"Adina (Bicara Dua Puluh Satu)"
“Itu adalah kehidupan laluku, indah, bahagia, walaupun
mungkin kini berbeza. Itu adalah kisah lamaku, berduri, pedih walaupun mungkin
kini berlainan. Itu adalah kisah lamaku, dikenang sebagai satu pembelajaran.
Kerana kisah lamaku itu, maka kisah denganmu menjadi impian dalam kebahagiaan.
Kerana kisah lamaku itu, ku bersyukur menjadi sebahagian hidupmu....”
Abyatina meletakkan penanya. Dia memejamkan mata
seketika. Helaian kertas yang menjadi luahan hatinya, dilipat dengan kemas.
Lantas Abyatina melihat suaminya Rizqullah yang sedang nyenyak tidur di atas
katil. Maka, perlahan-lahan Abyatina menyelitkan kertas yang dilipatnya itu ke
dalam diari Rizqullah yang diletakkan di atas meja. Abyatina mengukir sedikit
senyuman.
Malam itu Abyatina berseorangan. Abyatina baru pulang ke rumahnya. Mungkin agak
sedih buat Abyatina, terpaksa pulang semula dari kampung, namun dia gembira
kerana di akhirnya, tempat seorang isteri kini benar-benar di sisi suaminya.
“Ina rasa, sebaiknya Ina pulang ke rumah. Tak guna gembira
di kampung, tapi celaru seisi keluarga. Tak guna bahagia di sini, tapi fitnah
bertebaran serata kampung,” luah Abyatina beberapa hari sebelum dia pulang
semula ke rumahnya.
“Abang tak pernah minta Ina pulang. Lebih baik Ina di
kampung. Ramai yang boleh tengok-tengokkan Ina,” balas Rizqullah.
“Tak apa... Ina boleh jaga diri...” balas Abyatina.
Rizqullah hanya membisu. Keputusan secara tiba-tiba dari
Abyatina itu ternyata tidak dijangka Rizqullah. Namun, dia tidak membantah
hasrat Abyatina untuk pulang.
“Saya bukan nak lepaskan tanggungjawab. Tapi, kalau
Abyatina di sana, siapa yang akan jaganya? Bila saya ke sekolah, Abyatina akan
berseorangan,” luah Rizqullah sewaktu makan petang bersama kedua mertuanya,
ustaz Man dan Mak Cik Ros. Abyatina pada waktu ini keluar ke rumah Pak Longnya
berbual-bual dengan sepupunya yang telah lama tidak ketemu.
“Ibu dan ayahmu bukankah ada di sana?” soal ibu Abyatina.
Benar, rumah Rizqullah tidak jauh dari rumah ibu dan
ayahnya. Malah rumah tempat tinggalnya bersama Abyatina boleh dilihat dengan
jelas dari rumah cikgu Hamdawi itu.
“Tapi, mungkin enam bulan berikutnya, mereka tak ada di
rumah. Maklumlah, mak memang suka merantau dari rumah menantu ke rumah menantu
yang lain. Katanya nak rapatkan hubungan keluarga. Itulah yang saya risaukan,
sebab kalau Abyatina pulang ke rumah di sana, tak ada siapa yang nak
melihat-lihatnya...” balas Rizqullah.
“Tapi kalau tinggal di sini, walaupun Abyatina selamat
dalam perhatian kami, mungkin tekanan lain yang muncul. Faham-faham sajalah,
orang kampung di sini dari dulu sampailah sekarang, tak pernah puas tabur
fitnah buat si Abyatina,” balas pula ustaz Man.
“Tapi terpulanglah pada kamu. Baik keputusanmu, baik juga
untuk kami,” kata ibu Abyatina.
Di akhirnya, keputusan Abyatina itu menjadi realiti. Pagi
keesokannya, Abyatina pulang bersama Rizqullah. Memang berat hati buat ibunya
ditinggalkan Abyatina. Berat hatinya semakin bertambah tatkala melihat keadaan
Abyatina yang semakin sarat mengandung.
“Mujurlah sakit lamanya tak muncul semula.
Setidak-tidaknya risau kita tak bertambah,” luah ustaz Man.
“Agak pelik juga kalau difikirkan. Sejak si Abyatina
berbadan dua, sakitnya yang dulu hilang serta merta...” balas ibu Abyatina.
“Mungkin ada perjanjian buat penyihir itu. Mungkin
sihirnya hanya mampu berkesan selagi mana Abyatina tak mengandung. Mungkin
sebab itu, bila Abyatina hamil saja, sakitnya bagai hilang serta merta. Kuasa
Allah siapa yang lebih tahu? Kita hanya mampu merancang, Allah selebihnya menentukan,”
kata ustaz Man.
Kejutan kepulangan Abyatina kembali ke rumahnya turut
diikuti dengan kesibukan keluarganya mengatur rancangan untuk majlis
pertunangan Absyar dan Tasha. Setelah sesi merisik dan peminangan dijalankan,
maka persetujuan dicapai supaya majlis pertunangan dijalankan sebulan
berikutnya. Ucapan penghargaan diberikan kepada Mak Cik Jah sekali lagi, kerana
keseluruhan proses itu diuruskan sendiri olehnya.
“Kalaulah Abyatina ada....” luah ibu Abyatina.
“Tak apa.... “ balas ustaz Man menenangkan isterinya.
“Suaminya ada di sisinya...”
Sarapan pagi dimulakan dengan suasana yang ceria. Itulah
sarapan pertama buat Abyatina setelah hampir dua minggu berada di kampung. Pagi
itu selepas Subuh, Abyatina agak keletihan. Maka, sebaik selesai solat Subuh,
Abyatina hanya berbaring di atas katil. Rizqullah mengerti dan hanya tersenyum.
Sejam Abyatina berehat, Rizqullah muncul semula di bilik.
Bersama dengannya, dibawa dulang berisi sepinggan nasi goreng dan secawan teh
panas. Rizqullah menghabiskan masanya di dapur semata-mata mahu menyiapkan
hidangan sarapan pagi. Tersenyum sahaja saat Rizqullah membawa sarapan tersebut
menghampiri Abyatina yang masih berbaring di atas katil. Lantas diletakkan
dulang tersebut di atas katil.
“Apa khabar isteriku Abyatina? Berbunyi sudahkah
perutnya? Atau mungkin si kecil di dalam merengek tanda lapar?” usik Rziqullah
sambil mengusap-usap perut Abyatina yang semakin membesar.
“Kata si kecil di dalam, dia teringinkan nasi goreng
ayahnya...” balas Abyatina tersenyum.
“Si kecil ke, atau si emaknya?” usik pula Rizqullah.
Dipicitnya hidung Abyatina sekadar bergurau senda.
“Atau si ayahnya nak bersarapan dengan si kecil ni?”
balas Abyatina.
Rizqullah tersenyum. Lantas diambilnya sudu, diambilnya
pinggan berisi nasi goreng dalam dulang tersebut. Masih panas nasi goreng itu.
“Wahai tuan puteri, patik datang untuk memastikan tuan
puteri kenyang perut senang di hati pagi ini,” usik Rizqullah.
“Jadi, apa yang perlu beta lakukan?” soal Abyatina
bergurau.
Lantas Rizqullah terus menyuap Abyatina. Tersenyum sahaja
Rizqullah saat menyuap isterinya. Bahagia melanda mereka berdua. Agak lama
mereka tidak semesra itu. Pagi itu, segala kerinduan dilepaskan.
Tatkala Abyatina sedang mengunyah, tangannya terus mengambil
sudu dari tangan Rizqullah. Lantas tak lama kemudian, Rizqullah pula disuap
Abyatina. Masing-masing tersenyum. Sesi itu berterusan hingga sepinggan nasi
goreng itu habis dijamah.
“Sarapan pagi di atas katil, dihidangkan pula oleh si
suami. Ah, bahagia bagaikan syurga,” monolog Abyatina di dalam hatinya.
Abyatina hanyut dalam kedamaian dan kegembiraan. Mungkin
jauh dari kampungnya, namun Abyatina sedar tempatnya kini adalah di sisi
suaminya. Mungkin terdapat sedikit kesedihan saat meninggalkan kampungnya,
namun Abyatina sedar tanggungjawabnya lebih besar dari dirinya sendiri.
“Kalau ikutkan hati ni, nak saja si Abyatina terus
tinggal di sini. Tapi, Abyatina dah bersuami. Takkan nak biarkan dia terus
terpisah dengan Rziqullah? Sebaik-baik isteri, segala untuk dirinya dikorbankan
demi bahagia suami. Cium bau syurga...” kata ibu Abyatina saat berbual dengan
Mak Cik Jah di bawah rumah. Agak santai petang itu selepas seharian penat
melakukan persiapan untuk majlis pertunangan Absyar. Saat mereka berbual di
bawah, ustaz Man sedang berehat di atas. Mungkin sedang tidur dek keletihan.
“Agak pelik juga kalau difikirkan balik. Tiba-tiba saja
Abyatina nak pulang ke rumah. Seeloknya Abyatina terus tinggal saja di kampung.
Dah sarat mengandung dia tu...” balas Mak Cik Jah.
“Mungkin sebab kejadian hari tu kot...” kata ibu
Abyatina.
Kisah perseteruan antara Rizqullah dan Yaqzan menjadi
topik perbualan. Walaupun telah beberapa minggu berlalu, kisahnya masih terus
segar di ingatan. Pada petang itulah menyaksikan kejutan demi kejutan berlaku.
Kekalutan berlaku di halaman rumah pada petang itu.
Tumbukan yang hinggap ke muka Yaqzan mengejutkan semua.
Tidak diduga sesiapa, Rizqullah secara tiba-tiba melepaskan amarahnya terhadap
Yaqzan. Tidak siapa yang tahu punca utama Rizqullah bertindak sedemikian, namun
amarah itu tercetus mungkin disebabkan Rizqullah terlihat Abyatina yang tidak
sedarkan diri berada di dalam kereta Yaqzan.
Bertubi-tubi kata-kata amarah dilepaskan Rizqullah kepada
Yaqzan. Keadaan petang itu sangatlah genting. Namun, Yaqzan hanya membisu saat
dirinya menahan kesakitan akibat ditumbuk Rizqullah. Sepatah pun tidak dibalas
Yaqzan. Maka saat itu juga ustaz Man muncul. Perlahan-lahan cuba berjalan,
dibantu Zabarjad dan Rafiqin yang memimpinnya, maka ustaz Man turut berikan kejutan
petang itu.
Seluruh keluarga tak menduga ustaz Man akhirnya berjaya
bangun dan berjalan. Walaupun tidaklah mampu berdiri lama dan berjalan
sepenuhnya, keazaman ustaz Man ternyata satu keajaiban. Saat kekalutan berlaku
di halaman rumah, ustaz Man muncul. Tergamam Rizqullah dan Yaqzan. Terkelu
lidah Rizqullah. Amarahnya tiba-tiba hilang begitu sahaja.
“Kalau marahmu itu kerana Abyatina, maka untunglah
Abyatina. Kalau marahmu kerana dirimu sendiri, maka malanglah dirimu...” kata
ustaz Man. Rafiqin dan Zabarjad berada di sisinya, terus memegang ustaz Man
untuk berdiri.
Rizqullah terkedu. Kata-kata ustaz Man ternyata cukup
mendalam buat Rizqullah. Lantas tanpa sebarang bicara, Rizqullah terus
mengambil Abyatina yang tidak sedarkan diri di dalam kereta Yaqzan. Diangkatnya
Abyatina naik ke rumah. Yaqzan pula terus pulang tak lama selepas itu.
“Semudah itu dileraikan?” soal Mak Cik Jah yang melihat
kekalutan di halaman rumah itu dari dapur. Ternyata perseteruan tersebut berjaya
dileraikan dengan hanya beberapa patah bicara dari ustaz Man.
“Itulah ustaz Man yang semua orang kenal. Setiap
kata-katanya, ada isinya. Tak pernah sia-sia...” kata ibu Abyatina.
Sejak peristiwa itu, Abyatina tidak pernah keluar dari
rumah. Abyatina hanya terperap di bilik. Abyatina lebih banyak membisu.
Sehingga ke saat itu, tidak ada sesiapa pun yang tahu punca Abyatina pengsan.
Hakikatnya, Abyatina sendiri juga turut berada dalam persoalan. Dirinya tidak
memahami kejadian yang berlaku di sawah itu.
Rizqullah meninggalkan kampung pagi berikutnya. Maka
Abyatina bersendirian dan situasi membisu si Abyatina berterusan hampir
seminggu. Kerisauan muncul, dan saat itu jugalah Rizqullah kembali semula ke
kampung. Rizqullah terus menemani Abyatina di kampung, mengambil cuti beberapa
hari.
“Kenapa Ina?” soal Rizqullah di suatu malam.
“Abang.... bawa Ina pulang ke rumah...” pinta Abyatina
dengan ringkas.
Maka, di akhirnya, Abyatina pulang bersama Rizqullah.
Persiapan bagi majlis pertunangan Absyar semakin rancak
berjalan. Hanya tinggal sehari sahaja, maka masing-masing semakin sibuk. Saat
ini, Abyatina masih lagi belum pulang ke kampung. Maka, ibu Abyatina semakin
resah, ternanti-nanti kehadiran anaknya itu di kampung. Rata-rata hairan dengan
ketidakhadiran Abyatina saat ahli keluarga yang lain telah pun berkumpul.
Kelibat Tasha turut kelihatan di rumah ustaz Man. Jarak
rumah yang dekat menyebabkan Tasha kadangkala berkunjung ke rumah tersebut.
Namun kemunculan bakal tunang Absyar itu hanyalah sekadar persinggahan,
menghantar kuih muih yang dibuat oleh ibu Tasha. Kuih muih yang dihantar
sekadar untuk dijamu buat sesisi keluarga ustaz Man di rumah.
“Kita ni bertungkus lumus buat persiapan macam nak buat
persiapan kahwin gayanya...” luah Raiqah.
“Alah, selagi dalam kemampuan, tak apa...” balas ibu Abyatina.
Minum pagi bersama seisi keluarga di dapur diisi dengan perbualan kosong. Saat
ini, Absyar telah keluar ke pekan, membeli sedikit barang untuk makan malam
nanti.
“Tapi, masa Abyatina dulu, tak ada sehebat ni
persiapannya...” kata Zaafarani.
“Itu Abyatina. Semuanya nak biasa-biasa saja. Sederhana
memang selalu pilihannya,” balas Raiqah.
“Ya, dan sampai sekarang Abyatina tak pulang-pulang.
Esoknya Absyar nak bertunang, macam keluarga ni dia dah buang. Malanglah
nasibnya, bersuami si lelaki yang tak sedar dek untung,” kata Zaafarani sedikit
geram.
“Mu, jangan buat andaian kalau mu tak tahu pokok pangkal
ceritanya...” balas ibu Abyatina.
“Memang dari dulu Zaf tak suka Abyatina kahwin dengan
Rizqullah. Memang ada yang tak kena. Tapi... semuanya tak nak dengar. Memang
Abyatina pendam rasa. Cakap di mulut, katanya bahagia. Tapi dalam hati, siapa
yang tahu...” kata Zaafarani.
“Lunturkan dendam kesumatmu. Kalau itulah sikapmu, sampai
bila-bila pun Rizqullah akan berat hati nak ke mari ke kampung ni,” luah ustaz
Man tiba-tiba mencelah. Masing-masing terkejut. Ustaz Man yang hanya membisu
sahaja sebelumnya tiba-tiba mula membalas kenyataan Zaafarani.
“Tapi wajarkah si Rizqullah kalau si Abyatina tu
menderita berseorangan?” soal Zaafarani.
“Siapa dirimu nak buat kesimpulan sebegitu? Mu faham
benar dengan si Rizqullah tu? Jangan menghukum tanpa memahami...” balas ustaz
Man.
Zaafarani tunduk lalu membisu. Sekali lagi rasa tidak
puas hati diluahkan Zaafarani pada pagi itu. Rizqullah dan Zaafarani, dua nama
yang tidak boleh bersama. Perseteruan di antara mereka masih terus berlaku.
“Kehidupanku kini, indah bahagia, kerana kamu mengubah
hidupku. Ini adalah kisahku kini, berliku, perit, namun itulah nikmatnya. Ini
adalah kisahku kini, akan diingati sebagai satu kenangan. Kerana kisahku kini,
maka kisahmu yang lalu bertukar dari perit kepada bahagia. Kerana kisahku kini,
ku bersyukur menjadi sebahagian dirimu...”
Abyatina tersenyum saat membaca helaian kertas yang
diselitkan di dalam buku nota kecilnya yang diletakkan di atas meja di bilik.
Helaian kertas itu diselitkan Rizqullah. Hanya pada pagi itu, Abyatina
menyedari kertas yang terselit itu.
“Abang adalah seumur hidup Ina...” bisik Abyatina
tersenyum.
Memang menjadi kebiasaan buat Abyatina untuk saling
menyelitkan nota-nota kecil ke dalam buku dan diari masing-masing. Apabila
Abyatina menulis sesuatu di atas kertas kecil, maka nota itu kemudian akan
diselitkan ke dalam diari Rizqullah. Setiap kali itu jugalah, Rizqullah akan
membalas kembali nota kecil itu sebelum diselitkan pula ke dalam buku nota
Abyatina yang senantiasa diletakkan di atas meja di bilik. Mereka saling
berkomunikasi menerusi helaian nota kecil, mungkin melahirkan rasa romantis
yang hanya dapat diluahkan menerusi mata pena.
“Tak semua bicara dapat dituturkan dengan kata-kata
bukan?” soal Rizqullah tiba-tiba masuk ke bilik. Abyatina sedikit terkejut.
Dengan pantas Abyatina meletakkan kembali buku notanya di atas meja.
“Mata pena ada suaranya tersendiri..” balas Abyatina
tersenyum.
“Andai senyuman itu terjelma, itu adalah satu keajaiban
dari seorang wanita,” kata Rizqullah berbicara dalam nada berpuisi. Dicuit
sedikit pipi Abyatina.
Perbualan mereka terhenti tatkala terdengar salam diberi
di luar rumah. Pagi itu, Abyatina dan Rizqullah dikunjungi tetamu.
Masing-masing terkejut saat mengetahui tetamu itu ialah Zabarjad, adik
Abyatina, anak kelima ustaz Man. Zabarjad muncul bersendirian datang ke rumah
Abyatina dengan menaiki bas.
“Seorang?” soal Abyatina saat Zabarjad naik ke rumah.
“Kak Cik dah lupa sesuatu?” soal Zabarjad kembali.
“Lupa? Apa yang dilupakan?”
“Itulah tujuan Jad datang. Sekadar nak ingatkan apa yang
dah terlupa....”
“Kak tak faham....”
Rizqullah kemudian muncul di ruang tamu. Salam dihulurkan
buat Zabarjad tanda menyambut kedatangan adik iparnya itu. Kunjungan mengejut
Zabarjad ternyata menghairankan Abyatina dan Rizqullah.
“Ada sesuatu yang terlupa ke?” soal Rizqullah.
“Atau memang sengaja Bang Cik dengan Kak Cik lupa?”
“Sengaja?” soal Abyatina dan Rizqullah serentak. Masing-masing
berpandangan.
“Aduhai.....” keluh Zabarjad menggelengkan kepala.
“Kenapa? Apa yang berlaku hari ni?” soal Abyatina masih
kehairanan.
“Cincin tersarung tanda si gadis telah disunting. Maka
bermulalah kisah baru buat Tasha dan Absyar...” balas Zabarjad bermadah
sedikit, sekadar mencipta suasana berbeza dalam perbualan.
“Hah, hari ni ke?” soal Abyatina terkejut.
Ternyata peristiwa penting buat Absyar terlepas pandang
bagi Abyatina dan Rizqullah. Pada sangkaan mereka, pertunangan Absyar hanya akan
berlangsung pada minggu berikutnya. Lantas masing-masing tersenyum.
“Apa yang Kak Cik dengan Bang Cik buat di sini? Sampai
boleh terlupa pertunangan abang Syar...” soal Zabarjad.
“Oh, jadi kunjungan kamu ni nak jemput kami ke sana?” soal
Abyatina tidak menjawab pertanyaan Zabarjad.
“Jadi, apa ditunggu lagi? Cepat-cepatkanlah siapkan diri.
Majlis tunang masih sempat kalau nak pergi sekarang,” balas Zabarjad.
“Ina pergilah dengan Jad. Abang biar di sini...” kata
Rizqullah.
Abyatina terkejut.
“Kenapa?”
“Abang izinkan Ina pulang dengan Jad. Pakailah kereta abang tu. Jad bawak
ya...” balas Rizqullah.
Abyatina membisu. Zabarjad hanya mampu melihat wajah
kakaknya yang tiba-tiba sugul. Tak lama
kemudian, setelah bersiap-siap, maka Abyatina bertolak pulang ke kampung. Zabarjad
pulang ke kampung membawa Abyatina, namun tidak berjaya memujuk Rizqullah untuk
ikut bersama.
“Kenapa akak? Kenapa berat hati Bang Cik nak balik
kampung?” soal Zabarjad sewaktu dalam perjalanan.
Abyatina hanya membisu. Namun Abyatina faham, berat hati
Rizqullah itu kerana dia tidak mahu
berjumpa Zaafarani di kampung. Itu sahajalah sebab yang bermain-main di fikiran
Abyatina.
Sejam perjalanan, maka Abyatina tiba di kampung. Ibarat
seperti menunggu kehadiran Abyatina, rombongan pertunangan Absyar bertolak saat
Abyatina tiba. Lantas Abyatina menyertai rombongan tersebut yang disertai
kesemua ahli keluarga Abyatina. Ustaz Man turut berada dalam rombongan itu,
berjalan dengan tenang menggunakan tongkat. Walaupun perlahan langkahnya, ustaz
Man masih tetap menggagahkan diri. Rombongan hanya berjalan kaki kerana jarak
rumah Tasha tidaklah beitu jauh.
“Syukurlah. Ayahmu dah boleh jalan...” luah ibu Abyatina
kepada Abyatina.
“Sepantas itu boleh kembali jalan?” soal Abyatina
terkejut.
“Kuasa Allah, dan usaha yang tak jemu, maka hasilnya
mengejutkan...” balas ibu Abyatina tersenyum.
Benar, sejak ustaz Man berjaya berdiri dan berjalan,
setiap hari ustaz Man akan ke halaman rumah. Tanpa jemu, hari demi hari digagahkan
diri untuk dibiasakan kakinya untuk melangkah. Memang pada awalnya agak sukar,
namun berkat kesabaran ustaz Man dibantu pula Zabarjad dan Rafiqin, maka
semakin hari semakin kuat langkahnya.
“Kalau kita kuat azamnya, Allah pun akan bagi
kemudahan....” kata ustaz Man saat berjalan bersama-sama ahli rombongan yang
lain.
Rombongan yang sedang berjalan menuju ke rumah Tasha itu
ternyata menarik perhatian penduduk kampung. Sangat jarang untuk melihat
perarakan beramai-ramai seluruh ahli keluarga ustaz Man. Itulah kali pertama
rombongan meminang bergerak dengan hanya berjalan kaki ke rumah pihak
perempuan. Maka, berbondong-bondonglah penduduk kampung melihat mereka. Ada
yang turut mengikut rombongan tersebut. Ada pula sekadar menjadi penonton di
tepi jalan.
“Ini kalau kena kompang memang sedap ni...” seloroh
Zabarjad.
Serentak dengan itu juga, maka bunyi pukulan kompang
kedengaran. Maka, masing-masing terkejut. Bunyi yang datang secara tiba-tiba
itu muncul dari arah belakang.
“Nak kompang? Mari sama-sama berjoget sambil berkompang!”
jerit Rafiqin.
Rafiqin muncul entah dari mana. Secara tiba-tiba terus
membawa sekumpulan ahli kompang. Mungkin ahli kompang sekolahnya kerana kesemua
ahli kompang tersebut muda-muda belaka. Namun, kejutan itu ternyata mewujudkan
suasana yang cukup kecoh. Orang kampung ada yang ketawa melihat situasi yang
terjadi.
“Dari mana pula si Rafiq ni muncul? Bukan ada dengan kita
ke tadi?” soal ibu Abyatina terkejut dan hairan.
Pukulan kompang makin kuat, memeriahkan suasana
perjalanan rombongan pertunangan itu.
“Kawan-kawan, pukul lagi kuat kompang! Kasi gegar kampung
ni!” jerit Rafiqin bersemangat.
Namun tak semena-mena Mak Cik Ros muncul di sebelah
Rafiqin. Dengan pantas telinga Rafiqin dipulas Mak Cik Ros.
“Mu ingat ni majlis kahwin? Nak dipulas lagi kuat telinga
ni?” ngomel ibu Abyatina kepada Rafiqin. Serentak dengan itu juga paluan
kompang tiba-tiba terhenti. Masing-masing terkesima. Ada juga yang terlepas
pegangan kompangnya.
“Hah, yang lain ni teringin nak kena pulas juga ke
telinganya?” soal Zaafarani mengusik ahli kumpulan kompang yang lain.
Lantas serentak dengan itu masing-masing lari lintang pukang
meninggalkan rombongan. Ketawa kedengaran selepas itu. Situasi lucu tercipta.
Ustaz Man yang mengetuai rombongan hanya mampu menggelengkan kepalanya. Sedikit
senyuman terukir di wajahnya.
“Macam-macam si Rafiqin... Ada saja kisahnya,” luah ustaz
Man.
Setibanya di rumah pihak perempuan, ayah Tasha, cikgu
Razali terus menyambut rombongan. Soalan
pertama terus diajukan saat mereka tiba.
“Hari ni ada majlis kahwin di kampung ni ke? Tadi bukan
main rancak bunyi kompang?” soal cikgu Razali.
“Hah, memang pun. Tadi memang ada orang kahwin. Tiba-tiba
pengantin lelaki lari lintang pukang,” balas ustaz Man berseloroh sambil
menjeling anaknya Rafiqin yang masih lagi memegang telinganya menahan pedih akibat
dipulas oleh Mak Cik Ros.
“Pulak?...” tersenyum cikgu Razali.
Lantas rombongan pihak lelaki masuk ke dalam. Ahli
keluarga pihak perempuan menyambut dengan penuh mesra. Masing-masing
bersalam-salaman. Sebaik disambut, maka hadirin pun duduk di hamparan
permaidani. Majlis pertunangan bakal bermula.
Saat ini, Abyatina masih lagi berada di luar rumah.
Matanya masih meninjau-ninjau ke arah jalan. Wajahnya agak sugul, mungkin masih
mengharap agar suaminya Rizqullah muncul dalam majlis itu. Namun, tanpa diduga
saat berada di luar, Yaqzan muncul tanpa diundang.
“Saya tau Rizqullah tak ke mari...” kata Yaqzan tiba-tiba.
“Jadi, kalau tak datang pun ... kenapa? Ada masalah?”
balas Abyatina sedikit kasar.
“Dan saya tahu rahsia yang Ina pegang... rahsia terbesar
Ina, sampaikan Rizqullah pun tak tahu...” kata Yaqzan yang semakin mengahmpiri
Abyatina.
“Apa yang awak cakap ni?” soal Abyatina sedikit takut.
“Dari hari tu lagi saya nak cakap kat Ina. Tapi....
itulah, tak pasal-pasal Rizqullah tumbuk saya...” kata Yaqzan. Kata-katanya itu
dibisikkan ke telinga kanan Abyatina.
“Apa ni?...” Abyatina semakin tidak selesa saat Yaqzan
berbisik ke telinganya.
Lantas Abyatina terus berlari masuk ke dalam. Yaqzan
mengejar Abyatina. Keresahan muncul di wajah Abyatina. Kata-kata Yaqzan
menakutkannya. Sebaik masuk ke dalam, Abyatina terus duduk di sebelah kakaknya
Raiqah. Yaqzan terkandas di muka pintu. Majlis pertunangan hanya menunggu masa
untuk dimulakan. Lantas saat itu jugalah, Yaqzan bersuara di muka pintu.
“Saya tahu, anak dalam kandunganmu bukan anak Rizqullah!”
kata Yaqzan kepada Abyatina yang berada di dalam. Kata-katanya itu didengari
hadirin di rumah itu.
Masing-masing terkejut. Kata-kata yang dilemparkan itu
ternyata satu tuduhan yang cukup besar. Situasi kemudian bertukar kecoh. Ibu
Abyatina mengurut-urut dadanya disebabkan tidak dapat menerima kejutan yang
cukup besar itu. Raiqah serta merta memandang Abyatina. Ustaz Man pula hanya
mampu membisu. Zabarjad menghampiri Abyatina. Zaafarani pula bingkas bangun.
Masing-masing memandang Abyatina. Hanya mampu tunduk
tanpa sebarang bicara, itulah yang dialami Abyatina. Saat itu, Zaafarani
menarik Yaqzan keluar. Perbualan tercetus di antara mereka berdua.
“Permainan apa yang mu buat ni?” soal Zaafarani.
“Ini bukan permainan. Ini kebenaran,” balas Yaqzan.
Abyatina menitiskan air matanya. Kepedihan dirasainya
ketika ini. Kata-kata berbentuk tuduhan yang dilemparkan di hadapan hadirin
yang ramai itu ternyata mengguris maruahnya sebagai seorang wanita.
“Kalaulah abang ada saat ni...” bisik Abyatina sendirian.
Wajah Rizqullah muncul di fikirannya. Sedihnya tak dapat dibendung lagi dan
kekalutan masih lagi berterusan.
*Tamat sudah Bicara Dua Puluh Satu*
Benarkah dakwaan Yaqzan itu?
**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”
p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari
perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri
kekaguman buat saya.
*Terima kasih kepada saudari Mastura atas memberi izin bagi menyiarkan
gambar beliau dalam siri kali ini. Untuk mengetahui lanjut mengenai
beliau, layari blognya: masturarama2.blogspot
Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina
Ulasan