Jumaat, 29 November 2013

"Adina (Bicara Dua Puluh Tujuh)"





“Kenapa suamiku bermisai? Barangkali ada kacaknya di sebalik misai itu? Atau mungkin misai itu penyeri wajah? Padanlah muka, dulunya tolak mentah-mentah lelaki bermisai, tapi sekarang yang bermisai itulah menjadi teman hidup”

Abyatina tersengih sendirian, duduk santai di tepi tangga. Angin petang mengasyikkan Abyatina, hingga temenung panjang. Dibuai kisah-kisah lama barangkali.

“Kata orang, lagi kita tolak, lagi kita tak mahu, lagi itulah dia akan dekat hampiri kita,” bicara ibunya muncul dalam kotak fikiran. Abyatina sekali lagi tersenyum saja. Perbualan yang berlaku sebelum majlis pernikahan Abyatina itu kembali segar di ingatan. Bertahun lamanya kisah itu.

“Tapi tak salah kalau kita memilih bukan?” soal Abyatina pada ibunya. “Tiap-tiap orang ada citarasanya...”

Namun di akhirnya, Rizqullah jodohnya. Bermisai dan di luar dari imaginasi Abyatina.

“Tapi orangnya manis-manis. Kacaknya macam hero filem Hindustan,” usik ibu Abyatina.

“Macam P. Ramlee pun ada...” usik pula Raiqah, kakak Abyatina menambah keceriaan.

“Err, P. Ramlee zaman Jalan Ampas ke atau P. Ramlee zaman Studio Merdeka?” soal Abyatina berseloroh juga.

“Tak kisahlah yang mana pun kerana encik abang misai, makin dipandang makin berdebar hatiku...” usik Raiqah lagi.

Lamunan lama terhenti seketika. Abyatina kembali di dunia nyata sedang bersantai di tepi tangga. Santai Abyatina bukanlah suka-suka, kerana duduk Abyatina sebenarnya menanti Rizqullah pulang dari pekan.

“Lamanya...”

Yaqzan anak kecilnya, sedang nyenyak dalam tidur. Hari ini, ragamnya kurang, menyenangkan Abyatina untuk seketika. Sejak bergelar ibu, maka kadangkala kepenatan dirasakan. Dalam usia awal 20-an, dan telah bergelar sebagai seorang ibu, maka tanggungjawab yang dipikul bukan semudah yang disangka.

“Macam robot bila jadi ibu. Penatnya berterusan, tak kenal waktu...” luah Abyatina.

“Itulah namanya pengorbanan...” balas ibu Abyatina. Bicara ibunya itu masih segar di ingatannya.

Hari-hari Abyatina sebagai seorang ibu barangkali menjadi satu cabaran buatnya. Walau dalam kepayahan, Abyatina cekal membiasakan diri dengan tanggungjawab baru yang dipikul. Dalam kesabaran menjalankan tugas, Rizqullah kelihatan lebih bersahaja, hanya banyak melihat dari membantu. Situasi itu menguji juga kesabaran Abyatina.

“Sejak menjadi ayah, sejak itu jugalah perangainya berubah. Macam ada yang berbeza...” bisik Abyatina.

Mujur, rumah mereka terletak tidak jauh dari rumah mertuanya. Sedikit sebanyak, ibu Rizqullah datang menjenguk Abyatina membantu apa yang patut. Perihal sikap Rizqullah itu ternyata bukan satu kejutan buat ibu mertuanya.

“Dulunya, Rizqullah memang begitu. Suka bersendiri, tak banyak menolong yang lain,” terang ibu Rizqullah. “Jangan ambil hati... kadang-kadang kena banyak bersabar. Ada waktunya, Rizqullah akan rajin juga”

“Tapi dulunya tak begitu...” luah Abyatina.

“Mungkin ada sebabnya.... Kita tak tahu. Sabarkan hati”

Cuti sekolah bakal menjelma, maka Rizqullah juga bakal menikmati rehat yang panjang. Namun peristiwa yang berlaku beberapa minggu sebelumnya jelas mengubah perwatakan Rizqullah. Kemunculan Yaqzan yang diibaratkan seteru buat Rizqullah mencetuskan suasana kecoh di rumah mereka.

“Bertumbuk lagikah?” soal Raiqah menerusi perbualan telefon bersama Abyatina beberapa hari sebelumnya.

“Bukan muka yang ditumbuk. Tapi hati yang remuk...” balas Abyatina.

“Hati yang mana remuk? Yaqzan? Rizqullah?”

Maka peristiwa selepas Asar itu muncul kembali di ingatan Abyatina. Saat ketenangan petang dinikmati, Yaqzan muncul di halaman rumah tanpa diundang. Khabarnya punyai tujuan, mahu nyatakan satu kepastian buat Abyatina.

“Apa lagi yang perlu dicakapkan?” soal Rizqullah dalam nada yang agak kasar kepada Yaqzan pada petang tersebut.

“Kunjung saya di sini bukan mahu cetuskan air yang keruh. Datang saya ke sini mahu betulkan mana yang patut dijernihkan...” bicara Yaqzan tenang.

“Apa yang nak dijernihkan?” soal Abyatina perlahan-lahan menuruni anak tangga, sebelum turun ke halaman rumah.

“Ada banyak yang perlu dibuka simpulannya,” kata Yaqzan. “Mungkin banyak kekusutan yang dah terjadi. Mungkin juga saya puncanya...”

Masing-masing membisu sahaja. Rizqullah masih berdiri di tempat sama namun kelihatan sedikit tenang. Abyatina pula baru sahaja menuruni anak tangga, dan ibu Rizqullah hanya menjadi pemerhati berdiri di satu sudut di halaman rumah itu. Maka, satu hembusan angin tiba-tiba menerpa. Barangkali hembusan yang mampu mencetuskan ketenangan buat semua yang ada.

“Err, tapi sebelum tu, di mana tandasnya?” soal Yaqzan tiba-tiba.

Maka, situasi tegang bertukar menjadi kelucuan. Rizqullah ketawa kecil, Abyatina tersenyum menahan kelucuan.

“Malam semalam makan asam pedas. Agaknya cilinya memang terlebih. Itu pasal perut tak selesa,” terang Yaqzan.

“Hujung sana, itu tandasnya,” balas Rizqullah sambil menunjukkan jalan ke tandas rumahnya.

Lima belas minit berikutnya, Rizqullah dan Abyatina hanya menunggu di ruang tamu. Ibu Rizqullah pula telah pulang ke rumah, kelam kabut dengan panggilan suaminya yang baru pulang dari pekan. Ada sesuatu yang janggal saat itu, tatkala menanti Yaqzan yang masih terkandas di tandas, Abyatina seakan berada dalam debaran.

“Kalau Yaqzan sampaikan sesuatu yang kurang enak, apa yang abang akan buat?” soal Abyatina tiba-tiba.

“Tiap-tiap perkara, akan ada sesuatu yang tak boleh diduga. Kalau elok kunjungannya, elok jugalah kita menyambutnya...” balas Rizqullah.

Tak lama kemudian, muncul kembali si Yaqzan tersenyum lebar. Barangkali kelegaan terpancar di wajahnya. Urusan penting telah diselesaikannya. Lantas Rizqullah terus menjemput Yaqzan duduk di ruang tamu, satu situasi yang jarang dilihat. Abyatina serentak itu menuju ke dapur, menyediakan apa yang patut buat tetamu yang berkunjung.

“Apa tujuannya?” soal Rizqullah sebaik Yaqzan duduk.

“Banyak yang perlu diperbetulkan...” bicara Yaqzan dengan tenang.

“Apa pula kesalahannya?”

“Semuanya tentang Abyatina...”

Itulah kali pertama, Yaqzan dan Rizqullah dapat berbicara tanpa perseteruan. Masing-masing tenang, berbicara dalam kematangan. Tiada amarah tercetus di antara mereka. Bicara mengenai Abyatina menjadi tajuk perbualan, dan saat itu Abyatina berada di dapur membancuh kopi.

“Mungkin saya terlajak. Terbawa-bawa dengan dunia khayalan. Lupa hidup ini kena berpijak kenyataan. Mungkin banyak silapnya...” luah Yaqzan.

“Tak semua mimpi yang indah perlukan realiti yang sama. Kadang-kadang yang indah di mimpi perlu kekal di alam fantasi. Barangkali kalau di alam realiti, segalanya berbeza, mungkin beri kepedihan di hati,” bicara Rizqullah.

“Saya terlalu taksub, lupa Abyatina dah bersuami. Lupa, Abyatina dah menjadi isteri...” kata Yaqzan. “Maaf, mungkin banyak salah saya...”

“Ya, mungkin banyak kucar kacirnya. Tapi itulah resam bila berumah tangga. Dugaan satu cara ujian mengukur kekuatan suami dan isteri. Ada sabarnya, maka kekallah damainya”

“Tapi tiap-tiap sabar ada batasnya...”

Kisah permulaan dinukilkan Yaqzan. Kisah dulu-dulu menyingkap kembali asal usul perjalanan hidupnya. Soal hatinya dinyatakan dengan jujur. Memang benar Yaqzan menaruh harap pada Abyatina, namun hatinya itu tidak dibalas Abyatina. Barangkali kecewa, namun Yaqzan tak pernah berputus asa. Berterusan berusaha walaupun Abyatina telah berkeluarga.

“Maaf,” luah Yaqzan. “Bila obsesi mengatasi semua, segala yang baik kelihatan buruk. Segala yang jahat kelihatan indah”

Yaqzan memang sengaja mencari peluang untuk mengeruhkan hubungan di antara Abyatina dan Rizqullah. Kisah Abyatina yang hampir diperkosa buat kali kedua di ladang getah beberapa tahun sebelumnya sengaja diperbesarkan Yaqzan. Hakikatnya, Yaqzan tidak melihat langsung kejadian itu. Hanya terserempak Abyatina yang sedang berlari dalam keadaan cemas selepas hampir menjadi mangsa nafsu buas beberapa lelaki.

Tak lama selepas kejadian itu, Yaqzan bertemu Rizqullah. Pada pertemuan itulah, hasutan dibisikkan Yaqzan, dengan harapan moga Rizqullah meragui Abyatina dan hubungan Abyatina bersama Rizqullah menjadi renggang. Langkah diatur lagi tatkala Yaqzan muncul pula secara tiba-tiba di majlis pertunangan Absyar, abang Abyatina. Dalam majlis itu, Yaqzan menimbulkan kekecohan apabila menyatakan bahawa kandungan Abyatina itu bukan datang dari Rizqullah.

“Maafkan saya....”

Sekali lagi maaf dipinta. Maka petang itu, segala persoalan terjawab sepenuhnya. Tiap-tiap dugaan kini menuju pengakhirannya. Setiap kesusahan mungkin akan menemui sinar ketenangan.

“Kita semua ada silapnya...” tutur Rizqullah ringkas.

Maka pada waktu itu Abyatina muncul di ruang tamu membawa dulang berisi kopi. Dihidangkan kopi buat Yaqzan. Tatkala itu jugalah permohonan maaf dibicarakan Yazan buat Abyatina pula.

“Insya-Allah, kalau insaf dah ada, tiap-tiap manusia perlu diberi peluang yang kedua,” balas Abyatina buat Yaqzan selepas permohanan maaf itu.

Sejak petang itu, segalanya berubah. Abyatina dan Rizqullah kini lebih tenang menikmati hidup. Sejak itu jugalah, tiada lagi khabar berita. Ustaz Yaqzan menyepi begitu saja.

“Dan ke mana pula suami bermisaiku ini? Menanti bagai melukut di tepi gantang, munculnya tak juga...” bisik Abyatina kembali semula di alam nyata setelah agak lama mengelamun kisah yang berlaku beberapa minggu yang lalu itu. Kisah Yaqzan memohon maaf, masih segar di ingatan.

Tatkala jam tepat pukul 6, barulah kedengaran kenderaan yang dipandu Rizqullah. Bersahaja tatkala keluar dari kereta, wajah Rizqullah menguntumkan senyuman. Lantas kelihatan bungkusan plastik dibawa bersama. Abyatina sekadar melihat.

“Hadiah buat si comel Yaqzan...” bicara Rizqullah menghulurkan bungkusan yang dibawanya kepada Abyatina.

“Kasut lagi?” soal Abyatina sebaik melihat isi kandungan plastik yang diberikan kepadanya itu.

“Buat koleksi untuk si kecil Yaqzan...”

“Yaqzan jalan pun belum pandai. Macam mana nak dipakai kasut ni...”

“Tak salah kalau membeli, nanti dipakai juga nanti”

“Bila nak dipakainya tu?...”

“Yaqzan akan membesar juga nanti...”

Itu bukan kali pertama Rizqullah membeli kasut buat anaknya. Setiap kali suami Abyatina itu pergi ke pekan, maka tiap kali itulah Rizqullah akan membeli sepasang kasut untuk si kecil Yaqzan. Ibarat hobi pula buatnya.

“Apa nak lawan Emelda Marcos ke? Koleksi kasut nak disusun keliling rumah?” perli Abyatina

“Cemburu ke tak dapat kasut?” usik Rizqullah. Abyatina hanya tersenyum.

Majlis perkahwinan Absyar dan Tasha bakal menjelma tidak lama lagi. Namun, setiap perancangan dan aturan yang dibuat di kampung langsung tidak diketahui Abyatina. Hakikatnya, Abyatina telah lama tidak pulang ke kampung. Sejak kembali ke rumah selepas berpantang di kampung halamannya, Abyatina tidak lagi berkunjung ke kampungnya itu.

“Apa masalah si Abyatina tu?” soal ibu Abyatina di suatu malam bersama Ustaz Man. Makan malam dinikmati mereka berdua bersama-sama Zabarjad dan Rafiqin.

“Abyatina sebagai isteri, tanggungjawabnya patuh pada suaminya,” balas Ustaz Man. Hidangan dijamahnya sedikit demi sedikit, penuh cermat.

“Tapi bukankah nampak menyeksa Abyatina? Langsung tak bersua dengan kita di sini?” kata ibu Abyatina.

“Kita tak tau apa yang berlaku. Mungkin Abyatina gembira di sana. Mungkin Abyatina sibuk di sana. Si kecil Yaqzan sedang membesar. Tanggungjawabnya bukan kecil,” balas Ustaz Man.

“Mungkin Abang Riz tak bagi Kak Ina balik ke sini...” celah Zabarjad.

“Jangan buruk sangka, kelak rosak hati..” balas Ustaz Man tegas.

“Mungkin ada betulnya...” luah ibu Abyatina. “Mungkin ada yang tak kena pada Rizqullah...”

Ibu Abyatina seakan merasakan perubahan yang sedang berlaku pada Rizqullah. Walaupun Abyatina tidak pernah meluahkan apa-apa perkara kepada ibunya, jauh di sudut hati, Mak Cik Ros tahu ada sesuatu yang tidak kena sedang melanda Rizqullah.

Kisah persiapan majlis perkahwinan Absyar dan Tasha mula mengambil tempat. Seisi keluarga Ustaz Man mula memikirkan soal persiapan majlis. Beberapa minggu kebelakangan ini, kesemua ahli keluarga Ustaz Man akan berkumpul di kampung bagi mengadakan perbincangan. Zaafarani, abang Abyatina pulang setiap minggu dari Pulau Pinang bersama keluarganya. Begitu juga Raiqah, kakak Abyatina. Dari Pulau Pinang, maka setiap minggu dia, suami dan anak-anaknya akan pulang ke kampung.

“Tapi, di mana Abyatina dan suaminya?” soal Zaafarani sebelum perbincangan dimulakan di ruang tamu.

“Kak Cik mungkin tak muncul juga...” balas Zabarjad.

“Sekali lagi?” soal Zaafarani.

“Biarlah. Abyatina dah berkeluarga. Sebaik-baik tempatnya, Rizqullah perlu di sisinya...” bicara pula Ustaz Man.

“Dari dulu sampai sekarang, perangainya tetap sama. Seksa Abyatina tak sudah...” kata Zaafarani.

“Mu jangan mulakan perbincangan kita dengan perseteruan. Tiap-tiap perkara Abyatina, jangan kita campur tangan. Biarlah Rizqullah dan Abyatina hidup dengan caranya sendiri. Jangan sampai muncul porak peranda, dan mu menjadi salah satu sebabnya...” balas Ustaz Man. Barangkali geram dengan sikap Zaafarani yang masih buruk sangka terhadap Rizqullah.

“Jadi, dari mana nak dicari lembunya?” soal Mak Cik Ros mengubah tajuk bicara perbualan. Kembali kepada tujuan asal perbincangan. Perancangan majlis kenduri Absyar mengambil tempat pula.

Maka, perbincangan diteruskan disertai semua ahli keluarga Ustaz Man kecuali Abyatina. Hakikatnya, di saat itu Abyatina dalam perjalanan menuju ke bandar Taiping. Tiada siapa yang tahu, namun permulaan cuti sekolah itu dimulakan dengan kunjungan Abyatina dan Rizqullah ke rumah baru Marwa, kakak ipar Abyatina.

Jauh di sudut hati, sepanjang perjalanan itu, Abyatina hanya mampu memendam rasa. Hanya mampu menyimpan rindu terhadap kampung halaman, wajah ibu dan ayahnya senantiasa terbayang dalam kotak fikirannya.

“Taat seorang isteri perlukan banyak pengorbanannya...” bicara ibunya terngiang kembali di telinga Abyatina.

Hakikatnya, perjalanan menuju ke rumah kakak iparnya itu adalah jalan yang sama menuju ke kampung halamannya. Perjalanan itu akan merentasi kawasan kampungnya sebelum tiba di rumah Marwa yang terletak di pusat bandar Taiping.

“Moga tiap yang sabar ada kekuatan untuk menghadapi dugaan....” bisik hati Abyatina mungkin sedikit kecewa. Abyatina hanya mampu memerhati kawasan sekitar kampungnya saat kereta yang dipandu Rizqullah merentasi kawasan itu.

Sepanjang perjalanan si kecil Yaqzan lena sahaja di pangkuan Abyatina. Sepanjang perjalanan itu juga, masing-masing hanya membisu. Tiada perbualan tercipta sehingga mereka tiba ke destinasi.

“Soalnya sekarang, walau apa pun alasan, bila satu keluarga nak berbincang, sepatutnya semua kena ada. Baru namanya perbincangan keluarga,” luah Zaafarani saat perbincangan keluarga mengenai majlis perkahwinan Absyar baru sahaja bermula.

“Tak ada paksaan sebenarnya. Kalau nak datang pun tak apa. Tak datang pun tak apa. Mu jangan simbah minyak dalam api yang menyala,” balas Ustaz Man memberi penegasan.

“Sampai bila? Sampai Abyatina mati kering sebab kecewa?” soal Zaafarani.

“Mu jangan buruk sangka. Mu tak tau apa yang Abyatina lalui. Jangan buat andaian Abyatina kecewa. Kita tak tahu...” balas Ustaz Man.

“Kalau berbulan-bulan tak pernah berkunjung ke kampung, mesti ada yang tak kena...” bicara Zaafarani. Masih lagi tidak berpuas hati dengan ketiadaan Abyatina dan suaminya di kampung.

Hanya Ustaz Man dan Zaafarani sahaja yang berbicara. Ahli keluarga yang lain, Mak Cik Ros, Raiqah, Absyar, Zabarjad, Rafiqin hanya mampu membisu sahaja. Begitu juga suami Raiqah dan isteri Zaafarani. Hanya mampu melihat.

“Kalau Abyatina tak ada di sini, kenapa perlu berbalah? Tujuan utamanya untuk bincang majlis Absyar. Kenapa pula perlu meleret sampai ke kisah Abyatina?” Raiqah tiba-tiba mencelah. Mungkin geram dengan sikap Zaafarani yang masih mempersoalkan ketiadaan Abyatina.

“Berapa banyak meja yang diperlukan?” soal Zabarjad tiba-tiba mencelah, menukar tajuk perbualan yang sedang berlaku. Maka, perbincangan sebenar bermula selepas itu.

Abyatina dan Rizqullah di saat itu baru saja tiba di rumah Marwa, kakak iparnya. Ketibaan mereka disambut dengan penuh mesra oleh Marwa seisi keluarga. Sedikit jamuan diadakan, dan itulah pertama kali Abyatina mengenali rapat kakak iparnya itu. Selama ini, Marwa hanya sesekali bertemu Abyatina.

“Moga lebih banyak lagi dapat kita bualkan nanti,” bicara Marwa saat Abyatina berangkat pulang bersama Rizqullah. Salam dihulurkan, bayi kecil Yaqzan diciumnya. Abyatina berlalu pergi.

Tidak banyak bicara tercetus sepanjang perjalanan pulang itu. Sesekali bayi kecil Yaqzan merengek menangis, barangkali kurang selesa dengan panas tengah hari yang dirasakan saat itu.

“Kita singgah kampung ya,” kata Rizqullah tiba-tiba. Abyatina sekadar tersenyum. Sedikit gembira dirasakan.

Ketibaan Rizqullah dan Abyatina disambut dengan kerancakan perbincangan Ustaz Man sekeluarga. Tiada siapa yang menyedari ketibaan mereka. Masing-masing dalam kesibukan memberi cadangan dan mencatat perkara-perkara yang dibincangkan.

“Assalamualaikum,” Rizqullah memberi salam. Maka perbincangan yang rancak terhenti serta-merta.Rizqullah dan Abyatina berada di muka pintu.

“Abyatina? Rizqullah?” soal ibu Abyatina terkejut. “Bilanya sampai?”

Serentak dengan itu juga, Zaafarani bingkas bangun. Terus menerpa menghampiri Rizqullah yang berdiri di muka pintu. Wajah amarah terpancar di wajah Zaafarani.

“Apa perlu mu di sini?” soal Zaafarani kepada Rizqullah. “Apa perlu mu muncul lagi?”

Rizqullah ternyata terkejut dengan soalan secara tiba-tiba dari abang iparnya itu. Maka Rizqullah hanya membisu. Mungkin juga terkedu.

“Sudahlah Abyatina lama tak pulang ke sini, khabar berita pun tak pernah disampaikan... Mu memang kejam... suami yang tak ada hati perut,” kata Zaafarani. Amarah tak dibendung lagi.

Sekali lagi Rizqullah hanya membisu. Abyatina pula hanya mampu berdiri di sebelah Rizqullah, tidak pula mahu membalas tujahan marah Zaafarani itu.

“Aku dah lama bersabar dengan sikapmu. Pentingkan diri, tak pernah fikir pasal perasaan Abyatina. Memang betul, mu tak layak jadi suami Abyatina. Sebab mu, Abyatina terseksa!”

“Apa mu hilang akal Zaafarani?” Ustaz Man bangun perlahan-lahan, bertongkat berjalan menghampiri Zaafarani yang betul-betul berdiri di hadapan Rizqullah. “Apa mu dah lupa ketentuan Allah?” soal Ustaz Man. “Apa perlu mu persoalkan lagi Rizqullah dan Abyatina? Apa mu mahu mereka tak bahagia?”

Bicara Ustaz Man ternyata benar-benar mengejutkan semua yang ada. Tidak pernah Ustaz Man berbicara dalam nada sedemikian kepada Zaafarani.

“Bukan Rizqullah yang kejam pada Abyatina. Mu yang kejam Zaafarani...” bicara Ustaz Man sebelum berjalan meninggalkan hadiri. Ustaz Man masuk ke biliknya.

Mak Cik Ros kemudian berdiri. Berjalan menghampiri Zaafarani dan Rizqullah.

“Dalam soal ni, jangan biarkan nafsu menguasai diri. Fikirkan akal, jangan sekadar ikutkan hati semata-mata...” bicara ibu Abyatina buat Zaafarani dan Rizqullah.

Abyatina berjalan masuk ke ruang tamu sambil mendukung Yaqzan, sementara Rizqullah dan Zaafarani masih lagi berdiri bertentang di antara satu sama lain di muka pintu.

Sebaik Abyatina duduk di sebelah kakaknya Raiqah, Rizqullah mula menuturkan bicaranya.

“Saya dah lama bersabar dengan tiap-tiap kerenah yang memang menyakitkan hati saya. Macam-macam tuduhan dilemparkan. Macam-macam rasa tak puas hati dituduhnya saya...”

Semua yang berada di ruang tamu itu senyap sahaja, mendengar bicara yang dinyatakan Rizqullah itu. Barangkali juga mahu mendengar luahan Rizqullah yang tidak pernah dikongsikan kepada sesiapa.

“Saya tak kisah kalau ada mana-mana di sini yang tak puas hati dengan saya, tak suka saya.... mungkin benci saya. Tapi, kalau benci itu atas sebab yang tak munasabah, saya bukan manusia yang tak ada perasaan, boleh ditendang ke tepi dan ke tengah,” kata Rizqullah.

Abyatina tunduk tanda faham. Barangkali mungkin itulah sebab Rizqullah mula berubah sejak kebelakangan ini. Mungkin Rizqullah memendam rasa di hati. Tidak diluahkan kepada sesiapa.

“Saya tak faham, apa salah saya? Apa kejam yang saya buat? Semua kata kejam, tapi apa buktinya kejam?” soal Rizqullah dalam nada yang tegas.

Rizqullah kemudian membisu seketika. Pandangannya dilontarkan pada setiap hadirin di rumah. Semua ahli keluarga Ustaz Man dilihat satu persatu. Pandangan itu kemudian terhenti tatkala melihat Abyatina yang duduk di sebelah kakaknya Raiqah. Lama juga Rizqullah melihat wajah Abyatina itu.

“Kalau tak kerana anak saya Yaqzan, kalau tak kerana ayah dan mak, mungkin saya dan Abyatina akan berpisah...”

Rizqullah keluar dari rumah itu. Terus menuju ke keretanya. Tak lama kemudian, Rizqullah meninggalkan perkarangan rumah. Sekali lagi Abyatina ditinggalkan. Zaafarani ternyata terkejut dengan bicara dan tindakan yang dibuat Rizqullah itu.

“Ya Allah... terguris benarkah Rizqullah?” soal ibu Abyatina sebaik Rizqullah menghabiskan bicaranya dan meninggalkan perkarangan rumah.

Saat itu juga Abyatina hilang dari pandangan. Seisi keluarga terkejut. Hakikatnya Rizqullah pulang bersendirian, dan kehilangan Abyatina secara tiba-tiba itu nyata beri kejutan buat semua yang ada. Yaqzan anak kecil Abyatina juga tidak lagi kelihatan. Abyatina membawa Yaqzan bersama-samanya.

“Kalau tak kerana Yaqzan, Abyatina dan Rizqullah bercerai?” soal Raiqah kehairanan.

“Apa yang sebenarnya sedang berlaku antara Rizqullah dan Abyatina?” soal ibu Abyatina.

“Mereka ada masalahkah?” soal Raiqah.

Petang itu, perbincangan keluarga mengenai majlis perkahwinan Absyar terhenti begitu sahaja. Kejutan yang dilakukan Rizqullah dan kehilangan Abyatina bersama bayi kecilnya Yaqzan mencetuskan suasana kelam kabut sekali lagi di rumah itu.

“Ya Allah. Satu demi satu dugaan Abyatina...” bisik Mak Cik Ros sebelum masuk ke bilik untuk menyatakan perkhabaran mengejut itu kepada suaminya Ustaz Man.

Kisahnya mungkin tak berkesudahan. Abyatina dan Rizqullah mencipta satu lagi kisah petang itu. Fasa baru kini bermula.



*Tamat sudah Bicara Dua Puluh Tujuh*

Ke mana menghilangnya Abyatina? Ke mana pula Rizqullah pergi?”

**Adina ialah “Aku Dilahirkan Insan Nan Ayu”

p/s: ‘ Adina’ adalah sebuah bicara kisah ilham dan inspirasi dari perjalanan hidup mak saya, Azmah binti Yunus. Ketabahan dan kekuatannya, beri kekaguman buat saya. 






*Terima kasih kepada sahabat sekampus, saudari Nor Farahin Che Arifin atas memberi izin bagi menyiarkan gambar beliau dalam siri kali ini.


Klik untuk Bicara Adina sebelum ini: Siri Adina