Jumaat, 29 Jun 2012

Muhasabah Jumaat: Nota dari Berkat untuk Bisikan Rahsia




Seringkali apabila bicara tentang sebuah persahabatan, pelbagai keterujaan akan terjelma. Benar, seorang sahabat yang baik pasti akan melahirkan banyak momen yang menarik dan indah. Kisahnya bagai tak sudah, seringkali diulang-ulang seolah-olah tiada penghujungnya.

Mungkin pandangan umum, bila persahabatan itu terjalin, maka perlunya ialah jantina yang sama. Soalnya, wajibkah itu menjadi ciri sebuah persahabatan.

Persahabatan itu adalah bersifat universal, diikat dengan sikap saling percaya antara satu sama lain. Andai jantina itu menjadi ukurannya, maka nilai universal itu pasti akan hilang. Hakikatnya, bukan satu kesalahan andai si lelaki itu bersahabat dengan si wanita. Persahabatan dua jantina yang berbeza, bukan satu yang pelik pada hakikatnya.

Kisahnya dari seorang sahabat, menceritakan pengalamannya.

Katanya, bila berkawan dengan si wanita, maka pandangan prejudis seringkali muncul. Kata si Remi, seringkali bila dia berkawan dengan sahabat wanita, maka pandangan  menyatakan bahawa Remi dah naik gatai, nak bercinta dengan si wanita itu. Kata mereka lagi, kalau pokok tak bergoyang, masakan boleh khabar angin itu tercipta. Khabar angin nyatakan dia dan si wanita itu sedang dilamun perasaan.

Palsu khabar angin itu.

Mereka memang ternyata berkawan. Sejak awal sehingga kini, mereka terus berkawan. Benar, mungkin langkahnya tersilap apabila tersalah cara ikutkan gerak hati bergambar berdua sehingga mencetuskan pelbagai andaian orang lain. Bila si lelaki bergambar dengan si wanita berdiri bersebelahan hingga tanpa sedar bahunya bertemu bahu si wanita itu, maka angin kencang berbaur gossip ala artis pasti akan bertiup. Bodohnya tindakan, bila gambar tersebar di pengetahuan umum, maka akan semakin kuatlah khabar angin menyatakan mereka dilamun cinta.

Kisahnya, si wanita itu dengan namanya Syahida. Mula kenal di awal mereka dalam pengajian. Bila telah berkenalan, maka hubungan persahabatan mula dibina. Dari kaca mata Remi, dia benar ikhlas. Bukan mahu menggatal untuk memikat si Syahida. Sekadar mahu rapat dan berkawan. Maka, semakin hari semakin banyak perkongsian di antara mereka. Sehingga sampai satu tahap, sedikit demi sedikit rahsia mereka dikongsikan antara satu sama lain.

Benar, pada waktu itu Syahida masih solo. Tidak dimiliki ataupun memiliki sesiapa. Maka, mungkin tanpa sedar Remi boleh jatuh hati pada Syahida, dan situasi itu hampir berlaku dalam persahabatan mereka. Namun, Remi cepat sedar, dan mengawal diri mengekalkan persahabatan di antara mereka. Buktinya, tiba pada satu hari, Remi mendengar keterujaan Syahida menceritakan kisah seorang lelaki yang dilihat telah menambat hatinya. Remi tersenyum sahaja kerana dia tahu, inilah waktu Syahida bakal jatuh cinta dengan si lelaki itu.

Maka, Remi menghormati sepenuhnya pilihan Syahida itu. Tiada sebarang bantahan ataupun penolakan yang cuba disuarakan Remi. Baginya tugas seorang kawan adalah menyokong kawannya. Maka kerana itu dia menyokong hubungan Syahida dan lelaki itu.

Namun, bila Syahida menjalinkan hubungan dengan lelaki tersebut, Remi menjadi gugup sedikit. Dia menjadi takut menghampiri Syahida. Dia takut jika dia terus berkawan dengan Syahida, si teman lelakinya pula akan tercetus amarah. Maka Remi mula menjauhi Syahida dan di akhirnya persahabatan mereka tidak lagi serapat dulu.

Mereka semakin berjauhan.

Muncullah kisah Si Berkat dan Si Bisikan. Si Berkat hanyalah lelaki biasa, dan Si Bisikan seorang wanita awal 20-an. Berkat memang dari dulu hingga kini tidak pernah menjalinkan hubungan istimewa dengan mana-mana wanita. Semuanya sahabat buatnya tak kira lelaki mahupun perempuan.

Mereka berkenalan hanya disebabkan teguran-teguran menerusi mesej di skrin komputer. Mulanya sekadar sesi suai kenal, namun entah di mana kisahnya, maka lama-lama mereka menjadi sahabat.

Seorang sahabatnya yang lain mula mempersoalkan hubungannya dengan Si Bisikan. Katanya, Si Berkat telah hanyut dilamun perasaan dengan Si Bisikan. Katanya, Si Berkat telah angau dengan Si Bisikan. Soalnya, sejauh manakah benar dakwaan sahabatnya itu?

Hakikatnya, Si Berkat memang ikhlas untuk berkawan dengan Bisikan. Tidak pernah terlintas di fikirannya tentang soal hati dan perasaan. Baginya, Bisikan seorang yang unik, dan seorang wanita yang harus menjadi sahabatnya. Baginya, Bisikan punyai magis yang menarik untuk dijadikan sahabatnya. Mungkin itulah alasan, mengapa dia nekad mahu berkawan dengan Bisikan.

Secara logik fikiran, dalam tempoh beberapa minggu, Berkat dan Bisikan mula bersahabat. Bagi sebuah persahabatan , itu adalah sesuatu yang cukup pantas, apatah lagi persahabatan itu adalah di antara  lelaki dan wanita. Namun, ukuran sebuah persahabatan bukan terletak pada masanya, namun terletak pada sejauh mana ikhlasnya persahabatan itu dijalinkan.

Mungkin ramai yang memandang serong. Usaha Berkat untuk berkawan dengan Bisikan Hati mungkin diandaikan sebagai usaha untuk menjalinkan hubungan istimewa.  Namun, Berkat membiarkan pandangan itu, kerana baginya siapa lagi yang lebih mengetahui ikhlas hatinya melainkan dirinya dan Yang Maha Kuasa. Dia tahu batasan yang harus dipatuhi, supaya tidak pula sampai ke tahap ‘crush’ pada Bisikan. Mungkin kerana itu jugalah, Berkat tidak pernah menyoal hatta sekali pun tentang status sebenar Bisikan, sama ada masih solo ataupun telah dimiliki. Baginya, itu bukan soal yang harus diberi perhatian dalam mencipta sebuah persahabatan.

Hakikatnya, dari awal lagi Berkat dapat menghidu, bahawa sudah pasti mungkin si Bisikan telah berpunya. Pengamatannya memang tajam sejak di awal perkenalan persahabatan di antaranya dan Bisikan. Dia tahu, dalam soal peribadi, Berkat harus menghormati privasi Bisikan. Dia tidak akan sama sekali cuba menyibuk bertanya pada Bisikan tentang soal peribadinya, namun hanya akan mendengar andai Bisikan membuka cerita kisahnya.

Itu prinsip Berkat dalam persahabatan dengan wanita. Jangan menyibuk, namun bersedia mendengar andai si wanita itu mahu berkongsi kisahnya.

Maka dari situ tercetus ilham dari Berkat mencipta bait-bait puisi sebagai tanda ingatan permulaan persahabatannya dengan Bisikan. Dia mencipta baris puisi penuh tersirat buat Bisikan. Tanda meluahkan rasa betapa dia mengaharapkan Bisikan akan menjadi sahabatnya sampai bila-bila.

Kata Berkat, dia berharap Bisikan akan terus menjadi sahabatnya, berkongsi kisah dan pengalaman. Dia mahu sehingga puluhan tahun berikutnya, persahabatannya akan terus terjalin. Mungkin pada waktu itu, masing-masing berkongsi kisah pengalaman hidup, menceritakan ragam anak-anak masing-masing, dan mungkin perkongsian kisah keluarga masing-masing. Mungkin indah, bila dua sahabat bertemu di hari tua, bergelak ketawa mengenangkan kisah dan pengalaman masing-masing.

Mungkin pada hakikatnya agak sukar untuk mencipta persahabatan di antara wanita dan lelaki. Namun, andai ikhlas itu wujud, mungkin persahabatan itu akan berkekalan. Tidak kira apa pun pandangan orang lain, andai masing-masing memahami peranannya dalam persahabatan, maka itu bukanlah satu masalah.

Ada yang berkata, bersahabat di antara lelaki dan wanita, maka risikonya ialah jatuh hati. Namun, andai wujud batasan, maka situasi itu pasti tidak akan wujud.

Sesungguhnya, pena ini berkata sesuatu dalam nada ‘bisikan’ kepadanya. Pena ini menyatakan bahawa dia mahukan persahabatan dengan sahabat itu akan terus berkekalan. Walaupun mungkin berlainan jantina, namun itu bukan halangan dalam persahabatan. Insya-Allah, andai sahabat itu memahami kisah yang dikongsikan dalam bicara ini, maka pena ini berharap agar kita akan terus bersahabat sampai bila-bila.

Moga kita terus dapat berkongsi pelbagai kisah dan pengalaman. Ya, itulah yang akan dilakukan oleh seorang sahabat dalam persahabatannya.

Andai punyai masalah dan kekusutan, maka pena ini bersedia mendengarnya. Mungkin sedikit sebanyak bantuan dapat dihulurkan bagi setiap permasalahan yang dikongsikan itu. Itu juga tugas seorang sahabat buat sahabatnya.

Pena mahu menutup dengan menyatakan kepada Bisikan Rahsia, anda adalah sahabat yang baik yang pernah muncul dalam perjalanan hidup ini. Mungkin agak ‘exaggerate’, namun tak salah untuk melahirkan penghargaan ini kepadanya.

Dari Mata Pena bernama Berkat dan ditujukan kepada Bisikan Rahsia punyai Cahaya.

Ah, mesej berselirat memeningkan pembaca untuk memahami bicara ini.

Moga persahabatan yang terjalin akan terus kekal, dan tidak akan hanyut dah hilang seperti kisah di antara Remi dan Syahida. Ruginya andai persahabatan berakhir dengan cara begitu.

Ini ialah sebuah nota khas dari seorang sahabat kepada sahabatnya.

Wassalam.





Khamis, 21 Jun 2012

Pagi Khamis: Ciplak dari karya lain? Salah atau dimaafkan?





Baru-baru ini, saya sempat menonton satu drama bersiri berjudul Paan dan Paiz di TV3. Menurut komentar-komentar dan ulasan yang diberi menerusi Facebook dan blog, dinyatakan bahawa drama ini cukup menarik dan unik untuk ditonton. Maka, hati tertarik untuk menonton, setelah melihat reaksi positif di laman sosial.

Namun, pandangan pertama setelah menonton drama ini sangatlah mengecewakan. Dari sudut kandungan dan jalan cerita, harus diakui drama ini punyai kualitinya yang tersendiri. Namun dari sudut pemilihan lagu tema itu sangatlah mengecewakan.

Entah, sama ada hanya saya seorang sahaja yang merasakannya, namun pertama kali mendengar muzik lagu temanya itu, fikiran terus terlintas dan teringat kembali akan rentak dan irama lagu ‘Moves Like Jagger’ dari kumpulan Maroon 5. Malah dirasakan lagu tema bagi siri drama ini dicedok dari lagu kumpulan berkenaan. Muzik videonya juga seakan-akan meniru muzik video lagu kumpulan tersebut.

Maka, disebabkan tiada identiti yang unik, sudut pandangan saya terhadap drama ini terus menjadi negatif. Persoalan yang timbul, mengapa harus dicedok idea dari sumber yang lain? Di manakah nilai aslinya? Mengapa tidak dihasilkan sebuah lagu yang tidak dicedok ideanya?

Tambah membuatkan terganggu apabila irama awal lagu tersebut senantiasa diulang-ulang di dalam cerita tersebut sebagai muzik latar, dan hal ini hakikatnya adalah sangat memalukan, kerana irama lagu itulah yang menyebabkan lagu tersebut diakaitkan dengan lagu "Moves Like Jagger" itu.

Mungkin pandangan saya agak negatif, namun di satu sudut yang lain, dalam soal identiti, pandangan kritikal haruslah dilemparkan.

Saya juga pernah mendengar lagu dari penyanyi muda kelahiran Youtube bernama Ainan Tasnem dengan judul lagunya bertajuk ‘Aku Suka Dia’. Tidak perlu disentuh soal liriknya, andai disebarkan lagu ini buat para remaja yang masih mentah, mungkin golongan ini akan terhanyut dek dibuai perasaan secara berlebih-lebihan. Hakikatnya lirik lagu ini hanya mendatangkan kealpaan dan kelalaian buat si pendengar. Benar, setiap bait lirik itu mungkin dilalui oleh kebanyakan dari kita apabila pertama kali jatuh hati pada seseorang, namun untuk disebarkan ke dalam bentuk lagu adalah sesuatu yang hanya akan mencipta kerosakan hati dalam kalangan anak-anak muda.

Menyentuh kembali kepada lagu ini, di permulaan irama lagu tersebut, saya merasakan lagu ini telah mencedok irama lagu awal ‘You’re Beautiful’ nyanyian James Blunt. Pertama saya mendengar lagu ini di Youtube, fikiran saya terus mengaitkan lagu ini dengan lagu nyanyian James Blunt itu. Interpretasi saya pada waktu itu ialah, “Adakah ini versi Melayu bagi lagu ‘You’re Beautiful’”

Mungkin Ainan Tasneem tidak pun mencedok. Namun mungkin secara kebetulan irama lagunya hampir sama. Namun, bila terdapat sedikit persamaan, perbandingan pasti akan berlaku.

Maka, apabila keaslian sesebuah lagu itu dipersoalkan, nilai hormat terhadap penyanyi itu akan merudum dan mungkin akan hilang.

Begitu juga dengan sesetengah artis yang kini kononnya mahu mengikut trend semasa. Maka diubah imej menjadikan diri seolah-olah seperti artis K-Pop, walhal identiti tersebut hanya sesuai untuk artis Korea sahaja. Tak salah untuk mengikuti, namun andai akar umbi identiti sebagai rakyat Malaysia itu telah dibuang, relevankah lagi mereka di hati rakyat Malaysia?

Soalnya mudah, andai kita tiada identiti sendiri, maka kelangsungan kita untuk terus hidup dalam dunia serba mencabar ini juga akan semakin tipis. Lihat sahaja bangaimana Jepun membangun selepas Perang Dunia Kedua, memajukan diri atas acuan sendiri, walau mengalami proses pembaratan dalam modenisasinya, namun identiti mereka tetap dipertahankan.

Berbalik kepada lagu yang dicedok itu, pengkarya tempatan seharusnya lebih bijak. Lihat sahaja bagaiamana kejayaan Yassin mencipta lagu Nur Kasih bagi drama dengan judul yang sama, lagu tersebut masih terus diingati sehingga kini. Lagu Nur Kasih adalah pelengkap kepada keindahan jalan cerita drama tersebut. Bayangkan jika lagu Nur Kasih itu diganti dengan lagu-lagu artis luar seperti Maher Zain (walaupun kronologi masanya tak sama). Mungkin Nur Kasih tidak akan menjadi sebuah Nur Kasih yang kita ketahui selama ini.

Lihat sahaja bagaimana Yuna mencipta kejayaannya. Lihat pada lagu-lagu hasil ciptaan. Semuanya asli dan sangat unik. Maka tidak hairanlah sehingga kini Yuna masih relevan dan diterima oleh rakyat Malaysia. Andai kretiviti itu tinggi, maka keaslian pasti akan tercipta.

Pentingkan nilai keaslian, maka akan kekallah karya itu untuk tempoh yang lama. Andai mahu mencedok, maka cedoklah dengan bijak, jangan sampai orang mudah membandingkannya dengan karya yang lain. Lihat sahaja P. Ramlee, pernah juga mencedok karya orang lain, namun beliau bijak mengolahnya hingga tiada siapa yang sedar bahawa ideanya itu diambil dari idea orang lain. Itu baru namanya ‘intelligent’.

Pagi Khamis sudah lama tidak ketemu. Setelah 14 minggu kuliah berlangsung pada pagi Khamis, kini saya berkesempatan untuk mencoret sedikit bicara untuk kali ini. Bila kelapangan ada, baru semuanya dapat dicoretkan.






Rabu, 20 Jun 2012

Sembang-sembang Selasa: Si gadis ayu di tren KTM




Seringkali apabila menaiki keretapi, fikiran seringkali berbisik bahawa alangkah seronoknya jika sepanjang perjalanan itu ditemani oleh seorang gadis ayu yang ramah berbicara. Setidak-tidaknya perjalanan tiga jam dari Taiping ke Tanjung Malim tidaklah begitu membosankan. Harus diakui, andai tiada teman bicara, kadangkala penat itu ternyata dapat dirasakan.

Suatu masa dulu, pernah dikongsikan akan kisah saya bertemu seorang wanita Russia yang duduk di sebelah saya sewaktu saya menaiki tren untuk pulang ke Taiping. Namun, saya hanya sempat berbual dengannya dari Tanjung Malim hingga ke Kampar sahaja. Orangnya ramah, dan harus diakui, kebosanan tidak melanda.

Angan-angan akhirnya menjadi kenyataan, apabila sewaktu perjalanan pulang dari Taiping ke Tanjung Malim baru-baru ini, saya bertemu seorang gadis yang cukup manis paras rupanya. Tempat duduk saya adalah di 10A, dan sebaik saya duduk, si gadis itu muncul dan duduk di sebelah kerusi saya. Kami duduk bersebelahan. Gadis itu duduk di kerusi 10B.

Mata saya terus terfokus pada beg galas yang dibawanya. Memang agak biasa melihat beg tersebut kerana beg tersebut tertera logo UPSI. Beg dengan rupa yang sama itu jugalah yang saya terima sewaktu di semester satu yang lalu.

Lalu mulut terus pantas berbicara menyoal si gadis manis itu.

“Dari UPSI ke?”

“Ya. UPSI”

“Oh, samalah. Saya pun dari UPSI,” balas saya.

Maka perbualan tercetus. Sesi suai kenal bermula. Gadis tersebut rupanya merupakan pelajar diploma semester 4 yang baru sahaja memulakan sesi semesternya. Kursus yang diambilnya ialah Pendidikan Awal Kanak-kanak, satu kursus yang memang saya anggap agak ‘comel ‘.

Pada permulaan perjalanan, saya agak kekok untuk berbual dengannya. Maka, dari Taiping hingga ke Kuala Kangsar, maka hanya beberapa topik perbualan yang dapat dibicarakan. Semuanya lebih tertumpu kepada sesi suai kenal, mengetahui latar belakang masing-masing.

Sekilas pandang pada wajahnya, mungkin gadis ini berketurunan campuran. Namun saya tak pasti kebenaranya, kerana telahan saya berdasarkan wajahnya itu yang tidak kelihatan seperti si gadis Melayu asli. Kulitnya cukup putih, mungkin mulus. Orangnya rendah, dan tutur bicaranya memang punyai pengaruh dialek utara, sesuatu yang sama seperti saya juga. Maka apabila berbual dengan gadis ini, saya cukup seronok, seolah-olah telah lama mengenalinya disebabkan loghat percakapan yang hampir sama. Tutur bicara sangat lembut, dengan nada suara yang sangat tenang. Memang sesuai si gadis ini mengambil jurusan tersebut di UPSI.

Gadis ini menetap di Bukit Jana, tidak jauh dari Taiping. Di UPSI pula, dia menetap di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), tinggal bersama-sama dengan rakan-rakan diplomanya yang lain. Merupakan anak kedua dalam keluarganya, menurut gadis ini, dia pernah belajar di UiTM untuk  beberapa ketika sebelum menyambung pengajian di UPSI.

Terlalu banyak yang kami bualkan hingga saya sendiri pun tidak ingat keseluruhan perbualan itu. Dalam tempoh tiga jam itu, ada sahaja yang dibualkan. Saya bertanya dia, dan kadangkala dia bertanya saya. Perbualan menjadi agak menarik, kerana perbezaan tahap jurusan diambil masing-masing. Harus diakui, saya tidak mengetahui banyak berkenaan pengajian diploma di UPSI dan begitu juga gadis itu yang tidak mengetahui sepenuhnya bidang pengajian ijazah yang saya ambil. Maka, pelbagai kisah dikongsikan, dan kami saling bertukar-tukar cerita.

Isu Adam Adli, kisah kolej KHAR, malah isu-isu seperti GSTT, KPLI, dan tidak terkecuali isu posting guru turut kami bualkan. Kebanyakan pendapat yang diberi kami hampir sama, mungkin kerana masing-masing belajar di universiti yang sama.

Tidak terkecuali ialah perkongsian saya mengenai pengalaman selama satu semester  berkuliah di kampus baru UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah. Menurut gadis ini, dia tidak lagi merasai pengalaman berkuliah di sana sewaktu semester sebelumnya. Makanya, saya teruja untuk berkongsi sedikit kisah pengalaman saya di sana, walaupun hanya dapat merasa selama satu semester sahaja. Dinyatakan juga bahawa kelas dan kuliah di bangunan Proton City kini telah tiada. Perkhabaran sesuatu yang tidak diketahui gadis ini.

Kami juga berbual mengenai perkhidmatan tren KTM. Menurutnya, tren KTM yang kami naiki seringkali tidak menepati masa. Pendapatnya ada kebenaran, kerana pengalaman saya menaiki tren Intercity KTM sememangnya menghadapi kelewatan setiap kali menaikinya. Saya menyatakan pendapat, bahawa apabila siap landasan berkembar nanti, mungkin masalah tersebut akan selesai. Semestinya tren ETS KTM akan dapat dipanjangkan perjalanannya ke kawasan utara termasuk Taiping. Namun, semua itu hanya akan siap pada tahun 2014, iaitu tahun saya mendapat segulung ijazah.

Menurut gadis ini, dia seringkali menaiki tren pulang berseorangan. Baginya, tren lebih senang berbanding menaiki bas. Benar, kerana untuk menaiki bas dari Taiping ke Tanjung Malim, maka pertukaran bas perlu dibuat di Ipoh. Itu suatu kerja yang meletihkan.  Saya tidak pernah merasai pengalaman menaiki bas, namun itulah yang diceritakan gadis tersebut.

Gadis itu juga turut menceritakan sedikit pengalamannya di PLKN. Saya tak dapat mengingati nama kem tersebut, namun kem tersebut terletak di Kuala Kangsar. Namun menurut gadis ini, dia tidak lama berada di kem tersebut apabila mendapat tawaran belajar. Setidak-tidaknya dia punyai pengalaman di PLKN kerana saya tidak pernah merasainya.

Setelah berbual dengannya, barulah saya mengetahui beberapa perbezaan di antara kursus ijazah dan kursus diploma. Bagi diploma, mereka tidak perlu risau untuk mendaftar kursus, kerana jadual mereka telah disusun dan diatur secara automatik. Berbeza dengan ijazah yang perlu mendaftar kursus bagi setiap semester yang sememangnya sangat menyakitkan dan memberi tekanan. Malah, diploma juga tidak wajib untuk mengambil subjek ko.

Menurut gadis ini, apabila tamat pengajian diplomanya pada tahun 2013, dia berhasrat untuk menyambung ke peringkat ijazah. Katanya, umurnya masih muda, dan seharusnya dimanfaatkan. Saya kagum dengan pandangannya itu.

Gadis ini berhasrat untuk turun di stesen Slim River untuk berjumpa dengan kenalannya di sana. Tiketnya bagaimanapun adalah tiket menuju ke Tanjung Malim, dan menurutnya, sekiranya tren berhenti di Slim River, dia akan turun. Jika tren terus bergerak, dia akan turun seperti biasa di Tanjung Malim.

Harus saya akui, itu adalah satu detik yang sangat jarang saya rasai. Itulah pertama kali, mimpi menjadi kenyataan. Saya tak pernah terfikir untuk berjumpa gadis semanis itu sewaktu menaiki tren. Tambah tak diduga, gadis itu juga berasal dari Taiping.

Makanya, saya meminta izin untuk menambahnya ke dalam Facebook saya. Dia bersetuju, dan memberikan nama Facebooknya.

Tepat jam 12.45 tengah hari, tren tiba di Tanjung Malim. Kami turun di stesen yang sama. Salam perpisahan diucapkan, dan masing-masing menuju ke destinasi masing-masing. Pada hari itu, saya agak kelam kabut kerana terpaksa mengejar masa untuk pulang ke kolej untuk bersiap-siap untuk solat Jumaat.

Wajah gadis itu persis Anis Nabilah, chef selebriti yang seringkali muncul di kaca TV. Saya gemar menonton rancangan Icip-icip kendaliannya yang pernah disiarkan di TV3 satu masa dahulu. Maka, tiap kali berbicara dengan gadis itu, saya merasakan seolah-olah sedang bercakap dengan Anis Nabilah. Malah nada suaranya juga persis chef tersebut.

Mungkin itu pengalaman pertama dan terakhir buat saya sewaktu menaiki tren. Harus diakui, itulah pertama kalinya saya merasakan perjalanan dari Taiping ke Tanjung Malim menjadi cukup singkat. Jika sebelum ini kebosanan melanda, namun kali ini bosan itu tidak wujud. Benarlah, bila kita punyai teman berbicara sewaktu perjalanan jauh dan panjang, maka masa itu bagaikan tidak dirasai.

Selamat tinggal buat kamu. Saya tak pasti akan ketemu lagi kamu. Namun terima kasih kerana menjadi teman perjalanan saya selama 3 jam itu. Bagi saya, itu adalah momen yang cukup menarik untuk dikenang. Momen yang jarang dirasai, namun bermakna terutamanya apabila dapat berkenalan dengan warga UPSI yang berasal dari Taiping.

Malam itu saya menambahnya ke dalam kenalan Facebook saya, dan dia meluluskan permohonan rakan tersebut.

Itulah sedikit bicara pengalaman yang dapat dikongsikan. Permulaan baik bagi sebuah cuti yang panjang.

Gadis ayu di atas tren, petah berbicara, banyak ceritanya.






Khamis, 14 Jun 2012

"Kiblat Cintaku"








Rentak kaki mungkin memberikan satu demi satu makna yang tersirat. Maka itulah tercipta nada indah bila bahagia demi bahagia tercipta di hati.

Kisah Thahirah dan Zahid adalah satu magis, mencipta satu kekaguman.  Seorang guru, seorang akauntan. Mungkinkah kisah antara dua darjat berlaku? Maka kisahnya terlalu panjang, hingga dibicarakan, maka seharian kisah mereka akan berterusan.

Maka ini adalah kisahnya. Sebuah kisah yang berbunyi ringkas namun mungkin menarik.

Tersebutlah satu kisah, di kala masing-masing berpusu-pusu menuju ke kuliah, maka ketinggalan seorang manusia. Terlajak tidur dan akhirnya ketinggalan bas. Mujur kuliahnya senantiasa lewat dek pensyarahnya itu senantiasa juga melewatkan kuliahnya. Khabarnya, malam itu dia tidak dapat tidur dek kecelaruan yang melanda.

“Kecelaruan apakah itu,” soal seorang sahabat bertanya ibarat seorang wartawan hiburan yang tiada unsur lapik dalam mendapatkan maklumat.

“Khabarnya trauma,” jawab ringkas si Remi beri jawapan.

“Trauma apakah itu?” soalnya kembali.

“Kamu nak ditraumakan aku? Jaga dulu kain sendiri sebelum melihat kain yang lain,” balas si Remi , marah bunyinya.

Malam sebelumnya si Zahid terganggu emosinya. Kisah kekecewaan untuk siri ketiga muncul lagi. Patah hati dirasai. Si gadis bernama Syahida rupanya baru saja dimilki orang. Sekali lagi Zahid terlepas peluang. Aturan usaha untuk mendekati Syahida lebur begitu sahaja. Memang mereka rapat, malah ibarat rakan karib, namun rakan karib hanyalah sekadar rakan karib.

“Jika benar itulah aturan Allah, maka apa boleh ku buat melainkan menerima dengan terbuka? Kecewa atau patah hati, memang pedih namun itulah sebuah pengalaman,” bisik Zahid dalam langkah kelam kabut menuju ke perhentian bas.

Kisahnya bermula begini:

Syahida gadis dari negeri selatan, muncul tiba-tiba di pertengahan semester.  Orangnya ceria, dan seringkali mengusik setiap rakan sekelasnya. Di awalnya, Syahida dan Zahid, dua nama yang tak saling mengenali. Zahid tak menyedari kelibat Syahida, dan langsung tidak mengetahui kwujudan gadis ini.

Orangnya kecil, kulitnya putih mulus, kurus fizikalnya. Matanya bulat, bibirnya merah. Seringkali berbicara dalam nada yang ceria. Entah di mana silapnya, Zahid dan Syahida tidak pernah bertembung apatah lagi mengenali antara satu sama lain.

Semuanya bermula di laman buku muka, yang serba hebat dalam jaringan sosialnya. Akhirnya bertemu dan berkenalan, bermula dengan ruangan sembang sebelum menjalar kepada komentar-komentar di ruangan status dan pos gambar masing-masing. Maka, kisah seterusnya terwujud. Persoalan timbul. Apakah Syahida dan Zahid sedang dilamun cinta.

“Tidak, kerana antara aku dan dia, maka kawan adalah istilah terbaik,” balas Zahid setiap kali menjawab persoalan yang sama.

“Kami kawan sahaja,” maka itu juga dijawab Syahida.

Persahabatan terjalin, dan mereka semakin rapat. Kadangkala berbalas mesej, ada waktunya berbual dan bicara menerusi telefon. Sekadar hubungan sahabat dan sahabat, maka di akhirnya mereka menjadi kawan rapat.

Namun, lelaki dan perempuan, andai istilahnya itu berkawan, tak mustahil juga jalinan hati mungkin tertaut.  Mungkin itu yang dilalui Zahid, kerana di pertengahan itu, hatinya ibarat berdegup. Rasa hati mula bersuara, dan itulah Syahida menjadi tarikannya.

Namun kisahnya berbeza, kerana terlambat, Zahid terlepas. Syahida dilamar si lelaki lain, penuh sopan berjumpa ibu bapanya.

“Apa boleh buat, semuanya tak kesampaian,” bisik Zahid.

Maka itu kisahnya yang tersembunyi. Namun itu bukanlah kisahnya yang pertama. Kisahnya penuh dengan kerahsiaan dan kedukaan. Soal hati dan perasaan senantiasa tak kesampaian. Bagai senantiasa diselimuti malang.

Kisah sebelumnya bermula begini:

Adila teman sekuliah Zahid, seringkali bersama-sama berjalan menuju ke kelas. Gadis dari negeri  timur jauh, hitam manis namun ayu orangnya. Tutur katanya sedikit beza, kerana dipengaruhi dialek daerah kampung halamannya. Kisah mereka bermula dengan persahabatan, apabila seringkali ditugaskan dalam kumpulan yang sama untuk menyiapkan tugasan berkumpulan. Maka, itulah yang menghasilkan pertemuan demi pertemuan, perjumpaan yang seringkali diatur bagi sesi perbincangan untuk tugasan yang diberikan.

Setiap malam, mereka akan sering bertemu. Dimulakan dengan sesi makan malam bersama, sebelum disambung dengan sesi diskusi yang kadang kala berlanjutan beberapa jam berikutnya. Hubungan mereka ternyata satu persahabatan, kerana acap kali berbicara, bicaranya adalah laras seorang sahabat kepada sahabatnya, bukan si kekasih hati kepada kekasihnya. Maka, betapa intimnya Zahid dan Adila pun, tiada sesiapa menduga atau menganggap mereka adalah individu berpasangan hati.

Namun, bila persahabatan antara wanita dan lelaki itu berlangsung, maka pasti akan tiba waktunya, sempadan hati akan disentuh. Maka diakhirnya, Zahid berdegup di hati, terpaut pada Adila dalam senyap. Persahabatan terus berlangsung, namun semuanya kini dirasai berbeza.

“Kerana aku perlahan-lahan jatuh hati pada kamu,” sebaris ayat susunan dari pena dikirimkan dalam nota kecil, diselitkan dalam buku yang dibawa Adila. Itulah yang dilakukan Zahid meluahkan isi hatinya.

Responnya tidak lama, kerana setiap hari mereka bertemu. Namun bukan luahan bicara dituturkan, namun helaian nota kecil dibalas. Diselitkan ke dalam buku nota Zahid, dan semuanya berlaku dengan hanya sekeping nota. Mereka berbalas nota kecil.

“Bukan tak sudi, namun hati bukan dipaksa. Terima kasih kerana jujur,” Adila membalas.

Helaian-helaian nota itu di akhirnya merentap keakraban persahabatan. Menjadi kekok dek luahan Zahid, dan jawapan yang diberi Adila. Nota dikirimkan lagi untuk diselitkan ke dalam buku.

“Maafkan atas luahan. Sekadar berbicara atas jujur,” Zahid menulis.

“Terima kasih atas jujur. Bukan tak sudi, namun hati telah terpaut pada dahan yang lain,” balas Adila dalam nota berikutnya.

Kesudahannya, Adila dan Zahid tidak lagi serapat dulu. Zahid pula rasai kecewa apabila Adila terpikat pada individu lain. Rasa hati bertepuk sebelah tangan, bunyi tepuknya tiada, hanya desiran angin kedengaran. Kosong, dan hampa.

Maka fikiran berterusan menerawang memikirkan siri-siri kecewanya. Zahid terus termenung sambil menanti bas yang masih tak kunjung tiba. Jam di tangan menambahkan keresahan, dan lewat ke kuliah memang jelas dirasakan. Dalam hati yang gundah gulana, maka kisah berikutnya muncul. Kisah kecewanya yang pertama.

Kisahnya bermula begini:

Mata Zahid terpaut saat seorang pelajar sedang berjalan masuk ke kelas. Hari pertama kuliah bermula, dan tarikan itu bagaikan magis buatnya. Si gadis itu sopan langkahnya, tunduk malu seperti menjunjung maruahnya. Wajahnya hanya dapat dilihat sekilas pandang sahaja, kerana gadis itu senantiasa berjalan menunduk. Maka, tertarik di mata Zahid.

“Siapakah dia?” soal Zahid.

“Hari demi hari, lama-lama akan tahu juga siapakah gerangannya,” balas Remi teman rapat Zahid.

Benar, kerana hari demi hari, Zahid makin mengenali gadis itu. Bermula dengan nama panggilannya, sedikit demi sedikit personaliti individu yang menjadi tarikannya itu diketahui. Namun semuanya berlaku dari jauh. Gadis itu senantiasa duduknya di hadapan, dan Zahid seperti biasa setia menjadi pengisi meja belakang kelas. Maka tiada hubungan langsung antara dirinya dan gadis itu.

“Namanya Nadira, dengan panggilannya Dira,” bicara Zahid di suatu hari.

“Bagaimana kamu tahu?”

“Dunia di hujung jari….”

Laman sosial menjadi sesi permulaan perkenalan antara Zahid dan gadis itu. Secara senyap, hubungan terjalin. Sebuah hubungan persahabatan, dan mereka senantiasa berhubungan dalam jaringan sosial itu. Laman buku muka menjadi medan keakraban mereka. Zahid bijak mengatur langkah. Dalam diam telah berkawan dengan si gadis itu tanpa disedari oleh rakan sekuliah yang lain. Acap kali berselisih, mereka hanya tersenyum tanpa sebarang suara. Hanya di laman sosial sahaja mereka berbual.

Hari demi hari Zahid semakin rapat. Nadira menjadi teman rapatnya. Berbalas-balas mesej di laman sosial setiap hari. Ada sahaja perbualan dicipta. Komentar demi komentar dibuat antara satu sama lain bagi setiap pos yang dihantar di buku muka. Maka di akhirnya, hubungan baru tercipta apabila nombor telefon mula bertukar antara satu sama lain. Maka semakin galaklah mesej ringkas dan perbualan telefon tercipta.

Saat pertama Zahid melihat wajah Nadira, maka saat itu jugalah hatinya telah bersuara. Zahid telah jatuh hati padanya. Maka, atas nama hati, Zahid tekad untuk menjadikan Nadira sebagai teman hidupnya. Itulah yang mewujudkan usaha demi usaha untuk merapati Nadira. Namun satu langkah besar itu akan menghampiri satu kesilapan terbesar.

“Dira orangnya cukup berahsia. Hingga ke waktu ini, tidak diketahui status dirinya yang sebenar,” bicara Zahid suatu petang bersama Remi.

Zahid tidak sedar, mengatur langkah pada si gadis yang tidak diketahui statusnya, maka risikonya cukup besar. Apa sahaja boleh terjadi. Maka itulah yang berlaku, kerana di satu hari, Nadira membuka rahsianya. Katanya, dia telah berpunya, dan si pemilik hatinya itu telah dikenali beberapa tahun sebelummnya.

Sekali lagi pedih melanda. Semua usaha bertukar menjadi kesia-siaan. Lebur, dan hancur.

“Tiga kecewa, apakah akan ada yang keempat?” bisik Zahid

 Lamunan Zahid terhenti tatkala bas muncul di hadapannya. Maka, perjalanan ke kuliah bermula. Namun langkahnya pendek, apabila sebaris ayat menerusi pesanan ringkas dibaca di telefon bimbitnya. Penantian setengah jam menunggu bas menjadi sia-sia apabila kuliah pada pagi itu dibatalkan.

Malam itu Zahid termenung panjang. Bermuhasabah diri mungkin, merenung kembali setiap perjalanan pengalamannya. Fikiran menerawang melihat setiap inci perjalanan kisahnya. Ruang pengalaman yang cukup perit, hingga pada fikirannya mungkin tiada siapa yang tertarik pada dirinya.

“Mungkinkah akalku mengatasi pemikiran imanku? Mungkinkah nafsu mengatasi kewarasanku?” bisik Zahid malam itu.

Malam itu Zahid merenung panjang.

Kisah pagi berikutnya, Zahid lebih tenang. Perjalanan ke kuliah lebih teratur. Tiada lagi kekusutan berbanding hari sebelumnya. Zahid tahu dan sedar. Semua yang berlaku ada kisah hikmahnya. Maka baginya, setiap perjalanan itu satu ujian, dan andai pedih maka redhakan hati. Itu pegangannya.

Sesi kuliah berjalan dengan cukup tenang. Pembentangan demi pembentangan berlangsung. Zahid hanya pendengar, fokus dalam fikiran yang tenang. Masa berlalu dengan pantas, dan di penghujung kuliah, pensyarah mengucapkan salam perpisahan, tanda sesi kelas terakhir di semester itu.

Zahid terus menunggu di perhentian bas. Hujan turun, namun tidaklah lebat. Cuaca pagi itu ibarat magis, jarang dirasakan. Dingin dan segar. Kesemua menunggu dengan sabar, menanti bas untuk pulang. Kesemua sahabatnya berada di tempat yang sama.

Sebuah kereta berhenti di hadapan. Seorang gadis muncul bersama payung birunya. Kecil orangnya, namun ada seri di wajahnya. Zahid tergamam seketika. Terkejut melihat kelibat gadis itu, tiba-tiba muncul tanpa diduga.

“Abang Zahid, jom Ira hantarkan,” bicara gadis itu dalam hujan yang renyai-renyai.

Zahid sekadar tersenyum, lantas menghampiri gadis itu. Zahid meninggalkan sahabatnya yang lain dalam senyuman. Kereta tersebut dinaikinya.

“Siapakah dia? Siapakah Ira?” soal Remi terkedu.

“Bukankah ada pepatah menyatakan, jangan jaga tepi kain orang lain,” bicara seorang sahabat memerli Remi.

Bukan sahaja Remi, malah kesemua rakan-rakanya terkejut dengan kemunculan gadis bernama Ira itu. Masing-masing kehairanan dalam persoalan.

“Tunangkah? Kekasih hatikah? Bakal isterikah?”

Perjalanan Zahid juga penuh dalam persoalan. Gadis bernama Ira yang telah lama tidak muncul, tiba-tiba berada di sebelahnya dan kini sedang memandu. Sudah dua tahun Zahid tidak bersua dengannya, dan kemunculan gadis itu sesuatu yang tak diduga.

“Kita dari mana dan hendak ke mana Thahirah?” soal Zahid.

“Dari kisah dua tahun lalu, dan ke masa depan seterusnya,” balas gadis itu.

Kisahnya bermula begini:

Zahid dan Thahirah, teman rapat di bangku sekolah. Seusia, dan sekelas. Saling bersaing antara satu sama lain. Tinggal berhampiran, maka sering bertemu. Zahid memang lebih tangkas dalam akademiknya, dan Thahirah seringkali meminta bantuannya. Tamat persekolahan, maka mereka berpisah. Zahid di bidang pendidikan dan Thahirah di bidang perbankan. Seorang di ibu negara, seorang di negeri utara.

Keluarga Zahid dan Thahirah ada bezanya. Keluarga Zahid keluarga sederhana. Keluarga Thahirah, golongan berada. Bapa Zahid guru biasa, dan bapa Thahirah ahli korporat. Keluarga Zahid orangnya biasa, keluarga Thahirah orangnya dikenali dan dihormati.

“Bagai satu di langit dan satu di bumi. Jurangnya ibarat tak terbilang,” bisik Zahid mengenangkan taraf antara dirinya dan Thahirah.

Hari terakhir sebelum Zahid menyambung pengajiannya, dia bertemu Thahirah. Pertemuan itulah yang memberikan satu titik perubahan yang besar. Hajatnya disampaikan, penuh harapan, penuh keikhlasan. Zahid menyatakan hasrat hati mahu menjadikan Thahirah isterinya. Namun hasratnya itu hanya akan dilaksanakan bila dirinya telah bekerjaya. Zahid sekadar meluahkan isi hatinya kepada Thahirah.

Itulah kali terakhir Zahid bertemu Thahirah. Selepas itu tiada lagi perkhabaran darinya. Malah, luahan isi hati Zahid juga tidak diberikan jawapan. Thahirah menghilang begitu sahaja. Maka, di akhirnya Zahid melupakan sahaja luahan itu, dan redha dengan ketentuan yang ditetapkan padanya. Zahid redha seikhlasnya.

Kerana itu, Thahirah bukan kisah kecewanya. Thahirah sebuah kisah meredhakan hati atas ketentuan Ilahi. Ikhlas.

Maka, dua tahun berlalu, Thahirah tiba-tiba muncul semula. Memang terkejut, namun Zahid sekadar membisu sambil Thahirah terus memandu menuju ke destinasi yang tak diketahui. Pelbagai persoalan ingin diajukan, namun Zahid sekadar terus mendiamkan diri. Zahid sekadar menikmati saat yang tak pernah terlintas di fikirannya.

“Maafkan Ira muncul tanpa diduga, kerana dua tahun masa yang lama” bicara Thahirah.

Zahid sekadar membisu. Thahirah terus memandu. Tidak ada sebarang patah bicara keluar dari mulut Zahid. Terlalu senyap. Tiada ungkapan dapat disuarakan kerana terlalu banyak yang bermain di fikirannya. Dua tahun memberi banyak makna buat Zahid.

“Mengapa dua tahun Thahirah? Kenapa sekarang baru munculnya?” soal Zahid tiba-tiba.

Thahirah pula membisu. Thahirah terus memandu.

Perjalanan tiba di sebuah rumah. Jaraknya tidaklah terlalu jauh. Perjalanan tiga puluh minit itu ternyata satu situasi yang cukup pelik buat Zahid dan Thahirah. Masing-masing kekok dan kelu. Masing-masing kelihatan seperti tidak selesa. Membisu dan terkedu.

“Ira nak abang bertemu ibu dan ayah Ira,” bicara Thahirah saat keluar dari keretanya.

“Untuk apakah?” soal Zahid hairan.

Maka langkah Thahirah terhenti. Saat itu wajahnya berbeza. Serius dan tenang. Tunduk sebelum bersuara di hadapan Zahid.

“Dapatkan berkat dan restu dari mereka. Kerana tiap-tiap yang bahagia bermula dengan berkatnya,” bicara Thahirah.

Zahid kurang mengerti. Fikirannya masih samar-samar, masih terkejut dengan kemunculan Thahirah secara tiba-tiba. Maka, setiap tutur bicara Thahirah tidak dapat ditangkap sepenuhnya.

“Abang, dua tahun menghilang bukan bermakna Ira menolak. Dua tahun menghilang adalah proses untuk Ira menyiapkan diri. Dan sekarang Ira dah bersedia. Jumpa mereka, dapatkan izin,” bicara Thahirah, kali ini lebih perlahan nadanya, dan semakin menunduk. Thahirah malu untuk berbicara.

“Ya Allah…….”

Zahid terus melutut di atas tanah. Terus terduduk kaku. Kakinya terus hilang upaya untuk berdiri. Bicara dari mulut Thahirah itu ibarat satu kejutan besar melemahkan terus seluruh tubuhnya. Ibarat satu mimpi yang jauh darinya, menghampiri merempuh imaginasinya hingga menjadi satu realiti di akhirnya.

“Syukur padamu ya Allah andai inilah kesudahan kisah pencarianku,” bisik Zahid.

Zahid berjalan dengan tenang ditemani Thahirah. Maka bermulalah lembaran baru buat Zahid dan Thahirah.

Fikiran Zahid teringat kembali akan kata-kata bapanya. Katanya:

“Andai kamu berpaksikan cintamu pada nafsu dan hanya pada pandangan matamu, maka rasailah seribu satu kekecewaan. Andai kamu ketepikan iman dan amalmu, maka carilah sejauh mana pun cintamu, maka akan kamu temui kekusutan. Carilah cinta kerana-Nya, carilah teman kerana iman. Maka selamatlah kamu dari bencana kekecewaan”

“Benar ayah. Kerana tiga kisah kecewaku adalah kerana cintaku itu berpaksikan nafsu, berkiblatkan pandangan mata semata-mata. Benar, Thahirah adalah cintaku sebenar, kerana darinya pandangan cintaku adalah ikhlas berpaksikan Dia. Thahirah adalah cinta pertama yang wujud bukan berlandaskan nafsu. Thahirah adalah keikhlasanku”

Andai Zahid tahu Thahirah orangnya, maka mungkin tiada kisah pencarian Zahid mencari cinta. Mungkin Zahid tidak akan merasai tiga siri kekecewaan. Namun baginya, kecewa itulah sebuah pengalaman.

Maka itulah sebuah kisah kemustahilan bertukar keajaiban. Kisah Zahid dan Thahirah dalam penceritaan yang ringkas. Itulah magis ciptaan Ilahi, kerana jodoh adalah milik hakiki dari-Nya.

“Selamat datang kepada keluargaku,” bicara Thahirah memperkenalkan ibu dan bapanya kepada Zahid.

“Assalamualaikum,” bicara Zahid dalam senyuman. Mungkin bahagia.






 (Sebuah cerpen hasil nukilan: Muhammad Yazid Rosly )


*Terima kasih kepada sahabat lama Thahirah Kamarulail atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam cerpen ini.




Klik untuk Sambungan cerpen ini dengan judul : "Elipsis de Amor"