Selasa, 15 Januari 2013

Sembang-sembang Selasa: Kisah Thahirah dan Cinta Thahirah






Pengalaman mengajar banyak tentang kehidupan. Itulah ayat ‘skema’ yang seringkali diulang-ulang. Mungkin bunyinya agak skeptikal, namun memang ada benarnya, sebab manusia itu belajar dari kesilapan.

Kali ini slot Sembang-sembang Selasa yang dah lama tak muncul di blog ini sekadar berkongsi kisah mengenai pengalaman lalu sewaktu menghasilkan novel yang tak pernah diterbitkan berjudul Cinta Thahirah. Novel ini dihasilkan sekitar tahun 2008 hingga 2009, mengambil masa hampir 12 bulan untuk dihasilkan.

Tujuan utama novel ini dihasilkan adalah sekadar untuk mengisi masa lapang ketika itu. Pada waktu itu saya terpaksa bercuti selama setahun disebabkan masalah kesihatan. Bagi mengelakkan masa terbiar begitu sahaja, maka aktiviti penulisan dipilih. Itulah bermula idea untuk menghasilkan novel ini.

Sebelum ini saya pernah menghasilkan siri novel Kumajipakat (2008),dan Warisan (2007). Namun dua siri novel ini tidaklah mantap dari sudut penulisannya, tetapi dijadikan sebagai platform bagi melatih diri untuk menulis dengan lebih baik. Benar, nak jadi penulis yang baik perlu bermula dengan hasilan yang kurang baik. Dari situ akan berlaku proses pembaikan dan peningkatan.

Judul Cinta Thahirah (CT) dipilih bagi novel tersebut kerana keunikan pada namanya. Thahirah itu sendiri membawa maksud Suci, dan apabila digabungkan istilah “Cinta” tersebut, maksud judul novel ini ialah “Cinta Suci”.

Soalnya, mengapa Thahirah dipilih?

Saya akui, dalam entri sebelum ini saya pernah menafikan bahawa Cinta Thahirah itu tercetus bukan kerana seorang sahabat lama bernama Thahirah Kamarulail. Namun, dalam bicara kali ini, saya tak nafikan bahawa saudari Thahirah itu adalah antara pencetus awal untuk saya hasilkan novel Cinta Thahirah. Saya akui, seluruh novel ini didedikasikan khas buatnya. Namun, dedikasi itu tidaklah membawa apa-apa makna tersirat, sekadar membawa maksud menghargai erti persahabatan.

Saya akui juga, watak dan perwatakan Khadijah yang merupakan watak utama dalam novel CT ini adalah didasarkan kepada perwatakan Thahirah itu sendiri. Malah, gambaran fizikal Khadijah itu juga hampir sama seperti Thahirah.  Hakikatnya, dalam erti kata yang mudah, setiap kali menggerakkan cerita dalam novel CT ini, saya hakikatnya sedang menggambarkan Thahirah itu sendiri di dalam novel ini.

Maka timbul persoalan, apakah waktak Zahid itu adalah cerminan diri saya sendiri?

Hakikatnya, watak Zahid adalah rekaan semata-mata. Watak itu adalah satu ciptaan dan rekaan yang dihasilkan bagi disesuaikan dengan watak Khadijah itu sendiri. Zahid adalah lambing kekuatan Khadijah dalam novel ini.

Harus diakui, inspirasi sewaktu menulis novel CT adalah berdasarkan pengalaman sebenar. Saya sekadar mengolah sedikit pengalaman itu supaya bersesuaian dengan jalan ceritanya. Novel ini adalah sebagai penghormatan buat arwah Pak Lang yang meninggal pada tahun 2002.

Ramai yang mencadangkan agar novel ini diterbitkan di pasaran. Namun, saya masih belum bersedia untuk ke arah itu. Banyak kekurangan dalam novel tersebut yang perlu diperbaiki. Hakikatnya novel tersebut masih lagi di tahap amatur dan tak sesuai untuk diterbitkan.

Buat kalian yang ingin membaca novel Cinta Thahirah, novel ini boleh dibaca secara online di www.cintathahirah.blogspot.com.  Kisahnya mungkin agak menarik kerana novel ini mengisahkan perjalanan Zahid dalam mencari cinta yang sebenar, dan bagaimana Zahid mengatur langkahnya untuk melamar jodohnya itu.

Sekadar itu sahaja perkongsian kali ini. Ketemu lagi di lain bicara Selasa.






Tiada ulasan :