Sabtu, 24 Disember 2011

"Adina (Bicara Dua Belas)"







Melabuhkan fikiran dalam jiwa yang tenang, sehingga segala kecelaruan yang ditemani masalah akan dapat dilunturkan. Hakikatnya, manusia itu perlu meluaskan pemandangan, kerana saat itu jugalah kekaguman terhadap keindahan ciptaan Ilahi akan mengurangkan kekusutan yang melanda. Bukan mudah bila wanita ditimpa musibah.

“Ina tak pernah naik kereta api,” bicara Abyatina saat menjejakkan kaki di stesen kereta api.

“Jadi, kita mulakan dengan kali pertama,” balas Rizqullah tersenyum.

Kisah perjalanan menuju ke stesen kereta api adalah satu pengalaman baru buat si Abyatina. Seumur hidup, ini adalah kisah pertamanya menuju ke destinasi dengan pengangkutan seperti itu.

“Mengapa?” soalan terpacul di mulut Raiqah saat Abyatina memberitahu kakaknya itu akan hasrat untuk menaiki kereta api bersama Rizqullah.

“Ada pilihan lagikah?” balas Abyatina.

Hakikatnya, perjalanan menuju ke Pulau Pinang tidak punyai pilihan yang banyak. Perancangan asal dengan berkereta tergendala dek  masalah enjin, dan akhirnya kereta Rizqullah itu tersadai di bengkel. Jika mahu menumpang kereta ahli keluarga yang lain, hakikatnya tidak ada lagi ruang yang boleh diisi untuk Abyatina dan Rizqullah.

“Maka, penyudahnya kereta api jadi pilihan,” bicara Abyatina kepada kakaknya.

“Pelawaan Yaqzan, bagaimana pula?” soal Raiqah.

“Suami Ina ialah Rizqullah. Kenapa pula harus terima pelawaan Yaqzan?” balas Abyatina.

Tawaran Yaqzan yang mahu menumpangkan Rizqullah dan Abyatina dikemukakan sehari sebelumnya. Pada awalnya, Rizqullah bersetuju berkereta bersama Yaqzan, namun Abyatina yang berat hati akhirnya menolak pelawaan Yaqzan itu.

“Kerana aku tak mahu sang alien merajai penakluk jiwa hatiku Rizqullah,” bisik Abyatina saat duduk di kerusi menanti ketibaan kereta api menuju ke Butterworth.

Saat jiwa teruja merasai pengalaman baru, hati Abyatina berada dalam keresahan. Memikirkan segala macam persoalan dan masalah, maka sesungguhnya ketabahan hati adalah kunci ketenangan jiwanya. Banyak perkara bermain di fikiran Abyatina hingga kadangkala dia tenggelam dalam lamunan yang berpanjangan.

“Ayahmu kena pindah ke Hospital Pulau Pinang,” terang ibu Abyatina beberapa hari sebelumnya.

Kisah kemalangan mengejut selepas Isyak ternyata masih segar di ingatan. Saat Ustaz Man ditimpa musibah, seluruh tubuh Abyatina menjadi sangat lemah. Malam itu, Abyatina tidak dapat melelapkan mata. Hatinya terlalu resah dalam kesedihan. Tambah meresahkan apabila Rizqullah tidak berada di sisinya.

Malam itu, Ustaz Man dibawa ke Hospital Taiping. Kemalangan mengejut yang menimpa memberikan satu kesuraman buat Abyatina sekeluarga. Kisah Ustaz Man dilanggar treler menjadi bualan utama di seluruh kampung. Bicara demi bicara bergerak dengan pantas sehingga pada pagi keesokannya, ramai penduduk kampung berhimpun di perkarangan rumah Ustaz Man bagi mengetahui perkembangan terkini keadaan suami Mak Cik Ros itu.

“Tenangkan hatimu Abyatina,” bicara Rizqullah menghentikan lamunan isterinya.

“Moga ayah selamat,” balas Abyatina.

“Insyaallah”

Wisel kedengaran tanda ketibaan gerabak kereta api. Saat itu hati Abyatina terdetik merasai ketenangan bercampur kegembiraan. Pengalaman pertama, dan di sisinya ialah Rizqullah. Dalam kemanisan keindahan, hatinya juga terdetik terkenangkan ayahnya yang ditempatkan di Hospital Pulau Pinang.

“Mulakan hatimu dengan niat untuk menziarahi ayahmu,” bisik Rizqullah ke telinga Abyatina saat mereka menaiki gerabak.

Abyatina dan Rizqullah memulakan perjalanan. Ziarah Ustaz Man, maka itulah tujuan utama. Ustaz Man dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan lanjut. Maka seluruh keluarga kini masing-masing menuju ke destinasi yang sama. Mungkin cara menuju ke destinasi itu sahaja yang berbeza.

“Ustaz Man mungkin lumpuh”

Kata-kata itu dinyatakan oleh doktor yang merawat Ustaz Man. Bicara pada malam kejadian itu masih berterusan segar di ingatannya. Berita kurang enak ditelan dalam situasi yang kelam kabut.

“Sabarkan jiwa. Tabahkan hati,” Rizqullah bersuara saat melihat Abyatina yang duduk di tepi tingkap kereta api berada dalam keadaan resah dan suram. Kelihatan dengan jelas Abyatina menahan titisan air matanya.

“Ina tak tau nak hadapi semua ni....”

Rizqullah terus merangkul bahu Abyatina. Ditenangkan isterinya sambil tangannya menggenggam erat tangan Abyatina. Diusapnya pipi Abyatina menghilangkan air mata yang menitis. Abyatina hilang keceriaan. Kesuraman melanda, dan hanya pada Rizqullah sahaja tempatnya meluahkan rasa sedih itu.

Rizqullah terus memeluk Abyatina menenangkan isterinya itu. Perjalanan panjang penuh cabaran. Soal hati dan jiwa bermain di fikiran. Akhirnya Abyatina terlelap, menghilangkan seketika duka yang melanda.

Kecelaruan kini sedang melanda. Pelbagai dugaan muncul satu demi satu. Saat Abyatina baru mengenal kemanisan berkeluarga, maka saat itu juga pelbagai dugaan mula muncul. Hakikat itu difahami Rizqullah, dan disebabkan itu, dia sedaya upaya untuk mententeramkan jiwa Abyatina.

“Disebabkan itu saya pilih kereta api. Moga Abyatina tenang saat melihat pemandangan yang akan dilihatnya sepanjang perjalanan panjang itu nanti,” terang Rizqullah kepada kakak iparnya Raiqah sehari sebelum perjalanan bermula.

“Benar, kamu memang dijodohkan untuk memahami Abyatina,” balas Raiqah.

Perjalanan panjang akhirnya bertemu kisah penyudahnya. Bila kaki melangkah keluar, maka sampailah Abyatina dan Rizqullah di Butterworth. Tanpa membiarkan masa dicuri, maka perjalanan seterusnya adalah menuju ke jeti feri untuk menuju ke Georgetown yang terletak di bahagian pulau. Kenangan terindah, maka Abyatina melangkah ke dunia pengalaman baru. Feri satu kisah baru buatnya.

“Jangan menitis air mata saat Ina berjumpa ayah,” bisik Rizqullah.

Kunjungan penuh debaran melangkah masuk ke kawasan hospital, satu pengalaman baru penuh kesuraman. Pelbagai fikiran muncul tatkala mencari-cari tempat yang dituju. Wad yang menempatkan Ustaz Man masih lagi dalam pencarian buat Abyatina dan Rizqullah.

Namun segalanya bertukar kelegaan apabila senyuman menguntum diberikan Raiqah saat kaki Abyatina dan Rizqullah memasuki bilik yang menempatkan Ustaz Man. Kuntuman senyuman itu akhirnya menjelmakan keceriaan di wajah Abyatina. Seluruh isi keluarga Ustaz Man berada di bilik itu.

“Jangan sedihkan dirimu Abyatina”

Bicara Ustaz Man kedengaran saat Abyatina memasuki bilik itu. Walaupun lemah terlantar di katil, ayah Abyatina itu masih mampu bersuara walaupun terketar namun masih gagah dengan senyuman.

“Ayah dah sihat?” soal Abyatina.

Merentasi perjalanan sebuah pertemuan, akhirnya diakhiri dengan sebuah kelegaan.  Saat memahami perihal sebenar, barulah diketahui Ustaz Man tiada harapan untuk kembali berdiri. Lumpuh di kaki, walaupun mungkin ada sedikit harapan untuk pulih kembali, namun peluang yang mungkin dimiliki agak tipis.

Saat itu, Abyatina terkedu. Sebak dirasai, tanpa diduga, maka titisan mata mengiringi. Sayu dirasakan, kerana senyuman yang tergambar di wajah ayahnya hanyalah sekadar penutup derita yang sedang dialaminya. Ustaz Man cekal, Abyatina kesedihan.

“Jika kamu kuatkan hati, maka kita kuatkan semangat ayah, moga kembali melihatnya untuk berjalan,” bicara Rizqullah menenangkan Abyatina.

“Kerana itu kita semua kena sama-sama tolong ayah, ikhtiarkan apa yang patut, sesukar mana pun, kita akan lakukan buat ayah,” bicara Raiqah.

Kata-kaat semangat penyedap hati diluahkan oleh setiap isi tetamu yang berada di bilik itu. Masing-masing cuba memberikan harapan, walaupun mungkin impian itu sekadar angan-angan tak kesampaian.

“Jangan berkunjung lagi di sini. Lapangkan dadamu.  Pergilah tenangkan hatimu. Pulau Pinang penuh dengan tempat menarik”

Sebaris ayat susunan Ustaz Man, maknanya mendalam punyai tujuan. Dia tahu, Abyatina kesuraman, dan dia tahu, perjalanan di bumi Pulau Pinang merupakan satu kunjungan yang mampu menghilangkan duka itu. Maka Ustaz Man pemberi cadangan, dan Rizqullah memberi persetujuan. Maka kisah seterusnya, Abyatina meninggalkan hospital dan memulakan kembara di Pulau Mutiara bersama Rizqullah.

“Mulakan harimu di sini dengan sebuah pengalaman baru,” bicara Ustaz Man buat Abyatina.

Destinasi pertama terus dituju. Maka Bukit Bendera menjadi tempat pilihan. Walaupun ramai di hujung minggu, namun Abyatina mengharunginya dengan mudah. Ibarat fikiran telah melayang seketika, itulah yang dirasai Abyatina, saat tangannya dipimpin Rizqullah, berjalan-jalan di kemuncak Bukit Bendera. Setiap detik, degupan jantung dirasai dalam nada yang aneh. Itulah degupan merasai nikmat melalui fasa-fasa kenikmatan cinta bersama Rizqullah. Genggaman tangan Abyatina dan Rizqullah berterusan, seolah-olah tiada penyudahnya.

Hari-hari dilalui di Pulau Pinang merupakan detik terindah buat Abyatina. Tanpa disusun sebarang perancangan, itulah detik-detik yang sangat manis buatnya. Dari sebuah kesuraman, kini bertukar menjadi sebuah kebahagiaan.  Tanpa disedari, itulah hari-hari Abyatina melalui bulan madunya bersama Rizqullah.

Dari satu tempat ke tempat yang lain. Dari Bukit Bendera ke Batu Ferengghi. Dari Taman Rama-rama ke Taman Botanikal. Dari Komtar ke Rumah P. Ramlee. Maka satu demi satu diselusuri Abyatina dan Rizqullah.  Saat manis dan ikatan semakin utuh. Kemesraan semakin terpancar, dan mereka semakin serasi.  Abyatina seakan lupa sebentar akan kisah ayahnya yang ditimpa dugaan. Dia tenggelam dalam kegembiraan. Segala kesuraman berjaya dileraikan.

“Tahniah buatmu kerana kamu berjaya menghilangkan duka Abyatina,” bicara ibu Abyatina kepada Rizqullah menerusi perbualan telefon.

Kisahnya berakhir dengan kunjungan ke rumah saudara mara Rizqullah di Pulau Pinang. Diperkenalkan satu demi satu ahli keluarga ibu saudaranya.  Sesi perkenalan ringkas, tidaklah lama. Abyatina dan Rizqullah kemudian pulang selepas tiga jam pertemuan dengan mereka. Ringkas, namun bermakna.

Setibanya di rumah setelah mengharungi perjalanan panjang, penat menaiki bas, kesabaran  menaiki feri, dan kepenatan di dalam kereta api, maka wajah Abyatina ternyata sangat keletihan. Rizqullah mengerti, lalu terus memimpin tangan Abyatina berehat di bilik. Terus terlelap Abyatina, dan Rizqullah tersenyum. Diusap pipi Abayatina tanda Rizqullah mengerti isterinya itu mengharungi pengalaman baru yang cukup panjang dan sangat meletihkan.

“Berehatlah. Moga segala dugaan yang penuh suram akan dapat kamu lupakan,” bisik Rizqullah.

Malam itu Abyatina merasai nyenyak tidur yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Keletihan memberi nikmat tidur tak terkata. Maka kesegaran ternyata dirasai Abyatina di pagi keesokannya.

“Ina sihat pagi ini?”

Soalan diajukan Rizqullah saat melihat Abyatina di dapur. Pucat wajah si Abyatina, dan masih terus duduk di kerusi saat mahu menikmati sarapan. Belum sempat meluahkan bicara, tiba-tiba Abyatina bangun mengejut, berlari terus menuju ke bilik air. Batuk yang kuat kemudian kedengaran.  Berterusan dan agak menakutkan buat Rizqullah yang mendengarnya.

“Ya Allah!”

Kejutan dilihat Rizqullah. Bibir Abyatina dipenuhi darah. Batuk tanpa henti masih berterusan, dan pada masa yang sama juga, darah terus keluar dari mulutnya. Lantai bilik air mula dipenuhi darah Abyatina. Suasana cemas mula tercetus. Rizqullah mula keresahan. Tangan si Abyatina terus menekan dadanya tanda kesakitan yang kuat dirasainya.

“Abang…”

Abyatina tiba-tiba rebah dan terus pengsan. Pagi itu mencipta kejutan. Sebuah persoalan telah tercipta.

“Ina…..”




*Tamat sudah Bicara Dua Belas*

 Menyambung kisah di lain bicara...

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 





 *Terima kasih kepada sahabat lama, saudari Thahirah Kamarulail atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.

 Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina

Jumaat, 9 Disember 2011

"Hablur Oniks"



                
Dari saat kaki melangkah meredah kesibukan hiruk pikuk manusia mundar mandir ke sana dan ke sini, dua sahabat dengan tenang menyusun perjalanan menuju ke medan ilmu. Jiwa muda dahagakan pengetahuan, di sebalik hasrat menyambung cita-cita, maka itulah sebab mereka kini tercampak di sebuah menara gading. Kelas ilmu dalam bidang sastera, satu cabang ilmu diminati dua sahabat.

Mata-matanya kelihatan seringkali melihat ke sana dan ke sini. Hiruk pikuk di sebuah universiti mungkin satu fenomena biasa dalam kesibukan mengejar masa dan tempat.  Kuliah itu dan kuliah ini, mungkin kadang kala menimbulkan pening dek banyaknya tugasan yang diberi. Lantas fikiran itulah yang melahirkan gerak geri anak mata, memerhati dan meninjau setiap pergerakan yang melintasi di hadapannya, saat dua sahabat duduk di kerusi menanti waktu sebelum kuliah bermula.

Pelbagai ragam dan kerenah dilihat saat pelbagai jenis manusia melintasi di hadapan tempat mereka duduk. Dua sahabat kadang kala berbual dan berbicara memerihalkan setiap gerak geri manusia yang melintasi mereka. Tafsiran dan andaian dibuat, membaca setiap bahasa badan yang melintasi di hadapan mereka.

“Mungkin dia punyai masalah sosial, berjalan menunduk dan berseorangan”

“Mungkin dia  mulutnya manis, sepanjang berjalan mulut tak pernah lekang berbicara”

“Mungkin dia baru bergaduh dengan seseorang, kerana wajahnya itu masam mencuka”

Satu demi satu ditafsirkan kemungkinan bahasa badan yang dilihat mereka. Gurauan demi gurauan menghilangkan seketika kehanyutan tekanan menyiapkan tugasan yang acap kali mewujudkan kegelisahan. Mata yang memerhati seringkali tertarik pada individu-individu yang melintasi di hadapan. Tambah menyegarkan tarikan, apabila sang wanita demi sang wanita hadir dan melangkah melalui kawasan berhampiran mereka duduk. Benar, wanita itu tarikan dunia. Disebabkan itu, ada ketikanya, saat mata memerhati kaum hawa ini, maka tarikan magnet itu bagai dirasai.

Meneliti  setiap pergerakan saat menanti masa bermulanya kuliah, bicara demi bicara kedengaran dalam kalangan kumpulan-kumpulan kaum hawa yang melintasi mereka. Ada yang berbual kosong dan ada juga yang tanpa segan silu dengan bangga berkongsi cerita akan kisah hebat, bertemu janji dengan si teman lelaki pada hari sebelumnya. Bagi yang membisu pula, mereka hanya berjalan di dalam kumpulan tersebut sambil mendengar sahaja rakan-rakan lain membebel dan mengomel.

Kumpulan-kumpulan itu itu dapat dilihat pula perbezaan budaya dan gaya penampilannya. Terdapat satu kumpulan, bergerak berkumpulan dengan memperagakan pelbagai jenis pakaian yang dikatakan mereka gaya fesyen terkini. Dengan berjalan berkasut tumit tinggi diikuti dengan alunan hentakan kasut, berlenggang lenggok sambil menjinjing beg tangan Prada atau mungkin Gucci, dan tudung mereka pula berkilauan dengan segala hiasan labuci dan sulaman dengan fesyen bonggol unta meninggi di belakang, ternyata menarik perhatian buat sesiapa sahaja yang melihat mereka. Saat kumpulan ‘bonggol unta’ ini melintasi dua sahabat, maka haruman wangi-wangian menusuk ke dalam deria bau mereka. Wangian pencetus rasa sensual, tanpa disedari buat mereka yang terhidu wangi-wangian tersebut.


Tak lama kemudian, muncul satu kumpulan kaum hawa yang lain. Jalan menunduk sambil suara berbicara penuh halus dan kadang kala tidak kedengaran. Langkah berjalan pula penuh sopan sehingga dilihat tak ubah seperti sang puteri mengatur langkah menuju ke singgahsana sewaktu majlis pertabalan raja. Baju mereka sekadar jubah dan berbaju kurung, labuh dan longgar sambil beg kain biasa dijinjing kembung, mungkin diisi dengan kain telekung untuk bersolat. Tudungnya labuh, kosong tanpa sebarang hiasan, dan jika ada pun, mungkin tona warna tudung yang menjadi corak hiasan di tudung mereka itu. Kasutnya biasa, dan tiada langsung kedengaran bunyi-bunyi hentakan berjalan. Saat melintasi dua sahabat ini, tiada bau-bauan dihidu, namun bau kekaguman dinikmati dua sahabat ini. Kagum, kerana kumpulan ini tak ubah seperti sekumpulan muslimah yang semakin mengecil jumlahnya di zaman ini.

“Masih ada lagi kumpulan manusia ini di zaman penuh kecelaruan,” bicara sahabat itu.

Dalam keadaan mundar mandir dipenuhi kumpulan-kumpulan tersebut, kelihatan juga puak-puak yang tersengih bagai kerang busuk, menjadi si monyet yang baru belajar untuk mendapat bunga. Itulah pasangan-pasangan yang baru belajar untuk berjinak dengan dunia hati dan perasaan. Terikat atas nama cinta, maka berkepitlah ke hulu ke hilir. Kemesraan diperlihatkan, menampakkan saat-saat bahagia yang mungkin sedang dikecapi. Berjalan berdua tanda sehati sejiwa. Ke kelas bersama, ke kuliah bersama, hingga kadang kala kelihatan tidak ubah seperti pasangan merpati dua sejoli. Berjalan sangat perlahan, mungkin mahu memanjangkan lagi tempoh masa berjalan berdua-duaan itu. Cerita cinta kampus, maka budaya menjadi kebiasaan.

Dua sahabat masih terus memerhati. Melihat dan terus mengamati. Tiap-tiap yang melintasi, ibarat hiburan dalam menanti bermulanya kuliah mereka. Gelagat demi gelagat yang dilihat mencetuskan pelbagai reaksi. Negatif bercampur kelucuan. Positif bercampur kesedihan. Manusia bila diperhati, maka akan tergambarlah pelbagai versi pengkisahan.

Alunan angin tiba-tiba bertiup. Di kedinginan pagi, hembusan angin yang tiba-tiba datang ibarat satu tambahan nikmat buat dua sahabat yang sedang duduk menanti di luar. Saat itu, kelihatan ruang jalan di hadapan dua sahabat ini tiba-tiba kelihatan kosong. Suasana yang riuh sejak tadi tiba-tiba bertukar sepi. Hanya desiran angin bercampur kicauan burung yang dapat didengari. Kehidupan ibarat terhenti seketika.

Tanpa diduga, muncul seorang wanita. Berjalan tanpa disedari mereka. Seorang wanita yang sopan langkahnya. Tanpa sebarang bunyi, perlahan-lahan melintasi di hadapan mereka. Berseorangan tanpa berteman. Dengan beg biru yang disandang dan fail dipeluknya. Perlahan-lahan berjalan, sambil pandangannya tunduk. Tidak menoleh ke kanan mahupun ke kiri. Memandang ke hadapan tanpa mempedulikan sekitarnya. Saat itu, degupan jantung berdegup. Remi terpesona. Terkesima dalam pandangan. Wanita melintasinya, satu keluarbiasaan.

“Apakah bidadari jatuh ke bumi dari kayangan?” bicara tercipta di bibir Remi.

Jari jemari halus mempesonakan matanya. Cincin yang tersarung menambahkan seri keindahan jarinya itu. Tapak tangannya ibarat diukir dengan penuh halus, hingga urat-urat halus berwarna merah dapat dilihat. Setiap gerak jari si gadis itu, memaparkan kesempurnaan keindahan tapak tangannya. Halus jarinya, hingga mata Remi tidak berkelip saat melihatnya.

Kulitnya ibarat lilin yang diukir penuh halus. Dibaluti dengan warna selembut-lembutnya dan penuh tarikan dalam pancaran yang mengasyikkan. Putihnya kulit tidak tergambar. Hingga saat melihat kulitnya itu, maka keindahan di sekitarnya ibarat hilang tanpa disedari. Warna kulit si gadis itu ibarat satu magnet memerangkap fikiran Remi hingga menenggelamkan segala keindahan dunia. Putihnya bukan calang-calang. Putihnya persis mutiara termahal.

Sayangnya, wajah si gadis tidak sempat diperhatikan. Hanya sedikit sisi kanan wajah gadis itu diperhatikannya. Putihnya pipi itu sehingga kelihatan sedikit warna-warna kemerahan mungkin menahan sejuk di kedinginan pagi. Putihnya itu cukup menggambarkan betapa hebatnya keindahan si gadis yang sedang berjalan. Bertudung biru lembut dan berbaju kurung. Ringkas gayanya, namun tetap mempesonakan.  Itulah saat paling perlahan yang pernah dialami oleh Remi. Setiap langkah si gadis itu yang semakin jauh dari pandangan terus menjadi saat bermakna buat Remi.

Gadis itu memasuki ke sebuah bangunan. Dalam redup di dalam bangunan, dilindungi dari cahaya mentari, kulit si gadis itu terus memancarkan tarikan. Putihnya kulit ibarat tiada tandingan. Terus bersinar walaupun di bawah teduhan. Remi dalam kekesimaan. Walaupun hanya pergelangan tangan dan sisi kanan wajah si gadis itu sempat menjadi tatapan Remi, itu telah cukup buatnya bagi menyatakan kekaguman akan keindahan si gadis itu.

“Baru ku tahu, apa itu erti kecantikan seorang perempuan,” bicara Remi pada sahabatnya.
  
Hati Remi terus terdetik. Andai gadis si putih mulus itu menjadi teman seumur hidupnya, hanya dipejamkan mata, dibisukan suara. Dia akan terkesima, kerana tidak tahu bagaimana untuk meluahkan rasa kesyukuran. Andai gadis itu menjadi temannya, akan dirasakan bahawa seluruh hayat kehidupannya telah menjadi sempurna. Benar, Remi mendambakan seseorang seperti gadis bertudung biru itu sebagai teman hidupnya. Jika diikutkan hati, mahu saja untuknya terus menegur dan berbicara dengan gadis itu.

“Sudikah kamu menemani seluruh hidupku?” Itulah yang ingin diluahkan andai dia mampu berbuat demikian.

Bukan mudah melihat seorang gadis seperti itu. Berseorangan tanda berdikari. Berjalan penuh sopan, tanda dirinya masih lagi menjunjung adab dan kesopanan. Menundukkan pandangan, tanda dirinya menjaga hati agar tidak dicemari dengan bisikan-bisikan kemaksiatan. Bersederhana dalam berpakaian, tanda sifatnya yang penuh rendah diri. Tudung biru lembut yang dipakai si gadis itu tanda jiwa dan hati dalam ketenangan. Memaparkan keremajaan di sebalik kematangan. Biru itu satu perlambangan, gadis itu punyai kepercayaan yang sangat tinggi pada diri sendiri.

Remi memejamkan matanya cuba melelapkan diri. Malam itu, fikirannya menerawang terus dihantui dengan kisah keindahan si gadis tudung biru. Walaupun wajah gadis itu tidak terbayang, namun putih mulus warna kulit si gadis itu terus menjadi satu ingatan yang cukup mendalam kesannya. Dia ibarat telah jatuh cinta pada si gadis itu. Wajahnya tidak pernah dilihat, namun kehalusan jari jemari si gadis itu akan terus tersimpan dalam ingatan Remi.

Hari itu adalah hari terakhir Remi dan sahabatnya menuju ke kuliah. Kisah keesokannya, masing-masing pulang ke kampung menikmati seketika ruang waktu berehat sebelum mengharungi perjalanan peperiksaan. Sepanjang perjalanan pulang itu, Remi terus terbayangkan apa yang dialaminya pada hari sebelumnya. Impak yang dirasai cukup mendalam. Bayangan itu ternyata tidak dapat dipadamkan. Gadis itu laksana peluru yang ditembak menusuk ke hati Remi.  Pedihnya itu bukan satu kesakitan.  Pedihnya itu satu kenikmatan dalam rasa kerinduan.  Remi merindui si gadis tudung biru yang tidak diketahui paras wajahnya.

Saat sampai di kampung halaman, kelihatan rumahnya dikunjungi tetamu. Kepulangan secara mengejut, memberi nikmat yang berlainan. Si ibu menyambut anaknya dalam keterujaan walaupun kadangkala seolah-olah tidak percaya bahawa anaknya itu telah pulang ke kampung. Remi terus masuk ke dalam bertegur sapa dengan tetamu yang hadir di rumah. Agak ramai tetamu yang muncul, dan tidak dikenali kesemuanya.

“Kalau kamu tak tau sapa yang datang ni, inilah dia keluarga yang mak cerita dulu tu,” bicara ibu Remi.

Maka terus terlintas di fikirannya mengenai soal yang pernah dibincangkan ibunya. Soal perkahwinan yang diaturkan ibunya segar diingatan. Tiada perbincangan yang mendalam, sekadar memberi persetujuan menurut sahaja kemahuan ibunya. Maka, itulah sebab munculnya tetamu-tetamu yang tidak dikenali Remi itu. Itulah keluarga yang mungkin bakal menjadi keluarga mertuanya.

“Dan siapakah gadis pilihan ibu itu?” soal Remi tertanya-tanya.

 Remi berdebar bercampur kerisauan. Tertanya-tanya kisah kesudahan. Takut dirasai andai pilihan yang diputuskan ibunya itu satu kesilapan. Apa yang diharap mungkin tidak kesampaian. Maka keresahan semakin bertambah. Namun keterujaan turut dirasakan.

Saat ini, dirasakan Remi alangkah baiknya jika hari semalamnya dia terus melamar si gadis tudung biru saat gadis itu melintasi di hadapannya. Alangkah lega hatinya, jika gadis itu menjadi temannya. Fikiran bagai tiada kewarasan, mahu melamar si gadis di tepi jalan. Itulah yang berlaku bila debaran semakin menunjukkan kesan. Satu demi satu fikiran bermain. Ada kalanya, mahu sahaja ditolak pilihan ibunya itu, lantas mahu sahaja diceritakan akan gadis si tudung biru itu. Namun muncul pula satu persoalan. Siapakah gadis itu, kerana dirinya sendiri tak pernah melihat wajahnya apatah lagi mengetahui nama gadis itu.

“Assalamualaikum”

Mata Remi tertumpu di muka pintu. Saat itu matanya melihat jari jemari halus menyentuh tombol pintu. Remi terkejut. Sekali lagi terkesima dalam kejutan. Ibarat sebuah pengulangan hari semalam, mata Remi sekali lagi merasai satu tarikan. Perlahan-lahan jari itu semakin jelas kelihatan saat pintu semakin luas dibuka. Putih mulus bak mutiara, maka itulah yang dilihat pada tapak tangannya. Urat-urat halus turut kelihatan.  Cincin di jarinya pula menambahkan lagi seri kecantikan jari jemarinya.

Si gadis muncul di muka pintu. Dia menunduk, melindungi sebahagian wajahnya. Remi semakin berdegup kencang. Dia sekali lagi merasai pengulangan. Wajah putih halus dilihat sekali lagi. Pipi gadis itu dengan jelas kemerah-merahan mungkin menahan malu. Putihnya tidak tergambar. Maka, itulah sebab Remi terkesima.

Perlahan-lahan gadis itu mengangkat wajahnya. Sedikit demi sedikit semakin jelas kelihatan. Maka akhirnya, terserlah kesemua wajahnya. Kecantikan bukan kepalang. Cantik si gadis itu laksana cahaya bula purnama menyinari malam yang gelap. Si gadis itu melemparkan senyuman. Menghulurkan salam buat hadirin.

Remi terduduk. Hatinya terkejut. Tidak tahu cara untuk meluahkan rasa hatinya. Tidak tahu sama ada dirinya gembira ataupun kecewa. Dia seperti bermimpi, ibarat mimpi di alam khayalan. Indah berseri, dalam senyuman. Namun takut akan segala ancaman. Takut terjaga dari lena yang indah. Remi terkelu tanpa suara. Hasratnya ibarat termakbul sudah.

“Apakah aku bermimpikan tentang keindahan dunia, atau dunia yang indah ini bermimpikan tentang aku?” bisik Remi dalam kekejutan.

Si gadis itu adalah pilihan ibunya. Si gadis itu adalah calon isterinya. Diperkenalkan ibunya gadis itu kepada dirinya. Maka tiada apa yang dapat diungkapkan melainkan ungkapan kesyukuran. Impian yang dikatakan mengarut akhirnya bertukar menjadi kenyataan.

“Apakah kamu si gadis tudung biru yang melintasi di hadapanku pagi semalam?” soal Remi kepada si gadis itu.

“Namaku Thahirah, tanda perkenalan,” balas si gadis itu dalam senyuman.









* Nota: ‘Oniks ‘itu membawa maksud sejenis batu permata yang mempunyai lapisan-lapisan yang beraneka warna.

(Sebuah cerpen hasil nukilan: Muhammad Yazid Rosly )


*Terima kasih kepada saudari Qis Kusulaiman atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam cerpen ini.

Jumaat, 2 Disember 2011

Muhasabah Jumaat: Saat maut menanti, apakah yang akan difikirkan?




"Jika masa dapat diundurkan, apakah yang akan aku lakukan?"

Persoalan demi persoalan akan pasti menjengah, meneroka setiap inci fikiran, mengenangkan betapa ruginya masa itu dibazirkan. Ungkapan yang dibicarakan itu mungkin satu bentuk keluhan dalam nada sesalan, masih tertanya-tanya seribu satu persoalan.

Bayangkan, andai secara tiba-tiba, saat maut itu menghampiri, apakah yang akan muncul di fikiran? Apakah perkara terakhir yang akan dibayangkan? Berbaloikan apa yang difikirkan itu? Atau apa yang difikirkan itu hanya perkara yang sia-sia?

Bayangkan jika apa yang terlintas saat nyawa hanya tinggal di kepala, dan tubuh yang lain telahpun kaku; dan fikiran itu hanya memikirkan Allah.

Maka beruntunglah buat dirinya jika Allah itu adalah fikirannya yang terakhir.

Bayangkan pula jika saat nyawa tinggal di hujung, dan fikiran itu mengenangkan sesalan yang besar dek alpanya melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah. Maka, alangkah malangnya orang itu. Sesungguhnya dia tidak berpeluang untuk kembali memperbetulkan keadaan.

Sesungguhnya, saat mati itu adalah satu keperitan yang terbesar, dan pedih itu akan dirasai bagi setiap yang bernyawa. Bezanya, bagaimana seseorang itu mengakhiri fikirannya. Apakah memberikan satu ketenangan, atau mungkin mendatangkan kekesalan.

Saat nyawa di hujung tubuh, apakah yang akan disebut buat kali terakhir di bibir? Apakah kalimah Allah sebagai penutup bicara di dunia, atau kata-kata raungan melahirkan kekesalan? Apakah ketenangan lahir di jiwa, atau keserabutan menjadi perkara yang mengakhiri dalam hati?

Memang benar, kematian itu adalah sesuatu yang tak terduga. Mati itu adalah dalam pengetahun Allah. Manusia itu tiada upaya merancang pemergiannya. Hakikatnya, keindahan dunia mampu direntap sekelip mata, sehingga tanpa sedar, banyak masa telah disia-siakan.

Maka, seharusnya tiap-tiap manusia itu merebut kesempatan selagi tubuh itu merasai nyawa. Beramallah kamu sebanyak yang mungkin, moga bekalan yang dikumpul akan menyenangkan perjalanan di hari muka. Patuhlah kepada setiap suruhan-Nya, moga sesalan tidak menjengah saat mati itu menghampiri kita. Sesungguhnya, hanya amal sahaja yang akan menyelamatkan tiap-tiap manusia itu mengahrungi saat yang menggerunkan dengan cara yang mungkin dipermudahkan.

Muhasabahlah diri. Apakah benar solat yang wajib itu telah dilaksanakan dengan sempurna? Jika sempurna pula, apakah solat itu benar-benar solat yang diterima-Nya? Apakah aurat itu telah sepenuhnya ditutup? Jika ditutup, apakah sempurna aurat itu dilindungi? Apakah mulut berbicara itu senantiasa mengungkapkan keindahan? Atau dipenuhi dengan sumpahan yang hanya menghancurkan ukhwah?

Bagaimana pula dengan pandangan kita? Apakah benar mata itu melihat yang halal sahaja? Apakah haram itu langsung tidak menjadi tatapan mata?

Bagaimana pula dengan tangan? Apakah tangan itu tidak melakukan sebarang kemungkaran? Apakah tangan itu adalah tangan yang menghulurkan bantuan, atau mungkin tangan yang mendatangkan kehancuran?

Sama-samalah kita mengubah diri. Jadikan segala dosa lalu sebagai satu kesilapan yang tidak akan diulang. Jadikan segala amal yang dulu sebagai pemangkin untuk meningkatkan lagi ibadah sekarang. Rebutlah peluang selagi mempunyai kesempatan.

Jangan biarkan sesalan itu muncul di fikiran, saat nyawa itu sedang tertanggal dari tubuh. Maka itulah manusia yang paling rugi di dunia dan di akhirat. Ingatlah, hidup ini akan senantiasa dihantui dengan kematian kerana mati itu adalah satu kejutan yang hanya dimiliki haknya oleh Allah yang Maha Esa.

Sekadar berfikir di hari Jumaat, bermuhasabah seketika mengenangkan segala yang telah diharungi. Moga Allah bersama kita supaya terus berada di bawah rahmat-Nya sehingga di hujung nyawa.

Insyaallah.







*’Muhasabah Jumaat’ merupakan ruangan yang akan dipaparkan setiap Jumaat menerusi blog ini. Ruangan ini akan membicarakan pelbagai isu yang dibincangkan dalam pelbagai sudut.