bagaimana dengan Kenanga yang satu masa dulu telah menggunturkan jiwanya?

Menurut sahabat ini, tiada apa lagi yang boleh diharapkan dari satu perkara yang mustahil. Berulang kali sahabat ini berkata bahawa adalah sesuatu yang mustahil untuk terjalinnya ikatan antara dirinya dan Kenanga. Namun, walaupun sahabat ini cuba menafikan, harus diakui dirinya masih menaruh harapan pada Kenanga.

Akan tiba masanya, suatu yang tak diduga akan muncul tak disangka.  Ibarat pertemuannya dengan Kenanga, khabar berita dari ibunya juga satu bentuk kejutan buat sahabat ini. Maka itulah yang dinamakan satu ketentuan dari-Nya.

Calon yang dicari telah dijumpai. Perkhabaran gembira dinyatakan ibunya kepada sahabat ini. Asal usul gadis pilihan dikhabarkan, dan di akhirnya nama si gadis itu diberikan. Maka terkedulah sekali lagi sahabat ini.

Mengapa?

Kerana gadis pilihan ibunya itu adalah gadis dengan namanya Kenanga. Mungkin secara kebetulan atau mungkin ibarat satu takdir, akhirnya si ibu memilih Kenanga. Namun, si ibu tidak tahu bahawa Kenanga itu telah dikenali anaknya sejak di bangku sekolah. Pilihan ibunya adalah berdasarkan syor seorang jirannya.

Sebaik mengetahui gadis pilihan ibunya itu, sahabat ini terus terduduk. Tidak tahu bagaimana untuk memberikan respon. Dia menjadi sebak. Hatinya sangat terharu. Tidak tahu apa yang perlu diungkapkan di mulutnya.

Di akhir cerita, sahabat ini akhirnya berjaya mempersiterikan Kenanga. Benar, kemustahilan akhirnya bertukar satu kisah benar.  Kenanga menerima sahabat ini tanpa sebarang syarat kerana jodoh Kenanga juga telah diatur oleh keluarganya.

Kata orang, jodoh itu muncul tanpa disangka-sangka. Jodoh itu adalah hak mutlak Allah. Manusia boleh mencari dan merancang jodohnya, namun hak untuk menentukan hanya milik Allah. Itulah yang terjadi buat sahabat ini. Benar, dia pernah mengirim surat lamaran buat Kenanga, namun disebabkan izin Allah tidak diperoleh, maka lamaran itu tidak menjadi realiti.

Namun, itu tidak bermakna bahawa jodohnya dengan Kenanga telah tiada. Tempoh dua tahun tak bersua itu merupakan satu proses mematangkan diri, dan proses untuk menguji kesabaran. Mungkin ada hikmah di sebalik penolakan Kenanga di atas lamaran itu. Mungkin mahu membina kematangan dalam diri sahabat ini.

Indahnya perjalanan hidup aturan Allah, akhirnya mereka bersatu. Penyatuan itu tampak lebih indah, kerana jodoh mereka adalah dari aturan dan persetujuan kedua-dua keluarga. Sebab perkahwinan mereka bukan tercetus oleh surat lamaran itu, tetapi disebabkan usaha kedua-dua ibu mereka untuk menjodohkan anak masing-masing. Lihatlah, aturan Allah itu lebih besar dan indah dari segala perancangan manusia itu.

Saya kagum apabila mengikuti perkembangan kisah sahabat ini dan Kenanga. Hakikatnya, saya mengenali kedua-dua mereka. Malah, hakikatnya juga saya sebenarnya lebih rapat dengan Kenanga berbanding dengan sahabat ini.

Maka siapakah mereka? Siapakah Kenanga dan siapakah sahabat ini?

Saya diberikan izin untuk mendedahkan identiti mereka. Namun saya akui, walaupun dinyatakan nama sebenar mereka sekalipun, hakikatnya tak ramai yang mengenali mereka.

Kenanga itu ialah Siti Khadijah at-Thaharah, seorang kenalan saya. Sahabat yang dimaksudkan itulah pula ialah Muhammad Rizqullah, juga kenalan saya. Kisah mereka inilah yang telah saya nukilkan di blog sebagai satu perkongsian dan teladan buat kita semua. Kisah mereka adalah satu bukti bahawa kekuasaan Allah itu tiada batasnya.

Ya, mereka bahagia. Setelah dua tahun berkahwin, mereka dikurniakan seorang anak. Kini, Kenanga menetap di Pulau Pinang bersama suaminya. Masing-masing kini menjalani kehidupan dengan tenang dalam kesibukan sebagai ahli farmasi dan sebagai peguam.

Benarlah seperti yang dikatakan Kenanga dalam suratnya itu, “…..kalau kita ada jodoh, insyaallah kita akan bertemu juga.” Ya, mereka ternyata bertemu di akhirnya.


Moga Allah mengurniakan juga jodoh yang terbaik buat saya di masa akan datang. Insyaallah.


Nota akhir: Bicara ini ditujukan khas buat akak Khadijah CT dan suaminya Rizqullah, moga kalian berbahagia sepanjang masa.