Sembang-sembang Selasa: Si gadis ayu di tren KTM




Seringkali apabila menaiki keretapi, fikiran seringkali berbisik bahawa alangkah seronoknya jika sepanjang perjalanan itu ditemani oleh seorang gadis ayu yang ramah berbicara. Setidak-tidaknya perjalanan tiga jam dari Taiping ke Tanjung Malim tidaklah begitu membosankan. Harus diakui, andai tiada teman bicara, kadangkala penat itu ternyata dapat dirasakan.

Suatu masa dulu, pernah dikongsikan akan kisah saya bertemu seorang wanita Russia yang duduk di sebelah saya sewaktu saya menaiki tren untuk pulang ke Taiping. Namun, saya hanya sempat berbual dengannya dari Tanjung Malim hingga ke Kampar sahaja. Orangnya ramah, dan harus diakui, kebosanan tidak melanda.

Angan-angan akhirnya menjadi kenyataan, apabila sewaktu perjalanan pulang dari Taiping ke Tanjung Malim baru-baru ini, saya bertemu seorang gadis yang cukup manis paras rupanya. Tempat duduk saya adalah di 10A, dan sebaik saya duduk, si gadis itu muncul dan duduk di sebelah kerusi saya. Kami duduk bersebelahan. Gadis itu duduk di kerusi 10B.

Mata saya terus terfokus pada beg galas yang dibawanya. Memang agak biasa melihat beg tersebut kerana beg tersebut tertera logo UPSI. Beg dengan rupa yang sama itu jugalah yang saya terima sewaktu di semester satu yang lalu.

Lalu mulut terus pantas berbicara menyoal si gadis manis itu.

“Dari UPSI ke?”

“Ya. UPSI”

“Oh, samalah. Saya pun dari UPSI,” balas saya.

Maka perbualan tercetus. Sesi suai kenal bermula. Gadis tersebut rupanya merupakan pelajar diploma semester 4 yang baru sahaja memulakan sesi semesternya. Kursus yang diambilnya ialah Pendidikan Awal Kanak-kanak, satu kursus yang memang saya anggap agak ‘comel ‘.

Pada permulaan perjalanan, saya agak kekok untuk berbual dengannya. Maka, dari Taiping hingga ke Kuala Kangsar, maka hanya beberapa topik perbualan yang dapat dibicarakan. Semuanya lebih tertumpu kepada sesi suai kenal, mengetahui latar belakang masing-masing.

Sekilas pandang pada wajahnya, mungkin gadis ini berketurunan campuran. Namun saya tak pasti kebenaranya, kerana telahan saya berdasarkan wajahnya itu yang tidak kelihatan seperti si gadis Melayu asli. Kulitnya cukup putih, mungkin mulus. Orangnya rendah, dan tutur bicaranya memang punyai pengaruh dialek utara, sesuatu yang sama seperti saya juga. Maka apabila berbual dengan gadis ini, saya cukup seronok, seolah-olah telah lama mengenalinya disebabkan loghat percakapan yang hampir sama. Tutur bicara sangat lembut, dengan nada suara yang sangat tenang. Memang sesuai si gadis ini mengambil jurusan tersebut di UPSI.

Gadis ini menetap di Bukit Jana, tidak jauh dari Taiping. Di UPSI pula, dia menetap di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), tinggal bersama-sama dengan rakan-rakan diplomanya yang lain. Merupakan anak kedua dalam keluarganya, menurut gadis ini, dia pernah belajar di UiTM untuk  beberapa ketika sebelum menyambung pengajian di UPSI.

Terlalu banyak yang kami bualkan hingga saya sendiri pun tidak ingat keseluruhan perbualan itu. Dalam tempoh tiga jam itu, ada sahaja yang dibualkan. Saya bertanya dia, dan kadangkala dia bertanya saya. Perbualan menjadi agak menarik, kerana perbezaan tahap jurusan diambil masing-masing. Harus diakui, saya tidak mengetahui banyak berkenaan pengajian diploma di UPSI dan begitu juga gadis itu yang tidak mengetahui sepenuhnya bidang pengajian ijazah yang saya ambil. Maka, pelbagai kisah dikongsikan, dan kami saling bertukar-tukar cerita.

Isu Adam Adli, kisah kolej KHAR, malah isu-isu seperti GSTT, KPLI, dan tidak terkecuali isu posting guru turut kami bualkan. Kebanyakan pendapat yang diberi kami hampir sama, mungkin kerana masing-masing belajar di universiti yang sama.

Tidak terkecuali ialah perkongsian saya mengenai pengalaman selama satu semester  berkuliah di kampus baru UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah. Menurut gadis ini, dia tidak lagi merasai pengalaman berkuliah di sana sewaktu semester sebelumnya. Makanya, saya teruja untuk berkongsi sedikit kisah pengalaman saya di sana, walaupun hanya dapat merasa selama satu semester sahaja. Dinyatakan juga bahawa kelas dan kuliah di bangunan Proton City kini telah tiada. Perkhabaran sesuatu yang tidak diketahui gadis ini.

Kami juga berbual mengenai perkhidmatan tren KTM. Menurutnya, tren KTM yang kami naiki seringkali tidak menepati masa. Pendapatnya ada kebenaran, kerana pengalaman saya menaiki tren Intercity KTM sememangnya menghadapi kelewatan setiap kali menaikinya. Saya menyatakan pendapat, bahawa apabila siap landasan berkembar nanti, mungkin masalah tersebut akan selesai. Semestinya tren ETS KTM akan dapat dipanjangkan perjalanannya ke kawasan utara termasuk Taiping. Namun, semua itu hanya akan siap pada tahun 2014, iaitu tahun saya mendapat segulung ijazah.

Menurut gadis ini, dia seringkali menaiki tren pulang berseorangan. Baginya, tren lebih senang berbanding menaiki bas. Benar, kerana untuk menaiki bas dari Taiping ke Tanjung Malim, maka pertukaran bas perlu dibuat di Ipoh. Itu suatu kerja yang meletihkan.  Saya tidak pernah merasai pengalaman menaiki bas, namun itulah yang diceritakan gadis tersebut.

Gadis itu juga turut menceritakan sedikit pengalamannya di PLKN. Saya tak dapat mengingati nama kem tersebut, namun kem tersebut terletak di Kuala Kangsar. Namun menurut gadis ini, dia tidak lama berada di kem tersebut apabila mendapat tawaran belajar. Setidak-tidaknya dia punyai pengalaman di PLKN kerana saya tidak pernah merasainya.

Setelah berbual dengannya, barulah saya mengetahui beberapa perbezaan di antara kursus ijazah dan kursus diploma. Bagi diploma, mereka tidak perlu risau untuk mendaftar kursus, kerana jadual mereka telah disusun dan diatur secara automatik. Berbeza dengan ijazah yang perlu mendaftar kursus bagi setiap semester yang sememangnya sangat menyakitkan dan memberi tekanan. Malah, diploma juga tidak wajib untuk mengambil subjek ko.

Menurut gadis ini, apabila tamat pengajian diplomanya pada tahun 2013, dia berhasrat untuk menyambung ke peringkat ijazah. Katanya, umurnya masih muda, dan seharusnya dimanfaatkan. Saya kagum dengan pandangannya itu.

Gadis ini berhasrat untuk turun di stesen Slim River untuk berjumpa dengan kenalannya di sana. Tiketnya bagaimanapun adalah tiket menuju ke Tanjung Malim, dan menurutnya, sekiranya tren berhenti di Slim River, dia akan turun. Jika tren terus bergerak, dia akan turun seperti biasa di Tanjung Malim.

Harus saya akui, itu adalah satu detik yang sangat jarang saya rasai. Itulah pertama kali, mimpi menjadi kenyataan. Saya tak pernah terfikir untuk berjumpa gadis semanis itu sewaktu menaiki tren. Tambah tak diduga, gadis itu juga berasal dari Taiping.

Makanya, saya meminta izin untuk menambahnya ke dalam Facebook saya. Dia bersetuju, dan memberikan nama Facebooknya.

Tepat jam 12.45 tengah hari, tren tiba di Tanjung Malim. Kami turun di stesen yang sama. Salam perpisahan diucapkan, dan masing-masing menuju ke destinasi masing-masing. Pada hari itu, saya agak kelam kabut kerana terpaksa mengejar masa untuk pulang ke kolej untuk bersiap-siap untuk solat Jumaat.

Wajah gadis itu persis Anis Nabilah, chef selebriti yang seringkali muncul di kaca TV. Saya gemar menonton rancangan Icip-icip kendaliannya yang pernah disiarkan di TV3 satu masa dahulu. Maka, tiap kali berbicara dengan gadis itu, saya merasakan seolah-olah sedang bercakap dengan Anis Nabilah. Malah nada suaranya juga persis chef tersebut.

Mungkin itu pengalaman pertama dan terakhir buat saya sewaktu menaiki tren. Harus diakui, itulah pertama kalinya saya merasakan perjalanan dari Taiping ke Tanjung Malim menjadi cukup singkat. Jika sebelum ini kebosanan melanda, namun kali ini bosan itu tidak wujud. Benarlah, bila kita punyai teman berbicara sewaktu perjalanan jauh dan panjang, maka masa itu bagaikan tidak dirasai.

Selamat tinggal buat kamu. Saya tak pasti akan ketemu lagi kamu. Namun terima kasih kerana menjadi teman perjalanan saya selama 3 jam itu. Bagi saya, itu adalah momen yang cukup menarik untuk dikenang. Momen yang jarang dirasai, namun bermakna terutamanya apabila dapat berkenalan dengan warga UPSI yang berasal dari Taiping.

Malam itu saya menambahnya ke dalam kenalan Facebook saya, dan dia meluluskan permohonan rakan tersebut.

Itulah sedikit bicara pengalaman yang dapat dikongsikan. Permulaan baik bagi sebuah cuti yang panjang.

Gadis ayu di atas tren, petah berbicara, banyak ceritanya.






Ulasan

Catatan Popular