Sabtu, 31 Ogos 2013

Dari Kaca Mata: 56 tahun merdeka, apakah ada kebebasan?




Kata orang, Merdeka itu satu kebebasan, satu nikmat yang dihadiahkan oleh nenek moyang kita, para pejuang dan para pemikir yang satu masa dahulu bersusah payah mencari jalan dan berjuang untuk membebaskan negara dari kongkongan penjajahan.

Itu maksud mudah acap kali perkataan "Merdeka" itu dituturkan oleh setiap rakyat Malaysia. Namun di satu sudut timbul satu persoalan yang barangkali menjalar juga bagi sesetengah pemikir masa kini. Apakah "Merdeka" dahulu sama dengan "Merdeka" sekarang? Apakah 56 tahun dahulu, semangatnya itu tidak luntur? Apakah rakyat kini benar-benar menghayati erti kemerdekaan itu?

Hakikatnya, dalam soal kesejahteraan negara, ada mungkin terlihat kini bahawa permainan perkauman seringkali ditiup, cuba bersikap prejudis di antara satu sama lain. Di saat kononnya slogan Satu Malaysia diungkapkan sesetengah pemimpin, di saat itu jugalah slogan perkauman dilaungkan. Apakah kepentingan politik itu telah menenggelamkan semangat bersatu padu di antara kaum?

Itu mungkin sedang berlaku kini. Tsunami politik yang melanda pada tahun 2008, dan pembantaian tsunami itu muncul lagi untuk gelombang kedua pada tahun 2013, menyaksikan bahawa arena politik tanah air berubah sekelip mata. Bermula saat itu jugalah, percaturan politik dilihat berubah secara drastik sehingga ada ketikanya dikatakan bahawa peristiwa 13 Mei akan berulang lagi.

Mungkin atas alasan survival politik, maka terdapat segelintir pemimpin itu tanpa berfikir panjang terus mencetuskan permainan politik kaum yang ternyata berifat rasis dan prejudis. Disebabkan kepentingan diri inilah, maka jurang perkauman di antara kaum mula melebar.

Setelah 56 tahun merdeka, apakah rakyat benar-benar merdeka dari penjajahan pemikiran bersifat perkauman? Satu tanda tanya yang barangkali hanya mampu dijawab oleh rakyat Malaysia sendiri.

Itu belum masuk sudut akhlak dan moral anak muda pada hari ini. Prinsip kegamaan itu kelihatan mula pudar dalam kalangan anak muda. Paling meruncingkan, krisis moral mencapai satu tahap yang membimbangkan tatkala soal hukum dan hakam agama itu diketepikan dan dijadikan satu permainan. Zina berleluasa, arak pula menjadi satu minuman kebiasaan. Tiada lagi rasa malu tatkala dosa dilakukan. Hiburan melampau menjadi satu kebudayaan, yang andai dibiarkan untuk satu tempoh, akan menjadi darah daging generasi hari ini, hingga sampai ke satu tahap harus dan menjadi kemestian buat anak-anak muda.

Umur 56 tahun menyaksikan perubahan pemikiran dan semangat kebangsaan dalam kalangan generasi hari ini. Sesungguhnya, satu tindakan bersepadu dan konkrit pelu dibuat bagi memperbetulkan minda dan budaya masyarakat hari ini. Pengekalan identiti bangsa itu dilihat semakin pudar, ditakuti akan tiba masanya nanti, rakyat Malaysia menjadi masyarakat yang memiliki budaya 'celupan' dari bangsa-bangsa lain.

Sama-sama berfikir sejenak, merenung kembali erti kemerdekaan yang sebenar. Moga, keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati ini akan kekal untuk hari-hari mendatang.

Bicara ini diakhiri dengan sisipan petikan "7 Wasiat Raja-raja Melayu". Petikan bicara ini dpetik dari ucapan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah. Moga kita sedar tanggungjawab yang perlu dipikul.


 7 wasiat Raja-raja Melayu:

1) Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali sebagai Malaysia)

2) Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.

3) Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman luar negara.

4) Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-raja Melayu memerintah negara ini.

5) Kami isytiharkan Islam sebagai agama Persekutuan.

6) Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu.

7) Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)




Salam Merdeka!




Sabtu, 10 Ogos 2013

Muhasabah Jumaat: Zaman Jahiliah kembali selepas Ramadan?






Alhamdulillah, Lebaran kali ini adalah yang ke-24 buat penulis. Masa pantas berlalu, hingga tanpa sedar usia semakin hari semakin meningkat. Itu lumrah dunia, masa takkan menunggu kita.

Barangkali Ramadan kali ini, seperti tahun-tahun sebelumnya disambut dengan penuh keinsafan; satu ‘tagline’ yang pasti akan diulang-ulang acap kali Ramadan tiba. Maka pada bulan Ramadan itulah, pelbagai ‘aktiviti’ amal ibadah dijalankan. Masjid menjadi meriah, anak-anak yatim cukup gembira tatkala setiap hari pasti akan ada sambutan berbuka puasa tajaan para hartawan mahupun syarikat-syarikat korporat. Itu kebiasaan, ibarat satu tradisi, diulang-ulang setiap tahun.

Harus diakui, setidak-tidaknya apabila Ramadan menjelma, maka nilai keinsafan itu terwujud. Syukurlah, manusia memang lumrahnya diciptakan untuk punyai kesedaran dalam hati, namun kesedaran itu kadangkala hanya mampu bertahan untuk beberapa ketika.

Ada waktunya, hati itu insaf, dan kesedaran timbul, hingga solat lima fardhu itu  yang sebelum ini tak pernah ditegakkan, tiba-tiba dimulakan. Maka, jadilah insan itu manusia yang sempurna menjalankan rukun yang wajib, bertahan untuk beberapa ketika.

Namun, tatkala ditimpa musibah, atau barangkali diberikan nikmat dunia, keinsafan itu hilang semula, dan saat itu jugalah solat yang lima itu dilupakan kembali. Andai itu terjadi, maka rugilah insan itu.

Barangkali itu jugalah, maka kelihatan Ramadan itu ibarat satu nilai hiprokasi bagi sesetengah orang, berpulun sakan mengerjakan amal ibadah yang wajib dan sunat, namun tatkala Syawal menjelma, kesemua amalan itu dilempar jauh-jauh atau mungkin disimpan dengan baik di dalam peti besi dan hanya akan dibuka menjelang Ramadan tahun hadapan.

Itu yang banyak terjadi bagi sesetengah orang.

Umat akhir zaman sesugguhnya berada dalam kekeliruan. Tatkala si penghibur dijunjung dan dijulang, si alim ulama dihina dan dicerca. Para agamawan dianggap ‘ketinggalan zaman’, berfikiran kolot, dan apabila mereka menyatakan pendapat, orang ramai hanya memekakkan telinga sambil mengeluarkan hujah jahiliah, dan ironinya hujah jahil itu diterima dengan baik komuniti masyarakat.

Apakah gunanya menyambut Aidilfitri, berpakaian cantik berwarna warni, namun auratnya terdedah sana dan terdedah sini? Apa gunanya saling bermaafan, namun tangan yang dihulur itu tak mengerti siapa yang boleh disalam, siapa yang tak boleh disalam? Apa gunanya menikmati pelbagai hidangan juadah, namun di penghujungnya juadah dibuang sebab tak terlarat untuk dihabiskan? Apa gunanya ziarah menziarahi, namun pada waktu yang sama alpa dalam mendirikan solat lima waktu?

Namun, inilah yang terjadi kini.

Kata orang, hati yang ikhlas itu akan kekal sampai bila-bila. Andai ikhlas beribadah, maka insya-Allah akan kekal juga ibadahnya. Ibadah mengharapkan sesuatu hingga lupa untuk mendapatkan keredhaan Allah, maka ibadah itu hanya mendatangkan kesia-siaan.

Kata orang lagi, sekali air bah, sekali pantai berubah. Maka sekali diri itu berhijrah, kekalkanlah perubahan itu. Allah itu Maha Pengampun buat hamba-hamba-Nya yang senantiasa mengharapkan keampunan dari-Nya. Jangan jadi insan yang tak tahu bersyukur, bila susah ingat Allah, bila senang alpa mengingati-Nya.

Syawal tidak seharusnya menjadi titik petanda pulangnya kejahilan sebelum Ramadan. Andai bulan Ramadan menjadi titik penghijrahan dari kegelapan menuju cahaya yang terang, mengapa pula harus kembali ke jalan yang kelam tatkala Aidilfitri menjelma? Apakah sememangnya kebodohan itu tercipta?

Jangan kembalikan zaman Jahiliah tatkala Syawal tiba. Kekalkan setiap perubahan yang telah dilakukan ketika Ramadan. Memang benar, perubahan itu bukan semudah yang disangka, namun jangan dilupa bahawa untuk kembali ke zaman kegelapan, hasutan dan dugaan itu sangatlah banyak. Andai hati telah terpesona dengan nikmat dunia sementara, maka akan hilanglah penghijrahan yang telah dilakukan di bulan Ramadan.

Manusia itu lemah, namun selemah-lemah manusia adalah mereka yang tidak dapat mempertahankan hati  untuk kekal di jalan yang terang.

Jadikan Ramadan sebagai permulaan penghijrahan, namun pastikan juga Syawal yang disambut tidak mengembalikan zaman kejahilan. Insya-Allah, sama-sama bermuhasabah diri.

Salam Aidilfitri dan Salam Lebaran buat semua. Maaf zahir dan batin.