Ahad, 27 Januari 2013

"Adina (Bicara Dua Puluh Satu)"








“Itu adalah kehidupan laluku, indah, bahagia, walaupun mungkin kini berbeza. Itu adalah kisah lamaku, berduri, pedih walaupun mungkin kini berlainan. Itu adalah kisah lamaku, dikenang sebagai satu pembelajaran. Kerana kisah lamaku itu, maka kisah denganmu menjadi impian dalam kebahagiaan. Kerana kisah lamaku itu, ku bersyukur menjadi sebahagian hidupmu....”

Abyatina meletakkan penanya. Dia memejamkan mata seketika. Helaian kertas yang menjadi luahan hatinya, dilipat dengan kemas. Lantas Abyatina melihat suaminya Rizqullah yang sedang nyenyak tidur di atas katil. Maka, perlahan-lahan Abyatina menyelitkan kertas yang dilipatnya itu ke dalam diari Rizqullah yang diletakkan di atas meja. Abyatina mengukir sedikit senyuman.

Malam itu Abyatina berseorangan.  Abyatina baru pulang ke rumahnya. Mungkin agak sedih buat Abyatina, terpaksa pulang semula dari kampung, namun dia gembira kerana di akhirnya, tempat seorang isteri kini benar-benar di sisi suaminya.

“Ina rasa, sebaiknya Ina pulang ke rumah. Tak guna gembira di kampung, tapi celaru seisi keluarga. Tak guna bahagia di sini, tapi fitnah bertebaran serata kampung,” luah Abyatina beberapa hari sebelum dia pulang semula ke rumahnya.

“Abang tak pernah minta Ina pulang. Lebih baik Ina di kampung. Ramai yang boleh tengok-tengokkan Ina,” balas Rizqullah.

“Tak apa... Ina boleh jaga diri...” balas Abyatina.

Rizqullah hanya membisu. Keputusan secara tiba-tiba dari Abyatina itu ternyata tidak dijangka Rizqullah. Namun, dia tidak membantah hasrat Abyatina untuk pulang.

“Saya bukan nak lepaskan tanggungjawab. Tapi, kalau Abyatina di sana, siapa yang akan jaganya? Bila saya ke sekolah, Abyatina akan berseorangan,” luah Rizqullah sewaktu makan petang bersama kedua mertuanya, ustaz Man dan Mak Cik Ros. Abyatina pada waktu ini keluar ke rumah Pak Longnya berbual-bual dengan sepupunya yang telah lama tidak ketemu.

“Ibu dan ayahmu bukankah ada di sana?” soal ibu Abyatina.

Benar, rumah Rizqullah tidak jauh dari rumah ibu dan ayahnya. Malah rumah tempat tinggalnya bersama Abyatina boleh dilihat dengan jelas dari rumah cikgu Hamdawi itu.

“Tapi, mungkin enam bulan berikutnya, mereka tak ada di rumah. Maklumlah, mak memang suka merantau dari rumah menantu ke rumah menantu yang lain. Katanya nak rapatkan hubungan keluarga. Itulah yang saya risaukan, sebab kalau Abyatina pulang ke rumah di sana, tak ada siapa yang nak melihat-lihatnya...” balas Rizqullah.

“Tapi kalau tinggal di sini, walaupun Abyatina selamat dalam perhatian kami, mungkin tekanan lain yang muncul. Faham-faham sajalah, orang kampung di sini dari dulu sampailah sekarang, tak pernah puas tabur fitnah buat si Abyatina,” balas pula ustaz Man.

“Tapi terpulanglah pada kamu. Baik keputusanmu, baik juga untuk kami,” kata ibu Abyatina.

Di akhirnya, keputusan Abyatina itu menjadi realiti. Pagi keesokannya, Abyatina pulang bersama Rizqullah. Memang berat hati buat ibunya ditinggalkan Abyatina. Berat hatinya semakin bertambah tatkala melihat keadaan Abyatina yang semakin sarat mengandung.

“Mujurlah sakit lamanya tak muncul semula. Setidak-tidaknya risau kita tak bertambah,” luah ustaz Man.

“Agak pelik juga kalau difikirkan. Sejak si Abyatina berbadan dua, sakitnya yang dulu hilang serta merta...” balas ibu Abyatina.

“Mungkin ada perjanjian buat penyihir itu. Mungkin sihirnya hanya mampu berkesan selagi mana Abyatina tak mengandung. Mungkin sebab itu, bila Abyatina hamil saja, sakitnya bagai hilang serta merta. Kuasa Allah siapa yang lebih tahu? Kita hanya mampu merancang, Allah selebihnya menentukan,” kata ustaz Man.

Kejutan kepulangan Abyatina kembali ke rumahnya turut diikuti dengan kesibukan keluarganya mengatur rancangan untuk majlis pertunangan Absyar dan Tasha. Setelah sesi merisik dan peminangan dijalankan, maka persetujuan dicapai supaya majlis pertunangan dijalankan sebulan berikutnya. Ucapan penghargaan diberikan kepada Mak Cik Jah sekali lagi, kerana keseluruhan proses itu diuruskan sendiri olehnya.

“Kalaulah Abyatina ada....” luah ibu Abyatina.

“Tak apa.... “ balas ustaz Man menenangkan isterinya. “Suaminya ada di sisinya...”

Sarapan pagi dimulakan dengan suasana yang ceria. Itulah sarapan pertama buat Abyatina setelah hampir dua minggu berada di kampung. Pagi itu selepas Subuh, Abyatina agak keletihan. Maka, sebaik selesai solat Subuh, Abyatina hanya berbaring di atas katil. Rizqullah mengerti dan hanya tersenyum.

Sejam Abyatina berehat, Rizqullah muncul semula di bilik. Bersama dengannya, dibawa dulang berisi sepinggan nasi goreng dan secawan teh panas. Rizqullah menghabiskan masanya di dapur semata-mata mahu menyiapkan hidangan sarapan pagi. Tersenyum sahaja saat Rizqullah membawa sarapan tersebut menghampiri Abyatina yang masih berbaring di atas katil. Lantas diletakkan dulang tersebut di atas katil.

“Apa khabar isteriku Abyatina? Berbunyi sudahkah perutnya? Atau mungkin si kecil di dalam merengek tanda lapar?” usik Rziqullah sambil mengusap-usap perut Abyatina yang semakin membesar.

“Kata si kecil di dalam, dia teringinkan nasi goreng ayahnya...” balas Abyatina tersenyum.

“Si kecil ke, atau si emaknya?” usik pula Rizqullah. Dipicitnya hidung Abyatina sekadar bergurau senda.

“Atau si ayahnya nak bersarapan dengan si kecil ni?” balas Abyatina.

Rizqullah tersenyum. Lantas diambilnya sudu, diambilnya pinggan berisi nasi goreng dalam dulang tersebut. Masih panas nasi goreng itu.

“Wahai tuan puteri, patik datang untuk memastikan tuan puteri kenyang perut senang di hati pagi ini,” usik Rizqullah.

“Jadi, apa yang perlu beta lakukan?” soal Abyatina bergurau.

Lantas Rizqullah terus menyuap Abyatina. Tersenyum sahaja Rizqullah saat menyuap isterinya. Bahagia melanda mereka berdua. Agak lama mereka tidak semesra itu. Pagi itu, segala kerinduan dilepaskan.

Tatkala Abyatina sedang mengunyah, tangannya terus mengambil sudu dari tangan Rizqullah. Lantas tak lama kemudian, Rizqullah pula disuap Abyatina. Masing-masing tersenyum. Sesi itu berterusan hingga sepinggan nasi goreng itu habis dijamah.

“Sarapan pagi di atas katil, dihidangkan pula oleh si suami. Ah, bahagia bagaikan syurga,” monolog Abyatina di dalam hatinya.

Abyatina hanyut dalam kedamaian dan kegembiraan. Mungkin jauh dari kampungnya, namun Abyatina sedar tempatnya kini adalah di sisi suaminya. Mungkin terdapat sedikit kesedihan saat meninggalkan kampungnya, namun Abyatina sedar tanggungjawabnya lebih besar dari dirinya sendiri.

“Kalau ikutkan hati ni, nak saja si Abyatina terus tinggal di sini. Tapi, Abyatina dah bersuami. Takkan nak biarkan dia terus terpisah dengan Rziqullah? Sebaik-baik isteri, segala untuk dirinya dikorbankan demi bahagia suami. Cium bau syurga...” kata ibu Abyatina saat berbual dengan Mak Cik Jah di bawah rumah. Agak santai petang itu selepas seharian penat melakukan persiapan untuk majlis pertunangan Absyar. Saat mereka berbual di bawah, ustaz Man sedang berehat di atas. Mungkin sedang tidur dek keletihan.

“Agak pelik juga kalau difikirkan balik. Tiba-tiba saja Abyatina nak pulang ke rumah. Seeloknya Abyatina terus tinggal saja di kampung. Dah sarat mengandung dia tu...” balas Mak Cik Jah.

“Mungkin sebab kejadian hari tu kot...” kata ibu Abyatina.

Kisah perseteruan antara Rizqullah dan Yaqzan menjadi topik perbualan. Walaupun telah beberapa minggu berlalu, kisahnya masih terus segar di ingatan. Pada petang itulah menyaksikan kejutan demi kejutan berlaku. Kekalutan berlaku di halaman rumah pada petang itu.

Tumbukan yang hinggap ke muka Yaqzan mengejutkan semua. Tidak diduga sesiapa, Rizqullah secara tiba-tiba melepaskan amarahnya terhadap Yaqzan. Tidak siapa yang tahu punca utama Rizqullah bertindak sedemikian, namun amarah itu tercetus mungkin disebabkan Rizqullah terlihat Abyatina yang tidak sedarkan diri berada di dalam kereta Yaqzan.

Bertubi-tubi kata-kata amarah dilepaskan Rizqullah kepada Yaqzan. Keadaan petang itu sangatlah genting. Namun, Yaqzan hanya membisu saat dirinya menahan kesakitan akibat ditumbuk Rizqullah. Sepatah pun tidak dibalas Yaqzan. Maka saat itu juga ustaz Man muncul. Perlahan-lahan cuba berjalan, dibantu Zabarjad dan Rafiqin yang memimpinnya, maka ustaz Man turut berikan kejutan petang itu.

Seluruh keluarga tak menduga ustaz Man akhirnya berjaya bangun dan berjalan. Walaupun tidaklah mampu berdiri lama dan berjalan sepenuhnya, keazaman ustaz Man ternyata satu keajaiban. Saat kekalutan berlaku di halaman rumah, ustaz Man muncul. Tergamam Rizqullah dan Yaqzan. Terkelu lidah Rizqullah. Amarahnya tiba-tiba hilang begitu sahaja.

“Kalau marahmu itu kerana Abyatina, maka untunglah Abyatina. Kalau marahmu kerana dirimu sendiri, maka malanglah dirimu...” kata ustaz Man. Rafiqin dan Zabarjad berada di sisinya, terus memegang ustaz Man untuk berdiri.

Rizqullah terkedu. Kata-kata ustaz Man ternyata cukup mendalam buat Rizqullah. Lantas tanpa sebarang bicara, Rizqullah terus mengambil Abyatina yang tidak sedarkan diri di dalam kereta Yaqzan. Diangkatnya Abyatina naik ke rumah. Yaqzan pula terus pulang tak lama selepas itu.

“Semudah itu dileraikan?” soal Mak Cik Jah yang melihat kekalutan di halaman rumah itu dari dapur. Ternyata perseteruan tersebut berjaya dileraikan dengan hanya beberapa patah bicara dari ustaz Man.

“Itulah ustaz Man yang semua orang kenal. Setiap kata-katanya, ada isinya. Tak pernah sia-sia...” kata ibu Abyatina.

Sejak peristiwa itu, Abyatina tidak pernah keluar dari rumah. Abyatina hanya terperap di bilik. Abyatina lebih banyak membisu. Sehingga ke saat itu, tidak ada sesiapa pun yang tahu punca Abyatina pengsan. Hakikatnya, Abyatina sendiri juga turut berada dalam persoalan. Dirinya tidak memahami kejadian yang berlaku di sawah itu.

Rizqullah meninggalkan kampung pagi berikutnya. Maka Abyatina bersendirian dan situasi membisu si Abyatina berterusan hampir seminggu. Kerisauan muncul, dan saat itu jugalah Rizqullah kembali semula ke kampung. Rizqullah terus menemani Abyatina di kampung, mengambil cuti beberapa hari.

“Kenapa Ina?” soal Rizqullah di suatu malam.

“Abang.... bawa Ina pulang ke rumah...” pinta Abyatina dengan ringkas.

Maka, di akhirnya, Abyatina pulang bersama Rizqullah.

Persiapan bagi majlis pertunangan Absyar semakin rancak berjalan. Hanya tinggal sehari sahaja, maka masing-masing semakin sibuk. Saat ini, Abyatina masih lagi belum pulang ke kampung. Maka, ibu Abyatina semakin resah, ternanti-nanti kehadiran anaknya itu di kampung. Rata-rata hairan dengan ketidakhadiran Abyatina saat ahli keluarga yang lain telah pun berkumpul.

Kelibat Tasha turut kelihatan di rumah ustaz Man. Jarak rumah yang dekat menyebabkan Tasha kadangkala berkunjung ke rumah tersebut. Namun kemunculan bakal tunang Absyar itu hanyalah sekadar persinggahan, menghantar kuih muih yang dibuat oleh ibu Tasha. Kuih muih yang dihantar sekadar untuk dijamu buat sesisi keluarga ustaz Man di rumah.

“Kita ni bertungkus lumus buat persiapan macam nak buat persiapan kahwin gayanya...” luah Raiqah.

“Alah, selagi dalam kemampuan, tak apa...” balas ibu Abyatina. Minum pagi bersama seisi keluarga di dapur diisi dengan perbualan kosong. Saat ini, Absyar telah keluar ke pekan, membeli sedikit barang untuk makan malam nanti.

“Tapi, masa Abyatina dulu, tak ada sehebat ni persiapannya...” kata Zaafarani.

“Itu Abyatina. Semuanya nak biasa-biasa saja. Sederhana memang selalu pilihannya,” balas Raiqah.

“Ya, dan sampai sekarang Abyatina tak pulang-pulang. Esoknya Absyar nak bertunang, macam keluarga ni dia dah buang. Malanglah nasibnya, bersuami si lelaki yang tak sedar dek untung,” kata Zaafarani sedikit geram.

“Mu, jangan buat andaian kalau mu tak tahu pokok pangkal ceritanya...” balas ibu Abyatina.

“Memang dari dulu Zaf tak suka Abyatina kahwin dengan Rizqullah. Memang ada yang tak kena. Tapi... semuanya tak nak dengar. Memang Abyatina pendam rasa. Cakap di mulut, katanya bahagia. Tapi dalam hati, siapa yang tahu...” kata Zaafarani.

“Lunturkan dendam kesumatmu. Kalau itulah sikapmu, sampai bila-bila pun Rizqullah akan berat hati nak ke mari ke kampung ni,” luah ustaz Man tiba-tiba mencelah. Masing-masing terkejut. Ustaz Man yang hanya membisu sahaja sebelumnya tiba-tiba mula membalas kenyataan Zaafarani.

“Tapi wajarkah si Rizqullah kalau si Abyatina tu menderita berseorangan?” soal Zaafarani.

“Siapa dirimu nak buat kesimpulan sebegitu? Mu faham benar dengan si Rizqullah tu? Jangan menghukum tanpa memahami...” balas ustaz Man.

Zaafarani tunduk lalu membisu. Sekali lagi rasa tidak puas hati diluahkan Zaafarani pada pagi itu. Rizqullah dan Zaafarani, dua nama yang tidak boleh bersama. Perseteruan di antara mereka masih terus berlaku.

“Kehidupanku kini, indah bahagia, kerana kamu mengubah hidupku. Ini adalah kisahku kini, berliku, perit, namun itulah nikmatnya. Ini adalah kisahku kini, akan diingati sebagai satu kenangan. Kerana kisahku kini, maka kisahmu yang lalu bertukar dari perit kepada bahagia. Kerana kisahku kini, ku bersyukur menjadi sebahagian dirimu...”

Abyatina tersenyum saat membaca helaian kertas yang diselitkan di dalam buku nota kecilnya yang diletakkan di atas meja di bilik. Helaian kertas itu diselitkan Rizqullah. Hanya pada pagi itu, Abyatina menyedari kertas yang terselit itu.

“Abang adalah seumur hidup Ina...” bisik Abyatina tersenyum.

Memang menjadi kebiasaan buat Abyatina untuk saling menyelitkan nota-nota kecil ke dalam buku dan diari masing-masing. Apabila Abyatina menulis sesuatu di atas kertas kecil, maka nota itu kemudian akan diselitkan ke dalam diari Rizqullah. Setiap kali itu jugalah, Rizqullah akan membalas kembali nota kecil itu sebelum diselitkan pula ke dalam buku nota Abyatina yang senantiasa diletakkan di atas meja di bilik. Mereka saling berkomunikasi menerusi helaian nota kecil, mungkin melahirkan rasa romantis yang hanya dapat diluahkan menerusi mata pena.

“Tak semua bicara dapat dituturkan dengan kata-kata bukan?” soal Rizqullah tiba-tiba masuk ke bilik. Abyatina sedikit terkejut. Dengan pantas Abyatina meletakkan kembali buku notanya di atas meja.

“Mata pena ada suaranya tersendiri..” balas Abyatina tersenyum.

“Andai senyuman itu terjelma, itu adalah satu keajaiban dari seorang wanita,” kata Rizqullah berbicara dalam nada berpuisi. Dicuit sedikit pipi Abyatina.

Perbualan mereka terhenti tatkala terdengar salam diberi di luar rumah. Pagi itu, Abyatina dan Rizqullah dikunjungi tetamu. Masing-masing terkejut saat mengetahui tetamu itu ialah Zabarjad, adik Abyatina, anak kelima ustaz Man. Zabarjad muncul bersendirian datang ke rumah Abyatina dengan menaiki bas.

“Seorang?” soal Abyatina saat Zabarjad naik ke rumah.

“Kak Cik dah lupa sesuatu?” soal Zabarjad kembali.

“Lupa? Apa yang dilupakan?”

“Itulah tujuan Jad datang. Sekadar nak ingatkan apa yang dah terlupa....”

“Kak tak faham....”

Rizqullah kemudian muncul di ruang tamu. Salam dihulurkan buat Zabarjad tanda menyambut kedatangan adik iparnya itu. Kunjungan mengejut Zabarjad ternyata menghairankan Abyatina dan Rizqullah.

“Ada sesuatu yang terlupa ke?” soal Rizqullah.

“Atau memang sengaja Bang Cik dengan Kak Cik lupa?”

“Sengaja?” soal Abyatina dan Rizqullah serentak. Masing-masing berpandangan.

“Aduhai.....” keluh Zabarjad menggelengkan kepala.

“Kenapa? Apa yang berlaku hari ni?” soal Abyatina masih kehairanan.

“Cincin tersarung tanda si gadis telah disunting. Maka bermulalah kisah baru buat Tasha dan Absyar...” balas Zabarjad bermadah sedikit, sekadar mencipta suasana berbeza dalam perbualan.

“Hah, hari ni ke?” soal Abyatina terkejut.

Ternyata peristiwa penting buat Absyar terlepas pandang bagi Abyatina dan Rizqullah. Pada sangkaan mereka, pertunangan Absyar hanya akan berlangsung pada minggu berikutnya. Lantas masing-masing tersenyum.

“Apa yang Kak Cik dengan Bang Cik buat di sini? Sampai boleh terlupa pertunangan abang Syar...” soal Zabarjad.

“Oh, jadi kunjungan kamu ni nak jemput kami ke sana?” soal Abyatina tidak menjawab pertanyaan Zabarjad.

“Jadi, apa ditunggu lagi? Cepat-cepatkanlah siapkan diri. Majlis tunang masih sempat kalau nak pergi sekarang,” balas Zabarjad.

“Ina pergilah dengan Jad. Abang biar di sini...” kata Rizqullah.

Abyatina terkejut.

“Kenapa?”

“Abang izinkan Ina pulang dengan  Jad. Pakailah kereta abang tu. Jad bawak ya...” balas Rizqullah.

Abyatina membisu. Zabarjad hanya mampu melihat wajah kakaknya yang tiba-tiba sugul.  Tak lama kemudian, setelah bersiap-siap, maka Abyatina bertolak pulang ke kampung. Zabarjad pulang ke kampung membawa Abyatina, namun tidak berjaya memujuk Rizqullah untuk ikut bersama.

“Kenapa akak? Kenapa berat hati Bang Cik nak balik kampung?” soal Zabarjad sewaktu dalam perjalanan.

Abyatina hanya membisu. Namun Abyatina faham, berat hati Rizqullah itu  kerana dia tidak mahu berjumpa Zaafarani di kampung. Itu sahajalah sebab yang bermain-main di fikiran Abyatina.

Sejam perjalanan, maka Abyatina tiba di kampung. Ibarat seperti menunggu kehadiran Abyatina, rombongan pertunangan Absyar bertolak saat Abyatina tiba. Lantas Abyatina menyertai rombongan tersebut yang disertai kesemua ahli keluarga Abyatina. Ustaz Man turut berada dalam rombongan itu, berjalan dengan tenang menggunakan tongkat. Walaupun perlahan langkahnya, ustaz Man masih tetap menggagahkan diri. Rombongan hanya berjalan kaki kerana jarak rumah Tasha tidaklah beitu jauh.

“Syukurlah. Ayahmu dah boleh jalan...” luah ibu Abyatina kepada Abyatina.

“Sepantas itu boleh kembali jalan?” soal Abyatina terkejut.

“Kuasa Allah, dan usaha yang tak jemu, maka hasilnya mengejutkan...” balas ibu Abyatina tersenyum.

Benar, sejak ustaz Man berjaya berdiri dan berjalan, setiap hari ustaz Man akan ke halaman rumah. Tanpa jemu, hari demi hari digagahkan diri untuk dibiasakan kakinya untuk melangkah. Memang pada awalnya agak sukar, namun berkat kesabaran ustaz Man dibantu pula Zabarjad dan Rafiqin, maka semakin hari semakin kuat langkahnya.

“Kalau kita kuat azamnya, Allah pun akan bagi kemudahan....” kata ustaz Man saat berjalan bersama-sama ahli rombongan yang lain.

Rombongan yang sedang berjalan menuju ke rumah Tasha itu ternyata menarik perhatian penduduk kampung. Sangat jarang untuk melihat perarakan beramai-ramai seluruh ahli keluarga ustaz Man. Itulah kali pertama rombongan meminang bergerak dengan hanya berjalan kaki ke rumah pihak perempuan. Maka, berbondong-bondonglah penduduk kampung melihat mereka. Ada yang turut mengikut rombongan tersebut. Ada pula sekadar menjadi penonton di tepi jalan.

“Ini kalau kena kompang memang sedap ni...” seloroh Zabarjad.

Serentak dengan itu juga, maka bunyi pukulan kompang kedengaran. Maka, masing-masing terkejut. Bunyi yang datang secara tiba-tiba itu muncul dari arah belakang.

“Nak kompang? Mari sama-sama berjoget sambil berkompang!” jerit Rafiqin.

Rafiqin muncul entah dari mana. Secara tiba-tiba terus membawa sekumpulan ahli kompang. Mungkin ahli kompang sekolahnya kerana kesemua ahli kompang tersebut muda-muda belaka. Namun, kejutan itu ternyata mewujudkan suasana yang cukup kecoh. Orang kampung ada yang ketawa melihat situasi yang terjadi.

“Dari mana pula si Rafiq ni muncul? Bukan ada dengan kita ke tadi?” soal ibu Abyatina terkejut dan hairan.

Pukulan kompang makin kuat, memeriahkan suasana perjalanan rombongan pertunangan itu.

“Kawan-kawan, pukul lagi kuat kompang! Kasi gegar kampung ni!” jerit Rafiqin bersemangat.

Namun tak semena-mena Mak Cik Ros muncul di sebelah Rafiqin. Dengan pantas telinga Rafiqin dipulas Mak Cik Ros.

“Mu ingat ni majlis kahwin? Nak dipulas lagi kuat telinga ni?” ngomel ibu Abyatina kepada Rafiqin. Serentak dengan itu juga paluan kompang tiba-tiba terhenti. Masing-masing terkesima. Ada juga yang terlepas pegangan kompangnya.

“Hah, yang lain ni teringin nak kena pulas juga ke telinganya?” soal Zaafarani mengusik ahli kumpulan kompang yang lain.

Lantas serentak dengan itu masing-masing lari lintang pukang meninggalkan rombongan. Ketawa kedengaran selepas itu. Situasi lucu tercipta. Ustaz Man yang mengetuai rombongan hanya mampu menggelengkan kepalanya. Sedikit senyuman terukir di wajahnya.

“Macam-macam si Rafiqin... Ada saja kisahnya,” luah ustaz Man.

Setibanya di rumah pihak perempuan, ayah Tasha, cikgu Razali terus menyambut rombongan.  Soalan pertama terus diajukan saat mereka tiba.

“Hari ni ada majlis kahwin di kampung ni ke? Tadi bukan main rancak bunyi kompang?” soal cikgu Razali.

“Hah, memang pun. Tadi memang ada orang kahwin. Tiba-tiba pengantin lelaki lari lintang pukang,” balas ustaz Man berseloroh sambil menjeling anaknya Rafiqin yang masih lagi memegang telinganya menahan pedih akibat dipulas oleh Mak Cik Ros.

“Pulak?...” tersenyum cikgu Razali.

Lantas rombongan pihak lelaki masuk ke dalam. Ahli keluarga pihak perempuan menyambut dengan penuh mesra. Masing-masing bersalam-salaman. Sebaik disambut, maka hadirin pun duduk di hamparan permaidani. Majlis pertunangan bakal bermula.

Saat ini, Abyatina masih lagi berada di luar rumah. Matanya masih meninjau-ninjau ke arah jalan. Wajahnya agak sugul, mungkin masih mengharap agar suaminya Rizqullah muncul dalam majlis itu. Namun, tanpa diduga saat berada di luar, Yaqzan muncul tanpa diundang.

“Saya tau Rizqullah tak ke mari...” kata Yaqzan tiba-tiba.

“Jadi, kalau tak datang pun ... kenapa? Ada masalah?” balas Abyatina sedikit kasar.

“Dan saya tahu rahsia yang Ina pegang... rahsia terbesar Ina, sampaikan Rizqullah pun tak tahu...” kata Yaqzan yang semakin mengahmpiri Abyatina.

“Apa yang awak cakap ni?” soal Abyatina sedikit takut.

“Dari hari tu lagi saya nak cakap kat Ina. Tapi.... itulah, tak pasal-pasal Rizqullah tumbuk saya...” kata Yaqzan. Kata-katanya itu dibisikkan ke telinga kanan Abyatina.

“Apa ni?...” Abyatina semakin tidak selesa saat Yaqzan berbisik ke telinganya.

Lantas Abyatina terus berlari masuk ke dalam. Yaqzan mengejar Abyatina. Keresahan muncul di wajah Abyatina. Kata-kata Yaqzan menakutkannya. Sebaik masuk ke dalam, Abyatina terus duduk di sebelah kakaknya Raiqah. Yaqzan terkandas di muka pintu. Majlis pertunangan hanya menunggu masa untuk dimulakan. Lantas saat itu jugalah, Yaqzan bersuara di muka pintu.

“Saya tahu, anak dalam kandunganmu bukan anak Rizqullah!” kata Yaqzan kepada Abyatina yang berada di dalam. Kata-katanya itu didengari hadirin di rumah itu.

Masing-masing terkejut. Kata-kata yang dilemparkan itu ternyata satu tuduhan yang cukup besar. Situasi kemudian bertukar kecoh. Ibu Abyatina mengurut-urut dadanya disebabkan tidak dapat menerima kejutan yang cukup besar itu. Raiqah serta merta memandang Abyatina. Ustaz Man pula hanya mampu membisu. Zabarjad menghampiri Abyatina.  Zaafarani pula bingkas bangun.

Masing-masing memandang Abyatina. Hanya mampu tunduk tanpa sebarang bicara, itulah yang dialami Abyatina. Saat itu, Zaafarani menarik Yaqzan keluar. Perbualan tercetus di antara mereka berdua.

“Permainan apa yang mu buat ni?” soal Zaafarani.

“Ini bukan permainan. Ini kebenaran,” balas Yaqzan.

Abyatina menitiskan air matanya. Kepedihan dirasainya ketika ini. Kata-kata berbentuk tuduhan yang dilemparkan di hadapan hadirin yang ramai itu ternyata mengguris maruahnya sebagai seorang wanita.

“Kalaulah abang ada saat ni...” bisik Abyatina sendirian. Wajah Rizqullah muncul di fikirannya. Sedihnya tak dapat dibendung lagi dan kekalutan masih lagi berterusan.





*Tamat sudah Bicara Dua Puluh Satu*


Benarkah dakwaan Yaqzan itu?



**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 





*Terima kasih kepada saudari Mastura atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini. Untuk mengetahui lanjut mengenai beliau, layari blognya: masturarama2.blogspot
  
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina


Sabtu, 19 Januari 2013

"Adina (Bicara Dua Puluh)"







“Bila diperhati pada burung, maka bebas itu bagai dirasa. Bila dilihat pada awan, maka ketenangan menyusup jiwa. Bila hijau santapan mata, maka serabut itu berganti damai. Bila isteri patuh pada suaminya, maka berkat itu dinikmatinya”

“Mungkin ada benarnya,” monolog Abyatina.

“Apa yang benarnya?” soal ibu Abyatina kehairanan.

Tanpa sedar, monolog bertukar menjadi bicara kata-kata. Abyatina tidak sedar dia bersuara saat bermonolog sendirian. Cucur udang sedang digorengnya, dan tahulah ibu Abyatina bahawa anaknya itu sedang berangan.

“Mu ni, berangan tak sudah. Nanti lahir anak pun, berangan tak sudah,” kata ibu Abyatina.

Sekadar tersenyum sahaja, sambil jari jemarinya bermain-main dengan udang yang telah disalut dengan tepung. Namun tidak pula dimasukkan udang tersebut ke dalam kuali. Masih terus melayan lamunan yang tak sudah.

“Jadi ke Rizqullah datang tengah hari ni?” soal ibu Abyatina. Lamunan Abyatina terhenti serta merta.

“Kalau dah berjanji, pandai-pandailah pegang janjinya. Kalau dah kata tengah hari, harap-harap sampailah tengah harinya...” balas Abyatina tersenyum.

“Iyalah... Jangan sampai ke petang sampai pun tidak, yang kat rumah ni matanya merah tahan sedih,” perli ibu Abyatina.

“Itulah nak sangat tinggal kat kampung. Suami di sana dibiarkan sendirian,” bicara Raiqah, kakak Abyatina yang tiba-tiba muncul di dapur. Halaman rumah telah disapu Raiqah, dan kelihatan kakak Abyatina itu sedikit keletihan saat muncul di dapur.

“Kalau dah suaminya izin, tak apa...” balas ibu Abyatina.

“Mau tak si Rizqullah izinkan kalau si Abyatina ni muram sepanjang masa kat sana...” usik Raiqah.

“Muram tu sebab berisi di dalam....” balas ibu Abyatina.

Abyatina sekadar tersenyum dengan usikan itu. Tiada bicara, hanya membisu. Tekun menggoreng cucur udang di dapur. Pagi dingin dimulakan dengan keceriaan.

Hampir dua minggu Abyatina di kampung. Semakin lama semakin selesa walaupun kadangkala rasa rindu pada Rizqullah wujud. Mungkin agak janggal tatkala Abyatina dan Rizqullah tinggal berasingan, namun semuanya dilakukan demi kegembiraan Abyatina.

“Rasanya, elok saja kalau Ina tinggal di kampung. Mungkin Ina lebih gembira di sini. Ada kawan, ada teman nak berbual. Kalau di rumah sana, selalu sendirian,” kata Rizqullah pada petang dia menghantar Abyatina ke kampung.

“Tapi, tempat isteri di sisi suami...” balas Abyatina.

“Tak apa... yang penting kesihatan Ina. Orang yang berbadan dua ni kena jaga elok-elok. Salah jaganya, mungkin bahaya kandungan nanti,” kata Rizqullah.

“Tapi... Ina tak nak tinggalkan abang sendiri di rumah...”

“Alah, tiap-tiap hujung minggu abang boleh balik kampung kan.... Boleh tengok Ina,” balas Rizqullah tersenyum.

Maka, di akhirnya Abyatina dihantar ke kampung. Mungkin bunyinya bahagia buat Abyatina, namun mungkin mengundang kisah kurang enak dari orang kampung. Itulah tercetus kisah kononnya Abyatina dan Rizqullah telah bercerai.  Ada pula menambah lagi perisa cerita dengan menyatakan bahawa Rizqullah telah kahwin dua.

Di pihak keluarga Abyatina pula, Zaafarani, abang Abyatina menjadi pembangkang besar terhadap tindakan menghantar Abyatina ke kampung. Disokong pula Pak Long, maka mereka berpendapat Rizqullah seolah-olah melepaskan tanggungjawabnya terhadap Abyatina.

“Bininya mengandung, patutnya dijaganya. Tapi ditolak Abyatina balik ke kampung. Suami apa tu?” soal Zaafarani di suatu malam.

Namun, hanya Rizqullah dan Abyatina sahaja yang tahu tujuan sebenar Abyatina dihantar ke kampung.  Seperti lumrah, suami dan isteri banyak rahsianya.

“Jangan dipersoalkan setiap tindakan Rizqullah. Pasti ada sebabnya,” luah ustaz Man.

Ustaz Man kini banyak menghabiskan masa di ruang tamu sahaja. Tubuhnya semakin hari semakin tak terdaya untuk bergerak. Jika dulu, ustaz Man mampu turun ke bawah dengan mengensot-ensot perlahan-lahan menuju ke tangga, kini  semuanya telah berubah. Ustaz Man banyak menghabiskan masa duduk di kerusi dan tidur di atas katil. Kakinya yang lumpuh semakin hari menyebabkan dirinya semakin kurang bergerak.

Ibu Abyatina sedar akan hakikat tersebut. Disebabkan itu jugalah, ibunya senantiasa mengajak seisi keluarga menghabiskan banyak masa di ruang tamu. Moga tidak kesunyian ustaz Man di ruang tamu. Malah, seringkali sesi makan malam dan tengah hari berlangsung di ruang tamu. Benar, mungkin ustaz Man terbatas pergerakannya, namun untuk merasai kesunyian, itu satu kemustahilan.

“Kalaulah ayah dapat berjalan semula...” luah Abyatina.

“Insya-Allah, moga ada jalannya satu hari nanti...” luah Mak Cik Ros, ibu Abyatina.

“Ayah tak macam dulu....” luah Raiqah pula.

Rafiqin adik bongsu Abyatina pulang dari sekolah petang itu. Khabar berita dibawanya mengejutkan sedikit seisi keluarga. Dinyatakan bahawa kepulangan Rafiqin dari sekolah bukan seperti biasa iaitu dengan menaiki bas. Kepulangan Rafiqin dihantar oleh seorang wanita dengan menaiki kereta.

“Siapa orangnya? Dan kenapa mudah saja naik keretanya? Bahaya kalau membuta saja tumpang orang” soal Mak Cik Ros.

“Kak Tasha yang ambil tadi...”

“Tasha?” soal Raiqah dan Abyatina serentak. Masing-masing terkejut.

“Kenapa diambilnya si Rafiq ni?” soal ibu Abyatina.

Lantas fikiran Abyatina melayang kembali terhadap peristwa yang berlaku beberapa minggu sebelumnya. Saat kaki mahu melangkah meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung, seorang wanita tiba-tiba muncul dengan keretanya di halaman.  Maka perancangan untuk menghantar Abyatina ke kampung tergendala seketika. Lantas dijemput wanita itu naik ke rumah.

“Silakan naik Tasha,” pelawa Abyatina.

“Terima kasih”

Memang agak kekok perjumpaan petang itu. Masing-masing lebih banyak membisu berbanding berbicara. Namun, sebagai tetamu, Abyatina cuba melayan sebaik mungkin kehadiran Tasha di rumahnya. Di satu penjuru ruang tamu itu, Rizqullah duduk di kerusi sambil memerhati dari jauh Tasha dan Abyatina yang sedang berbual.

“Maaf sebab kunjung tak dijemput...” kata Tasha tersenyum kecil.

“Eh, tak apa. Tetamu yang datang satu rahmat...” balas Abyatina tersenyum.

“Tak apa.... orang lawa mai sini, saya tak ada masalah. Nak bermalam kat sini pun boleh...” kata Rizqullah tiba-tiba berseloroh. Maka serentak dengan itu jelingan tajam muncul dari Abyatina. Lantas, serta merta Rizqullah tertunduk, terus membisu tak lama selepas itu.

Tasha tersenyum mendengar usikan dari Rizqullah itu.

“Kebetulan saya dari Lumut, dua hari di sana ada urusan kerja. Bila lalu di sini, terus teringat pada Abyatina. Itu disinggah kejap nak berkenal-kenalan...” bicara Tasha.

“Oh itu ceritanya. Tapi, macam mana boleh tahu kami tinggal di sini?” soal Abyatina kehairanan.

“Dari Absyar...” balas Tasha.

Itulah perjumpaan pertama kali antara Abyatina dan Tasha. Namun, kemesraan jelas terwujud saat mereka berbual. Hakikatnya Tasha punyai hasrat yang terpendam. Hasratnya itu disimpan agak lama sejak Absyar terlantar di hospital akibat cedera ditikam. Maka petang itu, Tasha berbicara dengan tenang meluahkan hasratnya itu pada Abyatina.

“Mungkin ibarat perigi terkinja-kinja mencari timba. Tapi tak salah kalau langkahnya dimulakan dulu. Mungkin kelihatan agak sumbang, namun tak salah meluahkan harapan,” luah Tasha.

“Setiap manusia ada perasaan dan hati...” kata Abyatina.

“Sebab itu.... saya... berharap sangat, moga-moga Abyatina dapat tolong saya...” kata Tasha dengan penuh harapan.

“Insya-Allah , selagi ada kekuatan, mana yang boleh, akan ditolong. Tapi, apa yang nak ditolong?” soal Abyatina, walaupun tenang namun masih lagi dalam persoalan dan kehairanan.

“Tolong saya.... supaya..... Tasha dan Absyar menjadi satu nama dalam ikatan...” balas Tasha tenang.

Petang itu, Abyatina menjadi tempat berharap Tasha. Harapan supaya Absyar menjadi sebahagian daripada hidup Tasha.

“Jadi, di mana Tasha?” soal ibu Abyatina sambil meninjau-ninjau ke arah tinggap, mengharap agar dapat melihat kelibat Tasha.

Perbualan rancak muncul kembali  saat Abyatina berada dalam lamunan yang panjang, terkenang kembali kunjungan Tasha di rumahnya. Masing-masing kehairanan saat mengetahui bahawa Rafiqin pulang dihantar Tasha.

“Rafiq minta hantar depan masjid. Senang sikit kak Tasha. Tak payah patah balik ke rumahnya, “ balas Rafiqin memberi penjelasan. Benar, rumah Tasha berhampiran masjid, dan rumah mereka terletak ke dalam sedikit.

“Rasanya, mungkin ada yang perlu diterangkan di sini...” bicara Abyatina tiba-tiba. Serentak dengan itu, seisi keluarga tertumpu pada Abyatina.

“Apa yang nak diterang?” soal ustaz Man tiba-tiba bersuara. Ustaz Man sedang berehat di atas kerusi. “Mu ni dah macam pengacara TV tu... apa namanya tu... Normalas.... Normalas.... Normalas.....”

“Bukan Normalas.... tapi Normala, ” ibu Abyatina mencelah. “Normala...”

“Samsuddin...” Rafiq, Raiqah, Abyatina, dan Zabarjad berkata serentak diikuti ketawa seisi keluarga.

“Hah, yang tu....Kalau jadi bini nombor dua, memang bahagia sampai ke syurga” balas ustaz Man bergurau.

“Amboi....” balas ibu Abyatina. “Padahal dulu waktu muda, terhegeh-hegeh nak pinang kita. Sampai usung habis budak-budak kampung bawak seorang sekuntum bunga ros...” ungkit Mak Cik Ros.

Seluruh ruang tamu diisi dengan gelak ketawa. Gurauan menceriakan sedikit ustaz Man.

“Jadi kenapa Abyatina? Apa ceritanya?” soal Raiqah mengembalikan perbualan asal.

“Rasanya mungkin kita kena hantar rombongan ke rumah Tasha tu...” balas Abyatina.

“Meminang?” soal ibu Abyatina.

“Tapi.... sudi ke Cik Tasha tu?” soal Raiqah.

“Dan, sudi ke abang Syar dengan Cik Tasha tu?” soal pula Rafiqin.

“Benda baik kalau nak dibuat, seeloknya tanyalah dulu pada empunya. Tanya dulu Absyar. Kalau setuju, kita ‘on’ jelah...” ustaz Man memberikan pendapat. Senyum saja ustaz Man petang itu.

Masing-masing mengalihkan pandangan, tertumpu pada ustaz Man di kerusi. Masing-masing kelihatan bersetuju dengan pendapat ustaz Man.

“Bab si Absyar tu memang tak ada masalah. Tapi macam mana pula si Tasha? Takkan nak terjah tanpa silidik dulu kesudiannya?” terang pula ibu Abyatina.

“Kalau dah sampai datang ke rumah Ina, dan kemudian minta diusahakan sesuatu supaya Absyar menjadi teman hidupnya, takkan tak sudi lagi Cik Tasha tu?” kata Abyatina.

“Hah?”

Masing-masing terkejut. Pandangan mereka kemudian beralih dari ustaz Man ke Abyatina. Abyatina  pula yang menjadi fokus di ruang tamu itu.

“Tasha datang rumahmu?” soal ibu Abyatina terkejut. “Bila?”

“Hai, nampaknya dah jadi macam drama kat TV. Pusing sana, pusing sini, terkejut kat sana, terkejut di sini...” kata Raiqah tersenyum.

Absyar baru saja keluar dari hospital. Namun petang itu kelibatnya tiada. Mungkin menghabiskan masa di rumah sahabatnya, berbual-bual kosong sambil menikmati angin petang di tepi sawah. Itulah kebiasaan bagi Absyar.

“Jadi, bila nak kembali mengajar si Absyar tu? Panjang lagi ke rehatnya?” soal Mak Cik Jah di suatu pagi saat Mak Cik Ros, ibu Abyatina sedang menyapu daun-daun kering di halaman rumah.

“Katanya, minggu depan. Cuti sakitnya masih ada lagi...”

“Oh, dan betul ke mu nak minang anak Fatma tu? Apa namanya..... alah....”

“Tasha...”

“Hah, si Tasha tu. Betul ke?” soal Mak Cik Jah. Bagai wartawan sedang menyoal artis gayanya.

“Sebab tulah aku panggil mu ke mari...”

“Nak ditolong lagi?” soal Mak Cik Jah ketawa kecil. Benar, Mak Cik Jahlah orang yang bertanggungjawab mempertemukan jodoh di antara Abyatina dan Rizqullah satu masa dulu. Kini sekali lagi khidmat pakarnya diperlukan.

“Iyalah, mu dah biasa dengan urusan-urusan macam ni kan... Kenalah minta pada yang berpengalaman,” balas ibu Abyatina.

“Insya-Allah. Boleh saja. Tapi, macam mana pula si Absyar tu boleh berkenan dengan si Tasha? Macam mana mereka tu kenal?” soal Mak Cik Jah.

“Kalau Absyar tak masuk hospital, mungkin seru jodoh tak sampai lagi,” balas ibu Abyatina tersenyum.

Kisahnya terjadi saat Absyar ditikam di warung tersebut. Secara kebetulan pada waktu itu, Tasha baru saja pulang dari kedai runcit berhampiran warung itu. Saat melihat Absyar rebah ditikam, maka sepantas itu jugalah Tasha berlari mendapatkan Absyar. Petang itu, Tasha bersusah payah membawa Abysar ke hospital. Hakikatnya, itulah pertama kali Tasha melihat Absyar. Semuanya berlaku dengan cukup pantas.

“Bayangkan, setiap hari Tasha akan melawat si Absyar tu. Kadang-kadang sampai temankan Absyar sepanjang malam...”terang ibu Abyatina.

“Ada apa si Tasha tu dengan Absyar?” soal Mak Cik Jah.

“Mungkin cinta pandang pertama kot...” celah Abyatina tiba-tiba muncul di halaman rumah. Mak Cik Jah sedikit terkejut.

“Waduh....kamu ni.... bikin terperanjat sama aku...” Mak Cik Jah melatah berbahasa Indonesia.

“Kok kamu udah mengandung. Jangan dibikin kejut sama yang lain...” ibu Abyatina turut menyertai sesi latah bahasa Indonesia itu. Berseloroh nadanya.

Masing-masing kemudian ketawa. Pagi itu, Mak Cik Jah bersarapan bersama keluarga Abyatina. Agak lama Mak Cik Jah tidak berkunjung. Agen si pencari jodoh itu memang senantiasa sibuk di kampung. Ramai yang meminta pertolongannya untuk mencari jodoh.

“Kena bukak bisnes baru ni. Boleh jadi agen pencari jodoh..” seloroh ibu Abyatina saat bersarapan bersama Mak Cik Jah.

Selepas bersarapan, sesi perbincangan serius berlaku di antara Mak Cik Jah, ibu Abyatina, dan ustaz Man. Walaupun pagi itu ustaz Man tidak begitu sihat, namun perbincangan tetap diteruskan. Aturan perancangan rombongan meminang Absyar sedang diatur.

Pada masa yang sama, Abyatina keluar bersiar-siar di kawasan sawah. Musim menuai hampir tiba, dan saat ini kawasan sawah kelihatan menguning sejauh mata memandang. Angin pagi yang bertiup ternyata satu nikmat yang tak terkata. Kesegaran dirasai Abyatina. Seperti biasa, Abyatina pergi ke tempat kegemarannya berhampiran tali air. Di situlah tempat yang menyimpan banyak memori manis buatnya.

“Ke mana pula si Abyatina ni?” soal ustaz Man sebaik menyedari Abyatina tiada di rumah.

“Hilang lagi?” soal pula ibu Abyatina.

“Selalu macam tu ke?” soal pula Mak Cik Jah.

“Pagi ni sarapan makan apa?” tiba-tiba satu pertanyaan di luar perbincangan kedengaran. Zabarjad muncul di tangga dapur sambil tersengih.

“Mu ni.... buat terkejut semua di sini...” balas ibu Abyatina. “Asyik membuta saja pagi-pagi ni...”

Zabarjad sekadar tersenyum seperti kerang busuk gayanya.

“Ish, tak elok biarkan si Abyatina tu jalan sorang-sorang. Dibuatnya jadi apa-apa kat dia...  Bahaya buat orang yang berbadan dua ni...” kata Mak Cik Jah menyambung kembali perbualan mereka.

“Itulah, dah banyak kali pesan. Tapi ligat juga berjalan-jalan. Macam orang tak kahwin. Macam tak berbadan dua gayanya...” balas ibu Abyatina.

“Eloknya, minggu depan kita ke rumah Tasha. Senang sikit nak diaturkan perancangan meminang,” bicara ustaz Man dengan tiba-tiba mengubah tajuk perbualan.

Terkedu seketika ibu Abyatina dan Mak Cik Jah. Ustaz Man ibarat tak mendengar perbualan mereka sebelumnya. Ustaz Man sekadar tersenyum. Dia tahu, isteri dan jirannya itu terkejut dengan bicaranya tadi.

“Kalau Rizqullah boleh bagi kepercayaan pada Abyatina, kenapa kita yang tua ni nak risaukan. Si Abyatina dah besar. Tahulah dia menjaga dirinya...” kata ustaz Man tersenyum.

Saat Abyatina duduk berehat di bahan pohon yang rendang di tengah sawah, kedengaran suara sedang memanggil namanya. Suara itu sayup-sayup kedengaran di hujung sawah. Lantas Abyatina bangun untuk melihat dengan jelas individu yang memanggil namanya itu. Dari jauh, Abyatina seperti mengecam individu tersebut.

“Hah, Alien si Zaragoza?” soal Abyatina terkejut.

Yaqzan muncul di hujung sawah. Memanggil-manggil nama si Abyatina. Kejutan dirasakan Abyatina.

“Apa lagi kali ni?”

Abyatina terus melihat Yaqzan yang berdiri jauh.  Abyatina berjalan menghampiri Yaqzan. Menyelusuri batas-batas sawah yang masih basah dek hujan yang turun pada malam sebelumnya, maka ada kalanya langkah Abyatina tidak lancar. Ada waktunya kaki Abyatina hampir sahaja tergelincir. Mujur masih lagi dapat dikawal Abyatina. Agak pelik perilaku Abyatina, kerana saat dirinya tidak suka akan kemunculan Yaqzan itu, saat itu jugalah Abyatina semakin pantas untuk menghampiri Yaqzan.

“Kenapa?” soal Abyatina menjerit ke arah Yaqzan. Kakinya terus melangkah meredah batas sawah yang licin. “Kapal angkasa rosak ke?” monolog Abyatina di dalam hati.

“Datanglah sini dulu...” balas Yaqzan.

Saat itu juga mata Abyatina tiba-tiba berpinar-pinar. Dirasakan seperti badannya hilang kestabilan. Kepalanya pula dirasakan berpusing-pusing, dan serentak dengan itu juga, Abyatina rebah jatuh ke dalam kawasan sawah. Abyatina pengsan secara tiba-tiba.

“Ya Allah!” Yaqzan terkejut lantas terus berlari menghampiri Abyatina.

Perbincangan rancak yang sedang berlangsung di rumah ternyata bagai tiada kesudahannya. Perihal utama iaitu Absyar sekadar mengambil tempat beberapa ketika. Perihal Abyatina dan Rizqullah yang lebih banyak dibincangkan. Masing-masing melahirkan sedikit kerisauan melihat perkembangan terkini Abyatina dan Rizqullah.

Namun Mak Cik Jah bersikap positif. Baginya, segalanya tiada masalah sekiranya Abyatina dan Rizqullah masih terus menyayangi antara satu sama lain. Biar apa yang dikata penduduk kampung, hanya Abyatina dan Rizqullah sahaja yang mengetahui kisah sebenar.

“Mungkin kelihatan Abyatina seperti ditinggalkan Rizqullah, namun kalau dilihat dengan lebih mendalam, tinggalnya Abyatina di kampung adalah langkah terbaik buatnya. Mungkin itu sebabnya Rizqullah biarkan Abyatina  di sini, supaya selamat kesihatannya saat Abyatina sedang mengandung,” terang Mak Cik Jah.

Secara tiba-tiba, kedengaran bunyi kenderaan memasuki halaman rumah. Rizqullah muncul tanpa diduga. Kedatangan Rizqullah ternyata satu kejutan, dan masing-masing tidak menjangka akan kehadirannya. Kereta Rizqullah diletakkan di bawah pokok rambutan yang sedang merah masak buahnya. Mungkin kerana itulah, sambil menutup pintu keretanya, Rizqullah mencapai dan memetik sebiji buah rambutan yang masak itu.

“Maaf, sebiji ambil ya...” kata Rizqullah tersenyum kepada ibu Abyatina yang keluar menyambutnya.

“Mu nak ambil seguni pun tak apa. Kampungmu juga...” balas Mak Cik Ros tersenyum.

“Abyatina mana?” soal Rizqullah.

Belum sempat Mak Cik Ros menjawab pertanyaan menantunya itu, sebuah kereta lain muncul pula di halaman rumah. Masing-masing terpinga-pinga. Ustaz Man yang berada di dapur bersama Mak Cik Jah turut merasai kejanggalan situasi di halaman rumah itu.

“Hah, Yaqzan?” soal Mak Cik Jah merenung jauh dari dapur.

Yaqzan muncul setelah sekian lama menghilang. Saat Yaqzan keluar dari keretanya, mata Rizqullah terus tertumpu ke dalam kereta Yaqzan. Kelihatan Abyatina berada dalam kereta. Abyatina tidak sedarkan diri.

“Maaf kalau datang tak dijemput...” kata Yaqzan kepada ibu Abyatina dan Rizqullah. “Sebenarnya, saya nak hantar Abyatina..... Tadi....”

Belum sempat dihabiskan bicara, tanpa diduga satu tumbukan hinggap di muka Yaqzan. Kejutan terjadi. Rizqullah tanpa sedar melepaskan satu tumbukan ke arah Yaqzan yang berdiri di hadapannya.

“Dasar kurang ajar!” luah Rizqullah dalam nada yang cukup marah.

Mak Cik Ros yang berdiri di sebelah Rizqullah dilanda kejutan. Memang tak diduga Rizqullah secara tiba-tiba naik angin. Tanpa dijangka, Rizqullah naik berang.

“Kenapa Abyatina dari dulu sampai sekarang, masih lagi kamu terkejar-kejarkan? Tak faham-faham lagikah Abyatina tu dah bersuami?” soal Rizqullah dalam nada marah.

Ustaz Man yang memandang dari jauh terkejut. Namun tiada apa yang dapat dilakukannya kerana kemampuannya untuk bergerak sangat terbatas. Ustaz Man hanya mampu melihat, tertanya-tanya sebab Rizqullah menumbuk muka Yaqzan secara tiba-tiba.

Pada waktu itulah Zaafarni, abang Abyatina muncul. Kereta ketiga masuk ke halaman rumah. Zaafarani hadir bersama keluarganya. Mungkin datang dari Pulau Pinang mahu menghabiskan hujung minggu di kampung.

“Apa hal ni?” soal Zaafarani saat keluar dari keretanya. Isteri dan anak-anaknya terus naik ke rumah. Mungkin  mereka memahami situasi tegang yang sedang berlaku di halaman rumah itu.

“Kalau kamu masih tak faham kenyataan tu, sampai mati pun aku tak akan maafkan kamu...” kata Rizqullah kepada Yaqzan tidak mempedulikan pertanyaan abang iparnya, Zaafarani.

Yaqzan hanya tertunduk. Dia membisu sambil menahan sakit di pipinya kesan tumbukan Rizqullah tadi.

“Mu yang tak faham siapa dirimu. Kalau mu tahu mu suami Abyatina, kenapa mu tinggalkan dia di sini?” soal Zaafarani tiba-tiba bersuara. Dia berdiri di sebelah Yaqzan.

“Boleh tak kalau diamkan mulut tu?” balas ibu Abyatina. Lantas Mak Cik Ros menarik tangan Zaafarani dan mengajaknya masuk ke dalam rumah.

Akhirnya, hanya Rizqullah dan Yaqzan sahaja yang masih berada di halaman rumah itu. Abyatina pula masih terus tidak sedarkan diri di dalam kereta Yaqzan.

“Apa yang akan terjadi?” soal Mak Cik Jah di dapur.

Serentak dengan itu, ustaz Man tiba-tiba mencapai dinding. Dengan sepenuh tenaganya, ustaz Man cuba untuk bangun. Kekuatan muncul dalam dirinya.

“Aku tak boleh biarkan mereka berseteru lagi...” luah ustaz Man.

Mak Cik Jah terkejut. Zaafarani dan Mak Cik Ros yang baru masuk ke dapur juga terkejut. Masing-masing tak menduga dengan apa yang dilihat mereka.

“Ayah boleh bangun dan berjalan?” soal Zaafarani terkejut.

Ustaz Man hanya tersenyum walaupun hatinya masih lagi risau dengan situasi yang sedang berlaku di antara Rizqullah dan Yaqzan di halaman rumah.




*Tamat sudah Bicara Dua Puluh*

Apakah kesudahan Rizqullah dan Yaqzan di halaman rumah itu?




**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 




Nota Khas: Siri ke-20 ini ditujukan khas buat Thahirah Kamarulail.



Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina