"Kiblat Cintaku"
Rentak kaki mungkin memberikan satu demi satu makna yang
tersirat. Maka itulah tercipta nada indah bila bahagia demi bahagia tercipta di
hati.
Kisah Thahirah dan Zahid adalah satu magis, mencipta satu
kekaguman. Seorang guru, seorang
akauntan. Mungkinkah kisah antara dua darjat berlaku? Maka kisahnya terlalu
panjang, hingga dibicarakan, maka seharian kisah mereka akan berterusan.
Maka ini adalah kisahnya. Sebuah kisah yang berbunyi ringkas namun mungkin menarik.
Tersebutlah satu kisah, di kala masing-masing
berpusu-pusu menuju ke kuliah, maka ketinggalan seorang manusia. Terlajak tidur
dan akhirnya ketinggalan bas. Mujur kuliahnya senantiasa lewat dek pensyarahnya
itu senantiasa juga melewatkan kuliahnya. Khabarnya, malam itu dia tidak dapat
tidur dek kecelaruan yang melanda.
“Kecelaruan apakah itu,” soal seorang sahabat bertanya
ibarat seorang wartawan hiburan yang tiada unsur lapik dalam mendapatkan
maklumat.
“Khabarnya trauma,” jawab ringkas si Remi beri jawapan.
“Trauma apakah itu?” soalnya kembali.
“Kamu nak ditraumakan aku? Jaga dulu kain sendiri sebelum
melihat kain yang lain,” balas si Remi , marah bunyinya.
Malam sebelumnya si Zahid terganggu emosinya. Kisah kekecewaan
untuk siri ketiga muncul lagi. Patah hati dirasai. Si gadis bernama Syahida
rupanya baru saja dimilki orang. Sekali lagi Zahid terlepas peluang. Aturan
usaha untuk mendekati Syahida lebur begitu sahaja. Memang mereka rapat, malah
ibarat rakan karib, namun rakan karib hanyalah sekadar rakan karib.
“Jika benar itulah aturan Allah, maka apa boleh ku buat
melainkan menerima dengan terbuka? Kecewa atau patah hati, memang pedih namun
itulah sebuah pengalaman,” bisik Zahid dalam langkah kelam kabut menuju ke
perhentian bas.
Kisahnya bermula begini:
Syahida gadis dari negeri selatan, muncul tiba-tiba di
pertengahan semester. Orangnya ceria,
dan seringkali mengusik setiap rakan sekelasnya. Di awalnya, Syahida dan Zahid,
dua nama yang tak saling mengenali. Zahid tak menyedari kelibat Syahida, dan
langsung tidak mengetahui kwujudan gadis ini.
Orangnya kecil, kulitnya putih mulus, kurus fizikalnya.
Matanya bulat, bibirnya merah. Seringkali berbicara dalam nada yang ceria. Entah
di mana silapnya, Zahid dan Syahida tidak pernah bertembung apatah lagi
mengenali antara satu sama lain.
Semuanya bermula di laman buku muka, yang serba hebat
dalam jaringan sosialnya. Akhirnya bertemu dan berkenalan, bermula dengan
ruangan sembang sebelum menjalar kepada komentar-komentar di ruangan status dan
pos gambar masing-masing. Maka, kisah seterusnya terwujud. Persoalan timbul.
Apakah Syahida dan Zahid sedang dilamun cinta.
“Tidak, kerana antara aku dan dia, maka kawan adalah
istilah terbaik,” balas Zahid setiap kali menjawab persoalan yang sama.
“Kami kawan sahaja,” maka itu juga dijawab Syahida.
Persahabatan terjalin, dan mereka semakin rapat.
Kadangkala berbalas mesej, ada waktunya berbual dan bicara menerusi telefon.
Sekadar hubungan sahabat dan sahabat, maka di akhirnya mereka menjadi kawan
rapat.
Namun, lelaki dan perempuan, andai istilahnya itu
berkawan, tak mustahil juga jalinan hati mungkin tertaut. Mungkin itu yang dilalui Zahid, kerana di
pertengahan itu, hatinya ibarat berdegup. Rasa hati mula bersuara, dan itulah
Syahida menjadi tarikannya.
Namun kisahnya berbeza, kerana terlambat, Zahid terlepas.
Syahida dilamar si lelaki lain, penuh sopan berjumpa ibu bapanya.
“Apa boleh buat, semuanya tak kesampaian,” bisik Zahid.
Maka itu kisahnya yang tersembunyi. Namun itu bukanlah
kisahnya yang pertama. Kisahnya penuh dengan kerahsiaan dan kedukaan. Soal hati
dan perasaan senantiasa tak kesampaian. Bagai senantiasa diselimuti malang.
Kisah sebelumnya bermula begini:
Adila teman sekuliah Zahid, seringkali bersama-sama
berjalan menuju ke kelas. Gadis dari negeri timur jauh, hitam manis namun ayu orangnya.
Tutur katanya sedikit beza, kerana dipengaruhi dialek daerah kampung
halamannya. Kisah mereka bermula dengan persahabatan, apabila seringkali
ditugaskan dalam kumpulan yang sama untuk menyiapkan tugasan berkumpulan. Maka,
itulah yang menghasilkan pertemuan demi pertemuan, perjumpaan yang seringkali
diatur bagi sesi perbincangan untuk tugasan yang diberikan.
Setiap malam, mereka akan sering bertemu. Dimulakan
dengan sesi makan malam bersama, sebelum disambung dengan sesi diskusi yang
kadang kala berlanjutan beberapa jam berikutnya. Hubungan mereka ternyata satu
persahabatan, kerana acap kali berbicara, bicaranya adalah laras seorang
sahabat kepada sahabatnya, bukan si kekasih hati kepada kekasihnya. Maka,
betapa intimnya Zahid dan Adila pun, tiada sesiapa menduga atau menganggap
mereka adalah individu berpasangan hati.
Namun, bila persahabatan antara wanita dan lelaki itu
berlangsung, maka pasti akan tiba waktunya, sempadan hati akan disentuh. Maka
diakhirnya, Zahid berdegup di hati, terpaut pada Adila dalam senyap.
Persahabatan terus berlangsung, namun semuanya kini dirasai berbeza.
“Kerana aku perlahan-lahan jatuh hati pada kamu,” sebaris
ayat susunan dari pena dikirimkan dalam nota kecil, diselitkan dalam buku yang
dibawa Adila. Itulah yang dilakukan Zahid meluahkan isi hatinya.
Responnya tidak lama, kerana setiap hari mereka bertemu.
Namun bukan luahan bicara dituturkan, namun helaian nota kecil dibalas.
Diselitkan ke dalam buku nota Zahid, dan semuanya berlaku dengan hanya sekeping
nota. Mereka berbalas nota kecil.
“Bukan tak sudi, namun hati bukan dipaksa. Terima kasih
kerana jujur,” Adila membalas.
Helaian-helaian nota itu di akhirnya merentap keakraban
persahabatan. Menjadi kekok dek luahan Zahid, dan jawapan yang diberi Adila.
Nota dikirimkan lagi untuk diselitkan ke dalam buku.
“Maafkan atas luahan. Sekadar berbicara atas jujur,”
Zahid menulis.
“Terima kasih atas jujur. Bukan tak sudi, namun hati
telah terpaut pada dahan yang lain,” balas Adila dalam nota berikutnya.
Kesudahannya, Adila dan Zahid tidak lagi serapat dulu.
Zahid pula rasai kecewa apabila Adila terpikat pada individu lain. Rasa hati
bertepuk sebelah tangan, bunyi tepuknya tiada, hanya desiran angin kedengaran.
Kosong, dan hampa.
Maka fikiran berterusan menerawang memikirkan siri-siri
kecewanya. Zahid terus termenung sambil menanti bas yang masih tak kunjung
tiba. Jam di tangan menambahkan keresahan, dan lewat ke kuliah memang jelas
dirasakan. Dalam hati yang gundah gulana, maka kisah berikutnya muncul. Kisah
kecewanya yang pertama.
Kisahnya bermula begini:
Mata Zahid terpaut saat seorang pelajar sedang berjalan
masuk ke kelas. Hari pertama kuliah bermula, dan tarikan itu bagaikan magis
buatnya. Si gadis itu sopan langkahnya, tunduk malu seperti menjunjung
maruahnya. Wajahnya hanya dapat dilihat sekilas pandang sahaja, kerana gadis
itu senantiasa berjalan menunduk. Maka, tertarik di mata Zahid.
“Siapakah dia?” soal Zahid.
“Hari demi hari, lama-lama akan tahu juga siapakah
gerangannya,” balas Remi teman rapat Zahid.
Benar, kerana hari demi hari, Zahid makin mengenali gadis
itu. Bermula dengan nama panggilannya, sedikit demi sedikit personaliti
individu yang menjadi tarikannya itu diketahui. Namun semuanya berlaku dari
jauh. Gadis itu senantiasa duduknya di hadapan, dan Zahid seperti biasa setia
menjadi pengisi meja belakang kelas. Maka tiada hubungan langsung antara
dirinya dan gadis itu.
“Namanya Nadira, dengan panggilannya Dira,” bicara Zahid
di suatu hari.
“Bagaimana kamu tahu?”
“Dunia di hujung jari….”
Laman sosial menjadi sesi permulaan perkenalan antara
Zahid dan gadis itu. Secara senyap, hubungan terjalin. Sebuah hubungan
persahabatan, dan mereka senantiasa berhubungan dalam jaringan sosial itu.
Laman buku muka menjadi medan keakraban mereka. Zahid bijak mengatur langkah.
Dalam diam telah berkawan dengan si gadis itu tanpa disedari oleh rakan
sekuliah yang lain. Acap kali berselisih, mereka hanya tersenyum tanpa sebarang
suara. Hanya di laman sosial sahaja mereka berbual.
Hari demi hari Zahid semakin rapat. Nadira menjadi teman
rapatnya. Berbalas-balas mesej di laman sosial setiap hari. Ada sahaja
perbualan dicipta. Komentar demi komentar dibuat antara satu sama lain bagi
setiap pos yang dihantar di buku muka. Maka di akhirnya, hubungan baru tercipta
apabila nombor telefon mula bertukar antara satu sama lain. Maka semakin
galaklah mesej ringkas dan perbualan telefon tercipta.
Saat pertama Zahid melihat wajah Nadira, maka saat itu
jugalah hatinya telah bersuara. Zahid telah jatuh hati padanya. Maka, atas nama
hati, Zahid tekad untuk menjadikan Nadira sebagai teman hidupnya. Itulah yang
mewujudkan usaha demi usaha untuk merapati Nadira. Namun satu langkah besar itu
akan menghampiri satu kesilapan terbesar.
“Dira orangnya cukup berahsia. Hingga ke waktu ini, tidak
diketahui status dirinya yang sebenar,” bicara Zahid suatu petang bersama Remi.
Zahid tidak sedar, mengatur langkah pada si gadis yang
tidak diketahui statusnya, maka risikonya cukup besar. Apa sahaja boleh
terjadi. Maka itulah yang berlaku, kerana di satu hari, Nadira membuka
rahsianya. Katanya, dia telah berpunya, dan si pemilik hatinya itu telah
dikenali beberapa tahun sebelummnya.
Sekali lagi pedih melanda. Semua usaha bertukar menjadi
kesia-siaan. Lebur, dan hancur.
“Tiga kecewa, apakah akan ada yang keempat?” bisik Zahid
Lamunan Zahid
terhenti tatkala bas muncul di hadapannya. Maka, perjalanan ke kuliah bermula.
Namun langkahnya pendek, apabila sebaris ayat menerusi pesanan ringkas dibaca
di telefon bimbitnya. Penantian setengah jam menunggu bas menjadi sia-sia
apabila kuliah pada pagi itu dibatalkan.
Malam itu Zahid termenung panjang. Bermuhasabah diri
mungkin, merenung kembali setiap perjalanan pengalamannya. Fikiran menerawang
melihat setiap inci perjalanan kisahnya. Ruang pengalaman yang cukup perit, hingga
pada fikirannya mungkin tiada siapa yang tertarik pada dirinya.
“Mungkinkah akalku mengatasi pemikiran imanku? Mungkinkah
nafsu mengatasi kewarasanku?” bisik Zahid malam itu.
Malam itu Zahid merenung panjang.
Kisah pagi berikutnya, Zahid lebih tenang. Perjalanan ke
kuliah lebih teratur. Tiada lagi kekusutan berbanding hari sebelumnya. Zahid
tahu dan sedar. Semua yang berlaku ada kisah hikmahnya. Maka baginya, setiap
perjalanan itu satu ujian, dan andai pedih maka redhakan hati. Itu pegangannya.
Sesi kuliah berjalan dengan cukup tenang. Pembentangan
demi pembentangan berlangsung. Zahid hanya pendengar, fokus dalam fikiran yang
tenang. Masa berlalu dengan pantas, dan di penghujung kuliah, pensyarah
mengucapkan salam perpisahan, tanda sesi kelas terakhir di semester itu.
Zahid terus menunggu di perhentian bas. Hujan turun,
namun tidaklah lebat. Cuaca pagi itu ibarat magis, jarang dirasakan. Dingin dan
segar. Kesemua menunggu dengan sabar, menanti bas untuk pulang. Kesemua
sahabatnya berada di tempat yang sama.
Sebuah kereta berhenti di hadapan. Seorang gadis muncul
bersama payung birunya. Kecil orangnya, namun ada seri di wajahnya. Zahid
tergamam seketika. Terkejut melihat kelibat gadis itu, tiba-tiba muncul tanpa
diduga.
“Abang Zahid, jom Ira hantarkan,” bicara gadis itu dalam
hujan yang renyai-renyai.
Zahid sekadar tersenyum, lantas menghampiri gadis itu.
Zahid meninggalkan sahabatnya yang lain dalam senyuman. Kereta tersebut
dinaikinya.
“Siapakah dia? Siapakah Ira?” soal Remi terkedu.
“Bukankah ada pepatah menyatakan, jangan jaga tepi kain
orang lain,” bicara seorang sahabat memerli Remi.
Bukan sahaja Remi, malah kesemua rakan-rakanya terkejut
dengan kemunculan gadis bernama Ira itu. Masing-masing kehairanan dalam
persoalan.
“Tunangkah? Kekasih hatikah? Bakal isterikah?”
Perjalanan Zahid juga penuh dalam persoalan. Gadis
bernama Ira yang telah lama tidak muncul, tiba-tiba berada di sebelahnya dan
kini sedang memandu. Sudah dua tahun Zahid tidak bersua dengannya, dan kemunculan
gadis itu sesuatu yang tak diduga.
“Kita dari mana dan hendak ke mana Thahirah?” soal Zahid.
“Dari kisah dua tahun lalu, dan ke masa depan
seterusnya,” balas gadis itu.
Kisahnya bermula begini:
Zahid dan Thahirah, teman rapat di bangku sekolah. Seusia,
dan sekelas. Saling bersaing antara satu sama lain. Tinggal berhampiran, maka
sering bertemu. Zahid memang lebih tangkas dalam akademiknya, dan Thahirah
seringkali meminta bantuannya. Tamat persekolahan, maka mereka berpisah. Zahid
di bidang pendidikan dan Thahirah di bidang perbankan. Seorang di ibu negara,
seorang di negeri utara.
Keluarga Zahid dan Thahirah ada bezanya. Keluarga Zahid
keluarga sederhana. Keluarga Thahirah, golongan berada. Bapa Zahid guru biasa,
dan bapa Thahirah ahli korporat. Keluarga Zahid orangnya biasa, keluarga
Thahirah orangnya dikenali dan dihormati.
“Bagai satu di langit dan satu di bumi. Jurangnya ibarat
tak terbilang,” bisik Zahid mengenangkan taraf antara dirinya dan Thahirah.
Hari terakhir sebelum Zahid menyambung pengajiannya, dia
bertemu Thahirah. Pertemuan itulah yang memberikan satu titik perubahan yang
besar. Hajatnya disampaikan, penuh harapan, penuh keikhlasan. Zahid menyatakan
hasrat hati mahu menjadikan Thahirah isterinya. Namun hasratnya itu hanya akan
dilaksanakan bila dirinya telah bekerjaya. Zahid sekadar meluahkan isi hatinya
kepada Thahirah.
Itulah kali terakhir Zahid bertemu Thahirah. Selepas itu
tiada lagi perkhabaran darinya. Malah, luahan isi hati Zahid juga tidak
diberikan jawapan. Thahirah menghilang begitu sahaja. Maka, di akhirnya Zahid
melupakan sahaja luahan itu, dan redha dengan ketentuan yang ditetapkan padanya.
Zahid redha seikhlasnya.
Kerana itu, Thahirah bukan kisah kecewanya. Thahirah
sebuah kisah meredhakan hati atas ketentuan Ilahi. Ikhlas.
Maka, dua tahun berlalu, Thahirah tiba-tiba muncul semula.
Memang terkejut, namun Zahid sekadar membisu sambil Thahirah terus memandu
menuju ke destinasi yang tak diketahui. Pelbagai persoalan ingin diajukan,
namun Zahid sekadar terus mendiamkan diri. Zahid sekadar menikmati saat yang
tak pernah terlintas di fikirannya.
“Maafkan Ira muncul tanpa diduga, kerana dua tahun masa
yang lama” bicara Thahirah.
Zahid sekadar membisu. Thahirah terus memandu. Tidak ada
sebarang patah bicara keluar dari mulut Zahid. Terlalu senyap. Tiada ungkapan
dapat disuarakan kerana terlalu banyak yang bermain di fikirannya. Dua tahun
memberi banyak makna buat Zahid.
“Mengapa dua tahun Thahirah? Kenapa sekarang baru
munculnya?” soal Zahid tiba-tiba.
Thahirah pula membisu. Thahirah terus memandu.
Perjalanan tiba di sebuah rumah. Jaraknya tidaklah
terlalu jauh. Perjalanan tiga puluh minit itu ternyata satu situasi yang cukup
pelik buat Zahid dan Thahirah. Masing-masing kekok dan kelu. Masing-masing
kelihatan seperti tidak selesa. Membisu dan terkedu.
“Ira nak abang bertemu ibu dan ayah Ira,” bicara Thahirah
saat keluar dari keretanya.
“Untuk apakah?” soal Zahid hairan.
Maka langkah Thahirah terhenti. Saat itu wajahnya
berbeza. Serius dan tenang. Tunduk sebelum bersuara di hadapan Zahid.
“Dapatkan berkat dan restu dari mereka. Kerana tiap-tiap
yang bahagia bermula dengan berkatnya,” bicara Thahirah.
Zahid kurang mengerti. Fikirannya masih samar-samar,
masih terkejut dengan kemunculan Thahirah secara tiba-tiba. Maka, setiap tutur
bicara Thahirah tidak dapat ditangkap sepenuhnya.
“Abang, dua tahun menghilang bukan bermakna Ira menolak.
Dua tahun menghilang adalah proses untuk Ira menyiapkan diri. Dan sekarang Ira
dah bersedia. Jumpa mereka, dapatkan izin,” bicara Thahirah, kali ini lebih
perlahan nadanya, dan semakin menunduk. Thahirah malu untuk berbicara.
“Ya Allah…….”
Zahid terus melutut di atas tanah. Terus terduduk kaku.
Kakinya terus hilang upaya untuk berdiri. Bicara dari mulut Thahirah itu ibarat
satu kejutan besar melemahkan terus seluruh tubuhnya. Ibarat satu mimpi yang
jauh darinya, menghampiri merempuh imaginasinya hingga menjadi satu realiti di
akhirnya.
“Syukur padamu ya Allah andai inilah kesudahan kisah
pencarianku,” bisik Zahid.
Zahid berjalan dengan tenang ditemani Thahirah. Maka
bermulalah lembaran baru buat Zahid dan Thahirah.
Fikiran Zahid teringat kembali akan kata-kata bapanya.
Katanya:
“Andai kamu berpaksikan cintamu pada nafsu dan hanya pada
pandangan matamu, maka rasailah seribu satu kekecewaan. Andai kamu ketepikan
iman dan amalmu, maka carilah sejauh mana pun cintamu, maka akan kamu temui
kekusutan. Carilah cinta kerana-Nya, carilah teman kerana iman. Maka selamatlah
kamu dari bencana kekecewaan”
“Benar ayah. Kerana tiga kisah kecewaku adalah kerana
cintaku itu berpaksikan nafsu, berkiblatkan pandangan mata semata-mata. Benar,
Thahirah adalah cintaku sebenar, kerana darinya pandangan cintaku adalah ikhlas
berpaksikan Dia. Thahirah adalah cinta pertama yang wujud bukan berlandaskan
nafsu. Thahirah adalah keikhlasanku”
Andai Zahid tahu Thahirah orangnya, maka mungkin tiada
kisah pencarian Zahid mencari cinta. Mungkin Zahid tidak akan merasai tiga siri
kekecewaan. Namun baginya, kecewa itulah sebuah pengalaman.
Maka itulah sebuah kisah kemustahilan bertukar keajaiban.
Kisah Zahid dan Thahirah dalam penceritaan yang ringkas. Itulah magis ciptaan
Ilahi, kerana jodoh adalah milik hakiki dari-Nya.
“Selamat datang kepada keluargaku,” bicara Thahirah
memperkenalkan ibu dan bapanya kepada Zahid.
“Assalamualaikum,” bicara Zahid dalam senyuman. Mungkin
bahagia.
(Sebuah cerpen hasil nukilan: Muhammad Yazid Rosly )
Ulasan
aku pon bkn pandai mengarang ni., =)
Apa yang dinyatakan saudara di atas ini, bukan ciri-ciri kekurangan dalam cerpen ini.
menyampah aku dgn kau! gila pompuan! buaya paling besar! meluat tgk kau kat upsi! rasa mcm nak tembak ja kau! siap kau! mati kau nanti!
thahirah mana pulak kau bedal kali ni!
Tahniah, bingkisan idea yg mampu mengheret imaginasi pembaca utk turut sama lena dalam dunia buaian penulis. Sgt menarik !
TQ perkongsiannya. Mohon kebenaran utk "contol C + control v " sebagai elemen dalam tugasan saya.
semoga terus menampilkan yg terbaik. =)
Terima kasih kerana sudi membaca.
best gak layan bulan2 pose nih,,,
actually nak cari tea'r nye pic,, terjumpa blog nih...
hurm.... tgk pic die rindu plak kat die...
keep it up dude~~~