Selasa, 16 Mac 2010

Artis tak boleh jadi ikon? Betul ke?


Semalam saya menonton Terjah di TV3. Bukanlah selalu saya tengok, tapi dek kebosanan saya cuba menonton rancangan ini untuk isi masa terluang. Rancangan yang memaparkan berita sensasi artis ini memang kadang-kadang buat saya jadi menyampah. Tapi pada masa yang sama, ada juga baiknya terutama paparan mengenai kesusahan artis yang mungkin boleh timbulkan kesedaran saya sendiri.

Namun untuk paparan semalam, saya ternyata bukan sahaja jadi menyampah bahkan ketawa kecil di dalam hati apabila melihat kecetekan penafsiran wartawan-wartawan Terjah apabila mengupas isu: Artis Tak Wajar Jadi Ikon, dalam sesi 'mengumpat' mereka. Isu ini mula timbul apabila Wardina mengeluarkan satu kenyataan bahawa artis tidak sewajarnya dijadikan ikon oleh masyarakat dalam satu program bual bicara anjuran Kerajaan Negeri Kelantan yang berlangsung di KB Mall baru-baru ini. Dalam program itu panel lain yang dijemput ialah Habiburrahman el-Shirazy, penulis novel Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih, dan Farrah Adeeba Mohd, personaliti TV9. Pada dasarnya saya memang setuju seratus peratus dengan kenyataan itu, namun entah kenapa isu ini kini menjadi satu isu yang hangat pula apabila ramai artis mempersoalkan kenyataan itu. Persoalannya mengapa jadi begitu pula? Pada fikiran saya mungkin kerana mereka ini cepat melatah dan bertindak tanpa menggunakan fikiran.

Saya tergelak sedikit bila Mama Rock, salah seorang wartawan Terjah (gempal) memberi komen bahawa Wardina sepatutnya berfikir dulu sebelum keluarkan kenyataan. Saya tersenyum. Sekarang ni, siapa yang fikir sebelum cakap? Wardina ke atau Mama Rock? Kemudian rakan-rakan Terjah lain turut beri komen. Secara umumnya masing-masing tak setuju dengan kenyataan Wardina itu. Saya menggelengkan kepala apabila Mama Rock berkata bahawa kalau dah berubah tu, bila nak bercakap pun kenalah bijak, jangan jadi macam dulu jugak. Lebih kurang begitulah apa yang diperkatakan Mama Rock. Sekali lagi saya tersenyum. Persoalan sekarang adakah benar Wardina bercakap ikut sedap mulut? Saya menilai kata-kata Wardina berkaitan isu ikon ini.

"Tak payah nak menegakkan benang yang basah, kerana saya tahu macam mana keadaannya dalam dunia artis itu. Jadi pada saya tak payahlah nak jadikan artis-artis ini idola anda semua, tak payah, tak payah.

"Nak ambil yang ciri-ciri positif sahaja boleh, tapi tak perlulah nak dijadikan idola"

Itulah antara kata-kata yang diluahkan Wardina pada forum itu. Jadi timbul tanda tanya juga, adakah Wardina cakap ikut sedap mulut? Mengikut pengamatan saya, jauh sekali percakapan itu mengikut sedap mulut berkata. Apa yang saya lihat adalah satu bentuk luahan menyatakan satu keinsafan buat dirinya sendiri. Dia tidak menyatakan bahawa artis tidak ada baiknya, malah Wardina menyatakan bahawa ciri-ciri yang positif yang ada boleh diambil. Jadi, saya tak fikir kata-katanya itu ikut sedap mulut tanpa ada sebarang fikiran sebelum berkata-kata kerana dia tidak bersikap prejudis terhadap para artis sebenarnya. Baginya, artis ada nilai positif, tapi untuk nilai positif yang ada itu membentuk menjadi idola, memang tak akan sampai. Itu yang saya faham.

Jadi saya simpulkan, segala hentaman yang dicanangkan dalam Terjah itu hanyalah berdasarkan satu skop yang cukup sempit. Mereka hanya melihat sebutir pasir di pantai, sedangkan Wardina pula melihat sehamparan pantai di tepi laut. Salah seorang wartawan tersebut menyatakan bahawa terdapat banyak artis yang boleh dijadikan ikon. Amy Search boleh menjadi ikon buat remaja yang ingin jadi penyanyi rock. Siti Nurhaliza boleh jadi ikon dengan kejayaan yang digapai. Namun skop yang mereka perkatakan itu terlalu sempit, iaitu hanya memberi fokus pada kelebihan sesuatu bidang untuk dijadikan ikon. Pandangan Wardina pula berbeza apabila dia melihat dari sudut skop yang lebih luas iaitu secara keseluruhan kehidupan artis itu sendiri. Jadi terlihatlah kebodohan para wartawan Terjah yang salah menilai maksud yang diperkatakan Wardina itu.

Kemudian, isu ini dihangatkan lagi apabila Khir Rahman pula muncul memberi tambahan komen yang menambahkan lagi sisi kebodohan rancangan tersebut. Dia cuba pula mengangkat beberapa artis yang pada fikirannya wajar dijadikan ikon. Antara yang disebut ialah Datuk Sheila Majid, Datuk Sudirman, serta Datuk Siti Nurhaliza. Benar, memang mereka artis yang berjaya. Namun untuk diangkat sebagai ikon kehidupan keseluruhan seseorang, maka semua senarai di atas bukanlah layak. Untuk dijadikan contoh boleh, namun contoh itu hanya boleh dipakai untuk sesetengah sahaja kehidupan masyarakat dan bukannya keseluruhan kehidupan. Saya tidak mahu menyentuh Datuk Sudirman, namun saya ingin menyentuh Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sheila Majid. Saya akui, saya juga mahu mencontohi mereka atas kegigihan mereka untuk mencapai kejayaan. Namun kegigihan itu sahaja yang mungkin saya jadikan sebagai contoh. Untuk dijadikan sebagai ikon yang memandu kehidupan saya, memang saya tak mahu. Wajarkah Siti dijadikan ikon? Bertudung tapi cara bertudung seperti mempersendakan orang yang bertudung kerana tak tutup dengan sempurna. Wajarkah Sheila Majid dijadikan ikon? Sudah masuk umur 40-an pakaian terus terdedah sana dan sini. Wajarkah mereka dijadikan contoh, jika sakan melaram sejak pukul 1 petang bagi mengadiri Anugerah AIM sehingga lebur waktu solat yang wajib? Inilah yang perlu difikirkan.

Kemudian Terjah cuba memaparkan komen beberapa artis berkenaan isu ini. Daripada beberapa artis yang ditanya, hanya satu sahaja yang bersetuju dengan pendapat Wardina. Razali Hussain, pelakon lelaki yang popular menerusi drama Susuk sahaja yang bersetuju dengan pendapat ini. Mungkin latar belakang keluarganya yang mempunyai pengaruh agama menyebabkan dia bersetuju dengan pendapat Wardina. Selebihnya? Masing-masing masih terus mahu menegakkan benang yang basah atau mungkin juga tidak faham sendiri maksud yang disampaikan Wardina tersebut.

Saya juga kurang bersetuju dengan kata-kata Mama Rock apabila dia menyatakan bahawa orang kalau nak berubah, kalau dapat hidayah maka berubahlah. Nah, satu lagi kenyataan tanpa berfikir dijelmakan. Ingatlah, Allah tak akan beri hidayah kalau kita tak berusaha mencarinya. Sesuatu bangsa tak akan berubah melainkan bangsa itu berusaha untuk berubah. Hidayah tak akan datang sendiri, tapi kita yang kena cari hidayah. Sesetengah cuba berkata, “belum sampai seru lagi nak berubah. Kalau dah dapat seru, berubahlah nanti…” Hah, dangkalnya hujah ini. Seru sebenarnya dah lama ada, kerana al-Quran telah turun ribuan tahun dulu. Di dalam al-Quran itu, segala suruhan telah dinyatakan. Sebenarnya mereka sendiri yang tak mahu mencari seru itu…

Jadi isu ini sebenarnya hanya akan menonjolkan sejauh mana tahap pemikiran seseorang artis itu. Jika tajam pemikirannya, maka tajamlah penafsirannya. Jika cetek, maka terpaparlah kebodohan sendiri. Saya terbaca satu kenyataan dari sebuah akhbar, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid menyatakan bahawa apa dituturkan Wardina wajar direnung bersama dan tidak perlu dijadikan kontroversi. Ini kerana apa yang dituturkan itu adalah benar dan perlu dilihat sebagai teguran yang baik.

Katanya lagi: “Rasulullah SAW bersabda: ‘Berkata benarlah, walaupun benda itu pahit’. Apa yang Wardina cakap itu benar walaupun dia terpaksa berdepan bantahan atau rungutan yang tidak sepatutnya daripada insan seni lain.


“Matlamat dia mahu artis berubah daripada orang yang tidak boleh menjadi idola kepada mungkin satu hari nanti boleh menjadi ikon kepada masyarakat. Apa yang dituturkan itu jujur dari hati.


“Sepatutnya ulasan atau teguran seperti itu (tidak kira sama ada ia disampaikan oleh orang lebih muda atau tua) perlu dihormati.


“Kalau ada artis yang marah dengan teguran itu, ia bukan atas kehendak mereka tetapi kehendak syaitan yang tidak pernah serik menyesatkan manusia.


“Jangan mudah melatah, sebaliknya renungkan kata-kata itu sedalam-dalamnya dan lihatlah ia sebagai nasihat. Saidina Ali a.s. pernah berkata: ‘Lihatlah apa yang dikata, jangan dilihat orang yang berkata’. Bermakna lihatlah isi kandungan serta intipati nasihat itu.


“Sebagai hamba Allah yang percayakan rukun Iman dan rukun Islam, kita kena dengar pandangan yang baik, bukan memperlekehnya, lebih-lebih lagi jika ia disampaikan orang yang mengotakan apa yang dikata.


“Persoalan boleh atau tidak menjadi idola, sebagai manusia wujud naluri mahu ada peminat. Apabila bercita-cita sedemikian perlu diingat, semua perlakuan yang menjadi ikutan orang lain ada sahamnya.


“Jika tunjukkan nilai-nilai murni dan ia menjadi ikutan ramai, kita akan menerima saham yang baik, namun jika sebaliknya, ada akibatnya.


“Oleh kerana itu jika mahu jadi ikutan (ikon) biarlah perkara yang baik dan tidak bercanggah dengan hukum Islam,” katanya.

Jadi Mufti Selangor dengan jelas menyokong kenyataan Wardina. Jadi kenapa masih ada yang cuba menempelak Wardina. Apakah kata-kata orang kuat agama ini tidak lagi dipandang sebagai satu bentuk panduan yang tepat? Kalau benarlah itu berlaku, maka ternyata tanda-tanda kiamat itu telah jelas kelihatan.

Saya tidak mahu mempersoalkan sejauh mana dalamnya penghayatan agama seseorang artis itu. Namun penilaian kasar boleh dilihat dari luaran, kerana iman itu akan dapat dijelmakan menerusi penampilan dan perwatakan seseorang. Dalam soal ini, memang saya menyokong penuh kata-kata Wardina ini. Soalnya mudah sahaja, lihat saja pada sudut agama, maka berilah penafsiran sendiri. Namun jika hanya keseronokan duniawi sahaja yang dilihat, maka memang banyaklah yang cuba menentang.

Memang benar, sesungguhnya dakwah itu sukar. Melakukan kebaikan itu memang sukar dilakukan, namun mungkar itu mudah terjadi. Jadi nasihat saya kepada kesemua wartawan Terjah tersebut, fikirlah dunia dan pada masa sama fikirlah dunia akhirat. Maka barulah tafsirkan dan ulas kata-kata Wardina itu. Ingatlah, kita hidup bukan di dunia saja, bekalan untuk hari akhirat juga perlu dipersiapkan.

Bak kata Farit Ismeth, pembaca Berita Dunia RTM, “fikir-fikirkanlah…”

Sakhir mimpi indah Ferrari


Formula One 2010 membuka tirai minggu lalu dengan litar Sakhir di Bahrain sebagai pembuka tirai. Namun bukanlah litar yang menarik perhatian saya untuk tahun ini, tetapi pelbagai perkara baru dalam F1 yang muncul unutk musim baru.

Pertama, kemunculan semula lagenda berleher panjang dari Jerman, Michael Schumacher, juara dunia 7 kali muncul kembali untuk musim ini setelah 3 tahun berehat. Kemunculan semula Schumi memang saya cukup nantikan, mengimbau kembali zaman kegemilangan sekitar tahun 2000 hingga 2004 beliau. Kedua, kemunculan beberapa pasukan baru seperti Lotus, Virgin turut memberi seri baru untuk musim ini. Tambah menarik apabila Lotus merupakan pasukan pertama Malaysia di kejohanan F1. Ketiga, pengenalan pertauran baru seperti larangan mengisi minyak sepanjang perlumbaan, had penukaran tayar, serta pengenalan sistem mata baru menyebabkan musim kali ini lebih segar.

Kesudahannya, Sakhir menjadi mimipi indah buat Ferrari apabila menaiki podium 1 dan 2 menerusi Alonso dan Massa. Terkenanglah kembali saat kegemilangan yang telah lama tidak dikecapi Ferrari sejak tahun 2008. Kemunculan Schumacher juga tampak meyakinkan apabila berada di kedudukan ke 6, suatu keputsan yang baik buat veteran yang berehat selama 3 tahun ini. Pastinya ini juga merupakan satu amaran bahawa Schumi bakal memberikan saingan yang cukup hebat buat pelumba-pelumba muda yang lain. Bagi pasukan Lotus, kejayaan menghabiskan kesemua perlumbaan adalah sesuatu yang membanggakan bagi pasukan yang baru setahun jagung dibina ini seterusnya meletakkan Lotus sebagai pasukan terbaik bagi pasukan baru. Jenama Lotus yang menyepi selama 16 tahun dalam F1 ternyata masih ada bisanya. Nampaknya, pengurus pasukan Virgin perlulah membayangkan dirinya dengan uniform pramugari Air Asia seperti yang telah dijanjikannya dengan Tony Fernandes, Pengurus Pasukan Lotus.

Namun, untuk perlumbaan di Bahrain, saya memang bosan menontonnya. Selalu saja saya tukar saluran. Entahlah apa sebabnya, mungkin kerana bentuk litar di Sakhir yang panjang menyebabkan saya jadi cepat bosan. Bayangkan untuk satu pusingan saja, hampir dua minit baru lengkap, memang cukup lama. Tambah pulak bila litar Sakhir terdapat banyak laluan lurus yang panjang, menyebabkan tidak banyak aksi yang menarik dapat ditonton dalam perlumbaan. Bosanlah bila tengok kamera jadi kaku rakam jentera F1 bergerak di jalan yang lurus...

Kena tunggulah Sepang bulan depan baru rasa seronok kot. Litar Sepang lebih menarik. Cadangnya nak pergi ke sana. Harap-harap ada lagilah tiket yer...