"Adina (Bicara Dua Puluh)"







“Bila diperhati pada burung, maka bebas itu bagai dirasa. Bila dilihat pada awan, maka ketenangan menyusup jiwa. Bila hijau santapan mata, maka serabut itu berganti damai. Bila isteri patuh pada suaminya, maka berkat itu dinikmatinya”

“Mungkin ada benarnya,” monolog Abyatina.

“Apa yang benarnya?” soal ibu Abyatina kehairanan.

Tanpa sedar, monolog bertukar menjadi bicara kata-kata. Abyatina tidak sedar dia bersuara saat bermonolog sendirian. Cucur udang sedang digorengnya, dan tahulah ibu Abyatina bahawa anaknya itu sedang berangan.

“Mu ni, berangan tak sudah. Nanti lahir anak pun, berangan tak sudah,” kata ibu Abyatina.

Sekadar tersenyum sahaja, sambil jari jemarinya bermain-main dengan udang yang telah disalut dengan tepung. Namun tidak pula dimasukkan udang tersebut ke dalam kuali. Masih terus melayan lamunan yang tak sudah.

“Jadi ke Rizqullah datang tengah hari ni?” soal ibu Abyatina. Lamunan Abyatina terhenti serta merta.

“Kalau dah berjanji, pandai-pandailah pegang janjinya. Kalau dah kata tengah hari, harap-harap sampailah tengah harinya...” balas Abyatina tersenyum.

“Iyalah... Jangan sampai ke petang sampai pun tidak, yang kat rumah ni matanya merah tahan sedih,” perli ibu Abyatina.

“Itulah nak sangat tinggal kat kampung. Suami di sana dibiarkan sendirian,” bicara Raiqah, kakak Abyatina yang tiba-tiba muncul di dapur. Halaman rumah telah disapu Raiqah, dan kelihatan kakak Abyatina itu sedikit keletihan saat muncul di dapur.

“Kalau dah suaminya izin, tak apa...” balas ibu Abyatina.

“Mau tak si Rizqullah izinkan kalau si Abyatina ni muram sepanjang masa kat sana...” usik Raiqah.

“Muram tu sebab berisi di dalam....” balas ibu Abyatina.

Abyatina sekadar tersenyum dengan usikan itu. Tiada bicara, hanya membisu. Tekun menggoreng cucur udang di dapur. Pagi dingin dimulakan dengan keceriaan.

Hampir dua minggu Abyatina di kampung. Semakin lama semakin selesa walaupun kadangkala rasa rindu pada Rizqullah wujud. Mungkin agak janggal tatkala Abyatina dan Rizqullah tinggal berasingan, namun semuanya dilakukan demi kegembiraan Abyatina.

“Rasanya, elok saja kalau Ina tinggal di kampung. Mungkin Ina lebih gembira di sini. Ada kawan, ada teman nak berbual. Kalau di rumah sana, selalu sendirian,” kata Rizqullah pada petang dia menghantar Abyatina ke kampung.

“Tapi, tempat isteri di sisi suami...” balas Abyatina.

“Tak apa... yang penting kesihatan Ina. Orang yang berbadan dua ni kena jaga elok-elok. Salah jaganya, mungkin bahaya kandungan nanti,” kata Rizqullah.

“Tapi... Ina tak nak tinggalkan abang sendiri di rumah...”

“Alah, tiap-tiap hujung minggu abang boleh balik kampung kan.... Boleh tengok Ina,” balas Rizqullah tersenyum.

Maka, di akhirnya Abyatina dihantar ke kampung. Mungkin bunyinya bahagia buat Abyatina, namun mungkin mengundang kisah kurang enak dari orang kampung. Itulah tercetus kisah kononnya Abyatina dan Rizqullah telah bercerai.  Ada pula menambah lagi perisa cerita dengan menyatakan bahawa Rizqullah telah kahwin dua.

Di pihak keluarga Abyatina pula, Zaafarani, abang Abyatina menjadi pembangkang besar terhadap tindakan menghantar Abyatina ke kampung. Disokong pula Pak Long, maka mereka berpendapat Rizqullah seolah-olah melepaskan tanggungjawabnya terhadap Abyatina.

“Bininya mengandung, patutnya dijaganya. Tapi ditolak Abyatina balik ke kampung. Suami apa tu?” soal Zaafarani di suatu malam.

Namun, hanya Rizqullah dan Abyatina sahaja yang tahu tujuan sebenar Abyatina dihantar ke kampung.  Seperti lumrah, suami dan isteri banyak rahsianya.

“Jangan dipersoalkan setiap tindakan Rizqullah. Pasti ada sebabnya,” luah ustaz Man.

Ustaz Man kini banyak menghabiskan masa di ruang tamu sahaja. Tubuhnya semakin hari semakin tak terdaya untuk bergerak. Jika dulu, ustaz Man mampu turun ke bawah dengan mengensot-ensot perlahan-lahan menuju ke tangga, kini  semuanya telah berubah. Ustaz Man banyak menghabiskan masa duduk di kerusi dan tidur di atas katil. Kakinya yang lumpuh semakin hari menyebabkan dirinya semakin kurang bergerak.

Ibu Abyatina sedar akan hakikat tersebut. Disebabkan itu jugalah, ibunya senantiasa mengajak seisi keluarga menghabiskan banyak masa di ruang tamu. Moga tidak kesunyian ustaz Man di ruang tamu. Malah, seringkali sesi makan malam dan tengah hari berlangsung di ruang tamu. Benar, mungkin ustaz Man terbatas pergerakannya, namun untuk merasai kesunyian, itu satu kemustahilan.

“Kalaulah ayah dapat berjalan semula...” luah Abyatina.

“Insya-Allah, moga ada jalannya satu hari nanti...” luah Mak Cik Ros, ibu Abyatina.

“Ayah tak macam dulu....” luah Raiqah pula.

Rafiqin adik bongsu Abyatina pulang dari sekolah petang itu. Khabar berita dibawanya mengejutkan sedikit seisi keluarga. Dinyatakan bahawa kepulangan Rafiqin dari sekolah bukan seperti biasa iaitu dengan menaiki bas. Kepulangan Rafiqin dihantar oleh seorang wanita dengan menaiki kereta.

“Siapa orangnya? Dan kenapa mudah saja naik keretanya? Bahaya kalau membuta saja tumpang orang” soal Mak Cik Ros.

“Kak Tasha yang ambil tadi...”

“Tasha?” soal Raiqah dan Abyatina serentak. Masing-masing terkejut.

“Kenapa diambilnya si Rafiq ni?” soal ibu Abyatina.

Lantas fikiran Abyatina melayang kembali terhadap peristwa yang berlaku beberapa minggu sebelumnya. Saat kaki mahu melangkah meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung, seorang wanita tiba-tiba muncul dengan keretanya di halaman.  Maka perancangan untuk menghantar Abyatina ke kampung tergendala seketika. Lantas dijemput wanita itu naik ke rumah.

“Silakan naik Tasha,” pelawa Abyatina.

“Terima kasih”

Memang agak kekok perjumpaan petang itu. Masing-masing lebih banyak membisu berbanding berbicara. Namun, sebagai tetamu, Abyatina cuba melayan sebaik mungkin kehadiran Tasha di rumahnya. Di satu penjuru ruang tamu itu, Rizqullah duduk di kerusi sambil memerhati dari jauh Tasha dan Abyatina yang sedang berbual.

“Maaf sebab kunjung tak dijemput...” kata Tasha tersenyum kecil.

“Eh, tak apa. Tetamu yang datang satu rahmat...” balas Abyatina tersenyum.

“Tak apa.... orang lawa mai sini, saya tak ada masalah. Nak bermalam kat sini pun boleh...” kata Rizqullah tiba-tiba berseloroh. Maka serentak dengan itu jelingan tajam muncul dari Abyatina. Lantas, serta merta Rizqullah tertunduk, terus membisu tak lama selepas itu.

Tasha tersenyum mendengar usikan dari Rizqullah itu.

“Kebetulan saya dari Lumut, dua hari di sana ada urusan kerja. Bila lalu di sini, terus teringat pada Abyatina. Itu disinggah kejap nak berkenal-kenalan...” bicara Tasha.

“Oh itu ceritanya. Tapi, macam mana boleh tahu kami tinggal di sini?” soal Abyatina kehairanan.

“Dari Absyar...” balas Tasha.

Itulah perjumpaan pertama kali antara Abyatina dan Tasha. Namun, kemesraan jelas terwujud saat mereka berbual. Hakikatnya Tasha punyai hasrat yang terpendam. Hasratnya itu disimpan agak lama sejak Absyar terlantar di hospital akibat cedera ditikam. Maka petang itu, Tasha berbicara dengan tenang meluahkan hasratnya itu pada Abyatina.

“Mungkin ibarat perigi terkinja-kinja mencari timba. Tapi tak salah kalau langkahnya dimulakan dulu. Mungkin kelihatan agak sumbang, namun tak salah meluahkan harapan,” luah Tasha.

“Setiap manusia ada perasaan dan hati...” kata Abyatina.

“Sebab itu.... saya... berharap sangat, moga-moga Abyatina dapat tolong saya...” kata Tasha dengan penuh harapan.

“Insya-Allah , selagi ada kekuatan, mana yang boleh, akan ditolong. Tapi, apa yang nak ditolong?” soal Abyatina, walaupun tenang namun masih lagi dalam persoalan dan kehairanan.

“Tolong saya.... supaya..... Tasha dan Absyar menjadi satu nama dalam ikatan...” balas Tasha tenang.

Petang itu, Abyatina menjadi tempat berharap Tasha. Harapan supaya Absyar menjadi sebahagian daripada hidup Tasha.

“Jadi, di mana Tasha?” soal ibu Abyatina sambil meninjau-ninjau ke arah tinggap, mengharap agar dapat melihat kelibat Tasha.

Perbualan rancak muncul kembali  saat Abyatina berada dalam lamunan yang panjang, terkenang kembali kunjungan Tasha di rumahnya. Masing-masing kehairanan saat mengetahui bahawa Rafiqin pulang dihantar Tasha.

“Rafiq minta hantar depan masjid. Senang sikit kak Tasha. Tak payah patah balik ke rumahnya, “ balas Rafiqin memberi penjelasan. Benar, rumah Tasha berhampiran masjid, dan rumah mereka terletak ke dalam sedikit.

“Rasanya, mungkin ada yang perlu diterangkan di sini...” bicara Abyatina tiba-tiba. Serentak dengan itu, seisi keluarga tertumpu pada Abyatina.

“Apa yang nak diterang?” soal ustaz Man tiba-tiba bersuara. Ustaz Man sedang berehat di atas kerusi. “Mu ni dah macam pengacara TV tu... apa namanya tu... Normalas.... Normalas.... Normalas.....”

“Bukan Normalas.... tapi Normala, ” ibu Abyatina mencelah. “Normala...”

“Samsuddin...” Rafiq, Raiqah, Abyatina, dan Zabarjad berkata serentak diikuti ketawa seisi keluarga.

“Hah, yang tu....Kalau jadi bini nombor dua, memang bahagia sampai ke syurga” balas ustaz Man bergurau.

“Amboi....” balas ibu Abyatina. “Padahal dulu waktu muda, terhegeh-hegeh nak pinang kita. Sampai usung habis budak-budak kampung bawak seorang sekuntum bunga ros...” ungkit Mak Cik Ros.

Seluruh ruang tamu diisi dengan gelak ketawa. Gurauan menceriakan sedikit ustaz Man.

“Jadi kenapa Abyatina? Apa ceritanya?” soal Raiqah mengembalikan perbualan asal.

“Rasanya mungkin kita kena hantar rombongan ke rumah Tasha tu...” balas Abyatina.

“Meminang?” soal ibu Abyatina.

“Tapi.... sudi ke Cik Tasha tu?” soal Raiqah.

“Dan, sudi ke abang Syar dengan Cik Tasha tu?” soal pula Rafiqin.

“Benda baik kalau nak dibuat, seeloknya tanyalah dulu pada empunya. Tanya dulu Absyar. Kalau setuju, kita ‘on’ jelah...” ustaz Man memberikan pendapat. Senyum saja ustaz Man petang itu.

Masing-masing mengalihkan pandangan, tertumpu pada ustaz Man di kerusi. Masing-masing kelihatan bersetuju dengan pendapat ustaz Man.

“Bab si Absyar tu memang tak ada masalah. Tapi macam mana pula si Tasha? Takkan nak terjah tanpa silidik dulu kesudiannya?” terang pula ibu Abyatina.

“Kalau dah sampai datang ke rumah Ina, dan kemudian minta diusahakan sesuatu supaya Absyar menjadi teman hidupnya, takkan tak sudi lagi Cik Tasha tu?” kata Abyatina.

“Hah?”

Masing-masing terkejut. Pandangan mereka kemudian beralih dari ustaz Man ke Abyatina. Abyatina  pula yang menjadi fokus di ruang tamu itu.

“Tasha datang rumahmu?” soal ibu Abyatina terkejut. “Bila?”

“Hai, nampaknya dah jadi macam drama kat TV. Pusing sana, pusing sini, terkejut kat sana, terkejut di sini...” kata Raiqah tersenyum.

Absyar baru saja keluar dari hospital. Namun petang itu kelibatnya tiada. Mungkin menghabiskan masa di rumah sahabatnya, berbual-bual kosong sambil menikmati angin petang di tepi sawah. Itulah kebiasaan bagi Absyar.

“Jadi, bila nak kembali mengajar si Absyar tu? Panjang lagi ke rehatnya?” soal Mak Cik Jah di suatu pagi saat Mak Cik Ros, ibu Abyatina sedang menyapu daun-daun kering di halaman rumah.

“Katanya, minggu depan. Cuti sakitnya masih ada lagi...”

“Oh, dan betul ke mu nak minang anak Fatma tu? Apa namanya..... alah....”

“Tasha...”

“Hah, si Tasha tu. Betul ke?” soal Mak Cik Jah. Bagai wartawan sedang menyoal artis gayanya.

“Sebab tulah aku panggil mu ke mari...”

“Nak ditolong lagi?” soal Mak Cik Jah ketawa kecil. Benar, Mak Cik Jahlah orang yang bertanggungjawab mempertemukan jodoh di antara Abyatina dan Rizqullah satu masa dulu. Kini sekali lagi khidmat pakarnya diperlukan.

“Iyalah, mu dah biasa dengan urusan-urusan macam ni kan... Kenalah minta pada yang berpengalaman,” balas ibu Abyatina.

“Insya-Allah. Boleh saja. Tapi, macam mana pula si Absyar tu boleh berkenan dengan si Tasha? Macam mana mereka tu kenal?” soal Mak Cik Jah.

“Kalau Absyar tak masuk hospital, mungkin seru jodoh tak sampai lagi,” balas ibu Abyatina tersenyum.

Kisahnya terjadi saat Absyar ditikam di warung tersebut. Secara kebetulan pada waktu itu, Tasha baru saja pulang dari kedai runcit berhampiran warung itu. Saat melihat Absyar rebah ditikam, maka sepantas itu jugalah Tasha berlari mendapatkan Absyar. Petang itu, Tasha bersusah payah membawa Abysar ke hospital. Hakikatnya, itulah pertama kali Tasha melihat Absyar. Semuanya berlaku dengan cukup pantas.

“Bayangkan, setiap hari Tasha akan melawat si Absyar tu. Kadang-kadang sampai temankan Absyar sepanjang malam...”terang ibu Abyatina.

“Ada apa si Tasha tu dengan Absyar?” soal Mak Cik Jah.

“Mungkin cinta pandang pertama kot...” celah Abyatina tiba-tiba muncul di halaman rumah. Mak Cik Jah sedikit terkejut.

“Waduh....kamu ni.... bikin terperanjat sama aku...” Mak Cik Jah melatah berbahasa Indonesia.

“Kok kamu udah mengandung. Jangan dibikin kejut sama yang lain...” ibu Abyatina turut menyertai sesi latah bahasa Indonesia itu. Berseloroh nadanya.

Masing-masing kemudian ketawa. Pagi itu, Mak Cik Jah bersarapan bersama keluarga Abyatina. Agak lama Mak Cik Jah tidak berkunjung. Agen si pencari jodoh itu memang senantiasa sibuk di kampung. Ramai yang meminta pertolongannya untuk mencari jodoh.

“Kena bukak bisnes baru ni. Boleh jadi agen pencari jodoh..” seloroh ibu Abyatina saat bersarapan bersama Mak Cik Jah.

Selepas bersarapan, sesi perbincangan serius berlaku di antara Mak Cik Jah, ibu Abyatina, dan ustaz Man. Walaupun pagi itu ustaz Man tidak begitu sihat, namun perbincangan tetap diteruskan. Aturan perancangan rombongan meminang Absyar sedang diatur.

Pada masa yang sama, Abyatina keluar bersiar-siar di kawasan sawah. Musim menuai hampir tiba, dan saat ini kawasan sawah kelihatan menguning sejauh mata memandang. Angin pagi yang bertiup ternyata satu nikmat yang tak terkata. Kesegaran dirasai Abyatina. Seperti biasa, Abyatina pergi ke tempat kegemarannya berhampiran tali air. Di situlah tempat yang menyimpan banyak memori manis buatnya.

“Ke mana pula si Abyatina ni?” soal ustaz Man sebaik menyedari Abyatina tiada di rumah.

“Hilang lagi?” soal pula ibu Abyatina.

“Selalu macam tu ke?” soal pula Mak Cik Jah.

“Pagi ni sarapan makan apa?” tiba-tiba satu pertanyaan di luar perbincangan kedengaran. Zabarjad muncul di tangga dapur sambil tersengih.

“Mu ni.... buat terkejut semua di sini...” balas ibu Abyatina. “Asyik membuta saja pagi-pagi ni...”

Zabarjad sekadar tersenyum seperti kerang busuk gayanya.

“Ish, tak elok biarkan si Abyatina tu jalan sorang-sorang. Dibuatnya jadi apa-apa kat dia...  Bahaya buat orang yang berbadan dua ni...” kata Mak Cik Jah menyambung kembali perbualan mereka.

“Itulah, dah banyak kali pesan. Tapi ligat juga berjalan-jalan. Macam orang tak kahwin. Macam tak berbadan dua gayanya...” balas ibu Abyatina.

“Eloknya, minggu depan kita ke rumah Tasha. Senang sikit nak diaturkan perancangan meminang,” bicara ustaz Man dengan tiba-tiba mengubah tajuk perbualan.

Terkedu seketika ibu Abyatina dan Mak Cik Jah. Ustaz Man ibarat tak mendengar perbualan mereka sebelumnya. Ustaz Man sekadar tersenyum. Dia tahu, isteri dan jirannya itu terkejut dengan bicaranya tadi.

“Kalau Rizqullah boleh bagi kepercayaan pada Abyatina, kenapa kita yang tua ni nak risaukan. Si Abyatina dah besar. Tahulah dia menjaga dirinya...” kata ustaz Man tersenyum.

Saat Abyatina duduk berehat di bahan pohon yang rendang di tengah sawah, kedengaran suara sedang memanggil namanya. Suara itu sayup-sayup kedengaran di hujung sawah. Lantas Abyatina bangun untuk melihat dengan jelas individu yang memanggil namanya itu. Dari jauh, Abyatina seperti mengecam individu tersebut.

“Hah, Alien si Zaragoza?” soal Abyatina terkejut.

Yaqzan muncul di hujung sawah. Memanggil-manggil nama si Abyatina. Kejutan dirasakan Abyatina.

“Apa lagi kali ni?”

Abyatina terus melihat Yaqzan yang berdiri jauh.  Abyatina berjalan menghampiri Yaqzan. Menyelusuri batas-batas sawah yang masih basah dek hujan yang turun pada malam sebelumnya, maka ada kalanya langkah Abyatina tidak lancar. Ada waktunya kaki Abyatina hampir sahaja tergelincir. Mujur masih lagi dapat dikawal Abyatina. Agak pelik perilaku Abyatina, kerana saat dirinya tidak suka akan kemunculan Yaqzan itu, saat itu jugalah Abyatina semakin pantas untuk menghampiri Yaqzan.

“Kenapa?” soal Abyatina menjerit ke arah Yaqzan. Kakinya terus melangkah meredah batas sawah yang licin. “Kapal angkasa rosak ke?” monolog Abyatina di dalam hati.

“Datanglah sini dulu...” balas Yaqzan.

Saat itu juga mata Abyatina tiba-tiba berpinar-pinar. Dirasakan seperti badannya hilang kestabilan. Kepalanya pula dirasakan berpusing-pusing, dan serentak dengan itu juga, Abyatina rebah jatuh ke dalam kawasan sawah. Abyatina pengsan secara tiba-tiba.

“Ya Allah!” Yaqzan terkejut lantas terus berlari menghampiri Abyatina.

Perbincangan rancak yang sedang berlangsung di rumah ternyata bagai tiada kesudahannya. Perihal utama iaitu Absyar sekadar mengambil tempat beberapa ketika. Perihal Abyatina dan Rizqullah yang lebih banyak dibincangkan. Masing-masing melahirkan sedikit kerisauan melihat perkembangan terkini Abyatina dan Rizqullah.

Namun Mak Cik Jah bersikap positif. Baginya, segalanya tiada masalah sekiranya Abyatina dan Rizqullah masih terus menyayangi antara satu sama lain. Biar apa yang dikata penduduk kampung, hanya Abyatina dan Rizqullah sahaja yang mengetahui kisah sebenar.

“Mungkin kelihatan Abyatina seperti ditinggalkan Rizqullah, namun kalau dilihat dengan lebih mendalam, tinggalnya Abyatina di kampung adalah langkah terbaik buatnya. Mungkin itu sebabnya Rizqullah biarkan Abyatina  di sini, supaya selamat kesihatannya saat Abyatina sedang mengandung,” terang Mak Cik Jah.

Secara tiba-tiba, kedengaran bunyi kenderaan memasuki halaman rumah. Rizqullah muncul tanpa diduga. Kedatangan Rizqullah ternyata satu kejutan, dan masing-masing tidak menjangka akan kehadirannya. Kereta Rizqullah diletakkan di bawah pokok rambutan yang sedang merah masak buahnya. Mungkin kerana itulah, sambil menutup pintu keretanya, Rizqullah mencapai dan memetik sebiji buah rambutan yang masak itu.

“Maaf, sebiji ambil ya...” kata Rizqullah tersenyum kepada ibu Abyatina yang keluar menyambutnya.

“Mu nak ambil seguni pun tak apa. Kampungmu juga...” balas Mak Cik Ros tersenyum.

“Abyatina mana?” soal Rizqullah.

Belum sempat Mak Cik Ros menjawab pertanyaan menantunya itu, sebuah kereta lain muncul pula di halaman rumah. Masing-masing terpinga-pinga. Ustaz Man yang berada di dapur bersama Mak Cik Jah turut merasai kejanggalan situasi di halaman rumah itu.

“Hah, Yaqzan?” soal Mak Cik Jah merenung jauh dari dapur.

Yaqzan muncul setelah sekian lama menghilang. Saat Yaqzan keluar dari keretanya, mata Rizqullah terus tertumpu ke dalam kereta Yaqzan. Kelihatan Abyatina berada dalam kereta. Abyatina tidak sedarkan diri.

“Maaf kalau datang tak dijemput...” kata Yaqzan kepada ibu Abyatina dan Rizqullah. “Sebenarnya, saya nak hantar Abyatina..... Tadi....”

Belum sempat dihabiskan bicara, tanpa diduga satu tumbukan hinggap di muka Yaqzan. Kejutan terjadi. Rizqullah tanpa sedar melepaskan satu tumbukan ke arah Yaqzan yang berdiri di hadapannya.

“Dasar kurang ajar!” luah Rizqullah dalam nada yang cukup marah.

Mak Cik Ros yang berdiri di sebelah Rizqullah dilanda kejutan. Memang tak diduga Rizqullah secara tiba-tiba naik angin. Tanpa dijangka, Rizqullah naik berang.

“Kenapa Abyatina dari dulu sampai sekarang, masih lagi kamu terkejar-kejarkan? Tak faham-faham lagikah Abyatina tu dah bersuami?” soal Rizqullah dalam nada marah.

Ustaz Man yang memandang dari jauh terkejut. Namun tiada apa yang dapat dilakukannya kerana kemampuannya untuk bergerak sangat terbatas. Ustaz Man hanya mampu melihat, tertanya-tanya sebab Rizqullah menumbuk muka Yaqzan secara tiba-tiba.

Pada waktu itulah Zaafarni, abang Abyatina muncul. Kereta ketiga masuk ke halaman rumah. Zaafarani hadir bersama keluarganya. Mungkin datang dari Pulau Pinang mahu menghabiskan hujung minggu di kampung.

“Apa hal ni?” soal Zaafarani saat keluar dari keretanya. Isteri dan anak-anaknya terus naik ke rumah. Mungkin  mereka memahami situasi tegang yang sedang berlaku di halaman rumah itu.

“Kalau kamu masih tak faham kenyataan tu, sampai mati pun aku tak akan maafkan kamu...” kata Rizqullah kepada Yaqzan tidak mempedulikan pertanyaan abang iparnya, Zaafarani.

Yaqzan hanya tertunduk. Dia membisu sambil menahan sakit di pipinya kesan tumbukan Rizqullah tadi.

“Mu yang tak faham siapa dirimu. Kalau mu tahu mu suami Abyatina, kenapa mu tinggalkan dia di sini?” soal Zaafarani tiba-tiba bersuara. Dia berdiri di sebelah Yaqzan.

“Boleh tak kalau diamkan mulut tu?” balas ibu Abyatina. Lantas Mak Cik Ros menarik tangan Zaafarani dan mengajaknya masuk ke dalam rumah.

Akhirnya, hanya Rizqullah dan Yaqzan sahaja yang masih berada di halaman rumah itu. Abyatina pula masih terus tidak sedarkan diri di dalam kereta Yaqzan.

“Apa yang akan terjadi?” soal Mak Cik Jah di dapur.

Serentak dengan itu, ustaz Man tiba-tiba mencapai dinding. Dengan sepenuh tenaganya, ustaz Man cuba untuk bangun. Kekuatan muncul dalam dirinya.

“Aku tak boleh biarkan mereka berseteru lagi...” luah ustaz Man.

Mak Cik Jah terkejut. Zaafarani dan Mak Cik Ros yang baru masuk ke dapur juga terkejut. Masing-masing tak menduga dengan apa yang dilihat mereka.

“Ayah boleh bangun dan berjalan?” soal Zaafarani terkejut.

Ustaz Man hanya tersenyum walaupun hatinya masih lagi risau dengan situasi yang sedang berlaku di antara Rizqullah dan Yaqzan di halaman rumah.




*Tamat sudah Bicara Dua Puluh*

Apakah kesudahan Rizqullah dan Yaqzan di halaman rumah itu?




**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 




Nota Khas: Siri ke-20 ini ditujukan khas buat Thahirah Kamarulail.



Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
nampaknya konflik makin rumit. Tak sabar menunggu bicara berikutnya... )

Catatan Popular