Muhasabah Jumaat: Zaman Jahiliah kembali selepas Ramadan?
Alhamdulillah, Lebaran kali ini adalah yang ke-24 buat
penulis. Masa pantas berlalu, hingga tanpa sedar usia semakin hari semakin
meningkat. Itu lumrah dunia, masa takkan menunggu kita.
Barangkali Ramadan kali ini, seperti tahun-tahun
sebelumnya disambut dengan penuh keinsafan; satu ‘tagline’ yang pasti akan
diulang-ulang acap kali Ramadan tiba. Maka pada bulan Ramadan itulah, pelbagai
‘aktiviti’ amal ibadah dijalankan. Masjid menjadi meriah, anak-anak yatim cukup
gembira tatkala setiap hari pasti akan ada sambutan berbuka puasa tajaan para
hartawan mahupun syarikat-syarikat korporat. Itu kebiasaan, ibarat satu
tradisi, diulang-ulang setiap tahun.
Harus diakui, setidak-tidaknya apabila Ramadan menjelma,
maka nilai keinsafan itu terwujud. Syukurlah, manusia memang lumrahnya
diciptakan untuk punyai kesedaran dalam hati, namun kesedaran itu kadangkala
hanya mampu bertahan untuk beberapa ketika.
Ada waktunya, hati itu insaf, dan kesedaran timbul, hingga
solat lima fardhu itu yang sebelum ini
tak pernah ditegakkan, tiba-tiba dimulakan. Maka, jadilah insan itu manusia
yang sempurna menjalankan rukun yang wajib, bertahan untuk beberapa ketika.
Namun, tatkala ditimpa musibah, atau barangkali diberikan
nikmat dunia, keinsafan itu hilang semula, dan saat itu jugalah solat yang lima
itu dilupakan kembali. Andai itu terjadi, maka rugilah insan itu.
Barangkali itu jugalah, maka kelihatan Ramadan itu ibarat
satu nilai hiprokasi bagi sesetengah orang, berpulun sakan mengerjakan amal
ibadah yang wajib dan sunat, namun tatkala Syawal menjelma, kesemua amalan itu
dilempar jauh-jauh atau mungkin disimpan dengan baik di dalam peti besi dan
hanya akan dibuka menjelang Ramadan tahun hadapan.
Itu yang banyak terjadi bagi sesetengah orang.
Umat akhir zaman sesugguhnya berada dalam kekeliruan.
Tatkala si penghibur dijunjung dan dijulang, si alim ulama dihina dan dicerca.
Para agamawan dianggap ‘ketinggalan zaman’, berfikiran kolot, dan apabila
mereka menyatakan pendapat, orang ramai hanya memekakkan telinga sambil
mengeluarkan hujah jahiliah, dan ironinya hujah jahil itu diterima dengan baik
komuniti masyarakat.
Apakah gunanya menyambut Aidilfitri, berpakaian cantik
berwarna warni, namun auratnya terdedah sana dan terdedah sini? Apa gunanya
saling bermaafan, namun tangan yang dihulur itu tak mengerti siapa yang boleh
disalam, siapa yang tak boleh disalam? Apa gunanya menikmati pelbagai hidangan
juadah, namun di penghujungnya juadah dibuang sebab tak terlarat untuk dihabiskan?
Apa gunanya ziarah menziarahi, namun pada waktu yang sama alpa dalam mendirikan
solat lima waktu?
Namun, inilah yang terjadi kini.
Kata orang, hati yang ikhlas itu akan kekal sampai
bila-bila. Andai ikhlas beribadah, maka insya-Allah akan kekal juga ibadahnya.
Ibadah mengharapkan sesuatu hingga lupa untuk mendapatkan keredhaan Allah, maka
ibadah itu hanya mendatangkan kesia-siaan.
Kata orang lagi, sekali air bah, sekali pantai berubah.
Maka sekali diri itu berhijrah, kekalkanlah perubahan itu. Allah itu Maha
Pengampun buat hamba-hamba-Nya yang senantiasa mengharapkan keampunan dari-Nya.
Jangan jadi insan yang tak tahu bersyukur, bila susah ingat Allah, bila senang
alpa mengingati-Nya.
Syawal tidak seharusnya menjadi titik petanda pulangnya
kejahilan sebelum Ramadan. Andai bulan Ramadan menjadi titik penghijrahan dari
kegelapan menuju cahaya yang terang, mengapa pula harus kembali ke jalan yang
kelam tatkala Aidilfitri menjelma? Apakah sememangnya kebodohan itu tercipta?
Jangan kembalikan zaman Jahiliah tatkala Syawal tiba.
Kekalkan setiap perubahan yang telah dilakukan ketika Ramadan. Memang benar,
perubahan itu bukan semudah yang disangka, namun jangan dilupa bahawa untuk
kembali ke zaman kegelapan, hasutan dan dugaan itu sangatlah banyak. Andai hati
telah terpesona dengan nikmat dunia sementara, maka akan hilanglah penghijrahan
yang telah dilakukan di bulan Ramadan.
Manusia itu lemah, namun selemah-lemah manusia adalah
mereka yang tidak dapat mempertahankan hati
untuk kekal di jalan yang terang.
Jadikan Ramadan sebagai permulaan penghijrahan, namun
pastikan juga Syawal yang disambut tidak mengembalikan zaman kejahilan.
Insya-Allah, sama-sama bermuhasabah diri.
Salam Aidilfitri dan Salam Lebaran buat semua. Maaf zahir
dan batin.
Ulasan