Jawapannya terhadap surat lamaran itu (Kisah benar dari seorang sahabat)
Surat lamaran buat si Kenanga, dan kisah perkongsian itu
telah menarik banyak perhatian di blog ini. Kisah yang mengharukan menceritakan
sebuah keikhlasan, menyatakan hasrat hati untuk mengahwini si wanita yang
dihajatkan. Kisahnya dikatakan satu contoh betapa ikhlasnya hati seorang
lelaki. Tidak mengharap sebarang balasan.
Persoalan yang mungkin timbul, apakah yang berlaku
selepas itu? Apakah si Kenanga menerima sahabat ini? Apakah Kenanga dan sahabat
ini di akhirnya mengikat hati masing-masing? Apakah Kenanga menolak? Jika
ditolak, bagaimana pula dengan sahabat ini? Apakah merasai kekecewaan? Adakah
sahabat ini dapat menerima penolakannya? Apakah bahagia, apakah derita?
Pelbagai andaian mungkin tercetus. Maka, bicara ini
adalah satu sambungan kisah terhadap kisah surat lamaran seorang sahabat kepada
si Kenanga. Mungkinkah tercetus bahagia?
Hakikatnya, selepas peristiwa surat lamaran itu, sahabat
ini terus mendiamkan diri. Tidak lagi memikirkan soal surat itu, apakah Kenanga
menerima lamaran itu, atau mungkin telah menolak. Mungkin penantian untuk
menerima balasan lamaran itu adalah satu penyeksaan buat sahabat ini. Namun,
katanya dia redha, andai surat itu tak berbalas, kerana katanya lagi, meluahkan
isi hati untuk menjadikan Kenanga sebagai isterinya itu pun telah memadai dan
cukup buatnya. Tak mengapa andai si Kenanga terus membisu.
Maka, dua bulan sahabat ini terus membisu tanpa menerima
sebarang respon dari si Kenanga. Katanya, mungkin Kenanga menolak, dan baginya,
jika ditolak. Maka dia akan redhakan hati.
Penantian dua bulan itu akhirnya tamat, apabila sahabat
ini menerima sekeping kertas yang dilipat dengan kemas, diselitkan di peti
surat rumahnya. Pagi itu, sahabat ini tak menduga bahawa surat tanpa sampul itu
datang dari si Kenanga. Benar, seluruh paginya itu ternyata berubah sekelip
mata.
Baris dan ayatnya cukup pendek. Tiada perenggan, tiada
huraian. Sekadar satu catatan pendek yang mungkin terus menampakkan isi
utamanya. Maka, dengan tenang sahabat ini duduk di kerusi, membaca satu demi
satu isi kandungan surat itu.
Suratnya berbunyi:
Terima kasih abang
sebab luahkan isi hati. Kenanga hargai kejujuran abang. Kenanga hargai
keikhlasan abang. Kenanga tak pandai tulis macam abang, jadi Kenanga mungkin
tak pandai nak bagi respon dengan surat abang. Memang Kenanga terkejut, tapi
taklah marah atau tak suka. Kenanga tak sangka yang abang berniat nak jadikan
Kenanga isteri abang. Tapi, Kenanga masih muda lagi dan belum lagi fikirkan
tentang soal jodoh. Kenanga pun masih
belajar lagi, dan nak tumpukan pada studi. Kenanga tak bersedia, namun kalau
kita ada jodoh, insyaallah kita akan bertemu juga.
Wassalam.
Surat dari Kenanga memang ringkas namun memberikan respon
terhadap surat sahabat saya ini. Benar, sahabat ini tergamam dan terdiam dalam
tempoh yang cukup lama. Disebabkan surat itu, maka perjalanan ke tempat kerja
terus terhenti. Hari itu juga sahabat ini memohon untuk bercuti.
Apakah sahabat ini sangat kecewa selepas membaca surat
itu?
Hakikatnya, surat dari si Kenanga yang serba ringkas itu
adalah sebuah surat penolakan lamaran buat sahabat saya ini. Penolakan dari
Kenanga sangatlah beradab, kerana penolakannya itu diakhiri dengan satu ayat seolah-olah memberikan
harapan: “…..kalau kita ada jodoh,
insyaallah kita akan bertemu juga.”
Tempohnya agak lama untuk sahabat ini menerima penolakan
Kenanga. Di sebalik kata-kata bahawa dirinya akan redha sekiranya lamaran itu
tidak diterima, hakikatnya penolakan itu masih tetap pahit untuk ditelan.
Sahabat ini mungkin kecewa, namun kecewanya adalah atas dasar keikhlasan dan
keredhaan. Kecewanya bukanlah bersifat dendam dan iri hati.
Kenanga merupakan seorang pelajar di sebuah universiti.
Pelajar tahun kedua dalam bidang Farmasi, maka harus diakui, banyak mata yang
melihatnya, kerana wajahnya yang cukup ayu. Ramai yang telah mencuba untuk
mencuri hatinya, namun semua percubaan itu berakhir dengan kegagalan.
Bagaimana sahabat ini mengenali Kenanga? Semuanya bermula
sewaktu di bangku sekolah lagi. Sahabat ini kebetulan menaiki bas yang sama
bersama Kenanga. Pada waktu inilah, maka Kenanga dan sahabat ini berkenalan.
Sejak itu jugalah, sehingga di universiti, hubungan antara mereka masih terus
terjalin. Mereka bersahabat, walaupun jarang bersua.
Sahabat ini hakikatnya pernah menyatakan hasrat hati yang
sama sewaktu umurnya baru 19 tahun,
namun pernyataan itu tidaklah sebegitu serius seperti yang diluahkan menerusi
suratnya itu.
Menurut sahabat ini, Kenanga telah membuka hatinya.
Persahabatan yang terjalin walaupun bukanlah sebuah persahabatan yang rapat hakikatnya
telah mencetuskan cetusan hati yang akhirnya menggerakkan usahanya menulis
surat lamaran itu.
Maka, apakah sahabat ini terus kecewa?
Kisahnya cukup panjang. Dua tahun berlalu, maka peristiwa
surat lamaran itu hari berganti waktu akhirnya dilupakan. Bagi sahabat ini,
hatinya telah dapat menerima kenyataan.
Katanya, Kenanga mungkin tidak diciptakan untuknya, dan sepenuh hati sahabat
ini redha. Katanya lagi, dia kini memandang jauh masa depannya, menanti sesiapa
sahaja yang mungkin akan mengisi hatinya. Sahabat ini menyerahkan jodohnya
kepada-Nya, tanpa usaha, tanpa sebarang pencarian. Baginya, dia tidak punyai
kekuatan lagi untuk melakukan pencarian itu. Mungkin trauma atas kekecewaan
yang lalu.
Makanya, muncul satu hari apabila si ibu kepada sahabat
ini tiba-tiba menyuarakan hasrat untuk mencari jodoh buatnya. Kata ibunya, umur
yang meningkat memberikan kebimbangan buat si ibu. Si ibu berkata, andai
hatinya sunyi, mungkin sunyi itu akan mencetuskan kesedihan, kerana si ibu
berkata bahawa sahabat ini telah hilang nilai keceriaannya. Maka, tanpa
membantah si anak bersetuju dengan cadangan si ibu.
Tempoh dua tahun itu juga, fikiran sahabat ini tidak lagi
dibayangi dengan wajah Kenanga. Jika dulu, sahabat ini pasti tidak lupa untuk
mengucapkan salam kelahiran kepada Kenanga setiap kali munculnya tarikh
kelahiran Kenanga. Namun, setelah dua tahun berlalu, sahabat ini tanpa sedar
telah terlupa untuk memberikan ucapan yang sama. Mungkin memori berkaitan
Kenanga telah pudar sedikit demi sedikit dari ingatannya.
Satu hari, sahabat ini berkunjung ke sebuah hospital di
Pulau Pinang. Kunjungannya adalah sebuah kunjungan melawat seorang kenalan yang
jatuh sakit. Maka di situlah bermula kisah baru yang memberi satu dimensi yang
cukup berbeza buat sahabat ini selepas itu. Itulah saat sahabat ini bertemu
semula si Kenanga setelah dua tahun tidak bersua. Kenanga kini bekerja di
hospital tersebut sebagai ahli farmasi di situ.
Sahabat ini ternyata terkedu dan terkejut. Wajah yang
hampir dilupakan muncul semula, dan saat pertama kali bersua, maka
masing-masing tak terkata. Si Kenanga tertunduk malu, dan sahabat ini terus
membisu. Apakah terjadi selepas itu?
Tidak banyak yang dapat diperkatakan. Pertemuan tak
diduga itu sekadar menghubungkan kembali hubungan yang terputus. Namun, kisah
surat lamaran itu langsung tidak disebut baik sahabat ini ataupun Kenanga.
Surat itu seolah-olah tidak pernah diterima Kenanga dan ditulis sahabat ini.
Pertemuan akahirnya menjalinkan persahabatan mereka.
Walaupun bersua kembali, sahabat ini berkata bahawa dia
tidak lagi terlintas di fikiran untuk mencuba membuat lamaran buat kali kedua.
Baginya, walaupun hubungan persahabatan terjalin semula, hatinya kini telah hilang untuk mempunyai niat
sedemikian. Benar, mereka semakin akrab, namun keadaannya telah banyak berubah.
Jika dulu Kenanga seorang pelajar, kini Kenanga telah bekerjaya. Kata sahabat
ini, memang Kenanga bukan jodohnya.
Maka, bila dibicara soal jodoh, sahabat ini menyerahkan
bulat-bulat soal tersebut kepada ibunya. Pencarian seorang isteri buat sahabat
ini kini digalas oleh ibunya. Menariknya, sahabat ini langsung tidak mencampuri
urusan pencarian itu. Katanya, sesiapa sahaja gadis pilihan ibunya, akan terus
dirinya mengahwini gadis tersebut.
Bagaimana dengan Kenanga yang satu masa dulu telah
menggunturkan jiwanya?
Menurut sahabat ini, tiada apa lagi yang boleh diharapkan
dari satu perkara yang mustahil. Berulang kali sahabat ini berkata bahawa
adalah sesuatu yang mustahil untuk terjalinnya ikatan antara dirinya dan
Kenanga. Namun, walaupun sahabat ini cuba menafikan, harus diakui dirinya masih
menaruh harapan pada Kenanga.
Akan tiba masanya, suatu yang tak diduga akan muncul tak
disangka. Ibarat pertemuannya dengan
Kenanga, khabar berita dari ibunya juga satu bentuk kejutan buat sahabat ini.
Maka itulah yang dinamakan satu ketentuan dari-Nya.
Calon yang dicari telah dijumpai. Perkhabaran gembira
dinyatakan ibunya kepada sahabat ini. Asal usul gadis pilihan dikhabarkan, dan
di akhirnya nama si gadis itu diberikan. Maka terkedulah sekali lagi sahabat
ini.
Mengapa?
Kerana gadis pilihan ibunya itu adalah gadis dengan
namanya Kenanga. Mungkin secara kebetulan atau mungkin ibarat satu takdir,
akhirnya si ibu memilih Kenanga. Namun, si ibu tidak tahu bahawa Kenanga itu
telah dikenali anaknya sejak di bangku sekolah. Pilihan ibunya adalah
berdasarkan syor seorang jirannya.
Sebaik mengetahui gadis pilihan ibunya itu, sahabat ini
terus terduduk. Tidak tahu bagaimana untuk memberikan respon. Dia menjadi
sebak. Hatinya sangat terharu. Tidak tahu apa yang perlu diungkapkan di
mulutnya.
Di akhir cerita, sahabat ini akhirnya berjaya
mempersiterikan Kenanga. Benar, kemustahilan akhirnya bertukar satu kisah
benar. Kenanga menerima sahabat ini
tanpa sebarang syarat kerana jodoh Kenanga juga telah diatur oleh keluarganya.
Kata orang, jodoh itu muncul tanpa disangka-sangka. Jodoh
itu adalah hak mutlak Allah. Manusia boleh mencari dan merancang jodohnya,
namun hak untuk menentukan hanya milik Allah. Itulah yang terjadi buat sahabat
ini. Benar, dia pernah mengirim surat lamaran buat Kenanga, namun disebabkan
izin Allah tidak diperoleh, maka lamaran itu tidak menjadi realiti.
Namun, itu tidak bermakna bahawa jodohnya dengan Kenanga
telah tiada. Tempoh dua tahun tak bersua itu merupakan satu proses mematangkan
diri, dan proses untuk menguji kesabaran. Mungkin ada hikmah di sebalik
penolakan Kenanga di atas lamaran itu. Mungkin mahu membina kematangan dalam
diri sahabat ini.
Indahnya perjalanan hidup aturan Allah, akhirnya mereka
bersatu. Penyatuan itu tampak lebih indah, kerana jodoh mereka adalah dari
aturan dan persetujuan kedua-dua keluarga. Sebab perkahwinan mereka bukan
tercetus oleh surat lamaran itu, tetapi disebabkan usaha kedua-dua ibu mereka
untuk menjodohkan anak masing-masing. Lihatlah, aturan Allah itu lebih besar
dan indah dari segala perancangan manusia itu.
Saya kagum apabila mengikuti perkembangan kisah sahabat
ini dan Kenanga. Hakikatnya, saya mengenali kedua-dua mereka. Malah, hakikatnya
juga saya sebenarnya lebih rapat dengan Kenanga berbanding dengan sahabat ini.
Maka siapakah mereka? Siapakah Kenanga dan siapakah
sahabat ini?
Saya diberikan izin untuk mendedahkan identiti mereka.
Namun saya akui, walaupun dinyatakan nama sebenar mereka sekalipun, hakikatnya
tak ramai yang mengenali mereka.
Kenanga itu ialah Siti Khadijah at-Thaharah, seorang
kenalan saya. Sahabat yang dimaksudkan itulah pula ialah Muhammad Rizqullah,
juga kenalan saya. Kisah mereka inilah yang telah saya nukilkan di blog sebagai
satu perkongsian dan teladan buat kita semua. Kisah mereka adalah satu bukti
bahawa kekuasaan Allah itu tiada batasnya.
Ya, mereka bahagia. Setelah dua tahun berkahwin, mereka
dikurniakan seorang anak. Kini, Kenanga menetap di Pulau Pinang bersama
suaminya. Masing-masing kini menjalani kehidupan dengan tenang dalam kesibukan
sebagai ahli farmasi dan sebagai peguam.
Benarlah seperti yang dikatakan Kenanga dalam suratnya
itu, “…..kalau kita ada jodoh, insyaallah
kita akan bertemu juga.” Ya, mereka ternyata bertemu di akhirnya.
Moga Allah mengurniakan juga jodoh yang terbaik buat saya
di masa akan datang. Insyaallah.
Nota akhir: Bicara ini ditujukan khas buat akak Khadijah
CT dan suaminya Rizqullah, moga kalian berbahagia sepanjang masa.
Bicara berkaitan: Pagi Khamis: Surat lamaran buat dia... (Kisah dari seorang sahabat)
Ulasan