Jumaat, 11 Januari 2013

Muhasabah Jumaat: Tudung dan menutup aurat lagi?








Isunya mungkin seringkali dinyatakan, dan sehingga kini masih ramai yang memperkatakannya. Ya, isu aurat dalam kalangan wanita hari ini, tanpa henti masih terus dibincangkan. Mengapa tak berhenti isu ini? Apakah disebabkan ramai wanita tidak menutup aurat?

Mungkin tidak memahami, atau mungkin sengaja buat-buat tak tahu. Ada yang berpendapat menutup itu adalah menutup kepala dari pandangan umum. Asal rambut tak nampak, itu dah dikira tutup aurat. Bahagian lain tak dikisahkan sangat. Janji tak nampak kulit.

Itulah bermula teori baru dalam menutup aurat. Jangan bagi nampak kulit. Tutup kulit itu. Teori inilah yang menyebabkan ramai wanita dengan selamba berpakaian ketat. Legging, jeans ketat, t-shirt saiz ‘XS’, dan segala macam mak nenek pakaian yang rata-ratanya ketat dan sendat dipakai oleh Muslimah kini. Pakaian itu kemudian digabungkan pula dengan tudung yang pelbagai fesyen. Tudung pula ada sesetengahnya tak ikut syarak pun. Fesyen berlebihan hingga tudungnya dah tak kelihatan seperti tudung.

Mungkin kebanjiran fesyen yang kononnya Muslimah ini berpunca daripada arus pemikiran sekular yang merebak dalam generasi hari ini. Hakikatnya, kemodenan yang dicari generasi hari ini berkiblatkan Barat yang rata-rata bukanlah berpaksikan pada syariat Islam itu sendiri. Bagi mereka, dengan berpakaian seperti kaum wanita di Barat, berjeans dan berbaju sendat itu adalah cerminan ‘up to date’ mereka. Dirasakan mereka mengikut arus kemodenan.

Inilah namanya kesesatan.

Agak hairan apabila kaum wanita hari ini tidak merasa segan tatkala berpakaian sedemikian. Dengan pakaian yang sendat, maka semestinya segala yang ‘bonjol’ itu akan kelihatan. Tidak malukah mereka tatkala bentuk dada dan bentuk pinggul mereka menjadi bahan tontonan dan bahan hiburan orang lain? Atau memang disengajakan ditonjolkan bahagian ini kerana dirasakan itu adalah aset kebanggaan diri? Andai itulah pemikirannya, maka jahillah individu itu.

Begitu juga dalam soal bertudung. Banyak yang dah lari dari tuntutan menutup aurat yang sebenar. Ada yang bertudung, tapi tudungnya itu singkat, langsung tidak menutupi bahagian dada. Ada pula bertudung, tapi tudungnya itu jarang, hingga bahagian tengkuk dan rambut dapat dilihat dengan jelas. Ada pula yang bertudung, tapi mungkin untuk kelihatan lain, bonggol di belakang ditinggikan. Ada pula bertudung, namun dibelit-belitkan hingga tanpa sedar dah menyamai serban ‘pak cik Sing’ yang tinggi lampai tu.

Terus terang dinyatakan artis seperti Yuna adalah contoh buruk bagi imej bertudung. Hakikatnya Yuna bukanlah Muslimah yang perlu menjadi ikutan generasi hari ini dalam soal pemakaiannya. Begitu dengan Shila Amzah. Walaupun baru bertudung, seharusnya Shila berhati-hati untuk berfesyen. Kelihatan kini fesyen Shila semakin mengarut, langsung tidak mengikut kehendak menutup aurat yang sebenar.

Contohi Wardina. Memang diakui pada awal Wardina mula menutup aurat, fesyen Wardina tidaklah mengikut tuntutan menutup aurat yang sebenar. Namun perlahan-lahan Wardina belajar dan memahami erti sebenar menutup aurat. Maka, sedikit demi sedikit pemakaian Wardina semakin diperbetulkan, dan kini bolehlah dikatakan Wardina telah menjadi contoh yang baik buat peminatnya.

Aurat bukan sekadar kulit. Aurat itu juga bererti bentuk tubuh. Maka, apabila menutup aurat, ertinya bentuk tubuh itu perlu dilindungi dengan baik. Bagaimana bentuk tubuh itu dapat dilindungi andai pakaiannya itu sendat dan ketat?

Sama-sama fahami surah an-Nur, ayat 31 yang menerangkan dengan jelas tentang persoalan menutup aurat ini:

 "Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada perempuan-perempuan yang beriman, hendaklah mereka menahan (sebahagian) daripada pandangan mereka (daripada memandang lelaki yang ajnabi) dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.Dan hendaklah mereka menutup kain tudung (khumur) ke dada mereka, dan janganlah menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami mereka atau saudara-saudara mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba abdi yang mereka miliki atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan) atau anak-anak yang belum mengerti aurat perempuan. Dan janganlah mereka memukulkan kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu mencapai falah, yakni mendapat keuntungan, kemenangan atau kebahgiaan yang hakiki."
(Surah an-Nur, ayat 31)

Hakikatnya, masalah aurat dalam kalangan wanita hari ini haruslah dijelaskan dan diterangkan secara berterusan. Benar, mungkin ada yang kurang faham tentang tuntutan sebenar menutup aurat. Mungkin ada yang separuh masak memahami tuntutan aurat ini. Oleh itu, sama-samalah kita saling ingat mengingati dan saling menyebarkan ilmu tentang menutup aurat ini.

Insya-Allah, andai ada usaha, maka mungkin akan ramai yang akan sedar dan memahami erti sebenar menutup aurat.

Wallahualam.



1 ulasan :

perantauminda berkata...

setuju bro..

...................
Elok dibaca blog di bawah ini:
Supaya wanita Melayu kita sedar tentang AURAT..

http://wanitamelayuseksa.blogspot.com